You are on page 1of 17

PENGAJARAN ASPEK SENI BAHASA DAN TATABAHASA BAHASA MELAYU

(BMMB3093)

INTERAKSI 1
PENGAJARAN ASPEK SENI BAHASA BERDASARKAN DOKUMEN STANDARD
KURIKULUM DAN PENTAKSIRAN (DSKP) BAHASA MALAYSIA SEKOLAH
RENDAH
DOKUMEN STANDARD KURIKULUM DAN PENTAKSIRAN (DSKP)
DSKP ialah satu dokumen yang mengintergrasikan kurikulum dan pentaksiran.
DSKP menyenaraikan Standard Kandungan (SK), Standard Pembelajaran (SP) dan
Standard Prestasi (SPi). DSKP diwujudkan kerana kurikulum merangkumi
kandungan, pedagogi dan pentaksiran. DSKP dapat memudahkan guru untuk
melaksanakan pentaksiran dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

KANDUNGAN DSKP
Standard Kandungan ialah satu penyataan tentang bidang ilmu yang patut diketahui
dan dapat dilakukan oleh murid dalam satu tempoh persekolahan yang merangkumi
aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.
Standard Pembelajaran ialah satu penyataan penetapan kriteria untuk memastikan
kualiti pembelajaran dan pencapaian murid bagi setiap standard kandungan.
Standard Prestasi ialah satu set kriteria umum yang menunjukkan tahap-tahap
prestasi yang perlu dipamerkan murid sebagai tanda bahawa sesuatu perkara itu
telah dikuasai murid (indicator of success).

Fokus pembelajaran bahasa Melayu sekolah rendah dari aspek seni bahasa ialah
murid dapat mengapresiasikan keindahan bahasa Melayu melalui pelbagai teknik
kemahiran bahasa yang santai dan menyeronokkan.

Fokus pembelajaran bahasa Melayu sekolah rendah dari aspek tatabahasa ialah
penguasaan tatabahasa yang baik bagi membantu murid berkomunikasi dengan
menggunakan sistem bahasa yang betul dan menghasilkan penulisan yang
berkualiti dan kreatif.

MODULAR SENI BAHASA


Pendekatan Modular Standard Kurikulum Bahasa Malaysia distrukturkan dengan
menggunakan pendekatan modular untuk memastikan penguasaan kecekapan
berbahasa yang baik. Pendekatan modular bermaksud memecahkan kemahiran
kepada unit-unit kecil yang dikenali sebagai modul. Dalam mata pelajaran Bahasa
Malaysia terdapat lima modul, iaitu Modul Mendengar dan Bertutur, Modul
Membaca, Modul Menulis, Modul Seni Bahasa dan Modul Tatabahasa. Tiga modul
yang pertama berasaskan empat kemahiran iaitu kemahiran mendengar, kemahiran
bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Modul Seni Bahasa dan
Modul Tatabahasa menyokong modul-modul tersebut untuk mengukuhkan
kecekapan berbahasa murid.

MODUL SENI BAHASA


Modul seni bahasa ialah aspek kebahasaan, keindahan dan kehalusan dalam
bahasa Melayu yang perlu difahami dan dikuasai oleh murid. Penguasaan aspek
seni bahasa merangkumi kecekapan memahami, mengungkap, dan menghayati
bahasa yang indah. Melalui pembelajaran modul ini, murid menghasilkan dan

1
mempersembahkan karya kreatif pelbagai genre secara lisan dan bertulis melalui
variasi teknik yang menarik. Aspek seni bahasa juga menzahirkan pembelajaran
yang menyeronokkan secara didik hibur.

STANDARD KANDUNGAN DAN STANDARD PEMBELAJARAN ASPEK SENI


BAHASA.
Standard Kandungan Aspek Seni Bahasa menentukan keupayaan murid untuk
mengungkap keindahan bahasa, memahami dan menghargai bahasa melalui
pelbagai aktiviti seni bahasa secara kreatif. Sehubungan dengan itu, guru perlu
menyediakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara didik hibur supaya dapat
menarik minat murid dan membantu murid lebih berketerampilan  serta menghayati
seni bahasa itu. Dalam strategi pengajaran dan pembelajaran seni bahasa guru
harus menetapkan objektif yang perlu dicapai oleh murid dengan merujuk standard
kandungan dan standard pembelajaran aspek seni bahasa yang disediakan

KONSEP ASPEK SENI BAHASA


 Aspek seni bahasa ialah keupayaan murid mengungkap dan mengapresiasi
keindahan bahasa, memahami dan menghargai bahasa melalui pembelajaran
yang menyeronokkan menerusi kepelbagaian aktiviti secara didik hibur.
 Murid dapat menggunakan kreativiti mereka untuk melahirkan idea melalui
penulisan dan lisan.
 Seni bahasa memberikan penekanan kepada keindahan bahasa yang
dipelajari oleh murid melalui teknik penyampaian yang menarik dan
menyeronokkan seperti bernyanyi, bercerita, berlakon dan berpuisi.
 Pembentukan ayat yang menggunakan simile, peribahasa, bahasa kiasan
dan personifikasi yang terdapat dalam puisi dan penulisan kreatif juga
menampakkan keindahan dan seni dalam bahasa Melayu.
 Keindahan bahasa yang digunakan semasa aktiviti seni bahasa ini dapat
membantu murid untuk memantapkan kemahiran berbahasa mereka.

OBJEKTIF SENI BAHASA


Objektif aspek seni bahasa untuk memastikan murid mengetahui dan berkeupayaan
untuk:
1. Menyebut dan memahami seni kata lagu melalui nyanyian dengan gerak laku
secara didik hibur.
2. Mengujarkan ayat menggunakan bahasa badan secara kreatif melalui
penceritaan secara didik hibur.
3. Mengujarkan dialog dengan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul
tentang sesuatu perkara menggunakan bahasa badan secara kreatif melalui
lakonan secara didik hibur.
4. Melafazkan pantun dua kerat menggunakan bahasa yang indah dengan
intonasi yang betul dan memahami maksud pantun secara didik hibur.

