You are on page 1of 29

1

EEM 432 Tugasan

BAHAGIAN A

Tulis sebuah esei bertajuk :

“Isu rempit dan lumba haram sebagai Isu Moral semasa di luar kawasan
sekolah”.

PENGENALAN
Dewasa ini, semakin hari semakin banyak kes-kes rempit dan perlumbaan haram telah
dipaparkan di kaca televisyen. Masalah sosial dan moral kali ini dipelopori anak-anak
muda lelaki seawal usia 14 tahun. Mat Rempit dan perlumbaan haram sering berkait
rapat. Konsep mat rempit ialah berlumba secara haram, memandu motosikal secara
laju dan merbahaya yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya. Di samping itu,
juga menyusahkan pengguna kenderaan yang lain. Mereka berasa keseronokkan dan
kepuasan ketika berlumba tanpa memikirkan keselamatan diri dan nyawa sendiri
ataupun orang lain. Hasil kajian mendapati, 97 peratus daripada mereka bersikap
sebagai ‘kepala angin’ atau sanggup melakukan apa saja untuk mencari keseronokan
manakala bakinya kira-kira tiga peratus digelar sebagai mat motor iaitu individu yang
benar-benar suka akan motosikal. Kebanyakan mat motor ini pelajar Institusi
Pengajian Tinggi (IPT) yang lebih kepada mencari keseronokan ketika masa lapang
atau melepaskan tekanan menjelang peperiksaan.

Sebenarnya, gejala mat rempit hanya wujud di Malaysia, malah tiada sebarang
jurnal antarabangsa yang pernah melaporkan masalah itu kecuali di Malaysia. Kajian
UKM mendapati pelumba motosikal haram antara penyumbang besar kepada indeks
jenayah negara. Mat rempit dari pelbagai kaum, tetapi majoritinya Melayu, diikuti
kaum India. Satu pertiga daripada belia Melayu yang bergelar mat rempit adalah anak
pendatang asing yang memiliki kad pengenalan merah. Begitu juga dengan minah
rempit. Sebahagian mereka ini seperti tiada semangat patriotik sehinggakan sanggup
mencalar maruah dan keselamatan diri semata-mata untuk mencari kepuasan
sementara. Kajian akademik pertama mengenai isu mat rempit itu juga mendedahkan
peningkatan pembabitan remaja Melayu yang mencapai 95 peratus daripada
keseluruhan mat rempit seluruh negara, berbanding kajian kali pertama pada 2002
yang merekodkan 80 peratus.
2
EEM 432 Tugasan

Lumba haram bukan sahaja menjadi satu masalah moral di kalangan remaja
ataupun pelajar sekolah, malahan merupakan satu masalah moral tempatan yang
serius bagi negara kita. Perlumbaan haram selalunya dijalankan pada waktu lewat
malam dan bandar-bandar besar. Terdapat juga sekumpulan mat-mat rempit yang
memang sedia wujud di kawasan-kawasan kampung , dan seterusnya terlibat dengan
perlumbaan haram apabila berhijrah ke kawasan bandar. Kadang kala, aktiviti ini juga
dilakukan ketika ramai pengguna lain yang masih ada di jalan raya sehingga
menyebabkan banyak masalah serta menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.
Mat-mat rempit dan minah-minah rempit yang terlibat pula tidak peduli keselamatan
pengguna awam yang lain dan sering membuli pengguna lain yang menegur mereka.
Kajian yang dijalankan dengan kerjasama cawangan Trafik Polis Diraja Malaysia
(PDRM) juga mendapati, 85 peratus daripada mereka tidak mempunyai lesen
memandu atau tamat tempoh sah. Kebanyakan mereka juga sering menggunakan
motosikal milik ibu bapa, abang, kawan, syarikat untuk berlumba.

PUNCA-PUNCA LUMBA HARAM DAN REMPIT

Antara punca yang menyebabkan rempit adalah sikap ingin mencuba. Anak-anak
muda berdarah muda sememangnya cenderung untuk mencuba perkara-perkara baru
terutamnya perkara yang mencabar keberanian mereka. Filem-filem ganas yang
ditonton mendorong kepada sifat ingin mencuba sendiri lumba haram seperti yang
mereka lihat dalam filem tersebut. Pengaruh rakan sebaya juga tidak kurang besarnya
peranan dalam masalah sosial ini. Remaja lebih senang meluangkan masa bersama
rakan sebaya dan mereka akan lebih mudah terpengaruh sekiranya mereka tersalah
pilih rakan.

Sesetengah remaja juga terikut-ikut dengan aktiviti lumba haram dan


rempit kerana ingin melepaskan rasa marah terhadap keluarga yang kurang
memberikan perhatian ataupun suasana rumah yang tidak aman. Segelintir pula
melakukan aktiviti itu hanya untuk suka-suka. Beberapa lumba haram pula
menyediakan wang, perempuan, dadah dan lain-lain sebagai habuan dan ini
semestinya menarik minat pelbagai lapisan umur generasi muda. Mat Rempit juga
menyediakan peluang bagi seseorang itu membuktikan nilai diri, kelelakian dan
3
EEM 432 Tugasan

keseronokan mudah dengan perlumbaan haram lebih-lebih lagi apabila melawan


penguatkuasa undang-undang (Rozmi Ismail, 2004), oleh itu mereka lebih berkobar-
kobar untuk mengikuti aktiviti yang tidak berfaedah itu. Mereka berasa teruja dapat
beraksi di jalan raya, ditonton ramai, ada peminat serta ganjaran seperti wang dan
wanita untuk ditiduri. Tidak kurang juga yang menjadikan aksi rempit itu cara
meleraikan pertelagahan seperti kumpulan mana yang memandu paling laju.
Merempit ini memberi kepuasan rekreasi kepada mereka. Jika orang lain seronok
panjat gunung atau kegiatan sukan lain, mat rempit menganggap membonceng
motosikal dengan laju dan mempamerkan aksi bahaya itu satu kepuasan. Lebih-lebih
lagi jika mereka ada kawan yang meminati perkara sama.

USAHA MENANGANI KEGIATAN INI


Usaha dalam menangani masalah ini sudah dibuat sejak dahulu lagi dan tidak pernah
dihentikan. Pelbagai usaha dilakukan agar aktiviti seperti ini dapat dibanteras kerana
lumba haram dan merempit hanya akan menjurus kepada jenayah yang lebih berat
lagi sekiranya tidak dibendung. Antara usaha yang dapat dilihat adalah kempen-
kempen untuk memandu atau menunggang dengan berhemah yang dilakukan di
seluruh negara sama ada di sekolah ataupun di tempat awam serta melalui media
massa.
Pihak berkuasa juga sering melakukan sekatan jalan raya di kawasan-kawasan
panas yang sering dijadikan litar berlumba. Terdapat juga undang-undang yang akan
menghukum mereka yang terbabit dalam kesalahan ini, namun ada kemungkinan juga
mat-mat rempit dan pelumba haram tidak gentar kerana mereka memandang ringan
dengan undang-undang yang sedia ada dan menganggap hukuman itu ringan dan tidak
menyusahkan mereka. Contohnya, elumba haram yang ditahan hanya akan didakwa di
bawah peruntukan undang-undang trafik dibawah kanun keseksaan perkara 279 iaitu
memandu dengan melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain. Sekiranya
mereka disabitkan kesalahan, mereka boleh diberi denda RM 5000 hingga 15000
dan/atau dihukum penjara mandatori sekurang-kurangnya sehari tetapi tidak lebih dari
pada lima tahun .
4
EEM 432 Tugasan

