You are on page 1of 13

Perkembangan Sastera Kanak-kanak

Sastera kanak-kanak ialah sastera berkaitan genre kanak-kanak. Pengisian


dalam sastera ini berfokuskan pelbagai mesej untuk disampaikan kepada kanak-
kanak. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan, khususnya melalui Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP). DBP telah melaksanakan beberapa program untuk
memperkembangkan dan mengangkat sastera kanak-kanak ini di samping
menarik minat anak-anak remaja untuk membaca hasil sastera kanak-kanak.
Justeru, pihak penerbitan DBP telah mengeluarkan majalah Sastera Remaja
khusus untuk golongan kanak-kanak dan remaja. DBP turut menerbitkan
pelbagai buku kanak-kanak untuk memeriahkan lagi sastera kanak-kanak di
Malaysia. Karya yang dihasilkan oleh penulis sastera kanak-kanak ialah karya
yang dikhususkan kepada kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.

1.1  Konsep Sastera Kanak-kanak


Sastera kanak-kanak ialah sastera yang dihasilkan untuk kanak-kanak. Penulisan
sastera kanak-kanak berbentuk karya yang mendatangkan keseronokan kepada
mereka. Penulisan sastera kanak-kanak yang menepati cita rasa kanak-kanak
ialah penulisan yang mengandungi cerita dan diikuti dengan ilustrasi menarik
kerana fitrah semula jadi kanak-kanak yang menyukai gambar-gambar menarik
dan berwarna-warni. Tulisan yang digunakan merupakan tulisan yang mudah
difahami, manakala saiz tulisan yang diguna pakai merupakan saiz tulisan
yang memudahkan pembacaan kanak-kanak. Oleh itu, sastera awal kanak-
kanak menjadi salah satu elemen yang dapat membantu memperkembangkan
2 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak

tahap pemikiran seseorang kanak-kanak. Sastera awal kanak-kanak perlu


menitikberatkan hasil yang memberikan keseronokan dan mampu merangsang
imaginasi kanak-kanak ke arah mengenal dan memahami diri sendiri.
Menurut Atan Long (1977), sastera kreatif termasuk sastera kanak-kanak
biasanya digunakan sebagai bahan hiburan serta bahan pengajaran untuk
mengenal diri dan masyarakat dalam sesuatu bangsa. Pusat Perkembangan
Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran Malaysia (2003) juga merangka
pendidikan untuk kanak-kanak membina konsep kendiri yang positif serta
meningkatkan kemahiran sosial apabila berhubung dengan rakan-rakan, orang
yang lebih berusia, dan masyarakat sekeliling. Oleh itu, sastera kanak-kanak
memerlukan penulisan yang berimaginasi tinggi dan berkreativiti menarik
sebagai sumber bacaan untuk hiburan. Penulisan bahan fiksyen dan bahan
bukan fiksyen untuk sastera kanak-kanak memerlukan pemikiran yang kreatif
dan berinovatif. Penghasilan sesuatu bahan fiksyen memerlukan pelaksanaan
eksperimen lebih dahulu sebelum diterbitkan sebagai sastera kanak-kanak
agar bahan tersebut mudah dibaca dan bermanfaat untuk kanak-kanak. Bahan
bukan fiksyen yang berunsurkan saintifik dan khayalan turut menjadi pilihan
kanak-kanak kerana lumrah semula jadi kanak-kanak yang menginginkan
kelainan daripada perkara yang dialami dan dilihat oleh mereka setiap hari.
Sastera kanak-kanak dihasilkan berasaskan keperluan dan keinginan spiritual
kanak-kanak. Kebanyakan penulis menghasilkan penulisan untuk memberikan
kepuasan dan hiburan kepada kanak-kanak di samping melahirkan sokongan
moral dari aspek keperluan emosi daripada bacaan mereka. Oleh itu, penulisan
sastera kreatif kanak-kanak perlu berasaskan imaginasi seterusnya dijadikan
sebagai sandaran utama kepada penulis untuk menghasilkan bahan bacaan
kanak-kanak. Menurut S. Molina S. Nijhar dalam artikel bertajuk “Apakah
Sastera Kanak-kanak – Khasnya Buku Bergambar” dalam Sekitar Sastera
Kanak-kanak dan Remaja (Othman Puteh dan Abdul Ahmad, 1984: 3), penulisan
sastera kanak-kanak dihasilkan untuk memberikan hiburan serta penilaian
kepada kanak-kanak dan kesusasteraan meliputi bacaan yang merangkumi
bidang fiksyen dan bukan fiksyen. Glazer (2000) juga menyatakan bahawa
buku kanak-kanak ditulis dalam bentuk bahan fiksyen dan bahan bukan
fiksyen. Oleh itu, penulisan sastera kanak-kanak perlu ditumpukan dalam
1.  Perkembangan Sastera Kanak-kanak 3