Objektif Aspek Seni Bahasa (Tahun 4) untuk memastikan murid mengetahui dan
berkeupayaan:
i. menyebut, memahami dan menghasilkan lirik lagu yang mengandungi nilai
secara berpandu dan menyampaikannya secara didik hibur;
ii. mengujarkan ayat yang gramatis dan bahasa yang indah dengan sebutan dan
intonasi yang betul dan jelas serta bahasa badan yang sesuai semasa
bercerita secara didik hibur;

2
iii. mengujarkan dialog dengan sebutan dan intonasi yang betul dan jelas,
bahasa badan yang sesuai dan memahaminya melalui lakonan;
iv. menghasilkan dialog daripada bahan rangsangan untuk menyampaikan nilai
dan pengajaran serta menyampaikannya melalui lakonan dengan
menggunakan bahasa badan yang sesuai secara didik hibur;
v. mendeklamasi sajak dengan sebutan yang betul dan intonasi yang jelas
secara didik hibur serta memahami maksud sajak tersebut; dan
vi. membina sajak secara terkawal dan memahaminya serta
mendeklamasikan dengan sebutan dan intonasi yang betul dan jelas secara
didik hibur. 

PRINSIP PENGAJARAN ASPEK SENI BAHASA


1. Pengajaran Seni Bahasa mementingkan kehalusan dan keindahan bahasa.
2. Pemilihan bahan mesti sesuai dan menarik.
3. Penglibatan murid secara aktif dan menyeluruh.
4. Guru bertindak sebagai penggerak atau pembimbing yang sentiasa kreatif
dan berimaginatif.

3
INTERAKSI 2
PENGAPLIKASIAN TEKNIK PENGAJARAN ASPEK SENI BAHASA
Strategi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu menekankan konsep 5P, iaitu
penggabungjalinan, penyerapan, pengayaan, pemulihan, dan penilaian. Strategi ini
selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Penggabungjalinan boleh antara kemahiran dan aspek, seperti
kemahiran mendengar dan bertutur, kemahiran membaca, kemahiran menulis,
aspek seni bahasa dan aspek tatabahasa yang terdapat dalam standard kandungan.
Penyerapan boleh melibatkan unsur ilmu, nilai murni dan kemahiran bernilai tambah
yang dapat membantu murid menguasai kemahiran secara bersepadu menerusi
pengalaman pembelajaran bahasa.

Penilaian dilaksanakan secara berterusan dalam proses PdP bagi menentukan


pencapaian objektif PdP. Guru dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan
murid untuk tindakan seterusnya sama ada pengayaan atau kelemahan.
Pemulihan ialah aktiviti yang diberikan kepada murid yang belum menguasai
kemahiran dan aspek yang dipelajari. Aktiviti boleh diberikan secara berperingkat-
peringkat dan berterusan sehingga murid menguasai kemahiran dan aspek yang
perlu dikuasai.

Pengayaan ialah aktiviti yang dilaksanakan kepada murid yang telah menguasai
kemahiran yang bertujuan untuk memantapkan kebolehan, keupayaan, bakat, dan
minat.

Teknik Nyanyian
Nyanyian ialah aktiviti muzikal yang paling awal. Dalam muzik nyanyian dinamakan
vokal. Terdapat dua jenis nyanyian iaitu nyanyian secara humming dan nyanyian
menggunakan lirik lagu. Nyanyian secara humming ialah nyanyian menggunakan
bunyi huruf vokal contohnya la la la, di di di, mu mu mu mu, ta ta ta, ti ti ti dan
sebagainya. Nyanyian dengan lirik ialah nyanyian lagu menggunakan lirik lagu.
Kanak-kanak amat meminati nyanyian. Hal ini dapat dibuktikan oleh beberapa
kajian yang telah dibuat oleh Gardener (1983) dalam tulisannya Frames of Mind:The
Theory of Multiple Intelligence telah mengesan minat dan kecenderungan kanak-
kanak telah bermula sejak di dalam kandungan lagi. Pembelajaran menerusi aktiviti
muzik dan nyanyian adalah sangat berkesan kerana ia seluruhnya melibatkan fungsi
otak. Muzik dan nyanyian ialah media pembelajaran yang sangat berkesan bagi
kanak-kanak. Webb (1995) menyatakan bahawa pembelajaran akan lebih
berjaya jika strategi pengajaran guru menggunakan muzik.
Menurut Lestari dalam Reney Pantun (2016), kaedah yang kreatif dan inovatif
adalah menggunakan nyanyian kerana nyanyian adalah sebahagian daripada
kehidupan kanak-kanak selain aktiviti bermain. Walau bagaimanapun, nyanyian
yang diberikan perlu dibuat dengan gaya bahasa yang sederhana, lirik yang pendek
dan sesuai dengan perkembangan kanak-kanak kerana nyanyian mempunyai
objektif yang tertentu. Nyanyian diberikan kepada murid dengan cara mengajarkan
nyanyian yang sudah ada, mengganti lirik dari lagu yang sudah dikenal sebelumnya
dengan lirik lain atau membuat lagu baharu dengan lirik yang sesuai dengan tujuan
yang diinginkan.
Nyanyian memberikan tumpuan dan penegasan terhadap aspek
pendengaran, sebutan, pernafasan dan teknik pengeluaran suara. Penerapan nilai

4
murni dapat dipupuk melalui nyanyian lagu yang sesuai. Teknik nyanyian yang boleh
digunakan oleh guru seperti nyanyian yang disertai dengan pergerakan dan gaya
yang sesuai atau menggunakan teknik didik hibur supaya murid berasa seronok
belajar dan terhibur.
Guru boleh mengambil kira perkara yang berikut semasa mengunakan teknik
nyanyian:
a. Pilih lagu yang sesuai dengan suara vokal murid.
b. Pilih lagu yang menarik dari segi tempo, bentuk irama, ekspresi dan lirik lagu.
c. Memastikan pernafasan, penghasilan ton, ekspresi yang betul sewaktu
menyanyi.
d. Mengenal pasti konsep muzik yang ingin difokuskan, seperti irama, melodi
dan ekspresi.
e. Mengenal pasti kaedah mengajar menyanyi yang akan digunakan. 

