You are on page 1of 25

MERAKYATKAN MAQASID AL-SYARIAH: TANDA ARAS DAN PLAN TINDAKAN1

Datuk Dr Mohd Daud Bakar2

1.0 Prakata dan pendahuluan


Saya amat teruja mendapat jemputan menulis sebuah penulisan berkaitan dengan
maqasid al-Syariah kerana maqasid al-Syariah adalah penyuluh kepada kehidupan
Syariah di atas dunia ini. Saya menjadi lebih teruja apabila diminta menulis bagaimana
untuk merakyatkan maqasid al-Syariah dalam kehidupan di setiap petak dan penjuru
kehidupan di kampung dan di bandar; untuk sarjana dan orang biasa, untuk orang Islam
dan bukan Islam, untuk kehidupan ekonomi dan politik dan segala apa sahaja yang
menyentuk denyutan nadi rakyat.

Secara peribadi, saya amat cenderung untuk berbicara bagaimana meremajakan dan
juga merakyatkan maqasid al-Syariah. Dalam penulisan ini, saya akan lebih fokus kepada
aspek yang kedua (atau sayap kedua kepada maqasid al-Syariah) kerana tema
bagaimana meremajakan maqasid al-Syariah sedang dibukukan dalam sebuah buku saya
akan datang bertajuk “Maqasid Shariah: The Face and Voice of the Shariah – Embedded
with Big Data Analytics and Artificial Intelligence”.

Apa kaitan data dan fakta kehidupan dengan maqasid al-Syariah? Tidak lama dahulu,
saya ada menulis dalam satu artikel tentang konsep ‘Rakyatnomics’ atau ekonomi yang
bersendikan keperluan dan kepentingan rakyat. Dalam penulisan tersebut, saya banyak
menyorot ke dalam urat saraf ekonomi negara untuk mengeluarkan satu teori yang
baharu kepada ‘Rakyatnomcis’. Penulisan bentuk sedemikian banyak melatih minda
Syariah saya supaya melihat atau melihat semula isu-isu ekonomi dari segi takrifan
kepada program dan aktiviti kepada tanda aras dan KPI supaya berteraskan kepentingan
rakyat dalam pelbagai bidang dan keperluan semasa. Keperluan semasa pastinya

1
Kertas kerja ini dibentangkan dalam seminar NUNJI, Melaka, 20 Julai 2019
2
Beliau adalah pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie. Beliau juga adalah Pengerusi Majlis
Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di samping menjadi ahli Lembaga
Pengarah Sime Darby Property Berhad. Beliau juga adalah Pengerusi, Lembaga Pemegang Amanah, YaPEIM
dan Presiden, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau telah menghasilkan 15 karya dan buku dalam
pelbagai tema dan ‘genre’.

1
memerlukan data yang lengkap dan bukan semata-mata kecenderungan dan minat di
hati.

Sejak dua tahun yang lepas, saya telah mula menulis tentang maqasid al-Syariah yang
berteraskan kepada ilmu pendataan atau data raya (big data analytics), dan ilmu
kebijaksaan atau kecerdasan buatan (artificial intelligence). Satu perasaan yang sukar
diungkap, saya berpeluang melihat bagaimana suara langit dapat diterjemahkan dalam
bentuk maqasid Syariah yang disokong pula oleh data dalam teks wahyu dan konteks
kehidupan.

Kedua-dua frasa ini adalah asas yang utama bukan sahaja kepada maqasid al-Syariah
tetapi juga kepada pemahaman Syariah yang sebenar (realist). Kalau teks wahyu
terpisah daripada konteks kehidupan (data kehidupan) atau konteks kehidupan terpisah
daripada suluhan teks wahyu, kehidupan masyarakat Islam akan pincang dan tidak
terarah. Semuanya menjadi tunggang terbalik dan penuh dengan konflik dalam pelbagai
dimensi dan arah.

Dalam penulisan ini, saya akan terus menggunakan pendekatan pendataan teks wahyu
dan pendataan data kehidupan untuk melihat kepada keperluan dan kepentingan rakyat
setempat dan semasa. Sebelum itu, apakah maksud Syariah yang ingin digarapkan oleh
maqasid al-Syariah? Definisi Syariah bagi saya ialah satu panduan daripada langit untuk
menyusun ekosistem kehidupan di dunia melalui panduan akidah, akhlak, hukum dan
polisi. Ini adalah satu definisi dan takrifan baru yang pernah saya tulis sebelum ini dan
ingin saya uar-uarkan dalam lintaran pengajian dan penulisan Syariah.

Definisi Syariah yang ada dalam kebanyakan buku-buku teks adalah terlalu akademik
dan terpisah daripada kehidupan yang mana sebenarnya berkait antara satu sama lain.
Antara definisi Syariah yang terkenal dalam buku-buku teks perundangan Islam ialah
Syariah itu adalah apa yang diwayhukan oleh Allah SWT dalam perkara-perkara akidah,
akhlak dan hukum tentang perbuatan seorang mukallaf. Dalam takrifan dan definisi yang
terkenal ini, ia tidak langsung menyentuh soal ekosistem kehidupan dan ia juga tidak
melihat kepentingan polisi dan dasar Syariah yang bersifat umum dan lebih tinggi

2
(kepentingan dan impaknya) daripada hukum fekah yang amali yang terhad cakupan dan
impaknya.

Adalah satu fakta Quran yang jelas bahawa Syariah diwahyukan oleh Allah SWT sejak
1,400 tahun yang lalu untuk menyusun semua aspek ekosistem ini dengan pelbagai
bentuk ajaran dan bidang ilmu. Inilah mesej dan fungsi utama Syariah iaitu membina dan
membangun kehidupan manusia yang penuh dengan kebaikan (masalih) dan terhindar
daripada keburukan (mafasid). Mesej pembangunan kehidupan dan sehubungan itu,
fungsi Syariah untuk tujuan pembangunan kehidupan ini perlu dimasukkan dalam
definisi Syariah.

Adalah amat menarik apabila al-Shatbi, pemikir dan penulis utama maqasid al-Syariah,
menyatakan bahawa dalam maqasid al-Syariah ada kebaikan kepada Allah SWT dan ada
juga kebaikan kepada manusia. Kebaikan kepada manusia adalah merujuk kepada
agenda kelestarian kehidupan di atas dunia sebagai manusia yang bersifat tanah dan
memerlukan segala apa sahaja untuk menyokong sifat ketanahan dalam jiwa manusia.
Di sinilah timbulnya kepentingan industri makanan dan air bersih, keselamatan nyawa,
reputasi dan harta, kekayaan dan kewangan, pendidikan, semak dan imbang, integriti
dan seumpamanya.

Dalam definisi Syariah di atas, saya telah tambah satu dimensi yang baharu iaitu
pengurusan ekosistem kehidupan kerana inilah tunjang kepada Syariah. Quran dan
Sunnah bukan hanya sekadar isu-isu agama yang terpisah daripada kehidupan atau isu-
isu kehidupan yang terpisah daripada agama, tetapi juga padat dan sarat dengan tema
eko-sistem kehidupan. Sehubungan itu, dalam teras amalan agama terdapat dimensi
polisi dan dasar kemanusian yang tinggi (contohnya: lihat ayat Quran tentang ibadah
haji dan kepentingan pengurusan logistik dan kelestarian dalam ibadah haji). Begitu juga
dalam amalan kehidupan manusiawi terdapat gesaan dan suluhan kepada mesej utama
dari langit supaya terkait antara hukum dan mesej kemanusiaan (contohnya: lihat hak
bekas isteri kepada mut’ah selepas perceraian sebagai tanggungjawab sosial menurut
persepktif Quran).

3
Malah, dalam ayat-ayat tentang hukum hakam sekalipun, Allah SWT sentiasa selitkan
isu-isu lain dalam susunan ayat-ayat hukum supaya semuanya terkait dan memberi
impak yang dikehendaki Allah SWT. Ini adalah pendekatan keterkaitan (al-tarabut) yang
terlalu jelas di dalam Quran di mana terkadang kita hanya fokus kepada pokok tetapi
terlepas pandang pada hutan yang luas.

