You are on page 1of 27

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

KAMPUS INDUK,
11800 UNIVERSITI SAINS MALAYSIA,
PULAU PINANG

BML 3083

SEMANTIK DAN PRAGMATIK BAHASA MELAYU

TAJUK :
Huraikan konsep lakuan bahasa dan perkara yang berkaitan dengan niat fungsian
penutur seperti lakuan lokusionari, ilokusionari (eksplisit dan implisit) dan
perlokusionari.

PENSYARAH : PN JAMILAH BINTI HAJI IKHSAN

TARIKH SERAHAN : 21 APRIL 2012

DATE OF SUBMISSION : 21 MAY 2011


Huraikan konsep lakuan bahasa dan perkara yang berkaitan dengan niat fungsian
penutur seperti lakuan lokusionari, ilokusionari (eksplisit dan implisit) dan
perlokusionari.

1.0 PENGENALAN
Tugasan ini akan membincangkan mengenai lakuan bahasa. Umumnya, lakuan bahasa
ialah ujaran yang mempunyai peranan tertentu dalam komunikasi. Lakuan bahasa
bermaksud, ujaran atau pertuturan seharian yang memberi makna tertentu mengikut
konteks tertentu. Ia merupakan bentuk bahasa yang dihasilkan untuk membentuk
tindakan dan berlainan daripada ayat serta tidak dapat dikaitkan dengan tahap nahu
yang lain.

Austin (1955) menyatakan bahawa lakuan bahasa terbahagi kepada dua jenis
iaitu lakuan bahasa berasaskan tindakan dan lakuan bahasa berasaskan penegasan.
Apa yang diperhatikan oleh Austin sebenarnya amat mudah. Beliau berpendapat apa
yang penting adalah dari segi apa yang dilakukan oleh ujaran tersebut. Dalam hal ini
ujaran itu mungkin berupa satu pernyataan dan lakuan itu adalah satu lakuan membuat
kenyataan. Namun begitu, ujaran juga boleh digunakan untuk bercakap besar atau
mungkin juga untuk memberi amaran. Misalnya bila diungkapkan oleh seorang wanita
kepada seorang lelaki yang cuba memikat beliau. “Saya ada sepuluh orang anak”. Apa
yang penting mengikut Austin adalah apa yang mahu dilakukan atau dicapai oleh
penutur apabila beliau membuat ujaran itu.

Oleh kerana bahasa itu merupakan satu jenis perilaku atau perbuatan bahasa, ia
mempunyai satu situasi pengunaan yang nyata yang dilabuhkan kepada penutur dan
pendengar, di mana niat masing-masing adalah relevan dan amat penting untuk
interpretasi dan kefahaman sesuatu ujaran. Prinsip atau andaian ini melihat bahasa
sebagai komunikasi linguistik di mana setiap penghasilan linguistik adalah dibuat
dengan sesuatu niat.
Maka, tidak hairanlah jika niat mempunyai tempat yang penting dalam tingkah
laku bahasa dan merupakan satu ciri pengkategorian jenis lakuan bahasa. Niat sebagai
istilah teknikal tingkah laku bahasa tidak terhad kepada niat penutur sahaja. Niat juga
melibatkan syarat-syarat kesesuaian dan keikhlasan bagi sesuatu ujaran iaitu
bagaimana sesuatu lakuan bahasa berfungsi dalam masyarakat yang membolehkan
manusia dapat berkomunikasi dan saling memahami dalam kebanyakkan situasi.
2.0 OBJEKTIF KAJIAN
Tujuan kajian ini adalah seperti berikut:
i. Mengetahui konsep lakuan bahasa dan perkara yang berkaitan
dengannya.
ii. Mengkaji penggunaan lakuan bahasa lazim di kalangan masyarakat
umum.
iii. Mengenal pasti lakuan bahasa yang paling dominan.
3.0 LATAR BELAKANG KAJIAN
Teori ini mula dipelopori oleh J.L. Austin berdasarkan siri syarahan beliau di Harvard
University pada tahun 1955. Siri syarahan ini kemudiannya diterbitkan sebagai sebuah
buku dengan judul How To Do Things with Words pada tahun 1962 selepas beliau
meninggal dunia. Buku ini menjadi asas kepada Teori Lakuan Bahasa. Usaha beliau
disambung oleh seorang pelajar beliau John R. Searle terutama dalam buku beliau
berjudul Speech Acts: An Essay in the Philosophy of Language (1969) terbitan
Cambridge University Press. Dalam bahasa Melayu istilah “Speech Act Theory“
diterjemahkan sebagai “Teori Lakuan Bahasa” atau “Teori Lakuan Perucapan” (Ahmad
Mahmood Musanif, 1998) atau “Teori Perilaku Bahasa”.

Lakuan bahasa merupakan satu perilaku verbal di satu dunia nyata. Menurut
Austin, dengan mengungkapkan sesuatu lakuan bahasa, seseorang itu sebenarnya
melakukan sesuatu dengan kata-kata yang diujarkan itu. Kebiasaannya lakuan bahasa
itu membawa satu perubahan dalam keadaan sedia ada.
Contoh yang nyata dalam bahasa Melayu diberikan dalam contoh di bawah:
i. Dengan lafaz “Bismillahirrahmannirrahim”, saya dengan sukacitanya merasmikan
seminar ini.
ii. Dengan kuasa yang diberikan kepada beta, beta mengisytiharkan Konvokesyen
ke 33 USM disambung semula. (diujarkan oleh Canselor UKM semasa
penyambungan sesi konvokesyen)

Dalam contoh yang pertama (i), apabila habis sahaja ujaran tersebut, seminar itu
dianggap telah dirasmikan sehinggalah majlis penutup (jika ada) dan sebelum ujaran
itu, seminar bolehlah dianggap sebagai belum rasmi lagi. Begitu juga dalam contoh
yang kedua (ii), sebaik sahaja ungkapan itu dibuat majlis konvokesyen itu dianggap
tidak tertangguh lagi dan disambung semula.
Ujaran boleh mengubah sesuatu situasi sedia ada seperti juga perbuatan lain yang
mengubah situasi misalnya menendang atau menyepak bola, menulis cerpen dan
sebagainya.

