You are on page 1of 14

INSTITUT PENDIDIKAN GURU

KAMPUS TUN HUSSEIN ONN


BATU PAHAT,JOHOR DARUL TAKZIM

PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA


PERGURUAN (PISMP)

TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA (TITAS)


(WAJ3101)

NAMA

: KHAIRUL AMILEIN BIN RAHIM

NOMBOR I/C

: 920119-03-6329

OPSYEN/KUMP/AMBILAN

: PISMP / PSV / JAN 2012

NAMA PENSYARAH

: ENCIK ABD RAHMAN BIN SIRAJ

PENGHARGAAN
Bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapat saya
menyempurnakan tugasan yang telah diberikan kepada saya. Pada 1 Mac 2012, kami telah
diberi tugasan kerja kursus pendek bagi matapelajaran tamadun islam dan tamadun asia.
Kami diberi 9 pilihan soalan dan dikehendaki mengkaji, meneliti dan mempersembahkan
hasil kerja kami dalam bentuk penulisan.
Pertama sekali, saya ingin mengalungkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik
Abdul Rahman Bin Siraj, pensyarah TITAS kami kerana telah banyak memberikan
bimbingan dan tunjuk ajar sepanjang tempoh menyiapkan tugasan ini. Beliau juga telah
banyak berkongsi maklumat dan pengetahuan yang berguna bagi kami.
Tidak lupa juga jutaan ucapan terima kasih kepada kedua ibu bapa saya, Encik
Kasnan bin Kamari dan Puan Zaiton binti Ahamad kerana banyak memberikan sokongan
moral kepada saya sepanjang tempoh ini. Hal ini demikian kerana, bagi mendapatkan hasil
yang baik saya perlulah menitikberatkan perihal emosi saya sepanjang saya menyiapkan
tugasan ini. Ibu bapa saya sentiasa berada di sisi saya dan memberi dorongan kepada saya
untuk terus berusaha.
Ribuan terima kasih juga kepada rakan-rakan saya yang banyak berkongsi
maklumat-maklumat berguna. Perkongsian anda sangat bermakna dan telah banyak
meringankan beban saya dalam menyiapkan tugasan ini. Terima kasih sekali lagi kepada
semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sepanjang tempoh ini.

Soalan 5: salah satu kaum yang terdapat di Malaysia ialah kaum India. Pastinya
sejarah tamadun India ada hubungkaitnya dengan mereka. Ceritakan tamadun India
yang anda tahu. Jelaskan unsur-unsur dalam tamadun India untuk membina
kesejahteraan masyarakatnya sejak dahulu dan kesan yang boleh dilihat di Malaysia.
Proses ketamadunan mengambil tempat dalam kehidupan setiap manusia tetapi
dalam bentuk yang berbeza. Pembangunan dan kemewahan hidup yang kita kecapi pada
hari ini adalah hasil daripada proses ketamadunan pada masa lalu. Tanpa tamadun, kita
tidak mungkin dapat menikmati kemudahan menggunakan telefon bimbit, rumah yang
selesa, dan keperluan hidup yang mencukupi. Menurut ahli arkeologi barat, kehidupan
manusia diibaratkan seperti orang gua yang tidak mengetahui apa-apa ilmu. Hasil daripada
proses ketamadunan, manusia mula mengenal bahasa, sistem, dan teknologi yang mana
aspek-aspek tersebutlah yang banyak menyumbang kepada perkembangan hidup manusia
masa kini. Setiap kelompok manusia yang berdiri di atas muka bumi ini melalui proses yang
sama iaitu proses ketamadunan yang juga disebut sebagai civilization dalam bahasa
inggeris. Antara contoh tamadun yang pernah muncul suatu ketika dahulu ialah tamadun
china, tamadun india, tamadun melayu, tamadun islam, dan tamadun jepun. Tamadun boleh
didefinisikan melalui dua definisi iaitu melalui bahasa dan istilah. Definisi ini pula kemudian
terbahagi kepada dua bentuk pandangan iaitu pandangan dari segi islam dan pandangan
menurut perspektif barat. Perkataan tamadun sebenarnya berasal daripada perkataan arab
iaitu mudun dan madani yang bermaksud Bandar. Tamadun juga dikaitkan dengan
perkataan arab madana yang membawa erti tinggi budi bahasa. Dalam bahasa inggeris
pula, tamadun dikenali sebagai civilization yang juga merupakan kata pinjaman daripada
perkataan Greek civitas yang juga bermaksud Bandar. Secara umumnya, tamadun ialah
peradaban. Konsep tamadun memusat kepada pembangunan lahiriah dan rohaniah.
Lahiriah merujuk kepada pembangunan sesebuah Bandar seperti pembinaan kota dan
kesenian manakala rohaniah pula merujuk kepada perkembangan moral, sahsiah dan
tatasusila.
Tamadun india merupakan salah satu tamadun yang terkenal suatu ketika dahulu
semasa zaman pemerintahan Maurya. Walaubagaimanapun, kegemilangan sesebuah
tamadun tidak datang bergolek bahkan ia dicapai hasil daripada usaha gigih dan
pemerintahan yang sistematik. Bagaimanakah sejarah awal tamadun india? Pada tahun
1500SM, orang Arya telah membawa satu bentuk peradaban yang baru di barat laut India.
Pada fasa ini, telah muncul dua zaman yang bertanggungjawab dalam proses memelihara
dan mengembangkan tamadun yang baru menapak itu. Pada 1500SM bermulanya
pemerintahan zaman vedik yang akhirnya tumbang pada 500SM. Zaman vedik telah
menempatkan orang-orang Arya yang berasal dari Poland dan Asia tengah. Pada zaman ini

