You are on page 1of 10

1.

0 PENGENALAN

Saya telah menjalankan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) untuk kali yang
ketiga di Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 1, Besut, Terengganu pada 31 Mac hingga 4 April
2019. Untuk menyelesaikan tugasan kerja kursus bagi subjek Pedagogi Pendidikan Al-Quran
(PIMK 3212), saya telah diamanahkan untuk mengenalpasti strategi, pendekatan, kaedah dan
teknik pengajaran Pendidikan al-Quran yang diamalkan oleh guru Pendidikan Islam di sekolah
tersebut. Jadi, saya telah memerhati dan menemubual seorang guru Pendidikan Islam iaitu
Ustaz Mohd Noor Bin Hussain bagi mendapatkan maklumat yang dikehendaki. Terdapat
beberapa strategi, pendekatan, kaedah dan teknik dalam proses pengajaran dan
pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan oleh beliau selepas proses temu bual dan
pemerhatian berlangsung.

1
2.0 STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Antara strategi PdP yang digunakan oleh Ustaz Mohd Noor adalah berpusatkan guru
dan murid. Hal ini dapat dilihat ketika beliau masuk ke dalam kelas tahun 6 semasa sesi tasmi’
dan tilawah dilaksanakan. Pada ketika itu, beliau masuk ke dalam kelas bersama Ustaz Zaidi
kerana kelas tersebut terdiri daripada 30 orang murid. Oleh itu, sudah pasti dengan bilangan
dua orang guru dapat mencakupi kelas tasmi’ pada hari tersebut sekaligus dapat memantau
bacaan murid dengan teliti. Pada sesi kelas tersebut, beliau memanggil salah seorang murid
untuk membacakan al-Quran di hadapannya. Kemudian, beliau membacanya terlebih dahulu
dan diikuti oleh murid tersebut sehinggalah habis. Ini dapat dilihat bahawa strategi yang
digunakan oleh Ustaz Mohd Noor dalam mengajar bidang tilawah adalah berpusatkan guru
dan murid.

Selain itu, Ustaz Mohd Noor juga mengatakan bahawa beliau juga menggunakan
strategi berpusatkan bahan. Hal ini dapat dilihat ketika beliau masuk ke dalam kelas tahun 4
ketika sesi hafazan. Beliau banyak menggunakan al-Quran dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Beliau juga memberitahu bahawa ini merupakan salah satu galakan ataupun
cara untuk murid-murid suka melihat dan dapat mengenal al-Quran. Namun begitu, beliau
jarang menggunakan strategi ini di dalam kelas kerana kuantiti al-Quran yang terhad dan
hanya relevan kepada kelas tasmi’ yang memerlukan murid membaca seorang demi seorang.
Oleh yang demikian, beliau telah mengambil langkah menggunakan aplikasi teknologi
maklumat dan komunikasi (TMK) dalam sesi PdP supaya murid-murid dapat membaca dan
melihat al-Quran bersama-sama sekaligus dapat menjadikan pembelajaran tersebut sebagai
pembelajaran abad ke-21.

Akhir sekali, Ustaz Mohd Noor banyak menggunakan strategi berpusatkan aktiviti. Ini
bermaksud murid yang banyak melibatkan diri dalam menjalankan aktiviti atau tugasan
pembelajaran termasuklah pengaplikasian kemahiran, nilai dan ilmu yang telah dipelajari
(Meiti, 2002 dalam Shamsinar & Akhiar, 2015). Untuk melaksanakan strategi ini, beliau
memerlukan murid untuk memahami konsep terlebih dahulu sebelum pelaksanaan ke arah
yang lebih tinggi. Jadi, strategi sebegini lebih sesuai selepas guru telah memberikan
penerangan atau penjelasan tentang topik. Menurut Ustaz Mohd Noor, strategi ini banyak
melibatkan murid untuk melakukan aktiviti secara berkumpulan atau lebih dikenali sebagai
pembelajaran koperatif di mana pembelajaran tersebut merupakan salah satu elemen
pembelajaran abad ke-21. Sebagai contoh, beliau melaksanakan aktiviti gallery walk yang
mana memerlukan murid untuk menyusun potongan ayat al-Quran mengikut kumpulan

2
kemudian membentangkan hasil kerja masing-masing dalam susunan stesen. Tambahan
pula, guru akan mengarahkan murid supaya bergerak ke stesen demi stesen mengikut
kumpulan dan salah seorang ahli kumpulan akan berada di kumpulan masing-masing untuk
membentangkan kepada kumpulan lain.

