You are on page 1of 27

DALAM MAHKAMAH SESYEN DI MELAKA

DI DALAM NEGERI MELAKA, MALAYSIA


KES JENAYAH NO. : 62RS-06-04 TAHUN 2015

Antara

MOHAMED IWAN ROSS BIN MOHAMED YUSOF

Dan

PENDAKWA RAYA

ALASAN PENGHAKIMAN

1. Latar Belakang Kes.

[1] Orang Kena Tuduh (OKT) telah dituduh di Mahkamah ini atas
pertuduhan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan seperti
berikut :

Bahawa kamu bersama seorang yang masih bebas, pada


18/04/2013, jam lebih kurang 1.55 pagi, di Kedai 7Eleven
Plaza Pandan Malim, di dalam Daerah Melaka Tengah, di
Negeri Melaka, telah melakukan rompakan ke atas harta
alih merupakan (9) kotak pelbagai jenis, (293) pelbagai
jenis pemetik api, pelbagai jenis makanan, dan wang
tunai berjumlah RM171.15 dari milikan 7Eleven Malaysia
Sdn. Bhd. dianggarkan bernilai lebih kurang RM1,997.74.
Oleh itu kamu telah melakukan kesalahan di bawah
Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di
bawah peruntukan yang sama.

1 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


[2] OKT telah meminta dibicarakan atas pertuduhan tersebut dan
di akhir kes pendakwaan, saya telah memutuskan bahawa pihak
Pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie bagi
pertuduhan ke atas OKT tersebut dan OKT telah diperintahkan
untuk membela diri. Dalam perbicaraan di peringkat kes
pembelaan, OKT telah memberikan keterangan bersumpah dan
tiada saksi lain yang telah dipanggil untuk memberikan keterangan
bagi pihak Pembelaan.

[3] Di akhir kes pembelaan, saya memutuskan bahawa OKT


telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah
terhadap kes pendakwaan dan secara keseluruhannya, saya
memutuskan bahawa pihak Pendakwaan telah berjaya
membuktikan pertuduhan terhadap OKT ini melampaui keraguan
yang munasabah dan OKT telah didapati bersalah dan disabitkan
atas pertuduhan di bawah seksyen 395 Kanun Keseksaan tersebut.
Selepas mendengar hujahan untuk hukuman oleh kedua-dua pihak,
saya telah menjatuhkan hukuman penjara selama 9 tahun dan 1
sebatan rotan ke atas OKT dan hukuman penjara tersebut bermula
dari tarikh OKT ditangkap.

[4] OKT tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah atas


kedua-dua sabitan dan hukuman dan telah memfailkan Notis
Rayuan atas keputusan tersebut. Alasan-alasan bagi keputusan
Mahkamah ini adalah seperti yang dinyatakan seterusnya.

2. Fakta Kes Pendakwaan.

2 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


[5] Di peringkat kes pendakwaan, sembilan orang saksi telah
dipanggil memberikan keterangan. Secara ringkasnya fakta kes
pendakwaan menunjukkan pada 18hb. April 2013, lebih kurang
pukul 1.55 pagi, pengadu (SP5) dan rakan sekerjanya (SP3)
sedang bertugas di 7Eleven Plaza Pandan Malim, Melaka. Ketika
SP3 sedang bertugas di bahagian hadapan dan SP5 pula sedang
bertugas di dalam stor di bahagian belakang 7Eleven itu, pada
masa itu, seorang lelaki Melayu iaitu OKT di dalam kes ini, telah
masuk ke dalam 7Eleven itu dengan memakai jaket berwarna biru
putih dan topi berwarna putih. Selain daripada itu, lelaki itu (OKT)
juga dikesan mempunyai tatu di pergelangan tangan kirinya.
Setelah OKT masuk dan berada berhampiran kaunter hadapan,
OKT dengan nada yang kasar telah mengarahkan SP3 untuk
memasukkan rokok dan cerut ke dalam plastik.

[6] Apabila SP3 telah diarahkan sedemikian oleh OKT, SP3 yang
berasa takut telah menurut sahaja arahan OKT. Semasa SP3
sedang membungkuskan barang-barang seperti yang diarahkan
oleh OKT itu, SP5 telah datang dari arah stor di bahagian belakang
7Eleven selepas SP5 mendengar loceng yang dibunyikan oleh SP3
dari kaunter hadapan. Apabila SP5 sampai ke bahagian hadapan,
SP5 nampak OKT sedang mengisi cerut dan pemetik api ke dalam
plastik dan apabila OKT melihat SP5 memandangnya, OKT telah
berkata dengan nada yang kasar apa pandang-pandang, nak kena
tembak? Sejurus selepas itu, OKT telah mengajak SP5 untuk ke
bahagian belakang dan selepas OKT menggelidah di dalam stor
beberapa ketika, OKT telah membawa SP5 ke bahagian hadapan
dan OKT turut mengarahkan SP5 untuk membungkus barang dan
dimasukkan ke dalam plastik.

3 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


[7] Selain daripada itu, semasa OKT berada di dalam 7Eleven
itu, OKT juga telah mengarahkan SP3 dan SP5 untuk membuka
kedua-dua mesin wang di kaunter tersebut yang ketika itu
dianggarkan mengandungi wang tunai sebanyak lebih kurang
RM190.00. Seterusnya, OKT telah turut mengarahkan SP3 dan
SP5 untuk membuka peti simpanan duit yang berada di bahagian
bawah kaunter itu tetapi SP5 memaklumkan kepada OKT yang dia
dan SP3 tidak mempunyai kunci peti wang itu kerana kunci
disimpan oleh pengurus mereka. Ini menyebabkan OKT naik marah
dan OKT telah menjatuhkan kedua-dua mesin wang itu selain OKT
turut menjatuhkan mesin fotostat, pastry warmer dan menjatuhkan
barang-barang di dalam premis itu.

