You are on page 1of 1

Kisah Pengislaman Saidina Umar R.A.

Saidina Umar Al-Khattab R.A. merupakan Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua selepas Saidina Abu
Bakar As-Siddiq R.A. Nama sebenar beliau adalah, Umar Bin Al-Khattab Bin Nufail Bin Abdul
Uzza. Beliau berasal daripada bangsa Arab Quraisy dari keturunan Bani Adi dan dilahirkan
pada tahun 583 M iaitu 13 tahun selepas kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

Saidina Umar R.A. merupakan seorang yang tegas dan berani serta lantang dalam berbicara
dan menyatakan pendapat. Selain itu juga, beliau juga merupakan antara sahabat Nabi S.A.W
yang dijamin syurga dan merupakan bapa mertua kepada Nabi S.A.W kerana Nabi S.A.W telah
mengahwini puteri beliau yang bernama Hafsah.

Saidina Umar Al-Khattab diberi gelaran oleh Rasulullah S.A.W sebagai al-Farouq yang
bermakna yang membezakan di antara yang benar dan yang batil. Beliau memeluk Islam
dengan menyatakan keislaman beliau di hadapan Nabi S.A.W pada tahun ke-6 kenabian dan
berita keislaman beliau pada ketika itu telah tersebar di kalangan masyarakat Arab dan telah
berjaya menguatkan lagi semangat dan perjalanan dakwah masyarakat Islam pada ketika itu
dengan kisah pengislaman beliau. Terdapat hadis yang menceritakan mengenai Rasulullah
SAW pernah berdoa ; Ya Allah kuatkan Islam ini dengan salah seorang dari dua orang yang
paling engkau cintai iaitu Umar Bin al-Khattab atau Abu Jahal Bin Hisyam Hadis Riwayat
Imam Tirmidizi.

Kisah pengislaman Saidina Umar R.A. ini bermula apabila Islam telah mula disebarkan oleh
Rasulullah S.A.W, antara yang memeluk Islam pada masa tersebut adalah Fatimah yang
merupakan adik kepada Umar al-Khattab R.A serta suaminya Said Bin Zaid dan pada masa itu
agama Islam disebarkan secara tertutup dan rahsia. Apabila Umar al-Khattab R.A. mendengar
perkhabaran mengenai pengislaman adik kandung beliau, beliau berasa amat marah dan
bergegas ke rumah Fatimah untuk bertanyakan mengenai berita pengislaman yang
dikahabarkan kepada beliau.

Namun, hati beliau akhirnya tunduk kepada keindahan Islam apabila mendengar bacaan ayat
al-Quran daripada surah Thaha yang akhirnya membuatkan hati beliau kagum dengan
keindahan Islam dan meminta dibawa berjumpa Rasulullah S.A.W dan telah mengisytiharkan
pengislaman beliau di hadapan Rasulullah S.A.W.

Dengan pengislaman dan penghijrahan Saidina Umar al-Khattab ia telah membawa satu
dimensi baru bagi dunia Islam pada ketika itu yang mana dakwah tidak lagi dilakukan secara
sulit lagi dan umat Islam dapat mendirikan solat secara terbuka di Masjid al-Haram tanpa perlu
lagi merasa takut dan bimbang dengan ancaman kafir quraisy. Begitulah kisah seorang amirul
mukminin yang telah dikurniakan Allah S.W.T cahaya petunjuk dan keimanan di dalam hati
beliau yang akhirnya telah melembutkan hati beliau untuk memilih Islam sebagai pegangan
hidup dan dimuliakan kerana Islam.

You might also like