You are on page 1of 5

BAB 7: GURU SEJARAH YANG BERKESAN

Mata pelajaran Sejarah sering kali dikaitkan dengan mata pelajaran yang
membosankan dan tidak membawa apa-apa faedah. Mentaliti seperti ini menyebabkan nilai
mata pelajaran Sejarah dipandang remeh dan sering menjadi subjek yang paling tidak
digemari murid. Perkara sedemikian terjadi disebabkan oleh kaedah proses pengajaran dan
pembelajaran (PnP) yang dilaksanakan oleh guru terdahulu yang mengamalkan kaedah
tradisional ketika proses PnP. Kajian-kajian lepas membuktikan bahawa guru sering kali
menggunakan kaedah tradisional dalam proses PnP (Anuar, et al, 2009; dan Azwan, et al,
2005). Justeru, untuk memastikan proses PnP berlangsung dengan berkesan, guru Sejarah
itu sendiri perlu mempunyai beberapa ciri yang tertentu dalam memastikan keberkesanan
proses PnP. Guru Sejarah yang berkesan boleh dilihat dari segi tiga aspek utama iaitu
kemahiran, pengetahuan dan nilai.
Dari sudut kemahiran, guru Sejarah perlu mahir dalam mempelbagaikan strategi,
pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran dalam bilik darjah. Keempat-empat elemen ini
memainkan peranan yang tersendiri dalam memastikan kelangsungan proses PnP yang
berkesan. Berkesan disini bukan sahaja merujuk kepada hasil pembelajaran yang dicapai,
tetapi ia juga merujuk kepada tingkah laku murid yang terbentuk ketika proses PnP. Masalah
tingkah laku pelajar merupakan masalah yang dominan dalam proses PnP. Menurut Martin
dan Pear (2003), tingkah laku juga merangkumi aktiviti, aksi, prestasi, bertindakbalas,
tindakan, dan reaksi dari segi teknik, aktiviti yang melibatkan otot-otot, kelenjar (glandular)
oleh setiap organ. Masalah tingkah laku seperti cepat merasa bosan dan tidak berminat
terhadap pembelajaran merupakan masalah tingkah laku yang utama dalam bilik darjah. Ini
dapat dibendung dengan adanya variasi dalam kaedah PnP.
Kepelbagaian kaedah pendekatan yang digunakan akan menarik minat dan tumpuan
murid terhadap proses PnP yang berlangsung. Hal ini selanjutnya akan meningkatkan
kefahaman murid terhadap proses pembelajaran mereka. Pendidikan Sejarah memberi
penekanan terhadap pembelajaran berasaskan murid dan bahan (Chaffer & Taylor, 1975).
Hal ini bersesuaian dengan kehendak Pembelajaran Abad Ke-21 yang menitikberatkan
penglibatan aktif murid dalam proses PnP. Ini disokong oleh Subadrah & Malar (2005) yang
menyatakan penglibatan aktif seperti menyatakan idea, penulisan secara kritis boleh
meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sejarah. Oleh itu, pendekatan yang
berpusatkan murid dan merangsang minda dapat membantu pelajar memperoleh dan
menguasai pengetahuan sejarah. Pendekatan berpusatkan murid akan memudahkan murid
untuk meneroka sendiri pengetahuan dan pengalaman dalam proses PnP. Dalam situasi ini
guru hanya bertindak sebagai pemudah cara iaitu sebagai pembimbing atau fassilitator.
Dalam pada itu, perlu diketahui umum bahawa mata pelajaran Sejarah dikategorikan
sebagai suatu mata pelajaran yang amat relevan kepada kehidupan semasa keperluan