Saya juga telah menambah dalam definisi Syariah ini satu lagi dimensi Syariah yang
penting di samping akidah, akhlak dan hukum iaitu polisi dan dasar kenegaraan. Apakah
maksud polisi di sini? Inilah maksud sebenar kepada maqasid al-Syariah. Maqasid al-
Syariah adalah polisi utama untuk menyusun dan mengurus kehidupan dalam Islam.
Syariah ini tidak lengkap kalau kita hanya melihat semua perkara secara mikro, terperinci
dan terpencil. Ia tidak akan lengkap jika kita gagal melihat apakah polisi dan gagasan
utama yang ingin digarapkan oleh suara dari langit.

Malah, tidak keterlaluan kalau disebut bahawa polisi dan gagasan utama dalam Quran –
samada secara langsung atau tidak langsung, adalah lebih banyak dan lebih mampan
daripada ayat-ayat tentang hukum hakam. Ini adalah satu fenemona Quran yang cukup
mempersonakan. Quran adalah sebuah kitab polisi, panduan amalan terbaik, panduan
umum dan keperlembagaan lebih daripada sebuah kitab hukum dan kefekahan yang
hanya berkaitan dengan kes tertentu atau orang dan golongan tertentu. Maqasid al-
Syariah merentasi dan melepasi semua keterbatasan ini.

Kita akan membuat penjelasan lanjut nanti tentang bentuk dan fungsi polisi dan amalan
terbaik dalam cakupan definisi Syariah untuk memberi kebajikan dan kelestarian kepada
manusia secara menyeluruh. Kebaikan yang dibawa dan dicetuskan oleh satu hukum
fekah – tidak kira sepenting manapun - adalah tidak sama impaknya dengan satu polisi
kebaikan yang lebih menyeluruh dan menyentuhi semua atau kebanyakan bidang
kehidupan. Sebagai contoh, melarang orang yang sudah banyak hutang melepasi kadar
atau ratio tertentu untuk terus berhutang adalah hukum fekah tetapi meletakkan polisi
pengawalan kadar keberhutangan di peringkat masyarakat dan negara adalah satu dasar
dan polisi yang boleh menjaga kemaslahatan negara dengan lebih baik dan berimpak
tinggi.

4
2.0 Maqasid al-Syariah : Satu Takrifan Dalam Kepompong dan Makmal Ulamak Syariah
Sebelum kita cuba memberikan satu definisi maqasid al-Syariah menerusi kacamata
orang awam di setiap jalanan dan alamat rumah, elok dipersembahkan dulu takrifan
teknikal dan klinikal kepada maqasid al-Syariah seperti yang kebiasaannya didokumen
dalam hasil penulisan ilmu Islam. Sememangnya inilah takrifan dan definisi yang telah
dipersembahkan kepada semua lapisan masyarakat selama ini. Kadang-kadang ia
menjadi terlalu berat kepada orang awam dan rakyat untuk memahami maksud maqasid
al-Shariah yang sememangnya lancar disebut oleh lidah dan ringan dalam minda para
ulamak dan sarjana Islam.

Namun, dalam penulisan ini, saya akan cuba ringankan definisi dan maksud maqasid al-
Syariah nanti. Saya akan kupaskan maksud dan kapsul maqasid al-Syariah daripada
makmal dan pusat penyelidikan para sarjana Islam untuk disesuaikan dengan setiap
pelosok dan lorong kehidupan.

Apakah definisi dan maksud maqasid al-Syariah dalam karangan utama dan sekunder
peradaban Islam mengenai maqasid al-Syariah? Adakah terdapat di sana satu takrifan
yang jelas yang disepakati oleh para ulamak dan sarjana Islam sejak berkurun dahulu?
Persoalan ini agak menarik kerana ulamak-ulamak dahulu tidak pernah mendefinisikan
maqasid al-Syariah dalam satu takrifan dan definisi yang selalu kita lakukan di zaman
sekarang. Malah, Imam al-Shatibi sendiri sebagai penulis agung tentang maqasid al-
Syariah bukan sahaja tidak memberi definisi konkrit dan tepat malah tidak juga
menamakan buku beliau yang paling tersohor dalam bidang ilmu maqasid al-Syariah
sebagai maqasid al-Syariah. Sebaliknya, buku ini diberi nama al-Muwafaqat.

Keadaan ini sama juga dengan buku al-Risalah karangan Imam al-Syafi’i yang merupakan
buku terulung dan pertama dalam bidang ilmu usul fekah. Di zaman dahulu, definisi
sesuatu ilmu secara teknikal dan klinikal mungkin tidak penting kerana konsep umum
sesuatu bidang ilmu itu sudah pun difahami oleh masyarakat semasa penulis menulis
sesebuah buku itu. Dalam bahasa yang lain, konsep dan maksud maqasid al-Syariah

5
mungkin sudah dirakyatkan dalam masyarakat zaman beliau semasa menulis buku ini. Ini
adalah rasionalisasi yang dibuat oleh Sheikh Dr Ahmad Raysuni kepada buku al-
Muwafaqat karangan Imam al-Shatibi (lihat al-Raysuni, Nazariyat al-Maqasid ‘ind al-
Imam al-Shatibi). Ulasan dan komentar yang sama dilontarkan oleh Majid Khadduri,
penyunting utama kitab al-Risalah di awal kurun 20 masihi.

Saya amat bersetuju dengan ulasan sedemikian dan saya sendiri telah membuat kajian
secara ‘hermeneutik’ (hermenuetics) iaitu satu teori interpretasi dan penafsiran sesuatu
naskah atau teks melalui penilitian dan ujikaji setiap perkataan yang ditulis dan ditutur
atau tidak ditutur dalam penulisan buku-buku Imam al-Shafi’i (lihat Mohd Daud Bakar,
“Was al-Shafi’i the Master Architect of Islamic Jurisprudence?”). Pendekatan yang ada
kaitan dengan tafsiran kognitif ini, adalah amat bersesuaian dengan teks wahyu kerana
setiappatah dan laras perkataan dalam kandungan wahyu pasti mempunyai mesej agung
samada secara tersurat atau tersirat.

Definisi maqasid al-Syariah sebagai definisi moden hanya timbul di akhir kurun yang
lepas. Sarjana Islam yang pertama yang memberi definisi maqasid al-Syariah secara
teknikal adalah Ibn ‘Asyur dalam bukunya Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah. Bagi beliau,
maqasid al-Syariah adalah “segala objektif dan hikmah yang boleh diperhatikan (dan
dipetik) dalam perwatakan undang-undang Islam di mana pemerhatian ini tidak terhad
kepada mana-mana hukum dalam perundangan Islam”. Kemudian, beliau membuat
klasfikasi maqasid al-Shariah kepada maqasid ‘ammah (objektif umum) dan maqasid
khassah (objektif khusus). Contoh kepada maqasid ‘ammah adalah seperti membawa
kebaikan dan menolak kejahatan dalam masyarakat melalui keadilan dan menjaga hak
kemanusiaan. Manakala contoh kepada maqasid khassah adalah hikmah-hikmah yang
ada dalam kandungan perundangan Islam seperti keharusan gadaian (rahn) untuk
menjaga kepentingan pemberi pinjaman dan keharusan cerai untuk menolak
kemudaratan yang berterusan dalam institusi keluarga.

Sarjana yang datang selepas Ibn ‘Asyur adalah ‘Allal al-Fasi yang mengabungkan kedua-
dua klasifikasi maqasid al-Syariah dan sehubungan itu, telah memberi definisi maqasid
al-Shariah dalam bukunya Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah wa Makarimuha sebagai

6
“objektif (matlamat tertinggi) kepada Syariah dan hikmah yang dikehendaki dan
diletakkan oleh Allah SWT pada setiap hukum dalam Syariah”. Definisi ini jelas
merangkumi kedua-dua klasifikasi maqasid ‘ammah dan maqasid khassah. Kedua-dua
sarjana ini hidup di penghujung kurun 20 masihi.

