You are on page 1of 4

Pada era modenisasi dan diliberalisasi ini, internet merupakan medium atau rangkaian

untuk kita berhubung antara satu sama lain dengan dunia luar. Pelbagai maklumat
boleh didapati dengan hanya menggerakkan satu jari sahaja. Pelbagai medium boleh
digunakan seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya. Internet boleh
mendatangkan banyak manfaat kepada penggunanya jika digunakan untuk tujuan yang
baik. Namun begitu, internet juga boleh mendatangkan keburukan kepada seseorang
jika tidak digunakan secara beretika. Mengikut statistik yang telah dikeluarkan oleh
Cyber Security Malaysia (CSM), kes jenayah siber meningkat dari tahun ke tahun.
Setiap 10,000 kes dilaporkan berlaku pada setiap tahun di negara ini dengan nilai
kerugian sebanyak RM2.7 juta antaranya melibatkan kes penipuan dalam talian dan
pencerobohan sistem pengkomputeran. Oleh itu, penyalahgunaan internet bukanlah
satu isu yang boleh kita ambil mudah sahaja, semua pihak harus berganding bahu
dalam menangani masalah sebegini.

Mengikut MYHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia, buli siber adalah perbuatan


mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik
seperti mesej teks (SMS), chatting, e-mel, laman web sosial, telefon bimbit atau
permainan internet. Jenis-jenis buli siber mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia
merangkumi mesej yang mengganggu dan mengancam, menyalahgunakan kata laluan
atau nama skrin orang lain atau menyamar sebagai orang lain, memanjangkan e-mel,
foto atau video kepada orang lain, memuat naik komen atau gambar yang tidak
senonoh, sexting (tindakan menghantar gambar, mesej atau video berunsurkan seksual
menggunakan telefon bimbit) dan memulaukan individu tertentu daripada sesuatu
kumpulan internet dengan sengaja.

Faktor am berlakunya kes jenayah siber ini pada kebiasaannya berpunca daripada
ketidakpuasan hati seseorang terhadap individu tertentu sama ada atas sebab perilaku,
kemewahan, penampilan dan sebagainya yang ada pada mangsa. Penggunaan
teknologi yang tiada hadnya menjadikan pembuli siber lebih berani dalam mendera
mangsa secara mental dengan menggunakan kata-kata negatif bertujuan untuk
menyakiti hati mangsa sekaligus memberi penderaan emosi dan mental kepada
mangsa. Siber buli ini mudah dilakukan kerana mereka hanya perlu menaip kata-kata
yang tidak sepatutnya seperti perkataan lucah, hinaan dan berbaur ugutan kepada
mangsa supaya dapat menyeksa mental mangsa. Perkara ini mudah sahaja dilakukan
kerana pembuli tidak perlu bersemuka dengan mangsa tersebut. Hal ini menyebabkan
pembuli lebih berani untuk mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya kepada
mangsa. Jelasnya, ketidakpuasan hati merupakan faktor am berlakunya kes jenayah
siber.

Selain itu, faktor berlakunya kes jenayah siber buli adalah kerana pembuli siber kurang
mendapat perhatian yang cukup daripada keluarga dan insan terdekat. Hal ini demikian
menyebabkan mereka ingin mencari perhatian daripada orang ramai dengan
melakukan perkara yang salah iaitu siber buli. Mereka mengirim teks seperti kata-kata
hinaan, ugutan kepada mangsa. Dengan cara itu, mereka dapat perhatian daripada
umum. Tegasnya, kurang mendapat perhatian yang cukup daripada keluarga dan insan
terdekat merupakan faktor berlakunya kes jenayah siber.

Selain itu, faktor berlakunya kes siber buli adalah kurangnya pengetahuan nilai-nilai
agama dalam diri mereka. Sebagai contoh, mereka menghina orang dengan perkataan-
perkataan yang lucah, mengedar gambar yang tidak sepatutnya, membuka aib
seseorang dan sebagainya. Perbuatan seperti ini amatlah ditegah dalam agama. Hal ini
boleh menyebabkan mangsa mengalami tekanan emosi yang sangat teruk dan jika
dibiarkan mangsa mungkin mengambil keputusan drastik untuk membunuh diri.
Kesimpulannya, kurangnya pengetahuan nilai-nilai agama turut menyumbang kepada
faktor kes siber buli ini.