kedua-dua bidang sama ada bidang fiksyen atau bukan fiksyen bersandarkan
karya yang berimaginasi tinggi dan mampu membina penaakulan.
Penulisan sastera kreatif kanak-kanak terdiri daripada pelbagai genre seperti
drama, cerpen, sajak, syair, novel, dan sebagainya. Peringkat bacaan awal
kanak-kanak memerlukan bahan bacaan bergambar dan berwarna-warni
untuk menarik minat mereka. Ketajaman deria penglihatan menerusi aktiviti
bacaan kanak-kanak banyak bergantung pada bahan yang digunakan oleh
penulis. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya penulisan karya sastera kanak-
kanak banyak mengandungi ilustrasi bergambar dan berwarna-warni yang
dapat menarik minat kanak-kanak serta mudah diterjemahkan menerusi visual
penglihatan mereka.
Penulisan sastera kreatif kanak-kanak dihasilkan untuk memberikan didikan
dari aspek pemikiran dan keperibadian kanak-kanak. Menerusi aktiviti bacaan,
setiap cerita yang ditulis oleh pengarang mengandungi pelbagai pemikiran yang
dapat mempengaruhi kanak-kanak dalam pembentukan peribadi mereka. Penulis
sangat berpengaruh untuk menanamkan pelbagai ideologi kepada kanak-kanak
menerusi pembacaan sastera kanak-kanak. Oleh sebab pemikiran kanak-kanak
masih tidak dicemari dengan pelbagai isu dalam kehidupan sekeliling mereka,
maka setiap pembacaan dapat mempengaruhi mereka dengan mudah. Oleh
itu, pengarang yang menulis bahan-bahan untuk sastera kanak-kanak perlu
menjadikan karya mereka sebagai wadah penyaluran ilmu yang membentuk
nilai-nilai murni dan sahsiah kanak-kanak secara tidak langsung.
Konsep penulisan sastera kreatif kanak-kanak perlu bersifat didaktik dan
menghiburkan. Penulisan yang bercirikan didaktik mampu mengasuh dan
mempengaruhi kanak-kanak supaya menjadi insan yang lebih baik. Aspek
hiburan dan keseronokan menjadi daya tarikan utama kerana kanak-kanak
menyukai hiburan dalam bentuk bacaan dan permainan. Di samping itu, karya-
karya yang dihasilkan juga perlu menggunakan bahasa yang bersesuaian dan
mudah difahami. Penggunaan bahasa yang relatif dengan usia kanak-kanak amat
penting untuk melatih mereka menjana idea di samping mengajarkan ilmu-
ilmu lain secara tidak langsung kepada mereka. Corak penulisan juga perlu
relevan dengan perkembangan dan pertumbuhan psikososial kanak-kanak bagi
merangsang minat dan mengasah pemikiran yang baik.
4 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak

1.2  Fungsi dan Peranan Sastera Kanak-kanak


Peranan dan fungsi merupakan perkara yang menitikberatkan kepentingan
kanak-kanak. Penulisan sastera kanak-kanak yang bermutu mampu
memberikan fungsi pembelajaran secara tidak langsung kepada kanak-kanak.
Sastera kanak-kanak mempunyai fungsi dan peranan yang sangat besar untuk
melatih kanak-kanak ke arah peningkatan yang lebih baik dalam bidang sosial
dan budaya hidup. Jika penulisan sastera kanak-kanak dilihat secara luaran,
maka masyarakat akan menganggap bahawa sastera kanak-kanak hanya
bertindak sebagai hiburan semata-mata. Hakikatnya, peranan sastera kanak-
kanak bukan setakat itu sahaja. Hal ini demikian kerana penulisan sastera
kreatif kanak-kanak dapat membangunkan aspek pemikiran dan sahsiah
kanak-kanak. Selain itu, pembacaan sastera kanak-kanak dapat membantu
kanak-kanak untuk membangunkan emosi dan pemikiran mereka. Menurut
Misran Rokimin (2001), sastera kanak-kanak memainkan peranan sebagai ejen
pembangunan yang menjurus kepada pembangunan diri seseorang manusia
sama ada dari segi emosi, pemikiran atau kebahasaan. Ketiga-tiga aspek ini
akan terus berkembang. Hal ini bermaksud bahawa semakin banyak karya
sastera yang dibaca, semakin bertambah perkembangan yang berlaku dalam
diri kanak-kanak.
Menerusi pembacaan sastera kanak-kanak, perasaan dan fikiran yang
dilahirkan dengan menggunakan bahasa yang sesuai menjadikan seni sastera
kanak-kanak sebagai satu hasil yang menggambarkan kehidupan kanak-kanak
yang sebenar. Menurut Othman Puteh (1988: 21), sastera remaja merupakan
bahan bacaan sastera kreatif yang tercetus daripada pengamatan, pengalaman,
dan kreativiti pengarang yang relevan dengan pertumbuhan dan perkembangan
psikologi remaja berusia 12 hingga 20 tahun. Penghasilan pelbagai genre
dalam sastera kanak-kanak mampu meningkatkan ilmu menerusi pembacaan
seterusnya memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. Kanak-
kanak juga lebih bijak untuk membuat pilihan terhadap bahan bacaan apabila
mereka mampu membuat penilaian hasil daripada pembacaan pelbagai genre
dalam sastera kanak-kanak.
Sastera kanak-kanak dapat memberikan jaminan terhadap peningkatan
ilmu dalam diri kanak-kanak. Bahan pembacaan ini dikatakan sebagai ejen
1.  Perkembangan Sastera Kanak-kanak 5

pembangunan diri seseorang manusia pada peringkat awal kanak-kanak.


Semakin banyak karya yang dibaca, maka semakin banyak perkembangan
yang berlaku dalam diri kanak-kanak seterusnya mempercepat perkembangan
psikologi remaja. Kanak-kanak yang banyak membaca mampu membuat
pertimbangan dan lebih matang berbanding dengan kanak-kanak yang kurang
membaca. Penulisan kreatif sastera kanak-kanak mempunyai fungsi dan peranan
yang tersendiri.
(a) Medium hiburan
Penulisan sastera kreatif kanak-kanak berperanan memberikan hiburan
kepada kanak-kanak yang membacanya. Bahan-bahan bacaan tersebut
mampu memberikan hiburan semasa kerana bahan tersebut mempunyai
pelbagai isu yang dapat menarik perhatian kanak-kanak. Contoh
kandungan penulisan dalam sastera kanak-kanak yang memberikan
hiburan kepada mereka ialah cerita haiwan yang sering membuatkan
mereka tidak berganjak apabila melihat gambar-gambar haiwan yang
berwarna-warni. Di samping itu, penulisan tersebut juga mengandungi
pelbagai kisah haiwan yang seterusnya menjadi perbualan mereka. Cerita-
cerita berbentuk hiburan yang lain adalah seperti cerita jenaka yang
mampu memberikan keceriaan kepada kanak-kanak sehingga mereka
terus mengikuti cerita daripada siri yang pertama hingga siri yang terakhir
sekiranya cerita tersebut merupakan cerita bersiri. Semua cerita ini
memberikan hiburan dan keceriaan kepada kanak-kanak.
(b) Medium pengajaran
Cerita kanak-kanak banyak juga memberikan pengajaran langsung dan
tidak langsung kepada kanak-kanak. Oleh sebab setiap cerita kanak-kanak
mempunyai mesej yang tersendiri, maka banyak unsur pengajaran yang
diperoleh untuk mengasah perkembangan minda kanak-kanak. Cerita
kanak-kanak yang baik dan berkesan akan memberikan pengajaran kepada
mereka dan mereka seterusnya mencontoh perbuatan baik yang dilakukan
oleh watak-watak yang terlibat. Menerusi pembacaan karya sastera kanak-
kanak, mereka akan melihat pengajaran yang disampaikan walaupun
kadangkala terdapat unsur khayalan dalam cerita yang dibaca. Meskipun
wujud unsur-unsur khayalan, namun cerita tersebut dilihat sebagai cerita
yang memberikan pengajaran secara tidak langsung kepada mereka.
6 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak

Contohnya, mereka akan menganggap bahawa setiap perbuatan yang baik


akan tetap dibalas baik.
(c) Meningkatkan daya pemikiran kognitif
Sastera kreatif kanak-kanak mampu melatih dan meningkatkan daya serta
tahap pemikiran kanak-kanak. Pemikiran kognitif merangkumi perilaku
mental yang melibatkan pemahaman, pemerhatian, pertimbangan, pengolahan,
dan penyelesaian masalah. Piaget menjelaskan bahawa pemikiran kognitif
menunjukkan cara kanak-kanak mengadaptasi dan menginterpretasi perkara
yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka juga belajar tentang cara untuk
mengelompokkan perkara yang dilihat serta melakukan perbandingan bagi
membuat sebarang keputusan. Rangsangan pemikiran pada kanak-kanak
berlaku apabila mereka sentiasa mengikuti plot-plot cerita hasil daripada
pembacaan bahan sastera. Pelbagai bentuk penceritaan seperti nyanyian,
lakonan, pantun, seloka, dan sebagainya dapat melatih pemikiran mereka
untuk membuat ekspresi diri sekali gus mencungkil bakat semula jadi dalam
diri mereka. Oleh itu, pembacaan bahan sastera kreatif dapat mengasah
pemikiran kanak-kanak supaya membuat penilaian serta perbandingan
terhadap setiap bahan bacaan yang diteliti. Kanak-kanak yang memiliki
pemikiran cerdik dan matang dapat membuat pelbagai interpretasi yang
akan mempengaruhi keputusan dan tindakan yang dilakukan oleh mereka.
(d) Medium pendidikan
Medium pendidikan dapat dicapai menerusi pembacaan buku-buku
akademik dan buku-buku bukan akademik. Menerusi pembacaan bahan
sastera kreatif kanak-kanak, kanak-kanak mempelajari sesuatu menerusi
perlakuan watak-watak yang akan membina perlakuan mereka. Cara ini
juga dapat melatih kanak-kanak untuk bersosialisasi dengan masyarakat
sekeliling. Apabila watak yang ada dinilai dan dipertimbangkan, maka
kanak-kanak dapat membuat generalisasi terhadap sesuatu perkara yang
sepatutnya ditangani dan diselesaikan dengan cepat. Pembacaan bahan
bacaan yang kerap dan bermutu dapat memberikan didikan secara tidak
langsung kepada kanak-kanak. Watak-watak dan model-model yang baik
dapat dijadikan contoh dan teladan untuk menyusun strategi kehidupan
mereka sendiri. Hal ini secara tidak langsung dapat melatih mereka
menangani pelbagai isu dalam masyarakat. Justeru, penulisan sastera kreatif
1.  Perkembangan Sastera Kanak-kanak 7

kanak-kanak menjadi medium untuk mendidik mereka dalam kehidupan


seharian sekiranya bahan sastera tersebut dibaca secara berterusan.
(e) Mendidik emosi
Bahan sastera kreatif kanak-kanak juga mampu mendidik emosi kanak-
kanak menjadi lebih baik. Terdapat kanak-kanak yang menjadi lebih
matang daripada usia sebenar apabila banyak membaca buku. Kanak-
kanak yang tidak mendapat perhatian daripada ibu bapa sering kali
menjadikan buku sebagai teman baik mereka. Aktiviti bacaan tersebut
dapat memberikan kepuasan kepada kanak-kanak meskipun ibu bapa
mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melayan kerenah
mereka. Perkembangan emosi menjadi salah satu domain yang amat
penting kepada kanak-kanak dan keberkesanan intelek bergantung kepada
sejauh mana emosi kanak-kanak dapat diurus dengan baik. Kecerdasan
emosi menjadikan kanak-kanak lebih berkeyakinan dan mempercayai
diri sendiri. Kanak-kanak memerlukan perkembangan emosi yang sihat
kerana perkembangan emosi yang sihat akan mengiringi perkembangan
kognitif mereka. Oleh itu, bahan penulisan sastera kreatif kanak-kanak
yang bermutu mampu mendidik emosi kanak-kanak seterusnya memandu
mereka untuk membuat pelbagai pertimbangan. Kecerdasan emosi yang
baik menghasilkan perilaku positif yang membawa kepada pembentukan
personaliti terpuji.
(f) Medium menambahkan pengalaman baharu
Pengalaman baharu secara tidak langsung mematangkan seseorang
individu. Bacaan sastera kreatif ini sedikit sebanyak menjadi medium
untuk menambahkan pengalaman baharu. Otak manusia sentiasa bekerja
bersama-sama dengan pengalaman. Seseorang yang berhenti daripada
membaca atau belajar menyebabkan pengalaman mereka menjadi lebih
cetek dan otak tidak dapat berhubung antara satu dengan yang lain.
Oleh itu, pembacaan sastera kreatif kanak-kanak amat penting untuk
memberikan pengalaman baharu kepada kanak-kanak.
(g) Mengasah bakat menerusi pembacaan
Bakat yang ada pada kanak-kanak wujud secara semula jadi. Bakat juga
timbul melalui pemupukan. Menerusi pembacaan yang banyak, kanak-
8 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak

kanak yang mempunyai bakat semula jadi mudah untuk merangsang


minat masing-masing berdasarkan mesej yang diterima. Jika bahan bacaan
sastera kreatif kanak-kanak tersebut mempunyai mesej yang baik, hal
ini memberikan laluan yang lebih mudah kepada kanak-kanak untuk
mengasah bakat mereka. Bagi kanak-kanak yang sememangnya cenderung
dalam bidang penulisan, pembacaan bahan sastera kreatif kanak-kanak
akan memberikan dorongan kepada mereka untuk menulis sama ada secara
suka-suka mahupun bertujuan memasuki pertandingan mengarang yang
dianjurkan oleh mana-mana pihak.
Terdapat juga dalam kalangan kanak-kanak yang menjadikan bidang
penulisan sebagai hobi tetapi lama-kelamaan mereka lebih serius untuk
menjadi penulis sepenuh masa lebih-lebih lagi apabila bakat ini terus
dipupuk. Hal ini terbukti apabila banyak penulis di Malaysia yang mula
menulis sekadar suka-suka sejak zaman kanak-kanak tetapi akhirnya
menjadi penulis profesional serta diiktiraf oleh kerajaan dan masyarakat.
Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa bahan penulisan sastera kanak-
kanak memberikan laluan dan mengasah minat mereka untuk menceburi
bidang penulisan dengan lebih serius.
(h) Melahirkan minat membaca
Banyak program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk melahirkan
minat membaca dalam kalangan kanak-kanak seperti program NILAM dan
Kempen Gerakan Membaca. Bacaan bahan sastera di sekolah menerusi
KOMSAS merupakan salah satu langkah untuk memupuk minat membaca
dalam kalangan kanak-kanak remaja. Pengalaman pembacaan yang menarik
daripada bahan-bahan bacaan tersebut akan melatih mereka berfikir dengan
lebih kreatif dan kritis. Pengalaman menikmati karya sastera yang bermutu
tinggi menjadikan tabiat membaca lebih baik daripada sebelumnya.
(i) Melahirkan minat menulis
Minat membaca dapat dipupuk dari semasa ke semasa dan bahan bacaan
yang menarik, seronok serta bermutu tinggi mampu menarik minat
kanak-kanak untuk membaca. Bahan bacaan yang interaktif dan menarik
memberikan kesan berpanjangan kepada mereka. Bagi melahirkan minat
menulis dalam diri kanak-kanak, pelbagai program boleh diadakan
1.  Perkembangan Sastera Kanak-kanak 9