[8] Selepas itu, OKT telah keluar dari 7Eleven itu dengan
membawa barang-barang dan memasukkan ke dalam bonet kereta
Vios yang menunggu di luar premis tersebut sebelum OKT masuk
semula ke dalam premis itu. Selepas lebih kurang 20 minit kejadian
itu, OKT telah pergi dari tempat kejadian dengan menaiki kereta
Vios yang sedia menunggu di luar 7Eleven itu sebelum pihak Polis
sampai di tempat kejadian.

[9] Keseluruhan kejadian yang berlaku dalam 7Eleven tersebut


telah dirakamkan melalui 4 kamera CCTV di dalam premis tersebut
dan rakaman CCTV tersebut telah diserahkan kepada Pegawai
Penyiasat (SP9). Siasatan di tempat kejadian juga telah
menemukan cap jari di cermin pintu hadapan 7Eleven tersebut
dan hasil analisa oleh pemeriksa cap jari (SP4) terhadap cap jari

4 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


yang dikesan di pintu masuk premis tersebut mendapati ia
berpadanan dengan cap jari milik OKT.

[10] Berikutan kejadian itu, laporan polis (eksibit P6) telah dibuat
oleh SP5 pada hari kejadian. Di dalam P6 tersebut, SP5 telah
melaporkan mengenai kejadian serta kerosakan dan kehilangan
barang-barang termasuk wang tunai dalam kejadian itu yang
dinilaikan keseluruhannya berjumlah RM1997.75.

[11] Seterusnya, pada 14hb. Jun, 2013, OKT telah ditangkap oleh
SP8 dan selepas tangkapan dibuat, satu sesi kawad cam telah
dijalankan dan OKT telah dicamkan oleh SP3 sebagai suspek yang
telah melakukan rompakan di 7Eleven itu dan setelah selesai
siasatan, OKT telah dituduh di Mahkamah ini di bawah Seksyen
395 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rompakan
berkumpulan.

3. Elemen-Elemen Kesalahan Di Bawah Seksyen 395


Kanun Keseksaan.

[12] Untuk membuktikan pertuduhan di bawah Seksyen 395


Kanun Keseksaan, adalah penting untuk merujuk kepada
peruntukan berkenaan jenayah rompak dan rompak berkumpulan di
bawah Seksyen 390 dan 391 Kanun Keseksaan.
[13] Seksyen 390(1) Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa
di dalam segala jenis rompak, ianya sama ada curi atau
pemerasan dan Seksyen 390(2) Kanun Keseksaan pula
memperuntukkan bahawa curi adalah rompak jika di dalam
melakukan curi itu, pesalah itu dengan sengaja menyebabkan atau

5 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


cuba menyebabkan kematian atau kecederaan atau halangan salah
atau ketakutan pembunuhan serta merta, atau cedera serta merta
atau halangan salah serta merta berlaku.

[14] Seterusnya Seksyen 391 Kanun Keseksaan


memperuntukkan bahawa apabila dua orang atau lebih bersesama
melakukan rompak dan orang yang hadir serta membantu
melakukan atau mencuba melakukan rompak, maka tiap-tiap orang
yang melakukan, mencuba melakukan atau membantu demikian itu
adalah dikatakan melakukan rompak berkumpulan.

[15] Dengan merujuk kepada peruntukan di bawah Seksyen 390


dan 391 Kanun Keseksaan tersebut, maka bagi maksud
pertuduhan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan terhadap
OKT di dalam kes ini, elemen-elemen yang perlu dibuktikan oleh
pihak pendakwaan adalah seperti berikut :

(a) Bahawa OKT telah hadir bersama seorang atau lebih di


tempat kejadian dan melakukan rompakan berkumpulan ke
atas mangsa ;

(b) Bahawa rompakan berkumpulan itu dilakukan dengan cara


mencuri harta mangsa ;
(c) Bahawa semasa melakukan perbuatan mencuri harta mangsa
itu, OKT telah menyebabkan ketakutan kepada mangsa
bahawa pembunuhan atau kecederaan atau halangan salah
serta merta berlaku.

Elemen (a) :

6 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


[16] Mengenai elemen (a), keterangan saksi-saksi pendakwaan
iaitu SP3 dan SP5 jelas menunjukkan bahawa SP3 dan SP5 dapat
mengecam OKT sebagai lelaki yang telah melakukan rompakan di
7Eleven tersebut berdasarkan raut wajah, bentuk fizikal serta kesan
tatu di lengan kiri OKT. Keterangan ini turut disokong oleh rakaman
CCTV serta kesan cap jari OKT yang ditemui di pintu masuk ke
7Eleven tersebut yang mengesahkan kehadiran OKT di tempat
kejadian.

[17] Meskipun isu pengecaman dan rakaman CCTV tersebut telah


dicabar oleh pihak Pembelaan, namun saya berpendapat
berdasarkan keterangan yang telah dikemukakan di Mahkamah,
SP3 dan SP5 telah berjaya membuat pengecaman yang positif
terhadap OKT. Kehadiran OKT di tempat kejadian juga telah
disokong oleh penemuan kesan cap jari OKT di pintu masuk premis
tersebut. Oleh itu, saya mendapati tiada keraguan yang dapat
dibangkitkan berhubung kehadiran OKT di premis berkenaan pada
masa kejadian itu.

