You are on page 1of 52

NOTA SINTAKSIS

3.1 DEFINISI SINTAKSIS

Sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji proses pembinaan ayat. Sintaksis
juga bermaksud bidang yang mengkaji hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari
kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk
membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.

3.2 : POLA-POLA AYAT DASAR

Ayat dasar ialah ayat menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat lain
dalam sesuatu bahasa.

Dalam sesuatu bahasa terdapat banyak ayat yang berbeza-beza dari segi panjang
pendeknya dan jenis binaan dan susunannya. Namun, jika diteliti asas binaan ayat-ayat ini,
dapat dikesan bahawa ada beberapa pola rangka dasar ayat yang menjadi asas. Dengan kata
lain, terdapat beberapa pola rangka ayat yang mendasari ayat-ayat yang digunakan dalam
bahasa tersebut. Pola-pola rangka ayat ini disebut pola ayat dasar. Daripada pola-pola ayat
itulah terbit ayat-ayat lain, sama ada ayat tunggal atau ayat majmuk, ayat pendek atau ayat
panjang, dan ayat aktif atau ayat pasif.

Dalam bahasa Melayu, terdapat empat pola ayat dasar, iaitu yang subjeknya terdiri
daripada frasa nama (FN), frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA), dan frasa sendi nama (FS).
Secara ringkas, keempat-empat pola tersebut ditulis seperti yang berikut:

 Pola 1 - Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN)

 Pola 2 - Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK)

 Pola 3 - Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA)

 Pola 4 - Frasa Nama + Frasa Sendi Nama (FN + FS)

Berikut ialah contoh ayat yang terdiri daripada pola-pola ini:

Pola Subjek Predikat


Pola 1 FN FN
Mohd Nasir pelajar sekolah.
Bapa saudara saya pengurus syarikat tersebut.
Pola 2 FN FK
Guru itu sedang bercakap.
Surat tawaran akan dikirim tidak lama lagi.
Pola 3 FN FA
Mereka sangat rajin.
Pokok kelapa di belakang rumah tinggi sungguh.
itu
Pola 4 FN FS
Ibu pejabat kami di Kuala Lumpur
Hadiah itu untuk semua pelajar yang berjaya.
Perhatikan bahawa bahagian subjek dan predikat boleh terdiri daripada satu perkataan
(misalnya, mereka ) atau deretan beberapa perkataan (misalnya, pengurus syarikat
tersebut ), asalkan binaan-binaan itu berbentuk frasa.

3.3 : JENIS-JENIS FRASA

Frasa ialah unit yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi
sekurang-kurangnya dua perkataan, atau satu perkataan yang berpotensi untuk diperluas
menjadi dua perkataan atau lebih. Subjek dan predikat terdiri daripda frasa. Dalam bahasa
Melayu, terdapat empat frasa iaitu:

1. frasa nama
2. frasa kerja
3. frasa adjektif, dan
4. frasa sendi nama

Tiga daripada frasa-frasa ini bersifat endosentrik, iaitu frasa nama, frasa kerja, dan
frasa adjektif. Frasa endosentrik ialah frasa yang mempunyai satu unsur inti yang dapat
mewakili keseluruhan frasanya. Unsur inti frasa nama ialah kata nama, unsur inti frasa kerja
ialah kata kerja, dan unsur inti frasa adjektif ialah kata adjektif.

Frasa keempat, iaitu frasa sendi nama, bersifat eksosentrik, iaitu frasa yang tidak
mempunyai satu unsur inti yang dapat mewakili keseluruhan frasanya. Frasa sendi nama
mengandungi dua unsur wajib, iaitu kata sendi nama diikuti oleh kata nama atau frasa nama.

3.3.1 : FRASA NAMA

Frasa nama ialah frasa yang kata intinya terdiri daripada kata nama, kata nama
terbitan, atau kata ganti nama.

Contohnya dalam ayat:

1. Ahmad sedang tidur.


2. Sungguh cantik pemandangan itu.
3. Mereka belum tiba lagi.

Frasa nama boleh terdiri daripada kata inti yang didahului oleh beberapa unsur lain,
iaitu kata bilangan, penjodoh bilangan dan gelaran. Kata inti dalam frasa nama juga boleh
diikuti oleh kata penentu (ini dan itu) dan oleh unsur penerang.

Berikut ialah beberapa contoh :


1 Kata bilangan (bil.) + kata nama (kn) inti

Para pelajar
Semua tetamu

2 Kata bil. + penjodoh bilangan + kn inti

Beberapa orang peserta

Setiap buah rumah

3 Kata bil + penjodoh + gelaran + kn inti

lima orang Datuk Pengarah

beberapa orang Puan Sri Pengerusi

4 Kn inti + kata penentu (kpent)

pekerja itu

sekolah ini

5 Kn inti + unsur penerang (pen) + kpent

Bilik persidangan itu

Bapa murid ini

6 Kata bil. + penjodoh + kn inti + pen + kpent

Tiga buah rumah pangsa itu

Beratus-ratus ekor burung merpati ini

Binaan Kata Nama Inti

Satu kata nama merupakan unsur inti atau unsur utama dalam frasa nama. Kadang-
kadang unsur inti ini boleh hadir dalambentuk deretan dua kata nama. Contohnya : guru
sekolah, kasut getah, pemandu teksi, jalan tengah, sarung kaki, kipas elektrik, sawah ladang,
dan lelaki perempuan.
Beberapa contoh lain :

1 Bapa saudara saya guru sekolah


2 Sepasang kasut getah terletak di dinding
3 Oleh sebab peperangan itu, semua sawah ladang terbiar.

Pada amnya terdapat dua jenis hubungan antara deretan kata nama yang hadir
sebagai unsur inti frasa nama. Yang pertama ialah unsur inti yang diikuti oleh penerang,
misalnya guru sekolah, kasut getah dan tali pinggang. Dalam guru sekolah, unsur inti ialah
guru ; sekolah merupakan unsur yang menerangkan guru, iaitu tempat dia menjadi guru.
Demikianlah juga dengan kasut getah; getah menerangkan jenis kasut. Dalam tali pinggang ;
pinggang menerangkan di mana tali itu digunakan.

Sebahagian besar daripada binaan frasa nama yang terdiri daripada deretan kata
nama mempunyai binaan ini, iaitu kata nama inti diikuti oleh unsur penerang.

Jenis yang kedua ialah yang kedua-dua kata nama dalam deretan itu sama-sama
mendukung makna, iaitu binaan inti + inti. Tidak ada unsur penerang dalam binaan ini.

Contohnya : tubuh badan, sawah ladang, kerusi meja dan datuk nenek.

Perhatikan bahawa dalam dua contoh pertama di atas, kedua-dua perkataan


membawa maksud yang sama. Dua contoh lagi ialah rakan taulan dan hutan rimba. Dua
contoh terakhir pula membawa maksud lawan erti. Dua contih tambahan ialah saudara
saudari dan abang adik.

Unsur Penerang Inti Bukan Nama

Frasa nama juga boleh terbentuk daripada unsur inti yang menerima penerang bukan
daripada jenis kata nama. Antaranya :

1 Penerang kata adjektif


2 Penerang frasa sendi nama, dan
3 Penerang bilangan ordinal.

Beberapa contoh :

1 Inti + penerang kata adjektif

Bulan terang

Rumahharam

Sekolah rendah

2 Inti + penerang frasa sendi nama

rumah di kampung

surat daripada sahabat pena


lawatan ke Muzium Negara

3 Inti + penerang bilangan ordinal

Tempat pertama

Bab ketiga

Pelawat keseribu

Hukum D-M

Apabila menghuraikan binaan frasa nama, peraturan atau hukum D-M merupakan satu
peraturan yang mesti difahami. D bermaksud diterangkan, manakala M bermaksud
menerangkan. Dalam peraturan ini, unsur yang diterangkan (D) merupakan unsur inti yang
hadir pada kedudukan pertama dan unsur yang menerangkan (M) ialah unsur penerang yang
hadir pada kedudukn yang kedua.

Contohnya:

 guru bahasa
 baju kemeja
 klinik gigi
 askar Melayu

Namun begitu, terdapat beberapa kekecualian terhadap hukum D-M ini. Antaranya:

Kekecualian Akibat Kebiasaan

Dalam nama-nama jawatan tertentu, berlaku kekecualian terhadap hukum D-M, iaitu yang
berupa M-D dan tidak M-D.

Contohnya:

 perdana menteri
 timbalan menteri
 naib presiden
 naib canselor
 pembantu penyelidik
 ibu pejabat

Kata Bilangan

Dalam bahasa Melayu, kata bilangan dan penjodoh bilangan hadir di hadapan kata inti dan
tidak sebaliknya.

Contohnya :

 semua pasukan
 segala cadangan
 dua orang calon
 ketiga-tiga ekor kerbau

Nama Panggilan dan Gelaran

Bagi kata nama orang dan haiwan, nama panggilan atau gelaran hadir sebelum kata inti
sebagai unsur penerang.

Contohnya:

 Puan Diana
 Tengku Mizan
 Dr. Azamudin

Peraturan Kedudukan Penerang

Dalam bahasa Melayu terdapat deretan beberapa perkataan yang hadir selepas kata nama
ini, yang tidak semuanya kata nama. Maka terdapat peraturan-peraturan tertentu tentang
kehadiran perkataan-perkataan ini,iaitu:

1. Bagi kata adjektif yang menerangkan kata inti.

Dalam hal begini, kata adjektif yang menerangkan kata inti harus hadir sesudah kata inti,
diikuti oleh penerang lain, dan seterusnya kata penentu, yang merupakan unsur terakhir
dalam frasa nama.

Contohnya :

FRASA NAMA

Inti Penerang Kata Penerang Kata Nama Kata Penentu


Adjektif

pejabat lama persatuan itu

pegawai tinggi tentera -

pintu besar asrama ini

keluaran kasar negara itu

Walau bagaimanapun, sekiranya kata adjektif yang bertugas sebagai penerang kepada
kata inti yang berbentuk kata majmuk, maka kata adjektif itu hadir selepas kata majmuk.

Contohnya:

Kata Inti Majmuk Penerang Adjektif

pasaran sekuriti lengkap

zon ekonomi eksklusif


margin untung kasar

modal pulangan sama

2. Bagi unsur penerang yang juga merupakan binaan frasa tersendiri

Terdapat juga keadaan unsur penerang terdiri daripada frasa tersendiri, iaitu mempunyai
unsur-unsur inti dan penerang sendiri. Dalam keadaan demikian, unsur penerang itu
menerangkan unsur inti yang ada pada frasa penerang dan bukan menerangkan unsur inti
bagi frasa nama.

Perhatikan frasa berikut:

pejabat lama pengurus syarikat itu

Dalam frasa di atas, unsur inti ialah pejabat, dengan lama sebagai penerang adjektif.
Pengurus syarikat ialah sebuah frasa yang menerangkan pejabat, tetapi yang terdiri daripada
binaan sendiri, iaitu pengurus sebagai unsur inti dan syarikat sebagai penerang kepada
pengurus. Itu adalah kata penentu bagi seluruh frasa nama pejabat lama pengurus syarikat.
Secara rajah, hubungan antara kelima-lima perkataan ini dapat digambarkan seperti yang
berikut:

pejabat lama pengurus syarikat

Contoh-contoh lain frasa nama seperti ini ialah:

 pegawai tinggi tentera darat itu


 kotak hitam pesawat Boeing itu
 kereta baharu abang pelajar itu
 pintu besar asrama puteri itu

*perhatian : Bagi (1) – (4), cuba buat rajah seperti frasa pejabat lama pengurus syarikat itu
di atas

Selain hubungan antara perkataan dalam unsur frasa nama itu diperlihatkan dalam bentuk
rajah, hubungan yang sama dapat juga digambarkan melalui jadual seperti yang berikut:

pakaian kain kapas buatan Malaysia ini


Dalam frasa ini, unsur inti ialah pakaian, manakala dua frasa penerang ialah kain
kapas dan buatan Malaysia. Ini ialah kata penentu yang hadir pada akhir frasa nama. Gambar
rajah berikut menunjukkan hubungan antara unsur inti dengan frasa-frasa penerangnya :

pakaian kain kapas buatan Malaysia ini

Contoh-contoh bagi binaan yang sama ialah :

 rumah harga murah binaan kerajaan


 guru sekolah menengah lepasan universiti
 penghuni rumah pangsa keturunan India itu
 pegawai pangkat tinggi tentera laut ini

Dari segi jadual, hubungan antara unsur inti dengan frasa-frasa penerangnya adalah
seperti yang berikut:

FRASA NAMA

Inti Penerang I (Frasa) Penerang II (Frasa) Kata

Inti Penerang Inti Penerang Penentu

1. pakaian kain kapas buatan Malaysia ini


2. rumah
3. guru kos rendah binaan kerajaan -
4. penghuni
5. pegawai sekolah menengah lepasan universiti -
keturunan
rumah pangsa India itu
tentera
pangkat tinggi laut ini

3. Bagi dua frasa nama yang hadir serentak


Dalam bahasa Melayu, dua frasa nama boleh wujud serentak, iaitu dengan unsur yang
pertama dan kedua merujuk benda serupa.