negara. Menurut Abd Rahim (1999), walaupun sejarah adalah berkaitan dengan perkara
yang sudah belaku dan berlalu, tetapi dari segi pengajarannya, pengetahuan Sejarah yang
dibincangkan dan dipelajari perlu dikaitkan dengan pelbagai perkembangan yang relevan
dengan perkembangan masa kini dan masa depan. Sejarah perlu menjadi suatu
pengetahuan yang bersifat futuristik untuk membentuk individu dan masyarakat yang tahu
menghargai sejarah bangsa dan negara. Justeru, kajian masa depan adalah salah satu
pendekatan PnP yang boleh digunakan. Kajian masa depan ialah satu pendekatan
pengajaran untuk mendidik murid agar lebih prihatin terhadap sesuatu perkara atau isu yang
berlaku pada masa lampau, masa kini, dan mada depan. Di samping itu, bagi
melengkapkan murid dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup dan membuat keputusan.
Hasilnya, murid dapat membuat ramalan, menjangka akibat, serta mengendalikan
perubahan supaya mereka mendapat manfaat yang maksimum.
Akhir sekali dalam aspek kemahiran ialah guru perlu mahir dalam penggunaan
teknologi dan maklumat. Dalam erti kata yang lain, guru perlu bergerak seiring dengan
peredaran kemajuan teknologi. Teknologi terkini perlu diaplikasi dalam proses PnP. Ini
adalah untuk menarik minat dan perhatian murid-murid untuk terus mendalami ilmu yang
dipelajari. Keupayaan guru menggunakan sumber digital sejarah dalam pengajaran dan
pembelajaran mampu menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang
memberi peluang dan ruang kepada murid untuk meneroka, mentafsir, dan mencari makna
di sebalik bahan bukti (Bolick & McGlinn, 2004; Endacott, 2010; Sandwell, 2004; Schrum,
2001). Menurut Talin (2013), beliau mendapati bahawa pelajar lebih suka guru
menggunakan bahan pengajaran selain daripada buku teks kerana mereka sendiri
mempunyai buku teks dan mereka boleh membaca buku teks itu sendiri. Mereka lebih suka
teknologi yang akan terlibat dalam pengajaran Sejarah.
Dari sudut pengetahuan, seseorang guru Sejarah yang berkesan semestinya
mempunyai kecekapan yang mendalam dalam bidang atau subjek yang diajar. Guru perlu
mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang komprehensif terhadap bidang Sejarah.
Guru seharusnya sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam subjek diajar
agar sentiasa kemaskini, menarik, bertenaga dan inspirasional (Mohamad Johdi Salleh,
2007). Ada kalanya murid bertanya perkara melebihi sukatan pelajaran atau kurikulum yang
tertera dalam buku teks. Sekiranya guru berkebolehan menjawab dengan tepat bersama
fakta dan bukti kukuh, pasti akan menimbulkan minat, keyakinan dan kecenderungan murid
untuk mengikuti lanjutan epistemologi disiplin tersebut. Adalah lebih menarik sekiranya guru
dapat menghidupkan ilmu berkenaan dan mengaitkan dalam kehidupan murid. Murid akan
melihat dan menilai ilmu yang dipelajari adalah berguna untuk dirinya pada masa ini dan
akan datang.

Hal ini ditekankan oleh Omardin & Yusuf (1996), mereka menegaskan bahawa guru
yang mengajar bidang Sejarah hendaklah terdiri daripada mereka yang mempunyai latar
belakang dan pengetahuan Sejarah yang baik dan mempunyai latihan dalam bidang itu.
Guru Sejarah berkesan mempunyai latar belakang pengetahuan sejarah yang kukuh, latihan
profesional yang mencukupi, terutama dalam bidang kurikulum dan pedagogi sejarah, sikap
yang positif terhadap peranannya sebagai guru sejarah dan sentiasa mencari jalan untuk
melengkapi dirinya dengan isu-isu yang berkaitan dengan pengajaran Sejarah. Daya
imaginasi, kreatif, kritis dan inovatif, mempunyai ciri-ciri peribadi yang menarik, aktif dan
daya kecindan (sense of humour), berupaya mengenal pasti perbezaan latar belakang murid
agar dapat menggunakan pendekatan Pelbagai Kecerdasan dalam pengajaran, berupaya
menyediakan sokongan persekitaran pembelajaran yang berkesan untuk menjayakan
Pembelajaran Luar Bilik Darjah (PLBD); menyedia dan memberi peluang belajar kepada
murid untuk menghayati mata pelajaran Sejarah.
Pengajaran Sejarah yang berkesan bergantung kepada sikap, keupayaan,
kemahiran dan pengetahuan guru itu sendiri. Berdasarkan Brown (1980), menguasai
Kurikulum Sejarah bukanlah merupakan perkara yang sukar tetapi kelemahan sebenar
terletak pada cara penyampaiannya. Oleh sebab itu, kaedah pengajaran guru tidak
berkesan menjadi punca utama murid kurang berminat terhadap mata pelajaran Sejarah.
Dalam pada itu guru Sejarah perlu berusaha menggunakan sumber pembelajaran dan
keupayaan yang maksimum, sentiasa membuat penilaian kendiri dan kajian tindakan
berdasarkan kekuatan dan kelemahan pengajaran dan pembelajaran, mempunyai
kemahiran mengurus bilik darjah dengan cekap dan berkesan, lawatan dan pengajaran
secara kumpulan dengan berkesan, melaksanakan pembelajaran berasaskan aktiviti dan
pembelajaran berasaskan pemikiran, mengurus bahan pembelajaran yang diperlukan dan
merancang program atau aktiviti secara sistematik serta peka kepada perubahan terkini
seperti penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) serta Pembelajaran Abad
Ke-21.
Akhir sekali dari sudut nilai, guru Sejarah yang berkesan perlu bijak dalam
menerapkan nilai-nilai murni dalam proses PnP Sejarah. Guru Sejarah dilihat sebagai
contoh ikutan yang positif dalam kalangan murid. Pengajaran nilai dalam PnP Sejarah boleh
diterapkan dalam dua kaedah iaitu samada implisit atau eksplisit. Menurut Chaffer & Taylor
(1975), proses pengajaran yang berkesan dapat dilihat dari aspek dinamik di dalam bilik
darjah iaitu penglibatan aktif murid secara kolaborasi dalam kumpulan bersama rakan
sebaya. Ini secara tidak langsung akan menerapkan nilai-nilai murni seperti bekerjasam dan
bertolak ansur dalam PnP Sejarah. Proses PnP bukan sahaja berlaku melalui apa yang