[18] Seterusnya, mengenai kehadiran orang lain yang bersama-


sama OKT melakukan jenayah rompak itu, keterangan SP3
menunjukkan dia nampak OKT memasukkan barang-barang ke
dalam kereta jenis Vios berwarna putih dan semasa beredar dari
tempat kejadian, OKT telah menaiki kereta Vios tersebut.
Keterangan SP5 pula menunjukkan semasa OKT keluar dari
7Eleven untuk beredar dari situ, SP5 nampak OKT masuk ke
bahagian penumpang hadapan kereta itu sebelum kereta itu pergi
dari tempat kejadian. Ini menunjukkan terdapat orang lain yang

7 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


berada di kerusi pemandu dan telah memandu kereta tersebut
untuk pergi dari tempat kejadian itu.

[19] Berdasarkan kepada keterangan oleh SP3 dan SP5 tersebut,


saya berpuashati bahawa selain daripada OKT, terdapat orang lain
yang telah hadir bersama OKT ke tempat kejadian untuk melakukan
rompakan berkumpul di dalam kes ini. Oleh itu, elemen (a) iaitu
OKT telah hadir bersama seorang atau lebih di tempat kejadian dan
melakukan rompakan berkumpulan ke atas mangsa tersebut telah
berjaya dibuktikan oleh pihak Pendakwaan.

Elemen (b) :

[20] Berkaitan elemen (b) ini, Seksyen 390(1) Kanun Keseksaan


jelas menyatakan di dalam segala jenis rompak, ianya sama ada
curi atau pemerasan. Di dalam kes ini, laporan polis (P6) yang
dibuat oleh SP5 serta keterangan lisan oleh SP3 dan SP5 semasa
perbicaraan jelas menunjukkan terdapat barang-barang yang telah
dilarikan oleh OKT semasa kejadian rompakan itu termasuk wang
tunai yang berada dalam mesin wang di kaunter bayaran. Ketika
kejadian, SP3 dan SP5 sendiri telah melihat OKT keluar dari
7Eleven itu dengan membawa barang-barang dan memasukkan
barang-barang tersebut ke dalam kereta yang menunggu di luar
premis itu sebelum OKT masuk semula ke dalam premis itu.
Barang-barang yang hilang atau dilarikan itu juga telah dikenalpasti
selepas kejadian dan barang-barang tersebut adalah seperti yang
dinyatakan di dalam laporan polis (P6) yang dibuat oleh SP5
selepas kejadian itu.

8 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


[21] Isu mengenai barang-barang yang hilang dan nilai kerugian
ini juga telah dicabar oleh pihak Pembelaan yang mendakwa
bahawa pihak Pendawaan telah gagal membuktikan jumlah
kerugian barang-barang dan wang tunai seperti yang dinyatakan di
dalam pertuduhan. Mengenai isu ini, saya berpendapat fakta
mengenai kehilangan wang tunai dan barang-barang itu telahpun
dibuktikan melalui keterangan SP3 dan SP5 serta pengiraan yang
telah dibuat selepas kejadian itu yang telah disahkan oleh pengurus
7Eleven tersebut (SP7).

[22] Dalam keterangan oleh SP3 dan SP5, kedua-dua saksi


tersebut telah mengesahkan bahawa OKT telah membawa keluar
barang-barang dari 7Eleven itu dan telah memasukkannya ke
dalam kereta yang menunggu di luar premis dan dibawa pergi.
Keterangan SP3 dan SP5 tersebut adalah cukup untuk
membuktikan sememangnya ada barang-barang milik 7Eleven
tersebut yang telah dilarikan dalam kejadian itu. Selanjutnya,
perbuatan OKT yang melarikan barang-barang tersebut tanpa
kebenaran pemiliknya jelas merupakan satu perbuatan mencuri
seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 378 Kanun Keseksaan.

[23] Atas fakta yang telah diterima bahawa terdapatnya barang-


barang dan wang tunai yang telah dilarikan oleh OKT dalam
kejadian itu, saya berpendapat dan memutuskan bahawa pihak
Pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen (b) iaitu rompakan
berkumpulan itu telah dilakukan dengan cara mencuri harta
mangsa.

Elemen (c) :

9 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


[24] Seterusnya mengenai elemen (c), Seksyen 390(2) Kanun
Keseksaan memperuntukkan bahawa curi adalah rompak jika di
dalam melakukan curi itu, pesalah itu dengan sengaja
menyebabkan atau cuba menyebabkan kematian atau kecederaan
atau halangan salah atau ketakutan pembunuhan serta merta, atau
cedera serta merta atau halangan salah serta merta berlaku. Oleh
itu, untuk membuktikan bahawa perbuatan curi itu adalah rompak,
pihak Pendakwaan di dalam kes ini perlu membuktikan bahawa
semasa OKT melakukan perbuatan mencuri harta mangsa itu, OKT
telah menyebabkan ketakutan kepada mangsa bahawa
pembunuhan atau kecederaan atau halangan salah akan berlaku
serta merta semasa kejadian itu.

[25] Dalam perbicaraan dan hujahan oleh pihak Pembelaan,


peguam OKT yang terpelajar telah mencabar bahawa kejadian
yang berlaku di dalam kes ini bukanlah satu kejadian rompakan
yang biasa terjadi sebaliknya lebih kepada satu kejadian membuat
kacau sahaja. Ini kerana, rakaman CCTV kejadian sepanjang
tempoh 20 minit itu tidak menunjukkan berlakunya keadaan yang
cemas dan tegang atau keadaan yang menunjukkan SP3 dan SP5
berada dalam ketakutan sebaliknya kedua-dua SP3 dan SP5 dilihat
bebas bergerak di dalam premis itu tanpa dihalang atau dikawal
oleh OKT.