Sebagai contoh, perhatikan ayat berikut:

Sebuah jentera kecil, alat pendingin udara, terpasang di dinding itu.


Dalam ayat ini, yang bercetak tebal ialah frasa nama subjek ayat. Frasa nama ini
terdiri daripada dua frasa nama, iaitu (a) sebuah jentera kecil dan (b) alat pendingin udara,
yang berasama-sama membentuk satu frasa nama yang lebih besar, bertugas sebagai subjek
ayat.

Contoh-contoh yang lain ialah :

1. Sepinggan nasi goreng, pengalas perut kosong, terhidang di atas meja.

2. Seorang pemuda cina, pemenang pertama peraduan itu, tampil ke hadapan.

Kedudukan Frasa Nama Dalam Ayat

Frasa nama dapat menduduki tiga tempat dalam ayat, iaitu :

1. sebagai subjek ayat


2. sebagai predikat ayat
3. sebagai unsur dalam frasa sendi nama, dalam subjek dan juga predikat ayat.

Beberapa contoh :

1. Sebagai subjek ayat


a) Ustaz Khairuddin sedang mengajar
b) Saya tidak akan menghampakan harapan ibu bapa saya.
c) Setiap batang jalan di kawasan tersebut dikawal oleh tentera

2. Sebagai predikat ayat


a) Ayahnya pengurus syarikat itu.
b) Mereka pelajar sekolah menengah.
c) Isteri Encik Ali pegawai kanan di syarikat itu.

3. Sebagai unsur dalam frasa sendi nama


a) Dalam subjek
 Pemandangan di kawasan pergunungan itu sungguh cantik.
 Surat daripada ayah saudaranya disampaikan segera kepadanya.

b) Dalam predikat
 Pelajar-pelajar itu tiba dengan kereta api laju.
 Setiap petang pemuda itu selalu duduk di tepi tasik.

3.3.2 : FRASA KERJA

Frasa kerja ialah binaan yang boleh terdiri daripada satu perkataan ataul lebih yang kata inti
atau kata utamanya terdiri daripada kata kerja.

Contoh frasa kerja :

 Anak kecil itu menangis.


 Mereka sedang berbual-bual di beranda rumah.
 Adik saya suka makan nasi goreng.
Terdapat dua jenis frasa kerja, iaitu:

a) Frasa kerja tak transitif, dan


b) Frasa kerja transitif

Frasa Kerja Tak Transitif

Frasa kerja tak transitif ialah frasa kerja yang tidak mengandungi objek, iaitu yang kata
kerjanya tidak perlu disambut oleh sesuatu frasa nama sebagai objek untuk
melengkapkannya.

Contohnya :

1 Kanak-kanak itu menangis.


2 Rombongan pengantin laki-laki belum tiba lagi
3 Mereka sedang berdiskusi di dewan besar.

Perhatikan bahawa dalam setiap frasa kerja, kata intinya terdiri daripada kata kerja, iaitu
menangis dalam ayat (1), tiba dalam ayat (2), dan berdiskusi dalam ayat (3). Walaupun
kata-kata kerja tersebut tidak diikuti oleh frasa nama sebagai objek, unsur-unsur lain tidak
dapat hadir, misalnya kata bantu (belum dan sedang) dan unsur keterangan (lagi dan di
dewan besar).

Terdapat tiga frasa kerja tak transitif dalam bahasa Melayu, iaitu :

1 Frasa yang kata kerja tak transitif yang tidak diberi unsur pelengkap
2 Frasa yang kata kerja tak transitif yang menerima pelengkap sesudahnya
3 Frasa yang kata kerja tak transitif yang dapat diikuti oleh kata nama sebagai penerang

Frasa Kerja Tak Transitif Tanpa Pelengkap

Ayat dengan frasa jenis ini terdiri daripada kata kerja tak transitif yang hadir bersendirian,
yakni tidak memerlukan apa-apa unsur pelengkap.

Contohnya :

1 Pasukan sekolah kami menang.


2 Bendera-bendera berkibaran
3 Dia tersenyum

Contoh-contoh lain : bangun, tumbang, pulang, terpegun, menguning, memberontak, dan


tercenggang.

Frasa Kerja Tak Transitif dengan Pelengkap

Frasa kerja jenis ini ialah frasa kerja yang mengandungi kata kerja tak transitif yang
mengandungi kata kerja tak transitif yang tidak mempunyai makna lengkap sekiranya tidak
diikuti oleh unsur pelengkap.

Contohnya :
Keadaannnya menjadi genting

Dalam ayat ini kata kerjanya ialah menjadi sementara genting ialah pelengkap. Unsur
pelengkap ini bukan objek ayat kerana ayat ini tidak boleh dipasifkan. Ini merupakan satu
ukuran sesuatu ayat itu mengandungi kata kerja transitif atau tak transitif. Hanya ayat yang
mengandungi kata kerja transitif (yang diikuti oleh objek) boleh dipasifkan.

Tiga jenis unsur boleh menjadi pelengkap kata kerja tak transitif, iaitu :

1. Kata adjektif
Contohnya :

a) Kesihatan ibunya beransur baik.


b) Ayah menasihati kami supaya jangan berbuat jahat.
c) Orang kampung itu masih tinggal miskin.

2. Frasa sendi nama


Contohnya :

a) Pesawat itu singgah di Kota Kinabalu.


b) Selama tiga tahun mereka bermastautin di kampung itu.
c) Keretanya membelok ke kanan.

3. Kata nama
Contohnya :

a) Pengemis itu berbantalkan lengan.


b) Pokok padi Wan Empuk berbantalkan tembaga.
c) Adik saya menjadi kerani.
d) Lelaki itu ada harta.

Frasa Kerja Tak Transitif dengan Kata Nama Sebagai Penerang

Frasa kerja jenis ini ialah frasa kerja tak transitif yang menerangkan kata nama bukan
sebagai pelengkap, tetapi sebagai penerang kepada kata kerja. Bezanya ialah, tidak seperti
pelengkap, unsur penerang boleh ditiadakan tanpa merosakkan kesempurnaan makna kata
kerja.

Contohnya :

1 Budak laki-laki itu berseluar jean.


2 Penduduk kampung itu bersawah padi.
3 Kami belajar bahasa Arab.

Contoh-contoh lain ialah :

berbaju Melayu berkedai kopi berkebun kelapa

bermain bola berjaja kain berniaga ayam

Frasa Kerja Transitif


Frasa kerja transitif ialah frasa kerja yang terdiri daripada kata kerja transitif sebagai
intinya dan kata nama atau frasa nama yang mengikutinya sebagai objek atau penyambut.

Contohnya :

1 Mereka sedang makan nasi goreng.


2 Ibu menghidangkan secawan kopi.
3 Pemburu menembak harimau itu dengan senapangnya.

Ayat-ayat yang mengandungi frasa kerja transitif (yakni yang mempunyai frasa nama
objek selepas kata kerja) boleh dipasifkan. Ayat (1a) – (3a) di bawah ialah ayat (1) – (3) di
atas yang telah dipasifkan.

1 (a) Nasi goreng sedang dimakan oleh mereka.

2 (a) Secawan kopi dihidangkan oleh ibu.

3 (a) Harimau ditembak oleh pemburu dengan senapangnya.

Frasa kerja transitif dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:

1 Frasa kerja dengan satu objek, dan


2 Frasa kerja dengan dua objek

Frasa Kerja Dengan Satu Objek

Frasa kerja jenis ini ialah frasa kerja yang diikuti hanya oleh satu objek.

Contohnya :

1 Projek itu telah membasmi kemiskinan


2 Pihak berkuasa cuba menenangkan suasana
3 Kami mengikuti segala arahan ketua pasukan kami.

Frasa Kerja dengan Dua Objek

Frasa kerja dengan kata kerja transitif sebagai kata intinya boleh mengandungi dua frasa
nama sebagai objek kepada kata kerja. Kedua-dua objek tersebut mempunyai fungsi yang
berbeza-beza yang disebut objek tepat, dan objek sipi.

Sebagai contoh, diperturunkan beberapa ayat yang mengandungi kata kerja dengan
dua objek. Objek yang hadir selepas sahaja kata kerja, bercetak tebal, ialah objek tepat .

1 Ibu menjahitkan adik sehelai baju


2 Ali mencarikan isterinya yang sedang hamil buah nangka muda
3 Mereka menghadiahi guru mereka sejambak bunga pada Hari Guru.
* perhatian : Ketiga-tiga ayat di atas boleh ditukar susunannya, tanpa mengubah makna
ayat, dengan bentuk kata kerja.

1 (a) Ibu menjahit sehelai baju untuk adik


2 (a) Ali mencari buah nangka muda untuk isterinya yang sedang hamil.
3 (a) Mereka menghadiahkan sejambak bunga kepada guru mereka pada
Hari Guru.

Walaupun makannya tidak berubah, binaan atau struktur ayat telah berubah. Kini,
tidak lagi terdapat dua objek. Dalam setiap ayat, yang tinggal hanya satu objek (yang
dicetak tebal); yang mengikutinya bukan lagi frasa nama objek, tetapi frasa sendi nama.

Frasa Kerja dengan Kata Bantu

Dalam frasa kerja, kata intinya, iaitu kata kerja, lazimnya didahului oleh kata bantu. Fungsi
kata bantu adalah untuk menerangkan kata kerja dari dua sudut makna, iaitu:

1. sebagai kata bantu aspek, yang menerangkan aspek waktu bagi kata kerja, dan
2. sebagai kata bantu ragam yang menerangkan ragam perasaan bagi kata kerja.

Kata Bantu Aspek

Kata bantu aspek ialah kata bantu yang menerangkan waktu pada kerja yang dilakukan.
Terdapat tiga jenis aspek atau waktu, iaitu sama ada sudah, sedang, atau belum dilakukan.

Contoh kata bantu aspek :

Sudah dilakukan Sedang dilakukan Belum dilakukan

sudah sedang belum

baru masih akan

pernah

Dalam bahasa Melayu, kata bantu aspek tertentu boleh hadir berderetan.

Contohnya :

 belum pernah
 masih belum
 sudah pernah
 telah pernah
 masih sedang

Contoh penggunaan frasa kerja dengan kata bantu aspek :

1. Saya telah membaca buku cerita itu.


2. Pelajar-pelajar itu masih menunggu keputusan ujian tersebut.
3. Mereka belum pernah mendengar nama pengarang itu.

Kata Bantu Ragam

Kata bantu ragam ialah kata bantu yang menerangkan suasana perasaan sesuatu
perbuatan itu dilakukan. Antara kata bantu ragam dalam bahasa Melayu ialah:

 Hendak
 Mahu
 Harus
 Mesti
Contoh penggunaan frasa kerja dengan kata bantu ragam:

1. Abdul Hadi hendak meneruskan pelajarannya hingga universiti.


2. Anda mesti belajar bersungguh-sungguh untuk peperiksaan ini.
3. Dia mesti mahu memiliki bunga itu kerana keharumannya.

Kata bantu aspek tertentu boleh juga hadir bersama-sama kata bantu ragam secara
berderetan, baik secara mendahului atau mengikutinya.

Contohnya :

1. Kata bantu aspek + kata bantu ragam


 belum hendak
 belum dapat
 sedang hendak
 akan dapat
 belum boleh
*Perhatian : kata bantu aspek tertentu boleh juga hadir bersama-sama kata bantu ragam
secara berderetan, baik secara mendahului atau mengikutinya.