Kemudian al-Raysuni datang memberikan definisi beliau. Al-Raysuni adalah sarjana di


awal kurun 21 masihi yang paling banyak berkarya dalam bidang maqasid al-Shariah.
Menurut beliau, maqasid al-Syariah adalah objektif yang pada asalnya dilekatkan dalam
kandungan Syariah untuk diperolehi dan dilaksanakan bagi faedah kesemua manusia.
Takrifan ini lebih menyeluruh daripada takrifan sebelum ini. Ia memberi gambaran
bahawa maqasid al-Syariah adalah satu polisi atau penanda arah kepada apa sahaja yang
boleh membawa kebaikan (dan menolak kejahatan) dalam kehidupan manusia secara
keseluruhan tanpa melihat latar belakang mereka.

Seperti mana ulamak sebelum beliau, beliau turut memberikan beberapa klasifikasi
kepada maqasid al-Shariah. Berbeza dengan pandangan Ibn ‘Asyur dan ‘Allal al-Fasi,
beliau mengapungkan tiga bentuk atau jenis maqasid al-Shariah iaitu maqasid ‘ammah,
maqasid khassah dan maqasid juz’iyyah (objektif atau hikmah yang terpencil).
Perbezaan yang ketara adalah antara maqasid khassah dan maqasid juz’iyyah di mana
hikmah atau tujuan Syariah yang utama dalam keseluruhan sesuatu bab fekah dalam
perundangan Islam seperti bab mu’amalah adalah termasuk dalam bidang maqasid
khassah manakala objektif atau hikmah khusus kepada hukum tertentu dalam sesuatu
bab fekah seperti keharusan gadaian dalam kes keberhutangan dalam bab mu’amalah
adalah tergolong dalam maqasid juz’iyyah.

Apa pula definisi teknikal kepada maqasid al-Shariah menurut perspektif saya? Ia adalah
“satu himpunan tujuan, matlamat dan tema yang Allah SWT telah letakkan dalam
kandungan keseluruhan wahyuNya – sama ada difahami secara langsung atau tidak –
untuk menyediakan rujukan umum kepada manusia melepasi sekatan hukum dan
perundangan Islam dan melepasi sebarang tujuan, hukum dan perkara yang khusus dan
terpencil”. Dalam bahasa yang mudah, maqasid al-Syariah bukan lagi dalam ruang litup
perundangan Islam seperti yang difahami oleh ramai (atau kesemua) sarjana Islam.

7
Secara teori, ia bolehmerangkumi bidang perundangan Islam (dalam konteks maqasid
‘ammah sahaja) tetapi ia tidak semestinya terikat dengan perundangan Islam. Ia berada
di atas dan lebih tinggi daripada mana-mana bentuk perundangan Islam kerana ia adalah
polisi umum dan dasar utama kehidupan yang diinspirasikan oleh suluhan wahyu
Syariah.

3.0 Maqasid al-Syariah: Satu Takrifan Untuk Rakyat Biasa


Inilah masanya untuk membawa definisi dan maksud maqasid al-Syariah daripada tiang
seri yang tinggi di awan biru ke atas jalanan di setiap pelosok kediaman dan tempat
pekerjaan manusia di kurun 21 Masihi. Mungkin orang ramai tidak begitu memahami
apa yang ingin dibicarakan dan diistilahkan oleh tokoh-tokoh pemikir Islam tentang
maqasid al-Syariah.

Mungkin minda yang tidak diasuh dengan ilmu usul fekah dan ilmu algorisma
perundangan Islam tidak dapat mendalami dan menghayati maksud maqasid al-Syariah
yang sering dilontarkan dan diapungkan dalam perbincangan Syariah di pelbagai aspek
kehidupan. Maka, mereka mungkin sebenarnya betul-betul tidak memahami seperti
mana mereka memahami perkara perkara asas lain seperti pekerjaan dan skim
pengajian, polisi percukaian pendapatan, atau pun perkara yang rapat dengan mereka
seperti rumah, kenderaan dan kesihatan peribadi.

Ada kemungkinan mereka juga tidak berminat untuk memerah otak dan minda untuk
cuba menyelusuri fakta dan data teori maqasid al-Syariah ini. Inilah juga satu fakta
dalam bidang ilmu yang lain seperti nanoteknologi, internet atau inflasi (atau deflasi)
atau perakaunan. Mereka hanya ingin tahu bagaimana menggunakan ilmu ini untuk
faedah mereka sebagai orang awam tapi tidak mahu bekerja keras untuk memahami
sesuatu ilmu itu secara terperinci dan klinikal. Ini adalah tidak ‘salah’ kepada mereka
sebagai pengguna kerana adalah menjadi tanggungjawab sarjana dan ilmuan untuk
memudah cara semua ilmu-ilmu ini.

Bagaimana kiranya ingin saya persembahkan teori maqasid al-Syariah kepada orang
ramai dalam masyarakat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan

8
keududukan sosio ekonomi? Memang mencabar. Berikut adalah cara saya
mempersembahkan teori maqasid al-Syariah kepada semua orang awam. Maqasid al-
Syariah adalah satu himpunan atau koleksi polisi dan panduan amalan terbaik yang
boleh memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada semua atau kebanyakan orang atau
sebaliknya, dapat menghindarkan kejahatan dan keburukan daripada semua atau
kebanyakan orang dalam segala lapangan kehidupan merentasi kehidupan ritual
beragama. Apa pandangan anda semua? Adakah takrifan sebegini boleh difahami oleh
orang awam?

Begini jalan ceritanya secara naratif perbandingan. Dalam sesuatu kes di mahkamah,
mana-mana pihak samada pihak menuntut (plaintif) atau yang dituntut (defendan)
boleh membawa mana-mana bukti untuk menyokong samada tuntutan mereka atau hak
mereka dalam sesuatu hak yang dituntut oleh orang lain. Satu bukti yang mereka ada
mungkin cukup dan menyakinkan. Bayangkan kalau mana-mana pihak mempunyai
banyak bukti dari pelbagai aspek dan dimensi, sudah pasti tuntutan atau penafiannya
lebih berwibawa dan lebih menyakinkan. Kuantiti dan kepelbagaian bukti atau bahan
bukti yang banyak akan menjadikan sesuatu perkara yang disokong atau dinafikan oleh
bukti-bukti ini lebih kuat, kukuh dan tidak boleh dicabar.

Begitulah juga dalam teori maqasid al-Syariah. Maqasid al-Syariah terbina di atas tujuan
(maqsid dan nama pluralnya adalah maqasid) tema, mesej atau hikmah tertentu yang
disebut oleh al-Quran dan Sunnah secara berulang kali. Ia hanya boleh terbina atas
himpunan ayat-ayat Quran yang berbentuk kolektif, kumulatif dan berganda
(compounding). Namun, dalam masyarakat Islam, maqasid al-Syariah secara umumnya
difahami sebagai hikmah perundangan seperti hikmah dalam perceraian dan hikmah
dalam kesaksian dalam transaksi berhutang. Ia adalah untuk menyelesaikan konflik
antara suami dan isteri yang tidak ada jalan penyelesaian dan untuk mengelakkan
pertikaran tentang butiran hutang. Begitu juga hikmah dalam kontrak gadaian ialah
untuk menjaga kepentingan pihak yang memberi hutang untuk tujuan mendapat balik
jumlah keberhutangan melalui pelupusan harta gadaian dalam pasaran apabila
penerima hutang gagal membayar hutangnya (tauthiqat). Kedua-dua hikmah dalam

9
kedua-kedua kes yang spesifik ini telah diertikan sebagai maqasid al-Syariah. Inilah
pemahaman kebanyakan orang ramai serta sebahagian sarjana dan pemikir Islam.

