You are on page 1of 2

FORUM 2 – FALSAFAH DAN DASAR DALAM PENDIDIKAN

1. Apakah yang dimaksudkan Falsafah Pendidikan Guru ? Apakah ciri-ciri yang perlu ada dalam
falsafah Pendidikan Guru?

Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru, kedua-duanya saling berkaitan dan
amat penting dalam sistem pendidikan di Malaysia. Matlamat yang terkandung dalam kedua-dua
falsafah ini memberi impak besar kepada sistem pendidikan Malaysia. Menurut Syed Ismail Syed
Mustafa dan Ahmad Subki Miskon (2005), kandungan, hasrat dan cita-cita yang dinyatakan dalam FPK
dan FPG akan memberikan kesan kepada keseluruhan perjalanan sistem pendidikan. Konsep Falsafah
Pendidikan Guru (FPG) ialah untuk menghasilkan guru yang akan merealisasikan segala konsep yang
terdapat dalam Falsafah Pendidikan Negara. FPG di Malaysia digubal berdasarkan Model Konseptual
Pendidikan Guru, iaitu 3 dimensi utama iaitu, Ketuhanan, Kendiri dan Kemasyarakatan Sub-konseptual
pula terdiri daripada jasmani, emosi, rohani dan intelek. Di samping itu, terdapat pula unsur
pengetahuan, nilai dan kemahiran. Aspek-aspek ini digabung jalinkan untuk membentuk satu disiplin
perguruan yang terancang. Secara keseluruhannya, FPG bermatlamat menghasilkan guru yang
berkualiti dari segi personaliti sehinggalah kepada amalan individu, berilmu serta mempunyai nilai
keguruan dan berupaya memacu generasi kini untuk mencapai Wawasan Pendidikan dalam abad ke-21.
Terdapat beberapa ciri yang perlu ada dalam Falsafah Pendidikan Guru. Antara ciri pertama
ialah berpekerti mulia. Berpekerti mulia bermaksud ialah sesuai dengan peranan guru sebagai suri
teladan dan contoh kepada murid-muridnya. Guru-guru perlulah mempunyai perwatakan yang mulia
dan disiplin. Ciri keduanya ialah berpandangan progresif dan saintifik iaitu, seseorang guru perlu
memiliki kemahiran profesional dalam menyediakan bahan pdpc untuk menarik minat serta
memotivasikan mereka dalam pelajaran. Guru juga perlu mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang
tinggi untuk merealisasikan agar mereka mampu tampil sebagai guru yang berpengetahuan dalam
bidang. Ciri ketiga ialah bersedia menjunjung aspirasi negara. Guru perlu dipupuk dengan nilai integriti
yang utuh dalam diri untuk memastikan guru tersebut cekap, jujur, boleh dipercayai , amanah , patuh
kepada Negara dan mempunyai kualiti untuk melakukan sesuatu tugasan sehingga mereka akan berasa
komited terhadap tugas yang digalasnya sebagai pendidik anak bangsa Negara.
Ciri keempat ialah menyanjung warisan kebudayaan negara iaitu menerapkan nilai-nilai
kebudayaan rakyat Malaysia terhadap anak murid mereka. Sambutan Kemerdekaan, misalnya,
hendaklah disambut dengan penuh sifat patriotisme. Dengan ini, rakyat yang bersemangat patriotisme
dapat dilahirkan hasil didikan daripada guru mereka. Akhirnya ciri kelima ialah menjamin
perkembangan individu dan memelihara sesuatu masyarakat yang bersatu padu. Guru sebagai
pembimbing hendaklah meningkatkan disiplin murid-muridnya agar mereka patuh kepada peraturan
dengan menjelaskan mereka tentang kepentingan mematuhi peraturan-peraturan. Guru juga hendaklah
menegaskan anak-anak muridnya mengenai rasa kehormatan antara satu sama lain walaupun berbeza
warna kulit, agama dan kaum.

2. Terangkan apakah faktor yang mempengaruhi Falsafah Pendidikan Guru Di Malaysia.


Terdapat beberapa faktor utama yang mempengaruhi Falsafah Pendidikan Guru di Malaysia.
Antaranya ialah keagamaan, ekonomi dan masyarakat. Faktor keagamaan ini adalah antara faktor
utama yang mempengaruhi Falsafah Pendidikan Guru. Di negara Malaysia, agama Islam merupakan
agama rasmi. Di samping itu, Agama Kristan, Agama Budha, Agama Hindu dan sebagainya juga bebas
dianuti mengikut undang-undang negara. Unsur agama ini dapat dihayati daripada pernyataannya, iaitu
memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu. Sehubungan dengan ini, guru-gurulah mesti
membangunkan disiplin murid-muridnya agar mereka patuh kepada peraturan dengan menjelaskan
mereka tentang kepentingan mematuhi peraturan-peraturan dan hendaklah menegaskan anak-anak
muridnya mengenai rasa kehormatan antara satu sama lain walaupun berbeza warna kulit, agama dan
kaum.
Seterusnya ekonomi juga menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi Falsafah Pendidikan
Guru. Rakyat Malaysia yang terlatih dalam pelbagai kemahiran dapat membantu negara
memperkembangkan ekonomi dengan meningkatkan daya pengeluarannya. Tujuan ini dapat dicapai
dengan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab
dan berupaya untuk memberi sumbangan terhadap kemakmuran negara. Cita-cita memperkembangkan
ekonomi Malaysia telah menjadi salah satu matlamat pendidikan negara yang dinyatakan dalam
Falsafah Pendidikan Negara. Manakala dalam Falsafah Pendidikan Guru telah dinyatakan seperti
berpandangan progresif dan saintifik iaitu, seseorang guru perlu memiliki kemahiran profesional
dalam menyediakan bahan pdpc untuk menarik minat serta memotivasikan mereka dalam pelajaran
serta melahirkan murid yang berdaya kreativiti dan inovasi yang tinggi untuk merealisasikan agar
mereka mampu tampil sebagai guru yang berpengetahuan dalam bidang.
Selain itu, faktor masyarakat turut mempengaruhi Falsafah Pendidikan Guru. Masyarakat
Malaysia terdiri daripada berbilang kaum. Keharmonian dan kemakmuran negara bergantung kepada
amalan sikap toleransi, bekerjasama dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Sikap yang positif
ini adalah amat penting dalam usaha mencapai perpaduan kaum yang merupakan kriteria yang paling
penting untuk mewujudkan keadaan sosial yang stabil. Tujuan mencapai perpaduan kaum telah
menjadi salah satu matlamat pendidikan yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Guru, iaitu:
menyanjung warisan budaya negara. Bagi merealisasikan matlamat ini guru-guru perlu menerapkan
nilai-nilai kebudayaan rakyat Malaysia terhadap anak murid mereka. Dengan kita dapat membina suatu
masyarakat yang harmoni dan makmur.
Kesimpulannya, ketiga-tiga faktor inilah telah mempengaruhi pembinaan Falsafah Pendidikan
Guru. Oleh itu, guru-guru perlulah memahami faktor-faktor ini dan menghayati Falsafah Pendidikan
Guru dengan penuh serta sentiasa berusaha untuk merealisasikan matlamat falsafah tersebut.

You might also like