Menurut bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor (Utusan
Online, 2015) berkata, hukuman sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987
boleh ditambah baik dengan memperkenalkan elemen-elemen pencegahan seperti
membatalkan lesen dan tidak membenarkan mereka yang terlibat dengan kes lumba
haram daripada memohon lesen yang baru. Undang-undang yang sedia ada perlu
ditambahbaik kerana lumba haram kini semakin banyak kes yang melibatkan
keselamatan pengguna awam yang lain. Ini disebabkan pelumba haram dan mat-mat
rempit semakin berani mencabar pihak berkuasa dan tidak menghiraukan keselamatan
orang lain.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, kita perlu berusaha bersama-sama untuk membanteras kegiatan
ini daripada berterusan. Ibu bapa perlu memberikan perhatian yang lebih kepada
anak-anak dan mendidik mereka agar tidak mudah terjerumus dalam masalah ini.
Pihak berkuasa perlu melaksanakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah
berulang agar mereka tahu akan kesannya terlibat dalam aktiviti yang tidak berfaedah
malahan berbahaya ini. Tidak mudah untuk menghalang daripada masalah ini terus
berlaku namun, usaha yang berterusan pasti membawa sinar harapan kepada semua
orang. Selagi kita masih punya TEKAD untuk melakukan sesuatu, maka belum
TERLAMBAT untuk membanteras jenayah ini daripada berlanjutan.
5
EEM 432 Tugasan

BAHAGIAN B
ISU MORAL SEMASA DI SEKOLAH RENDAH
PENGENALAN
Sejak kebelakangan ini, peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah di
Malaysia sama ada di peringkat sekolah rendah ataupun sekolah menengah semakin
meruncing dan perlu diatasi dalam kadar yang segera. Masalah disiplin berlaku tidak
kira sekolah di kawasan bandar ataupun luar Bandar, sekolah harian biasa ataupun
sekolah berasrama penuh.
Fenomena ini semakin merunsingkan banyak pihak terutamanya para guru
dan ibu bapa. Kes ponteng sekolah terutamnya mencatat bilangan yang tertinggi
berbanding kes-kes disiplin yang lain. Sebagai buktinya, 1.4 peratus bersaman 67053
pelajar daripada hampir lima juta sekolah rendah dan menengah di seluruh negara
terbabit dengan kegiatan salah laku sepanjang sesi persekolahan 2017.

Berikut merupakan statistik salah laku disiplin pelajar sepanjang 2017:

Mengikut rekod gejalah ponteng sekolah mencatatkan jumlah kes tertinggi


berbanding kes disiplin yang lain iaitu sebanyak 67053 kes (Astro Awani, 21Mac
2018). Statistik ini jelas menunjukkan gelaja ponteng sekolah semakin meruncing
dalam kalangan pelajar pada masa kini.
6
EEM 432 Tugasan

Ponteng merupakan satu perbuatan salah laku dan melanggar peraturan


sekolah. Seseorang pelajar dianggap memonteng sekiranya tidak hadir ke sekolah
tanpa sebab-sebab yang munasabah pada hari-hari persekolahan. Sejak akhir-akhir ini
masalah ini didapati semakin menjadi-jadi dan telah sampai ke peringkat yang agak
merisau. Media massa juga sering menyiarkan berita tentang masalah ini. Pihak
sekolah serta ibu bapa berasa risau dan perlu mengadakan sesuatu tindakan yang tegas
dengan segera sebelum gejala negatif ini sampai ke peringkat yang lebih kronik lagi.

Menurut laporan yang pernah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan,


peratus pelajar yang terbabit dengan gejala ponteng didapati semakin meningkat dari
semasa ke semasa terutama bagi sekolah-sekolah di kawasan bandar.

BANGI, 6 Zulkaedah 1439H, Khamis – Seorang murid lelaki berusia 12 tahun yang
terlalu obses terhadap permainan video dikatakan tidak ke sekolah selama 53 hari
hingga polis terpaksa campur tangan.

Gambar anggota polis datang ke rumah murid berkenaan dan mengiringinya ke


sekolah menjadi tular di media sosial hari ini. Bagaimanapun, tidak diketahui di mana
murid berkenaan tinggal dan sekolahnya.

Seorang pengguna media sosial Muhamad dalam satu kiriman di laman Facebook
beliau mendakwa, budak lelaki berkenaan tidak dapat bangun pagi untuk ke sekolah
selepas tidur lewat malam kerana bermain ‘video game’.

Malah, lebih mengejutkan, ibu bapanya pula dikatakan tidak sampai hati untuk
mengejutkan anak mereka untuk ke sekolah.

Bimbang dengan situasi tersebut, pihak sekolah mengambil tindakan meminta polis
menjemputnya di rumah, selepas beberapa prosedur operasi standard (SOP) untuk
menangani kes itu, gagal.

Susulan itu, netizen turut mempertikai serta mengecam ibu bapa murid berkenaan
kerana membenarkan keadaan sedemikian berlaku.
7
EEM 432 Tugasan

(Portal Islam dan Melayu, 19.7.2018)

Statistik terkini kementerian memaparkan sebanyak 67053 pelajar terlibat


dalam gejala ponteng daripada 5 juta pelajar dinegara kita termasuk di peringkat
sekolah rendah, menengah, mahupun IPT. Hal ini dapat kita saksikan bahawa gejala
ponteng makin meningkat berbanding pada tahun 2010 sebanyak 19545 pelajar
terlibat dalam gejala ponteng.

Daripada jumlah berikut, sebanyak 99 peratus adalah pelajar lelaki yang


terlibat dalam gejala ponteng. Berdasarkan statistik Kementerian Pelajaran Malaysia,
ponteng merupakan kes yang terbanyak.

Kesan ponteng bukan sahaja menyebabkan pelajar ketinggalan dalam


pelajaran, namun lebih teruk lagi termasuk terjebak dengan gejala negatif seperti
penyalahgunaan dadah, gangsterisme, minuman keras, vandalisme, seks bebas,
melepak dan sebagainya.

Seperti mana yang telah dipaparkan di media massa dan media elektronik,
antara tempat yang menjadi tumpuan pelajar-pelajar melepak adalah di kafe siber. Hal
ini kerana ‘hujan kafe siber’ telah membanjiri di seluruh kawasan bandar dan luar
bandar di Malaysia. Ini juga menjadi penyebab kepada ketagihan dan tarikan pelajar
untuk mengunjungi kafe siber serta menyumbang kepada peningkatan bilangan
pelajar ponteng
8
EEM 432 Tugasan

PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA PONTENG SEKOLAH

Kurang berminat terhadap pengajaran dan pelajaran di sekolah

Pelajar ponteng sekolah adalah kerana kurang atau tidak berminat terhadap
pengajaran dan pembelajaran di sekolah Keadaan ini mungkin berpunca daripada isi
kandungan sukatan pelajaran yang banyak memberikan tumpuan kepada mata
pelajaran yang memerlukan pelajar menghafal seperti mata pelajaran sejarah,
matematik, sains, geografi dan sebagainya.