Teknik Bercerita
Bercerita merupakan suatu seni yang menggunakan bahasa, pergerakan dan mimik
muka untuk melontarkan idea dan merangsang daya imaginasi audiens. Bercerita
juga boleh dianggap sebagai seni sastera dan seni teater yang dapat memberikan
nyawa kepada perkataan bertulis dalam sesebuah buku (E.Greene, 1976)
Anne Pellowski (1990) menjelaskan bahawa bercerita ialah keseluruhan
pengalaman sejenak daripada penceritaan lisan dalam bentuk berirama atau prosa
yang dipersembahkan atau dipimpin oleh seseorang di hadapan khalayak.
Penceritaannya boleh disampaikan secara lisan atau dilagukan dengan iringan
muzik, menggunakan gambar, sumber-sumber bercetak atau direkodkan secara
mekanikal.
Bercerita ialah satu aktiviti yang menarik perhatian kanak-kanak kerana
melalui bercerita mereka dapat memahami sesuatu itu dengan lebih mendalam
secara tidak langsung mengaktifkan daya imaginasi kanak-kanak untuk berfikir
dengan lebih kreatif. Melalui teknik penceritaan kanak-kanak dapat belajar dalam
suasana yang gembira dan ceria. Kanak-kanak akan lebih mudah faham apabila
mereka belajar dalam keadaan mereka bersedia dan ceria kerana mereka akan
lebih mudah faham dan ingat perkara yang telah dipelajari mereka. Hal ini kerana
secara lumrahnya manusia sentiasa mengingati perkara yang menyeronokkan
berbanding perkara yang tidak memberikan kesan apa-apa di dalam diri mereka.
Nilai-nilai murni juga dapat diterapkan di dalam diri kanak-kanak kerana mereka
akan mengingatinya.
Teknik bercerita bermaksud menggunakan cerita untuk mengajarkan sesuatu
perkara kepada kanak-kanak.
Teknik bercerita terdiri daripada:
i. Penggunaan buku cerita
ii. Penggunaan gambar tunggal
iii. Penggunaan gambar bersiri
iv. Penggunaan boneka
v. Penggunaan bahan maujud
vi. Penggunaan teks cerita berpandu – permulaan atau pengakhiran cerita
sahaja diberikan.
vii. Teater bercerita
viii. Bercerita tanpa alat

5
Cerita yang disampaikan dengan baik membolehkan murid untuk menguasai
kemahiran bercerita. Cerita yang baik perlu mengambil kira aspek imaginasi,
kreativiti, pemikiran, mesej dan nilai.
Keberkesanan kaedah bercerita melalui nada suara yang bersesuaian dengan watak
yang diceritakan. Intonasi suara yang sesuai menjadikan kanak-kanak akan lebih
tertarik dan faham tentang suara yang digunakan mengajar mereka tentang erti
kebenaran, iaitu mereka akan dapat mengetahui suara ibu lembut dan suara ayah
adalah garau. Nada suara hendaklah jelas dan lantang agar mereka dapat
memahami perkara yang hendak disampaikan dengan jelas. Nada suara juga
haruslah disertakan dengan emosi yang sesuai agar perkara yang disampaikan
adalah betul dan difahami oleh mereka.
Selain itu, teknik penceritaan kemahiran bahasa dapat ditingkatkan di dalam
diri kanak-kanak. Guru haruslah menggunakan struktur ayat dan kosa kata yang
betul serta bersesuaian agar kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran
berbahasa mereka. Bahasa yang digunakan mestilah bersesuian dengan aras
kebolehan kanak-kanak kerana mengikut prinsip pembelajaran, guru hendaklah
mengajar murid dari senang kepada susah dan dari konkrit kepada abstrak.
Kepentingan bercerita harus memberikan kesan kepada kanak-kanak dan kanak-
kanak tersebut memahami objektif utama yang hendak disampaikan dengan jelas
melalui penceritaan tersebut.
Mimik muka memainkan peranan yang penting kerana mimik muka membantu
kanak-kanak untuk memahami tentang emosi yang hendak disampaikan oleh guru
dengan lebih jelas.
Guru juga boleh menggunakan teknik bercerita agar dapat menarik minat
kanak-kanak untuk berkomunikasi dan menumpukan perhatian yang lebih baik
kepada perkara yang hendak disampaikan di samping dapat meningkatkan kosa
kata murid. Guru juga boleh mengaplikasikan kemudahan TMK yang ada dengan
menggunakan slaid. Visual dan audio yang dimasukkan dapat menarik minat murid
untuk melihat perkara yang berikutnya. Pita rakaman juga masih juga dapat
digunakan kerana kemahiran mendengar dapat ditingkatkan. Persembahan teater
akan lebih berkesan kepada kanak-kanak kerana mereka dapat melihat
persembahan tanpa perlu berimaginasi. Syair, pantun dan gurindam yang
dimasukkan dalam cerita juga dapat meningkatkan kemahiran bercerita. 
Teknik Lakonan
Aktiviti lakonan satu teknik pengajaran dan pembelajaran aktif yang melibatkan
murid untuk melakukan sesuatu seperti membaca skrip, menghafal, menghayati dan
memikirkan perkara yang dilakukan mereka. Untuk merangsang pelajar supaya aktif
dan bersemangat dalam pembelajaran, ransangan pertuturan dan penglihatan perlu
diadakan. (Wessels C. 1987: 15)
Aktiviti lakonan merupakan satu cara pembelajaran berbentuk komunikatif
yang memerlukan murid untuk berkomunikasi dan menggunakan bahasa mereka.
Melalui pendekatan ini kemahiran bahasa, iaitu kemahiran mendengar dan bertutur,
membaca dan menulis dapat digabungjalinkan di samping menekankan aspek
kecekapan komunikasi murid dan kemahiran sosial yang diperlukan untuk perbualan
dan perhubungan yang berkesan. Pembelajaran lebih berkesan apabila emosi
dilibatkan melalui pengalaman dan hal ini dapat diperkukuh seandainya penggunaan
bahasa yang baik dikombinasikan.

6
Brian Way (1976) berpendapat bahawa aktiviti drama/lakonan bertujuan untuk
memperkembang penyuburan diri individu secara menyeluruh dari aspek intelek,
rohani, emosi, jasmani, kreativiti, disiplin, sikap, estetika dan motivasi.