jugalah terbentuknya budaya komposit di utara India yang dikenali juga sebagai budaya
Indo Arya (budaya Vedik). Walaupun fasa ini mengambil tempat pada permulaan sejarah
tamadun india, masyarakat india pada masa itu boleh dikategorikan sebagai masyarakat
yang bertamadun kerana pada ketika itu, mereka sudah mula hidup menetap dan
mengamalkan sistem kekeluargaan. Mereka juga arif dalam bidang penulisan dan telah
membentuk satu bentuk pemerintahan. Pada zaman ini, mereka mula mencipta teks-teks
agama atau Veda-veda. Hal ini menunjukkan perkembangan mereka dalam bidang
penulisan dan mula mengenal konsep ketuhanan. Asas organisasi politik dan sosial
masyarakat Indo Arya berpusat pada institusi kekeluargaan yang mana setiap keluarga atau
kula diketuai grihaspati. Beberapa keluarga tinggal di grama (kampung) diketuai oleh
gramina. Pada skala yang lebih besar pula, beberapa kampung adalah bahagian visya
(Bandar), dan diketuai oleh visyapati. Kelompok visya pula adalah sebahagian daripada jana
dibawah pimpinan rajana. Kuasa tertinggi dalam tampuk pemerintahan masyarakat india
pada masa ini ialah raja. Penasihat raja dikenali sebagai mantri parishad. Terdapat dua
badan yang mengawal kuasa raja iaitu sabha dan samriti.
Dari segi ekonomi pula, penduduk dituntut untuk membayar cukai. Cukai tanah
merupakan cukai asas. Pada zaman ini, pemerintahan tidak terlalu memusat kepada aktiviti
ekonomi maka aktiviti ekonomi yang berjalan banyak tertumpu kepada aktiviti sara diri.
Antara contoh kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh masyarakat india pada masa itu ialah
pertanian bijirin, penternakan, nelayan, tukang dobi, tukang gunting rambut,penjual daging,
pembuat bakul, pembuat tembikar, peminjam wang dan pedagang. Bermula pada 600SM,
munculnya zaman Vedik Terkemudian. Pada zaman ini tertubuhnya kumpulan republik di
kaki gunung Himalaya dan barat laut Punjabi dan negeri-negeri beraja di kawasan sungai
Ganges. Pertubuhan baru ini melantik pengerusi pertemuan wakil-wakil puak sebagai raja.
Kehadiran pemimpin dan pemikir aliran bukan ortodoks mula mengambil tempat seperti
Siddharta Gautama dan Mahavira. Pada zaman vedik, cukai tanah merupakan cukai asas
tetapi pada zaman vedik terkemudian, sistem cukai telah diperkembangkan lagi dan
beberapa cukai baru mula diperkenalkan seperti cukai perindustrian dan cukai perdagangan.
Pada zaman ini, terdapat dua jenis pemerintahan iaitu pemerintahan secara republik dan
secara beraja. Negeri-negeri yang mengamalkan sistem beraja terletak di kawasan sungai
Ganges. Kuasa raja adalah turun temurun dan mengutamakan sistem dewaraja, upacara
rajasuya, vajapeya dan asva medha. Hal ini menjelaskan bahawa masyarakat india pada
masa itu mengangkat darjat raja sebagai dewa. Raja yang dilantik memegang mandat dari
tuhan maka masyarakat tidak boleh menentang raja.
321SM, bermulanya zaman kegemilangan tamadun india di bawah pimpinan
Chandragupta Maurya. Sebelum dinasti Maurya, kerajaan ini terbahagi kepada dua