Di samping itu, pelajar kurang berminat terhadap sekolah kerana mereka


mungkin tidak mampu untuk mengikuti pelajaran dengan sempurna kerana
ketinggalan akibat kelemahan diri mereka sendiri. Alasan ini juga yang
menyebabkan berlakunya kes ponteng yang banyak di kalangan pelajar yang lemah
jika dibandingkan dengan pelajar yang cerdas. Pelajar seperti ini biasanya mudah
berputus asa. Mereka kebanyakannya datang ke sekolah semata-mata kerana menurut
kehendak ibu bapa. Oleh itu mereka kerap ponteng kerana telah hilang minat untuk
belajar akibat tidak dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan pelajar yang lebih
cerdas.

Kurangnya kasih sayang serta pemantauan daripada ibu bapa

Pelajar ponteng sekolah adalah kerana mereka telah hilang pemerhatian, kasih sayang
daripada ibu bapanya dan ibu bapa telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai
seorang ibu bapa. Dengan membuktikan keadaan tersebut, ibu bapa kini sentiasa
bekerja di luar dari awal pagi sampai tengah malam, masa mereka bersama dengan
anak semakin berkurang sehingga anak-anak tidak dapat menyampaikan perasaan
mereka kepada ibu bapa.

Lama-lama kemudian, anak tersebut akan cuba menggunakan cara lain iaitu
cara negatif seperti ponteng sekolah kerana mereka berjaya mendapat perhatian
daripada ibu bapa mereka. Malangnya anak-anak ini akan berkawan dengan orang
luar semasa mereka memonteng sekolah dan kesannya “kawan baru” ini akan
9
EEM 432 Tugasan

mengajak mereka pergi ke tempat lain untuk berhibur sehingga anak-anak ini tidak
lagi mementingkan pelajarannya.

Biasanya pihak sekolah akan mengeluarkan surat amaran bagi pelajar-pelajar


yang melakukan kesalahan ponteng terlalu kerap iaitu tiga hari berturut-turut. Surat
yang ditujukan kepada waris atau ibu bapa itu kadang-kadang tidak mendapat respon
yang diharap-harapkan. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan urusan harian mereka
tidak dapat hadir untuk berbincang dengan pihak sekolah. Keadaan ini secara tidak
langsung menunjukkan bahawa ibu bapa atau penjaga pelajar yang berkenaan
langsung tidak mengambil berat akan hal-ehwal anak-anak mereka.

Keadaan ini juga memberikan rangsangan kepada pelajar yang berkenaan


untuk terus memonteng sehingga akhirnya terpaksa diberhentikan persekolahannya.
Oleh itu bolehlah dikatakan bahawa ibu bapa yang tidak mengambil berat akan
amaran pihak sekolah turut menyumbang ke arah masalah ini.

Pengaruh Rakan Sebaya

Pengaruh rakan sebaya juga turut memainkan peranan yang kuat dalam
mempengaruhi pelajar lain untuk ponteng sekolah. Ajakan daripada rakan sebaya
mereka untuk ponteng sekolah akan mempengaruhi minda pelajar-pelajar yang tidak
berfikir secara rasional. Mereka akan menurut segala ajakan dan pelawaan rakan-
rakan mereka tanpa berfikir panjang.

Rakan-rakan yang bercadang untuk ponteng sekolah akan memberikan


pelbagai alasan yang munasabah seperti pelajaran di sekolah sangat membosankan
dan sebagainya. Mereka menberi tanggapan bahawa aktiviti ponteng sekolah dapat
menenangkan fikiran dan ini menjadi alasan untuk mereka tidak hadir ke sekolah.
Mencari Keseronokan

Pelajar ponteng sekolah berkemungkinan adalah kerana mereka lebih


mementingkan keseronokan daripada pelajaran. Hal ini jelas kerana terdapat di
kalangan pelajar yang ponteng dengan tujuan untuk melepak atau berkumpul di suatu
10
EEM 432 Tugasan

tempat terutamanya pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video, dan taman-


taman rekreasi.

Malahan, terdapat juga pelajar yang ponteng untuk menonton wayang atau
berkelah. Bagi mereka, belajar di sekolah adalah sesuatu yang membosankan kerana
tidak ada unsur-unsur hiburan.

Peraturan Sekolah Yang Terlalu Ketat

Terdapat juga para pelajar ponteng sekolah kerana takut dimarahi ataupun didenda
oleh guru contohnya semasa mereka tidak sempat menyiapkan kerja sekolah mereka
yang diberikan oleh guru, mereka akan pilih cara ponteng sekolah supaya mereka
tidak dapat didenda oleh cikgu.

Selain daripada itu,pelajar yang datang lewat juga akan mengambil keputusan
untuk ponteng kerana takut didenda kerana kesalahan mereka itu. Kumpulan pelajar
ini juga menyalahkan pihak sekolah yang mengamalkan peraturan yang terlalu ketat
dan mengenakan hukuman yang pada pendapat mereka terlalu berat bagi kesalahan
yang kecil.

Tekanan Ekonomi

Taraf ekonomi keluarga pelajar yang rendah juga menyebabkan mereka malu untuk
pergi ke sekolah. Mereka sering ponteng sekolah bagi mengelakkan dipersenda oleh
rakan-rakan. Apabila ponteng sekolah, mereka mula melakukan sesuatu yang negatif
bagi memenuhi masa lapang mereka.

Oleh kerana kedudukan ekonomi yang rendah, maka ibu bapa sibuk untuk
mencukupkan perbelanjaan harian dan menyebabkan tanggungjawab anak terabai.
Selain itu, terdapat juga pelajar yang ponteng kerana terpaksa bekerja secara sambilan
dan oleh kerana terlalu keletihan mereka tidak berdaya untuk bangun awal
terutamanya yang bekerja pada waktu malam.
11
EEM 432 Tugasan

Memang tidak dinafikan bahawa terdapat sesetengah guru yang tidak pandai
mengajar atau tidak menunjukkan kesungguhan di bilik darjah sehingga membuatkan
pelajar bosan lalu ponteng sekolah. Namun bilangan guru yang bersikap seperti ini
sangat kecil.

Terdapat juga para pelajar yang memberikan alasan yang tidak munasabah
seperti takut didenda, guru yang garang, malu, dan sebagainya. Pelajar yang
berkenaan mengambil keputusan untuk ponteng kerana mereka takut didenda kerana
tidak sempat menyiapkan kerja sekolah mereka yang diberikan oleh guru. Terdapat
juga pelajar yang datang lewat lalu mengambil keputusan untuk ponteng kerana takut
didenda kerana kesalahan mereka itu.

Pelajar yang berasa malu sekiranya didenda dan dimarahi guru itu biasanya
akan ponteng dan bersembunyi atau melepak di kawasan-kawasan yang sukar
dikesan. Kumpulan pelajar ini juga menyalahkan pihak sekolah yang mengamalkan
peraturan yang terlalu ketat dan mengenakan hukuman yang pada pendapat mereka
terlalu berat bagi kesalahan yang kecil.

