You are on page 1of 3

Jika anda seorang penulis karya sastera yang baik, apakah mesej yang ingin anda

sampaikan kepada pembaca. Pilih salah satu genre sastera kanak-kanak/remaja dan
sebab anda memilih genre tersebut.

Kanak-kanak secara semula jadi memang memiliki kecenderungan terhadap cerita. Penggunaan
cerita dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan salah satu metode yang efektif untuk
mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran. Cerita boleh dianggap sebagai wadah yang
membantu ke arah membimbing, mendidik dan melatih kanak-kanak prasekolah yang mempunyai
kepentingan dalam pendidikan awal kanak-kanak. Sastera kanak-kanak merupakan bidang yang
sangat menarik dan penting kerana peranannya dalam mewujudkan dunia kanak-kanak yang
menggembirakan.

Menurut Clynch-Brown dan Tomlinson (1999), sastera kanak-kanak adalah buku berkualiti yang
terdapat di pasaran yang ditujukan kepada kanak-kanak daripada usia sejak lahir sehinggalah usia
dewasa. Tajuk-tajuk buku tersebut adalah yang berkisar pada dunia kanak-kanak sama ada dalam
bentuk prosa, puisi, fiksyen dan bukan fiksyen. Menurut Md. Sidin Ahmad Ishak (2005) pula, sastera
kanak-kanak mempunyai tafsiran yang agak luas dan umum. Karya puisi, novel, drama, segala
bentuk penerbitan dan penulisan yang memberikan manfaat kepada kanak-kanak adalah merupakan
sastera kanak-kanak. Buku pendidikan dan pengetahuan am juga merupakan salah satu sastera
kanak-kanak.

Oleh itu, dapat dinyatakan bahawa sastera kanak-kanak adalah karya sastera yang dihasilkan dalam
bentuk buku yang boleh dibaca oleh kanak-kanak mengikut peringkat umur dan mampu
menimbulkan keseronokan kepada mereka untuk membaca dan menghayati cerita-cerita dalam
buku tersebut. Bagi mencapai tahap tertinggi nilai sastera dan estetika karya, penghasilan sastera
awal kanak-kanak ini dilakukan dalam bentuk tulisan dan ilustrasi. Sastera awal kanak-kanak
merupakan salah satu elemen yang dikenal pasti berupaya melengkapkan perkembangan seseorang
kanak-kanak prasekolah. Hal ini kerana, sastera awal kanak-kanak mampu memberi keseronokan,
dapat merangsang imaginasi, dapat membantu kanak-kanak mengenal dan memahami diri sendiri,
memahami bahasa secara semula jadi, membantu mendapatkan maklumat dan memupuk nilai-nilai
murni dalam diri kanak-kanak.

Bagi mereka yang berpeluang menatap bahan sastera kanak-kanak dalam proses pendidikan dan
pembesaran mereka, cerita-cerita dan watak-watak yang segar akan terus hidup dalam ingatan
sehingga menjadi kenangan abadi yang sukar dipadamkan oleh kanak-kanak malah ia juga sebagai
proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas seperti emosi dan intelektual atau kognitif.

Kriteria Bahan Bacaan

Bahan sastera kanak-kanak seperti buku cerita memainkan peranan penting dalam mengembangkan
daya imaginasi dan dapat menarik minat kanak-kanak untuk belajar sesuatu perkara yang baru
dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Ibu bapa dan guru pendidikan awal kanak-
kanak khususnya perlu mengetahui tentang kepentingan dan kriteria pemilihan bahan bacaan
kanak-kanak supaya dapat membantu dalam perkembangan kognitif, emosi, rohani dan sosial
kanak-kanak. Terdapat banyak kriteria yang perlu diambil kira dalam pembinaan bahan karya
sastera kanak-kanak yang bermutu terutamanya dari aspek ilustrasi, penggunaan bahasa,
penggunaan perkataan, penggunaan warna, penggunaan bahan, bentuk buku, jalan cerita serta
nilai murni yang diterapkan.

Kandungan dan Konsep buku


Kanak-kanak pada peringkat umur yang berbeza mempunyai minat yang berbeza-beza terhadap
kandungan bahan bacaan. Menurut Schulman, Carleen dan Payne (2000), kanak-kanak pada
peringkat emergen (pembaca awal) meminati buku yang mempunyai objek dan perlakuan yang
biasa mereka lihat di persekitaran mereka. Kanak-kanak peringkat ini meminati buku yang
mempunyai banyak gambar berbanding yang mempunyai banyak perkataan. Kanak-kanak pada
peringkat ini juga hanya berminat dengan cerita yang mempunyai jalan cerita yang mudah sahaja.
Menurut Rog (2003) pula, kanak-kanak pada peringkat early (pembaca baru) lebih meminati buku
yang berkonsepkan pengalaman dan peristiwa yang biasa berlaku dalam kehidupan mereka. Mereka
juga meminati cerita yang mempunyai jalan cerita yang mudah. Bagi tahap pembaca maju pula,
mereka meminati buku yang berkonsepkan cerita rakyat dan dongeng dan boleh menerima buku
yang mempunyai tema dan topik yang pelbagai walaupun tidak berkaitan dengan pengalaman dan
persekitaran mereka.