[26] Isu bahawa SP3 dan SP5 bebas bergerak dan tidak dikawal
serta tiadanya situasi cemas semasa kejadian tersebut telah
dibangkitkan oleh pihak Pembelaan ketika SP3 dan SP5
memberikan keterangan. Untuk menyokong dakwaan bahawa

10 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


kejadian ini bukan satu kejadian rompakan, pihak Pembelaan turut
membangkitkan mengenai kehadiran seorang lelaki India yang
dilihat dua kali keluar masuk ke dalam 7Eleven semasa kejadian itu
seperti yang dapat dilihat dalam rakaman CCTV di premis itu.
Apatah lagi, SP3 dan SP5 turut bersetuju bahawa mereka
berpeluang untuk meminta bantuan semasa kejadian itu tetapi tidak
mengambil peluang tersebut.

[27] Justeru itu, peguam OKT yang terpelajar telah berhujah


bahawa kejadian ini hanyalah satu kejadian OKT membuat kacau
dengan menjatuhkan barang-barang dan peralatan di dalam
7Eleven tersebut setelah permintaan OKT untuk membeli rokok
tidak diendahkan oleh SP3. Dalam keadaan ini, pihak Pembelaan
telah memohon supaya Mahkamah dapat mempertimbangkan agar
pertuduhan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan terhadap
OKT ini dipinda kepada pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun
Keseksaan.

[28] Mengenai isu ini, saya telah merujuk kepada keterangan SP3
dan SP5 ketika perbicaraan. Dalam keterangan SP3, saya dapati
walaupun SP3 mengakui yang dia dilihat tidak cemas dan bebas
bergerak serta tidak dikawal oleh OKT semasa kejadian itu, namun
SP3 telah menjelaskan yang dia berasa takut ketika kejadian itu
dan dia tidak lari untuk mendapatkan bantuan kerana dia nampak
kereta Vios yang menunggu di hadapan 7Eleven itu yang
menyebabkannya takut untuk lari kerana SP3 bimbang sesuatu
akan terjadi kepada dirinya. Selain daripada itu, SP3 turut
menjelaskan yang dia rasa OKT berkemungkinan ada membawa
senjata kerana OKT ada mengugut untuk menembak semasa SP5

11 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


keluar dari bahagian belakang 7Eleven itu dan memandang ke
arah OKT yang sedang membungkus barang-barang ketika
kejadian itu.

[29] Seterusnya, saya telah merujuk kepada keterangan SP5 dan


saya dapati SP5 dalam keterangannya turut menyatakan selepas
dia mendengar loceng yang dibunyikan oleh SP3 dari kaunter
hadapan, SP5 telah pergi ke bahagian hadapan 7Eleven itu.
Apabila SP5 sampai ke bahagian hadapan, SP5 nampak OKT
sedang mengisi cerut dan pemetik api ke dalam plastik dan apabila
OKT melihat SP5 sedang memandangnya, OKT telah berkata
dengan nada yang kasar apa pandang-pandang, nak kena
tembak?

[30] Selain daripada itu, SP5 turut menyatakan walaupun dia


mengakui tidak dikawal oleh OKT dan berpeluang untuk menelefon
Polis semasa SP5 kembali ke stor ketika kejadian itu, namun SP5
menjelaskan yang dia tidak menelefon pihak Polis kerana dia tidak
perasan nombor Balai Polis yang ada dilekatkan di dalam stor itu
kerana SP5 berada dalam keadaan cemas dan SP5 juga takut
kalau-kalau OKT akan masuk semula ke dalam stor itu. Oleh itu,
SP5 sama sekali tidak bersetuju yang dia tidak berada dalam situasi
yang cemas dan tegang pada masa kejadian itu.

[31] Berdasarkan keterangan oleh SP3 dan SP5 tersebut, saya


berpendapat walaupun apa yang dilihat dalam rakaman CCTV
tersebut seolah-olah menunjukkan SP3 dan SP5 tidak dikawal oleh
OKT dan tidak berada dalam dalam situasi cemas dan masih bebas
bergerak di dalam 7Eleven tersebut, namun itu tidak bermakna SP3

12 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


dan SP5 tidak dikawal oleh OKT dan tidak berada dalam ketakutan
bahawa keselamatan diri mereka sedang terancam. Ini kerana,
keterangan SP3 dan SP5 dan jelas menunjukkan OKT ada
mengeluarkan kata-kata ugutan untuk menembak yang
menunjukkan OKT berkemungkinan ada membawa senjata api itu.
Keadaan ini jelas telah mendatangkan ketakutan kepada SP3 dan
SP5 walaupun tiada senjata api yang ditunjukkan kepada SP3 dan
SP5 ketika kejadian itu.

[32] Dalam keadaan ini, saya memutuskan bahawa semasa


kejadian OKT mengambil barang-barang dan wang di dalam
7Eleven itu, OKT sememangnya telah mendatangkan ketakutan
kepada SP3 dan SP5 bahawa satu pembunuhan atau kecederaan
serta merta akan berlaku apabila OKT mengugut untuk menembak
SP3 dan SP5 pada masa itu. Oleh itu saya memutuskan bahawa
kejadian ini bukanlah satu kejadian OKT membuat kacau semata-
mata seperti yang dicadangkan oleh pihak Pembelaan sebaliknya ia
adalah satu kejadian rompakan berdasarkan fakta bahawa OKT
telah mendatangkan ketakutan akan berlaku kematian atau
kecederaan kepada SP3 dan SP5 semasa melakukan perbuatan
mencuri di 7Eleven itu. Atas alasan ini, saya memutuskan bahawa
elemen (c) tersebut telah berjaya dibuktikan oleh pihak
Pendakwaan.

