You are on page 1of 13

ISI KANDUNGAN

1.0 PENDAHULUAN...........................................................................................................1

2.0 ANALISIS.......................................................................................................................2

2.1 Definisi Etika...............................................................................................................2

2.2 Definisi Peradaban.......................................................................................................3

2.3 Definisi Perpaduan......................................................................................................3

2.4 Etika & Nilai Murni untuk Memupuk Perpaduan.......................................................4

2.5 Kepentingan Perpaduan...............................................................................................5

2.6 Bersatu Padu dalam Perpaduan...................................................................................6

3.0 CADANGAN..................................................................................................................7

4.0 KESIMPULAN.............................................................................................................10

RUJUKAN...............................................................................................................................10
ETIKA DAN PERADABAN PEMANGKIN PERPADUAN MASYARAKAT
MAJMUK MALAYSIA

1.0 PENDAHULUAN
Kepelbagaian masyarakat merupakan satu yang lumrah bagi kebanyakan negara di
dunia pada hari ini. Masyarakat yang terdiri daripada kelompok kaum, budaya dan agama
yang berbeza-beza menjadikan ia satu cabaran yang berpanjangan dalam mengurus
kemajmukan sosial ini. Cabaran ini wujud terutamanya dalam aspek membentuk
keharmonian, keamanan dan interaksi positif antara kaum, agama dan budaya yang berbeza
ini. Ia memerlukan pendekatan yang berhemah dan penuh rasa hormat di antara satu sama
lain.

Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum yang hidup dalam keadaan aman
dan damai. Terdapat tiga kaum utama di Malaysia yang membentuk komuniti masyarakat
majmuk terbesar iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Kaum Melayu merupakan kaum
terbesar dengan membentuk hampir 55% daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.
Kaum Melayu merupakan satu kaum yang beragama Islam, bertutur Bahasa Melayu dan
mengamalkan budaya kehidupan orang Melayu. Kaum Melayu merupakan kaum utama yang
mempengaruhi perjalanan arena politik di Malaysia. Kaum Cina pula mewakili 25% daripada
jumlah penduduk Malaysia dan kebanyakan mereka ini tinggal di kawasan bandar terutama di
kawasan pantai barat semenanjung. Kebanyakan kaum Cina di sini mengamalkan ajaran
agama Buddha, Taoisme dan juga Kristian. Pertuturan bahasa yang utama bagi kaum Cina
adalah bahasa Mandarin, Hokkien dan Kantonis. Kebanyakan Kaum Cina menjalankan
pelbagai bentuk perniagaan dan kaum ini lebih mendominasi pengaruh kuasa ekonomi di
Malaysia. Kaum India pula membentuk 7.5% daripada jumlah populasi. Kebanyakan mereka
mengamalkan ajaran Hindu atau Kristian, bertutur bahasa Tamil, Malayalam, atau Hindi.
Selain itu tiga kaum utama ini, terdapat juga kaum lain yang membentuk masyarakat majmuk
Malaysia seperti Sikh, Serani, Baba dan Nyonya serta kaum bumiputera lain seperti orang
Asli dan etnik minoriti yang tertumpu di Sabah dan Sarawak seperti Iban, Bidayuh, Murut,
Kadazan, Dusun dan sebagainya.

Sebagai sebuah negara membangun yang sedang membina masa depan negara yang
lebih dinamik serta berusaha untuk memposisikan diri sebagai salah sebuah negara maju,
cabaran berterusan dalam arus globalisasi dan pasca kemodenan merupakan satu realiti yang

1
harus ditangani dengan sebaik mungkin. Ancaman pelbagai krisis yang berbentuk penindasan
dari segi ekonomi, politik dan sosial merupakan antara perkara yang harus ditangani oleh
pemimpin dan juga rakyat Malaysia. Ancaman berikut jika tidak diperhalusi dan ditangani
dengan baik dan berhemah akan menjadi batu halangan kepada proses pembentukan dan
pembinaan berterusan keharmonian dan perpaduan rakyat di dalam negara ini. Malaysia
bukan sahaja perlu dikenali sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi dan
pembangunan, tetapi turut perlu menjadi sebuah negara yang mempunyai keharmonian di
mana rakyatnya yang berlatarbelakangkan pelbagai agama, bangsa dan budaya dapat bersama
dalam suasana yang aman dan hamoni. Oleh yang demikian, penerapan dan penerasan etika
dan peradaban dalam setiap rakyat Malaysia amatlah penting untuk memastikan tujuan
semangat perpaduan ini dapat dibina, diluhurkan dan dipertahankan.