Beberapa tujuan penggunaan teknik lakonan dalam aktiviti pengajaran dan


pembelajaran guru seperti yang berikut:
a. Membawa peristiwa nyata ke dalam bilik darjah.
b. Membolehkan pelajar berdialog dalam bahasa yang teratur dan indah.
c. Menjadikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dan
bermakna.
d. Menarik minat murid kerana suasana kelas yang meriah dan menyeronokkan
murid.
Antara bentuk lakonan yang boleh dijalankan ialah:
i. Lakonan Bisu
Lakonan ini bertujuan untuk melatih murid memahami serta menggambarkan
maksud dan perasaan melalui penggunaan unsur-unsur bukan linguistik
seperti mimik muka, gerak tangan, kepala , badan dan lain-lain.
ii. Lakonan Spontan
Lakonan spontan pula bertujuan untuk melatih murid supaya berlakon secara
spontan bagi menggambarkan maksud dan perasaan yang ingin disampaikan
melalui penggunaan unsur-unsur bahasa dan bukan linguistik yang berkesan.
iii. Lakonan Berskrip 
Tujuan pengajaran bahasa melalui penggunaan teknik lakonan berskrip atau
dialog drama bukanlah untuk membolehkan murid untuk mementaskan
persembahan lakonan tersebut tetapi hanya untuk membolehkan pelajar
membaca, memahami serta menghayati dan kemudian melakonkan skrip
tersebut dengan menggunkan unsur-unsur paralinguistik dan bukan
lingustikyang betul.

Teknik Dialog
Dialogue Thinking Reading Lesson (D-TRL) ataupun teknik dialog telah dibangunkan
oleh Michelle Commeyras pada tahun 1991. Umar Junus pula mentakrifkan dialog
itu sesuatu yang bertentangan dengan monolog ataupun naratif yang melibatkan
pertuturan antara dua orang ataupun lebih dan beliau menyatakan bahawa sebuah
drama itu dianggap sebagai dialog kerana melibatkan percakapan antara dua orang
atau lebih. (1989:26). Menurut Ramli Isin, dialog sebagai perbualan ataupun
percakapan, sama ada secara lisan ataupun tulisan dan tergolong dalam unsur
bahasa.
Teknik dialog yang sesuai untuk pengajaran seni bahasa boleh diterapkan
dalam teknik lakonan. Murid dilatih untuk melahirkan dialog yang sesuai dengan
situasi yang diberikan seperti dalam lakonan spontan dan berskrip.

Teknik Deklamasi
Deklamasi berasal daripada bahasa Latin yang maksudnya declamare atau declaim
yang membawa makna membaca sesuatu hasil sastera yang berbentuk puisi
dengan lagu atau gerak tubuh sebagai alat bantu. Gerak yang dimaksudkan ialah
gerak alat bantu yang puitis, yang seirama dengan isi bacaan.
Umumnya deklamasi berkait rapat dengan puisi. Mendeklamasikan puisi
sajak bergantung kepada vokal, intonasi, nada, kelancaran, mimik muka,
penghayatan dan gaya.

7
1. Vokal
Menggunakan suara yang biasa bukan menjerit.
2. Intonasi/nada
Turun naik suara dan tinggi rendah serta panjang pendek suara berdasarkan
maksud puisi. Bunyi suara yang melahirkan atau membayangkan sesuatu
perasaan, sikap, aliran atau rentak puisi.
3. Kelancaran
Kelancaran bererti murid dapat mendeklamasi puisi dengan lancar tanpa
tersekat-sekat.
4. Mimik Muka
Mimik muka amat penting bagi melahirkan maksud dan nada sajak.
5. Penghayatan
Peserta dapat mengalami dan merasai puisi dalam jiwa, mengalami dan
merasai, meresap ke dalam jiwa.
6. Gaya
Gaya bersesuaian berdasarkan maksud dan nada sajak.
.

8
INTERAKSI 3
PENGAPLIKASIAN PELBAGAI BAHAN BANTU BELAJAR ASPEK SENI
BAHASA

KONSEP BAHAN BANTU MENGAJAR (BBM)


Bahan bantu mengajar ialah segala kelengkapan yang digunakan oleh guru untuk
menyampaikan pengajaran di dalam kelas. Peralatan mengajar bukan terhad
kepada buku-buku teks, papan tulis dan gambar sahaja tetapi merangkumi segala
benda yang digunakan dalam pengajaran yang melibatkan semua pancaindera, iaitu
lihat, dengar, rasa, hidu dan sebagainya asalkan dapat difahami oleh murid.

Atan Long (1981: 179-203), membahagikan alat bantu mengajar kepada tiga
kumpulan iaitu alat pendengaran, alat pandangan dan alat pandang-dengar. BBM
terdiri daripada pelbagai bahan dan sesuatu bahan boleh disampaikan dengan
pelbagai cara, misalnya dalam bentuk buku, carta, atau dibubuh pada slaid dan
dipancarkan pada skrin. Alat-alat penyampaiannya dinamakan BBM. Noraziah Abdul
Hamid (1981) membahagikan BBM kepada dua, iaitu media elektronik dan media
bukan elektronik. Hanapiah Sudin (1979: 51-52) dan Khairiah Ahmad (1980)
mengkelaskannya kepada dua iaitu “software” dan “hardware”. Ngui Kuen Sang
(1981) pula menyatakan bahawa “mengenai BBM, kita tidak dapat memberikan takrif
yang tetap walaupun pada keseluruhannya ramai pendidik menyetujui bahawa
penggunaan BBM dalam situasi pengajaran pembelajaran ialah pengalaman yang
melibatkan penggunaan penglihatan dan pandangan seseorang.”

Thomas, R.Murray, Swartout, Sherwin G (1963) “ …hanya alat bantu mengajar yang
mempunyai komunikatif tinggi yang mampu membantu murid memperoleh
pengalaman belajar yang berfaedah bagi mengembangkan sikap ilmiah dan sikap
sosial, kemantapan emosi dan daya penghargaan.”

Bahan bantu mengajar dapat menimbulkan rangsangan dan keinginan murid untuk
mengetahui sesuatu aspek pengajaran dengan lebih mendalam di samping dapat
menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan. Pada alaf baharu, dunia
pendidikan semakin moden, terdapat ciptaan, penghasilan dan pemasaran pelbagai
bahan pengajaran dan pembelajaran. Keadaan ini memberikan peluang yang lebih
luas kepada guru bahasa Melayu untuk memilih bahan bantu yang sesuai untuk
pengajaran aspek seni bahasa dan tatabahasa.