Contohnya :

1. Kata bantu aspek + kata bantu ragam

belum hendak belum dapat sedang hendak akan dapat belum boleh

Contoh dalam ayat:

a) Kanak-kanak itu belum hendak mandi lagi.


b) Walaupun sudah pukul dua pagi, dia belum dapat tidur.

2. Kata bantu ragam + Kata bantu aspek


 mesti akan
 harus sudah
 mesti sudah
 harus telah
 mesti telah

Contoh dalam ayat :


a) Pelawat-pelawat itu mesti akan datang lagi.
b) Penghuni rumah pangsa itu mesti telah tidur.

Frasa Kerja dengan Ayat Komplemen

Frasa kerja, sama ada jenis tak transitif atau transitif, boleh menerima ayat komplemen.
Apabila ini berlaku, ayat yang terbentuk ialah ayat majmuk. Berikut ialah contoh-contoh ayat
yang mengandungi frasa kerja dengan ayat komplemen.

Frasa Kerja Transitif dengan Ayat Komplemen

1. Polis telah melaporkan bahawa satu kecurian berlaku di kawasan tesebut.


2. Laporan itu menyebut bahaw keadaan lalu lintas telah terkawal.

Frasa Kerja Tak Transitif dengan Ayat Komplemen

1. Kami semua beranggapan bahawa masalah itu dapat diselesaikan dengan aman.
2. Pegawai itu tahu bahawa kejayaan projek tersebut terjamin.

Unsur Keterangan dalam Frasa Kerja

Frasa kerja boleh disertai unsur keterangan, yang fungsinya memberi keterangan lanjut
tentang kata kerja. Dalam frasa kerja tak transitif, unsur keterangan hadir selepas kata kerja.
Dalam frasa transitif pula, unsur keterangan hadir selepas objek.

Dari segi struktur binaannya, unsur keterangan terdiri daripada frasa sendi nama,
frasa adjektif dan frasa nama. Beberapa contoh ayat dengan frasa kerja dan unsur-unsur
keterangan :

1. Sungai itu mengalir dengan lesunya.


2. Burung itu terbang sangat tinggi.
3. Rombongan pelancong itu tiba malam tadi.

Jenis-jenis Keterangan

Dari segi makna, frasa keterangan yang hadir dalam frasa kerja terdiri daripada lapan jenis.

1. Keterangan tempat atau arah.


Binaannya frasa sendi nama dengan kata-kata sendi nama di, ke, daripada, kepada, dan
pada. Fungsinya menyatakan tempat terjadinya peristiwa atau keadaan. Contohnya :

a) Pada ketika itu saya bekerja di Kuala Lumpur.


b) Tembakannya kena pada sasarannya.
c) Hadiah tersebut diterima daripada teman karibnya.

2. Keterangan waktu
Terdapat dua bentuk keterangan waktu. Yang pertama berbentuk frasa sendi nama yang
mengandungi kata sendi nama pada, dalam, sejak, dan hingga. Yang kedua ialah frasa
nama, misalnya semalam dan dua dekad lalu.

Contohnya :
a) Tugasnya bermula pada pukul 9.00 pagi.
b) Kesihatannya terganggu sejak peristiwa itu.
c) Peristiwa itu berlaku dua dekad lalu.

3. Keterangan cara
Terdapat dua bentuk keterangan cara. Yang pertama terdiri daripada kara adjektif. Yang
kedua terdiri daripada frasa sendi nama yang mengandungi kata sendi nama dengan
diikuti oleh kata adjektif yang menerima kata pembenda –nya. Contohnya:

a) Kereta api itu bergerak laju.


a) (i) Kereta api itu bergerak dengan lajunya.

b) Sungai itu mengalir tenang.


b) (i) Sungai itu mengalir dengan tenangnya.

4. Keterangan tujuan atau harapan


Binaannya frasa sendi nama dengan kata-kata sendi nama demi, untuk dan bagi.
Fungsinya menerangkan perbuatan atau kejadian.

Contohnya :

a) Kita bertindak demi kesejahteraan kampung kita.


b) Mereka mengambil keputusan itu untuk kebaikan semua pihak.
c) Projek itu dilaksanakan bagi kepentingan rakyat jelata.

5. Keterangan alat
Binaannya frasa sendi nama dengan kata-kata sendi nama dengan. Fungsinya
menerangkan perkakas atau benda yang digunakan.

Contohnya:

a) Ibu memotong roti dengan pisau.


b) Mereka bertolak dengan kereta api pagi.
c) Saya hendak pergi ke sekolah dengan bas.

6. Keterangan penyertaan.
Binaannya frasa sendi nama dengan kata-kata sendi nama tentang, mengenai, dan
terhadap. Fungsinya menyatakan maksud ikut bersama-sama.

Contohnya :

a) Semua peserta kursus berbincang tentang tajuk yang sama.


b) Saya ingin bertanya mengenai perkara tersebut.
c) Guru Besar membuat teguran terhadap kelakuan mereka.

7. Keterangan hal
Binaannya frasa sendi nama dengan kata-kata sendi nama seperti tentang, mengenai, dan
terhadap.

Contohnya :
a) Mereka sedang berbincang tentang perkara itu.
b) Jawatankuasa membuat teguran terhadap hal itu.

8. Keterangan perbandingan
Binaannya frasa sendi nama dengan kata-kata sendi nama seperti, bagai, sebagai, dan
bak. Fungsinya menerangkan keserupaan.

Contohnya:

a) Lelaki itu selalu berlagak seperti orang kaya.


b) Saudara perempuan tua mereka berperanan sebagai ibu mereka.
Kesimpulan Tentang Frasa Kerja.

Frasa kerja sangat kompleks binaannya. Sebahagian daripada kompleksitinya terbit daripada
sifat-sifat yang ada pada kata kerja yang menjadi inti frasa kerja. Sebahagian lagi terbit
daripada binaannya, yang terdiri daripada unsur-unsur tertentu.

Berikut ialah gambar rajah binaan frasa kerja dalam bahasa Melayu, menunjukkan
unsur-unsur binaannya. Tidak semua unsur hadir dalam setiap frasa kerja.

Teliti rajah ini.

Kata kerja transitif Objek Ayat

Kata bantu + + Komplemen + Keterangan

Kata kerja tak transitif Pelengkap Ayat

Komplemen

Berikut ialah beberapa contoh frasa kerja berdasarkan gambar rajah di atas.

1. kata bantu + kk transitif + objek


sedang membaca buku

belum membeli baju itu

2. kata bantu + kk transitif + ayat komplemen


akan melaporkan bahawa kerja itu telah selesai

hendak menceritakan bahawa anaknya telah selamat sampai

3. kata bantu + kk transitif + pelengkap


masih berada di Kuantan

telah beransur pulih


4. kata bantu + kk transitif + keterangan
sedang tidur di dalam buaian

belum pulang dari tempat kerja

3.3.3 : FRASA ADJEKTIF

Frasa adjektif ialah susunan perkataan yang terdiri daripada satu perkatan atau lebih yang
mengandungi kata adjektif atau kata sifat sebagai kata intinya.

Contoh frasa adjektif dalam ayat :

1. Pelajar itu sangat pandai


2. Anaknya masih kecil lagi.
3. Rumahnya jauh dari sini.

Binaan Frasa Adjektif

Binaan frasa adjektif dapat dilihat dari pelbagai sudut.

Antaranya :

1. Jumlah perkataan dalam frasa


2. Kata penguat
3. Kata bantu

Jumlah Perkataan Dalam Frasa Adjektif

Inti frasa adjektif ialah kata adjektif. Bahagian ini pula terdiri daripada dua jenis, iaitu:

1. Binaan satu perkataan dan


2. Binaan dua perkataan.
1. Binaan satu perkataan
Binaan ini terdiri daripada satu kata adjektif.

Contohnya :

a) Pelajar-pelajar itu rajin.


b) Warna baju mereka biru.
c) Hati mereka cemas.

Contoh-contoh di atas terdiri daripada kata tunggal. Kata adjkektif juga boleh berbentuk
kata terbitan (berimbuhan) dan kata ganda.

Contohnya :

a) Tulisan saya tidak secantik tulisan beliau.


b) Inilah karangan terbaik
c) Langit kemerah-merahan pada waktu senja.
d) Perangai orang itu kebarat-baratan.
2. Binaan dua perkataan.
Binaan dua perkataan terdiri daripada dua jenis, iaitu binaan kata adjektif + kata adjektif
dan binaan kata adjektif + kata nama.

a) Binaan kata adjektif + kata adjektif


Terdapat tiga jenis binaan frasa adjektif yang terdiri daripada kata adjektif diikuti oleh
kata adjektif.

i. Yang pertama ialah dua kata adjektif yang menekankan unsur keserasian makna.
Contohnya :
 riang gembira
 baik buruk

ii. Yang kedua ialah dua kata adjektif yang maknanya berlainan.
Contohnya :
 tua muda
 miskin kaya
 baik buruk

iii. Yang ketiga ialah deretan dua kata adjektif dengan perkataan kedua digunakan
oleh sebab unsur rima, yakni keindahan bunyi.
Contohnya :
 tinggi lampai
 gemuk gedempol
 kaya raya

b) Binaan kata adjektif + kata nama


Terdapat dua jenis binaan frasa adjektif yang terdiri daripada kata adjektif diikuti oleh
kata nama.

i. Yang pertama ialah frasa adjektif yang membawa maksud keserupaan.


Contohnya :
 merah jambu
 hijau daun
 kuning langsat
 jinak-jinak merpati

ii. Yang kedua ialah frasa adjektif yang membawa maksud kiasan.
Contohnya :
 panjang tangan
 terang hati
 rabun ayam
 banyak mulut
 tua keladi

Kata Penguat dalam Frasa Adjektif

Frasa adjektif boleh terdiri daripada kata inti (kata adjektif) yang disertai kata penguat.
Terdapat tiga jenis kata penguat, iaitu :

1. kata penguat hadapan


2. kata penguat belakang, dan
3. kata penguat bebas.

1. kata penguat hadapan hadir di hadapan kata adjektif.


Contohnya :
 terlalu besar
 paling panjang
 agak manis

2. kata penguat belakang hadir selepas kata adjektif.


Contohnya :
 baik sekali
 lambat benar
 indah nian

3. kata penguat bebas pula bebas kedudukannya, iaitu sama ada di hadapan atau di
belakang kata adjektif.
Contohnya :
 amat segar / segar amat
 sungguh lincah / lincah sungguh
 sangat berani / berani sangat

Dua kata penguat boleh hadir berderetan sebelum kata adjektif.

Contohnya :

 sungguh amat pahit


 sungguh kurang sopan
 terlalu amat kencang
* perhatian : Dua kata penguat boleh hadir berderetan sebelum kata adjektif.

Contohnya :

Sungguh amat pahit Sungguh kurang sopan Terlalu amat kencang

Kata Bantu dalam Frasa Adjektif

Frasa adjektif boleh juga terdiri daripada kata adjektif yang disertai kata bantu. Contohnya :

 sudah besar
 belum lama
 masih kecil
Ada kata bantu tertentu yang boleh hadir sebelum atau sesudah kata penguat, Contohnya :

1. Kata Bantu Kata Penguat Kata Adjektif

masih amat kecil

belum terlalu jauh

belum pandai sangat


Kata Penguat Kata Bantu Kata Adjektif

sungguh masih kuat

tentu sudah besar

telah segar benar

Kedudukan Frasa Adjektif dalam Ayat

Dalam ayat bahasa Melayu, frasa adjektif boleh hadir dalam tiga kedudukan, iaitu:

1. sebagai predikat ayat


2. selepas frasa kerja sebagai keterangan, dan
3. selepas frasa nama sebagai penerang.

Frasa Adjektif Sebagai Predikat Ayat.

Frasa adjektif sebagai predikat ayat hadir selepas subjek, mengikut pola ayat dasar FN + FA.

Contohnya :

1. Adik saya masih kecil.


2. Badan gadis itu tinggi lampai.

Frasa Adjektif Sebagai Keterangan

Frasa adjektif boleh juga hadir dalam predikat, iaitu selepas frasa kerja, dan berfungsi
sebagai keterangan.