Bukti bahawa berbahasa boleh dianggap sebagai satu perbuatan jelas dalam hal
kita mengucapkan tahniah kepada seseorang dengan mengujarkan kata ‘tahniah’.
Perbuatan atau aksi mengucap tahniah boleh juga disampaikan dengan menepuk
belakang bahu orang itu atau dengan memberi isyarat ibu jari ke atas dan jari lain
digenggam.

Begitu juga kita boleh melakukan perbuatan melarang seseorang daripada merokok
dengan ujaran ‘Jangan merokok di sini’ atau dengan hanya mengeleng kepala dan
tangan. Memandangkan ujaran dalam dua keadaan membawa pengertian yang boleh
dilakukan dengan perbuatan tanpa berbahasa, maka ujaran tersebut boleh disamakan
dengan perbuatan tanpa bahasa itu. Pemerhatian ini juga menyokong teori lakuan
bahasa, iaitu sesungguhnya bahasa itu merupakan sejenis perbuatan.
4.0 METODOLOGI
Untuk mengkaji konsep lakuan bahasa dan perkara yang berkaitan dengannya, tugasan
ini telah dihasilkan, hasil daripada penulisan Jurnal Ramlee Hamad, 1999. Implikatur
Perbualan: Satu Analisis Konsep Kerjasama Dalam Pertuturan Bahasa Arab. Penerbit:
Universiti Malaya, Zulkifley Hamid, 1991. Pentafsiran Makna: Pragmatik Sebagai
Kaedah Yang Lebih Lengkap dlm Jurnal Dewan Bahasa, Julai hlm. 570-575, Kuala
Lumpur.

Buku pula oleh Asmah Haji Omar, 2005. Alam dan Penyebaran Bahasa Melayu.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Sariyan, 2004. Isu Bahasa Rojak
(Siri Bicara Bahasa Bil.20), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan
Linguistik Malaysia, Awang Sariyan, 2004. Tuntunan Bahasa. Asas Pegangan Pelajar.
Petaling Jaya: Pearson Malaysia Sdn. Bhd, Awang Sariyan, 2007. Santun Berbahasa.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Akhbar dari Utusan Malaysia (2003, Mac 14), Kesantunan Bahasa dan
Komunikasi, muka surat 10 dan Nik Salida Suhaila Nik Saleh (2005, Januari 25),
Kebendaan Pinggirkan Budi. Kuala Lumpur. Utusan Malaysia, muka surat 12.

Tesis oleh Ahmad Mahmood Musanif (1998), Teori Lakuan Pertuturan. Fakulti
Bahasa dan Lingiistik, Universiti Malaya.

Secara umumnya, hasil penulisan mereka ini banyak memperkatakan tentang


gaya lakuan bahasa seseorang dalam menyampaikan sesuatu maksud. Gaya
penyampaian sesuatu ujaran ini banyak bergantung kepada etnik, peringkat umur,
hubungan sosial dan juga taraf kedudukan. Jika taraf kedudukannya rendah, bahasa
ujarannya juga tidak begitu menitik beratkan reaksi penerimaan pendengarnya dari segi
emosi. Tetapi jika taraf kedudukannya tinggi, gaya ujarannya juga mungkin lebih
bersopan dan berbahasa. Bagi masyarakat Malaysia, faktor umur dan hubungan sosial
amat memainkan peranan yang penting sebelum sesuatu niat pengucapan itu
disampaikan.

Kesantunan bahasa ialah tatacara atau peraturan yang wujud dalam berbahasa
dan dapat dilihat dalam interaksi antara dua atau lebih pihak yang berkomunikasi.
Bahasa bukan setakat alat untuk menyampaikan maklumat semata-mata, tetapi turut
berperanan dalam menyampaikan perasaan penuturnya. Melalui bahasa, kita dapat
menyembunyikan dan mengungkapkan pemikiran kita.

Dengan bahasa juga konflik boleh tercipta dan berakhir. Maka dengan bahasa
yang kita gunakan itu boleh menggambarkan keperibadian kita, siapa kita, asal usul
kita, sosiobudaya kita, pendidikan kita dan banyak hal yang berkaitan dengan kita,
sama ada ia sesuatu yang baik mahupun sebaliknya.

``Tidak hilang melayu di dunia.'' Kata-kata keramat Laksamana Hang Tuah ini
mungkin hanya akan tinggal sebagai retorik semata-mata sekiranya bangsa Melayu
tidak menjaga keunggulan ataupun integriti bangsa dan bahasanya.
5.0 ANALISIS

Kesantunan, bersopan-santun, bersopan, atau bersantun merupakan gambaran


peribadi mulia yang perlu kita amalkan sebagai salah satu cara hidup. Bersopan-santun
boleh berlaku di dalam lakuan bahasa yang formal atau tidak formal. Lakuan bahasa
juga boleh disamakan dengan fungsi butir pertuturan atau tutur kata.

Kesantunan dalam bahasa dan komunikasi memerlukan dua kawalan tindakan


iaitu pertuturan dan mengawal perilaku. Mengawal pertuturan bermakna kita tidak kerap
menggunakan perkataan yang bernada tanda seru, atau menyergah seperti ah!, tah!,
oi!, pergi! dan sebagainya.