bahagian iaitu kerajaan kecil, janapada dan kerajaan besar, mahajanapada. Di bawah
pemerintahan Chandragupta Maurya, kerajaan-kerajaan ini telah disatukan menjadi satu
kerajaan yang besar. Pada tahun 321 SM, empayar pertama di India telah terbentuk melalui
penggabungan seluruh kerajaan di India Utara. Dinasti ini mencapai kemuncak
kegemilangan dinasti ini ialah pada zaman pemerintahan Asoka, putera kepada
Chandragupta Maurya.
Terdapat tiga aspek utama dalam pembentukan tamadun iaitu politik, ekonomi dan
sosial. Dalam aspek ini pula, terdapat pelbagai unsur untuk membina kesejahteraan
masyarakat dalam sesebuah tamadun seperti pentadbiran dan perundangan, perundangan,
peningkatan ekonomi, agama hindu, perluasan kuasa, sains dan teknologi, kesenian, dan
sebagainya. Dalam bidang politik, kerajaan kecil dan kerajaan besar mengamalkan sistem
pemerintahan yang kontradik. Kerajaan kecil masih bersifat kepuakan dan tidak mempunyai
raja manakala bagi kerajaan besar pula, mereka dipimpin oleh raja seperti kerajaan Kashi,
Kosala, dan Magadha. Maurya menyedari hakikat bahawa tamadun ini tidak akan maju
sekiranya masyarakatnya tidak bersatu padu. Selain itu, sistem pemerintahan yang tidak
sistematik akan meruntuhkan tamadun yang terbina. Oleh sebab itu, Chandragupta Maurya
menggabungkan kedua-dua kerajaan ini dan memerintah kerajaan tersebut dibawah
perundangan yang sama. Hal ini mengubah status raja kepada maharaja. Empayar Maurya
telah tersebar luas diseluruh kawasan dan meliputi kawasan Teluk Benggala hingga ke
pergunungan Hindu Kush. Maharaja Asoka merupakan orang yang bertanggungjawab
dalam memimpin empayar India ke kemuncak kegemilangannya apabila beliau berjaya
menamatkan perang saudara serta menakluk Kalinga selepas perang Kalinga. Asoka telah
mempelajari hakikat bahawa pemerintahan secara ketenteraan adalah terlalu berat bagi
masyarakatnya. Oleh yang demikian, beliau telah membuat perubahan yang besar dalam
sistem pemerintahan dan perundangan di empayar India. Asoka lebih mementingkan
keamanan dan kemajuan sosial serta menjalankan penaklukan melalui agama Buddha dan
tidak lagi menggunakan peperangan.
Manusia memerlukan undang-undang dalam kehidupan seharian mereka.
Bayangkan hidup kita tanpa undang-undang. Semestinya segalanya akan menjadi kucar
kacir. Sebagai contoh, jalan raya yang dibina tanpa lampu isyarat. Pemandu juga bebas
memandu selaju mana yang mereka kehendaki tanpa had. Apakah yang akan terjadi?
Sudah pastinya jalan raya akan menjadi sesak dan kemalangan berlaku disetiap pelusuk
jalan. Perkara yang sama akan berlaku ke atas sesebuah kerajaan sekiranya kerajaan itu
ditadbir tanpa mengambil kira factor perundangan. Kehidupan manusia tidak akan terbela.
Pesalah akan dibebaskan begitu sahaja. Lantaran daripada ini, keruntuhan akhlak akan
mula berleluasa. Perangkaan undang-undang di empayar India banyak merujuk kepada