4. Keputusan Di Akhir Kes Pendakwaan.

[33] Dalam membuat keputusan di akhir kes pendakwaan, saya


telah mengikuti prinsip-prinisip yang telah digariskan di dalam kes-
kes LOOI KOW CHAI & ORS v. PP (2003) 1 CLJ 734,

13 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


PENDAKWA RAYA v. MOHD RADZI BIN ABU BAKAR (2005) 6
AMR 203 dan BALACHANDRAN v. PP (2005) 2 MLJ 301 sebelum
memutuskan sama ada pihak Pendakwaan telah berjaya
membuktikan kes prima facie atau sebaliknya.

[34] Di dalam kes ini, saya telah memutuskan bahawa pihak


Pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen-elemen kesalahan
terhadap OKT bagi pertuduhan di bawah Seksyen 395 Kanun
Keseksaan sepertimana yang telah dijelaskan di atas. Justeru itu, di
akhir kes pendakwaan ini, saya telah membuat satu penilaian yang
maksimum dan memutuskan bahawa pihak Pendakwaan telah
berjaya membuktikan satu kes prima facie bagi pertuduhan
terhadap OKT di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan
sepertimana di dalam pertuduhan dan dengan itu OKT telah
diperintahkan untuk membela diri atas pertuduhan tersebut.

[35] Dalam memanggil OKT untuk membela diri ini, saya juga
telah merujuk kepada kes JUNAIDI BIN ABDULLAH v. PP (1993) 4
CLJ 201 dimana Mahkamah Agung telah menyatakan :
By calling an accused to enter his defence, the trial
judge must on evaluation of the evidence, have been
satisfied that the prosecution has, at that stage of the
trial, established a prima facie case which if unrebutted
would warrant a conviction of the accused. To arrive at
such conclusion, it is inherent that the Judge must
consider all the evidence adduced by the prosecution as
tested in the cross examination, on a prima facie basis.

5. Kes Pembelaan.

14 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


[36] Setelah OKT diperintahkan untuk membela diri, OKT telah
memilih untuk memberikan keterangan membela diri secara
bersumpah dan tiada saksi lain yang telah dipanggil untuk
memberikan keterangan di peringkat kes pembelaan ini. Dalam
keterangannya, OKT menyatakan pada bulan April 2013, OKT
tinggal di Bangi Selangor. Pada 17hb. April, 2013, pada sebelah
malam, OKT telah disuruh oleh ibunya untuk pergi ke Melaka
dengan tujuan untuk mengambil air perubatan untuk arwah isteri
OKT yang ketika itu mengidap sakit sawan.

[37] Pada malam itu, OKT telah pergi seorang diri ke Melaka
dengan menaiki kereta jenis Viva berwarna putih kepunyaan
ayahnya dan tempat untuk OKT mengambil air perubatan itu adalah
di sebuah rumah di Kampung Ulu, Melaka. Walau bagaimanapun,
setelah OKT sampai di Melaka, OKT tidak dapat mencari rumah di
Kampung Ulu tersebut sebaliknya OKT telah sampai di Malim pada
awal pagi 18hb. April 2013 itu. Setelah tiba di Malim, OKT telah
pergi ke 7Eleven yang terletak dalam 1 deretan kedai dan OKT
telah masuk ke dalam 7Eleven itu dengan tujuan untuk membeli
rokok.

[38] Semasa OKT masuk ke dalam 7Eleven itu, fikiran OKT


sedang bercelaru, marah dan letih kerana OKT tidak jumpa tempat
yang emaknya suruh pergi mengambil air ubat itu. Setelah OKT
berada di dalam 7Eleven itu, dia telah meminta rokok Dunhill
daripada pekerja 7Eleven itu tetapi pekerja itu buat endah tak
endah sahaja. Ini menyebabkan OKT jadi marah dan telah meminta
beg plastik daripada pekerja itu lalu OKT telah mengambil barang-

15 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


barang dan memasukkannya ke dalam plastik. Selain itu, OKT telah
menjatuhkan barang-barang dan telah selerakkan barang-barang di
dalam 7Eleven itu.

[39] Dalam keterangannya, OKT menjelaskan yang barang-barang


yang telah dimasukkannya ke dalam plastik itu telah dibuang oleh
OKT di luar 7Eleven itu dengan meneraburkannya di kaki lima
7Eleven itu. Perbuatan itu dilakukan oleh OKT akibat perasaan
marahnya kepada pekerja 7Eleven yang telah buat endah tak
endah kepada OKT itu. Akibat rasa marahnya juga, OKT telah
mengarahkan pekerja 7Eleven itu untuk menghubungi pengurus
7Eleven tersebut dan meminta pengurus datang ke situ dan
semasa menunggu pengurus itu datang, OKT ada berkata kepada
pekerja 7Eleven itu biar saya ajar macam mana nak buat kerja.
Walau bagaimanapun, pengurus 7Eleven itu tidak datang dan OKT
kemudiannya telah beredar dari 7Eleven itu dan balik ke Bangi.

[40] Menurut OKT, perbuatannya yang menyelerakkan 7Eleven itu


berlaku dalam tempoh lebih kurang 10 minit dan semasa OKT
berada dalam 7Eleven itu, seorang lelaki India telah masuk tetapi
OKT tidak bercakap apa-apa dengan lelaki India itu. OKT turut
menyatakan yang dia tidak ada membuat apa-apa ancaman ke atas
kedua-dua pekerja di 7Eleven itu dan tidak juga menggunakan apa-
apa senjata pada masa itu. Selain itu, OKT turut menafikan yang
dia ada menyuruh pekerja 7Eleven itu untuk mengeluarkan wang
dari mesin wang dan memasukkan barang-barang ke dalam plastik.
Menurut OKT lagi, semasa dia pergi dari 7Eleven itu, OKT tidak
mengambil apa-apa wang atau membawa apa-apa barang pergi

16 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


dari 7Eleven itu. Sebaliknya, semua barang-barang telah
disepahkan di luar 7Eleven itu.