Bagaimanapun, kita pula perlulah tahu membezakan ketidaksantunan dengan


faktor-faktor seperti idiolek dan dialek. Walaupun dari daerah atau latar belakang sosial
yang sama, tetapi tetap berlaku perbezaan pertuturan yang dikenali sebagai idiolek
yang mungkin disebabkan oleh sifat fisiologi atau alat pertuturan individu itu sehingga
menyebabkan sebutan yang sengau, tabiat pertuturan yang terlampau lambat, cepat
tertahan-tahan dan sebagainya.

Menurut Profesor Dr. Awang Sariyan di dalam bukunya yang berjudul Tuntutan
Bahasa, terdapat juga pengaruh bahasa asing yang boleh mencemarkan bahasa
Melayu. Amatlah tidak bagus ayat bahasa Melayu di Inggeriskan, kerana sesetengah
perkataan akan kedengaran amat tidak berbudi bahasa pada pendengaran masyarakat
kita.
Austin (1955) menjelaskan lakuan bahasa terbahagi kepada dua jenis, iaitu lakuan
bahasa berasaskan tindakan dan lakuan bahasa berasaskan penegasan.

(a) Lakuan Bahasa Berasaskan Tindakan


i. ‘’Saya berjanji akan menyiapkan tugasan ini sebaik mungkin’’.
ii. “Baiklah, saya akan datang ke rumah awak petang nanti”.
iii. “Ok, saya pergi beli barang yang di pesan sekarang”.
Dalam ujaran (a)i, (a)ii, dan (a)iii penutur akan berusaha sedaya upaya untuk
mengotakan kata-katanya. Hal ini bermakna, lakuan bahasa ini disertai dengan
tindakan tentang perkara yang diujarkan samada tindakan yang dilakukan itu
adalah segera atau akan dilakukan kemudian.

(b) Lakuan Bahasa Berasaskan Penegasan


i. ’’Mulai hari ini kamu tidak dibenarkan keluar malam lagi’’.
ii. “Saya akan belanja kamu semua makan hari ini”.
iii. “Jangan pergi tanpa pengetahuan saya”.
Ini ialah ujaran yang dibuat untuk menegaskan tindakan yang telah diambil
sebagai denda di atas kesalahan yang telah dilakukan atau apa sahaja. Apa
yang diperhatikan oleh Austin sebenarnya mudah. Beliau berpendapat apa yang
penting adalah dari segi apa yang dilakukan oleh ujaran tersebut. Dalam hal ini
ujaran itu mungkin berupa satu pernyataan dan lakuan itu adalah satu lakuan
membuat kenyataan. Namun begitu, ujaran itu juga boleh digunakan untuk
bercakap besar atau mungkin juga untuk memberi amaran.

Teori Lakuan Bahasa boleh diaplikasikan kepada pelbagai bahasa dan


berkemungkinan lakuan bahasa Melayu mempunyai perbezaan dan persamaan dengan
lakuan bahasa Inggeris, bahasa Arab atau bahasa Jepun. Kaedah memberi salam
dalam pelbagai bahasa mungkin berbeza dan bersifat spesifik kepada bahasa tersebut.
Contohnya lakuan memberi salam pembuka bicara dalam bahasa Melayu berpola
Selamat Pagi, Selamat Tengahari, Selamat Petang sementara dalam bahasa Inggeris
pola “greetings” atau “ucapan selamat” bermula dengan “Good” dalam good morning,
good afternoon, good evening.

Ternyata ucapan “selamat” mempunyai perbezaan dan persamaan dengan “greetings”


bahasa Inggeris berpola.

Bahasa sebagai satu kegiatan atau perbuatan yang menghasilkan “lakuan


bahasa” atau unit asas atau komunikasi linguistik minima. Maka Teori Lakuan Bahasa
ini berbeza dari linguistik formal dari sudut andaian bahawa unit linguistik bukanlah
phoneme atau morpheme atau lexeme atau ayat tetapi pengujaran unit tersebut dalam
satu perilaku atau perbuatan lakuan bahasa.

Oleh kerana bahasa itu merupakan satu jenis perilaku atau perbuatan bahasa, ia
mempunyai satu situasi penggunaan yang nyata yang dilabuhkan kepada penutur dan
pendengar, di mana niat masing-masing adalah relevan dan amat penting untuk
interpretasi dan kefahaman sesuatu ujaran. Prinsip atau andaian ini melihat bahasa
sebagai komunikasi linguistik di mana setiap penghasilan linguistik adalah dibuat
dengan sesuatu niat.

Maka tidak hairanlah jika niat mempunyai tempat yang penting dalam Teori
Lakuan Bahasa dan merupakan satu ciri pengkategorian jenis lakuan bahasa. Niat
sebagai istilah teknikal Teori Lakuan Bahasa tidak terhad kepada niat penutur sahaja.
Niat juga melibatkan syarat-syarat kesesuaian dan keikhlasan bagi sesuatu ujaran iaitu
bagaimana sesuatu lakuan bahasa berfungsi dalam masyarakat yang membolehkan
manusia dapat berkomunikasi dan saling memahami dalam kebanyakkan situasi.
Dalam hal kajian lakuan bahasa Melayu, persoalan tertumpu kepada bagaimana
sesuatu perilaku komunikasi berfungsi dalam masyarakat Melayu dengan penelitian
kepada syarat yang terpakai dalam komunikasi dalam masyarakat Melayu. Sebagai
contoh ujaran “InsyaAllah” yang diujarkan dalam masyarakat Melayu mempunyai nilai
lakuan bahasa yang mungkin berbeza dengan penggunaan dalam masyarakat Arab.
Bahasa yang digunakan atau lebih tepat lagi, perilaku berbahasa adalah seratus
peratus bergantung kepada konteks sesuatu situasi di mana perilaku itu terhasil atau
dihasilkan. Segala penggunaan bahasa perucapan atau penulisan adalah bahasa yang
bersituasi. Sesuatu lakuan bahasa bukan hanyalah satu perilaku bahasa tetapi harus
dipertimbangkan keseluruhan situasi kegiatan berbahasa di mana pengujaran
merupakan satu bahagian sahaja.