ajaran agama Hindu. Hal ini demikian kerana masyarakat india telah dipengaruhi oleh
kepercayaan hindu dan hampir kesemua masyarakat india beragama hindu. Kitab Dharma
Sastra dipercayai sebagai kitab undang-undang hindu tertua dalam tamadun ini. Menurut
kitab ini, setiap kesalahan yang dilakukan akan diambil tindakan atau denda bergantung
kepada keseriusan kesalahan tersebut. Namun, pelaksanaan undang-undang ini turut
dipengaruhi oleh sistem kasta. Sebagai contoh, sekiranya seorang Vaishya memotong
tangan seorang Brahmin, Vaishya tersebut akan dihukum dengan tangannya dipotong.
Tetapi sekiranya seorang Brahmin memotong tangan seorang Vaishya, Brahmin tersebut
perlu membayar denda. Selain raja, golongan Brahmin merupakan golongan yang dominan
dalam bidang perundangan kerana golongan Brahmin mahir tentang hukum-hukum
terutama yang berkaitan dengan keagamaan. Segala titah maharaja diukir pada tiang batu
yang didirikan di tepi jalan agar undang-undang itu dapat dibaca oleh rakyat. Tiang tersebut
terkenal dengan nama Tiang Asoka kerana telah dibina pada zaman pemerintahan
maharaja Asoka. Beliau sentiasa berpegang teguh pada konsep kesejahteraan rakyat dan
itulah yang menjadikan pemerintahannya adil.
Ekonomi sesebuah kerajaan mempengaruhi sektor-sektor yang lain. Hal ini demikian
kerana kegiatan ekonomi merupakan penyumbang terbesar bagi pendapatan negara. Tanpa
pendapatan yang mencukupi, kebajikan masyarakat juga pembangunan negara tidak dapat
dilaksanakan. Oleh itu, maharaja Asoka amat menitikberatkan perihal kegiatan ekonomi
kerajaannya. Malah, terdapat banyak pusat perdagangan yang penting di empayar India
seperti Anga, Kalinga, dan Karusa. Pusat perdagangan ini menempatkan serta
menghasilkan senjata,gading gajah, emas, berlian dan mutiara. Tamadun India menjalinkan
hubungan diplomatik dengan Macedonia, Sri Lanka, rantau Asia Tengah dan Asia Tenggara.
Hal ini menjelaskan kewujudan pengaruh tamadun India di Malaysia. Perkembangan pesat
sektor ekonomi ini telah merangsang pertubuhan persatuan perdagangan dan perusahaan
yang dikenali sebagai stresthin di setiap Bandar. Matlamat persatuan adalah untuk
mengawal harga, kualiti barangan, dan gaji pekerja. Tujuan persatuan ini juga adalah bagi
menjaga kebajikan pekerja. Undang-undang telah digubal bagi mengawal persatuan dan
perlaksanaan undang-undang telah diawasi raja. Mereka menggunakan sistem mata wang
sebagai medium untuk berjual beli. Semasa zaman Gupta, mata wang emas telah
digunakan. Penggunaan mata wang dalam proses jual beli ini membuktikan bahawa
pemerintah dalam tamadun India seperti Dinasti Maurya dan Gupta telah melaksanakan
satu dasar kewangan dan ekonomi yang sistematik. Aktiviti perdagangan sejak Zaman
Maurya sangat disokong oleh perkembangan dalam sektor perusahaan terutamanya
pengeluaran tekstil, kain kapas dan sutera.

Aspek sosial merangkumi pelbagai unsur dalam tamadun India yang menyumbang
kepada kesejahteraan masyarakatnya. Pendidikan, falsafah, sains dan teknologi, seni bina,
bahasa dan kesusasteraan, sistem sosial, dan keagamaan merupakan contoh bagi unsurunsur tersebut. Ilmu pengetahuan merupakan teras dalam kehidupan kita. Kemajuan dan
kemasyhuran tidak akan datang tanpa hadirnya ilmu terlebih dahulu. Masyarakat yang
bertamadun itu merupakan masyarakat yang berilmu dan bermoral. Oleh yang demikian,
bidang keilmuan mula meningkat di tamadun ini. Pada zaman Vedik, bidang ini sudah mula
dikembangkan. Pendidikan pada masa itu lebih banyak tertumpu kepada ajaran agama dan
berteraskan agama Hindu. Pendidikan pada zaman itu juga hanya didominasi oleh kaum
lelaki manakala kaum perempuan tidak diberikan ruang untuk menerima pendidikan.
Pembelajaran kitab-kitab Veda dan bahasa Sanskrit merupakan medium pengajaran yang
penting dan kaedah hafalan digunakan untuk mendalami ilmu-ilmu tersebut. Pengaruh
bahasa Sanskrit masih lagi dapat dilihat pada masa kini namun penggunaannya adalah
terhad. Sebahagian daripada bahasa melayu yang kita gunakan pada masa ini diambil
daripada bahasa Sanskrit sebagai kata pinjaman. Pendidikan yang berteraskan agama
Hindu dan Buddha adalah bagi mempersiapkan manusia untuk menghadapi kehidupan
selepas mati. Segala hukum agama telah diterapkan dalam pendidikan mereka agar mereka
dapat hidup sempurna dengan nilai-nilai murni yang diajar oleh agama. Pendidikan agama
dapat membentuk peribadi diri yang mulia. Oleh yang demikian, masyarakat dapat hidup
dalam keadaan yang sejahtera. Objektif utama pendidikan semasa tamadun ini ialah bagi
menambahkan ilmu serta mengatasi masalah buta huruf. Selain itu juga ialah bagi
mendapatkan jawatan dalam pemerintahan.
Bidang sains dan teknologi merupakan bidang yang sentiasa berkembang dari
zaman nenek moyang kita sehinggalah ke hari ini. Semenjak kali pertama manusia mula
mengenal fungsi api, berbagai-bagai penemuan lain telah diterokai. Secara umumnya,
teknologi boleh ditakrifkan sebagai aplikasi pengetahuan sains yang boleh memberi manfaat
dan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi manusia dalam kehidupan seharian.
Dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, umumnya sesuatu yang baru itu dianggap lebih
baik berbanding yang lama. Sebagai contoh, pemproses mikro Pentium 4 dianggap lebih
pantas berbanding pemproses mikro Pentium 3 dan sebelumnya. "Sains merupakan suatu
proses pengumpulan ilmu atau maklumat dan penyusunannya. Perkataan sains datang
daripada bahasa Latin, scinetia, yang bermaksud mendapatkan ilmu atau maklumat. Dan
seperti proses mendapatkan maklumat yang lain, sains bermula dengan pengalaman, dan
kemudiannya mendapatkan fakta dan peraturan daripadanya. Dalam tamadun india, sains
dan teknologi merupakan cabang kepada pengetahuan Vedik. Ilmu tentang astronomi dapat
dipetik daripada Rig Veda. Selain itu, tamadun india dikenali dengan penemuan ilmu