Pengaruh Rakan Sebaya

Salah satu punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah berlaku ialah murid-
murid berkawan dengan remaja yang tidak lagi bersekolah. Sebagai seorang remaja
murid sekolah memerlukan rakan sebaya untuk bersahabat. Pada peringkat
perkembangan ini, rakan sebaya merupakan satu aspek penting yang dapat
mempengaruhi kehidupan. Kecenderungan untuk bercampur gaul dengan rakan-rakan
sebaya menyebabkan murid sekolah tidak berhati-hati dalam membuat pilihan rakan
sebaya.

Masalah akan timbul apabila murid sekolah berkawan dengan rakan sebaya
yang sudah meninggalkan bangku sekolah. Golongan ini hanya menghabiskan masa
dengan berfoya-foya tanpa tujuan. Apabila murid sekolah bergaul dengan golongan
ini, mereka juga akan turut terikut-ikut dengan cara hidup tanpa tujuan ini. Akhirnya
mereka akan ponteng sekolah untuk bersama-sama dengan rakan-rakan mereka yang
12
EEM 432 Tugasan

tidak bersekolah . Oleh itu, jelaslah salah satu punca masalah ponteng sekolah ialah
murid-murid sekolah berkawan dengan remaja yang tidak lagi bersekolah.

Sikap Masyarakat
Di samping itu, sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri turut
menyebabkan gejala ponteng sekolah terus berleluasa. Masyarakat kita pada masa
kini tidak lagi memiliki sikap tegur-menegur antara satu sama lain, apatah lagi untuk
menegur anak-anak jiran yang didapati ponteng sekolah.
Masyarakat mengamalkan cara hidup tidak ubah seperti enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing. Tiada lagi semangat kerjasama dan hubungan
akrab antara anggota masyarakat, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat bandar.
Oleh sebab masyarakat tidak mempunyai semangat kerjasama, masalah ponteng
sekolah seolah-olah tiada penghujungnya. Murid-murid yang terlibat dengan gejala ini
berasa bebas kerana kegiatan mereka tidak ditegur oleh sesiapa, termasuk orang-orang
yang dikenali oleh mereka.

Temu bual dan soal selidik yang tak terancang dibuat dalam usaha mengetahui
sejauh mana masalah ponteng ini mempengaruhi keadaan sosial pelajar.

Pelajar yang ditemubual rata-rata susah untuk ke sekolah kerana bangun lambat dan
tidak dikejutkan oleh ibu bapa mereka . Secara tidak langsung pelajar menjadi malas
untuk ke sekolah kerana keterlewatannya.

Terkadang pelajar yang lewat bangun ini terpaksa menyediakan atau


menguruskan diri sendiri tanpa bantuan ibu bapa sama ada dari segi sarapan dan wang
saku. Pelajar yang semacam ini akan timbul masalah malas dan boring untuk ke
sekolah kerana mereka menganggap diri mereka tida sebaik rakan-rakan yang lain.
Perasaan malu ini menyebabkan pelajar yang terlibat tidak mahu sekolah. (hasil
temubual salah pelajar yang ponteng tegar. – respondens murid A)

Selain dari itu, dalam kalangan pelajar yang ponteng disebabkan tidak
menyukai mata pelajaran tertentu. Dan ada juga yang tidak menyukai guru-guru
13
EEM 432 Tugasan

tertentu. Ini berpunca dari kebosanan dengan guru yang mengajar mata pelajaran
tertentu. Pelajar cepat merasakan seperti berada di dalam keadaan penyiksaan sewaktu
menajalani proses pembelajaran.

Kesukaran memahami sesuatu mata pelajaran juga menyebabkan wujud nya


kekecewaan di kalangan pelajar untuk meneruskan mata pelajaran tersebut. Pelajar
yang menghadapi masalah ini agak gemar ponteng kelas sewaktu pembelajaran
berlaku dengan lepak di perpustakaan atau tandas sehingga waktu mata pelajaran
tersebut tamat.

Kepadatan dalam sesuatu kelas juga menjadi rungutan di kalangan pelajar.


Suasana yang tidak selesa dan pengurusan pembelajaran dengan gangguan sewaktu
pembelajaran menimbulkan kebencian di kalangan pelajar untuk berada di dalam
kelas.

Dalam kalangan pelajar yang ponteng sekolah disebabkan dibuli rakan-rakan


sekolah. Sikap pasif menyebabkan pelajar tersebut mudah menjadi bahan usikan dan
guruan pelajar-pelajar yang lain. Apabila ini berlaku, pelajar ini akan merasa rendah
diri dan malu untuk ke sekolah.

Terdapat juga dalam kalangan yang ditemubual , mereka tidak ke sekolah


kerana menolong ibu bapa di rumah atau membantu bapa di kebun. Keterpaksaan ini
menyebabkan pelajar tidak dapat hadir ke sekolah. Beralasankan masalah ekonomi
atau taraf hidup di kalangan pelajar menyebabkan mereka ponteng sekolah.

Terdapat juga hasil dari temubual, pelajar yang ponteng tanpa sebab, bila
disoal selidik ibu bapa mereka tidak memperdulikan kiranya pelajar yang terlibat
tidak sekolah. Malah tidak mengambil endah ke mana pelajar terbabit seharian.

Segelintir pelajar yang disoal selidik mengatakan masalah ponteng yang


dihadapi ini amat sukar dibendung kiranya tidak diberi perhatian khusus oleh pihak
sekolah. Dan mengharapkan pihak sekolah mengambil tindakan yang tegas terhadap
pelajar-pelajar yang terlibat. Dikhuatiri masalah ini akan menjadi ikutan kepada
14
EEM 432 Tugasan

pelajar yang lain kerana tiada apa-apa tindakan yang diambil oleh pihak sekolah
terhadap mereka.

Kesimpulannya, masalah ponteng ini menjadi satu trend di kalanga pelajar


pada masa kini. Perbincangan mengenai keruntuhan akhlak remaja adalah berkisar isu
pelajar remaja.

Justeru, strategi mengatasi masalah seharusnya ditumpukan pada golongan


remaja ini. Bagi menangani punca-punca ini, pelbagai inisiatif telah diambil oleh
variasi pihak. Berikut beberapa saranan:

Ibu bapa memainkan peranan mereka


Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius
terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau
pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal
pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk
mengatasai masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak
mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan
mereka yangmempunyai kedudukkan moral yang baik. Selain itu ibu bapa hendaklah
menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak.

Pendekatan akademik.
Ini boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti berteraskan akademik dan
separa akademik seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah. Begitu juga dengan
perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran seperti penggunaan komputer, video,
bantuan alat pandang dengar dan teknik pengajaran luar kelas.

Mewujudkan sistem perundangan di sekolah.

Peruntukan undang-undang di peringkat sekolah boleh menimbulkan rasa takut di


kalangan pelajar sekolah , di samping mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak
sekolah dan pihak ibu bapa dalam pengawasan disiplin.
15
EEM 432 Tugasan

Penguatkuasaan Undang-Undang oleh pihak berkuasa seperti polis.

Bidang kuasa polis yang sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah
dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar. Pihak pentadbir hendaklah mengambil
kesempatan dengan merujuk masalah pelajar ini kepada pihak polis.

Kaunseling

Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan seperti


kaunseling di peringkat sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting
dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih
bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman
dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut.

Peranan PIBG

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlulah memainkan peranan yang penting.
Pertemuan yang lebih kerap antara ibu bapa, penjaga dan guru perlu selalu berbincang
untuk menyelesaikan masalah ini.