Menurut kajian, ketika mengujarkan sesuatu, penutur lazimnya melakukan tiga


lakuan bahasa secara serentak. Lakuan bahasa yang pertama ialah kata rangkum, iaitu
perbuatan mengujarkan sesuatu dengan intonasi tertentu dengan menggunakan satu
kata atau sekelompok kata yang mengandungi makna tertentu terhadap seseorang.
Sebagai contoh ungkapan tahniah kepada seseorang sama ada mendapat keputusan
cemerlang dalam peperiksaan, kenaikan pangkat, mendapat anak atau sebagainya.

Lakuan bahasa yang kedua ialah tindakan ujaran, iaitu tindakan yang dibuat
selepas sesuatu perkataan diujarkan. Sebagai contoh “Tahniah Arman!’’ yang
diucapkan oleh seorang majikan kepada pekerjanya setelah dinaikkan pangkat hasil
komitmennya yang baik terhadap kerja selama ini. Ucapan tersebut disertai dengan
tindakan seperti berjabat tangan dan meraikannya di dalam sesuatu majlis.

Lakuan bahasa yang ketiga ialah kesan tindakan, iaitu kesan daripada ujaran
yang disertai oleh tindakan terhadap orang yang ditujukan ujaran itu sama ada dari segi
tindakan, fikiran atau keyakinannya. Sebagai contoh, apabila ucapan tahniah dibuat
oleh majikan dan rakan-rakan Arman, kemudian ucapan itu disertai dengan tindakan
berjabat tangan dan meraikannya di dalam sesuatu majlis. Kesan daripada hal ini
menyebabkan Arman berasa gembira dan lebih bermotivasi untuk terus gigih berusaha.
Lakuan bahasa ini terdiri dari pelbagai jenis, contohnya lakuan bahasa sapaan,
permintaan, permohonan maaf, pujian dan ungkapan penolakan. Dalam hal ini, struktur
sesuatu ujaran itu bergantung kepada pelbagai faktor seperti jantina, faktor sosial, umur
dan dalam konteks masyarakat di Malaysia kita tidak dapat menolak bahawa faktor
etnik juga memainkan peranan dalam mewujudkan sesebuah lakuan bahasa tersebut.

Di sini kami memberikan beberapa contoh lakuan bahasa hasil dapatan kami
selepas menjalankan kajian tindakan ke atas beberapa orang individu pada 26 April
2012.

Lakuan bahasa sapaan

Merujuk kepada surat khabar Utusan Malaysia bertarikh 14 Mac 2003 (Kesantunan
Bahasa dan Komunikasi), Bahasa Melayu mempunyai sapaan dan rujukan yang
berbeza daripada bahasa-bahasa lain dan setiap penuturnya mesti menguasainya dan
menggunakannya dengan betul dalam konteks yang sesuai dengan lawan tutur
mereka. Kesalahan penggunaan sapaan dan rujukan ini boleh menimbulkan suasana
yang tegang dan tidak harmoni di antara penutur dan lawan tutur. Kata-kata bukan
sahaja berfungsi untuk merujuk seseorang tetapi mendukung fungsi memperlihatkan
kesopanan penutur menggunakan bahasa tersebut.

Sapaan dan rujukan dalam bahasa Melayu terbahagi kepada dua situasi, iaitu
situasi formal dan situasi tidak formal. Dalam situasi tidak formal, kebiasaannya penutur
menggunakan sapaan yang merujuk hubungan akrab dengan lawan tutur.

Di dalam hubungan formal, bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan rujukan
tersendiri berbeza daripada situasi tidak formal.
Dalam situasi formal biasanya pengguna bahasa Melayu menggunakan
perkataan yang menunjukkan rasa hormat terhadap lawan tutur mereka. Pengguna
bahasa Melayu tidak boleh mencampuradukkan penggunaan kata-kata tersebut secara
sesuka hati.

Sebagai contoh, kita menggunakan sapaan ``saudari'' untuk menegur seorang


gadis yang belum kita kenali, atau rujukan hadirin pada sesuatu majlis. Ketika berjumpa
kadi, imam atau penghulu, kita akan menggunakan sapaan ``Tuk''.

“Engkau'' atau ``kau'' lebih sesuai digunakan dengan kenalan rapat atau dituturkan
dalam situasi yang tidak formal.

Sebaik-baiknya, kita juga faham peranan rujukan hormat untuk menyapa individu
dengan gelaran tertentu. Sebagai contoh, bagi ketua jabatan, eloklah dimulakan
dengan ``Yang Berusaha'', atau ``Yang Berbahagia''.

(a) Lakuan bahasa sapaan kepada rakan sebaya:


i. “Wei, lama tak nampak. Hang apa habaq?”
ii. “Hai Zai”.
iii. “Hei, apsal u ni?”