Sewajarnya, pemahaman ini adalah kurang tepat malah pemahaman ini akan
mengurangkan nilai dan kedudukan sebenar maqasid al-Syariah sebagai satu
pendekatan Syariah yang paling berprestij dan mampan bagi menjadi penentu arah tuju
dan pemutus kepada apa sahaja konflik dalam batang tubuh Syariah. Sehubungan itu,
adalah tidak layak kepada maqasid al-Syariah hanya menjadi hikmah perundangan yang
terlalu spesifik dan kadang-kadang terlalu terpencil. Malangnya, inilah yang menjadi
rujukan lazim kepada maqasid al-Syariah. Pendekatan ini juga bertepatan dengan
definisi yang telah diberikan oleh sarjana Islam – seperti yang telah ditulis sebelum ini -
khususnya dalam konteks maqasid khassah dan maqasid juz’iyyah.

Hikmah perundangan dalam sesuatu hukum tertentu (seperti dalam kes cerai taklik atau
penjamin atau gadaian dalam transaksi hutang) malah dalam keseluruhan bab fekah
tertentu (seperti keseluruhan bab pernikahan atau muamalah) memang ada di
dalamnya rahsia dan tujuan yang agung daripada langit tetapi ia bukan lagi bertaraf
polisi yang dimaksudkan dalam maqasid al-Syariah. Maqasid al-Syariah mestilah
mempunyai impak yang menyeluruh tanpa ada apa-apa sekatan dan lebih penting lagi,
ia juga mesti disokong oleh dalil atau bukti yang kolektif, kumulatif dan berganda-ganda
(compounding).

Apa maksud kenyataan di atas? Maqasid al-Syariah adalah seperti sebuah kompas dan
rumah api yang memberi panduan dan inspirasi kepada keseluruhan kehidupan Syariah
dalam semua aspek dan dimensi kehidupan. Ia tidak boleh menjadi tempat tujuan dan
destinasi atau menjadi sebuah kapal yang berlayar di tengah lautan. Ia adalah kompas
dan rumah api kepada setiap pelayar di lautan kehidupan Syariah yang luas dan tidak
bertepi.

Dalam buku saya Maqasid Shariah: The Face and Voice of the Shariah (akan datang),
saya senaraikan ciri-ciri atau bentuk-bentuk utama kepada maqasid al-Syariah yang
sebenar. Bagi saya, ini adalah bentuk maqasid al-Syariah yang mesti dirakyatkan dalam

10
masyarakat kerana ia memberi kesan secara langsung kepada rakyat dan ekosistem
kenegaraan. Ia bukan lagi berkenaan satu hikmah atau beberapa hikmah perundangan,
atau hukum tertentu, atau berkaitan dengan golongan tertentu, atau bab tertentu
malah sesuatu maqsid tertentu pun. Bentuk maqasid al-Syariah yang luas dan
mencakupi keseluruhan tema kehidupan inilah yang akan menjadikan Syariah itu sendiri
hidup dan relevan dalam masyarakat di setiap penjuru dan petak kehidupan, samada di
bandar atau di desa, di Parlimen atau di kilang, di universiti atau pejabat, di kalangan
orang kaya dan berpendidikan tinggi atau golongan miskin dan kurang pendidikan, dan
seterusnya.

Apakah ciri-ciri maqasid al-Syariah yang lebih tepat daripada sudut pandang Syariah dan
yang lebih berimpak secara langsung dalam kehidupan rakyat dan kenegaraan? Saya
akan sebutkan sebahagian ciri-ciri ini iaitu teori maqasid al-Syariah pada pandangan saya
secara peribadi. Namun, ini hanya dibentangkan secara ringkas sahaja untuk
mengurangkan bilangan muka surat dalam penulisan ini (di mana artikulasi lengkap akan
disajikan dalam buku Maqasid al-Syariah yang akan datang).

Teori maqasid al-Syariah terbina di atas beberapa vertikal yang penting untuk benar-
benar menjadikannya agung, memacu serta mengarah satu pembentukan kehidupan
Syariah yang lestari atas dunia ini dalam setiap bidang dan dimensi kehidupan. Ini
peranan sebenar Syariah secara umum dan peranan maqasid al-Syariah secara khusus.
Antara ciri-ciri atau vertikal maqasid al-Syariah (yang saya telah kenal pasti) adalah:

a. Setiap maqsid dalam skima maqasid al-Syariah mestilah terbentuk dan terbina atas
himpunan dan koleksi dalil atau bukti atau sandaran teks wahyu yang berbentuk
kolektif, kumulatif dan berganda-ganda (compounding). Sesuatu tujuan atau
matlamat Syariah yang dibangunkan atas satu atau beberapa dalil serta sandaran
sahaja adalah tidak mencukupi tahap dan piawaian maqasid al-Syariah. Apatahlagi
sebarang kenyataan bahawa sesuatu perkara atau polisi itu bertepatan dengan
maqasid al-Syariah atau bertentangan dengan maqasid al-Syariah tanpa memberi
sebarang sandaran adalah dakwaan yang rapuh dan mencari reputasi yang murah.
Kenyataan bahawa memberikan rumah murah secara percuma kepada rakyat adalah

11
disokong oleh maqasid al-Syariah atau kenyataan bahawa membenarkan
penggunaan kad kredit atau e-wallet bertentangan dengan maqasid al-Syariah tanpa
memberikan sebarang lantai kepada penghujahan maqasid al-Syariah adalah tidak
membawa apa-apa nilai kerana keabsahan dan kekuatan maqasid al-Syariah adalah
terletak pada kuantiti dan kualiti lantai dan sandarannya.

b. Setiap maqsid tidak boleh berbentuk terhad dan menghadkan. Setiap perkara dan
contoh maqasid al-Syariah yang ada sekatan dan keterbatasan – dari segi skop,
golongan sasaran dan pemegang taruh dan impak - belum lagi mencapai tahap dan
kedudukan serta peranan maqasid al-Syariah sebagai petunjuk hidayah yang
menyeluruh dan sebuah kod keperlembagaan.

c. Setiap maqsid dalam skima maqasid al-Syariah mesti ada keterkaitan dengan
maqasid yang lain di mana tidak ada maqsid yang boleh berdiri sendiri. Misalnya,
tujuan penjagaan agama memerlukan kepada penjagaan dan penjanaan harta dan
juga integriti serta amanah. Kalau fungsi integriti lemah dan koyak, penjagaan agama
dan harta pun akan robek dan binasa. Malah Syariah sendiri adalah bersifat
keterangkuman dan keterkaitan. Mana-mana maqsid yang ingin dibangunkan tetapi
berfungsi secara terasing (isolation) mungkin belum memenuhi ciri-ciri maqasid al-
Syariah yang sebenar.

d. Mesti ada hubungan dan korelasi yang intim antara data kehidupan dan data teks
wahyu. Walapun teks wahyu adalah tetap, tetapi data kehidupan bersifat berubah.
Maqsid yang betul ialah mengambil pertimbangan semua data wahyu dan juga data
serta fakta kehidupan. Maqsid yang kosong dan kering daripada data kehidupan
adalah mungkin tersasar ataupun kurang berimpak.

e. Maqasid al-Shariah bukan hanya dituju kepada golongan Muslim tetapi kepada
semua manusia dan kemanusiaan. Ia adalah kunci kepada tema-tema kehidupan
kemanusian. Kalau hukum fekah (dan juga hikmah perundangan) hanya terhad
kepada golongan Muslim, maqasid al-Syariah pula melihat kepada semua manusia
dan seluruh ekosistem sebagai gelanggang tempat ia berfungsi dan berperanan.

