You are on page 1of 3

LAPORAN REFLEKTIF

Kit pembelajaran merupakan suatu kaedah inovatif yang digunakan sebagai bahan
bantu mengajar untuk membantu para guru mengendalikan proses pengajaran dan
pembelajaran (PdP) dengan lebih menarik di samping mewujudkan suasana pembelajaran
yang lebih aktif serta menggalakkan interaksi dua hala antara guru dan murid.

Berdasarkan kit pembelajaran yang telah dihasilkan, saya telah memperoleh


pengetahuan baharu. Antaranya ialah saya dapat mempelajari cara menghasilkan kit
pembelajaran multimedia interaktif yang menjadi trend masa kini dengan menjadikan video
tutorial di YouTube sebagai panduan utama bagi menjayakannya. Walaupun kit pembelajaran
yang dihasilkan bukanlah berdasarkan bahan maujud sepertimana yang digunakan oleh
sesetengah guru yang lain, namun kit pembelajaran yang dibuat dengan hanya menggunakan
perisian PowerPoint ini juga mampu memberi impak positif dalam sesi PdP.

Dalam kit pembelajaran ini, saya telah memuatkan pengisian pembelajaran bagi salah
satu tajuk dalam bidang ibadah tahun 1 iaitu Solat Tiang Agama, bermula dengan nota-nota
ringkas dan padat yang mudah difahami serta diikuti dengan aktiviti pengukuhan yang
berbentuk lagu dan kuiz pemahaman yang turut disesuaikan dengan psikologi pendidikan bagi
murid-murid sekolah rendah. Tambahan pula, bahan pengajaran dan pembelajaran yang
disampaikan melalui kit pembelajaran ini juga mempunyai elemen-elemen multimedia seperti
teks, grafik, audio, video dan animasi. Unsur kartun berilustrasi yang lebih sinonim dengan jiwa
kanak-kanak turut diserap masuk seperti Upin & Ipin serta Ana Muslim untuk mendedahkan
cara hidup Islam kepada murid-murid alaf baharu ini.

Pelbagai kemudahan berbentuk multimedia yang membawa kepada pembelajaran


secara pantas turut dapat disediakan menerusi kit pembelajaran yang dihasilkan. Hadi, Maxwell
dan Mehrnaz (2019) juga menyatakan bahawa pembelajaran berasaskan digital telah menerima
perhatian yang ketara dalam pedagogi pendidikan sebagai cara yang efektif untuk
meningkatkan motivasi dan penglibatan murid di dalam kelas. Pelajar-pelajar juga secara
semulajadinya mempunyai tarikan yang kuat terhadap pendominasian teknologi (Prensky,
2001). Kit pembelajaran ini juga adalah fleksibel kerana dapat digunakan sama ada ketika
pembelajaran secara bersemuka mahupun PdPR semenjak pandemik COVID-19 melanda
negara kita.

1
Selain itu, kekuatan yang dapat dilihat ialah penerapan elemen Teknologi, Maklumat
dan Komunikasi (TMK). Sehubungan dengan itu, kajian-kajian di dalam mahupun luar negara
juga membuktikan bahawa penggunaan TMK seperti perisian pengajaran multimedia mampu
meningkatkan minat dan pencapaian murid dalam akademik (Jamalludin & Zaidatun, 2003; al-
Mikhlafi, 2006). Tambahan pula, perkara ini turut disokong oleh Anuar, Haishah dan Atiqah
(2009) yang menyatakan bahawa kaedah pengajaran berasaskan TMK haruslah diperluas serta
dibudayakan supaya PdP menjadi lebih berkesan dan memberi rangsangan baharu dalam
kalangan murid-murid sekolah rendah.

Di samping itu, kelebihan yang terdapat pada kit pembelajaran ini ialah
penggabungjalinan antara ketiga-tiga jenis seni iaitu seni visual, muzik dan pergarakan yang
diterapkan berupaya membantu murid agar lebih fokus ketika belajar kerana salah satu kaedah
untuk mengajar adalah dengan mengintegrasikan seni ke dalam pengajaran guru (Betts, 2005).
Apabila adanya pengintegrasian antara seni-seni ini, pemahaman murid akan lebih dekat
kepada situasi yang sebenar di samping memudahkan mereka dalam mengingati sesuatu. Hal
ini juga seharusnya dititikberatkan oleh para guru kerana menerapkan pendidikan seni
merupakan peranan utama kepada guru-guru bagi memperkembang dan meningkatkan
prestasi murid-muridnya dalam domain kognitif, afektif serta psikomotor (Lacy & Hastad, 1998).

