You are on page 1of 4

CERAMAH : DADAH MUSUH NEGARA

Selaku aktivis dalam Agensi  Anti Dadah Kebangsaan (AADK), anda


telah dijemput untuk menyampaikan ceramah kepada sekumpulan
remaja. Tajuk ceramah anda ialah, “Dadah Musuh Negara : Peranginya
Habis-habisan”.
Tulis teks ceramah anda selengkapnya.

Assalamualaikum dan salam muhibah,


Terima kasih kepada Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang
Berbahagia Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Yang Berusaha
Barisan Guru penolong kanan SK LKTP SG TEKAM, Guru-guru dan rakan-
rakan sekalian.
Peribahasa Melayu selalu menyatakan, ingat sementara belum kena,
jimat sementara belum habis. Peribahasa ini menjadi menjadi sumber nasihat
agar masyarakat sentiasa berwaspada terhadap sesuatu anasir yang boleh
menimbulkan pelbagai implikasi negatif kepada kehidupan. Dadah ialah
anasir paling berbahaya dalam masyarakat yang seyogianya kita jauhi malah
perlu diperangi habis-habisan.

Hadirin sekalian,
Kita sering mendengar sindiran orang tua-tua, “Jikalau rosak kerana
perempuan habis tenaga berhenti, jikalau rosak kerana berjudi habis wang
berhenti, dan jikalau rosak kerana mencuri lepas tertangkap berhenti.
Sebaliknya, jikalau seseorang itu rosak dengan mengambil dadah, tempat
terakhir ialah mati”. Sesungguhnya, atas rasa tanggungjawab tersebutlah
saya mengambil amanah ini demi kepentingan masyarakat betapa perlunya
kita menyedari bahayanya ancaman dadah terhadap masyarakat. Justeru,
saya amat berterima kasih atas keprihatinan semua pihak untuk memerangi
gejala najis dadah ini. Dengan hal yang demikian, bersempena dengan
peluang yang keemasan ini, saya akan menyampaikan sebuah ceramah yang
bertajuk, “Dadah Musuh Negara: Peranginya Habis-habisan”.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


Dadah dalam definisi yang mudah ialah sejenis candu. Candu tersebut
telah diproses untuk digunakan sebagai sumber pelali dan penahan sakit
dalam amalan perubatan pada zaman silam. Walau bagaimanapun, dengan
pengaruh teknologi dan kemajuan dalam bidang farmaseutikal pelbagai
bentuk dadah dihasilkan. Antaranya adalah untuk perdagangan dalam
teknologi ubat-ubatan. Walau bagaimanapun, akibat penggunaan yang
berlebih-lebihan, fungsi dadah sebagai bahan pelali telah disalahgunakan
sehingga mengakibatkan gian atau ketagih yang keterlaluan. Akhirnya dadah
dalam bentuk morfim, heroin, marijuana, syabu, dan ekstasi telah menjadi
sumber khayal yang amat diperlukan oleh penagih tegar. Disebabkan
kandungan kafien dan narkotina yang tinggi kandungan dadah yang
berlebihan dalam darah telah bertukar menjadi racun dan membahayakan
penggunanya.

Remaja yang dikasihi sekalian,


Pada hari ini dadah bukan lagi diambil sebagai sumber untuk
melepaskan gian seperti keletihan, menahan sakit atau menjadi ubat
penenang tetapi dadah mula menjadi ancaman besar terhadap kesejahteraan
hidup manusia. Dadah menjadi pembunuh senyap ibarat api dalam sekam
dan membawa ancaman seperti musuh dalam selimut. Setiap penagih tegar
akan terus berusaha mendapatkan dadah walaupun dirinya bagaikan bangkai
bernyawa. Pengaruh dadah dalam kalangan remaja juga seolah-olah
mempunyai tangan ghaib yang mampu menarik remaja dalam sekelip mata
untuk berdampingan dengan dadah. Dengan keajaiban itulah kini negara kita
sedang berhadapan dengan masalah bangkai bernyawa ini yang sudah
meningkat sehingga 800 ribu orang dengan kadar tujuh orang penagih baru
dalam setiap hari. Inilah malapetaka dadah yang boleh menghancurkan
sesebuah tamadun atau negara.