Berdasarkan kepada contoh (a)i, (a)ii, dan (a)iii, pengaruh umur dan faktor sosial amat
mempengaruhi ujaran seseorang terhadap rakan sebayanya. Ujaran i dan ii
menunjukkan penutur hanya sekadar berbasa-basi menyapa rakannya. Sapaan itu
mungkin dijawab secara ringkas seperti “ok”, “baik”, atau “hai” dan akhirnya perbualan
itu tamat di situ sahaja. Ujaran iii pula, menunjukkan bahawa penutur tersebut menyapa
sambil bertanya keadaan rakannya pada ketika itu yang mana mungkin pada
pandangan penutur keadaan rakannya itu kelihatan tidak bagus atau mungkin juga
bagus. Ujaran (iii) ini akan mencetuskan perbualan selanjutnya yang mungkin
membawa kepada topik-topik yang lebih terperinci.
(b) Lakuan bahasa sapaan kepada orang tua:
i. “Assalamualaikum, mak cik. Apa habaq? Lama cek tak nampak mak cik”.
ii. “Assalamualaikum, mak cik. Sihat ka?”
iii. “Assalamualaikum, mak cik. Menyapu ka?”

Berdasarkan ujaran di atas (b)i, (b)ii dan (b)iii, menunjukkan bahawa penutur menyapa
orang yang lebih tua dengan hormat dan berbudi bahasa walaupun jika diperhatikan
bentuk ujaran tersebut sekadar berbasa-basi. Oleh itu, faktor umur amat memainkan
peranan penting dalam mempengaruhi lakuan bahasa seseorang. Norma-norma hidup
bermasyarakat juga merupakan faktor yang mempengaruhi seseorang individu dalam
menjaga pertuturannya.

Lakuan bahasa permintaan


Lakuan bahasa permintaan ini boleh diujarkan secara berterus-terang dan boleh
juga diujarkan secara berkias-kias. Ianya bergantung kepada situasi, keperluannya
pada ketika itu sama ada terdesak atau tidak, dan juga kepada siapa yang
dipertuturkan. Faktor usia juga mempengaruhi lakuan bahasa permintaan seseorang
individu. Adakalanya, lakuan bahasa permintaan juga boleh menjadi satu arahan jika
intonasi yang digunakan adalah berbentuk penegasan dan ditakrifkan oleh pendengar
sebagai satu arahan yang wajib dipenuhi. Mari kita lihat beberapa dapatan dialog, hasil
kajian saya.

(a) Lakuan bahasa permintaan kepada rakan sebaya:


i. “Mimi, nak pinjam gunting sat boleh tak?”
ii. “Hang ada kredit tak, nak mesej satu boleh?”
iii. “Tolong saya hulurkan pinggan tu”.
Ujaran (a)i dan (a)ii menunjukkan penutur lebih senang berterus-terang untuk meminta
sesuatu tanpa menggunakan bahasa yang berkias-kias. Mungkin pada pandangan
penutur, permintaannya itu dengan mudah akan dipenuhi oleh rakannya. Manakala,
ujaran (a)iii pula jika diperhatikan permintaan tersebut boleh menjadi satu permintaan
dan juga boleh menjadi satu arahan bergantung kepada intonasi si penutur. Ia juga
bergantung kepada pendengaran penerima mesej itu. Mungkin si pendengar
mendefinisikannya sebagai satu arahan yang wajib dipatuhi dan dipenuhi tanpa
sebarang bantahan, lalu menghulurkan pinggan tersebut kepada penutur.

(b) Lakuan bahasa permintaan kepada orang yang lebih dewasa atau berpangkat:
i. “Bi, telefon umi rosaklah. Tak mau belikan baru ke?”
ii. “Mak, minta ampun minta maaf. Halalkan makan minum. Selamat Hari Raya”.
iii. “Abang, boleh tak belikan saya beg tangan tu?”

Ujaran (b)i, menunjukkan bahawa penutur inginkan suaminya membelikan telefon baru.
Sebagai tambahan, penutur menyatakan bahawa telefonnya yang lama sudah rosak.
Oleh itu, boleh diandaikan di sini bahawa si suami terpaksa memenuhi permintaan
isterinya kerana telefonnya yang lama sudah tidak boleh digunakan lagi. Berbanding
dengan ujaran (b)iii, si suami mungkin memenuhi permintaan isterinya dan mungkin
juga tidak menghiraukannya, kerana si isteri tiada alasan yang kukuh untuk
menyatakan permintaannya itu wajib dituruti. Ujaran (b)ii menunjukkan bahawa situasi
pada ketika itu ialah Hari Raya. Oleh itu penutur meminta atau memohon ibunya
memaafkan kesalahannya dan menghalalkan makan dan minumnya. Ujaran ini hanya
akan berlaku pada Hari Raya sahaja, yang mana pada hari-hari biasa penutur tidak
akan mengujarkan ayat tersebut dan jika diujarkan juga ianya kedengaran amat
janggal.
Lakuan bahasa permohonan maaf
(a) Lakuan bahasa permohonan maaf kepada rakan sebaya:
i. “Ina, sorry Ina ek. Ina kawan dengan kami tak?”
ii. “Sorry na, tadi aku silap cakap”.
iii. “Hasna, sorry na aku dah ngumpat kat hang tadi”.

Berdasarkan ujaran (a)i, (a)ii, dan (a)iii, ke tiga-tiga penutur mengujar kata-kata tersebut
secara lokusionari di mana ianya secara berterus-terang dan tidak berkias-kias. Bagi
ujaran i, walau pun ianya diujarkan secara terus, tetapi ujaran yang seterusnya (“......Ina
kawan dengan kami tak?”) menunjukkan bahawa emosi penutur berada dalam
kebimbangan. Intonasi ujaran ini mungkin dalam nada yang merayu dan memohon
simpati. Kesan tindakan dari ujaran itu, mungkin rakannya akan menerima permohonan
maaf itu dan kembali menjalinkan persahabatan dengan penutur. Penggunaan kata
ganti nama “aku” dan “hang” pula, jika dikaji memang kurang sesuai digunakan dalam
situasi memohon maaf. Tetapi mungkin disebabkan faktor keakraban dan jarak umur
yang rapat, kata panggilan ini boleh diterima oleh pendengar.