Contohnya :

Subjek Predikat

Frasa Kerja Frasa Adjektif Sebagai Keterangan

1. Burung itu terbang tinggi


2. Panggilan
telefonnya dibuat amat kerap
3. Para atlet itu
bergerak cepat sekali

Frasa Adjektif Sebagai Penerang Kata Nama

Frasa adjektif boleh juga hadir di mana-mana dalam ayat dalam frasa nama, sebagai
penerang kepada kata nama.
Contohnya :

1. Pelajar baharu itu dari Melaka.


2. Malam itu dia menaiki kereta api laju.
Unsur Keterangan dalam Frasa Adjektif

Dalam frasa adjektif, unsur keterangan boleh hadir sesudah kata adjektif.

Contohnya :

1. Minggu lalu dia sibuk dengan pekerjaannya.


2. Belia itu pandai dalam semua acara.

Dari segi makna, keterangan bagi kata adjektif boleh digolongkan ke dalam sembilan
golongan seperti berikut:

1 Keterangan cara
a) Minggu lalu dia sibuk dengan pekerjaannya.
b) Anak itu sakit dengan tiba-tiba

2 Keterangan bandingan
a) Suaranya merdu seperti buluh perindu
b) Pujukannya manis bagai gula.

3 Keterangan hal atau keadaan.


a) Sejak peristiwa itu, mereka melarat dalam kemiskinan
b) Bapa tua itu sibuk dengan anak-anaknya yang masih kecil.

4 Keterangan tujuan
a) Dia berhati-hati demi kesejahteraan orang ramai
b) Kita mesti bersih untuk kesihatan diri.

5 Keterangan kekerapan
a) Peserta-peserta kursus itu jarang-jarang lewat.
b) Ibu muda itu sakit selalu

6 Keterangan terhadap
a) Anak itu amat rindu akan ibunya
b) Kita harus cinta akan tanah air kita

7 Keterangan musabab

a) Kami letih kerana kurang tidur


b) Budak itu malas oleh sebab keletihan.

8 Keterangan waktu

a) Adik saya masih kecil pada waktu itu.


b) Kami akan mahir dalam masa sebulan.
9 Keterangan tempat

a) Buah nanas itu manis pada bahagian pangkalnya.


b) Badan saya sakit pada bahagian bahu.

Frasa Adjektif dan Ayat Komplemen.

Frasa adjektif sebagai predikat dapat diikuti oleh ayat komplemen. Apabila ini berlaku, ayat
yang terbentuk ialah ayat majmuk.

Contohnya :

a) Kami semua sedar bahawa kami perlu berusaha untuk berjaya.


b) Pekerja itu yakin bahawa masa depannya di firma tersebut cerah.
c) Mereka insaf bahawa perlakuan mereka kurang baik.

3.3.4 : FRASA SENDI NAMA.

Frasa sendi nama ialah binaan ayat yang terdiri satu kata sendi nama dan satu frasa
nama yang menjadi pelengkap kepada kata sendi nama itu.

Frasa sendi nama merupakan salah satu daripada empat frasa yang menjadi predikat
ayat. Berbeza dengan frasa-frasa predikat lain, frasa sendi nama bersifat eksosentrik.

Frasa eksosentrik ialah frasa yang tidak mempunyai satu unsur inti yang dapat
mewakili keseluruhan frasanya. Sebaliknya, frasa sendi nama mengandungi dua unsur wajib,
iaitu kata sendi nama diikuti oleh frasa nama.

Binaan Frasa Sendi Nama

Frasa sendi nama boleh terbentuk daripada salah satu binaan berikut, iaitu:

1 Kata sendi nama + frasa nama


2 Kata sendi nama + (kata arah) + frasa nama, dan
3 Kata sendi nama + (kata arah) + frasa nama + (frasa keterangan)

Kata Sendi Nama + Frasa Nama

Dalam binaan ini, kata sendi nama hadir di hadapan frasa nama.

Contohnya:

Frasa Sendi Nama

Kata Sendi Nama Frasa Nama

di sekolah

dari kedai buku


pada ketika itu

sejak zaman dahulu lagi

Kata Sendi Nama + (Kata Arah) + Frasa Nama

Dalam binaan ini, kata arah boleh hadir secara pilihan, antara kata sendi nama dengan frasa
nama. Oleh itu, ungkapan kata arah ditulis dalam kurungan.

Contohnya:

Frasa Sendi Nama

Kata Sendi Nama Kata Arah Frasa Nama

di belakang rumah

dari dalam laci rumah

ke utara negara itu

di penjuru dewan sekolah

Kata Sendi Nama + (Kata Arah) + Frasa Nama + (Frasa Keterangan)

Dalam binaan ini, frasa keterangan hadir, secara pilihan, selepas frasa nama.

Contohnya :

Frasa Sendi Nama

Kata Sendi Nama Kata Arah Frasa Nama Frasa Keterangan

di utara negara Jepun pada tahun lalu

dari atas rumah itu dengan rakannya

ke belakang bangunan pada setiap petang

ke penjuru tersebut dengan tepat sekali

pintu gol

Kedudukan Frasa Sendi Nama Dalam Ayat

Frasa sendi nama menduduki dua kedudukan dalam ayat, iaitu :

1 Sebagai predikat ayat


2 Sebagai unsur keterangan
Frasa Sendi Nama Sebagai Predikat

Sebagai predikat ayat, frasa sendi nama hadir selepas subjek dalam ayat.

Contohnya :

1 Encik Samad ke pejabat setiap hari.


2 Surat berdaftar ini untuk pelajar baharu
3 Panggilan telefon itu dari ibunya di kampung.

Frasa Sendi Nama Sebagai Keterangan

Frasa sendi nama sebagai keterangan boleh hadir di dalam ayat dalam tiga kedudukan, iaitu :

1 Sebagai unsur keterangan frasa kerja.


2 Sebagai unsur keterangan frasa adjektif
3 Sebagai unsur keterangan frasa nama

Beberapa contoh :

1 Frasa sendi nama sebagai keterangan frasa kerja.

a) Bas pelancong itu bertolak pada pukul tujuh pagi.


b) Mereka mendengar ceramah di Bilik Seminar 7.
c) Kami akan berbincang tentang agenda penting itu.

2 Frasa sendi nama keterangan frasa adjektif

a) Pelajar itu lulus dalam semua mata pelajaran.


b) Kita harus cekap demi kejayaan projek ini.
c) Pesakit itu selalu lapar pada sebelah pagi.

3 Frasa sendi nama keterangan frasa nama

a) Rumah di kampung itu comel-comel belaka.


b) Ayah telah membelisebuah novel oleh pengarang terkenal itu.
c) Panggilan telefon untuk Encik Ibrahim itu dari Australia.

3.4 : SUSUNAN AYAT

Ayat terdiri daripada subjek dan predikat. Dari segi susunan binaan ini, terdapat dua bentuk
susunan, iaitu

1 Susunan biasa, dan


2 Susunan songsang

3.4.1 : SUSUNAN BIASA

Susunan biasa bermaksud susunan yang subjek ayat mendahului predikatnya.

Contohnya :
1 Pemandangan di kawasan itu sungguh cantik.
2 Projek itu selesai juga akhirnya
3 Rombongan pengantin laki-laki itu belum tiba lagi.
4 Hadiah itu daripada pihak penganjur.

3.4.2 : SUSUNAN SONGSANG

Susunan songsang ialah susunan ayat yang predikatnya telah dikedepankan, iaitu mendahului
subjek. Bagi ayat (1) di atas, misalnya, susunan songsangnya ialah :

1 (a) Sungguh cantik pemandangan di kawasan itu.

Tujuan membawa predikat ke hadapan ayat, adalah untuk memberi penegasan.

Dalam bahasa Melayu, proses mendepankan predikat ayat berlaku dari dua segi,
iaitu :

1 Mendepankan seluruh predikat, dan


2 Mendepankan sebahagian daripada predikat.

Pendepanan Seluruh Predikat

Dalam proses pendepanan seluruh predikat, seluruh konstituen predikat dibawa ke hadapan
ayat, mendahului subjek.

Contohnya :

1 (a) Projek itu selesai juga akhirnya. (aktif)


(b) Selesai juga akhirnya projek itu. (songsang)

2 (a) Rombongan pengantin laki-laki belum tiba lagi. (aktif)


(b) Belum tiba lagi rombongan pengantin laki-laki. (songsang)

3 (a) Hadiah itu daripada pihak penganjur. (aktif)


(b) Daripada pihak penganjur hadiah itu. (songsang)

Pendepanan Sebahagian daripada Predikat

Bahagian-bahagian daripada predikat boleh mengalami proses pendepanan secara


berasingan, iaitu :

1 Pendepanan frasa kerja,


2 Pendepanan frasa adjektif, dan
3 Pendepanan frasa sendi nama.

1 Pendepanan frasa kerja.


Dalam proses ini, bahagian-bahagian frasa kerja, iaitu kata kerja sahaja, kata kerja
dengan objek dan kata bantu dengan kata kerja boleh mengalami proses pendepanan.

Contohnya :

A. Pendepanan kata kerja sahaja


1 (a) Wanita itu terduduk di situ.
(b) Terduduk wanita itu di situ.

2 (a) Mereka berehat di bawah pokok.


(b) Berehat mereka di bawah pokok.

B. Pendepanan kata kerja dengan objek.


I. (a) Sampah sarap itu dibakarnya
(b) Dibakarnya sampah sarap itu

II. (a) Puan Aminah membeli buku itu di pasar raya


(b) Membeli buku itu Puan Aminah di pasar raya.

C. Pendepanan kata Bantu dengan kata kerja.


I. (a) Pelajar-pelajar itu masih berlatih di dewan
(b) Masih berlatih pelajar-pelajar itu di dewan.

II. (a) Teman saya itu pernah berkunjung ke Zoo Negara


(b) Pernah berkunjung teman saya itu di Zoo Negara

2 Pendepanan frasa adjektif


Bahagian-bhagian daripada frasa adjektif boleh dihadapankan, iaitu mendahului subjek.
Bahagian-bahagian tersebut ialah kata adjektif sahaja dan kata bantu dengan kata
adjektif.

Contohnya :

A. Pendepanan kata adjektif sahaja.


l. (a) Badannya lesu sepanjang masa.

(b) Lesu badannya sepanjang masa.

ll. (a) Jawapannya betul bagi semua soalan.

(b) Betul jawapannya bagi semua soalan.

B. Pendepanan kata bantu dengan kata adjektif


l. (a) Buah mangga itu belum tentu manis.

(b) Belum tentu manis buah mangga itu.

ll. (a) Bangunan tua itu masih teguh lagi.

(b) Masih teguh lagi bangunan tua itu.


3 Pendepanan frasa sendi nama

Frasa sendi nama merupakan salah satu predikat ayat. Frasa ini boleh
dihadapankan,secara keseluruhan, apabila hadir sama ada sebagai predikat ayat atau
sebagai unsur keterangan dalam ayat.

Contohnya :

1. (a) Arahan itu daripada Ketua Pengarah.


(b) Daripada Ketua Pengarah arahan itu.

2. (a) Mereka akan bertolak pada pukul 11.00 pagi.


(b) Pada pukul 11.00 pagi mereka akan bertolak.

3. (a) Rumah kos rendah itu dibina untuk golongan berpendapatan rendah.
(b) Untuk golongan berpendapatan rendah rumah kos rendah itu dibina.

3.5 : RAGAM AYAT.

Dilihat dari sudut ragam, ayat dalam bahasa Melayu terdiri daripada ayat aktif dan ayat
pasif.

Ayat aktif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asal
sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Ayat aktif terdiri daripada ayat aktif transitif
dan ayat aktif tak transitif.

Contohnya :

1 Mereka sedang mendengar taklimat. (aktif transitif)


2 Para peserta kursus sedang berbincang mengenai hal itu. (aktif tak transitif)

Ayat pasif pula terbentuk daripada ayat aktif transitif dan mengandungi kata kerja
yang mengutamakan objek asal sebagaijudul atau unsur yang diterangkan.