Rasional Penggunaan BBM dalam Pengajaran dan Pembelajaran

1. Penggunaan BBM sebagai alat pemudah cara untuk membantu guru semasa
menyampaikan pengajaran.
2. Penggunaan BBM mencapai objektif pengajaran yang telah dirancang oleh
guru.
3. Murid lebih memahami pengajaran guru serta dapat menerima pembelajaran
dengan cepatnya.
4. BBM juga dapat mengelakkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam
kelas yang membosankan murid.
5. BBM menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran yang dapat
‘diselamatkan’ daripada masalah disiplin di dalam kelas.

9
6. BBM juga dapat mencungkil kreativiti guru untuk menjadikan proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas lebih mencabar.
7. Guru akan terdedah dengan kemajuan teknologi maklumat untuk meneroka
dunia tanpa sempadan untuk mengaplikasikannya dalam PdP.

Prinsip Pemilihan Bahan Bantu Mengajar


1. Sesuai
Bahan sesuai dengan pengajaran dan pembelajaran guru. Pemilihan bahan
hendaklah mempunyai hubungan kesesuian dengan perkara seperti yang
berikut;
i. objektif dan matlamat pengajaran bahasa
ii. pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran
iii. suasana pembelajaran
v. pencapaian dan minat murid

2. Mencabar
Murid masa kini telah terdedah dengan pelbagai perkara dan benda baharu.
Proses pembelajaran perlu mempunyai bahan yang dapat memberikan
rangsangan supaya dapat meningkatkan pemikiran dan perubahan tingkah
laku. Ciri bahan yang mencabar seperti yang berikut:
i. Bahan yang konkrit kepada bahan yang abstrak.
ii. Bahan yang mudah kepada yang kompleks.
iii. Bahan yang mengandungi fakta terasing kepada bahan yang
mempunyai hubungan yang bersepadu.
iv. Bahan yang khusus kepada bahan yang umum (induktif).
v. Bahan yang umum kepada yang khusus (deduktif).
vi. Bahan masa kini kepada masa akan datang.

3. Menepati
Ketepatan bahan pengajaran dimaksudkan sebagai isi kandungan bahan
pengajaran yang menepati kandungan kurikulum pengajaran. Bahan
pengajaran yang dipilih mestilah menunjukkan perkaitan antara aspek
kandungan bahasa. Ketepatan sesuatu bahan dengan kurikulum pengajaran
bahasa berdasarkan ciri-ciri yang berikut:
i. Isi kandungan sesuai dengan kemampuan dan kehendak murid.
ii. Susunan bahan sesuai dengan pemeringkatan isi pelajaran.
iii. Mengandungi maklumat atau fakta yang yang tepat.
iv. Maklumat yang kemas kini.
v. Perbendaharaan kata yang sesuai.
vi. Bahan pengajaran yang diperakui (ciri keselamatan).

4. Menarik
BBM yang menarik memenuhi perkara yang berikut:
i. Reka letak seperti bahan peta, lukisan, carta, jadual, graf, rajah,
gambar atau kartun disusun berhampiran dengan sesuatu maklumat
yang berkaitan. hal ini akan memudahkan murid membuat rujukan atau
memahami sesuatu konsep.
ii. Saiz huruf cetak atau saiz huruf haruslah sesuai dengan peringkat
umur pelajar.

10
iii. Ilustrasi dan bahan grafik bukan sahaja menghiasi bahan pengajaran
tetapi berfungsi sebagai manifestasi visual sesuatu maklumat yang
akan dapat menambah atau mengukuhkan bacaan dan kefahaman
murid.
iv. Kualiti kulit buku, muka depan, gambar dan cara buku dijilid.
v. Bahan pengajaran mengandungi arahan yang jelas.

5. Jimat dan mudah


Guru boleh menyediakan bahan sendiri dengan kreatif untuk disesuaikan
dengan tajuk dan aktiviti. Bahan terbuang dan bahan sedia ada boleh
dijadikan bahan untuk menghasilkan bahan bantu.

6. Praktikal
Bahan yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran
seharusnya praktikal sama ada kepada guru atau murid. Bahan pengajaran
seharusnya sederhana dan mudah digunakan serta menggunakan bentuk
bahasa yang baik berdasarkan situasi sebenar. Hal ini dapat membantu murid
untuk menggunakan bahasa yang baik dalam komunikasi. Selain itu, bahan
tersebut seharusnya tahan lasak dan tidak mudah rosak.

7. Mudah alih
Bahan pengajaran yang dipilih hendaklah sentiasa berfungsi, dapat dibawa ke
mana-mana dan tidak terlalu berat atau besar saiznya.

Prinsip Penyediaan Bahan Bantu Mengajar


Bahan bantu yang baik dapat meningkatkan prestasi pencapaian murid dalam tajuk
yang difokuskan dalam pengajaran dan pembelajaran. Antara prinsip penyediaan
BBM seperti yang berikut:
i. Bahan yang sesuai dengan aspek seni bahasa, iaitu bahan untuk aktiviti
berlakon, bercerita, bernyanyi dan berpuisi.
ii. Guru boleh mengubah suai bahan sedia ada untuk menjimatkan masa dan
kos.
iii. Bahan yang disediakan berinspirasi dan kreatif, menarik, berwarna terang,
saiz yang sesuai dengan murid dan mudah digunakan.
iv. Ketepatan maklumat pada bahan.
v. Penggunaan kata dan frasa yang betul serta ayat yang gramatis.
vi. Penyerapan nilai dan pengajaran dalam bahan.

Kepentingan Bahan Bantu Mengajar


i. Memberikan rangsangan untuk menarik minat murid memberikan perhatian
kepada pengajaran guru.
ii. Menyediakan dasar kukuh untuk perkembangan kefahaman dan corak
pemikiran murid.
iii. Membekalkan dasar perkembangan pembelajaran dan menjadikan
pembelajaran mmurid lebih kekal.
iv. Menyediakan pengalaman baharu kepada murid.
v. Mempercepat perkembangan kosa kata.
vi. Menambah pengetahuan murid tentang bahan yang digunakan guru.
vii. Menjimatkan masa kerana pelbagai aktiviti murid dapat dilaksanakan.
viii. Menghasilkan pembelajaran yang menyeronokkan murid.