(b) Lakuan bahasa permohonan maaf kepada orang tua:


i. “Mak, orang minta maaf ye kalau selama ni orang selalu buat mak sedih,
susah”.
ii. “Mak, minta maaf na. Selamat Hari Raya”.
iii. “Mak, ayah. Maafkan kesalahan saya ye”.

Jika dilihat lakuan bahasa permohonan maaf kepada orang dewasa, aspek berbahasa
dengan sopan amat dititik beratkan jika dibandingkan memohon maaf kepada rakan
sebaya. Kata panggilan yang sesuai diujarkan bersama ayat yang seterusnya. Jika
diperhatikan ujaran (b)i, (b)ii, dan (b)iii ini, si penutur mengujarkannya kepada orang
yang sangat rapat iaitu ibu dan ayah. Tetapi lakuan bahasa dalam masyarakat Melayu
amat mementingkan kedudukan seseorang. Tiada penggunaan kata panggilan “you”
untuk ibu dan ayah, dan “me” atau “I” untuk diri sendiri seperti yang dilihat dalam
masyarakat Inggeris. Jika digunakan juga ianya kedengaran begitu biadap dan tidak
sopan.

Menurut Nik Salida Suhaila Nik Saleh, dalam Utusan Malaysia bertarikh 25
Januari 2005 yang berjudul Kebendaan Pinggirkan Budi, bangsa Melayu tidak pernah
kurang ajar pada bahasa yang indah-indah, tingkah laku sopan, renung mata yang
redup dan senyum yang memikat. Malah di Barat sana, ramai bangsa lain yang terus
terusan mengagumi Malaysia kerana molek budi bicara dan santun budaya.

Cuma yang musykil adalah bangsa ini semakin hebat di gelanggang kebendaan,
sehingga tidak endah keperluan adab santun dalam memelihara tamadun, nama baik
dan warisan apatah lagi agama.

Keterlaluan mengejar kemajuan kebendaan membuat ramai orang kita gadaikan


tatasusila berhemah, bila mereka melihat ia tidak menyumbang kepada keutuhan
ekonomi dan pendidikan negara.

Kekurangan ini perlu ditambah menjadi lengkap dengan segera mungkin kerana
masalah sosial yang kian meruncingkan dilihat juga fenomena yang terhasil daripada
pincangnya tatasusila.

Lakuan bahasa pujian


Lakuan ini bersifat pujian di mana pengujarnya menyatakan pujian kepada pendengar.
Di sini pendengar mungkin menerimanya dengan baik di atas pujian yang diterima
tanpa mengira samada pengujar tadi benar-benar ikhlas memujinya atau maksud yang
ingin disampaikan adalah sebaliknya. Intonasi juga memainkan peranan penting dalam
menyampaikan ujaran tersebut.
(a) Lakuan bahasa pujian kepada rakan sebaya:
i. “Rajinlah Mimi ni, terima kasih ye tolong kami. Nasib baiklah Mimi tolong”.
ii. “Wah, cantiknya baju dia!”
iii. “Fuyyooo, cunnya hang hari ni”.

Bagi ujaran (a)i, penutur menunjukkan betapa pentingnya peranan rakan yang telah
menolongnya di mana selepas memuji rakannya penutur masih lagi menuturkan
keadaannya yang bernasib baik degan adanya bantuan rakan tersebut. Dari ujaran ini,
rakannya mungkin telah mendapat kesan tindakan dan ini memberi motivasi kepada
rakannya untuk membantu penutur pada masa akan datang.

(b) Lakuan bahasa pujian kepada orang tua:


i. “Beruntungnya umi dapat suami macam hubby ni. Mana ada suami orang lain
yang rajin macam ni, suami umi je”.
ii. “Mak, cantiknya hari ni”.
iii. “Ya Allah, cantiknya baju kurung yang kak long pakai tu”.

Berdasarkan ujaran (b)i, dapat kita lihat bahawa penutur sebenarnya memuji suaminya
dengan ikhlas, tetapi bentuk pujiannya adalah berlebih-lebihan seolah-olah hanya
suaminya yang terbaik di dunia. Tetapi jika dilihat secara mendalam, pujian yang
berlebihan itu mungkin untuk memancing si suami supaya meneruskan sifat rajinnya itu.
Bagi ujaran (b)ii dan (b)iii, sifat pujian tersebut adalah ikhlas dan mungkin tidak
membawa maksud yang sebaliknya.
Lakuan bahasa penolakan
Lakuan bahasa penolakan ini adakalanya diujarkan secara berkias dan ada juga
diujarkan secara berterus terang. Penggunaan bahasa kiasan ini biasanya bertujuan
menjaga air muka si penutur. Berdasarkan kepada kajian tindakan di bawah, boleh kita
lihat bahawa kebanyakan penutut lebih gemar berterus-terang kepada orang yang rapat
dengan mereka. Tetapi ujaran mereka masih lagi bersopan-santun.

(a) Lakuan bahasa penolakan kepada rakan sebaya:


i. “Ala Ina, sori ye tak dapat nak teman Ina pi sana. Ada hal lain, sori ye”.
ii. “Sorry la, nak pakai la. Sorry banyak-banyak”.
iii. “Maaf wei, aku memang tak dapat nak ikut hang gi shopping”.