matematiknya yang berkembang pesat pada zaman pemerintahan Gupta. Ahli matematik
india pada zaman itu telah memperkenalkan konsep geometri dan sistem nombor yang
dikenali sebagai angka Brahmin dan angka Kharosti. Sistem angka juga telah wujud dalam
tamadun Yunani. Ilmu perubatan pula berkembang lantaran daripada kecenderungan
masyarakatnya dalam fisiologi kerana kaitannya dengan yoga. Melalui perkembangan
bidang perubatan, kesihatan masyarakat dapat dijaga. Disamping dapat mengurangkan
kadar kematian, ia juga dapat membantu mengekalkan populasi penduduk. Kemajuan
bidang astronomi dan matematik pula merangsang masyarakatnya untuk meneroka ilmuilmu lain seterusnya dapat memajukan tamadun mereka sekaligus dapat menjamin
kesejahteraan masyarakat. Pembaharuan teknologi akan turut dinikmati masyrakat.
Tamadun india juga terkenal dengan penciptaan roda. Roda merupakan sumbangan
terbesar tamadun india kepada dunia masa kini. Tanpa penciptaan roda, kita mungkin masih
berjalan kaki untuk merantau.
Sebelum berlakunya proses ketamadunan, manusia hidup di dalam gua dan tidak
mempunyai kelengkapan yang mencukupi. Segalanya serba kekurangan dan kehidupan
semestinya tidak selesa. Selain itu, mereka juga hidup bernomad; sentiasa berpindah dari
satu tempat ke satu tempat yang lain. Hal ini demikian kerana sumber makanan yang ada di
sesuatu tempat hanyalah bersifat sementara maka mereka perlulah mencari sumber yang
baru bagi meneruskan kehidupan mereka. Proses ketamadunan mengajar manusia untuk
hidup menetap dan memajukan kawasan yang mereka duduki agar mereka dapat hidup
dengan selesa. Melalui kegiatan pertanian, penternakan, dan sebagainya, mereka dapat
mengekalkan sumber makanan mereka. Oleh yang demikian, seni bina menjadi satu bidang
yang agak penting pada masa itu. Ilmu seni bina menyumbang kepada pembinaan rumah
yang lebih kukuh dan tahan cuaca. Selain itu juga, ia menyumbang kepada pembinaan
bangunan-bangunan lain seperti bangunan pentadbiran, dan bangunan komuniti.
Masyarakatnya telah berupaya membina binaan yang baik. Hal ini dapat dilihat melalui
pembinaan The Great Bath. Jika dibandingkan dengan binaan pada masa kini, binaan pada
zaman-zaman dahulu lebih kukuh. Sebagai contoh, piramid giza yang masih mampu
bertahan walaupun sudah beribu-ribu tahun usianya. Masyarakat India sangat
mementingkan agama dalam kehidupan seharian mereka. Oleh yang demikian, kebanyakan
hasil kerja mereka juga banyak dipengaruhi oleh faktor keagamaan. Bidang seni bina
merupakan salah satu contoh bidang yang dipengaruhi oleh faktor keagamaan. Binaanbinaan yang terdapat dalam tamadun india banyak berteraskan agama Hindu dan Buddha.
Antara binaan yang mengagumkan termasuklah binaan kompleks kuil di Gua Ajanta.
Kompleks ini mempunyai 20 buah kuil. Sementara itu kompleks kuil di Gua Ellora pula
mempunyai 28 buah kuil-gua dan dibina antara abad kelima hingga abad kelapan Masihi.