KESIMPULAN
Tuntasnya, semua pihak terutamanya pelajar sendiri haruslah bertanggungjawab
membaik pulih sistem pendidikan negara agar dapat memacu kejayaan negara
seterusnya bersaing dengan kuasa besar antarabangsa yang lain. Janganlah kita
menjatuhkan air muka negara sendiri tatkala rumpun lain asyik memperlekehkan
kemampuan kita. Sesungguhnya pentarbiahan yang sempurna menjamin keterjelmaan
negara seiring dengan Gagasan 1Malaysia.

Kemampuan menguruskan emosi diri sendiri amat ditagih dalam mengatasi


masalah ponteng di kalangam pelajar-pelajar. Kemampuan memotivasikan diri ini
akan membantu pelajar dari terjebak dalam masalah sosial dan mengelakkan
timbulnya masalah ponten di kalangan pelajar.
16
EEM 432 Tugasan

Kemampuan mengenali emosi diri sendiri. kecerdasan emosi dapat bergabung


tenaga dengan kecerdasan akal bagi menentukan kejayaan dan keharmonian sesebuah
kehidupan manusia.

Untuk membolehkan penguatkuasaan larangan ponteng dapat dilaksanakan


secara menyeluruh, orang ramai diseru agar melaporkan kepada polis sekiranya
terserempak dengan pelajar yang ponteng sekolah.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga turut mengambil inisiatif bagi
menangani gejala ponteng dengan menyertakan syarat remaja berpakaian seragam
sekolah tidak boleh memasuki premis mereka sebagai salah satu syarat bagi
mengeluarkan lesen bagi kafe siber dan arked permainan video.

Di samping itu, pihak sekolah juga perlu menyediakan suasana persekolahan


yang kondusif serta tidak menekan pelajar untuk menarik minat pelajar agar terus
menghadiri kelas. Guru-guru juga disaran supaya bersikap ramah serta tidak terlalu
garang dengan pelajar.

Paling penting, ibu bapa seharusnya memainkan peranan bermula dari akar
umbi bagi mencegah anak-anak mereka daripada ponteng sekolah. Mereka seharusnya
memerhatikan gerak-geri anak mereka, dengan siapa anak mereka berkawan, kerap
menghubungi pihak sekolah serta memeriksa beg sekolah anak mereka sebagai bukti
sama ada anak-anak mereka menghadiri sekolah atau tidak. Ibu bapa juga tidak
seharusnya terlalu mempercayai anak-anak mereka kerana sikap terlalu memanjakan
anak sudah tentunya bakal memakan diri sendiri kelak.

Peranan umum meliputi peranan keluarga dan diri dalam menangani gejala
ponteng sekolah.Dari aspek keluarga , ibubapa perlu mengambil berat tentang
pembangunan salsiah anak mereka sejak kecil lagi. Selain itu,kanak-kanak perlu
melibatkan diri mereka dalam didikan agama.Ini disebabkan didikan agama dapat
mendisilipinkan dan membentukan jati diri mereka.
17
EEM 432 Tugasan

PENUTUP

Para guru harus sedar bahawa pelajar yang ada sekarang berbeza dengan pelajar pada
zaman 60-an dan 70-an dulu. Pelajar dulu takut dan hormat kepada guru, mempunyai
hala tuju yang jelas dalam belajar, tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak,
bercita-cita tinggi selain daripada dibesarkan dalam suasana keluarga yang penuh
dengan kasih sayang, hormat menghormati di samping tidak terlibat dalam arus
mengejar kebendaan semata-mata.
Pelajar dulu kaya dengan nilai-nilai budaya Timur yang mengutamakan nilai
menghormati mereka yang lebih tua. Kata-kata guru dianggap keramat, teguran guru
ibarat nasihat. Paling penting, pada waktu dulu para pelajar tidak terdedah dengan
pelbagai bentuk budaya asing dan popular yang bisa menghakis nilai-nilai ketimuran
yang mulia. Dulu, rotan adalah senjata yang paling berkesan untuk merawat salah
laku pelajar. Apa yang berlaku sekarang sudah amat jauh bezanya.
Sekolah dan golongan guru mesti menerima hakikat bahawa pelajar sekarang
lebih lantang dan sedar akan hak yang melindunginya sebagai pelajar. Mereka
adakalanya berani mencabar kewibawaan sekolah. Oleh itu, kaedah-kaedah
tradisional seperti dengan memarahi, merotan, menggantung dan membuang sekolah
sudah tidak sesuai lagi dengan kemelut disiplin sekarang.
Sekolah perlu mewujudkan iklim yang cukup selesa untuk para pelajar
menimba ilmu sehingga tidak ada ruang langsung pun untuk pelajar berasa tidak puas
hati dan mendorongnya untuk memberontak. Percayalah, masalah disiplin yang
berlaku di kalangan pelajar sekarang banyak berpunca daripada masalah keluarga
serta kegagalan guru mempersembahkan yang terbaik untuk para pelanggannya iaitu
para pelajar.
Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah
berleluasa. Dalam hal ini, semua pihak hendaklah berganding bahu untuk
membanteras gejala ini hingga ke akar umbi. Jika tidak gejala ponteng sekolah akan
mencetuskan pelbagai masalah lain yang lebih buruk kesannya kerana kudis akan
menjadi tokak jika tidak diubati. Kerjasama dan sikap prihatin masyarakat akan
membantu pihak sekolah menangani gejala ponteng sekolah dengan lebih berkesan
kerana generasi muda hari ini ialah pemimpin masa depan.
18
EEM 432 Tugasan

BAHAGIAN C

“Penyalahgunaan Dadah dalam kalangan Remaja : Bagaimana Remaja Boleh


Terjebak”.

PENGENALAN
Menurut Agensi Dadah Kebangsaan, dadah merupakan satu istilah khas kepada
sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratn kepada kesihatan seseorang dari segi
jasmani (fizikal), rohani (mental dan emosi) serta tingkah-laku pengguna apabila
digunakan. Akibat daripada kesan ini seseorang yang menggunakan dadah akan terus
bergantung hidup kepada dadah tersebut dan menyebabkan ketagihan. Seseorang
penagih sanggup menggadai maruah serta memperhambakan diri kepada sesiapa saja
walau dalam apa jua keadaan asalkan bekalan dadahnya terjamin. Akibatnya ramai
yang sanggup mengemis dan melacurkan diri.