Secara umumnya, buli siber boleh mendatangkan kesan sebagaimana buli tradisional
(Kowalski et al., 2012). Kajian-kajian telah mendapati terdapat hubungan yang
signifikan antara buli siber dan kesan terhadap kesejahteraan emosi dan psikologikal
seperti menimbulkan perasaan marah, kecewa, sedih dan tertekan (Patchin &
Hinduja, 2012). Antara implikasi negatif kepada mangsa termasuklah depresi, rendah
penghargaan kendiri, putus asa, kebimbangan sosial, hilang tumpuan, rasa terasing
dan akhirnya cenderung untuk bunuh diri. Satpathy dan Ganth (2015) mendapati lelaki
lebih kerap menjadi mangsa buli berbanding perempuan kerana mereka lebih aktif
menggunakan Internet. Namun demikian, perempuan didapati mempunyai tahap
ketakutan yang lebih tinggi terhadap penilaian negatif, depresi, kebimbangan dan
tekanan.

Kajian menunjukkan buli siber berkaitan dengan penurunan pembelajaran di


sekolah serta tekanan dan kebimbangan (Bauman, 2012). Kajian berdasarkan
gender menunjukkan pelajar perempuan yang menjadi mangsa buli akan kehilangan
fokus (Goddard, 2008). Patchin dan Hinduja (2012) mendapati mangsa buli siber
menghadapi masalah penurunan prestasi akademik, ponteng sekolah, menipu dalam
peperiksaan, terlibat dengan ketagihan alkohol dan kes juvana. Kajian-kajian juga
menunjukkan bahawa buli boleh menyebabkan kemarahan, kesedihan dan daya
tumpuan yang lemah dalam kalangan mangsa (Walker & Sockman, Koehn 2011).
Didapati juga pelajar yang menjadi mangsa buli siber ini menunjukkan simptom
depresif yang tinggi (Erdur-Baker & Tanrikulu, 2010). Kajian terhadap pembuli siber
pula menunjukkan mereka mempamerkan tingkah laku yang lebih agresif di alam siber
berbanding kehidupan sebenar (Ybarra & Mitchell, 2004).

Kajian juga menunjukkan buli siber boleh mendatangkan kesan negatif terhadap
kesihatan dan kesejahteraan remaja misalnya depresif, kebimbangan, kesunyian,
bunuh diri dan simptom somatik (Nixon, 2014). Sementara itu, pelaku buli siber pula
dapati meningkat penggunaan dadah, lebih agresif dan bertingkah laku delinkuen. Ayas
dan Deniz (2014) mendapati terdapat hubungan positif dan signifikan di antara
pendedahan kepada buli siber dengan psikoticism, iaitu satu keadaan di mana
boleh menyebabkan individu mengalami perubahan emosi dan gaya berfikir serta
pemikiran abnormal yang menyebabkan sukar untuk memahami perasaan seseorang.
Brighi et al. (2012) yang menjalankan kajian ke atas 6,000 pelajar berusia 12-16
tahun mendapati buli siber akan menyebabkan mangsa mengalami nilai kendiri
yang rendah serta mengalami kesunyian. Bagi golongan remaja, buli siber bukanlah
dilihat sekadar gurauan semata-mata kerana mereka tidak tahu apa yang harus
dilakukan kerana mematikan term telefon atau komputer bermakna mengasingkan diri
daripada kelompok rakan sebaya, malah jika memberitahu kepada ibu bapa juga akan
menyebabkan mereka tidak dibenarkan untuk terus mengakses teknologi sosial ini
(Agatston, Kowalski & Limber, 2011).
Oleh itu, pelbagai langkah yang harus diambil dalam menangani perkara ini.
Masyarakat haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing supaya permasalahan
ini dapat diselesaikan dengan lebih efisien lagi. Langkah-langkah yang boleh diikuti
dalam membanteras jenayah kes siber buli ini adalah orang awam harus mengetahui
undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Melalui seksyen 223, Akta
Komunikasi Dan Multimedia, sebarang komen, permintaan, cadangan atau setiap
komunikasi yang kedengaran lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau serangan
dengan niat untuk menjengkelkan, memaki dan mengancam atau mengacau orang
yang lain dianggap suatu kesalahan. Pesalah boleh dikenakan denda maksimum
RM50,000 atau penjara maksimum setahun. Oleh itu, siber buli bukanlah suatu perkara
yang boleh dibawa main. Masyarakat perlu tahu isu siber buli adalah suatu yang serius.
Kerajaan Malaysia amat menitikberatkan kes siber buli seperti ini.

Kesimpulannya, semua pihak haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing
supaya isu siber buli ini dapat diatasi dengan sebaik mungkin. Setiap orang haruslah
mematuhi etika dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Isu seperti ini
haruslah diambil berat bukan dipandang sepi begitu sahaja. Mungkin ianya nampak
biasa dan kecil bagi sesetengah orang namun saya percaya isu yang kecil sebeginilah
harus dibendung dahulu sebelum ianya menjadi besar. Siber buli boleh membunuh
orang secara senyap. Oleh itu, setiap orang haruslah menjaga adab dalam menulis
atau menyebarkan sesuatu perkara agar ianya tidak menyakiti hati sesiapa.

You might also like