(b) Lakuan bahasa penolakan kepada orang dewasa:


i. “Mak, orang minta maaf tak dapat bawa mak pi, nanti esok orang anta mak pi
beli barang tu ye mak”.
ii. “Minta maaf mak cik, hari ni saya kena pi sekolah. Tak boleh nak tolong mak
cik. Maaf ye”.
iii. “Maaf la abang, saya betul-betul tak boleh nak temankan abang ni”.
Austin membezakan tiga konsep asas dalam perbincangan sesuatu lakuan
bahasa iaitu lakuan pengucapan (lokusionari), lakuan niat ucapan (Ilocution force) dan
lakuan tindak balas pengucapan (perlocutionary effect).

Lokusionari
Lokusionari membawa maksud, sesuatu mesej yang ingin disampaikan adalah secara
terang dan tidak membawa maksud yang lain. Apa yang diperkatakan itulah
maksudnya. Contohnya, “cuaca hari ini panas,” ianya tidak membawa maksud yang lain
melainkan ia hanya menyatakan keadaan cuaca pada hari tersebut. Begitu juga jika
dinyatakan bahawa “saya hendak tidur.” Menurut Austin, Lokusionari (lakuan
pengucapan) atau ujaran merupakan bentuk kata-kata hakiki (serta maksud semantik
kata-kata tersebut) yang digunakan oleh pengucap. Apa yang dipertuturkan oleh
pengucap itu tidak membawa makna yang lain, sebaliknya apa yang dipertuturkan
itulah yang dimaksudkan. Penerimaan pendengar juga bergantung kepada apa yang
disampaikan kerana ianya secara berterus terang dan tidak berkias-kias.

Ilokosionari
Ilokosionari pula membawa maksud yang sebaliknya. Apa yang dikatakan tidak
semestinya itu yang dimaksudkan, mungkin apa yang ingin dinyatakan adalah
bertentangan dengan apa yang diucapkan. Makna atau maksud yang diajukan tidak
secara tepat tetapi berkias-kias. Contohnya, “Eh… panas sangat la hari ini.” Di sini apa
yang ingin disampaikan bukan sekadar ingin menyatakan keadaan cuaca tetapi
mungkin menyatakan permintaannya yang ingin memasang penghawa dingin atau pun
ingin mandi. Selain itu, contoh yang boleh diambil ialah apabila seorang ibu memarahi
anaknya. “Lepas ni pergi la lagi mandi di sungai tu”. Di sini boleh dilihat bahawa
sebenarnya si ibu bukanlah menyuruh anaknya pergi mandi di sungai lagi tetapi
melarangnya pergi. Ia juga ada digunakan semasa majlis peminangan di mana
perempuan yang ingin di pinang disebut sebagai bunga. Jadi di sini bunga itu adalah si
gadis, bukannya pokok bunga yang di tanam di halaman rumah.

Eksplisit adalah aksi yang menunjukkan maksudnya dari segi penggunaan kata kerja
performatif seperti amaran, menafikan, arahan, berjanji dan sebagainya. Misalnya,
a) “Jangan bermain di situ. Ada sarang tebuan.“
b) “Saya arahkan awak pergi dari sini.”
Makna atau maksud yang diajukan adalah secara langsung dan jelas (eksplisit). Ianya
tidak berbelit-belit, dan mempunyai gambaran yang tepat dan sahih. Contohnya seperti
pidato, berita, keputusan dan sebagainya.

Implisit pula adalah aksi yang tidak menggunakan kata kerja performatif untuk
menunjukkan maksudnya. Misalnya:
i. “ada sarang tebuan di situ.”
ii. “pergi!”
Lakuan niat ucapan boleh dikaitkan dengan fungsi ucapan tersebut seperti untuk
mengarah atau memberi arahan, membuat tawaran, membuat janji, mengugut,
mengucapkan terima kasih dan sebagainya. Ini bermakna implisit lebih terarah kepada
penerimaan emosi.

Perlokusionari
Perlokusionari pula ialah menyatakan sesuatu seiring dengan perbuatan. Lakuan tindak
balas pengucapan berkait dengan reaksi pendengar apabila mendengar ujaran
tersebut. Sebagai contoh ujaran, “panasnya bilik ini” mempunyai lakuan pengucapan
yang mengandungi tiga maksud sebagai bilik itu mempunyai suhu yang tinggi. Lakuan
niat ucapan ini mungkin sebagai mengadu. Mungkin juga niat pengucapan meminta
untuk dibuka penghawa dingin atau menawar untuk dibuka penghawa dingin. Selain itu
boleh juga membawa maksud memohon pertukaran bilik dan sebagainya. Jelas
bahawa lakuan pengucapan yang sama tetapi boleh membawa maksud yang berbeza.
Walau bagaimanapun lakuan pengucapan yang berbeza boleh juga membawa maksud
yang sama tetapi dari aspek penerimaan pendengar pula sukar untuk diramal.
Adakalanya pendengar dapat menerimanya dengan baik dan begitulah sebaliknya.
Reaksi yang ditunjukkan juga bergantung kepada penerimaannya.

Namun, apabila menggunakan bahasa Melayu, kita mungkin mendapati ada


penutur bahasa Melayu yang tidak menyedari hakikat ini. Kita mendengar penutur
bahasa Melayu menggunakan bahasa yang rendah. Bahasanya bercampur aduk, iaitu
bahasa Melayu dengan Inggeris. Percampuran itu dilakukan pada setiap peringkat
penguasaan bahasa: sebutan, ejaan, imbuhan, frasa, ayat, kosa kata, makna dan
peribahasa. Lakuan bahasa begini sering berlaku di kalangan penutur asli bahasa
Melayu. Fenomena begini dapat dianalisis pada peringkat lakuan luaran, yakni daripada
yang dapat didengar dan bibaca. Ini dilakukan dalam bentuk apa yang dicampurkan, di
mana dilakukan dan apa sebabnya.