Walaupun dadah yang dikenali umum terdiri daripada heroin, morfin, dan ganja, pada
hakikatnya ia merangkumi juga semua bahan yang boleh memberi kesan seperti yang
dinyatakan di atas. Ini termasuk tembakau dan arak. Malah, sesetengah ubat-ubatan
jika tidak digunakan mengikut peraturan dan sukatan yang betul boleh memberi kesan
negatif yang sama seperti dadah. Contohnya morfin dan sebatian terbitan daripadanya
yang banyak digunakan sebagai ubat penghilang kesakitan semasa merawat
kecederaan yang serius. Dengan perkataan lain dadah membawa risiko yang amat
tinggi sehingga boleh mengakibatkan maut. Semua jenis dadah yang telah disebutkan
pada dasarnya menunjukkan kesan ketagihan dalam bentuk pergantungan fizikal,
mental dan emosi yang sama.
19
EEM 432 Tugasan

BAGAIMANA REMAJA BOLEH TERJEBAK DENGAN


PENYALAHGUNAAN DADAH
Terdapat pelbagai perkara yang boleh menyebabkan remaja terlibat dengan
penyalahgunaan dadah. Antaranya ialah:

1. FAKTOR IBU BAPA

Ibu bapa merupakan insan yang telah mendidik dan memberi kasih sayang kepada
kita sejak dari kecil lagi. Mereka telah banyak berbakti kepada kita tanpa kita sedari.
Namun, apa yang menjadi keburukkannya ialah apabila ada segelintir ibu bapa yang
kurang perihatin terhadap anak-anak mereka sehingga anak-anak mereka boleh
terjerumus ke kancah penagihan dadah. Hal ini memang tidak dapat dinafikan
terutamanya dalam era mengejar kemewahan dan kesenangan hidup pada hari ini.
Para ibu bapa sentiasa sibuk mencari nafkah bagi menampung kehidupan serta
menyediakan keperluan asas yang penting untuk keluarga. Secara tidak langsung,
masa yang sepatutnya diluangkan bersama anak-anak menjadi terhad. Hal ini akan
mengakibatkan remaja menikmati kebebasan yang keterlaluan kerana kegiatan
mereka tidak lagi diambil tahu oleh ibu bapa. Lama-kelamaan, kebebasan yang
dikecapi akan membawa mereka ke arah gejala sosial yang terlampau seterusnya ke
lembah penagihan najis dadah dan mereka hanyut di bawa arus kehinaan.

Kurang kasih sayang daripada ibu bapa juga menyebabkan anak-anak tidak
mendapat perhatian yang secukupnya daripada mereka. Ibu bapa yang sibuk bekerja
dan ibu bapa yang mengelak atau tidak bertanggungjawab untuk menjaga anak-anak
menyebabkan anak-anak terabai. Anak-anak akan merasa kesunyian dan rasa tidak
diambil perhatian dalam setiap tindakan yang dilakukan. Hal ini menyebabkan
mereka memberontak dan apabila anak-anak memberontak ibu bapa hanya
mengambil tindakan dengan memarahi mereka tanpa usul periksa dan hanya dapat
menyalahkan mereka. Apabila ada ibu bapa yang memarahi dan menyalahkan mereka,
mereka akan cepat terasa dengan tindakan ibu bapa dan cuba menjauhkan diri
daripada ibu bapa seterusnya mencari rakan-rakan sebaya yang dapat beri
keseronokkan.
20
EEM 432 Tugasan

2. PENGARUH RAKAN SEBAYA

Antara faktor yang paling popular bahkan statistik sendiri menunjukkan bahawa
pengarauh kawan adalah punca seseorang itu terjebak dengan penyalahgunaan dadah.
Hal ini demikian kerana kebanyakan masa remaja diluangkan bersama dengan rakan
sebaya mereka. Oleh itu, pemilihan rakan yang sesuai haruslah dilakukan dengan
bijaksana oleh setiap remaja. Sekiranya rakan sebaya yang digauli oleh mereka
terlibat dalam pengambilan dadah, secara tidak langsung mereka sendiri akan terikut-
ikut dengan sikap rakan mereka. Budaya ini harus dikikis kerana hanya akan
menyebabkan gejala ini menjadi lebih serius. Para remaja perlu bersikap rasional pada
setiap masa Begitu ramai remaja dan belia kita yang tersalah memilih kawan dan
akhirnya mereka mula terjebak dengan gejala yang tidak sihat. Ibubapa yang tidak
mengawal pergaulan anak-anaknya juga menjadikan anak-anak itu mudah mendengar
nasihat kawannya berbanding ibubapanya sendiri. Pihak ibubapa, sekolah dan
masyarakat sekeliling perlu mempunyai sifat tanggungjawab yang tinggi bagi
membendung pengaruh negatif menyelubungi remaja dan belia kita. Sepertiamana
pepatah arab menyatakan “ Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan
menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan
apinya akan mencarikkan baju kita.”

3. TEKANAN / DEPRESSI

Kini, remaja bukan hanya berhadapan dengan cabaran untuk belajar di sekolah
semata-mata. Harapan yang tinggi oleh ibu bapa agar mereka mencapai prestasi yang
cemerlang dalam pelajaran telah menjadi suatu tekanan yang hebat kepada remaja.
Selain menghadiri kelas di sekolah, mereka terpaksa menghadiri kelas-kelas yang lain
seperti kelas tuisyen, muzik, tarian, seni pertahanan diri dan sebagainya bagi
memenuhi kehendak ibu bapa. Akibatnya, mereka tidak mempunyai masa yang
tersendiri untuk beristirahat dan melakukan hobi yang digemari oleh mereka. Tekanan
ini akan mendorong mereka mengambil dadah kerana kononya ingin mencari
ketenangan jiwa. Kini, remaja bukan sahaja berhadapan dengan cabaran untuk belajar
di sekolah semata-mata. Tekanan yang dialami akibat masalah peribadi, keluarga dan
21
EEM 432 Tugasan

kerja turut mendorong seseorang itu untuk menyalahgunakan dadah. Apabila tekanan
emosi keterlaluan, kemurungan berlaku sehingga mereka tidak mampu lagi berdepan
dengan tekanan itu. Akhirnya dadah menjadi teman setia yang dapat membolehkan
mereka lupa kepada tekanan yang dihadapi.

4. FAKTOR DIRI SENDIRI

Individu yang terlibat dengan penagihan dadah cenderung untuk ingin mencuba.
Perasaan ingin mencuba ini meyebabkan mereka tidak dapat mengawal diri mereka
untuk lari daripada terlibat dengan dadah. Remaja merupakan mereka yang mudah
mempunyai perasaan ini kerana pada ketika ini perasaan ingin tahu tentang sesuatu
yang baru, mula berputik.

Selain itu, individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah cenderung


untuk berseronok. Keseronokan juga merupakan sebab utama kenapa remaja mencuba
dadah. Sifat remaja yang suka akan hiburan dan perkara yang memberi kepuasan
kepada diri sendiri menyebabkan mereka mencuba dadah. Hasilnya remaja mula
ketagih dan menjadikan dadah sebagai medium utama untuk berseronok.