[41] Seterusnya OKT menyatakan yang dia telah ditangkap pada


28hb. April 2013 berkaitan 1 kes senjata api di Kuala Lumpur dan
pada bulan Jun, 2013, OKT telah ditangkap berkait dengan kejadian
di 7Eleven di Malim, Melaka ini berikutan pengesahan cap jari OKT
yang dikesan di pintu masuk 7Eleven tersebut.

6. Keputusan Di Akhir Kes Pembelaan.

[42] Di akhir kes pembelaan, tugas Mahkamah adalah


sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 182A Kanun
Tatacara Jenayah iaitu untuk meneliti semula keseluruhan
keterangan yang telah dikemukakan sepanjang perbicaraan kes
pendakwaan dan pembelaan sebelum memutuskan sama ada
pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan pertuduhan
terhadap OKT melampaui keraguan yang munasabah atau
sebaliknya.

[43] Di dalam kes MD ZAINUDDIN BIN RAUJAN v. PP (2013) 3


MLJ 773, Hasan Lah FCJ telah menyatakan :

At the conclusion of the trial, s.182A Criminal Procedure


Code imposes a duty on the trial court to consider all the
evidence adduced before it and to decide whether the
prosecution has proved its case beyond reasonable doubt.
The defence of the accused must be considered in the totality
of the evidenced adduced by the prosecution, as well as in

17 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


the light of the well established principles enunciated in Mat v
PP (1963) 1 MLJ 263 regard to the approach to be taken in
evaluating the evidence of the defence.

[44] Mahkamah juga telah merujuk kepada prinsip undang-undang


di dalam membuat keputusan di akhir kes pembelaan yang telah
digariskan di dalam kes MAT v. PP (1963) MLJ 263 di mana Suffian
J telah memutuskan :

The correct law for Magistrates to apply is as follows. If you


accept the explanation given by or on behalf of the accused,
you must of course acquit. But this does not entitle you to
convict if you do not believe that explanation, for he is still
entitled to an acquittal if it raises in your mind a reasonable
doubt as to his guilt, as the onus of proving his guilt lies
throughout on the prosecution. If upon the whole evidence
you are left in a real state of doubt, the prosecution has failed
to satisfy the onus of proof which lies upon it.

[45] Justeru itu, di peringkat kes pembelaan ini, apa yang perlu
dilakukan oleh pihak Pembelaan hanyalah untuk menimbulkan
keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Di dalam
kes HIEW MING YONG V PP [2001] 5 MLJ 1, Augustine Paul J
telah memutuskan :

It is settled law that the burden on an accused is only to raise


a reasonable doubt and not, as stated by the learned session
court judge, a reasonable doubt on a balance of probabilities.

18 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


This has the effect of elevating the evidential burden on the
accused to a legal burden.

[46] Mengenai tahap keraguan munasabah yang diperlukan untuk


menangkis kes Pendakwaan dalam satu perbicaraan jenayah, saya
telah merujuk kepada kes PP v. SAIMIN & ORS [1971] 2 MLJ 16 di
mana Sharma J telah memutuskan bahawa:

A reasonable doubt must be a doubt arising from the


evidence or want of evidence and cannot be imaginary doubt
or conjecture unrelated to evidence.

[47] Di dalam kes ini, saya telah merujuk kepada keseluruhan


keterangan OKT di peringkat kes pembelaan ini dan juga merujuk
kembali kepada keseluruhan keterangan di peringkat kes
pendakwaan dan saya dapati beberapa perkara yang dijelaskan
oleh OKT adalah selari dengan keterangan saksi-saksi pendakwaan
semasa kes pendakawaan. Antara perkara yang diakui oleh OKT
adalah mengenai kehadiran OKT di 7Eleven itu serta keterangan
bahawa OKT telah bercakap kasar dengan pekerja 7Eleven itu
serta keterangan mengenai barang-barang yang telah dimasukkan
ke dalam plastik.

[48] Di samping itu, OKT turut tidak menafikan perbuatannya yang


menjatuhkan mesin wang dan barang-barang lain semasa kejadian
itu yang didakwa oleh OKT berlaku berikutan rasa marahnya
kepada pekerja 7Eleven itu yang telah buat endah tak endah sahaja
semasa OKT hendak membeli rokok di 7Eleven itu.

19 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


[49] Selain beberapa keterangan OKT yang selari dengan
keterangan dalam kes Pendakwaan, OKT selebihnya telah
menafikan beberapa perkara lain yang berkait rapat dengan
pertuduhan melakukan samun di dalam kes ini. Antara perkara
yang dinafikan oleh OKT adalah mengenai ancaman untuk
menembak SP3 dan SP5 semasa kejadian itu selain OKT turut
manafikan yang dia ada mengarahkan SP3 dan SP5 untuk
memasukkan barang-barang ke dalam plastik.

[50] Seterusnya, OKT juga menafikan yang dia ada meminta wang
dikeluarkan dari mesin wang dan menafikan dia ada mengambil
wang serta barang-barang dari 7Eleven itu. Sebaliknya OKT
menyatakan yang dia telah meninggalkan barang-barang yang
telah dimasukkan ke dalam plastik itu sama ada meninggalkan di
dalam 7Eleven itu atau meninggalkannya di luar 7Eleven itu
selepas barang-barang itu disepah-sepahkan.