12
f. Maqasid al-Shariah adalah alat dan mekanisma pengurusan kehidupan masyarakat
dan negara dan bukan untuk menguruskan kehidupan individu atau golongan
tertentu. Ia adalah untuk semua atau kebanyakan orang dan bukan untuk individu
atau golongan tertentu (melainkan kedudukan dan peranan orang dan golongan
tertentu itu mempunyai impak yang langsung kepada semua atau kebanyakan orang
iaitu rakyat). Sehubungan itu, saya lebih cenderung untuk menerima daruriyyat
(keperluan mendesak) dan hajiyyat (keperluan munasabah) sebagai tiang maqasid
al-Syariah dan terpaksa menolak tahsiniyyat (keperluan sampingan) sebagai tiang
atau lantai kepada rumah maqasid al-Syariah.

Tahsiniyyat hanyalah sekadar memenuhi keperluan sebahagian kecil golongan


masyarakat di mana impaknya tidaklah menyeluruh kalau dilaksanakan atau
diabaikan. Tetapi perlu diingat bahawa berdasarkan perubahan cara hidup dan data
kehidupan masyarakat semasa, beberapa perkara dalam bidang tahsiniyyat boleh
bertukar menjadi hajiyyat atau mungkin juga daruriyyat apabila impaknya sudah
menyeluruh dan memenuhi ciri-ciri maqasid al-Syariah yang disebut di atas. Di masa
lepas masyarakat tanpa tunai (cash-less) atau penggunaan e-wallet mungkin hanya
sekadar satu kemudahan pilihan kepada orang tertentu. Namun, disebabkan
perubahan sosio-ekonomi dan teknologi, penggunaan wang secara digital menjadi
perkara utama dan mendesak dalam sebahagian komuniti dunia di mana
penggunaan wang tunai adalah tidka diterima dan kadang-kadang dikenakan caj
tambahan.

4.0 Aplikasi Maqasid al-Syariah kepada Rakyat dan Masyarakat


Apa pentingnya maqasid al-Syariah kepada rakyat dan orang ramai? Ini adalah satu
persoalan yang jarang ditanya, dan kalau ditanya pun, tidak ada jawapannya. Mengapa
semua ini berlaku? Mesti ada rahsia di sebalik fenomena ini.

Mungkin ada yang percaya bahawa ilmu maqasid al-Syariah ini hanyalah untuk para
ulamak dan sarjana Islam sahaja. Malah, ada yang mengatakan bahawa ilmu ini adalah di
posisi keilmuan yang tertinggi sekali melepasi sempadan ilmu fekah dan ilmu-ilmu

13
Syariah yang lain. Maqasid al-Syariah juga dikatakan berada di puncak gunung ‘Everest’
dalam pengajian Islam.

Bagitu juga, hanya sebilangan kecil sahaja di kalangan ulamak dan sarjana yang
dikatakan mampu menguasai ilmu ini. Dalam bahasa mudah, ianya satu ilmu untuk
golongan elit di kalangan beberapa ulamak sahaja. Sehubungan itu, tidak semua ulamak
dan sarjana Islam yang mampu berbicara tentang maqasid al-Syariah. Secara logiknya,
sudah pasti orang awam akan lebih tersisih dan terpinggir daripada bidang dan bahang
ilmu yang nampaknya hanya eksklusif kepada orang tertentu sahaja waimma di kalangan
para sarjana Islam pun.

Ini adalah satu pandangan yang kurang tepat. Walaupun ilmu maqasid al-Syariah berada
di kemuncak hierarki keilmuan Islam, ia adalah ilmu untuk semua orang dalam semua
lapisan dan bidang kehidupan. Secara terus terang, pandangan di atas sebenarnya
mencemarkan imej Islam dalam konteks naratif ajaran agama Islam yang sebenar. Islam
dan ajarannya adalah sentiasa bersifat inklusif. Apabila mana-mana bidang dan cabang
ilmu dalam Islam dijadikan eksklusif iaitu hanya orang tertentu sahaja yang boleh
memahami atau memberi interpretasi dan penafsiran, ia akan menjadikan agama Islam
ini serpihan dan kadang-kadang berbentuk kumpulan tertentu atau tokoh tertentu.
Agama Islam dan kefahamannya tidak boleh dimonopoli atau dikuasai oleh mana-mana
kumpulan atau orang. Kefahaman tentang ajaran agama Islam mestilah mampu difahami
oleh semua orang tanpa melihat latar belakang seseorang itu khususnya dalam perkara
asasi agama.

Adakah maqasid al-Syariah perkara asas dalam ajaran agama Islam? Saya berpandangan
begitu. Seperti mana seorang Muslim perlu mengetahui perkara akidah, akhlak dan
hukum fekah berkaitan tindak tanduk sebagai peribadi Muslim, dia juga mesti
mengetahui apakah polisi dan dasar utama dalam agama Islam ini. Seperti yang telah
dibayangkan sebelum ini, Quran adalah padat dan sarat dengan tema-tema utama
kehidupan.

14
Ekoran daripada itu, mengetahui maqasid al-Syariah adalah juga mengetahui tema-tema
utama kehidupan sepanjang Quran ini. Kita kena ingat selalu bahawa Syariah
diwahyukan untuk membina satu kehidupan (baldatun tayyibbah) tetapi patuh Syariah
(rabbun ghafur) di dunia dan bukan di akhirat. Ini adalah kerana akhirat mempunyai
ekosistem dan sistem pengurusan yang amat berbeza dengan alam dunia. Quran dan
Sunnah diwahyukan sesuai dengan peranan manusia atas dunia dan juga lanskap
kehidupan dunia dan bukan di akhirat.

Masa sudah sampai untuk melihat bagaimana boleh kita melaksanakan maqasid al-
Syariah dalam semua tisu-tisu kehidupan masyarakat yang melibatkan tema alam
sekitar, peluang ekonomi, pemilikan rumah mampu milik, kehidupan pesara yang lestari
selepas umur persaraan, kebajikan orang tua dan kedua ibubapa, peluang setiap warga
negara mendapat pendidikan ke tahap yang paling tinggi, pendapatan seisi rumah yang
sesuai dengan peningkatan kos sara hidup, kelestarian eko-sistem (sustainability),
keharmonian antara kaum dan agama, keselamatan jiwa dan hartaat, tadbir urus dan
integriti, keadilan yang benar-benar tidak memihak dan banyak lagi tema kehidupan
utama yang mendapat sokongan dan galakan daripada keseluruhan teks wahyu iaitu
suara langit.

Saya rasa cukup untuk membawa satu tema sahaja dalam penulisan ini. Ianya berkaitan
dengan kelestarian hidup golongan warga emas. Quran padat dan sarat dengan ayat-
ayat yang membuat gesaan melakukan rahmah kepada kedua ibubapa khususnya
semasa mereka sudah tua dan mungkin tidak lagi bekerja. Mereka perlu kepada segala
sokongan emosi dan kewangan. Ini adalah data wahyu yang jelas. Masalah orang tua
juga menjadi isu yang kronik di banyak negara khususnya di negara yang lebih maju di
mana jangka hayat sudah meningkat di mana ramai golongan warga emas akan hidup
lama selepas mereka bersara.

Ini akan menimbulkan masalah kalau dana persaraan mereka tidak mencukupi. Di
beberapa buah negara, polisi simpanan untuk hari tua atau jaminan sekuriti sosial sudah
diubah untuk disesuaikan dengan data dan fakta kehidupan yang baharu. Malah, mereka
telah melancarkan beberapa skim pelaburan baharu secara dana khas bagi membolehkan
setiap orang melabur untuk menikmati pulangan kewangan di masa hadapan dan juga

15
tempat kediaman dengan segala prasarananya secara percuma termasuk urusan
pengembumian. Jangka hayat umur di Malaysia juga sudah meningkat tetapi skim dan
formula simpanan dalam polisi jaminan sekuriti sosial kita belum lagi diubah. Bagitu kos
kehidupan sudah meningkat tinggi. Ini memerlukan sentuhan maqasid al-Syariah iaitu
gabungan antara data teks wahyu dan data konteks kehidupan.