Selain itu, faktor diri sendiri yang tidak mempunyai kekuatan untuk menolak dadah
menyebabkan dirinya tidak dapat mengawal untuk terlibat dengan dadah. Mereka
tidak punyai kekuatan untuk lari daripada menyalahgunakan dadah. Hal ini di dorong
oleh kelemahan dalam mengawal nafsu dan kekurangan ilmu dalam agama serta
perasaan tidak takut pembalasan di akhirat kelak kerana mengambil bahan-bahan
yang boleh merosakkan diri sendiri. Tambahan lagi, dalam dunia moden ini remaja
sangat terdedah dengan gejala-gejala sosial yang boleh merosakkan akal fikiran
mereka. Kurangnya pendidikan agama menyebabkan remaja sesuka hati melakukan
perkara yang telah dilarang oleh ugama. Oleh itu, pendidikan agama amatlah penting
bagi menghalang atau menghindari dari perbuatan yang di anggap hina. Kesedaran
yang kurang tentang bahayanya dadah menyebabkan mereka mudah menjerumuskan
diri ke arah yang negatif. Kesedaran dalam diri itu penting kerana ia merupakan faktor
pelindung yang dapat melindungi diri kita daripada terlibat dengan najis dadah.
22
EEM 432 Tugasan

5 FAKTOR MASYARAKAT DAN PERSEKITARAN

Faktor masyarakat juga merupakan faktor yang menyumbang kepada


penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja. Persekitaran yang negatif seperti
masyarakat sekitarnya banyak yang terlibat dengan dadah menjadi penyumbang
utama kepada keinginan remaja untuk mencuba dadah itu sendiri. Remaja yang pada
awalnya bebas dengan dadah mula berjinak-jinak dengan benda tersebut setelah
melihat sendiri di depan mata cara bagaimana dadah itu digunakan. Setelah melihat
sendiri di depan mata, perasaan ingin mencuba itu timbul dalam diri individu. Reaksi
daripada penagih yang tenang dan dikatakan dadah itu sedap dan dapat melegakan
tekanan menambahkan lagi perasaan ingin mencuba itu. Remaja mula terpengaruh
dengan persekitaran mereka apabila melihat ada segelintir rakan-rakan atau kawasan
persekitaran yang negatif kerana kebanyakkannya menagih.

Selain itu, bekalan dadah yang mudah didapati juga menjadi faktor pendorong
remaja mula menjinakkan diri ke arah penyalahgunaan dadah. Bekalan dadah yang
mudah didapati di kawasan perbandaran dan di kawasan sempadan negara
menyebabkan bekalan dadah mudah masuk ke Malaysia. Hasil tangkapan mengikut
statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia(PDRM) menunjukkan bahawa
penyeludupan dadah sering diseludup melalui lapangan terbang utama dan kawasan
pelabuhan di Malaysia. Hal ini sangat membimbangkan, sehingga ada segelintir
rakyat Malaysia yang menjadi ‘keldai dadah’.
23
EEM 432 Tugasan

KESAN GEJALA PENYALAHGUNAAN DADAH

1. Kesan Penyalahgunaan Dadah Pada Fizikal Remaja

Dadah yang disalahguna mempunyai impikasi atau risiko yang menjejaskan kesihatan
tubuh badan manusia. Setiap jenis dadah yang diambil mempunyai tindakbalas yang
berbeza. Sebagai contoh kesan pengambilan dadah jenis Stimulants (Perangsang)
seperti amphetamine menyebabkan seseorang itu mengalami perubahan tekanan
darah, berpeluh, muntah, kehilangan berat badan, sakit dada, koma dan lain-lain.
Malahan, kesan jangka panjang hasil pengambilan dadah tersebut berkemungkinan
diserang sakit jantung yang menyebabkan kematian.

Secara rasionalnya, perkembangan fizikal remaja akan terjejas akibat


penyalahgunaan dadah. Di peringkat ini, remaja perempuan cenderung untuk menjaga
penampilan diri supaya kelihatan menarik. Tanpa bimbingan yang betul, ada di antara
mereka ini mengambil dadah untuk melangsingkan badan. Kesannya, mereka akan
mengalami ketagihan dadah tersebut sehingga mengalami anorexia nervosa iaitu
keadaan di mana seseorang individu itu mengalami gangguan diet pemakanan yang
serius sehingga menyebabkan susut berat badan yang terlampau.

Remaja lelaki pula pada awalnya terlibat dalam aktiviti merokok sehingga
segelintir mereka ini ingin cuba mencari sesuatu yang lebih memberi impak kepada
mereka. Dadah merupakan jalan penyelesaian untuk mereka memenuhi keinginan
mereka ini. Akibat yang ditanggung bukan sedikit, kesan negatif pada perkembangan
fizikal seperti kemerosotan berat badan dan daya ketahanan badan mungkin akan
berlaku. Kaedah perkongsian jarum suntikan umpamanya menyebabkan seseorang
remaja itu terdedah kepada penyakit berjangkit malahan lebih teruk lagi mereka ini
mungkin menerima risiko penyakit HIV Aids. Secara umumnya, kesan
penyalahgunaan dadah di kalangan remaja akan merencatkan proses perkembangan
fizikal remaja yang pesat berlaku. Gangguan perkembangan fizikal remaja ini juga
akan mempengaruhi perkembangan emosi remaja yang ketagihan dadah.

2. Kesan-Kesan Penyalahgunaan Dadah Pada Emosi Remaja


24
EEM 432 Tugasan

Di peringkat usia remaja, mereka mengalami konflik atau krisis mencari identiti dan
kekeliruan peranan. Fasa remaja sering dianggap sebagai fasa yang sangat tidak stabil
dalam perkembangan manusia. Kesan emosi yang ketara hasil tindak balas dadah
terhadap remaja tersebut seperti cepat marah, panik dan mungkin mengalami
kemurungan.

Remaja yang ketagihan dadah menunjukkkan perubahan emosi yang sangat


jelas, sama ada menjadi terlalu gembira, asyik ketawa, berperangai buruk atau
menjadi pendiam dan tidak mahu melakukan aktiviti. Remaja yang mengambil ganja
suka bunyi bising, jadi mereka mungkin memasang radio atau televisyen sekuat hati.
Emosi akan menjadi tidak stabil akibat kesan dadah. Apabila mengambil dadah,
mereka berasa lebih yakin dan gembira, sebaliknya menjadi murung dan gelisah jika
tidak mendapat dadah. Apabila keinginan untuk mendapatkan dadah tidak dapat
dipenuhi, akan berlaku gangguan dan ketidaktenteram jiwa. Remaja yang dalam
keadaan ketagihan dadah yang memuncak mungkin akan bertindak agresif untuk
menghilangkan ketagihan dadah yang sedang dialami.

3.Kesan-Kesan Penyalahgunaan Dadah Pada Sosial Remaja

Secara umumnya, remaja yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah akan mula
menjauhkan diri daripada keluarga dan rakan-rakannya. Mereka lebih cenderung
untuk bersama kelompok yang terlibat sama dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Kebanyakan penagih akan hilang minat dan tidak memperdulikan tanggungjawab
terhadap dirinya sendiri, keluarga da masyarakat. Prestasi dalam bidang akademik
mahupun pekerjaan merosot, tingkah laku dan sikap berubah daripada apa yang biasa
diamalkan atau diperhatikan sebelumnya. Mereka juga tidak menghiraukan kesihatan
dan kebajikan sebelumnya.

Kesan Penyalahgunaan dadah mendorong remaja melakukan jenayah


seperti merompak, mencuri dan jenayah yang boleh menjejaskan ketenteraman
masyarakat. Implikasi dadah juga mengakibatkan remaja hilang kawalan dalam
25
EEM 432 Tugasan

pergaulan sosial. Mereka cenderung untuk melakukan seks bebas di bawah pengaruh
dadah.

CARA MENGATASI PENYALAHGUNAAN DADAH

1. Melalui Peranan Ibu Bapa


Penagihan dadah adalah kurangnya perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa dan
keluarga. Bagi mengatasi masalah ini, para ibu bapa seharusnya memberi perhatian,
kasih sayang dan bimbingan kepada anak-anak mereka lebih-lebih lagi pada peringkat
remaja.

