You are on page 1of 8

Penghasilan Puisi Tradisional

Puisi tradisional merujuk kepada perkataan atau ayat yang disusun dalam
bentuk karangan berangkap. Puisi tradisional juga berbentuk pengucapan atau
ujaran dalam susunan yang istimewa berbanding dengan pengucapan biasa.
Selain itu, puisi tradisional memiliki keupayaan bahasa yang mementingkan
kekuatan daya intelektual dan logika di samping mengekalkan imej estetika
bahasa. Imej estetika amat penting untuk memperlihatkan keindahan semula
jadi puisi tradisional agar keaslian puisi tradisional tidak terjejas. Bentuk
lahiriah, pemikiran, dan fungsi puisi Melayu tradisional masih dikekalkan
oleh masyarakat seperti kedudukan asal penciptaannya demi memastikan
keasliannya terpelihara. Masyarakat Melayu sudah sebati dan sinonim dengan
bentuk dan ciri-ciri puisi tradisional. Oleh itu, keaslian puisi tradisional
perlu dipelihara supaya adat dan budaya seni masyarakat Melayu dalam
bidang puisi tradisional ini tidak tercemar. Puisi tradisional yang masih
mendapat tempat istimewa dalam kalangan ahli masyarakat, khususnya di
Malaysia ialah pantun, syair, gurindam, dan nazam.

4.1  Penciptaan Karya


Untuk mencipta puisi Melayu tradisional, ciri-ciri dan bentuk luaran bagi jenis
puisi yang berkenaan perlu diketahui lebih dahulu. Hal ini demikian kerana puisi
Melayu tradisional mempunyai bentuk yang tersendiri dan terikat. Bahasa yang
digunakan dalam puisi Melayu sangat ekonomik dan mengandungi peraturan
serta undang-undang tersendiri yang perlu dipatuhi. Peraturan dan undang-
4.  Penghasilan Puisi Tradisional 43

undang ini bertujuan memastikan ciri-ciri puisi Melayu yang asal dipatuhi
dan diikuti oleh pengkarya seterusnya memberikan keharmonian kepada
pembaca karya-karya tersebut.

4.1.1  Pantun
Pantun merupakan salah satu jenis puisi tradisional yang digunakan untuk
menyampaikan hajat dan isi hati seseorang. Individu yang ingin mencipta
pantun perlu mengikuti ciri-ciri pantun sedia ada di samping menyusun pantun
mengikut rima tersendiri bergantung kepada jenis pantun yang ingin dicipta.
Hal ini bermaksud bahawa individu yang mahu mencipta pantun perlu
mengetahui struktur luaran dan perkara-perkara berkaitan pantun tersebut lebih
dahulu. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ketika ingin mencipta pantun
adalah seperti yang berikut:
(a) Susunan luaran pantun yang merangkumi jumlah suku kata, perkataan,
baris, skema rima di akhir baris, dan keseimbangan rima di bahagian tengah
pantun.
(b) Susunan dalaman pantun seperti perkaitan antara pembayang dan maksud
pantun.
(c) Memilih unsur-unsur alam sebagai pembayang dengan memberikan
penekanan terhadap aspek logika dan memberikan pemerhatian terhadap
subjek yang berada di persekitaran.
(d) Memilih perkataan yang memiliki keharmonian dan keindahan.
(e) Memastikan wujud pemikiran dan mesej sama ada dalam pembayang
maksud atau maksud yang biasanya mengandungi unsur tersirat.
Perhatikan kesempurnaan yang terdapat dalam pantun yang menjadi warisan
kebanggaan masyarakat Melayu. Contoh pantun yang biasa digunakan dalam
masyarakat Melayu tradisional adalah seperti yang berikut:
Pisang emas dibawa belayar,
  Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
  Hutang budi dibawa mati.
44 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak

Dua rangkap permulaan dalam pantun tersebut menceritakan pisang emas yang
dibawa belayar. Situasi ini bermaksud bahawa terdapat segolongan masyarakat
Melayu pada satu ketika dahulu yang menceburi bidang perdagangan melalui
jalan laut. Banyak orang mengetahui bahawa pisang emas mempunyai sejenis
bahan yang boleh menghilangkan loya atau mabuk laut. Oleh hal yang demikian,
pisang emas perlu sentiasa dibawa dalam pelayaran sebagai penawar mabuk
laut. Walau bagaimanapun, terdapat persoalan, iaitu “Mengapakah pisang emas
tersebut masak sebiji sahaja dan mengapakah pisang emas itu berada di atas
peti?” Berdasarkan ketajaman pemerhatian masyarakat Melayu pada zaman
dahulu, pisang emas akan masak sebiji demi sebiji dan bukannya masak sekali
gus. Di samping itu, peti yang dimaksudkan bukan peti dalam erti kata yang
sebenar-benarnya, sebaliknya merupakan bekas berisi pakaian berbentuk peti
yang digunakan oleh orang-orang Melayu pada zaman dahulu.
Bilangan suku kata, perkataan di dalam setiap baris serta keseimbangan rima
tengah dan rima akhir perlu diberi perhatian. Semua perkara ini mempunyai
sukatan tertentu yang perlu disusun kemas. Maksud sesuatu pantun juga
menggambarkan pemikiran masyarakat Melayu yang sangat mementingkan
ketinggian dan kemuliaan budi melebihi nilai kekayaan. Hal ini demikian
kerana kemuliaan budi akan dikenang sehingga akhir hayat seseorang.
Selain itu, aspek logika dalam pantun juga mesti diberikan perhatian khusus.
Seseorang tidak boleh mencipta pantun yang boleh dipersoalkan kelogikannya.
Sebagai contoh, tidak masuk akal sekiranya seseorang menulis pembayang
pantun seperti yang berikut:
Dari Temerloh pergi ke Sabah,
  Naik basikal beroda tiga;
Kebiasaannya, seseorang yang mahu mencipta pantun mestilah menulis dua
rangkap maksudnya lebih dahulu. Kemudian, barulah dua rangkap pembayang
maksud (jika pantun empat kerat) ditulis. Lazimnya, menulis maksud lebih
dahulu akan memudahkan seseorang untuk mencari pembayang pantun yang
bersesuaian. Penggunaan perkataan-perkataan pinjaman dalam bahasa Inggeris,
khususnya perkataan yang boleh merosakkan keindahan bahasa pantun perlu
dielakkan. Di samping itu, rima akhir yang berakhir dengan rima a, a, a, a
masih boleh diterima tetapi termasuk dalam kategori hasil ciptaan yang lemah.
4.  Penghasilan Puisi Tradisional 45

Oleh itu, individu yang ingin mencipta pantun digalakkan untuk mencipta
pantun yang berakhir dengan rima a, b, a, b.

4.1.2  Syair
Syair juga merupakan sebahagian daripada puisi tradisional yang menjadi pilihan
masyarakat. Penciptaan syair mesti melibatkan perkara-perkara yang berikut:
(a) Struktur luaran syair melibatkan jumlah perkataan dalam baris dan rima
akhir syair berakhir dengan rima yang sama (a, a, a, a).
(b) Merangka penceritaan yang akan diceritakan dalam rangkap-rangkap syair.
Hal ini demikian kerana setiap rangkap syair tidak dapat berdiri dengan
sendiri, sebaliknya saling berkaitan antara satu rangkap dengan rangkap
yang lain.
(c) Memastikan perkataan-perkataan yang ditulis mengandungi nasihat dan
pengajaran yang bersesuaian dengan fungsi syair, iaitu menghibur di
samping memberikan nasihat kepada pembaca atau pendengar.
(d) Syair tidak memiliki pembayang. Kesemua baris dalam rangkap merupakan
maksud. Adakalanya maksud tersebut mudah difahami secara tersurat dan
adakalanya maksud tersebut mempunyai maksud tersirat. Contoh syair
adalah seperti yang berikut:

Syair Pesanan Ibu


Dengarlah anak ibu berpesan,
lengkapkan diri dengan pelajaran,
hanyalah itu jadi bekalan,
untuk hidup di masa depan.
Ilmu itu pelindung diri,
seperti kebun berpagar duri,
seperti sinar intan baiduri,
itulah tanda orang jauhari.
Hidupmu kini di masa remaja,
bagaikan permata amat berharga,
jangan jatuh ke lembah hina,
nanti menyesal tidak berguna.
46 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak

Kalau hidup terasa susah,


senang berhadapan dengan masalah,
hadapi dengan hati yang tabah,
jangan cepat resah gelisah.
Syaitan menggoda bertambah gundah,
jangan mengambil jalan yang mudah,
jangan sekali mencuba dadah,
kalau terjerat sesal tak sudah.
Jika masa sudah terbuang,
perginya tidak akan berulang,
di hati tua sesal mendatang,
mengingatkan waktu yang telah hilang.
Orang tua sudah berpesan,
dunia bagai lautan dalam,
oleh kerana kurang pedoman,
ramailah insan yang telah karam.

4.1.3  Gurindam
Gurindam merupakan salah satu bentuk puisi tradisional yang masih popular
dalam kalangan masyarakat Melayu. Dalam penciptaan gurindam, aturan dan
tatacara penulisan perlu dipatuhi dan diikuti untuk memastikan gurindam masih
lagi dipelihara dari aspek bentuk dan ciri-cirinya. Untuk mencipta gurindam,
terdapat beberapa aspek yang perlu diikuti, iaitu:
(a) Struktur luaran gurindam terdiri daripada dua baris. Baris pertama merupakan
isyarat dan baris yang kedua merupakan akibat. Contoh gurindam boleh
dilihat daripada sebahagian gurindam yang ditulis oleh Raja Ali Haji
(Gurindam Dua Belas), iaitu:
Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tiadalah damping.
(b) Gurindam perlu berakhir dengan rima yang sama (a, a).
(c) Keseluruhan isi gurindam merupakan nasihat kepada audiens yang disasarkan
sama ada golongan murid, remaja, anak-anak atau masyarakat keseluruhannya.
4.  Penghasilan Puisi Tradisional 47