Seni bina Buddha menggunakan elemen geometri iaitu segi empat dan bulat. Pelbagai
binaan yang berinspirasikan kesejahteraan rakyat turut dibina. Binaan-binaan tersebut
dibina bagi memudahkan masyarakatnya seperti sistem perparitan yang dibina selari
dengan jalanraya dan tertutup. Terdapat juga benteng pengawal banjir setinggi 13.1m dan
gudang penyimpanan bijiran yang besar.
Tamadun india mempunyai sistem sosial yang unik yang tidak ditemui di mana-mana
tamadun lain. Sistem tersebut dikenali sebagai sistem kasta yang mana masih lagi
diamalkan di India sehingga kini. Sistem ini mempunyai empat kasta utama iaitu Brahmin,
Ksyatria, Vaisya, dan Sudra. Keempat-empat kasta ini mempunyai tanggungjawab yang
berbeza dan menjadi darah daging kepada sistem sosial india. Sistem ini diikuti dengan
ketat. Berdasarkan sistem ini, antara lainnya, seseorang lelaki tidak boleh mengahwini
wanita daripada kasta yang berbeza dan tidak boleh bercampur gaul dengan ahli kasta yang
berbeza. Sistem kasta ini disusun mengikut hierarki dengan Brahmin di tempat yang
tertinggi dan mendapat layanan yang lebih mulia berbanding kelas-kelas bawahan yang lain.
Hal ini demikian kerana golongan Brahmin terdiri daripada golongan yang mahir dalam
bidang agama seperti paderi. Masyarakat India sangat mementingkan agama dan adat
kepercayaan, oleh itu mereka menjunjung tinggi golongan-golongan ini. Idea-idea
keagamaan Hindu tertentu seperti samsara, karma, moksha, ahisma, dan dharma
disebarkan melalui sistem kasta. Samsara merujuk kepada perihal pusingan kelahiran,
kematian dan kelahiran semula manakala karma pula ialah tindakan kearah kebaikan.
Moksha ialah perihal membebaskan kewujudan masalah-masalah yang tiada
penghujungnya. Selain itu ialah ahisma yang merupakan satu doktrin tidak melakukan
kekejaman. Dharma pula ialah tugas-tugas moral. Antara kepercayaan yang diamalkan
dalam sistem kasta ialah sati atau janda kepada si mati perlu berkorban nyawa dengan
membakarkan dirinya bersama mayat suaminya yang meninggal dunia. Mereka melihat
kepercayaan ini sebagai satu tanda pengorbanan yang mulia. Selain itu, janda juga dilarang
untuk berkahwin semula sebagai tanda kesetiaan kepada mendiang suami. Perampasan
harta pusaka keluarga daripada orang yang memeluk agama lain atau disingkirkan daripada
kasta. Hal ini bagi menanam sifat taat pada agama bagi penganut Hindu.
Semasa zaman kegemilangan tamadun India, tamadun ini telah berkembang ke
merata dunia dan dalam pada masa itu, tamadun ini telah melabuhkan pengaruh serta
kepercayaan mereka di tempat-tempat yang mereka lewati. Tanah melayu juga tidak
terkecuali. Fenomena ini berlaku hasil daripada interaksi antara tamadun. Hal ini
menjelaskan perihal fenomena pengaruh budaya india dalam kalangan masyarakat kita kini.
Malah, Negara kita Malaysia merupakan Negara majmuk yang menempatkan pelbagai
kaum dalam satu Negara. Kaum india tergolong dalam bangsa yang utama di Malaysia

