You are on page 1of 3

Pelaksanaan kurikulum baharu iaitu KSSR yang telah diumumkan oleh Pengarah

Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Dr Masnah Ali Muda telah digubal
berdasarkan bentuk pernyataan standard yang dikenali sebagai Dokumen Standard Kurikulum
Pentaksiran iaitu DSKP yang meliputi standard kandungan dan standard pembelajaran. Bagi
subjek Bahasa Melayu, DSKP Bahasa Melayu Sekolah Rendah memenuhi keperluan reka
bentuk kurikulum menerusi beberapa aspek yang dinyatakan dalam dokumen tersebut.

Penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 2025 menekankan


aspek kemenjadian murid melalui aspirasi murid dengan meliputi enam ciri utama murid. Enam
ciri utama murid yang dihasratkan ialah murid yang mempunyai pengetahuan, murid yang
mempunyai kemahiran berfikir, murid yang mempunyai kemahiran memimpin, murid yang
mempunyai kemahiran dwibahasa, murid yang mempunyai etika dan kerohanian, serta murid
yang mempunyai identiti Nasional. DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah adalah
berdasarkan enam tunjang utama dalam KSSR yang mampu melahirkan individu yang
seimbang serta berdaya saing di mata global. Enam tunjang yang dapat melahirkan individu
yang seimbang dan berdaya saing tersebut ialah tunjang komunikasi, kerohanian dan sikap,
kemanusiaan, keterampilan diri, perkembangan fizikal dan estetika serta tunjang sains dan
teknologi. Enam tunjang tersebut merupakan domain utama yang disepadukan dengan
pemikiran kritis, kreatif dan inovatif. Konsep tunjang dalam DSKP merupakan satu bentuk
pengklasifikasian bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang berfokus kepada pembentukan modal
insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Jadi, DSKP bukan sahaja
memberi fokus terhadap ilmu pengetahuan, tetapi turut memberi fokus terhadap aspek
kemahiran dan nilai yang menjadi asas kepada pembentukan kemenjadian murid. Setiap
tunjang yang terdapat dalam DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah mempunyai peranan
tertentu dalam memperkembang aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial murid.

DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah memberi fokus terhadap aspek kemahiran
bahasa yang perlu dikuasai oleh murid pada peringkat sekolah rendah. Antara kemahiran
bahasa yang difokuskan dalam DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah sebagai tunjang
komunikasi ialah kemahiran mendengar dan bertutur, kemahiran membaca serta kemahiran
menulis. Kemahiran-kemahiran bahasa tersebut merupakan aspek yang perlu dikuasai oleh
murid untuk menjadi individu yang mempunyai kemahiran komunikasi yang dapat meningkatkan
keberanian diri bagi mengeluarkan pendapat dan idea bukan sahaja di dalam bilik darjah tetapi
di luar bilik darjah juga. Jika dikaitkan kenyataan ini dengan Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia, penguasaan kemahiran ini selaras dengan PPPM menerusi anjakan kedua yang
berhasrat untuk memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan bahasa
Inggeris. Oleh itu, fokus terhadap kemahiran bahasa dalam DSKP Bahasa Malaysia Sekolah
Rendah dapat membentuk kemenjadian murid iaitu melahirkan murid berkemahiran bahasa dan
berbudi bahasa. Seterusnya, aspek yang menyebabkan DSKP Bahasa Malaysia Sekolah
Rendah memberi penekanan terhadap kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam
kalangan murid menerusi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Perkara
tersebut juga selaras dengan PPPM 2013-2025 yang memberi perhatian terhadap kemahiran
berfikir secara kritis dan kreatif. Penguasaan murid terhadap kemahiran berfikir membolehkan
murid untuk mengaplikasikan ilmu pengetahuan dalam konteks yang berbeza yang dapat
meningkatkan keupayaan murid untuk meningkatkan kebolehan berfikir secara aras tinggi
dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Hal ini berkaitan dengan membentuk kemenjadian
murid iaitu melahirkan murid yang berpengetahuan tinggi serta berkemahiran dalam bahasa.

Tambahan pula, aspek DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah yang dapat
membentuk kemenjadian murid ialah menekankan penggunaan pelbagai teknik pengajaran
dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Menurut Faridah Nazir dan Tuan
Jah Tuan Yusof (2013), kepelbagaian teknik pengajaran yang dilakukan oleh guru bergantung
pada tahap kebolehan murid. Berdasarkan DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah,
penggunaan pelbagai strategi seperti penekanan 5P, penggabungjalinan, penyerapan,
penilaian, pemulihan, pengayaan, serta pelbagai pendekatan seperti pendekatan berpusatkan
murid dan pendekatan tematik, amat ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran
mata pelajaran Bahasa Malaysia sekolah rendah bagi memastikan proses pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah dapat dilakukan secara berkesan yang bergantung pada
pengolahan serta penggunaan kaedah, teknik, strategi dan penggunaan bahan bantu mengajar
yang dapat merangsang minat murid-murid dan menggalakkan mereka berkomunikasi serta
berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif. Sebagai contoh, teknik perbincangan dan simulasi
dapat meningkatkan keyakinan bercakap dalam kelas. Dengan itu, murid akan mudah
menerima input berkenaan dengan pengajaran Bahasa Malaysia yang diajarkan oleh guru.