[51] Setelah meneliti keseluruhan keterangan membela diri OKT


dan keterangan oleh SP3 dan SP5 ketika kes pendakwaan, saya
memutuskan bahawa keterangan membela diri OKT yang
menafikan ada mengugut untuk menembak serta menafikan yang
dia ada mengambil wang dan barang-barang dari 7Eleven itu
adalah satu penafian OKT semata-mata dan tidak dapat diterima
sama sekali oleh Mahkamah ini. Saya memutuskan sedemikian
kerana saya berpendapat tiada sebab untuk SP3 dan SP5 mereka-
reka keterangan terhadap OKT sekiranya OKT tidak ada
mengeluarkan kata-kata ancaman untuk menembak semasa
kejadian itu. Kata-kata ugutan itulah yang telah menyebabkan SP3
dan SP5 merasa takut akan keselamatan diri mereka dan ini telah

20 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


mendorong mereka untuk tidak melawan dan hanya menurut sahaja
arahan OKT dan kedua-dua SP3 dan SP5 juga tidak berani untuk
menghubungi polis kerana takutkan kepada OKT ketika itu.

[52] Mengenai alasan OKT bahawa dia meminta plastik dan


memasukkan barang-barang ke dalam plastik itu dengan tujuan
untuk disepah-sepahkan sahaja barang-barang itu, saya turut
berpendapat alasan tersebut langsung tidak boleh diterima kerana
jika benar tujuan OKT hanya untuk sepah-sepahkan barang sahaja,
adalah tidak munasabah untuk OKT memasukkan barang-barang
itu ke dalam plastik melainkan OKT memang bertujuan untuk
mengambil barang-barang tersebut tanpa dibayar dan tanpa
kebenaran pemiliknya dan bukannya sekadar membuat kacau
seperti yang dicadangkan oleh pihak Pembelaan.

[53] Seterusnya mengenai pembelaan OKT yang menafikan dia


ada mengambil wang dan barang-barang dari 7Eleven itu, saya
juga menolak pembelaan OKT ini kerana keterangan oleh SP3 dan
SP5 jelas menunjukkan bahawa OKT sememangnya telah
mengambil wang dan mambawa barang-barang keluar dari 7Eleven
tersebut dan telah memasukkan sebahagian barang-barang yang
telah dibungkus dalam plastik ke dalam kereta Vios yang menunggu
di luar 7Eleven itu dan sebahagian barang lagi telah ditinggalkan di
luar 7Eleven itu.

[54] Tambahan pula, OKT sendiri mengakui dalam keterangannya


bahawa dia ada membawa barang-barang keluar dari 7Eleven itu
tetapi telah meninggalkannya di luar 7Eleven itu. Dalam keadaan
ini, saya bersetuju dengan hujahan Timbalan Pendakwaraya

21 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


bahawa tindakan OKT yang telah membawa keluar barang-barang
dari 7Eleven itu tanpa membuat bayaran dan tanpa kebenaran
pemiliknya itu telah membentuk satu kesalahan mencuri di bawah
Kanun Keseksaan. Ini selari dengan keputusan Mahkamah ini di
akhir kes pendakwaan yang lalu bahawa curi adalah salah satu
daripada elemen bagi kesalahan rompak yang telah dibuktikan
terhadap OKT di dalam kes ini.

[55] Akhir sekali, saya juga berpendapat OKT telah turut


mengada-ngadakan cerita mengenai tujuannya datang ke Melaka
yang dikatakan untuk mengambil air untuk perubatan arwah
isterinya. Ini kerana, jika benar tujuan OKT itu seperti yang telah
dinyatakannya, OKT boleh memanggil ibunya untuk mengesahkan
perkara itu kerana OKT telah menyatakan yang dia telah disuruh
oleh ibunya untuk mengambil air ubat itu di Melaka. Namun, OKT
telah gagal untuk memanggil ibunya memberikan keterangan.
Begitu juga dengan dakwaan OKT yang dia telah datang ke Melaka
seorang diri dengan menaiki kereta Viva milik ayahnya yang juga
telah gagal disokong oleh mana-mana saksi lain terutamanya oleh
ayahnya sendiri.

[56] Sehubungan itu, saya memutuskan untuk turut menolak


pembelaan OKT berhubung tujuannya datang ke Melaka serta
kedatangannya secara bersendirian dengan menaiki kereta Viva
seperti yang didakwanya itu. Sebaliknya, keterangan yang diterima
oleh Mahkamah ini adalah bahawa OKT bersama rakan jenayahnya
telah hadir ke 7Eleven itu dengan menaiki sebuah kereta jenis Vios
dan telah melakukan rompakan berkumpulan seperti yang telah
dibuktikan oleh pihak Pendakwaan.

22 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


[57] Berdasarkan alasan-alasan yang telah dinyatakan di atas,
saya berpendapat dan memutuskan bahawa pembelaan yang
dikemukakan oleh OKT di dalam kes ini adalah penafian OKT
semata-mata dan telah gagal untuk menyangkal kes pendakwaan.
Di dalam kes PP v. LING TEE HUAH (1982) 2 MLJ 326,
Mahkamah telah memutuskan:

A mere denial without other proof to reasonably dislodge the


prosecutions evidence is not sufficient.
[58] Justeru itu, di akhir kes pembelaan ini, saya telah merujuk
kembali kepada prinsip di dalam kes MAT v. PP seperti yang
tersebut di atas dan saya memutuskan bahawa pembelaan OKT
bukan sahaja tidak dapat dipercayai dan tidak dapat diterima oleh
Mahkamah ini, malah telah gagal untuk menimbulkan sebarang
keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

[59] Oleh yang demikian, secara keseluruhannya, saya


memutuskan bahawa pihak Pendakwaan telah berjaya
membuktikan pertuduhan terhadap OKT di bawah Seksyen 395
Kanun Keseksaan melampaui keraguan yang munasabah dan
dengan itu, OKT didapati bersalah dan disabitkan atas pertuduhan
tersebut.