3
3.0 PENDEKATAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Pendekatan merupakan cara yang digunakan oleh guru setelah memilih strategi yang
sesuai untuk melaksanakan sesi PdP. Antara pendekatan yang digunakan oleh Ustaz Mohd
Noor termasuklah pendekatan deduktif. Pendekatan deduktif ialah kesinambungan kepada
strategi berpusatkan guru. Hal ini demikian kerana murid akan diberikan panduan terlebih
dahulu oleh guru dan kemudiannya murid akan melakukan aktiviti amali untuk memastikan
mereka dapat melakukan pengukuhan sendiri dan seterusnya disahkan oleh guru. Dalam
pendekatan ini, Ustaz Mohd Noor memulakan kelas hafazan surah an-Nas dengan mengajar
terlebih bagaimana untuk memulakan penghafalan dengan melakukan aktiviti talaqqi
musyafahah iaitu guru membaca terlebih dahulu dan kemudian diikuti bacaan murid sebanyak
10 kali. Seterusnya, beliau akan memberikan masa kepada murid untuk menghafaz secara
sendirian selama 15 minit. Akhir PdP, beliau meminta setiap murid membacakan hafazan
dengan pasangan untuk membetulkan bacaan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Ustaz Mohd
Noor banyak menggunakan aktiviti pembelajaran abad ke-21 dalam pengajarannya supaya
murid tidak mudah bosan.

Selain itu, Ustaz Mohd Noor juga menggunakan pendekatan induktif dalam sesi PdP
beliau. Pendekatan induktif merupakan berlawanan dengan pendekatan deduktif di mana
pendekatan ini lebih kepada berpusatkan murid. Menurut Ustaz Mohd Noor, pendekatan ini
lebih kepada mengajar murid untuk mencari penyelesaian sendiri dan guru hanya bertindak
sebagai fasilitator. Pendekatan ini lebih bersesuaian dengan pembelajaran abad ke-21 kerana
pendekatan ini akan menyebabkan murid lebih aktif dan menjadikan murid lebih mengingati
apa yang dipelajari. Sebagai contoh, Ustaz Mohd Noor menggunakan pendekatan ini ketika
memulakan pengajarannya berkaitan bidang kefahaman surah an-Nas. Beliau menceritakan
berkaitan keajaiban penciptaan manusia dengan menunjukkan video. Kemudiannya, beliau
mengaitkan dengan pelajaran kefahaman surah an-Nas dan menyuruh murid-muridnya
menceritakan tentang kelebihan diri masing-masing. Ini menunjukkan bahawa Ustaz Mohd
Noor melibatkan murid-muridnya secara keseluruhan sepanjang proses PdP seiring dengan
kehendak pembelajaran abad ke-21.

Akhir sekali, pendekatan yang digunakan oleh Ustaz Mohd Noor dalam proses PdP
ialah pendekatan bersepadu. Pendekatan ini merupakan satu langkah untuk menggabungkan
elemen-elemen yang terpisah supaya saling berkaitan secara menyeluruh dan harmoni.
Apabila kesemua elemen pembelajaran dapat digabungkan dengan harmoni, jelas
menunjukkan bahawa guru tersebut bijak dalam mengadun ilmu, kemahiran dan nilai untuk

4
murid praktikkan. Oleh yang demikian, pendekatan bersepadu ini saling berkaitan dengan teori
kecerdasan pelbagai yang diusulkan oleh Howard Gardner (Haliza & Joy, 2015). Hal ini dapat
dilihat ketika Ustaz Mohd Noor mengajar tentang kefahaman surah an-Nas dengan
mengaitkan dengan kehebatan penciptaan manusia di mana beliau membawa model rangka
manusia dan otot manusia yang dipinjam dari makmal sains. Oleh yang demikian, pelajaran
mengenai kefahaman surah an-Nas dapat difahami oleh setiap murid kerana wujudnya unsur
visual dan kinestatik dalam PdP selaras dengan apa yang diusulkan oleh Howard Gardner.