Jika dilihat dalam Pelan Pembangunan Malaysia 2013-2025, terdapat pernyataan


bahawa kementerian menetapkan keutamaan bahawa setiap murid yang melalui sistem
pendidikan di Malaysia perlu mahir dan fasih berbahasa Malaysia. Walaubagaimanapun,
standard bahasa Malaysia di SJK perlu ditingkatkan, murid yang ketinggalan dalam bahasa
Malaysia diberi sokongan. Jadi, DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah Kebangsaan Tamil
dirangka khusus untuk mengajar murid yang bahasa ibundanya bukan bahasa Malaysia dan
tidak mendapat pendedahan bahasa Malaysia yang lebih meluas seperti di Sekolah
Kebangsaan. Kurikulum ini mengenal pasti hanya beberapa keperluan pembelajaran pada
tahun awal pendidikan rendah; kemudiannya akan bertumpu kepada standard pembelajaran
yang sama seperti di SK menjelang Tahun 6 dengan pentaksiran mengikut keperluan yang
selaras dengan PPPM. Akibatnya, guru-guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dilatih untuk
mengajar bahasa secara berkesan kepada murid yang bahasa ibundanya bukan bahasa
Malaysia. Oleh itu, murid-murid ini dapat membentuk kemenjadian murid iaitu menjadi murid
yang berkemahiran dwibahasa serta mempunyai identiti nasional yang dapat dibentuk daripada
pengajaran bahasa dalam kelas oleh guru menggunakan DSKP dengan menggunakan pelbagai
kaedah dan teknik seperti dalam DSKP. Contohnya, kemahiran berfikir, didik hibur,
penyelesaian masalah, pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran koperatif, kecerdasan
pelbagai, pembelajaran kontekstual, pembelajaran konstruktivisme, kemahiran cara belajar,
kajian masa depan, pembelajaran akses kendiri, pembelajaran luar bilik darjah, pembelajaran
masteri serta kepelbagaian sumber bahan.

Kenyataan yang dibuat oleh Holmes Group menyatakan kita tidak boleh meningkatkan
kualiti pendidikan di sekolah tanpa memperbaiki kualiti guru, membuktikan betapa beratnya
tugas dan tanggungjawab seorang guru bagi meningkatkan kualiti murid. Guru berkualiti
merupakan mereka yang mampu menguasai dan merealisasikan segala kemahiran dan
pengetahuan pada mereka sebagai alat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran. Jadi, guru pada masa ini menggunakan pelbagai teknik, kaedah dan strategi
yang berkesan dan menarik minat pelajar. Salah satu kaedah yang saya rasakan sesuai dalam
proses pengajaran dan pembelajaran ialah kaedah didik hibur. Menurut Kementerian
Pendidikan Malaysia, didik hibur menjadikan sesi pembelajaran lebih menyeronokkan kerana
mengandungi unsur kelakar dan kecindan, unsur estetik, permainan muzik, lakonan serta
lakonan. Didik hibur dapat mengurangkan tahap kebimbangan murid kepada guru kerana
konsepnya yang santai dan berhibur menjadikan murid sentiasa berada dalam keadaan
pembelajaran yang positif.

Didik hibur adalah satu kaedah alternatif semasa proses pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu. Pendekatan mendidik sambil berhibur dipraktikan semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran serta merupakan Pengisian Transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (
KSSR) dalam pelajaran Bahasa Melayu melalui kemahiran bahasa, aspek didik hibur dan aspek
tatabahasa. Tujuannya adalah kerana sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia
menjadi seronok dan dapat merangsang murid untuk belajar dengan lebih baik dalam bilik
darjah. Fokus pelaksanaan adalah terhadap penguasaan kemahiran asas Bahasa Malaysia
dalam kalangan murid melalui pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. Penekanan
pelaksanaan didik hibur adalah terhadap empat komponen sastera iaitu, nyanyian, bercerita,
lakonan dan puisi.

Hasrat kerajaan memperkenalkan pendekatan seni bahasa dan didik hibur di sekolah
rendah semata-mata untuk merealisasikan hasrat transformasi pengajaran dan pembelajaran
dalam bilik darjah. Pendekatan didik hibur dalam bilik darjah akan menjadikan proses P&P lebih
interaktif serta berpusatkan murid. Oleh itu, pengajaran guru akan lebih mudah dihayati dan
difahami oleh murid. Rumusannya, didik hibur merupakan satu pendekatan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang bersifat santai tetapi terkawal dengan
memberikan penekanan dan cara pelaksanaannya terhadap empat komponen bahasa dan
sastera, iaitu nyanyian, bercerita, lakonan dan berpuisi. Oleh itu, keseronokan murid secara
keseluruhannya dalam mempelajari Bahasa Melayu akan dapat direalisasikan secara
terancang, bersistematik dan menyenangkan.

Dalam tulisan Shamsudin Othman, konsep didik hibur itu adalah pendekatan yang
sesuai dengan konsep seni bahasa yang diperkenalkan. Secara mudahnya, pengajaran dan
pembelajaran seni bahasa akan menjadi lebih menarik jika dapat dilaksanakan secara
penyerapan dalam pengajaran Bahasa Melayu dengan memberikan fokus kepada aktiviti genre
berbentuk puisi, seperti lirik lagu, pantun, syair, dan sajak. Penyerapannya yang dititikberatkan
dalam pendekatan ini ialah proses menyerapkan pelbagai bidang ilmu, nilai murni, dan
kemahiran bernilai tambah yang dipelajari semasa pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu. Selain itu, murid-murid juga akan lebih yakin dan berani berhadapan di khalayak ramai
serta tidak akan berasa malu ketika berkomunikasi. Melalui ini, akan terhasilnya murid-murid
yang berpengetahuan tinggi dan berkemahiran dalam bahasa yang dapat berupaya
bertandinding di mata global.

You might also like