5.0 Pelan Tindakan Maqasid al-Syariah Untuk Rakyat (Merakyatkan Maqasid)


Bahagian ini adalah bahagian paling penting dan kritikal dalam penulisan ini. Bagaimana
kita boleh menjadikan maqasid al-Syariah sebahagian daripada rutin minda dan
pemikiran serta impian rakyat setiap hari dan setiap masa? Ini adalah kritikal dan
mencabar kerana minda dan cara fikir ulamak dan sarjana Syariah pun belum lagi
terarah dan terbentuk untuk berfikir secara maqasid al-Syariah dalam banyak isu
kehidupan dan agama. Apa yang saya maksudkan di sini?

Ramai di kalangan sarjana Islam masih melihat Syariah secara mekanikal dan klinikal. Ini
tidak salah dan memang menjadi tugas utama seorang faqih melihat segala isu dan
permasalahan hidup secara spesifik kepada isu tertentu seperti haram dan halal.
Namun, Syariah bukanlah hanya sekadar hukum fekah yang lima seperti yang difahami
oleh para sarjana dan pelajar Syariah. Malah, dalam melihat kelima-lima hukum fekah
ini, terdapat ruang yang besar bagi melihat hukum fekah melalui kaca mata maqasid al-
Syariah iaitu polisi utama Syariah yang lebih berbentuk panduan umum dan lebih
penting lagi, mempunyai impak kepada kesemua atau kebanyakan orang dalam
sesebuah masyarakat.

Hukum-hukum fekah kebanyakannya adalah berbentuk spesifik dan terhad kepada


orang atau golongan tertentu. Tiada apa yang kurang dan salah dalam hal ini kerana ini
memang tabiat semula jadi fekah dan fatwa serta kehakiman (qada’) berbanding dengan
cakupan dan impak maqasid al-Syariah. Dalam kes jenayah harta, hukum fekah dan juga
maqasid al-Syariah tentang penjagaan harta hanya melihat aspek kecurian dan
rompakan bersenjata kerana ini disebut dalam teks wahyu. Ini adalah hukum dan
hukuman yang spesifik. Namun, kalau kita berjaya menghukum semua pencuri dan

16
perompak, ia tetap tidak menyelesaikan isu yang lebih utama. Apakah isu yang lebih
utama?

Inilah perkara maqasid al-Syariah dalam penjagaan harta sebenar. Dimensi maqasid al-
Syariah dalam penjagaan harta yang sebenar mestilah mencakupi segala perbuatan atau
peninggalan yang akan meletakkan harta atau hak kehartaan atau hak kepada peluang
kepada penjanaan harta dalam bahaya kehilangan atau kebinasaan atau kezaliman
seperti rasuah dengan pelbagai bentuk dan cara operasinya yang cukup inovatif.

Dalam konteks merakyatkan maqasid al-Syariah, kita akan melihat perlaksanaan


maqasid al-Syariah dan bukannya perlaksanaan hukum fekah tertentu atau hikmah
perundangan yang berbentuk terhad dan terpencil dari segi cakupan dan impak.
Maqasid al-Syariah, secara perbandingan, apabila dikenalpasti dan dilaksanakan,
cakupan dan impaknya adalah menyeluruh dan tidak boleh ada had dalam sebarang
bentuk. Sehubungan itu, saya telah mendefinisikan maqasid al-Syariah sebagai polisi
negara yang diilhamkan atau diinspirasikan daripada sejumlah teks wahyu yang disebut
secara kolektif, kumulatif dan berganda-ganda. Ianya berada di atas segala dimensi dan
perkara tentang Syariah samada melibatkan akidah, akhlak ataupun hukum hakam.

Sebelum kita meneroka lebih jauh, ingin saya sebutkan pada tahap ini bahawa maksud
sebenar kepada merakyatkan maqasid al-Syariah adalah menjadikan maqasid al-Syariah
ini benar-benar relevan dan berimpak kepada kehidupan semua manusia. Cara
penyampaian serta naratif maqasid al-Syariah juga adalah mudah difahami oleh setiap
golongan dan lapisan masyarakat tanpa mengambil kira latarbelakang agama, bangsa,
sosio ekonomi dan pendidikan. Penulisan ini cuba memberi fokus kepada maksud yang
pertama tetapi cara penyampaian ini akan dilakukan dengan bahasa yang mudah supaya
rakyat dan orang ramai dapat merasai dekat dan selesa dengan maqasid al-Syariah.

Lanjutan daripada itu, pelan tindakan maqasid al-Syariah dalam penulisan ini adalah
berkaitan dengan aspek pertama iaitu dimensi menjadikan semua maqasid al-Syariah
dekat dan relevan dengan rakyat. Ia mestilah benar-benar hidup di setiap penjuru dan
petak kehidupan tanpa mengambil kira alamat rumah dan pendapatan seisi rumah.

17
Mengambil contoh maqasid al-Syariah berkaitan dengan penjagaan harta yang
merupakan mesej utama suara wahyu dalam banyak teks-teks wahyu, para sarjana Islam
mesti memahami segala sesuatu yang boleh membina atau merosakkan rantaian nilai
kepada penjagaan dan penjanaan harta dan kekayaan. Peluang-peluang mendapat ilmu
kemahiran untuk peningkatan pendapatan dalam segala bentuk cara dan kesempatan
atau modal untuk berniaga adalah satu keperluan maqasid al-Syariah. Begitu juga,
segala bentuk manipulasi harta seperti maklumat dalaman atau maklumat terpilih
mestilah menjadi satu kesalahan. Rasuah dalam segala bentuk mestilah dijadikan
kerangka utama dalam skima maqasid al-Syariah tentang penjagaan harta dan
kemudiannya dijadikan polisi dan dasar kehidupan dalam setiap organisasi dari
pentadbiran masjid dan sekolah agama kepada pentadbiran wakaf dan zakat kepada
pentadbiran negara dan aset negara.

Rasuah boleh berada di setiap penjuru dalam setiap proses kehidupan daripada
mendapatkan borang permohonan untuk sesuatu konrak atau peluang tertentu,
maklumat dalaman yang penting tetapi rahsia untuk sesuatu permohonan, panel untuk
meluluskan permohonan dan seterusnya dalam menerima atau menolak sesuatu
permohonan. Oleh kerana rasuah boleh berada di semua peringkat dan proses
kehidupan, mekanisma pelan tindakan maqasid berkenaan penjagaan harta mesti
diadakan pada setiap peringkat dan proses untuk mengesan sebarang salah laku.

Pengisytiharan harta dan kekayaan oleh pemegang taruh dalam masyarakat dan negara
adalah antara manifestasi maqasid al-Syariah kerana ia boleh memberikan kawalan
secara tidak langsung. Sekiranya pengisytiharan harta tidak berkesan, kemungkinan
pengakuan bersumpah perlu dilaksanakan. Kalau ini pun tidak berkesan, mungkin boleh
ditukar kaedah pembuktian kesalahan iaitu seseorang yang gaya hidupnya atau
manifestasi kekayaannya melebihi sumber pendapatannya yang didaftarkan (seperti
penyata percuakiannya) boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Ini
semua perlu untuk memerangi amalan rasuah yang boleh membinasakan bukan sekadar
beberapa orang atau pihak tetapi keseluruhan negara.

18
Dunia moden juga telah mengenal pasti satu fenomena yang dikenali sebagai
‘unexplained wealth’ iaitu ‘kehartaan dan kekayaan yang tidak dapat dijelaskan’. Ini
adalah hasil daripada amalan korupsi yang berleluasa dalam masyarakat kerana amalan
korupsi selalunya dilakukan secara sulit dan rahsia. Malah, dalam teks wahyu melalui
Sunnah, Allah SWT hanya melaknat pemberi dan penerima rasuah dan bukan orang-
orang lain yang bersekongkong seperti perantara, pembuka bicara, penyampai, perubah
minit mesyuarat dan butir permohonan dan ramai lain kerana kebanyakan mereka
adalah tidak berwajah dan tidak diketahui. Ini berbeza dengan amalan riba dan arak di
mana laknat Allah SWT disebut dengan jelas kepada semua orang yang terlibat dalam
amalan riba dan arak dalam keseluruhan mata rantai (lihat Mohd Daud Bakar,
Membumikan Syariah).