selain kaum cina dan melayu. Menurut Himansu Bhusan Sarkar (1970) dalam Some
Contribution Of India To Ancient Civilization Of Indonesia And Malaysia, interaksi tamadun
India dan tamadun-tamadun Asia bermula kira-kira 2000 tahun yang lalu (Amran, 1995 :
120). Terdapat 6 faktor interaksi antara tamadun. Antaranya ialah kepimpinan, peranan
golongan agamawan, geografi, perkahwinan, perdagangan dan misi politik. Interaksi antara
tamadun india dan melayu banyak mempengaruhi budaya dan adat orang melayu yang
diamalkan pada masa kini. Sebagai contoh, adat berinai bagi pengantin baru datangnya
daripada budaya tamadun india. Selain itu juga, sebahagian ukiran-ukiran seni bina di
Malaysia turut memaparkan elemen-elemen india.
Faktor perdagangan merupakan faktor terpenting yang menggalakkan interaksi
antara tamadun india dan tamadun asia yang akhirnya membawa kepada interaksi antara
tamadun india dan tamadun melayu. Interaksi ini bermula dengan laluan Sutera yang
melintasi Asia Tengah dan jalan laut melalui Selat Melaka. Negara terawal muncul yang
mendapat pengaruh India ialah Funan sekitar akhir kurun ke-2 Masihi, bertapak di Muara
Sungai Mekong dengan pelabuhannya Oc Eo. Selain itu ada beberapa buah negeri lain
yang diandaikan muncul dan menerima pengaruh India antaranya Langkasuka, Kedah,
Kuala Selinsing dan Tanah Merah di Semenanjung, Kam-to'-li di Sumatera, Taruma di Jawa
dan Kutei di Borneo. (Hashim Hj. Musa, 2005 : 138). Pada zaman kesultanan Melayu
Melaka, pedagang India merupakan golongan pedagang yang utama. Mereka datang
daripada pesisir Koromandel, Kalingga, Benggala dan Gujerat (Cambay, Surat dan Randir).
Ada yang tinggal menetap di Melaka dan sesetengahnya berkahwin dengan wanita dari
golongan bangsawan Melayu yang seterusnya diterima dalam kalangan pembesar Melaka.
Tun Ali, anak kepada seorang pemborong permata Tamil Muslim yang telah berkahwin
dengan anak Sri Nara Diraja pada zaman Sultan Muhammad Syah (1424-1444) telah
dilantik menjadi Sri Nara Diraja menggantikan datuknya, yang seterusnya melahirkan
pembesar-pembesar dan pemerintah Melaka dari keturunan Melayu Tamil.
Kesan interaksi antara tamadun india dan tamadun melayu ini masih dapat dilihat
pada hari ini. Antara impak yang ketara ialah dalam bidang bahasa dan kesusasteraan.
Dewasa ini, kita dengan mudah menuturkan bahasa ibunda kita tanpa pernah mengambil
kira mengenai sejarah pembentukan perkataan-perkataan tersebut. Hakikatnya, sebahagian
daripada perkataan melayu yang kita tuturkan merupakan pinjaman daripada bahasa
Sanskrit. Dari segi fonologi, aspirasi /h/ dalam Sanskrit digugurkan atau dipindahkan tempat
bagi membentuk satu perkataan yang baru. Sebagai contoh, perkataan bumi berasal
daripada perkataan Sanskrit bhumi. Begitu juga bheda yang bermaksud beza, arthah yang
bermaksud harta, dan arghah yang merujuk kepada harga. Antara contoh lain ialah
panajaram yang membawa erti penjara, cakravala yang bermaksud cakerawala, dan akasah

iaitu angkasa. Selain daripada bahasa Sanskrit, kita juga turut meminjam sebahagian
perkataan daripada bahasa tamil. Ciri-ciri penyesuaian juga berlaku ke atas kata pinjaman
Tamil iaitu konsonan retrofleks, ciri kepanjangan vokal dan penggandaan konsonan
dihilangkan, contohnya ialah kendii menjadi kendi dan kappal menjadi kapal. Antara contoh
lain ialah paricai yang diubah menjadi perisai dan mutal ditukar kepada modal. Perkataanperkataan ini masih lagi digunakan secara formal atau tidak formal dalam kehidupan
seharian kita. Jika kita lihat dalam kesusasteraan Melayu terdapat pengaruh daripada tradisi
kesusasteraan India. Cerita-cerita yang bersumberkan kitab agama Hindu seperti epik Seri
Rama dan Mahabrata menarik minat masyarakat Melayu seperti cerita penglipur lara yang
dituturkan oleh tukang-tukang cerita atau melalui wayang kulit (Ismail, 1985: 111). Begitu
juga unsur mitos dan lagenda dalam karya sejarah Melayu berkaitan dengan tradisi mitos
India yang tersebar luas di Asia Tenggara sejak beberapa abad Masihi lagi. Setiap unsur
dan mitos yang digunakan dalam sejarah Melayu membawa maksud penting dalam
menggambarkan kebesaran, kemuliaan, martabat serta menunjukkan kuasa raja yang
istimewa. Contoh, unsur mitos pengembaraan Raja Suran ke dalam laut serta hubungannya
dengan lagenda puteri naga menunjukkan unsur bahawa unsur mitos tersebut dalam
Sejarah Melayu menegaskan hak kekuasaan yang sah kepada Sang Sapurba dan diwarisi
oleh raja-raja Melaka (M. Rajantheran, 1999: 143-144).
Institusi pemerintahan dan istiadat raja-raja Melayu dikatakan telah menyerap masuk
beberapa konsep kosmologi sinkretisme Hindu-Buddha untuk menubuhkan legimitasi ke
atas golongan pemerintah bangsawannya. Kerajaan di bumi dianggap bayangan kerajaan di
syurga dan raja sebagai titisan dan penjelmaan Tuhan Siva-Buddha, yang melahirkan
konsep Deva-Raja. Beberapa upacara pertabalan diraja seperti pembinaan Balai Panca
Prasada lima tingkat mewakili puncak Gunung Kosmik Mahameru, dan penggunaan
bilangan pembesar dan hulubalang 4, 16, 32 berasaskan empat kardinal penjuru alam yang
dikali dengan empat. Penggunaan nama-nama gelaran pemerintah dan pembesar negeri
seperti Duli yang Maha Mulia (Debu (di bawah tapak kaki Raja) Yang Paling Suci) Seri
Paduka Baginda (Capal Suci di bawah tapak kaki Devaraja). Nama-nama pembesar negeri
juga adalah pinjaman daripada unsur India iaitu Seri Nara Diraja yang bertugas
mengisytiharkan pelantikan Raja, Bendahara sebagai menteri, Laksamana sebagai ketua
tentera dan lain-lain (Hashim Musa, 2004 : 141).
Pengaruh india telah banyak meresap dalam adat dan budaya kaum melayu.
Pengaruh ini paling ketara dalam adat resam melayu yang membabitkan perkahwinan dan
kehamilan. Amalan-amalan seperti wanita hamil membawa pisau bagi melindunginya
daripada semangat jahat pada prinsipnya mempunyai persamaan dengan amalan orang
Hindu melindungi diri daripada sihir dan hantu-hantu yang jahat (Amran, 1995 : 136). Di