11
Bahan Sastera sebagai BBM dalam Pengajaran Aspek Seni Bahasa
Bahan sastera merupakan bahan yang berkaitan dengan kesusasteraan yang
mempunyai keistimewaan tersendiri dan amat sesuai dengan pengajaran aspek seni
bahasa secara didik hibur – bernyanyi, berlakon, bercerita dan berpuisi. Semua
aktiviti tersebut dapat dilaksanakan dengan menggunaan bahan sastera. Bahan
sastera yang sesuai seperti yang berikut”
i. Bahan prosa moden – cerpen, novel, drama
ii. Bahan puisi tradisional – syair, pantun, seloka, gurindam, nazam
iii. Bahan puisi moden – sajak

Jenis-jenis BBM Pengajaran Aspek Seni Bahasa


1. Bahan maujud
2. Bahan teks
3. Bahan grafik
4. Bahan multimedia
5. Bahan autentik

Bahan Maujud
Bahan maujud ialah sumber pengajaran dan pembelajaran yang terdiri daripada
bahan konkrit atau bahan sebenar yang dapat dilihat, disentuh dan dipegang. Bahan
maujud ini boleh terdiri daripada bahan yang ada di sekeliling bilkik darjah atau
kawasan sekolah.
Kepentingan bahan maujud sebagai BBM
i. Murid dapat melihat benda yang realiti.
ii. Murid lebih cepat faham akan isi pelajaran yang ingin disampaikan oleh guru.
iii. Meningkatkan daya ingatan murid.
iv. Meningkatkan kemahiran berfikir murid seperti memberikan idea untuk
memberikan pendapat tentang sesuatu perkara.

Bahan Teks
Bahan teks untuk pengajaran seni bahasa ialah teks bahan sastera, bahan bertulis
daripada buku atau bahan teks yang dicipta atau ditulis oleh guru sendiri. Bahan
teks boleh berbentuk cerita, lirik lagu, skrip lakonan, prosa dan puisi.
Kepentingan bahan teks sebagai BBM
i. Murid dapat memahami kandungan teks dengan lebih mudah.
ii. Murid dapat membina penghayatan teks sebelum bernyanyi, bercerita,
berlakon dan berpuisi.
iii. Murid dapat mengenal kepelbagaian genre sastera.
iv. Memperkaya kosa kata murid.

INTERAKSI 4
PENGAPLIKASIAN PELBAGAI BAHAN BANTU BELAJAR ASPEK SENI
BAHASA
Bahan Grafik

12
Perkataan grafik berasal daripada perkataan perkataan Greek “graphikos” bererti
lukisan. Grafik ialah kombinasi gambar-gambar, lambang-lambang, simbol-simbol,
huruf-huruf, angka, perkataan, lukisan, lakaran yang dijadikan satu media untuk
memberikan konsep dan idea daripada pengirim kepada sasarannya dalam proses
menyampaikan maklumat.  Grafik menjadi suatu bentuk komunikasi visual yang
menggunakan teks atau gambar untuk menyampaikan informasi atau mesej.
Terdapat pelbagai jenis teknik penghasilan grafik tertentu. Visual yang banyak
menggunakan grafik seperti carta, graf, gambar rajah, poster, kartun, lut sinar dan
lain-lain bahan bantu mengajar.
Grafik juga ditakrifkan sebagai lukisan, percetakan gambar atau huruf dengan
menggunakan pelbagai media sama ada secara manual atau menggunakan
teknologi komputer. Menurut Linstrom (1994), ilustrasi dan gambar mampu bercerita,
menarik perhatian dan menggambarkan orang, tempat atau benda. Carta, graf atau
rajah menyediakan dimensi pelbagai maklumat secara visual. Grafik menunjukkan
maklumat terperinci bergambar dan berfungsi sebagai ikon yang mewakili sesuatu.
Grafik boleh merujuk pelbagai persembahan imej atau paparan visual yang tidak
bergerak seperti gambar, lukisan, lakaran, gambar, foto, ilustrasi dan sebagainya.
Ianya merupakan antara elemen multimedia yang amat penting bagi memberikan
penekanan dalam suatu proses penyampaian maklumat. Penggunaan graf atau
carta misalnya mampu memaparkan peningkatan atau penurunan jumlah jualan bagi
sesebuah syarikat dengan lebih berkesan berbanding penggunaan teks atau jadual
semata-mata. Grafik juga mampu menjadikan sesuatu persembahan atau
penyampaian maklumat lebih menarik dan mampu memfokuskan perhatian
pengguna terhadap maklumat yang ingin disampaikan.
Penggunaan grafik dikatakan mampu menyampaikan sesuatu maklumat
dengan lebih pantas dan tepat memandangkan ianya disampaikan dalam bentuk
visual. Grafik juga dikatakan mampu membantu dalam menerangkan sesuatu
maklumat dengan lebih tepat dan berkesan. Penggunaan grafik pada masa ini
diterapkan dalam media elektronik yang disebut sebagai ‘grafik interaktif’ atau ‘grafik
multimedia’. Multimedia  merujuk perisian atau aplikasi yang berasaskan komputer
dan menggabungkan sekurang-kurangnya dua atau lebih daripada dua media, iaitu
teks, grafik, animasi, audio dan video.

Kepentingan Grafik dalam Pendidikan


Grafik penting untuk menyediakan bahan-bahan pandangan (visual) yang sangat
penting untuk menyampaikan sesuatu mesej tertentu dengan jelas. Sebagai seorang
guru, kita mesti mempunyai pengetahuan asas grafik untuk membuat persediaan
bahan bantu mengajar asas. Pemahaman asas grafik membolehkan seseorang
menghasilkan BBM/BBB yang efektif. Keistimewaan objek grafik ialah mudah
difahami  oleh ramai orang walaupun menghadapi halangan bahasa komunikasi
yang berbeza. Bahan grafik yang berkesan mendorong interaksi yang aktif di dalam
bilik darjah dan mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan
mencabar.
Wittich dan Schuller (1973) mengatakan bahawa grafik terdiri daripada bahan visual
yang meringkaskan penerangan dan penilaian tertentu menerusi gabungan
penggunaan lukisan, perkataan, lambang dan gambar-gambar. Kanak-kanak
biasanya tertarik terhadap bahan grafik yang ditunjukkan. Hal ini dapat mewujudkan
suasana pembelajaran yang positif.