Contohnya :

1 Taklimat sedang didengar oleh mereka.


2 Buku itu akan saya baca sekarang juga.

3.5.1 : PENJENISAN AYAT AKTIF

Seperti yang dijelaskan terdahulu, ayat aktif terbahagi kepada dua jenis, iaitu :

1 Ayat aktif transitif, dan


2 Ayat aktif tak transitif.

Ayat Aktif Transitif

Ayat aktif transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja taransitif, iaitu kata kerja yang
diikuti oleh frasa nama atau klausa komplemen sebagai objek atau unsur penyambutnya.

Contohnya :

1 Penyalahgunaan dadah, mengancam keselamatan negara.


2 Beliau mengesahkan bahawa surat itu telah dikirim.
3 Ibu membelikan adik sehelai baju.
4 Baginda menganugerahkan gelaran itu kepada pahlawan tersebut.

Ayat Aktif Tak Transitif

Ayat aktif tak transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif, iaitu kata kerja
yang tidak diikuti oleh objek sebagai penyambutnya. Terdapat dua jenis ayat aktif tak transitif
:

1 Ayat aktif tak transitif dengan keterangan yang boleh digugurkan, dan
2 Ayat aktif tak transitif dengan keterangan yang tidak boleh digugurkan.

1 Ayat Aktif Tak Transitif dengan Keterangan yang Boleh Digugurkan.


Ayat aktif tak transitif jenis ini ialah ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif yang
boleh mengandungi frasa keterangan secara pilihan, iaitu boleh digugurkan. Contohnya :

I. (a) Pelajar-pelajar itu sedang berlatih didewan


(b) Pelajar-pelajar itu sedang berlatih.

II. (a) Setengah-setengah belia berniaga dalam bulan puasa.


(b) Setengah-setengah belia berniaga.

2 Ayat Aktif Tak Transitif dengan Keterangan yang Tidak Boleh Digugurkan.
Ayat aktif jenis ini mengandungi kata kerja tak transitif yang mesti diikuti oleh unsur
pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap ini berfungsi sebagai
frasa keterangan yang tidak boleh digugurkan.

Contohnya :

a) Pada waktu itu dia berada di luar negeri.


* Pada waktu itu dia berada.

b) Saya bercadang untuk ke sana.


*Saya bercadang.

3.5.2 : PENJENISAN AYAT PASIF


Pada umumnya, ayat-ayat pasif dalam bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada tiga jenis,
iaitu :

1 Ayat pasif dengan imbuhan kata kerja.


2 Ayat pasif dengan kata ganti diri pertama dan kata ganti diri kedua, dan
3 Ayat pasif dengan perkataan kena yang hadir sebelum kata kerja.

Ayat Pasif dengan Imbuhan Kata Kerja Pasif

Dua imbuhan kata kerja pasif ialah di- dan ter-.

Contoh penggunaan dalam ayat :

1 Buku itu belum dibaca oleh Ali.


2 Tembok itu telah terlanggar oleh lori sampah.

Untuk ayat pasif yang menggunakan kata kerja pasif di-, kata sendi nama oleh pada binaan
oleh + FN (misalnya oleh Ali dalam ayat (1), boleh digugurkan tanpa menjejaskan makna
atau struktur ayat. Ayat (1) misalnya, boleh menjadi :

1 (a) Buku itu telah dibaca Ali.


Namun, amalan ini tidak digalakkan dalam semua ayat. Bagi ayat pasif dengan kata
kerja pasif ter-, kata sendi nama oleh tidak boleh digugurkan.

Bagi kedua-dua ayat pasif ini, bahagian binaan oleh + FN boleh juga digugurkan.

Contohnya :

1 (b) Buku itu belum dibaca.


2 (b) Tembok itu telah terlanggar.
Keadaan ini berlaku apabila unsur subjeknya hendak diberi tekanan.

Ayat pasif dengan kata kerja berawalan di- hanya digunakan dengan frasa nama objek orang
ketiga. Kata ganti nama diri orang pertama dan kedua mempunyai bentuk ayat pasif yang
berlainan.

Tidak semua kata kerja dengan awalan ter- membentuk ayat pasif. Ada juga ayat dengan
awalan ter- yang bersifat aktif.

Selain di- dan ter-, ayat pasif juga boleh dibentuk dengan kata kerja yang
mengandungi imbuhan ber- dan ke-...-an. Dalam ayat-ayat berbentuk begini, bahagian oleh
+ FN biasanya tidak diperlukan.

Contohnya :

1 Kerana kipas bilik itu rosak, kami kepanasan sepanjang hari.


2 Malam tadi kedai emas di kampung kami kecurian
3 Baju itu berjahit dengan benang sutera.
4 Surat sahabat penanya belum berjawab.

Ayat Pasif dengan Kata Ganti Nama Diri Orang Pertama dan Kedua.
Untuk ayat pasif bentuk ini, kata ganti nama diri diletakkan di hadapan kata kerja dasar. Kata
ganti diri orang pertama dan kedua boleh berbentuk kata penuh atau kata ringkas. Yang
berbentuk kata penuh adalah seperti saya, aku, engkau, awak, anda, dan kami, manakala
yang berbentuk ringkas ialah ku bagi aku dan kau bagi engkau.

Contohnya :

1 Barang itu telah saya beli semalam


2 Persetujuan beliau belum anda peroleh
3 Buku itu akan ku baca secepat mungkin
4 Hutang itu baik kaujelaskan sekarang juga.

Ayat Pasif dengan Perkataan ’Kena’

Ayat pasif jenis ini mengandungi perkataan kena di hadapan kata kerja dasar yang tidak
menerima awalan. Binaan oleh + FN boleh secara pilihan digugurkan.

Contohnya :

1 Pencuri itu kena tangkap (oleh polis)


2 Budak-budak nakal itu kena kejar (oleh anjing)
3 Pemandu itu kena saman (oleh pegawai lalu lintas)

3.6 : JENIS-JENIS AYAT

Dalam bahasa Melayu terdapat empat jenis ayat, iaitu:

1 Ayat penyata
2 Ayat tanya
3 Ayat perintah, dan
4 Ayat seruan.

3.6.1 : AYAT PENYATA

Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan membuat satu penyataan. Ayat penyata
mempunyai tujuan mengatakan atau memberi keterangan tentang sesuatu hal. Ayat jenis ini
disebut juga ayat berita atau ayat keterangan.

Contohnya :

1 Kakak ipar mereka pegawai eksekutif.


2 Beliau belum pernah ke sana.
3 Sekarang ini dia menjadi guru sekolah.
4 Warna kain itu sungguh cantik.

3.6.2 : AYAT TANYA

Ayat Tanya ialah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan sesuatu hal. Ayat tanya
tergolong kepada dua jenis, iaitu :
1 Ayat tanya tanpa kata tanya, dan
2 Ayat tanya dengan kata tanya.
Ayat Tanya Tanpa Kata Tanya

Ayat tanya tanpa kata tanya ialah ayat lazim yang diucapkan dengan nada suara meninggi
sebelum kesenyapan pada akhir ayat. Dalam tulisan, nada tanya ini dilambangkan dengan
tanda soal (?).

Contohnya :

1 Kakak ipar mereka pegawai eksekutif?


2 Mereka telah bertolak ke Makkah?
3 Beliau belum pernah ke sana?

Ayat jenis ini boleh disertai partikel tanya –kah, yang diletakkan pada predikat ayat.
Apabila ini berlaku, bahagian yang menerima partikel –kah itu mengalami proses
pendepanan. Ayat (1) – (3) di atas misalnya, apabila menerima partikel –kah menjadi ayat
1(b) – 3(b) berikut, melalui ayat 1(a) – 3(a).

Contohnya :

1 (a) Kakak ipar mereka pegawai eksekutifkah?


(b) Pegawai eksekutifkah kakak ipar mereka?

2 (a) Mereka telah bertolak ke Makkahkah?


(b) Telah bertolak ke Makkahkah mereka?

3 (a) Beliau belum pernah ke sanakah?


(b) Belum pernah ke sanakah beliau?

Ayat Tanya dengan Kata Tanya.

Terdapat tiga jenis ayat tanya dengan kata tanya, iaitu :

1 Ayat tanya dengan kata ganti nama, iaitu apa, siapa, dan mana.
2 Ayat tanya dengan kata tanya, iaitu berapa, mengapa, bagaimana, bila dan sebagainya.
3 Ayat tanya dengan frasa sendi nama tanya, misalnya di mana, dari mana, kemana, sejak
bila, dengan siapa, dan daripada siapa.

Contoh dalam ayat:

1 Ayat tanya dengan kata ganti nama tanya.


a) (i) Benda itu apa?
(ii) Apakah benda itu?

b) (i) Lelaki yang memakai baju biru itu siapa?


(ii) Siapakah lelaki yang memakai baju biru itu?

c) (i) Guru sejarah kamu mana?


(ii) Manakah guru sejarah kamu?
2 Ayat tanya dengan kata tanya.
a) (i) Harga cincin itu berapa?
(ii) Berapakah harga cincin itu?

b) (i) Keadaan nenek anda bagaimana?


(ii) Bagaimanakah keadaan nenek anda?

c) (i) Majlis penyampaian hadiah akan diadakan bila?


(ii) Bilakah majlis penyampaian hadiah akan diadakan?

3 Ayat tanya dengan frasa sendi nama tanya


a) (i) Keluarga angkat anda tinggal di mana?
(ii) Di manakah keluarga angkat anda tinggal?

b) (i) Dia memegang jawatan itu sejak bila?


(ii) Sejak bilakah dia memegang jawatan itu?

c) (i) Surat berdaftar itu daripada siapa?


(ii) Daripada siapakah surat berdaftar itu?

3.6.3 : AYAT PERINTAH

Ayat perintah ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu
tindakan. Perintah ditujukan kepada orang kedua dengan menggunakan kata ganti nama
orang kedua seperti awak, engkau, kamu dan sebagainya yang digugurkan.

Berdasarkan kata perintah yang digunakan, terdapat empat jenis ayat perintah, iaitu :

1 Ayat suruhan
2 Ayat larangan
3 Ayat silaan, dan
4 Ayat permintaan.

Ayat Suruhan

Ayat suruhan ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan memberi perintah atau arahan.
Seperti yang telah dijelaskan, subjek ayat perintah, yang terdiri daripada kata ganti diri nama
orang kedua, boleh dikekalkan dan boleh juga digugurkan.

Contohnya :

1 Buka buku di halaman 32.


2 Keluar dari sini sekarang juga.
3 Awak siapkan kerja itu sebelum pulang.

Ayat-ayat suruhan boleh menggunakan partikel –lah untuk melembutkannya di


samping menegaskan predikat. Seperti juga dengan penggunaan partikel –kah, bahagian
ayat yang menerima partikel –lah mengalami proses pendepanan.

Contohnya bagi ayat (1) – (3) di atas, lahir (1a) – (3a):


1 (a) Bukalah buku di halaman 32.
2 (a) Keluarlah dari sini sekarang juga.
3 (a) Awak siapkanlah kerja itu sebelum pulang.

Bagi ayat tanya yang menggunakan kata kerja transitif dengan awalan meN-, awalan
itu mesti digugurkan, seperti yang terdapat dalam ayat (1) – (3) dan (1a) – (3a). Namun,
dalam ayat perintah yang menggunakan kata kerja tak transitif, misalnya, menangis,
menjerit dan bersiap awalan-awalan tersebut tidak boleh digugurkan.

Contohnya :

1 Menangislah sepuas-puas hatimu.


2 Menjeritlah sekuat-kuat yang boleh.
3 Bersiaplah sekarang untuk bertolak.

Ayat Larangan

Ayat larangan ialah ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan, usah atau tak
usah sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu.

Contohnya :

1 Usah dengar khabar angin.


2 Jangan berludah di sini.
3 Tak usah kaupeduli kata-katanya itu.

Seperti ayat perintah lain, ayat larangan dapat dilembutkan dengan partikel –lah
seperti yang berikut:

1 (a) Usahlah dengar khabar angin.


2 (a) Janganlah berludah di sini.
3 (a) Tak usahlah kau peduli kata-katanya itu.

Ayat Silaan

Ayat silaan ialah ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila dan jemput sebelum kata
kerja dengan tujuan menjemput atau mempersilakan seseorang.