7. Rayuan Mitigasi Dan Hukuman.

[60] Bagi kesalahan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan ini,


hukuman yang diperuntukkan adalah penjara yang boleh sampai 20
tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat. Sebelum

23 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


hukuman dijatuhkan ke atas OKT ini, OKT telah mengemukakan
rayuan untuk mitigasi hukuman melalui Peguamnya. Dalam
hujahannya, Peguambela OKT telah menyatakan yang OKT telah
melahirkan rasa kesalnya atas kejadian ini dan berjanji untuk tidak
mengulangi kesalahan ini lagi. Seterusnya Peguambela OKT
menyatakan semenjak OKT ditahan, OKT telah insaf dan OKT kini
sedang mengikuti program-program yang diaturkan oleh pihak
Penjara untuk memperbaiki kehidupannya selain turut mengikuti
pelajaran agama dan kedua-dua ibu bapanya turut memberikan
sokongan dengan membekalkan buku-buku agama kepada OKT.

[61] Akhir sekali, Peguambela OKT telah memaklumkan sejak


OKT ditahan, hubungan antara OKT dan kedua ibu bapanya serta
anak OKT telah menjadi lebih rapat. Ini dapat dilihat dari kehadiran
ibu bapa dan anaknya ke Mahkamah pada setiap kali perbicaraan.
Atas faktor-faktor tersebut, Peguambela OKT telah memohon agar
satu hukuman penjara yang paling ringan dapat dikenakan
terhadap OKT supaya OKT boleh segera kembali kepada
keluarganya untuk menjaga ibu bapa dan anaknya.

[62] Pihak Pendakwaan pula telah memohon satu hukuman


berbentuk deterent dan berat dikenakan ke atas OKT atas alasan-
alasan bahawa jenayah rompakan berkumpulan ini adalah jenayah
yang serius dan di dalam kes ini, kejadian berlaku di premis
perniagaan yang beroperasi 24 jam yang sepatutnya memberikan
kemudahan kepada orang ramai dan kejadian seperti ini sudah
pasti akan menjejaskan kepentingan awam yang memerlukan jenis
perniagaan seperti ini.

24 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


[63] Selain daripada itu, Timbalan Pendakwaraya telah berhujah
bahawa tindakan OKT yang merosakkan barang-barang dan
menjatuhkan barang-barang itu juga boleh dikira satu tindakan yang
ganas semasa melakukan rompakan ini. Oleh itu, pihak
Pendakwaan telah memohon agar satu hukuman penjara yang
panjang serta hukuman sebatan dapat dikenakan terhadap OKT ini
sebagai mencerminkan betapa seriusnya jenayah rompak yang
telah dilakukan oleh OKT ini.
[64] Setelah memberikan pertimbangan kepada hujahan oleh
kedua-dua belah pihak, saya telah menjatuhkan hukuman penjara
selama 9 tahun dan 1 sebatan rotan ke atas OKT dan hukuman
penjara diperintahkan bermula dari tarikh OKT ditangkap.

[65] Dalam menjatuhkan hukuman ke atas OKT ini, imbangan


antara kepentingan OKT dan kepentingan awam adalah menjadi
satu perkara pokok yang telah dipertimbangkan sebelum hukuman
dijatuhkan ke atas OKT ini. Di dalam kes ini, walaupun faktor-faktor
yang dinyatakan oleh Peguambela OKT di dalam hujahannya itu
boleh diambil kira supaya OKT dipertimbangkan untuk dikenakan
hukuman yang lebih ringan, namun saya juga perlu mengambil kira
bahawa jenayah rompakan berkumpulan di rumah-rumah
persendirian atau di premis-premis perniagaan seperti dalam kes ini
adalah merupakan jenayah yang amat serius dan OKT pula telah
didapati bersalah dan disabitkan selepas satu perbicaraan penuh.

[66] Mengenai jenayah rompak ini, saya telah mengambil kira


bahawa kejadian rompakan bukan sahaja mengakibatkan kesan
trauma kepada mangsa, malah turut melibatkan kerosakan dan
kehilangan harta benda kepada mangsa yang terlibat. Dalam

25 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


kejadian rompakan di premis perniagaan seperti yang berlaku di
dalam kes ini, kejadian seperti ini akan turut memberi kesan kepada
orang awam yang sudah tentunya berasa tidak selamat untuk
keluar pada waktu malam atau awal pagi ke premis-premis
perniagaan yang memberikan perkhidmatan 24 jam seperti di
7Eleven ini.
[67] Mengambil kira faktor betapa seriusnya kesalahan ini yang
kini berleluasa di dalam masyarakat dan mengambil kira faktor
kepentingan awam, maka satu tempoh hukuman yang setimpal
wajar dijatuhkan ke atas pesalah seperti OKT ini. Oleh itu,
Mahkamah berpendapat hukuman yang telah dijatuhkan terhadap
OKT ini adalah setimpal dan ia diharap dapat menjadi pengajaran
kepada OKT khususnya dan kepada orang awam yang lain amnya.

[68] Atas alasan-alasan ini, saya berpendapat hukuman 9 tahun


penjara dan 1 sebatan rotan yang telah dijatuhkan ke atas OKT ini
adalah adil dan wajar.

AHMAD SAZALI BIN OMAR


HAKIM MAHKAMAH SESYEN 4
MELAKA.

Tarikh : 14hb. April, 2016.

Bagi Pihak Pendakwaan :

TPR Nurhafiza Binti Haron


Timbalan Pendakwa Raya
Pejabat Timbalan Pendakwa Raya
Negeri Melaka.

26 No. Kes : 62 RS-06-04-2015


Bagi Pihak Tertuduh :

Dato Hanif Bin Hassan dan Puan Ardelliza Izmayanti Shafie


Tetuan Hanif Hassan & Co.
Peguambela & Peguamcara.
Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus.

27 No. Kes : 62 RS-06-04-2015

You might also like