Kalau masyarakat dunia sudah bergerak dengan satu suara memerangi aktiviti dan
amalan pengubahan wang haram melalui Anti Money Laundering Act (AMLA) dan juga
perlindungan alam sekitar melalui banyak polisi peringkat dunia seperti karbon kredit
dan Sustainable Development Goals (SDG) oleh Bangsa-Bangsa Bersatu, usaha yang
sama mesti digerakkan kepada menjadikan aktiviti rasuah – dalam segala bentuknya –
amalan masyarakat dunia sama seperti agenda AMLA, SDG, alam sekitar dan kawalan
senjata berat yang memberikan kemusnahan kepada keseluruhan dunia.

Dalam konteks Malaysia, suatu akta yang baharu tentang rasuah perlu dibentuk yang
diletakkan sama taraf dengan akta-akta lain yang memberikan bahaya yang besar
kepada negara seperti AMLA, dadah merbahaya, senjata api dan seumpamanya. Inilah
pelan tindakan maqasid al-Syariah untuk menjaga kemaslahatan dan kebajikan rakyat.
Berapa banyak bentuk kezaliman dan penipuan harta telah berlaku dan menimpa
masyarakat disebabkan amalan rasuah yang tidak dapat dikenal pasti kerana
‘kelonggaran’ dan ketidakjelasan peruntukan perundangan dan tahap bukti pembuktian.
Ini perlu dilakukan segera kerana rasuah tidak ada mangsa tertentu dan rasuah juga
amat licik modus operandinya. Mangsa rasuah bukan orang tertentu tetapi keseluruhan
ahli masyakarat dan warga negara. Rasuah oleh pimpinan negara boleh juga dianggap
sebagai jenayah ‘belot’ terhadap negara (kalau melibatkan aset dan reputasi negara).

19
Sehubungan itu, sesuai dengan wawasan maqasid al-Syariah tentang penjagaan harta
dan hak kepada kehartaan dan juga maqasid al-Syariah yang lain seperti integriti dan
tadbir urus serta kelestarian (sustainability) – yang saling terkait – rasuah perlu
diperincikan dan dimodenkan naratifnya supaya setiap bakteria dan virus dalam amalan
ini dapat dijelmakan menjadi satu kesalahan yang jelas dan boleh dihukum dengan
hukuman yang paling keras. Inilah suara langit tentang penjagaan harta sepanjang
zaman. Kalau sesuatu perkara itu sudah diterima menjadi maqsid, ia tidak boleh diambil
ringan. Ia pasti akan berimpak tinggi – baik atau buruk berdasarkan keadaan.

6.0 Impak dan Tanda Aras Merakyatkan Maqasid al-Syariah


Walaupun tajuk sebegini berat dan mencabar, di zaman yang mementingkan
pengukuran impak (impact measurement), kita mesti melakukan usaha yang sama.
Memang mudah diucap bahawa Syariah adalah solusi semua masalah masyarakat Islam
atau Islam adalah rahmat kepada sekalian alam tetapi kalau ianya tidak ada tanda aras
(indeks) tertentu, mana mungkin ia dapat dinilai impaknya dalam kehidupan masyarakat
dan rakyat. Saya mengambil cabaran di sini untuk cuba meletakkan satu tanda aras yang
difikirkan sesuai dan relevan dalam menilai sejauhmana maqasid al-Syariah dapat
dirakyatkan dalam kehidupan sebenar.

Sebelum saya meletakkan tanda aras kepada merakyatkan maqasid al-Syariah – yang
belum pernah dilakukan sebelum ini – izinkan saya berkongsi bagaimana saya
memahami soal merakyatkan sesuatu perkara. Dalam konteks ini, saya telah menulis
tentang “Rakyatnomics” atau “ekonomi bersendikan rakyat”. Ini adalah cetusan idea dan
minda saya secara peribadi untuk melihat isu ekonomi melalui denyutan nadi rakyat.

Saya bukanlah pakar dalam pengkajian data ekonomi negara tetapi saya dapat rasakan
bahawa ia semua dapat dilakukan dengan mudah melalui analisa data raya dan juga
kepintaran (atau kecerdasan) buatan (artificial intelligence). Apa yang diperlukan
sekarang adalah meletakkan semua vertikal penting dalam menjadikan data ini hidup
dalam kehidupan masyarakat dan rakyat. Kedua-dua data ekonomi dan data kehidupan
rakyat mesti diadunkan sekali supaya indeks yang baharu (yang berjiwa rakyat) dapat
dihasilkan.

20
Apakah vertikal penting yang menyediakan garis panduan atau parameter bagi indeks
rakyatnomics yang baharu? Bagi saya, ianya mempunyai paling kurang lima vertikal asasi
bagi menjadikan indeks baharu ini bernadikan denyutan jantung rakyat dan juga jantung
negara.

Indeks rakyatnomics, di samping data ekonomi negara dan data kehidupan rakyat,
memerlukan ekosistem data yang lengkap dan saling berkait; pendekatan atau formula
korelasi antara kesemua data yang diperolehi – sama ada data sebenar atau data
berbentuk sintetik; pengukuran impak, analisis kesenjangan (jika ada); dan juga data
potensi dan pengupayaan rakyat. Ini adalah lima vertikal penting kepada indeks baharu
kepada ekonomi bersendikan rakyat. Setiap satu vertikal ini memerlukan kepada
perincian tertentu. Ini perlu bagi mengetahui dengan tepat apakah yang diperlukan
rakyat dan di manakah kelompangannya (jika ada) dan bagaimana pula mengurangkan
kesenjangan ini. Ini satu kajian yang menarik; satu kajian ekonomi dan perekonomian
dalam kelongsong kemanusiaan (untuk rujukan lanjut tentang perincian lima vertikal ini,
lihat Mohd Daud Bakar, “Harapan Buat Pakatan Harapan 2018”).

Bagaimana pula untuk kita mengukur impak maqasid al-Syariah dalam konteks
kehidupan rakyat? Ini adalah satu persoalan baharu yang memerlukan jawapan dan
pandangan daripada semua pemegang taruh dalam masyarakat dan negara. Saya
mempunyai beberapa idea tetapi hanya sekadar lintasan pemikiran yang ingin dinukilkan
di sini sebagai pencetus perbincangan. Sudah tentu idea-idea sebegini adalah tidak
matang sepenuhnya tetapi kita mesti bermula daripada satu tahap kepada tahap yang
lebih tinggi dan matang.

Pengukuran impak maqasid al-Syariah dapat dilihat melalui beberapa pendekatan dan
kaedah, antaranya:
a. Setiap polisi yang ingin dicadangkan sama ada dalam bidang kewangan atau
pendidikan atau kesihatan atau pembinaan atau pengambilan atau penghatantar
balik pekerja asing dan seumpamanya sepatutnya mempunyai pendahuluan
(preamble) yang menyatakan dengan jelas asas maqasid al-Syariah kepada polisi-

21
polisi baharu yang ingin dicadangkan. Ini juga relevan dalam isu-isu baharu dalam
masyarakat semasa seperti seperti umur layak mengundi, polisi membuka peluang
mendapat modal berniaga kepada mereka yang layak dalam pelbagai lapisan,
membangun polisi ekonomi digital Islam, penerbitan lebih banyak instrumen
pendanaan kerajaan berteraskan Syariah atau agenda hijau, memajukan revolusi
industri 4.0 dan seumpamanya. Ini menunjukkan bahawa cara fikir maqasid al-
Syariah sudah ada dalam pemikiran pembuat polisi negara. Kalau tiada sebarang
penyatann sebegini, maka masih tidak terlewat untuk dibentangkan semula bagi
mendapatkan input supaya dapat dimasukkan elemen dan dimensi maqasid al-
Syariah dalam semua polisi negara dan agensi kerajaan yang ingin diperkenalkan.