Contohnya :

1 Sila kembalikan borang itu kepada Setiausaha persatuan sebelum akhir bulan.
2 Jemput minum teh yang terhidang itu.

Seperti ayat-ayat lain juga, ayat silaan dilembutkan juga dengan partikel –lah.

Contohnya :

1 (a) Silalah kembalikan borang itu kepada Setiausaha persatuan sebelum akhir bulan.

2 (a) Jemputlah minum teh yang terhidang itu.


Ayat Permintaan

Ayat permintaan ialah ayat yang menggunakan kata permintaan seperti minta dan tolong
dengan tujuan memohon permintaan dan pertolongan.

Contohnya :

1 Minta bersabar sekejap


2 Tolong tutup pintu belakang itu.

3.6.4 : AYAT SERUAN

Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan untuk
tujuan melahirkan suatu keadaan perasaan seperti takut, marah, takjub, geram, sakit dan
sebagainya. Intonasi seruan ini digambarkan dalam tulisan dengan tanda seru (!) yang
biasanya terletak di akhir ayat, sama ada ayat itu didahului oleh kata seru atau tidak. Kata
seru yang sering digunakan ialah oh, amboi, wah, cis, eh, aduh, dan syabas.

Contoh ayat seruan :

1 Ibu!
2 Cantiknya!
3 Oh, anakku!
4 Wah, gagahnya orang itu!
5 Syabas, kamu telah berjaya!

3.7 : BENTUK AYAT

Ayat terbentuk daripada klausa yang terdiri daripada frasa yang terbentuk pula daripada
perkataan. Dalam sesuatu bahasa terdapat banyak ayat, yang terdiri daripada pelbagai jenis
ragam, dan yang berbeza-beza panjang pendeknya.

Salah satu kaedah bagi menjeniskan bentuk ayat ialah dengan melihat bilangan klausa
yang terkandung dalam sesuatu ayat.

Ayat yang mengandungi hanya satu klausa, iaitu yang mempunyai satu subjek dan
satu predikat disebut ayat tunggal. Ayat yang mengandungi lebih daripada satu klausa
pula disebut ayat majmuk.

3.7.1 : AYAT TUNGGAL.

Ayat tunggal ialah yang terdiri daripada satu subjek dan satu predikat. Berikut ialah beberapa
ayat tunggal :

1 Encik Ibrahim pengurus syarikat itu.


2 Kami sedang mendengar ceramah.
3 Pegawai itu sangat rajin.
4 Dia dari ibu pejabat.
3.7.2 : AYAT MAJMUK

Ayat majmuk ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu subjek atau predikat.
Dengan berdasarkan ayat-ayat majmuk dibentuk, terdapat tiga jenis ayat majmuk, iaitu :

1 Ayat majmuk gabungan


2 Ayat majmuk pancangan, dan
3 Ayat majmuk campuran.

Ayat Majmuk Gabungan

Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan
satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata
hubung seperti, dan, atau, tetapi, sambil, lalu, lagi, serta, dan sebagainya. Tiap-tiap ayat
mampu berdiri sendiri.

Contohnya :

1 Ali suka bermain hoki dan dia selalu berlatih dengan rakan-rakannya.
2 Ali suka bermain hoki, tetapi adiknya suka bermain badminton
3 Kamu suka bermain bola keranjang atau bola sepak?

Ayat (1) di atas terdiri daripada dua ayat, iaitu (a) ali suka bermain hoki dan (b) Dia
selalu berlatih dengan rakan-rakannya. Kedua-dua ayat ini digabungkan menjadi satu melalui
kata hubung gabungan dan.

Dalam ayat (3) pula, dua ayat yang digabungkan ialah (a) Kamu suka bermain bola
keranjang dan (b) (Kamu suka bermain) bola sepak. Bahagian ayat (b) dalam kurungan
digugurkan kerana serupa dengan bahagian yang terdapat dalam ayat (a). Mengikut hukum
tatabahasa, hal ini dibenarkan. Ayat (a) dan (b) kemudiannya digabungkan dengan kata
hubung gabungan atau.

Jenis Gabungan

Ayat-ayat gabungan dibentuk dengan menggunakan beberapa kata hubung. Penggunaan kata
hubung yang berbeza ini menghasilkan dua jenis gabungan, iaitu:

1 Gabungan yang susunan faktanya berturutan, yakni satu demi satu. Kata hubung
gabungan yang digunakan ialah dan, lalu, lagi, serta, sambil, dan malahan.

Contohnya :

a) Dia menyambut salam saya sambil menghulurkan tangan.


b) Pemuda itu bangun lalu menuju ke tingkapsebelah kiri.
c) Perangainya ramah malahan sangat bersopan santun.

2 Gabungan yang susunannya memberikan maksud pertentangan fakta dalam ayat yang
digabungkan itu. Antara kata hubung gabungan yang digunakan ialah atau, tetapi,
sebaliknya, melainkan, dan padahal.

Contohnya :
a) Musim hujan dingin, sebaliknya musim kemarau panas.
b) Kain yang dibelinya itu mahal, padahal ada yang lebih murah.
c) Bukan yang pandai akan berjaya, melainkan yang berusaha.

Ayat Majmuk Pancangan

Ayat majmuk pancangan ialah ayat majmuk yang terdiri daripada satu ayat induk atau ayat
utama dengan satu atau beberapa ayat kecil atau klausa kecil yang lain yang dipancangkan di
dalam ayat induk dan menjadi sebahagian daripada ayat induk itu. Ayat atau klausa induk
dapat berdiri sendiri, tetapi ayat atau klausa kecil tidak.

Dalam bahasa Melayu terdapat tiga jenis ayat majmuk pancangan, yang ditentukan
oleh cara pembentukannya dan jenis ayat yang dipancangkan.

Jenis-jenis itu ialah:

1 Ayat majmuk pancangan relatif


2 Ayat majmuk pancangan komplemen, dan
3 Ayat majmuk pancangan keterangan.

Ayat Majmuk Pancangan Relatif

Ayat majmuk jenis ini dikenali dengan kata hubung relatif yang, yang digunakan untuk
memancangkan klausa kecil ke dalam klausa induk. Perhatikan ayat berikut:

1 Saya membaca buku Othman Puteh.

Ayat di atas terdiri daripada dua klausa, iaitu (a) Saya membaca buku (klausa induk)
dan (b) (Buku) ditulis oleh Othman Puteh. Klausa (b) yang dipancangkan ke dalam klausa (a)
mempunyai subjek yang sama (buku) dengan objek dalam klausa (a). Apabila ayat (a) dan
(b) dicantumkan, perkataan buku dalam klausa kecil digugurkan dan digantikan dengan kata
hubung relatif yang.

Proses ini dapat digambarkan seperti yang berikut :

Langkah pertama : Saya membaca buku + Buku ditulis oleh Othman Puteh.

Langkah kedua : Saya membaca buku + buku ditulis oleh Othman Puteh.

Langkah ketiga : Saya membaca buku yang ditulis oleh Othman Puteh.

Contoh-contoh ayat majmuk pancangan relatif yang lain :

1 Dia mengambil baju yang berwarna biru.


2 Lelaki yang baru tiba itu abang Ali.
3 Taklimat yang disampaikan oleh pengurus syarikat itu sungguh menarik.

Ayat Majmuk Pancangan Komplemen

Ayat majmuk jenis ini ialah ayat yang terdiri daripada klausa induk dengan klausa kecil
dipancangkan untuk melengkapi kata kerja dalam ayat induk. Beberapa kata hubung
digunakan untuk mencantumkan klausa kecil dengan klausa induk. Yang paling lazim ialah
bahawa dan untuk seperti yang digunakan dalam,

contoh-contoh berikut :

1 Wanita itu mengatakan bahawa suaminya tidak ada di rumah


2 Tentulah tidak wajar untuk mereka mendirikan rumah di kawasan tersebut.

Jika dianalisis, ayat (1) terdiri daripada dua klausa, iaitu (a) Wanita itu mengatakan
(sesuatu), yang merupakan klausa induk dan (b) Suaminya tidak ada di rumah, yang
merupakan klausa kecil yang berfungsi sebagai unsur yang melengkapi kata kerja transitif
mengatakan. Kedua-dua klausa ini dicantumkan dengan kata hubung komplemen bahawa.

Demikian juga dalam ayat (2) terdapat klausa induk (a) (Sesuatu) tentulah tidak wajar
dan klausa kecil (b) Mereka mendirikan rumah di kawasan ini. Kedua-dua klausa ini
dicantumkan dengan kata hubung komplemen untuk.

Jenis Ayat Komplemen

Terdapat tiga jenis ayat komplemen, iaitu:

1 Ayat komplemen frasa nama


2 Ayat komplemen frasa kerja, dan
3 Ayat komplemen frasa adjektif.

AYAT KOMPLEMEN FRASA NAMA

Frasa nama boleh menduduki empat tempat dalam ayat, iaitu sebagai subjek, predikat, objek
tepat dan objek sipi. Tetapi ayat-ayat komplemen jenis frasa nama hanya dapat menduduki
dua tempat, iaitu sebagai ayat komplemen frasa nama subjek dan sebagai ayat komplemen
frasa nama objek tepat.

Contohnya :

1 Ayat komplemen frasa nama subjek


a) Bahawa Islam menjaminkan keadilan memanglah jelas.
b) Untuk dia mendapat tempat pertama dalam ujian itu memanglah susah.
c) Dakwaan bahawa Fauzi menipu tidak benar.

2 Ayat komplemen frasa nama objek tepat.


a) Rakan saya menafikan bahawa dia terlibat dengan kejadian itu.
b) Kami mengakui bahawa peristiwa itu tidak patut berlaku
c) Berita itu menyebut bahawa seramai 200 orang telah terselamat.

AYAT KOMPLEMEN FRASA NAMA

a) Para peserta kursus berpendirian bahawa ujian yang diberikan amat sesuai.
b) Mereka berharap bahawa kursus tersebut telah membawa manfaat.
c) Pihak pentadbiran bersetuju bahawa cadangan itu sangat baik.
AYAT KOMPLEMEN FRASA ADJEKTIF

a) Saya sangat yakin bahawa rancangan itu akan berjaya.


b) Mereka amat sedar bahawa rancangan itu mungkin akan ditolak.
c) Para pelajar percaya bahawa usaha mereka akan membuahkan hasil.

Ayat Majmuk Pancangan Keterangan

Ayat majmuk jenis ini ialah ayat majmuk yang terdiri daripada satu klausa induk dan satu
klausa kecil atau lebih yang berfungsi sebagai keterangan kepada predikat.

Contohnya:

1 Imran telah besar semasa saya meninggalkan kampung itu.


2 Saya akan berpuasa tujuh hari sekiranya saya berjaya dalam ujian itu.

Jika dianalisis ayat pertama, kelihatan bahawaklausa induknya ialah (a) Imran telah
besar, manakala klausa kecil keterangan ialah (b) Saya meninggalkan kampung itu. Kedua-
dua klausa ini dicantumkan dengan kata hubung keterangan semasa.

Demikian juga, dalam ayat kedua, klausa induknya ialah (a) Saya akan berpuasa tujuh
hari dan klausa kecil keterangan (b) Saya berjaya dalam ujian itu. Kata hubung keterangan
yang menggabungkan klausa induk dengan klausa keterangan ialah sekiranya.

Jenis Ayat Keterangan

Ayat-ayat keterangan berfungsi memberikan huraian lanjut kepada kata kerja ayat induk.
Bergantung pada jenis kata hubung yang digunakan, dan maksud yang terkandung di
dalamnya, terdapat sembilan jenis ayat majmuk keterangan seperti yang dihuraikan di
bawah.

1 Ayat keterangan musabab


Keterangan musabab ialah unsur yang menerangkan sebab berlakunya sesuatu kejadian
atau perbuatan. Kata hubung keterangan musabab ialah kerana, lantaran, dan oleh
sebab.

Contohnya :

a) Mereka berjaya kerana mereka berusaha.


b) Lantaran bermain mercun buatan sendiri, Jamal kehilangan dua batang jarinya.
c) Dia kalah dalam pertandingan itu oleh sebab kurang membuat persediaan.