Pun begitu kita perlu juga mengetahui proses psikologi yang berlaku dalam diri
penutur yang mempamerkan lakuan bahasa begini. Setiap lakuan yang kita pamerkan
adalah didahului oleh kesimpulan yang dibuat terhadap iklim komunikasi yang terlibat.

Lakuan bahasa begini tidak dilakukan oleh bukan penutur bahasa asli, yakni
bukan penutur bahasa Melayu. Penutur yang bukan penutur asli bahasa Melayu belajar
bahasa Melayu secara bahasa kedua secara formal. Oleh sebab itu, bahasa yang
mereka tuturkan adalah mematuhi aturan tatabahasa. Tetapi, penutur asli bahasa
Melayu sering tidak mematuhi aturan tatabahasa yang lengkap.

Fenomena ini ada kaitan dengan konsep diri penutur bahasa Melayu. Apakah
agaknya konsep diri penutur Melayu yang menggunakan bahasa Melayu kacukan ini?
Kemungkinannya penutur asli bahasa Melayu ini tidak pun sedar tentang konsep diri
yang mereka pamerkan.
6.0 KESIMPULAN
Teori lakuan bahasa merupakan satu komponen makna yang sering kali diabaikan
dalam teori semantik yang formal. Teori Lakuan Bahasa juga telah dibincangkan dari
aspek serta ciri lakuan bahasa tak langsung dan diteliti dengan mendalam. Persoalan
bagaimana seorang pendengar memutuskan sama ada sesuatu ujaran harus diertikan
sebagai satu lakuan bahasa langsung atau tak langsung serta persoalan bagaimana-
kah pendengar memahami maksud tak langsung tersebut juga telah dibincangkan
dengan meneliti ciri yang ada pada lakuan bahasa berkenaan. Kerangka yang ada
memberikan satu model untuk analisa sesuatu perbualan atau data linguistik ujaran
untuk mengkaji apa sebenarnya yang berlaku dan di mana punca keselisihan faham
atau bagaimana penutur mencapai tujuan atau tidak berjaya mencapai tujuan. Melalui
definisi dan teori yang diperhalusi, kita dapat melihat ada perubahan pada lakuan kita
apabila ada perubahan pada bahasa yang kita gunakan. Hal ini demikian kerana
bahasa ialah alat pembentuk dan pemindah memori bangsa. Memori bangsa pula ialah
himpunan nilai sesuatu bangsa. Apabila kita mengubah bahasa pendidikan kita, maka
kita akan menggalakkan penjajahan minda. Minda yang terjajah akan terus kagum
dengan budaya bahasa penjajahnya. Akhirnya dia juga akan mengubah lakuannya dan
nilai jati dirinya. Mereka yang mengubah bahasa ekspresifnya juga akan mengubah
nilai dan muatan rohaniah pada dirinya. Hal ini menyebabkan jati dirinya berubah.
Mungkin perubahan tidak berlaku pada rupa paras, tetapi tentu sekali pada minda dan
nilainya. Perubahan itu sedemikian besar sehingga kita hilang jati diri. Mungkin pada
jasadnya kita masih Melayu, tetapi dari segi budaya dan rohaninya kita mungkin sudah
bukan Melayu lagi.

Secara ringkasnya, ciri-ciri komunikasi mesra bolehlah disenaraikan seperti berikut:

 Mengawal perilaku dan menunjukkan kesopanan serta kehalusan budi pekerti


ketika berkomunikasi.
 menggunakan perkataan yang tepat dan ringkas serta tekanan suara yang
lembut tetapi jelas ketika berkomunikasi.
 Mengawal raut muka dan pergerakan diri daripada perkara-perkara yang boleh
memberikan makna bahawa kita tidak menyenangi keadaan atau kehadiran
orang awam.
 Sentiasa menunjukkan kesediaan untuk berkhidmat dan memberikan kerjasama
kepada orang ramai sepanjang masa.
 Sentiasa cuba memahami masalah orang ramai dan memberi pertolongan yang
perlu, tetapi tidak melanggar peraturan yang ditetapkan.
 Sentiasa insaf dengan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan serta
sentiasa berfikiran terbuka dan ikhlas sepanjang masa.
 Mengelakkan diri daripada menggunakan perkataan-perkataan yang boleh
menyinggung orang ramai seperti bertanya tentang peribadi, masalah kewangan
dan sebagainya.
7.0 RUJUKAN

Jurnal
Ramlee Hamad, 1999. Implikatur Perbualan: Satu Analisis Konsep Kerjasama Dalam
Pertuturan Bahasa Arab. Penerbit: Universiti Malaya.

Zulkifley Hamid, 1991. Pentafsiran Makna: Pragmatik Sebagai Kaedah Yang Lebih
Lengkap dlm Jurnal Dewan Bahasa, Julai hlm. 570-575, Kuala Lumpur.

Buku
Asmah Haji Omar, 2005. Alam dan Penyebaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan, 2004. Isu Bahasa Rojak (Siri Bicara Bahasa Bil.20), Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia.

Awang Sariyan, 2004. Tuntunan Bahasa. Asas Pegangan Pelajar. Petaling Jaya:
Pearson Malaysia Sdn. Bhd.

Awang Sariyan, 2007. Santun Berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Akhbar
Utusan Malaysia (2003, Mac 14), Kesantunan Bahasa dan Komunikasi, muka surat 10
Nik Salida Suhaila Nik Saleh (2005, Januari 25), Kebendaan Pinggirkan Budi. Kuala
Lumpur. Utusan Malaysia, muka surat 12

Tesis
Ahmad Mahmood Musanif (1998), Teori Lakuan Pertuturan. Fakulti Bahasa dan
Lingiistik, Universiti Malaya.

You might also like