telah termaktub di dalam kurikulum, ianya menjangkaui kurikulum iaitu meliputi segenap
aspek kehidupan.
Matlamat utama mata pelajaran Sejarah diajar di sekolah adalah untuk memupuk
dan memperkukuh semangat setia negara dan jati diri sebagai warganegara Malaysia yang
bersatu padu. Di pada itu, melalui mata pelajaran Sejarah juga dapat mewujudkan
pembinaan negara bangsa Malaysia, semangat patriotisme, kekitaan dan persefahaman
antara kaum. Oleh itu adalah penting bagi guru sejarah membangkitkan semangat,
memupuk kesedaran, menyuburkan idealisme, dan membina wawasan bersama dalam
pengajaran dan pembelajaran sejarah di bilik darjah, mempunyai kewibawaan dan karisma
sebagai guru dan pemimpin pendidikan yang berkesan dalam pengajaran mata pelajaran
Sejarah. Menurut Omardin & Yunus (1996), guru perlu menonjolkan ciri-ciri personal yang
berkesan seperti ikhlas, mesra, penyayang, ceria, tenang, berfikiran positif dan terbuka,
bijak, bertimbang rasa, bermotivasi tinggi, mempunyai wawasan dan inspirasi serta
berkebolehan menjana perubahan dan kemajuan diri murid. Guru mempunyai Kemahiran
Pemikiran Sejarah (KPS), kebolehan berhujah, kemampuan menjana dan mencetuskan
pemikiran aras tinggi, berpengetahuan yang luas, dedikasi terhadap tugas pengajaran,
minat dan dorongan profesional bagi memaju dan meningkatkan kualiti pengajaran. KPS ini
juga seterusnya perlu dipupuk dan disemai dalam kalangan murid agar murid mempunyai
kebolehan pemikiran bertaraf dunia kelas pertama.
Sebuah negara yang disegani di dunia memiliki satu ketamadunan yang mempunyai
masyarakat yang berdisiplin, berhemah tinggi berilmu, beriman, bertaqwa serta berakhlak
mulia, masih lagi menyimpan hasrat murni pendidikan iaitu pembinaan kualiti akhlak
terunggul atau towering personality bagi memastikan kejayaan pembentukan bangsa yang
cemerlang, gemilang dan terbilang (Feiman-Nemser & Parker, 1990). Menurut Abdul Shukor
(1998), Sejarah dapat mewujudkan kebanggaan dan keperibadian bangsa Malaysia.
Manakala Subadrah & Malar (2005), menjelaskan bahawa pendidikan Sejarah juga penting
dalam usaha melahirkan warganegara yang setia dan cintakan negara. Demi mencapai
pembentukan akhlak terunggul, ianya memerlukan kegemilangan ilmu dan pendidikan bagi
menjadi pemangkin kepada kemakmuran dan kemajuan. Sejarah telah membuktikan
bahawa kegemilangan sesebuah negara bergantung kepada kecemerlangan rakyatnya dan
orang yang berperanan besar mewujudkan kegemilangan tersebut, ialah guru. Justeru,
seorang guru itu perlulah sentiasa mempersiapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan dan
kemahiran yang tinggi bagi mendepani sebarang bentuk kemungkinan dalam dunia
pendidikan. Dalam pada itu, guru juga perlu bergerak seiringan dengan arus permodenan
teknologi maklumat agar ianya dapat diadaptasikan ke dalam proses PnP kelak.

You might also like