2 Ayat keterangan akibat


Keterangan akibat ialah unsur yang menerangkan kesan atau hasil sesuatu perbuatan.
Kata hubung keterangan akibat ialah hingga dan sehingga.

a) Mereka bersorak sunguh kuat hingga serak suaranya.


b) Mereka mencuba sedaya upaya sehingga tercapai cita-cita mereka.

3 Ayat keterangan syarat.


Keterangan syarat ialah unsur yang menerangkan tuntutan yang mesti dipenuhi. Kata
hubung keterangan syarat ialah sekiranya, andai kata, jikalau, jika, dan harus.

Contohnya :

a) Andai kata kita gagal, kita akan mencuba lagi.


b) Mereka akan terus berjuang sekiranya diperlukan oleh negara dan bangsa.
c) Jika diizinkan Tuhan, kami akan datang lagi.

4 Ayat keterangan waktu


Keterangan waktu ialah unsur yang menerangkan masa sesuatu perbuatan atau kejadian.
Kata hubung keterangan waktu ialah sejak, semenjak, setelah, sewaktu, semasa,
sementara, tatkala dan ketika.

Contohnya :

a) Serangan ke atas musuh dibuat setelah semua rancangan tersusun.


b) Sementara menanti padi masak, petani itu menanam jagung.
c) Tatkala hujan renyai-renyai, mereka berlepas dengan bas.

5 Ayat keterangan pertentangan


Keterangan pertentangan ialah unsur yang menerangakan sesuatu perbuatan atau
kejadian yang berlawanan. Kata hubung keterangan pertentangan ialah walaupun,
meskipun, kendatipun, biarpun, walau bagaimanapun, namun, sekalipun, dan
sedangkan.

Contohnya :

a) Sekalipun hujan sudah turun, perlawanan itu masih diteruskan.


b) Mereka tetap meneruskan perjalanan biarpun cuaca semakin buruk.
c) Sekalipun dia sudah berumur, dia masih ingin belajar.

6 Ayat keterangan harapan


Keterangan harapan ialaha unsur yang menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian
yang dihajati. Kata hubung keterangan harapan ialah supaya, agar, semoga, moga-
moga dan kalau-kalau.

Contohnya:

a) Kita mesti berikhtiar agar tercapai cita-cita.


b) Supaya semua orang dapat mendengar, ceramah itu dipindahkan ke dewan besar.
c) Cuba bertanya kepada pemuda itu kalau-kalau dia tahu jalan ke rumah Pak Udin.

7 Ayat keterangan cara


Keterangan cara ialah unsur yang menerangkan gaya atau kaedah sesuatu perbuatan
atau kejadian berlaku. Kata hubung keterangan cara ialah dengan.

Contohnya:

Pekerja kilang itu dibawa ke dewan pameran dengan menggunakan bas.


8 Ayat keterangan tujuan
Ayat keterangan tujuan ialah unsur yang menerangkan maksud bagi sesuatu perbuatan
atau kejadian. Kata hubung keterangan tujuan ialah untuk, demi dan bagi.

Contohnya :

a) Kita hendaklah jimat berbelanja untuk menjaga keadaan kewangan kita.


b) Demi kebaikan semua pihak, marilah kita bekerjasama.
c) Mereka berusaha sedaya upaya bagi menjayakan rancangan tersebut.

9 Ayat keterangan perbandingan


Keterangan perbandingan ialah unsur yang menerangkan kejadian yang menjadi
persamaan. Kata hubung keterangan perbandingan ialah seperti, macam, seolah-olah,
seakan-akan, ibarat, bagaikan dan bak.

Contohnya :

a) Dia kebingungan seperti rusa masuk kampung.


b) Pemuda itu sentiasa mengelamun macam pungguk merindui bulan.
c) Orang ramai bersorak seakan-akan halilintar membelah bumi.

Ayat Majmuk Campuran

Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat, yakni
yang terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk atau deretan berbagai-
bagai jenis ayat majmuk. Ayat sedemikian biasanya panjang.

Contohnya :

1 Dia mengambil buku yang baru dibeli itu lalu masuk ke bilik tidur.

Dalam ayat ini, terdapat ayat majmuk gabungan yang terdiri daripada dua klausa,
iaitu:

Klausa (a) : Dia mengambil buku.

Klausa (b) : (Dia) masuk ke bilik tidur.

Kata hubung gabungan : lalu

Dalam klausa (a) pula terdapat ayat majmuk pancangan relatif, dengan binaan seperti yang
berikut:

Klausa induk : Dia mengambil buku.


Klausa relatif : (Buku) baru dibeli.

Kata hubung relatif : yang

Perhatikan pula contoh kedua:

Polis melaporkan bahawa satu kemalangan telah berlaku oleh sebab hujan turun
dengan lebatnya.

Dalam ayat ini terdapat ayat majmuk pancangan komplemen frasa nama objek dan
ayat majmuk pancangan keterangan sebab.

Ayat majmuk pancangan komplemen terdiri daripada:

Klausa induk : Polis melaporkan (sesuatu).

Klausa komplemen : Satu kemalangan telah berlaku.

Kata hubung komplemen: bahawa

Binaan ayat majmuk pancangan keterangan ialah:

Klausa induk : Satu kemalangan telah berlaku.

Klausa keterangan : Hujan turun dengan lebatnya.

Kata hubung keterangan musabab : oleh sebab

Berikut diberikan beberapa contoh lagi. Sambil meneliti ayat-ayat ini, cuba kenal pasti ayat-
ayat majmuk yang hadir dan binaan masing-masing.

i. Anita telah tiba, tetapi rakan-rakannya yang tinggal agak jauh dan perlu mencari
kenderaan sendiri masih belum sampai.

ii. Pelajar-pelajar yang baru masuk dikehendaki membaca buku yang diedarkan.

iii. Kami sungguh sedar bahawa cadangan kami yang baru dikemukakan itu mengadungi
beberapa perkara yang perlu dibincangkan dengan mendalam.

3.8 : PROSES PENERBITAN AYAT

Mengikut teori Transformasi-Generatif (T-G) yang dipelopori oleh seorang ahli bahasa
Amerika, Noam Chomsky, pengetahuan dan penguasaan bahasa seseorang berlaku pada dua
tahap, iaitu tahap struktur dalaman dan tahap struktur permukaan. Kadang-kadang yang
wujud sebagai struktur permukaan, iaitu yang benar-benar dilafazkan atau yang ditulis, tidak
sama dengan bentuk bahasa pada tahap dalaman.

Penerbitan sesuatu ayat sebagai struktur permukaan berpunca daripada suatu ayat
yang wujud pada struktur dalaman. Ada kalanya ayat struktur dalaman atau ayat dasar itu
sama dengan ayat permukaan. Tetapi sebahagian besar ayat permukaan telah berubah
daripada ayat dasar. Perubahan ini berlaku melalui suatu proses tatabahasa, iaitu
pelaksanaan rumus-rumus transformasi. Mengikut teori T-G, rumus-rumus transformasi ini
mengubah aturan atau struktur ayat dan memperluas sesuatu unsur dalam atau frasa.

Dalam bahasa Melayu, proses penerbitan ayat melibatkan tiga proses utama, iaitu:

1 Pengguguran
2 Penyusunan semula, dan
3 Peluasan

3.8.1 : PROSES PENGGUGURAN

Proses pengguguran ialah satu proses transformasi yang berlaku pada struktur ayat yang
mengakibatkan pengguguran unsur-unsur tertentu daripada binaan ayat itu dan dengan
demikian, pada peringkat struktur permukaan, unsur yang digugurkan itu tidak lagi wujud.

Dalam bahasa Melayu terdapat tiga jenis pengguguran utama, iaitu:

1 Pengguguran frasa nama sebagai subjek


2 Pengguguran frasa predikat, dan
3 Pengguguran frasa nama yang mendahului frasa relatif.

Pengguguran Frasa Nama Sebagai Subjek

Pengguguran frasa nama sebagai subjek berlaku pada dua tempat, iaitu:

1 Pengguguran subjek kata ganti nama, dan


2 Pengguguran subjek yang serupa dalam ayat majmuk.

1 Contoh pengguguran subjek kata ganti nama diri orang kedua dalam ayat perintah,
contohnya:

a) Kamu duduk di sini → Duduk di sini.


b) Awak semua pulang sekarang juga → Pulang sekarang juga.
c) Tuan-tuan dan puan-puan dipersilakan masuk → Dipersilakan masuk.
2 Pengguguran subjek yang serupa dalam ayat majmuk.

a) Dia sangat pandai + Dia rajin belajar


→ Dia sangat pandai kerana dia rajin belajar.

→ Dia sangat pandai kerana rajin belajar.

b) Mira masih datang ke sekolah + Mira sakit


→ Mira masih datang ke sekolah walaupun Mira sakit.

→ Mira masih datang ke sekolah walaupun sakit.

c) Murid-murid ketawa + Murid-murid menyanyi + Murid-murid begurau senda.


→ Murid-murid ketawa dan murid-murid menyanyi dan murid-murid

bergurau.

→ Murid-murid ketawa, menyanyi dan bergurau.


Pengguguran Frasa Predikat

Seluruh frasa predikat atau bahagian-bahagiannya boleh digugurkan, iaitu:

1 Pengguguran seluruh frasa predikat, sama ada frasa kerja yang serupa, frasa nama yang
serupa, frasa adjektif yang serupa atau frasa sendi nama yang serupa.

Contohnya :

a) Pengguguran frasa kerja yang serupa


(i) Aishah belajar di sekolah asrama penuh. Sepupunya belajar di sekolah asrama
penuh.

→ Aishah belajar di sekolah asrama penuh, dan sepupunya belajar di sekolah

asrama penuh.

→ Aishah dan sepupunya belajar di sekolah asrama penuh.

(ii) Bersukan boleh menyihatkan badan. Bersenam boleh menyihatkan badan

→ Bersukan boleh menyihatkan badan dan bersenam boleh menyihatkan

badan

→ Bersukan dan bersenam boleh menyihatkan badan.

b) Pengguguran frasa nama yang serupa


(i) Bendera Malaysia lambang negara. Lagu kebangsaan lambang negara.
→ Bendera Malaysia lambang negara dan lagu kebangsaan lambang

negara.

→ Bendera Malaysia dan lagu kebangsaan lambang negara.

(ii)Kami penghuni rumah pangsa. Keluarga Pak Hassan penghuni rumah


pangsa.

→ Kami penghuni rumah pangsa dan keluarga Pak Hassan penghuni

rumah pangsa.

→ Kami dan keluarga Pak Hassan penghuni rumah pangsa.

c) Pengguguran frasa adjektif yang serupa


(i) Kesopanan sangat mulia. Budi bahasa sangat mulia.
→ Kesopanan sangat mulia dan budi bahasa sangat mulia.

→ Kesopanan dan budi bahasa sangat mulia.


(ii)Pusat beli belah jauh dari sini. Taman permainan jauh dari sini.
→ Pusat beli belah jauh dari sini dan taman permainan jauh dari sini.

→ Pusat beli belah dan taman permainan jauh dari sini.

d) Pengguguran frasa sendi nama yang serupa


(i) Dia masih di kampung. Isterinya masih di kampung.
→ Dia masih dikampung dan isterinya masih di kampung.

→ Dia dan isterinya masih di kampung.

(ii)Pasport di dalam sakunya. Wang di dalam sakunya.


→ Pasport di dalam sakunya dan wang di dalam sakunya.

→ Pasport dan wang di dalam sakunya.

2 Pengguguran bahagian-bahagian frasa predikat, antaranya :

a) Pengguguran oleh + FN dalam ayat pasif


b) Kata bantu yang serupa
c) FN sebagai objek yang serupa, dan
d) FN sebagai objek selepas kata kerja yang membawa makna adjektif.

Contoh-contohnya:

a) Pengguguran oleh + FN dalam ayat pasif.


i. Pencuri itu telah ditangkap oleh polis.
 Pencuri itu telah ditangkap.

ii. Bangunan itu dibina oleh beliau dalam masa dua bulan.
 Bangunan itu dibina dalam masa dua bulan.

b) Pengguguran kata bantu yang serupa.

i. Udara masih nyaman. Udara masih segar.