Hadirin sekalian,
Tanpa menoleh ke belakang semula kita tidak perlu mencari tentang di
manakah silapnya sehingga begitu hebat sekali serangan gejala dadah itu?
Terlalu banyak puncanya jikalau saya hendak perturunkan satu persatu.
Namun apalah gunanya kita mencari segala kesilapan yang lalu kerana usaha
tersebut tidak mampu menyelesaikan masalah. Justeru, dalam wacana minda
yang sesingkat ini marilah bersama-sama saya, kita menelusuri usaha-usaha
yang boleh menyelesaikan masalah ini. Sebagai anggota masyarakat tidak
seorang pun yang boleh melihat fenomena dadah sebagai masalah yang
terpencil sebaliknya menjadikan tanggungjawab bersama. Mungkin benar
pada hari ini ahli keluarga kita tidak terjebak dengan gejala tersebut, tetapi
esok atau lusa bukan mustahil.
Sebagai ketua keluarga, suami janganlah pula meletakkan
tanggungjawab mengawal anak-anak kepada isteri sahaja. Sebarang
kesalahan anak terus dilemparkan kepada isteri. Cara ini adalah tidak adil. Si
suami mesti tahu akan had dan kemampuan yang ada pada isteri. Bawalah
berbincang dengan isteri dan anak-anak agar mereka sentiasa berasa diri
didekati. Kasih sayang merupakan ubat penenang yang paling mujarab untuk
mencegah gejala yang terburuk dalam sejarah kebejatan sosial manusia itu.
Bak kata orang elok kerja dengan muafakat agar semuanya membawa berkat.

Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,


Kepada anak-anak remaja, anggaplah diri anda sebagai pahlawan. Anda
mampu menepis segala ancaman jahat termasuklah ancaman dadah.
Sebagai remaja perkasa, amatlah daif apabila kita sendiri gagal untuk
membawa diri kita menentukan antara yang baik dan yang buruk demi
kebaikan masa depan sendiri. Bijaksanalah dalam memilih rakan. Rakan
bukan sekadar untuk berseronok-seronok tetapi rakan mestilah mampu
membimbing kita sama ada dalam keadaan susah atau senang. Ingatlah,
rakan ketawa beramai-ramai, rakan menangis seorang diri. Sesungguhnya,
negara amat berharap kepada sumbangan anda untuk menjadi tenaga
penggerak wawasan. Seandainya anda kecundang, kepada siapakah yang
harus diharapkan lagi untuk menguruskan negara ini?
Selain itu, semua agensi keselamatan sama ada pihak polis, RELA, dan
pihak berkuasa dalam masyarakat hendaklah menjalin kerjasama bersepadu.
Tugas penting kita adalah mengesan musuh dalam selimut yang bersikap
telunjuk lurus kelengkeng berkait yang sentiasa menangguk di air keruh.
Bedebah seperti ini yang perlu dicekup dahulu dan dibawa ke muka
pengadilan. Angkara merekalah yang menyebabkan ratusan ribu anak-anak
peria bunga bangsa tersungkur di tengah-tengah medan juang sebelum
mereka mengenali identiti diri. Golongan yang telah kaya-raya di atas
kemusnahan orang lain tidak boleh dibiar lama berkeliaran dalam masyarakat.
Mereka inilah pengedar dan penyebab gejala dadah bertambah rumit untuk
diselesaikan.

Tuan-tuan dan puan-puan,


Saya yakin, bencana dadah tidak akan lunas sampai bila-bila masa pun.
Bahayanya sudah menular ke peringkat global. Namun kita harus tabah dan
berusaha secara bijaksana agar gejala yang telah memusnahkan ratusan ribu
remaja itu terlerai juga, ibarat orang mementung ular, ular dipentung biar mati,
kayu pementung jangan patah, tanah datar jangan pecah. Justeru,
ingatlah, “Dadah Musuh Negara: Peranginya Habis-habisan”.
Sekian terima kasih

You might also like