2. Melalui Peranan Sekolah


Mewujudkan Sekolah Bebas Dadah dengan mengadakan pendidikan pencegahan
dadah secara komprehensif melalui kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah/IPT,
intervensi, latihan guru dan penglibatan ibubapa. Pendidikan pencegahan dadah
adalah elemen penting dalam strategi pencegahan dan sekolah merupakan institusi
penting bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas dari dadah. Kementerian
Pelajaran telah diberi tanggungjawab bagi mengenalpasti, merancang dan
melaksanakan segala program supaya menjauhi dadah. Bagi mencapai hasrat diatas
semua pihak perlu memberikan komitmen, kerjasama dan berusaha melaksanakan
pelbagai pendekatan diantaranya seperti:
1) Melaksanakan program pendidikan pencegahan dadah di Tadika/Pra sekolah.
2) Melaksanakan program pendidikan pencegahan dadah melalui KBSR dan
KBSM yang lebih mantap.
3) Melaksanakan program pendidikan pencegahan dadah di IPTA/IPTS.

3. Melalui Peranan Masyarakat
Masalah dadah berkaitan rapat dengan masalah jenayah, keganasan, keselamatan dan
HIV/AIDS di satu-satu kawasan. Oleh itu semua pihak mestilah mewujudkan
kesedaran tentang kesan dan bahaya dadah disamping merangsang penglibatan
seluruh masyarakat setempat dalam usaha memerangi dadah. Setiap individu,
keluarga dan masyarakat di satu-satu kawasan bekerjasama dan mempunyai peranan
26
EEM 432 Tugasan

dalam pencegahan dadah dan memastikan kawasan mereka bersih daripada gejala
dadah.
Oleh itu dalam menangani masalah dadah, penglibatan secara sukarela
masyarakat setempat amat diperlukan. Antara perkara yang perlu diberi perhatian
dalam menangani maslaah dadah dalam masyarakat adalah:
1) Meningkatkan kesedaran penduduk di satu-satu kawasan tentang bahaya dan
ancaman dadah.
2) Menimbulkan kesedaran penduduk satu-satu kawasan bahawa masalah dadah
perlu ditangani bersama.
3) Meningkatkan pengetahuan penduduk satu-satu kawasan tentang peranan yang
boleh dilakukan bagi menangani masalah dadah.
4) Meningkat kerjasama pemimpin masyarakat dalam satu-satu kawasan untuk
menghapus/membersihkan gejala dadah di kawasan mereka.

4. Melalui Tanggungjawab Diri Sendiri

Remaja perlu bijak mengawal diri dan maklum tentang bahaya dadah. Mereka perlu
diberi maklumat tentang bahaya dadah. Mereka perlu dibimbing dalam membina
identiti dan personaliti diri mereka.

Di samping itu, memilih rakan yang baik juga perlu diambil kira. Ini kerana
rakan mempunyai pengaruh yang besar dalam pembentukkan akhlak remaja. Kawan
yang baik akan membawa kepada perkara kebaikan manakala kawan yang tidak
bermoral akan membawa kepada sebaliknya.

5. Melalui Pelaksanaan Undang-Undang


Di samping itu beberapa cara yang telah disebutkan sebelum ini perkara yang tidak
kurang pentingnya dalam pencegahan penyalahgunaan dadah ialah melalui
penggubalan undang-undang yang berkesan terhadap pesalah-pesalah dadah. Undang-
undang dadah di Malaysia meliputi aspek-aspek pencegahan hinggalah pemulihan.
Dalam pelaksanaannya, terdapat kelemahan-kelemahan perundangan yang
dikenalpasti secara berterusan dibuat pindaan supaya lebih berkesan. Penalti berat
27
EEM 432 Tugasan

yang dikenakan adalah menggambarkan kesungguhan Kerajaan Malaysia


membanteras masalah dadah.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, dadah merupakan penyakit masa kini yang semakin menular
khususnya dalam kalangan generasi muda. Generasi muda yang diharapkan mampu
mewarisi kepimpinan negara semakin tidak menyedari tanggungjawab yang
diamanahkan kepada mereka hanya disebabkan penyalahgunaan dadah. Telah banyak
usaha yang dilakukan oleh semua pihak bagi menangani masalah ini namun masih
tidak berhasil.
28
EEM 432 Tugasan

Rujukan :
Bernama. (2015, November 16). Lumba haram: 16,662 saman dikeluarkan di Pahang.
Didapatkan Mac 18, 2017, daripada Telus dan Tulus Sinar
Online:http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/lumba-haram-16-662-saman-
dikeluarkan-di-pahang-1.452333

Rozmi Ismail. 2004. Gejala perlumbaan haram di kalangan Remaja; Satu Kajian
Memahami faktor penglibatan dan jenis personaliti pelumba, dalam Prosiding Seminar
Kebangsaan ke3 Psikologi dan Masyarakat: Gejala Sosial dalam Masyarakat. 1-36

Rozmi Ismail dan Norhayati Ibrahim. 2007. Faktor-faktor Mempengaruhi Keterlibatan


Remaja Dalam Perlumbaan Motorsikal Haram dan Hubungannya dengan Jenis
Personaliti, Sokongan Sosial, dan Coping Skill . 1-35

Utusan Online. (2015, Mei 06). Hukuman lebih berat lumba haram. Didapatkan
daripada http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/hukuman-lebih-berat-pelumba-
haram-1.88401

RUJUKAN
Azizi Yahya, Shahrin Hashim, Yusof Boon dan How Lee Chan (2007). Faktor-
Faktor Mempengaruhi Pelajar Ponteng Di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah
Johor. Tesis Ph.D Universiti Teknologi Malaysia: tidak diterbitkan.

Ropiah Mohamed (2004). Faktor-Faktor Persekolahan Yang Mempengaruhi


Masalah Ponteng Di Kalangan Pelajar, Satu Kajian Kes Terhadap Pelajar Tingkatan
Empat Di Salah Sebuah Sekolah Di Daerah Muar, Johor. Universiti Teknologi
Malaysia: Tesis Sarjana Pendidikan.

http://pontengsekolah.blogspot.com/2012/04/cara-cara-menangani- ponteng-
sekolah.html

http://drghazali.blogspot.com/2011/05/karangan-contoh.html
29
EEM 432 Tugasan

http://pemonteng22.blogspot.com/2010/08/usaha-menangani-masalah-pelajar-
ponteng.html

Azizi Yahya, Jamaludin Ramli dan Wei May Lin. 2002. “Hubungan Antara
Tingkahlaku Keibubapaan dan Penghargaan Kendiri di Kalangan Remaja”.

Dr Tam Cai Lian. 2007. Bahaya Dadah Di kalangan Remaja. Mingguan Malaysia.
Muka Surat 8. 16 Disember 2007.
Norlaila Hamima Jamaluddin 2007. Penagihan bermula pada zaman remaja. Metro
Ahad. Muka Surat 28. 9 Disember 2007.
http://www.pemadam.org.my/cda/m_fakta/fkt_sta_penagihan78_files/filelist.xml
(akses 29 Februari 2008).
Prof. Madya Dzulkifli Abdul Razak. Dadah : Senario Sejagat Yang Membimbangkan
http://www.esmartstart.com/ad.html (akses 15 Februari 2008).

You might also like