seperti mengadakan perkampungan penulis muda, menyertai sayembara,


kempen menulis karya-karya sastera, dan sebagainya. Menerusi program-
program seperti ini, kanak-kanak boleh memupuk kreativiti dalam diri
mereka di samping dapat melahirkan idea yang tersendiri. Mereka boleh
menonjolkan bakat menulis sedia ada atau bakat menulis yang dipupuk
dari semasa ke semasa oleh guru-guru atau ibu bapa. Ibu bapa yang prihatin
akan memberikan ruang dan peluang kepada anak-anak mereka untuk
mengikuti sebarang kursus penulisan yang dianjurkan. Minat menulis yang
dipupuk dari kecil mampu menjadikan mereka insan yang bijak menyusun
kata-kata seterusnya dapat menghasilkan karya yang bermutu. Oleh itu,
penulisan sastera kreatif kanak-kanak boleh dipupuk bagi mewujudkan
minat menulis dalam kalangan kanak-kanak.
(j) Meningkatkan penggunaan bahasa dan komunikasi
Bahasa merupakan alat komunikasi yang penting bagi manusia. Tanpa
bahasa, manusia sukar untuk berhubung dan berkomunikasi antara satu
dengan yang lain. Mesej yang disampaikan oleh individu sukar dikesan
sekiranya bahasa yang digunakan tidak difahami oleh penerima. Melalui
bahasa, individu boleh mendapatkan sesuatu informasi di samping dapat
menyampaikan gagasan yang ada dalam pemikiran mereka. Penggunaan
bahasa yang baik akan menghasilkan proses pembacaan yang lebih lancar
kerana pembacaan merupakan proses memahami keseluruhan bahan
bacaan yang seterusnya dirumuskan menjadi suatu pemikiran, ilham atau
idea yang lebih kreatif. Oleh itu, bahan bacaan sastera kreatif kanak-
kanak juga memberikan suatu pengalaman bacaan yang berfaedah untuk
meningkatkan penggunaan bahasa dan komunikasi. Kefahaman kedua-dua
belah pihak yang terlibat dalam sesuatu komunikasi membolehkan bentuk
interaksi dijalankan dan memungkinkan kelahiran idea yang lebih kreatif.
(k) Membentuk personaliti kanak-kanak
Personaliti kanak-kanak yang baik datang daripada pelbagai sumber.
Contohnya, personaliti terpuji kanak-kanak wujud hasil daripada bahan
bacaan yang bermutu. Penulisan sastera kreatif kanak-kanak mampu
mendidik personaliti kanak-kanak sekiranya mereka dapat mendisiplinkan
diri untuk membaca bahan-bahan yang bermutu tinggi dari semasa ke
semasa. Memandangkan proses pembacaan bahan-bahan sastera kreatif
10 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak

merupakan suatu proses pemahaman idea yang diperoleh, maka tidak


hairanlah sekiranya kanak-kanak mendapat faedah daripada pembacaan
yang berulang-ulang. Proses sedemikian merupakan proses pembelajaran
yang berlaku secara tidak langsung. Kanak-kanak yang bijak memilih
bahan bacaan akan menjadi lebih berkeyakinan apabila berurusan dan
berkomunikasi dengan orang sekeliling. Proses pembelajaran sedemikian
berlaku sepanjang hari dan sepanjang masa bergantung pada motivasi
diri masing-masing. Tahap personaliti baik yang diperoleh menerusi
pembacaan akan turut dibantu oleh faktor-faktor lain seperti faktor
galakan ibu bapa, guru-guru, dan rakan-rakan sekeliling. Oleh itu,
pembacaan bahan sastera kreatif kanak-kanak mampu mewujudkan
personaliti yang terpuji bagi seseorang kanak-kanak.
(l) Membentuk kerohanian dan moral
Kanak-kanak sering kali melihat sesuatu perkara dari satu sudut sahaja
tanpa mengambil kira sama ada perkara tersebut baik atau sebaliknya.
Mereka mengadili sesuatu perbuatan berdasarkan kesan dan bukannya
niat terhadap sesuatu perbuatan tersebut. Kanak-kanak juga sering kali
melihat sesuatu daripada perspektif yang lain. Mereka tidak dapat melihat
sesuatu dalam keadaan yang tersirat. Oleh itu, mereka melakukan sesuatu
berdasarkan keinginan untuk mendapatkan perkara yang dihajati.
Begitu juga halnya dengan pembentukan kerohanian dan moral kanak-
kanak. Kanak-kanak akan menerima norma-norma yang telah ditetapkan
oleh masyarakat. Melalui proses pembacaan bahan-bahan yang bermutu
tinggi, kanak-kanak mudah mengikuti dan menghayati pembentukan
kerohanian dan moral. Mereka mempercayai bahawa segala perbuatan
baik akan dibalas dengan kebaikan. Kepercayaan ini memperkukuh
konsep keadilan dalam masyarakat. Maka, tidak hairanlah sekiranya
kerohanian dan moral dapat diterapkan dalam diri kanak-kanak kerana
mereka masih belum diresapi dengan pelbagai masalah kehidupan.
(m) Perkembangan sosial
Kebiasaannya, kanak-kanak memperoleh kemahiran daripada proses
pemerhatian dan peniruan. Pada peringkat awal kanak-kanak, pengaruh
perasaan egosentrik dalam diri mereka masih kuat. Namun, lama-kelamaan
1.  Perkembangan Sastera Kanak-kanak 11