4.1.4  Nazam
Walaupun nazam semakin tidak popular dalam masyarakat kini, namun
keasliannya perlu dipelihara untuk memastikan bentuk nazam masih kekal
dan tidak menyimpang daripada bentuk yang asal. Oleh itu, penciptaan nazam
melibatkan aspek-aspek seperti yang berikut:
(a) Nazam terdiri daripada dua rangkap. Kedua-duanya merupakan maksud.
(b) Lazimnya, tiap-tiap baris nazam terdiri daripada lima atau enam perkataan
menjadikan suku kata antara sepuluh hingga dua belas. Namun, ada juga
baris-baris nazam yang terdiri lebih daripada enam perkataan dan mempunyai
hingga 20 suku kata.
(c) Puji-pujian terhadap Allah SWT ditulis di permulaan nazam.
(d) Nazam juga mempunyai rima akhir yang sama.
(e) Perbezaan nazam dengan gurindam ialah nazam tidak dapat berdiri sendiri.
Hal ini demikian kerana setiap rangkap nazam memiliki kesinambungan
cerita.
(f) Nazam dicipta untuk memuji kebesaran Allah, mengingatkan manusia
tentang syurga dan neraka, amal ibadat, dan hal-hal lain berkaitan agama.
Contoh nazam adalah seperti yang berikut:
Aku mula nazam ini dengan nama,
Allah yang memberi fahaman agama,
Puji itu bagi Allah yang mulia,
Lahir kekal ia lagi yang ada.

4.2  Penyuntingan dan Pemurnian Karya


4.2.1  Pantun
Penyuntingan dan pemurnian pantun yang dicipta mesti dilakukan dengan
teliti. Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah seperti yang berikut
(penekanan diberi kepada pantun empat kerat):
(a) Semak semula cara penulisan pantun
Baris pertama dan baris ketiga dalam pantun mesti ditulis di bahagian tepi.
Baris kedua dan baris keempat pula perlu ditulis ke dalam sedikit dalam
48 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak

kiraan lima (jika menaip menggunakan komputer). Baris pertama diakhiri


dengan koma, baris kedua diakhiri dengan koma bertindih, baris ketiga
diakhiri dengan koma, dan baris keempat diakhiri dengan noktah.
(b) Semak semula pemilihan perkataan dalam pembayang maksud dan maksud
Semak pemilihan perkataan dalam pantun untuk memastikan perkataan
tersebut bersesuaian dan membentuk rima yang betul. Jika masih ada
kejanggalan dari segi rima dan logika, susun semula perkataan-perkataan
tersebut. Lakukan semakan beberapa kali.
(c) Pengeditan ejaan
Rujuk kamus jika ragu-ragu tentang ejaan terkini. Hal ini demikian kerana
sistem ejaan bahasa Melayu sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

4.2.2  Syair
Cara untuk menyunting dan memurnikan syair adalah seperti yang berikut:
(a) Memastikan perkataan yang digunakan sesuai dan menepati maksud syair
tersebut di samping memastikan rima di hujung setiap baris syair adalah
sama.
(b) Menyemak ejaan dan tatabahasa dengan merujuk kamus.
(c) Menyemak bilangan suku kata dan perkataan dengan cara melagukan syair
untuk mendapatkan imbangan nada yang selari dengan jumlah perkataan
atau suku kata.
(d) Menyemak dan menggantikan perkataan pinjaman yang boleh merosakkan
keindahan dan nilai estetika bahasa syair.

4.2.3  Gurindam
Beberapa aspek perlu diberikan perhatian dalam penyuntingan gurindam, iaitu:
(a) Semak pemilihan perkataan yang bersesuaian dan mempunyai rima akhir
yang sama.
(b) Menyemak ejaan terkini dengan merujuk kamus.
(c) Memastikan baris pertama gurindam merupakan syarat dan baris kedua
gurindam merupakan akibat.
4.  Penghasilan Puisi Tradisional 49

(d) Menggantikan perkataan pinjaman, khususnya perkataan bahasa Inggeris


kepada perkataan bahasa Melayu yang lebih indah dan sesuai.

4.2.4  Nazam
Penyuntingan dan pemurnian nazam yang perlu diberi perhatian adalah seperti
yang berikut:
(a) Menyemak sama ada permulaan nazam mengandungi puji-pujian terhadap
Pencipta atau sebaliknya.
(b) Menyunting perkataan-perkataan yang kurang sesuai dan menggantikannya
dengan perkataan yang lebih sesuai dan mempunyai unsur estetika.
(c) Menyemak ejaan dengan merujuk kamus.
(d) Menyemak kesinambungan kisah antara rangkap.
(e) Menyemak keseimbangan suku kata dan perkataan dengan cara melagukan
nazam.

You might also like