Visual yang dipaparkan, muzik yang diperdengarkan serta pergerakan yang dilakukan
bersama-sama juga pasti meningkatkan tumpuan murid untuk terus mengikuti pembelajaran
tanpa jemu kerana Wiggin dan Espeland (2012) berpendapat bahawa pengintegrasian muzik
dan pergerakan dalam bilik darjah adalah mudah dan menyeronokkan. Hal ini terbukti bahawa
kit pembelajaran multimedia interaktif juga berpotensi untuk menyumbang kepada kemajuan
dalam dunia pendidikan lebih-lebih lagi setelah Pembelajaran Abad ke-21 diperkenalkan.
Tambahan pula, proses PdP secara tradisional telah mengalami perubahan secara
berperingkat ke arah pembelajaran berasaskan teknologi komputer (Aziah & Taufik, 2016).

Seterusnya, kekuatan kit pembelajaran ini ialah tahan lebih lama kerana kebanyakan
mereka yang menggunakan bahan maujud akan lebih mudah terdedah kepada kerosakan.
Tambahan pula, kit ini sudah tersedia dalam bentuk salinan lembut dan dapat memberi manfaat
kepada alam sekitar kerana menjimatkan penggunaan kertas serta kos pencetakan, sekaligus
mengurangkan beban para guru untuk membawanya ke mana-mana setiap kali kit
pembelajaran ini diperlukan di samping mudah untuk dirujuk pada bila-bila masa sahaja kerana

2
guru dan komputer riba merupakan gandingan yang serasi sewaktu sesi pembelajaran
berlangsung di sekolah.

Kelemahan yang terdapat pada kit pembelajaran ini pula ialah kit ini tidak dapat
dipersembahkan sekiranya alatan sokongan tidak mencukupi seperti projektor dan pembesar
suara. Selain itu, kit ini mempunyai kekurangan dari segi persembahannya yang masih belum
mencapai tahap cemerlang disebabkan saya masih lagi amatur dalam dunia penghasilan bahan
multimedia secara interaktif ini. Kit pembelajaran yang disimpan dalam salinan lembut pula
berpotensi terdedah kepada ancaman virus daripada komputer.

Kelemahan yang paling ketara pula ialah kit pembelajaran ini tidak dapat disediakan
secara dalam talian disebabkan masalah capaian internet yang dialami untuk memuat naik
bahan agar dapat diakses secara online. Kit ini juga tidak melibatkan sebarang deria sentuhan
dan kurang memberikan pengalaman kepada murid, namun mereka hanya memperoleh
pengetahuan menerusi tayangan slaid yang bergerak secara pantas (Noriani Jamal, 2021).

Cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan terhadap pelaksanaan projek ini


adalah saya perlulah mencari kawasan capaian internet yang stabil agar dapat memuat naik
bahan multimedia interaktif ini secara dalam talian dan memberikan manfaat untuk sepenuhnya
diakses oleh para guru serta murid. Selain itu, saya hendaklah memperuntukkan masa yang
lebih lama untuk meneliti video-video tutorial daripada pelbagai sumber agar dapat
menggabungkan idea-idea bagi menghasilkan kit pembelajaran yang lebih berkualiti. Saya juga
haruslah melaksanakan pembelajaran yang melibatkan praktikal di lapangan dan adanya bahan
maujud agar dapat dirasai oleh seluruh anggota badan murid serta sekaligus membina
semangat kerjasama dalam kalangan mereka terutamanya apabila PdP tersebut melibatkan
aktiviti berkumpulan di samping turut menggunakan kit pembelajaran yang berbentuk
multimedia interaktif.

Rumusannya, penghasilan kit pembelajaran telah memberikan pengetahuan baharu dan


pengalaman berharga kepada diri saya serta berkemampuan menilai kekuatan dan kelemahan
untuk ditambah baik pada masa akan datang. Peluang yang diberikan juga seharusnya digarap
dengan baik bagi mendepani cabaran sebagai seorang pendidik serta mengaplikasikan segala
kemahiran yang ada dalam menjadikan profesion keguruan sebagai kerjaya yang diminati.

You might also like