Bahan Multimedia

13
Mengikut Waterworth (1992) multimedia ialah penyepaduan bunyi, muzik, animasi,
teks, video dan grafik yang dihasilkan oleh teknologi berasaskan komputer.
Rosenberg (1993) mendefinisikan multimedia sebagai gabungan bunyi, imej statik,
hiperteks, dan video yang digunakan selaras dengan teknologi komputer. Jacquetta
Megarry (1990), multimedia ialah hipermedia yang berkeupayaan hiperteks.
Penekanan terhadap cara pengguna menggabung, menyunting, melaras bunyi,
grafik, gambar bergerak, teks dan perisian komputer dengan penggunaan tetikus.
Multimedia didefinisikan sebagai satu pakej bahan yang mengandungi
kombinasi teks, grafik, animasi, audio dan video (Norhayati Abd Mukti & Siew Pei
Hwa, 2004). Sifoo, (2003) pula, mengatakan bahawa multimedia, jika dilihat
daripada segi bahasa bermaksud banyak media atau pelbagai media yang biasanya
terdiri daripada teks, grafik, audio, video, dan animasi. Sebagai contoh, sebuah
laman web statik boleh dikira sebagai sebuah multimedia kerana menggunakan teks
dan grafik. Walau bagaimana pun, multimedia lebih kerap digunakan kepada web
atau CD yang mempunyai audio, animasi dan video.
Multimedia ialah teknologi yang menggabungkan grafik, bunyi, video dan
animasi yang menghasilkan persembahan yang menakjubkan (Rozinah Jamaludin,
2005). Multimedia mempunyai keupayaan interaktif yang tinggi sehingga digunakan
dalam program yang memerlukan interaksi pengguna. Dengan menggunakan
komputer multimedia, mata pelajaran Bahasa Melayu tidak akan menjadi satu mata
pelajaran yang membosankan malah berupaya mengangkat bahasa Melayu ke taraf
yang lebih tinggi dan diminati oleh murid.
Multimedia ialah suatu teknik yangmenggabungkan data, teks, gambar, grafik,
animasi, bunyi dan video. Penggunaan multimedia secara tidak langsung dapat
memberikan peluang kepada guru untuk menggunakan dan memahirkan diri
denganpelbagai teknologi terkini dan bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran
teknologi baharu yang akan datang.
Dapat dirumuskan bahawa multimedia ialah proses komunikasi interaktif
berasaskan komputer yang merangkumi penggunaan teks, audio, grafik, dan
animasi. Dari perspektif pendidikan, multimedia ditakrifkan sebagai satu kumpulan
sistem komunikasi interaktif yang dipandu oleh komputer untuk mereka, menyimpan,
menghantar dan menapis naskhah teks, animasi, video dan rangkaian maklumat
yang diedit.
Perkembangan teknologi maklumat merubah cara belajar, cara memperoleh
maklumat, cara menyesuaikan maklumat dan sebagainya. Multimedia memberikan
peluang kepada guru untuk mengaplikasikan pelbagai teknik pengajaran. Pelajar
juga dapat peluang untuk menentukan cara belajar yang sesuai dengan mereka
untuk membentuk pengetahuan berdasarkan keperluan serta mengalami suasana
pembelajaran yang lebih menarik dan berkesan. Contoh bahan multimedia ialah
penggunaan CD-ROM. Bahan ini dapat mempercepat dan mempermudah
penyampaian ilmu kepada para pelajar. Bahan ini juga berupaya untuk
meningkatkan kefahaman pelajar melalui gabungan grafik, bunyi, video dan animasi
yang membuka ruang minda ke arah kefahaman yang menyeluruh. Guru tidak perlu
bersusah payah untuk menyediakan dan menggunakan BBM/BBB yang banyak
kerana belum tentu bahan itu dapat menarik minat pelajar.
Dalam konteks pendidikan, interaktif melalui multimedia telah memainkan
peranan yang penting untuk mengembangkan proses pengajaran dan pembelajaran
ke arah yang lebih dinamik dan bermutu. Hal ini dibantu dengan keupayaan
komputer sewaktu mempersembahkan teknologi yang menyokong penghasilan
aplikasi pengajaran pembelajaran. Teknologi multimedia dapat mempercepat dan

14
mampu memberikan kefahaman tentang sesuatu dengan tepat, menarik dan dengan
efektif dan efisien.
Tujuan utama pengaplikasian multimedia dalam pendidikan ialah untuk
memberikan kefahaman dan keberkesanan yang mendalam dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Penerokaan dalam bidang ini telah dibuat secara
mendalam dalam usaha untuk membangunkan bidang pendidikan yang berasaskan
teknologi dan mencuba sedaya upaya untuk mengatasi segala masalah dan
kepincangan yang berlaku dalam pengaplikasian teknologi dalam proses pengajaran
dan pembelajaran (Anneke Eurelings, 2001).

Elemen-Elemen dalam Multimedia


Secara umumnya terdapat lima elemen utama dalam multimedia iaitu teks, grafik,
audio, video,dan animasi. Interaktif juga merupakan sebahagian daripada elemen
yang penting sebagai pelengkap proses pembelajaran.

Audio
Kesan audio atau bunyi merupakan satu daya penarik yang berkesan untuk menarik
perhatian murid ketika proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Audio dalam sistem multimedia seperti rakaman suara, suara latar, muzik, kesan
khas audio dan sebagainya. Penggunaan media ini memudahkan proses
pembelajaran kerana murid akan lebih memberikan perhatian terhadap
pembelajaran. Malah media ini akan lebih memberikan kesan mantap selain dapat
memberikan motivasi dan rangsangan kepada murid supaya memberikan tumpuan
yang lebih baik ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Murid juga
tidak akan berasa bosan dengan kepelbagaian BBM/BBB yang digunakan di dalam
bilik darjah.

Video
Video ialah elemen multimedia yang bersifat dinamik dan lebih realistik berbanding
dengan elemen yang lain. Media ini ialah gabungan daripada pelbagai elemen lain
seperti teks, grafik, audio dan lain-lain dalam satu medium. Video juga memudahkan
penggunakan guru untuk menyampaikan maklumat pembelajaran dengan lebih
berkesan dan menyeronokkan. Penggunaan video akan lebih merangsang murid
belajar dan menarik minat terhadap sesuatu subjek yang diajarkan pada ketika itu.
Video bukan sahaja memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam
bilik darjah malah dapat mempengaruhi emosi dan perasaan murid dengan lebih
berkesan dan berkemungkinan dapat meninggalkan kesan mendalam di dalam hati
murid tentang perkara yang dipelajari.

