You are on page 1of 2

SYARAHAN - DADAH MUSUH NEGARA

Yang saya Muliakan Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Pengarah IPG Kampus
Raja Melewar, Yang Dihormati penyelaras majlis, barisan panel hakim yang sentiasa
berteraskan panji-panji keadilan,guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian.
Assalamualaikum dan selamat pagi saya ucapkan.

Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan
limpah kurnianya serta keizinanNya dapat saya berdiri di sini bagi menyampaikan syarahan
saya dalam suasana yang sakinah pada pagi ini. Saya, Muhammad Haziq Lukman bin Sapawi
daripada unit PKP 1 telah memilih tajuk 'Dadah Musuh Negara'. Tajuk syarahan saya pada
pagi ini sangatlah bersesuaian dengan isu penyalahgunaan dadah yang tidak berkesudahan
dan semakin banyak menghiasi lembaran akhbar pada masa ini.

Hadirin yang saya muliakan,


Pada abad ke-21 ini, Malaysia merupakan negara yang pesat membangun dan bersedia
menongkah arus pemodenan dalam dunia maju ini. Kini, Malaysia sangat terkenal pada mata
dunia malah mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara lain yang
telah turut mengukir nama pada mata dunia. Namun, di sebalik kegemilangan ini, masyarakat
Malaysia masih dihantui satu penyakit sosial yang sudah lama bersarang dalam kalangan
masyarakat Malaysia iaitu penyalahgunaan dadah. Persatuan Mencegah Dadah Malaysia
(PEMADAM) telah mencatatkan bahawa dari tahun 1988 sehingga tahun 2005 terdapat
seramai 289,763 orang penagih dadah. Bilangan tersebut sudah pasti membimbangkan
banyak pihak.

Hadirin sekalian,
Sememangnya tidak dapat disangkal lagi bahawa dadah mengundang banyak
kesan negatif kepada individu yang menyalahgunakannya. Perubahan yang ketara dapat
dilihat dari segi fizikal penagih dadah. Dadah akan bertindak mengubah fungsi biologi pada
sistem tubuh seseorang. Misalnya, individu yang ketagihan dadah akan menghadapi masalah
pernafasan iaitu kadar pernafasan akan menjadi pendek dan perlahan. Justeru, keadaan ini
secara langsung akan menjejaskan bekalan oksigen kepada sel-sel di dalam badan. Secara
keseluruhannya, tubuh badan seseorang yang menagih dadah akan mengalami implikasi
yang sangat teruk akibat daripada perbuatan individu itu sendiri. Justeru, setiap individu wajib
menjauhi dadah untuk kebaikan diri mereka sendiri.
Keadaan mental dan emosi turut menerima kesan negatif akibat penyalahgunaan
dadah. Kesan ke atas mental dan emosi lazimnya dikenali sebagai kesan psikologi, iaitu
kesan pengaruh dadah pada otak dan minda. Ini termasuklah rasa seronok dan khayal atau
euforia yang dialami penagih dadah. Mereka seakan-akan tidak berpijak di alam nyata.
Keadaan mental seseorang penagih dadah sangat sukar untuk dipulihkan seperti sedia kala.
Imam Ahmad Bin Hanbal telah meriwayatkan dalam musnadnya bahawa Rasulullah S.A.W.
melarang segala sesuatu yang memabukkan dan mengkhayalkan. Justeru, jelaslah kepada
kita bahawa dadah boleh merosakkan kewarasan akal fikiran sekaligus mengaburi kemuliaan
diri sendiri sebagai manusia di muka bumi ini.

Hadirin sekalian,
Penyalahgunaan dadah bukan sahaja membawa kesan buruk kepada penagih
dadah itu sendiri,malah juga kepada keluarga. Individu yang menagih dadah akan
mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga. Mereka tidak akan menghiraukan keadaan di
sekeliling mereka termasuk keluarga sendiri. Akibatnya nilai-nilai kasih sayang antara ahli
keluarga akan semakin terhakis dan akhirnya keluarga akan berpecah-belah.Selain itu,
keluarga juga akan melalui tekanan yang berat, konflik, dan kebimbangan kerana ingin
melindungi ahli keluarga daripada kemudaratan dan kerosakan yang dibawa oleh ahli
keluarga yang terjerumus ke dalam gejala dadah. Oleh itu, masalah yang menjadi kudis dalam
masyarakat ini tidak wajar dipandang enteng malah sebaliknya perlu dibendung dengan
segera.

Akhir sekali, sememangnya banyak kesan buruk yang dibawa oleh masalah
penyalahgunaan dadah kepada individu, keluarga, masyarakat, mahupun negara. Semua
pihak sewajarnya berganding bahu bagi memastikan gejala ini dapat dibendung agar tidak
menjadi satu wabak yang terus bernanah dalam masyarakat. Sebagai anak bangsa yang
menjadi aset penting dan kebanggaan negara, kita seyogianya merealisasikan misi untuk
mencipta peradaban baru yang sudah pasti akan disanjung tinggi dan diagung-agungkan oleh
masyarakat dunia. Ayuh, kita bangkit bersama-sama ke arah hidup yang sejahtera tanpa
terlibat dengan najis dadah yang boleh mencemarkan diri, keluarga, dan bangsa. Jangan kita
abaikan peringatan Nabi Muhammad S.A.W. kepada umatnya agar sentiasa melakukan
kebaikan dan menjauhi perkara yang boleh memberi kemudaratan. sendiri.

Sekian, terima kasih.

You might also like