samping itu pengaruh India dalam hiburan dapat dilihat melalui tarian dan muzik yang masih
wujud dalam masyarakat Melayu antaranya ronggeng, boria, wayang kulit dan mak yong
(Afifah, 2003 : 184).

REFLEKSI

Matapelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia merupakan satu subjek yang baru
bagi kami. Bagi semester ini, kami telah diberi tugasan kerja kursus pendek. Sebagai
tugasan, kami dikehendaki memilih mana-mana dari salah satu 9 tajuk yang diberi. Kami
perlu mencari, membaca, meneliti dan mempersembahkan penemuan kami dan kisahkan ia
dalam penulisan sebagai tugasan kerja kursus pendek kami. Kesemua soalan yang diberi
berkisarkan tamadun sama ada tamadun melayu, india, cina, jepun, atau islam, dan
sebagainya. Bagi tugasan ini, saya telah memilih soalan yang kelima. Soalan ini meminta
saya menceritakan tamadun india serta unsur-unsur yang terdapat dalam tamadun india
dalam usaha membina kesejahteraan masyarakatnya. Selain itu juga saya perlu
menyelitkan kesan-kesan tamadun india yang boleh dilihat di Malaysia.
Objektif kerja kursus pendek ini ialah pelajar dapat melaksanakan tugas-tugas
berikut. Tugas tersebut ialah menyatakan secara jelas unsur-unsur dalam tamadun india
untuk membina kesejahteraan masyarakatnya dan kesan yang boleh dilihat di Malaysia.
Sepanjang saya menyiapkan tugasan ini, saya mendapati topik ini agak mudah kerana
terdapat banyak maklumat mengenai tamadun india di internet serta sumber-sumber yang
lain. Bagi unsur yang terdapat dalam tamadun india, saya mendapati sistem sosial dalam
tamadun ini agak sukar untuk dijelaskan. Hal ini kerana soalan meminta saya menjelaskan
unsur bagi membina kesejahteraan rakyat. Seperti yang kita sedia maklum, tamadun india
terkenal dengan sistem kastanya. Saya cuba mencari kelebihan yang ada pada sistem
kasta bagi membina kesejahteraan masyarakatnya namun agak sukar. Hal ini demikian
kerana sistem kasta lebih banyak membawa kesan yang negatif.
Walaubagaimanapun, saya telah banyak menimba ilmu baru sepanjang saya
menyiapkan tugasan ini. Tamadun india, topik ini telah kami pelajari sewaktu di bangku
sekolah namun pengetahuan yang ada tidaklah begitu mendalam. Melalui tugasan ini, saya
sedikit sebanyak telah mendalami pengetahuan tentang tamadun india. Sebagai seorang
bakal guru, saya perlu menyiapkan diri saya dengan pengetahuan umum serta sentiasa
berusaha meningkatkan pengetahuan saya dalam semua bidang.

RUJUKAN

Hidayah (2008) ,bab 2: interaksi antara pelbagai tamadun (melayu, china,


india). Retrieved march, 16, 2012 from
http://bmm222.blogspot.com/2008/10/bab-2-interaksi-antara-

pelbagai.html.
Bab 2: peningkatan tamadun. Retrieved march, 16, 2012 from

http://saku30.tripod.com/Bab2SEJ4.htm.
Interaksi antara tamadun. Retrieved March, 16, 2012 from
http://www.dapat.net/MYMALAYSIA/Bab%202%20Interaksi%20Antara
%20Tamadun.pdf.

You might also like