Animasi
Animasi bermaksud papan visual yang bersifat dinamik. IAnimasi juga merupakan
satu proses untuk menjadikan sesuatu objek supaya kelihatan hidup atau
memberikan gambaran yang bergerak yang pada asalnya objek tersebut adalah
bersifat statik. Animasi merupakan elemen multimedia yang diminati ramai serta
mendapat perhatian ramai, terutama kepada industri kartun kerana elemen ini dapat
menzahirkan fantasi manusia ke alam realiti. Walau bagaimanapun, bagi proses
pengajaran dan pembelajaran elemen ini juga memainkan peranan yang penting
bagi guru untuk menyampaikan maklumat kepada murid. Pengaplikasian media ini
akan akan memberikan kefahaman yang lebih baik kepada murid untuk memahami
maksud yang ingin disampaikan oleh guru. Contohnya guru mengajar murid tentang

15
bernyanyi. Murid akan mudah faham dan ingat jika guru menayangkan penyampaian
nyanyian dengan menggunakan animasi kartun sedang bernyanyi.

Kelebihan Bahan Multimedia

1. Komunikasi maklumat yang efektif


Dengan menggunakan multimedia, pelbagai bentuk maklumat dapat
disampaikan dengan berkesan dan menarik. Penggunaan gambar dan video
umpamanya ketika menerangkan tentang aktiviti lakonan sangat sesuai untuk
meningkat keberkesanan dan kefahaman murid terhadap perkara yang
diajarkan. Kajian juga menunjukkan bahawa maklumat yang diterima dalam
bentuk grafik dan gambar rajah dapat diterima dengan lebih mudah serta
dikodkan dalam minda pelajar.

2. Format yang interaktif dan merangsang


Satu lagi faktor yang dapat menentukan keberkesanan proses pembelajaran
ialah interaksi antara guru dengan murid. Pembelajran secara aktif dipercayai
dapat menimbulkan suasana persaingan yang sihat sesama murid.
Interaktiviti dalam sistem multimedia membolehkan sesuatu proses latihan
atau pengajaran dijalankan mengikut kesesuaian, keperluan dan cita rasa
murid.

3. Pengekalan informasi yang berkesan


Pembelajaran dengan menggunakan bahan multimedia dapat menyediakan
pelbagai bentuk pengukuhan melalui penggunaan pelbagai jenis media
seperti teks, audio, grafik dan animasi. Oleh yang demikian, penggunaan
multimedia yang membekalkan pelbagai jenis maklumat dalam pelbagai
bentuk, media dan pendekatan dapat membantu dalam pembentukan corak
ingatan yang lebih kompleks dan seterusnya memudahkan proses capaian
maklumat tersebut pada masa depan.

4. Memudah dan mempercepat proses pengajaran dan pembelajaran


Kadang kala terdapat masalah dalam pengajaran dan pembelajaran
terutamanya apabila ingin menerangkan menggunakan teks. Contohnya ialah
sewaktu memperkenalkan aktiviti berpuisi seperti mendeklamasikan sajak.
Penggunaan media sokongan seperti dan video akan lebih memudahkan dan
mempercepat proses untuk murid memahami cara mendeklamasikan sajak
tersebut.

5. Membolehkan murid belajar mengikut keperluan mereka sendiri


Penggunaan multimedia membolehkan murid mencapai maklumat tanpa
perlu mengikut laluan yang telah ditetapkan seperti lembaran buku dan teks.
Bahan multimedia membolehkan murid mencapai maklumat mengikut minat,
keupayaan, kehendak hati mereka sendiri dan keselesaan masing-masing.
Selain itu, bahan ini membolehkan murid menggunakan cara yang digemari
mereka bagi memahami sesuatu topik tanpa bergantung sepenuhnya kepada
pengajaran yang disampaikan oleh guru mereka.
6. Memenuhi stail pembelajaran murid
Multimedia berupaya untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang
berbentuk pelbagai pancaindera dan sesuai untuk manusia yang mempunyai

16
berbagai-bagai gaya pembelajaran dan tahap kognitif. Bahan multimedia
juga membantu murid menjadi fleksibel dalam proses mental mereka dan
bukan hanya membatasi diri mereka dengan gaya sendiri sahaja.

7. Meningkatkan minat dan motivasi murid


Penggunaan multimedia dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang
merangsang murid untuk terus belajar. Hal ini kerana bahan multimedia
memaparkan sesuatu yang berbeza daripada buku teks dan buku latihan
yang biasa digunakan. Kelainan ini mempengaruhi minat dan juga motivasi
murid untuk terus mendapatkan maklumat daripada bahan yang terdapat
dalam media yang digunakan oleh guru. Pemupukan minat dan motivasi akan
memudahkan proses pembelajaran yang seterusnya.

Bahan Autentik
Autentik ialah asli, tulen dan dipercayai dan dapat dijadikan pegangan. Bahan
autentik ialah semua bahan yang diterbitkan untuk kegunaan masyarakat. umum
dengan beberapa tujuan. Contoh majalah hiburan, drama televisyen, iklan, akhbar,
rancangan televisyen, video muzik dan lain-lain.
Bahan-bahan autentik seperti iklan, jadual, gambar, brosur, poster, akhbar,
majalah dan grafik juga boleh digunakan (Kementerian Pendidikan Malaysia: 1994
dan Awang Sariyan: 2009). Bahan yang dipilih mestilah bermutu bahasanya, kecuali
untuk tujuan analisis kesilapan (Awang Sariyan, 2009) agar dapat melatih murid
supaya menjadi lebih kritikal dan peka terhadap penggunaan bahasa yang betul dan
tepat (Kementerian Pendidikan, 1994).
Bahan autentik dalam kemahiran mendengar seperti program radio dan
televisyen, syarahan, ucapan, drama dan filem. Bahan autentik membaca seperti
iklan, jadual, menu, kepada yang sukar seperi rencana pengarang, karya sastera,
kritikan dan teks saintifik.

17

You might also like