You are on page 1of 2

UNIT 1 : TALAK JALAN PENYELESAIAN TERAKHIR

Pengertian Talak
1 Bahasa : Cerai atau melepaskan ikatan.
2 Istilah : Merungkaikan ikatan perkahwinan dengan lafaz talak, cerai atau mengandungi makna
keduanya.
3 Boleh juga berlaku dengan tulisan atau isyarat yang difahami.

Hukum Talak
1 Diharuskan sebagai penyelesaian terakhir mengatasi masalah rumahtangga.
2 Para ulama telah menjelaskan hukum talak secara terperinci seperti berikut:
(a) Wajib.
- Apabila seseorang tidak dapat melaksanakan kewajipan seperti memberi nafkah atau
melakukan kezaliman sehingga mengancam keselamatan.
(b) Sunat.
- Apabila isteri memiliki akhlak yang buruk dan tiada cara yang dapat memperbaikinya.
(c) Haram.
- Apabila talak dilafazkan pada waktu yang diharamkan seperti waktu isteri sedang haid,
hamil dan nifas atau bertujuan menganiayainya.
(d) Makruh.
- Menceraikan isteri tanpa sebab atau menceraikan isteri yang solehah.

Rukun Talak
1 Rukun talak ialah:
(a) Suami.
(b) Isteri.
(c) Lafaz talak.

Hikmah Talak
1 Berikut adalah hikmah talak iaitu:
(a) Memberi peluang kepada pasangan yang tiada persefahaman untuk berpisah bagi
memulakan kehidupan baru.
(b) Perceraian memberi pengalaman dan pengajaran pahit kepada suami dan isteri. Mereka
akan insaf dan sedar kelemahan masing-masing. Seterusnya dapat memperbaiki diri dalam
kehidupan berumahtangga pada masa akan datang.
(c) Boleh mengurangkan tekanan perasaan.
(d) Dapat menyedarkan suami dan isteri tentang kepentingan menghayati ajaran Islam.
Jenis Talak
1 Talak terbahagi kepada dua bahagian iaitu dari aspek hukum dan dari aspek kesan.
2 Dari aspek hukum, talak terbahagi kepada dua iaitu:
(a) Talak sunni.
- Talak yang sesuai dengan peraturan syarak, iaitu suami menceraikan isteri dengan talak
satu atau dua ketika isterinya suci daripada haid, nifas dan tidak disetubuhi.
(b) Talak bidi.
- Talak yang menyalahi peraturan syarak, iaitu suami menceraikan isterinya ketika haid,
nifas atau ketika suci tetapi selepas disetubuhi suaminya atau menceraikannya dengan
talak tiga sekaligus.
- Hukum melakukan talak bidi adalah haram tetapi ia tetap dikira sah.
3 Dari aspek kesan, talak terbahagi kepada dua iaitu:
(a) Talak raji.
- Talak satu atau dua yang belum tamat idahnya.
- Suami boleh merujuk kembali isterinya semasa idah tanpa perlu kepada akad dan mahar
yang baharu.
(b) Talak bain.
- Terbahagi kepada dua iaitu bain sughra dan bain kubra.
- Bain sughra: talak yang tidak membolehkan suami merujuk isterinya kecuali dengan
akad dan mahar yang baharu. Ia merangkumi khuluk, fasakh, ila, talak raji yang tamat
tempoh idah dan talak sebelum bersetubuh (dukhul).
- Bain kubra: talak tiga yang mengharamkan bekas suami mengahwini semula isterinya
kecuali selepas isterinya berkahwin dengan lelaki lain dan diceraikan setelah berlaku
persetubuhan.

Bilangan Talak
1 Bilangan talak yang dibenarkan dalam Islam ialah tiga kali talak.
2 Talak yang boleh dirujuk semula adalah talak pertama dan kedua.
3 Talak ketiga adalah talak maksimum yang tidak boleh dirujuk semula.

Talak Taklik
1 Talak taklik ialah talak yang disandarkan kepada sesuatu syarat.
2 Terbahagi kepada dua iaitu:
(a) Taklik biasa.
- Dilafazkan dalam keadaan biasa.
- Contohnya: Suami berkata kepada isterinya,”jika engkau keluar dari rumah ini maka
engkau tertalak dengan satu talak.”
- Talak ini akan berlaku apabila isteri keluar dari rumah suaminya.
(b) Taklik secara khuluk.
- Bentuk taklik yang diamalkan sekarang di sesetengah negeri di Malaysia.
- Contohnya: Lafaz taklik yang termaktub dalam surat akuan nikah di negeri Johor, iaitu:
“Manakala saya tinggalkan isteri saya selama empat bulan hijrah berturut-turut atau
lebih dengan sengaja atau paksa dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah
kepadanya selama masa yang tersebut padahal dia taatkan saya atau saya lakukan
sebarang mudarat kepada tubuh badannya atau kehormatannya atau harta bendanya
kemudian dia mengadu kepada kadi dan manakala sabit aduan-aduannya di sisi kadi
atau mahkamah syariah dan dia memberi kepada kadi bagi pihak saya RM1, maka pada
ketika itu tertalaklah dia dengan satu talak khuluk.”
- Suami tidak boleh merujuk isterinya kecuali dengan akad dan mahar yang baharu.

You might also like