sifat ini akan berkurangan. Hal ini bergantung kepada sejauh mana mereka
mendapat input daripada sekeliling mereka. Contohnya, mereka mendapat
input menerusi pembacaan karya-karya yang baik dan berkesan. Watak-
watak baik yang dicipta dalam karya memberikan idea dan kekuatan
kepada mereka untuk meniru proses perhubungan yang berlaku. Oleh itu,
setiap watak protagonis akan menjadi ikutan seterusnya mewujudkan tahap
perkembangan sosial yang lebih baik daripada yang sebelumnya dalam diri
mereka.
Tingkah laku prososial seperti memohon maaf, meminta izin, bertolak ansur,
dan menerima sesuatu dengan hati terbuka menunjukkan bahawa kanak-
kanak banyak meniru dan memerhatikan perlakuan di sekeliling mereka.
Justeru, penulisan sastera kreatif kanak-kanak yang mengandungi cerita
bermoral tinggi dan bernilai baik mampu membentuk sosial kanak-kanak
seterusnya mewujudkan perkembangan sosial yang positif kepada mereka.
(n) Perkembangan kreativiti dan estetika
Penulisan sastera kreatif kanak-kanak juga dapat memperkembangkan
kreativiti dan estetika kanak-kanak. Ilustrasi dalam cerita kanak-kanak
yang berwarna-warni memberikan rangsangan kepada kanak-kanak
untuk meningkatkan tahap kreativiti mereka. Bukan itu sahaja, gambar
yang berwarna-warni tersebut mampu melahirkan nilai estetika kepada
diri kanak-kanak. Kekerapan melihat gambar yang berwarna-warni dan
mengandungi pelbagai aksi yang dapat dibaca dan dilihat di sekeliling
mendorong mereka membuat perbandingan terhadap perkara-perkara yang
dilalui. Hal ini sekali gus dapat membina kreativiti dan estetika kanak-
kanak tersebut.
Penulisan sastera kreatif kanak-kanak mengandungi cerita-cerita haiwan,
cerita-cerita jenaka, cerita-cerita teladan, cerita-cerita khayalan, dan
sebagainya. Cerita-cerita tersebut menjadi wadah yang membawa kanak-
kanak ke dunia sastera. Watak-watak yang digunakan seperti watak
haiwan, ahli sihir, ibu bapa, hantu, dan sebagainya amat bersesuaian
dengan kanak-kanak yang menyukai hiburan. Watak haiwan sering kali
mendominasi cerita kanak-kanak kerana kanak-kanak secara semula jadi
amat menyukai haiwan. Begitu juga halnya dengan watak-watak lain yang
12 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak

dekat dengan kehendak dan keinginan kanak-kanak. Mereka akan berasa


gembira apabila melihat atau membaca cerita-cerita tentang haiwan atau
cerita-cerita lain yang menyentuh perasaan. Kanak-kanak tidak boleh
diberikan bahan bacaan yang berat kerana mereka tidak mampu lagi untuk
berfikir tentang perkara yang berada di luar tahap kemampuan berfikir
mereka.
Meskipun banyak penulisan sastera kanak-kanak yang berada di luar
daripada kenyataan kehidupan seharian, namun banyak juga bahan
bacaan sastera kanak-kanak yang menceritakan isu-isu dalam kehidupan
yang sebenar. Aspek-aspek sosial, ekonomi, sejarah, agama, falsafah, dan
politik turut menjadi isu pilihan kepada pengarang untuk mendedahkan
realiti kehidupan masyarakat. Penulisan sastera kreatif kanak-kanak
sebegini mampu memberikan pengalaman kepada kanak-kanak supaya
mereka dapat melihat realiti dan belajar menerusi pemikiran konstruktif
masing-masing. Konstruktivisme merupakan suatu pendekatan yang
menceritakan pengalaman sedia ada yang digarapkan dalam bentuk
penulisan menerusi realiti seterusnya diadaptasi dalam kehidupan.
Pembacaan penulisan sebegini memberikan pengalaman secara langsung
kepada kanak-kanak.
Selain itu, sastera kanak-kanak juga dapat meningkatkan daya imaginasi,
daya pemikiran, dan kreativiti kanak-kanak. Karya sastera kanak-kanak
yang diterjemahkan dalam bentuk lakonan, drama, nyanyian, dan genre-
genre lain dapat mengekspresikan diri mereka. Bukan itu sahaja, karya
sastera kanak-kanak yang baik dapat menimbulkan minat kepada kanak-
kanak untuk melibatkan diri dalam aktiviti pementasan, drama, lakonan,
sajak, pantun, dan syair. Kebelakangan ini, syarikat-syarikat komunikasi
seperti televisyen banyak menyiarkan program berkaitan kanak-kanak.
Contoh-contoh program berkaitan kanak-kanak yang mengambil genre
sastera untuk dijadikan program televisyen adalah seperti “Tom Tom Bak”
dan “Pondok-pondok” yang memberikan peluang kepada kanak-kanak
untuk menonjolkan bakat dan kreativiti dalam bidang kesusasteraan. Ada
juga pihak-pihak tertentu yang mengadakan kursus penulisan kreatif untuk
kanak-kanak. Salah satu program penulisan kreatif yang dilaksanakan oleh
kerajaan ialah Minggu Penulis Remaja (MPR) yang dianjurkan oleh Dewan
1.  Perkembangan Sastera Kanak-kanak 13

Bahasa dan Pustaka. Terdapat peserta daripada program ini yang sudah
berjaya dan menjadi penulis sepenuh masa seperti Nisah Haron. Kini,
Nisah Haron menjadi salah seorang penulis yang aktif memberikan ceramah
penulisan kepada kanak-kanak remaja dan kanak-kanak sekolah.
Sastera tradisional disampaikan secara lisan dari satu generasi ke generasi
yang lain. Kini, keadaan telah berubah kerana pelbagai media telah
digunakan untuk menyebarkan pelbagai genre sastera kanak-kanak kepada
masyarakat. Cerita kanak-kanak disampaikan secara lisan pada waktu
dahulu. Namun kini, cerita tersebut boleh disampaikan dalam pelbagai
bentuk sama ada diterbitkan secara elektronik atau cetakan. Meskipun
sastera kanak-kanak disampaikan melalui lisan atau teknologi terkini,
namun fungsi penulisan ini masih sama, iaitu memberikan pengajaran
dan nasihat kepada kanak-kanak. Walaupun pelbagai kaedah digunakan,
namun pengisian moral masih menjadi keutamaan kepada penulis kerana
tujuan penulisan sastera kreatif kanak-kanak adalah untuk menyampaikan
nilai-nilai murni dalam setiap cerita yang ditulis. Nilai-nilai murni yang
sering dijadikan bahan sajian pengarang dalam hasil sastera kanak-kanak
adalah seperti nilai bekerjasama, berkasih sayang, bergotong-royong,
bertoleransi, saling bermaafan, tolong-menolong, sentiasa berterima
kasih, berani mencuba, dan pelbagai lagi. Kesedaran terhadap penyerapan
nilai-nilai murni ini perlu ditanam sejak peringkat awal kanak-kanak lagi
untuk memastikan mereka membesar dalam suasana yang kondusif dan
mengikut norma kehidupan yang beretika.
Secara keseluruhannya, penulisan sastera kanak-kanak sangat berguna untuk
membantu perkembangan kanak-kanak. Kanak-kanak bukan sahaja mempunyai
minat membaca yang mendalam serta kemahiran membaca yang tinggi dan
baik, malah perkembangan aspek kognitif mereka turut berkembang. Perkara
ini sekali gus dapat membina sahsiah yang baik dalam diri kanak-kanak.
Penulisan sastera kreatif kanak-kanak bukan berperanan untuk hiburan semata-
mata, bahkan turut mengajar kanak-kanak untuk menerima realiti kehidupan
sebenar. Oleh itu, penulisan sastera kreatif kanak-kanak perlu menitikberatkan
aspek kualiti dalam penulisan untuk menghasilkan bahan bacaan yang bermutu
tinggi kerana tahap kecerdasan pemikiran pengarang turut mempengaruhi tahap
keintelektualan kanak-kanak.

You might also like