Nilai-nilai Murni dan Ilustrasi

Bandura (1963) menyatakan bahawa kanak-kanak mempelajari sesuatu perlakuan melalui proses
pemerhatian dan peniruan. Melalui pembacaan, kanak-kanak akan meniru perlakuan watak dan juga
cerita yang dibaca. Justeru itu, segala aspek dalam bahan sastera kanak-kanak akan memberi kesan
terhadap proses jati diri kanak-kanak sama ada dari segi watak, tema dan ilustrasi. Hal ini kerana
bahan sastera yang mempunyai pengajaran dan menunjukkan ilustrasi yang jelas menggambarkan
tentang sesuatu perlakuan yang baik akan memberi impak yang positif dari segi nilai-nilai murni
atau perlakuan dalam diri kanak-kanak. Namun, jika sebaliknya maka nilai-nilai murni yang ingin
dipupuk dalam diri kanak-kanak tidak akan diperolehi. Selain mempunyai nilai-nilai murni yang
diselitkan sebagai pengajaran, bahan sastera kanak-kanak juga perlu menekankan aspek ilustrasi
bahan bacaan. Ilustrasi haruslah dapat menyokong dan jelas menunjukkan teks yang ditulis.
Ilustrasi memainkan peranan yang amat penting dalam sastera kanak-kanak. Oleh itu, ilustrasi
haruslah jelas, abstrak serta berwarna-warni dan dapat menarik minat kanak-kanak untuk melihat
ilustrasi seterusnya membaca buku tersebut. Ilustrasi ini secara tidak langsung dapat memotivasikan
kanak-kanak untuk membaca buku. Kajian oleh Andrews, Scharff & Moses (2002) mendapati
bahawa kanak-kanak lebih meminati bahan bacaan yang bergambar yang terang dan abstrak.

Peringkat umur

Selain itu, penghasilan karya sastera kanak-kanak tidak harus berpusatkan pemikiran orang dewasa
semata-mata. Hal ini kerana pemikiran dan perkembangan antara kanak-kanak adalah berbeza-beza
mengikut umur, jantina, dan perkembangan kognitif mereka. Selain itu, perkataan-perkataan dalam
buku untuk kanak-kanak perlu menjurus kepada perkataan-perkataan yang digunakan oleh kanak-
kanak dalam kehidupan seharian dan juga mengenai diri dan dunia kanak-kanak tersebut. Menurut
Tucker (1988), dalam buku bergambar, panjang cerita sepatutnya tidak melebihi 2000 patah
perkataan bagi tujuan memelihara daya tumpuan kanak-kanak terhadap cerita tersebut. Antara ciri-
ciri buku bergambar yang baik menurut beliau ialah gambar yang terdapat di dalam cerita mampu
memberikan maklumat tentang teks yang dibaca. Selain itu, penghasilan sesuatu karya sastera
kanak-kanak harus menggunakan bahasa yang sesuai dengan tahap perkembangan bahasa dan
komunikasi kanak-kanak.

Rumusan

Bahan sastera kanak-kanak memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk kanak-kanak
yang berkeperibadian mulia, bermoral dan berpengetahuan tinggi. Oleh yang demikian, karya-karya
sastera di Malaysia khususnya bahan bacaan untuk kanak-kanak haruslah bermutu tinggi supaya
dapat menarik minat kanak-kanak untuk membaca dan mengamalkan nilai-nilai murni yang
terkandung di dalamnya. Karya sastera ini harus menitik beratkan aspek kualiti dengan mengambil
kira tahap perkembangan bahasa, komunikasi, kognitif serta visual kanak-kanak dan kehendak
kanak-kanak mengikut peringkat umur. Guru dan ibu bapa juga harus bijak memilih bahan-bahan
yang bersesuaian dan dapat membantu meningkatkan tahap perkembangan holistik kanak-kanak.
Pengarang dan penerbit karya kanak-kanak juga harus meninjau pendapat, permintaan dan
pemikiran kanak-kanak serta peringkat umur pembaca sebelum menerbitkan sesuatu bahan sastera
kanak-kanak supaya bahan yang diterbitkan mampu memberi manfaat dan membantu
perkembangan holistik kanak-kanak.

Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa sastera bukan sahaja sesuai sebagai medium bahan pengajaran
dan pembelajaran untuk mendidik malah ia juga sangat mustahak dalam usaha untuk memupuk
minat membaca dalam kalangan kanak-kanak terutamanya di prasekolah dan situasi ini perlu
diteruskan untuk membudayakan kesusasteraan kanak-kanak. Walaubagaimanapun pemilihan
bahan bacaan atau sastera yang sesuai bagi peringkat umur yang tertentu adalah amat penting bagi
kanak-kanak. Buku-buku yang disediakan harus mengambil kira tahap perkembangan kanak-kanak
pada usia tertentu.

You might also like