You are on page 1of 2

TOKOH QARI DI MALAYSIA

Haji Mohamad @ Hj Mat Lintar

LATAR BELAKANG

Haji Mohamad Bin Haji Awang Kechik atau turut digelar Haji Mat Lintar merupakan seorang
tokoh Al-Qur’an yang sangat berjasa dalam bidang pengajian Al-Qur’an. Beliau dilahirkan
pada 21 Mac 1900. Beliau berasal dari Kg. Kemomin, Pengkalan Chepa, Kelantan. Haji Mat
Lintar adalah seorang hafiz al-Quran yang mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup
mendalam tentang ilmu tajwid, fasahah dan tarannum. Haji Mat Lintar mempunyai isteri lebih
kurang seramai 18 orang. Ada yang berpisah dan ada yang meninggal dunia. Ada di
kalangan mereka yang berada di Kelantan dan Terengganu. Justeru itu, kemungkinan besar
Haji Mat Lintar meninggalkan zuriat yang ramai berada di merata daerah di negeri
Terengganu, Kelantan dan ada juga di kalangan anak dan cucu beliau yang menetap di
Kuala Lumpur.

PENGAJIAN

Haji Mat Lintar pernah mendapat pendidikan di Kelantan, Mekah dan Madinah. Menurut
Najmiah dan Fatimah (2017), Haji Mat Lintar mempelajari ilmu agama di Mekah termasuk
pengajian al-Quran ketika beliau dan isterinya, Hajjah Aminah binti Ali mempunyai anak
sulung perempuan bernama Hajjah Ramlah yang berusia tiga tahun. Ketika berada di
Mekah, rakan seguru dengan Haji Mat Lintar ialah Syeikh Mahmud Khalil. Haji Mat Lintar
lebih banyak terpengaruh dengan bacaan ala Hijazi Ketika di Mekah disebabkan suasana
yang kering-kontang dan padang pasir serta budaya mereka membaca al-Quran mengikut
Hijazi. Beliau lebih cenderung kepada tarannum ala Hijazi setelah perang Jepun pada tahun
1940-an.

Berdasarkan Sijil Ijazah Bersanad Hajjah Rogayah binti Sulong dalam tulisan jawi,
antara guru kepada Haji Mat Lintar ialah Syeikh Hussein bin Ibrahim al-Suyuti dan Syeikh
Ibrahim al-Sai’r. Haji Mat Lintar juga turut mempelajari ilmu tarannum dengan Haji Nik Wan
bin Tengku Mahmud semasa beliau berada di Kelantan. Haji Nik Wan mengajar di Kampung
Kerasak, daerah Bunut Susu, jajahan Pasir Mas Kelantan.
SUMBANGAN

Haji Mat Lintar merupakan salah seorang tokoh al-Quran yang memainkan peranan penting
dalam perkembangan seni lagu bukan sahaja di Terengganu, malahan di nusantara. Antara
sumbangan beliau dalam menyampaikan ilmu agama dan al-Quran adalah menjadi imam
besar Masjid Sultan Zainal Abidin Negeri Terengganu. Beliau dilantik sebagai imam besar di
Masjid Abidin bermula pada 26 Oktober 1927 sehingga 1 November 1953. Haji Mat Lintar
juga menjadi Imam Istana kepada Sultan Ismail setiap kali hari Jumaat.

Beliau juga adalah seorang qari istana semasa pemerintahan Sultan Ismail
Nasiruddin Shah. Beliau sentiasa menjadi qari jemputan untuk mengalunkan al-Quran
bertarannum dalam majlis-majlis rasmi seperti Maulud Nabi dan upacara keagamaan yang
lain. Boleh dikatakan kehebatan Haji Mat Lintar sama kedudukan dengan Haji Yusof
Kedondong di Kelantan. Kalau di Kelantan terkenal dengan Yusof Kedondong, maka negeri
Terengganu pula terkenal dengan Haji Mat Lintar di kalangan masyarakat.

Bukan itu sahaja, beliau turut mengajar Al-Quran dan tarannum di Surau Haji Awang
Abbas yang berdekatan dengan rumah beliau yang terletak di Kampung Tanjung Kapur,
Kuala-Terengganu yang bernama surau Hj Awang Abbas. Surau tersebut dinamakan
demikian sempena nama tuan tanah tersebut. Namun begitu, surau tersebut juga dikenali
oleh penduduk kampung di situ dengan nama Surau Haji Mat Lintar. Surau tersebut
melahirkan tokoh al-Quran dan tarannum yang ramai.

Beliau turut menubuhkan Persatuan Qurra’ Terengganu di mana ahli-ahlinya terdiri


daripada murid-murid yang telah tamat al-Quran bersanad dengan beliau. Persatuan Qurra’
Terengganu turut memainkan peranan penting dalam memasyarakatkan al-Quran dan ilmu
tarannum di negeri Terengganu. Antara aktiviti yang dijalankan oleh Persatuan Qurra’
Terengganu ialah mengajar al-Quran dan tajwid kepada orang ramai. Kini, Persatuan Qurra’
Terengganu berpusat di Surau Haji Mat Lintar di Kg. Tanjung Kapur, Ladang, bersebelahan
dengan rumah Hj. Mat Lintar. Tokoh-tokoh qari yang menjadi ahli Persatuan Qurra’
Terengganu ialah Haji Muda@Jusoh bin Ismail, Haji Ismail bin Embong, Haji Yusop bin
Embong pada tahun 1980-an, Haji Mohamad Yasin bin Embong, Ayah Long Awang Nobat
Sungai Derhaka dan Hajjah Rogayah binti Sulong.

Selain itu, beliau turut membantu melahirkan pakar tarannum yang mahir di negeri
Terengganu. Antara anak murid yang terkenal ialah Megat Othman Megat Chik, Yusof bin
Abdullah, Dato’ Hajjah Rogayah binti Sulong, Muda@Jusoh bin Ismail, Wook binti Hassan,
Yasin Embong dan Ismail Embong.

MENINGGAL DUNIA

Pada akhir hayat beliau, Haji Mat Lintar berada di Mekah al-Mukarramah dan selalu
berulang alik antara dari Malaysia ke Mekah. Hajjah Rogayah pernah mengunjungi beliau
ketika berada di sana dan masih mengenali Hajjah Rogayah walaupun pada ketika itu beliau
sudah uzur dan mata kabur. Beliau meninggal dunia pada tahun 1963 di Kg. Ladang dan
dikebumikan di kawasan perkuburan bernama Kg. Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu.

You might also like