 Udara masih nyaman dan segar.

ii. Ibu akan membeli gula. Ibu akan membeli roti. Ibu akan membeli mentega.
 Ibu akan membeli gula, roti dan mentega.

c) Pengguguran frasa nama sebagai objek yang serupa.


i. Seniman itu menggubah lagu. Seniman itu merakamkan lagu.
 Seniman itu menggubah dan merakamkan lagu.

ii. Kami membantah peraturan itu. Mereka menyokong peraturan itu.


 Kami membantah, tetapi mereka menyokong peraturan itu.
d) Pengguguran frasa nama sebagai objek selepas kata kerja yang membawa makna adjektif
i. Kejadian itu sungguh menakjubkan kami.
 Kejadian itu sungguh menakjubkan.

ii. Kelakuannya amat mendukacitakan kita.


 Kelakuannya amat mendukacitakan.

Pengguguran Frasa Nama yang Mendahului Frasa Relatif.

Apabila dua ayat digabungkan, dengan satu ayat dipancangkan ke dalam ayat yang satu lagi
sebagai frasa relatif, frasa nama yang serupa yang mendahului frasa relatif itu boleh
digugurkan.

Contohnya :

Perempuan itu kakak saya. Perempuan itu memakai tudung.

 Perempuan yang memakai tudung itu kakak saya.

Yang memakai tudung itu kakak saya.

Pengguguran frasa nama yang mendahului frasa relatif berlaku dalam kedudukan frasa
nama sebagai subjek. Proses yang sama berlaku juga terhadap frasa nama yang mendahului
frasa relatif dalam kedudukan sebagai objek.

Contohnya :

1. Aziz memilih baju itu. Baju itu putih.


 Aziz memilih baju yang putih itu.

 Aziz memilih yang putih itu.

2. Buku itu biru. Buku itu pilihan kami.


Buku yang biru itu pilihan kami.

Yang biru itu pilihan kami.

3. Bangunan itu tinggi. Bangunan itu Berjaya Times Square.


 Bangunan yang tinggi itu Berjaya Times Square.

 Yang tinggi itu Berjaya Times Square.

3.8.2 : PROSES PENYUSUNAN SEMULA

Proses ini melibatkan perubahan pada susunan perkatan dan frasa dalam ayat, dan kadang-
kadang pengguguran atau penambahan beberapa unsur. Namun, pada umumnya, proses
penyusunan ayat tidak membawa perubahan pada makna ayat.
Dalam bahasa Melayu terdapat tiga jenis proses penyusunan semula, iaitu:

1. Penyusunan semula frasa nama sebagai subjek.


2. Penyusunan semula frasa nama sebagai objek, dan
3. Penyusunan semula melalui ayat songsang.

Penyusunan Semula Frasa Nama Sebagai Subjek.

Penyusunan semula frasa nama sebagai subjek boleh berlaku melalui proses transformasi
pasif.

Contohnya :

1. (a) Anita membaca buku itu. (aktif transitif)


(b) Buku itu dibaca oleh Anita. (pasif)

Dalam ayat (a), buku itu ialah objek ayat, yang dipindah ke hadapan ayat dalam ayat
(b). Pada masa yang sama kata kerja membaca diubah menjadi dibaca dan kata sendi nama
oleh dimasukkan di hadapan frasa nama Anita yang kini menjadi pelengkap pelaku dalam
ayat (b)

Seluruh proses disebut proses transformasi pasif, dan melibatkan penyusunan semula
frasa nama subjek (Anita) menjadi pelengkap pelaku serta frasa nama objek (buku itu)
menjadi subjek ayat pasif (ayat (a)).

Tiga lagi contoh penyusunan semula daripada ayat aktif kepada ayat pasif ialah:

2. Kakak Ahmad memandu kereta itu.


 Kereta itu dipandu oleh kakak Ahmad.

3. Saya menendang bola itu ke pintu gol.


 Bola itu saya tendang ke pintu gol.

4. Awak membaca buku itu sekarang juga.


 Buku itu awak baca sekarang juga.

Penyusunan Semula Frasa Nama Sebagai Objek.

Penyusunan semula frasa nama sebagai objek boleh terjadi pada ayat-ayat yang
mengandungi dua jenis objek, iaitu objek tepat dan objek sipi.

Contohnya :

1. Mereka menghadiahi guru mereka sejambak bunga.


 Mereka menghadiahkan sejambak bunga kepaad guru mereka.

2. Ayah memberikan pekerja baharu itu nasihat yang berguna.


 Ayah memberi nasihat berguna kepada pekerja baharu itu.
3. Mohd. Aiman mengirimi sahabat penanya dua keping poskad.
Mohd Aiman mengirimkan dua keping poskad kepada sahabat penanya.

Penyusunan Semula Melalui Ayat Songsang.

Penyusunan semula boleh berlaku pada ayat-ayat songsang, iaitu bagi ayat-ayat yang
mengandungi keterangan seperti tempat, masa, syarat, dan musabab yang dikedepankan
apabila keterangan itu hendak difokuskan.

Contohnya :

1. Rombongan pelancong itu pergi ke pusat beli-belah.


 Ke pusat beli-belah rombongan pelancong itu pergi.

2. Dia gagal dalam peperiksaan itu kerana dia tidak bersedia.


 Kerana dia tidak bersedia, dia gagal dalam peperiksaan itu.

3. Mereka akan bertolak pada sebelah petang jika keadaan cuaca baik.
 Jika keadaan cuaca baik, mereka akan bertolak pada sebelah petang

3.8.3 : PROSES PELUASAN

Proses peluasan bermaksud proses yang menambahkan unsur baharu ke dalam ayat. Dalam
bahasa Melayu terdapat empat jenis peluasan, iaitu:

1. Peluasan frasa nama sebagai subjek


2. Peluasan frasa predikat
3. Peluasan dengan kata hubung, dan
4. Peluasan melalui proses komplementasi.

Peluasan Frasa Nama Sebagai Subjek

Frasa nama sebagai subjek boleh diluaskan melalui pemancangan ayat relatif.

Contohnya :

1. Wanita itu teman saya.


Wanita itu sedang membaca buku cerita.

 Wanita yang sedang membaca buku cerita itu teman saya.

2. Rumah itu kepunyaan Pegawai Daerah.


Rumah itu baru dibina.

 Rumah yang baru dibina itu kepunyaan Pegawai Daerah.

3. Seorang pelajar telah menyertai upacara itu.


Seorang pelajar menuntut di sekolah saya.

 Seorang pelajar yang menuntut di sekolah saya telah menyertai upacara

itu.
Peluasan Frasa Predikat.

Frasa nama objek kata kerja, iaitu frasa nama dalam predikat boleh diperluas juga dengan
pemancangan ayat relatif.

Contohnya :

1. Pengurus syarikat itu membeli rumah.


Rumah itu dibina oleh rakan kami.

 Pengurus syarikat itu membeli rumah yang dibina oleh rakan kami.

2. Kami melihat pementasan drama.


Drama ditulis oleh Nordin Ali.

 Kami melihat pementasan drama yang ditulis oleh Nordin Ali.

3. Penjaga gol menangkap bola.


Bola ditendang oleh pemain baharu itu.

 Penjaga gol menangkap bola yang ditendang oleh pemain baharu itu.

Peluasan dengan Kata Hubung.

Peluasan boleh juga berlaku melalui proses penggabungan ayat yang melibatkan dua
konstituen yang sama dengan menggunakan kata hubung seperti dan, tetapi, kerana, jika,
walau bagaimanapun dan sebagainya. Tiap-tiap kata hubung ini boleh digunakan bagi
menggabungkan dua ayat atau lebih untuk menghasilkan ayat terbitan yang bersifat
peluasan.

Contohnya:

1. Jailani hendak bermain badminton


Razif tidak mahu bermain badminton.

 Jailani hendak bermain badminton, tetapi Razif tidak mahu.

2. Mereka berjaya dalam ujian itu.


Mereka membuat persediaan yang cukup.

 Mereka berjaya dalam ujian itu kerana membuat persediaan yang cukup.

3. Hujan masih lebat.


Mereka memulakan perjalanan mereka.

Walaupun hujan masih lebat, mereka memulakan perjalanan mereka.

Peluasan Melalui Proses Komplementasi.

Peluasan juga boleh berlaku melalui proses komplementasi, iaitu proses memancangkan ayat
komplemen ke dalam ayat induk.

Contohnya :
1. Penceramah itu menegaskan sesuatu.
Ekonomi negara semakin pulih.

 Penceramah itu menegaskan bahawa ekonomi negara sudah pulih.

2. Dia memberitahu saya.


Izwan sakit.

 Dia memberitahu saya bahawa Izwan sakit.

3.9 : ANALISIS MELALUI KONSTITUEN TERDEKAT DAN RAJAH POHON

Dalam kajian ilmu linguistik, terdapat beberapa cara untuk menganalisis ayat yang bersifat
ala grafik. Tujuannya adalah untuk menggambarkan binaan sesuatu ayat dengan lebih jelas.
Berikut dihuraikan dua daripada cara analisis ini, iaitu:

1. analisis konstituen terdekat, dan


2. analisis rajah pohon

3.9.1 : ANALISIS KONSTITUEN TERDEKAT

Ayat terdiri daripada konstituen- konstituen. Dua daripada konstituen terbesar dalam sesuatu
ayat ialah konstituen subjek dan konstituen predikat, yang dikenali juga sebagai frasa subjek
dan frasa predikat. Subjek dan predikat ini pula dapat dipecah-pecahkan kepada konstituen-
konstituen yang lebih kecil, iaitu perkataan-perkataan.

Binaan sesuatu ayat dapat dilihat sebagai terdiri daripada konstituen- konstituen kecil
ini yang kemudiannya bergabung untuk membentuk konstituen-konstituen yang lebih besar.
Perhatikan ayat yang berikut:

1. Pelajar itu sedang mendengar ceramah.

Dalam ayat ini, dua konstituen terbesar ialah pelajar itu (subjek ayat) dan sedang
mendengar ceramah (predikat ayat). Subjek ayat dapat dipecahkan kepada dua konstituen
kecil, iaitu pelajar dan itu, manakala predikatnya dapat dipecahkan kepada konstituen-
konstituen mendengar ceramah dan sedang. Konstituen mendengar ceramah pula dapat
dipecahkan kepada mendengar dan ceramah. Secara grafik, pemecahan ayat di atas kepada
konstituen-konstituen dan hubungan antara konstituen-konstituen itu dapat digambarkan
seperti yang berikut:

1. (a) [Pelajar itu] [sedang mendengar ceramah.]

atau
1.
(b)
Pelajar itu sedang mendengar ceramah
Analisis ayat seperti ini, iaitu yang melihat hubungan antara konstituen-konstituennya
disebut analisis konstituen terdekat.

Analisis konstituen terdekat boleh dibuat pada peringkat frasa dan juga ayat.

Beberapa contoh:

Peringkat Frasa.

1.
guru sekolah menengah

2.
belum menulis esei

3.
masih kecil pada waktu itu

dari ibu pejabat kami

Peringkat Ayat

1.
Kami pelajar dari sekolah menengah

2. Semua penghuni rumah itu menjawab surat kami


3. Pintu besar asrama sekolah masih tertutup

4.
Rumah di atas bukit itu rumah Pak Ali

3.9.2 : ANALISIS RAJAH POHON

Maklumat yang disampaikan melalui analisis konstituen terdekat dapat juga disampaikan
melalui analisis rajah pohon. Rajah pohon menggambarkan ayat sebagai sebuah pohon
dengan dua cabang utama, iaitu subjek dan predikat, yang mempunyai dahan dan ranting,
yang merupakan unsur-unsur atau konstituen dalam ayat.

Konstituen-konstituen dalam sesebuah rajah pohon dikenali melalui binaan masing-


masing, iaitu sama ada jenis frasa atau golongan kata tertentu. Berikut ialah beberapa
singkatan bagi nama-nama frasa dan perkataan yang digunakan dalam analisis:

A = ayat KK = kata kerja

S = subjek KA = kata adjektif

P = predikat KS = kata sendi nama

FN = frasa nama KB = kata bantu

FK = frasa kerja KPen = kata penentu

FA = frasa adjektif KGn = kata ganti nama

FS = frasa sendi nama KAr = kata arah

KN = kata nama KP = kata penguat

Dengan menggunakan konsep pohon, dan singkatan-singkatan lambang di atas,


berikut ialah analisis pohon.

You might also like