5
4.0 KAEDAH DAN TEKNIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Kaedah dan teknik PdP merupakan langkah bagaimana guru melaksanakan aktiviti
dengan berkesan serta dapat mencapai objektif yang ditetapkan berdasarkan startegi dan
pendekatan yang digunakan. Kaedah juga merupakan satu susunan sistematik oleh guru bagi
memastikan kelancaran aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Antara kaedah dan teknik yang
digunakan oleh Ustaz Mohd Noor adalah talaqqi musyafahah yang digunakan untuk guru
mengajar cara membaca al-Quran mengikut hukum tajwid yang betul dan diikuti oleh bacaan
murid. Pelaksanaannya haruslah berlaku bersemuka antara guru dan murid kerana murid
perlu mendengar bacaan guru dengan teliti. Hal ini demikian kerana kemahiran mendengar
dengan aktif merupakan salah satu kemahiran utama yang diperlukan oleh murid. Menurut
Ustaz Mohd Noor, kebiasaannya kaedah talaqqi musyafahah dilaksanakan sama ada
berkumpulan atau individu. Namun begitu, beliau banyak menggunakan teknik ini secara
berkumpulan untuk memendekkan masa dan penyesuaian dengan masa 30 minit setiap satu
sesi. Beliau juga memberitahu bahawa melalui kaedah ini, beliau dapat membaiki mutu
bacaan muridnya dan meningkatkan keyakinan untuk membaca di hadapan guru. Oleh yang
demikian, beliau bersetuju bahawa kaedah talaqqi musyafahah merupakan salah satu cara
untuk membantu guru melancarkan proses PdP.

Selain itu, kaedah tikrar atau lebih dikenali kaedah mengulang-ulang turut digunakan
oleh Ustaz Mohd Noor ketika mengajar bidang hafazan. Hal ini bertepatan dengan fungsinya
yang menyuruh murid-murid untuk mengulang bacaan sehingga mampu menghafaz ayat yang
dibaca. Sebagai contoh, Ustaz Mohd Noor akan membacakan ayat hafazan satu persatu
terlebih dahulu dan diikuti dengan bacaan murid sehingga beliau berpuas hati dengan bacaan
murid. Kemudian, beliau meminta murid untuk berada bersama pasangan masing-masing dan
membaca secara bergilir-gilir sehingga mereka mampu untuk membaca tanpa melihat mashaf
al-Quran. Ustaz Mohd Noor memberitahu, ketika murid-murid membaca ayat hafazan
bersama pasangan, beliau akan bergerak ke sekeliling kelas untuk memperbetulkan bacaan
murid sekaligus dapat melaksanakan penilaian pencapaian murid bagi bidang hafazan.

Akhir sekali, Ustaz Mohd Noor turut menggunakan kaedah bermain ketika proses PdP
beliau. Hal ini dapat dilihat apabila beliau mengajar bagi bidang tajwid tentang hukum nun
mati. Dalam kaedah ini juga, beliau turut menerapkan pembelajaran berasaskan masalah.
Sebagai contoh, beliau membahagikan murid-murid kepada kumpulan yang kecil. Kemudian,
beliau memberikan setiap kumpulan itu dengan satu fail yang mengandungi ayat al-Quran
yang berlainan antara kumpulan. Selepas itu, beliau meminta untuk setiap kumpulan

6
menganalisis dan mengelaskan potongan ayat yang mengandungi hukum nun mati dengan 5
hukum tajwid iaitu idgham maal ghunnah, idgham bila ghunnah, izhar halqi, ikhfak hakiki dan
iqlab. Di akhir sesi PdP, Ustaz Mohd Noor meminta setiap kumpulan untuk membentangkan
hasil dapatan dan perbincangan di hadapan kelas serta menerangkan apa yang telah di
pelajari mengenai hukum nun mati sebagai penilaian PdP pada hari tersebut.

7
5.0 PENUTUP

Kesimpulannya, setiap guru harus merancang sebaiknya tentang strategi, pendekatan,


kaedah dan teknik yang akan digunakan dalam proses PdP supaya objektif yang dirancang
dapat dicapai dengan sebaiknya sekaligus menjadikan PdP tidak membosankan bagi murid-
murid. Tambahan pula, dalam mengharungi arus globalisasi, guru seharusnya menyediakan
platform untuk murid belajar secara sistematik dan menggunakan kemahiran pembelajaran
abad ke-21 sebagai medium utama untuk murid mencapai ilmu, kemahiran dan nilai.

(1301 patah perkataan)

8
Rujukan

Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel. (2015). Siri Pendidikan Guru: Pengurusan Bilik
Darjah dan Tingkah Laku. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Shamsinar Shamsuddin & Akhiar Pardi. (2015). Siri Wacana Akademia Pelangi: Pedagogi
Pendidikan Islam. Selangor: Pelangi Profesional Publishing Sdn. Bhd.

9
Lampiran

10

You might also like