You are on page 1of 2

Sistem sokongan pada haiwan

Apa khabar semua? Maaf, lama sudah cikgu tak menaip dalam blog ni. Oh ya, selamat
berpuasa semua yang muslim. Moga amal ibadah kita dalam bulan ramadhan tahun ini lebih
baik dari tahun lalu dan dapat diteruskan pada bulan-bulan selain ramadhan.
Hari ni, cikgu nak kongsi pasal sistem sokongan pada haiwan. Sistem sokongan pada
haiwan diperlukan untuk menyokong badan, melindungi tisu dan organ, mengekalkan
bentuk pada badan serta membolehkan pergerakan berlaku. Sistem sokongan haiwan
terbahagi 3 iaitu rangka dalam (contoh: vertebrata), rangka luar (contoh: serangga) dan
rangka hidrostatik (contoh: beluncas). Haiwan vertebrata mempunyai rangka dalam
sementara invertebrata mungkin mempunyai rangka luar atau rangka hidrostatik. Vertebrata
ialah haiwan dengan tulang belakang. Invertebrata pula ialah haiwan yang tidak mempunyai
tulang belakang.
Baiklah. Kita bincang lagi ya. Rangka dalam berada di dalam badan. Semua vertebrata, iaitu
mamalia, reptilia, amfibia, burung dan ikan mempunyai rangka dalam. Rangka dalam terdiri
daripada kerangka yang diperbuat daripada tulang dan rawan. Mahu tau tak, ikan yu
mempunyai rangka dalam yang terbentuk sepenuhnya daripada rawan. Telinga dan hidung
manusia pula disokong oleh rawan. Rangka dalam berfungsi menyokong badan, melindungi
organ-organ dalam seperti otak, jantung dan peparu, mengekalkan bentuk badan,
membolehkan pergerakan melalui pengecutan dan pengenduran otot-otot yang bersambung
pada tulang, sumsum tulang pula menghasilkan sel-sel darah serta menyimpan mineral
seperti kalsium dan fosforus yang dilepaskan ke dalam aliran darah bila diperlukan.
Rangka luar invertebrata berada di luar badan. Haiwan invertebrata seperti serangga, labahlabah, lipan, udang, ketam, siput dan kerang-kerangan mempunyai rangka luar. Invertebrata
seperti serangga, labah-labah, lipan, udang dan ketam mempunyai rangka luar yang
dikenali sebagai kutikel. Kutikel ialah penutup keras dan kalis air yang terdiri daripada kitin.
Otot-otot bersambung pada bahagian dalam rangka luar. Invertebrata lain seperti siput dan
kerang-kerangan mempunyai cangkerang (keras) yang terbentuk daripada kalsium
karbonat. Rangka luar mempunyai fungsi menyokong badan, melindungi bahagian badan
yang lembut, mengekalkan bentuk badan, membolehkan pergerakan dan mencegah
kehilangan air dari badan. Oleh kerana rangka itu terdapat di luar badan, pertumbuhan
badan adalah terhad. Jadi, invertebrata yang berkutikel bersalin rangka luarnya dan
membentuk rangka baru beberapa kali sebelum mencapai peringkat dewasa. Proses
penyalinan rangka dan pembentukan rangka baru dikenali sebagai ekdisis atau bersalin
kulit. Dalam invertebrata seperti siput dan kerang-kerangan, kulit diperbesarkan dengan
menambahkan kulit baru.
Ada lagi satu jenis rangka iaitu rangka hidrostatik. Rangka hidrostatik juga dikenali sebagai

hidrorangka. Rangka hidrostatik terdiri daripada bendalir di dalam rongga badan yang
dikelilingi dinding berotot. Pengecutan dinding berotot ini menghasilkan tekanan bendalir
yang memaksa bendalir ke sebarang arah dan menyebabkan pergerakan. Rangka
hidrostatik didapati pada invertebrata berbadan lembut seperti cacing tanah, beluncas, lintah
bulan, hidra, anemon laut, ubur-ubur dan sotong kurita. Rangka hidrostatik berfungsi untuk
menyokong badan, melindungi badan yang lembut, mengekalkan bentuk badan dan
membolehkan pergerakan.
InsyaAllah, kita sambung lagi nanti ya. Cikgu nak bincang pasal sistem sokongan tumbuhan
pula. Selamat membaca dan teruskan membaca.
Posted by Cikgu Lan

You might also like