b. Penilaian impak kepada polisi yang sedia ada mesti mengambil kira – di samping
aspek-aspek lain – dimensi dan kesan maqasid al-Syariah dalam polisi-polisi yang
sudah berfungsi ini seperti pemberian dan pengagihan dana zakat, pembiayaan oleh
pihak institusi kewangan dan bukan kewangan, jenis dan jumlah biasiswa
pendidikan, produk pembiayaan pengupayaan sosio-ekonomi dan pengupayaan
kaum wanita dan golongan luar bandar. Pengalaman syarikat saya membuat
penilaian impak dan keberkesanan pengagihan zakat di Jakarta – menggunakan
teknologi analisa raya dan kecerdasan buatan – adalah amat bernilai untuk menilai
impak suara langit dalam rukun Islam yang keempat dari segi dimensi maqasid al-
Syariah dari segi impak pendidikan, cara hidup, pengurusan harta dalam diri
penerima zakat yang pelbagai latarbelakang dan alamat rumah. Zakat, walaupun
merupakan tuntutan agama, tetapi cara dan mekanisma pengagihannya mstilah
berdasarkan teori dan data kemanusiaan yang paling tepat, relevan, semasa dan
berimpak.

c. ndeks sentiment kebahagian dan kesejahteraan (seperti yang dibuat di beberapa


negara) dapat dibentuk dan dipantau kerana perlaksanaan maqasid al-Syariah yang
jelas, ketara dan berimpak dalam masyarakat pasti akan memberi kesan positif
secara langsung kepada masyarakat. Walaupun mungkin tidak semua rakyat akan
memperolehi apa yang diperlukan kerana keterbatasan sumber kekayaaan dan
peluang serta masa perlaksanaanny tetapi selama mana naratif dan visi maqasid al-

22
Syariah dijadikan pelan tindakan dalam masyarakat secara terbuka dan boleh dinilai,
masyarakat boleh menerima fakta keterbatasan ini. Masalah timbul apabila rakyat
dan masyarakat tidak diberikan maklumat dan yang mencukupi.

d. Pengukuran impak maqasid al-Syariah dapat juga dinilai melalui polisi-polisi yang
dibuat oleh agensi tertentu secara sukarela seperti pematuhan kepada skim SDG
atau value-based intermediation atau VBI (dalam sektor kewangan Islam di
Malaysia) atau ‘integrated reporting’ dalam cara pelaporan prestasi syarikat yang
baharu yang mengambil kira aspek prestasi kewangan dan juga aspek kelestarian
masyarakat.

e. Perkara yang paling sesuai untuk memudah cara pengukuran impak maqasid al-
Shariah di Malaysia adalah melalui pembentukan indeks Maqasid Syariah Malaysia
(MSM). Ini bukanlah perkara yang sukar dan sulit dilaksanakan sebab pembentukan
indeks sudah berlaku dalam banyak aspek kehidupan. Mungkin satu jawatan kuasa
tetap boleh dicadangkan untuk merangka indeks sebegini tapi kali ini, biarlah ia
dilengkapi dengan teknologi analisa data raya dan kecerdasan buatan kerana ia
boleh memproses berjuta-juta laporan, dokumen, data dan seumpamanya dalam
masa yang singkat berbanding dengan kemampuan manusia yang terhad dan juga
mempunyai emosi dan kecenderungan peribadi. Maqasid al-Syariah biarlah
komprehsensif, koheren dan tidak tertakluk kepada mana-mana kecenderungan.

7.0 Kesimpulan dan Meethaq kepada Maqasid al-Syariah

Maqasid al-Syariah adalah intipati kepada keseluruhan ajaran dan pedoman agama
Islam. Di sinilah terletak kod suara wahyu dari langit. Cabarannya ialah ianya tidak
diberikan secara pasang siap atau secara tersusun sejak awal lagi. Sebaliknya, ia berada
di sebalik teks-teks wahyu yang juga berselerak dan tidak tersusun dalam satu-satu bab
khusus atau tema kehidupan tertentu. Ini adalah bentuk asal bagaimana wahyu diturun
dan dikomunikasikan. Kita tidak boleh mengubah susunan ini. Namun, kita perlu

23
meningkatkan skil dan kemahiran kita untuk lebih pandai dan bijaksana berinteraksi
dengan dokumen wahyu ini yang cukup hebat dan bijaksana. Setiap kod wahyu ada
kuncinya. Dalam maqasid al-Syariah pun, ada kunci-kuncinya yang perlu difahami oleh
para sarjana dan orang ramai.

Apabila kita mengetahui bahawa maqasid al-Syariah adalah himpunan segala tujuan-
tujuan agung Syariah yang sentiasa relevan sehingga lanskap dunia bertukar kepada
lanskap akhirat (dengan tanah, udara, air dan biologi serta psikologi manusia yang baru
dan berbeza), kita perlu menjadikannya sebagai dasar dan polisi negara. Ia seolah-olah
adalah perlembagaan dalam konteks negara moden. Perlembagaan bukan kod undang-
undang tertentu atau kod etika tertentu tetapi sebagai kompas kehidupan moden dan
lebih tinggi daripada segala bentuk undang-undang atau peraturan atau piawaian
tertentu.

Bagitulah juga dengan kedudukan dan peranan maqasid al-Syariah yang perlu
dpertingkatkan sesuai dengan peranan penting yang perlu dilaksanakan oleh himpunan
suara langit ini. Ia menjadi satu meethaq atau ‘covenant’ yang baharu dalam masyarakat
moden pada hari ini sama ada berdasarkan lima vertikal maqasid al-Syariah yang telah
dikenal pasti atau berdasarkan tema-tema baharu yang lebih daripada lima maqasid al-
Syariah yang terkenal kerana maqasid al-Syariah adalah perlembagaan kepada
keseluruhan ekosistem kehidupan manusia. Kelestarian kehidupan manusia di atas dunia
ini tidak semestinya dan juga tidak boleh terhad kepada apa sahaja sekatan dan tema-
tema penting selama mana tema-tema yang lain ada sandaran yang kuat dalam
keseluruhan teks wahyu daripada langit.

Apabila maqasid al-Shariah diapungkan menjadi perlembagaan kehidupan masyarakat


dan negara (seperti keperluan kepada air minum yang bersih dan mampu dibeli,
makanan yang mencukupi, peluang pendidikan dan pekerjaan yang mencukupi, rumah
yang mampu milik, keadilan menyeluruh dalam semua dimensi, peluang berniaga yang
terbuka kepada semua, kebebasan berfikir, bersuara dan berpersatuan, kemuliaan
kemanusian dan sebagainya), ia akan memberi impak kepada rakyat secara keseluruhan.
Tujuan utama maqasid al-Syariah sebenarnya adalah kelestarian kehidupan semua atau

24
kebanyakan orang dalam sesebuah masyarakat dan negara. Di sinilah kewajaran
maqasid al-Syariah dalam kehidupan rakyat sebagai pembela dan pelindung kebajikan
dan kelestarian masyarakat berdasarkan data kehidupan sezaman dan setempat.

Bagaimana maqasid al-Syariah boleh ditransformasi menjadi polisi dan dasar negara
adalah satu persoalan yang memerlukan kepada satu kupasan dan pencerahan yang lain.
Semoga penulisan ini dapat mendekatkan kefahaman orang ramai tentang maqasid al-
Syariah dalam kehidupan seharian mereka dalam semua lapangan kehidupan dan yang
lebih penting lagi, dapat merakyatkan perlaksanaan polisi utama Syariah dalam
masyarakat dan negara di kurun 21. Ini adalah cita-cita dan inspirasi wahyu dari langit di
mana suara langit dapat dibumikan dalam kehidupan sebenar.

Cyberjaya, Selangor
19 Julai 2019

25

You might also like