2.0 ANALISIS

2.1 Definisi Etika

Perkataan etika di pinjam daripada perkataan Greek iaitu ethos yang memberi
bermaksud “perlakuan seseorang”. Garner (1986) menjelaskan etika atau ethic merupakan
perkataan bahasa Inggeris yang berasal daripada bahasa Greek iaitu ‘ethikos’ iaitu moral dan
‘ethos’ yang membawa definisi sikap atau adat. Etika secara ringkasnya merupakan satu
disiplin atau peraturan yang menentukan sama ada sesuatu perbuatan itu baik atau buruk.
Etika adalah satu prinsip disiplin yang dapat memberikan maklumat kepada kita mengenai
sistem moral yang diamalkan oleh setiap kelompok masyarakat. Saravanan (2018)
mendefinisikan etika sebagai sebuah set peraturan yang berkait rapat dengan nilai - nilai
moral serta norma kehidupan sesuatu masyarakat. Mohd Nasir (1992) memberitahu bahawa
etika terbahagi dua bahagian iaitu Etika Deskriptif dan Etika Normatif. Etika Deskriptif
menyedarkan kita bahawa di dalam dunia ini terdapat pelbagai sistem moral yang relatif
seperti etika di dalam agama yang berlainan iaitu Hindu, Kristian, Buddha, dan Islam. Contoh
etika relatif lain adalah etika yang berlainan dari sudut kehidupan seperti etika barat dan juga
timur. Etika Deskriptif pula memberi gambaran tentang perlakuan etika sesuatu masyarakat
dan memberitahu standard moral yang dituntut dan harus dilakukan oleh sesebuah
masyarakat itu. Mohamad Mohsin & Hamdzun (2002) mengatakan terdapat dua perkara asas
yang menjadi tumpuan di dalam etika iaitu akhlak seseorang individu dan peraturan -
peraturan sosial seperti peraturan mengenai perkara yang betul atau salah yang menghadkan

2
tingkah laku individu tersebut. Dari sudut perspektif Islam, etika boleh didefinisikan sebagai
akhlak yang berdasarkan Al- Quran dan Sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad
SAW.

2.2 Definisi Peradaban

Secara langsung, peradaban berasal daripada perkataan adab yang membawa maksud
akhlak, iaitu kesopanan budi pekerti. Peradaban merupakan penanda aras kebudayaan
masyarakat tertentu yang berlandaskan pencapaian dan peningkatan masyarakat terhadap
ilmu pengetahuan, teknologi, seni dan lain - lain. kepada bahasa Inggeris, istilah civilizations
paling meluas digunakan bagi merujuk kepada istilah peradaban atau tamadun. Perkataan
civilize itu sendiri merujuk kepada memperbaiki tingkahlaku yang kasar atau kurang sopan
dan menyelaraskan tingkahlaku sendiri mengikut keperluan masyarakatnya. Menurut Kamus
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), peradaban merujuk kepada keadaan masyarakat manusia
yang dicirikan oleh taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran dari pelbagai
sudut seperti sosial, budaya, politik dan lain - lain. Istilah peradaban digunapakai untuk
menunjukkan pendapat dan penilaian terhadap perkembangan kebudayaan sesebuah
masyarakat di mana masyarakat yang berkembang dari segi kebudayaannya dinilai sebagai
masyarakat yang bersifat halus, indah budi pekerti, penuh kesopanan dan berhemat tinggi.
Menurut Siska (2015), kewujudan perabadan ditakrifkan melalui empat perkara:

1. Moral adalah nilai - nilai yang berhubungkait dengan kesusilaan dalam


masyarakat.
2. Norma adalah aturan, ukuran, atau pedoman untuk menentukan benar, salah, baik,
dan buruk sesuatu perkara.
3. Etika merupakan nilai - nilai norma moral atau sopan santun dalam mengatur
tingkah laku manusia.
4. Estetik adalah keindahan yang mempunyai unsur kesatuan, keselarasan dan
kebaikan dalam segala sesuatu.

2.3 Definisi Perpaduan

Perpaduan ditakrifkan sebagai hubungan erat atau bersifat toleransi yang diwujudkan
secara sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat
bersama secara jujur dan ikhlas. Dalam kata lain perpaduan adalah proses menyatupadukan
seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan
banggakan negara. Menurut Dasar Perpaduan Negara (DPN), Malaysia berada di kedudukan

3
ke 20 daripada 163 negara menurut Global Peace Index (GPI) yang mengukur tahap
keselamatan dan kemakmuran hidup masyarakat di sesebuah negara. Di dalam laporan DPN
itu juga turut membentangkan tentang dapatan laporan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas).
IPNas merupakan sebuah kaedah empirikal dan sistematik bagi memahami dan menjelaskan
kedinamikan masyarakat di Malaysia dan ianya menjadi penanda aras bagi mengukur tahap
pencapaian kesepaduan sosial dan perpaduan nasional di Malaysia. Berdasarkan nilai skala 0
hingga 1, nilai IPNas negara pada tahun 2020 adalah 0.567. ini menunjukkan bahawa
perpaduan rakyat di Malaysia adalah masih kukuh walaupun terdapat beberapa isu dan deficit
sosial yang mempengaruhi nilai indeks tersebut.

Berdasarkan definisi yang diterangkan, dapat dikaitkan bahawa pembinaan perpaduan


sesebuah masyarakat adalah bergantung kepada bagaimana pembentukan masyarakat tersebut
dalam membina etika, tingkahlaku dan adab moral yang tinggi bagi menjaga hubungan baik
dalam pergaulan dan komunikasi kehidupan. Tanpa sikap, tingkahlaku dan adab yang positif
di dalam kehidupan, adalah mustahil bagi sesebuah masyarakat yang berbilang kaum dan
bangsa dapat hidup dengan mesra bersama kerana perbezaan latar belakang kehidupan
terutama dari segi agama dan budaya setiap kaum membawa persepsi kehidupan yang
berbeza - beza. Oleh yang demikian, nilai – nilai murni kehidupan seperti bersikap saling
menghormati, bertoleransi dan berkasih sayang merupakan etika asas pembinaan masyarakat
majmuk yang harmoni.

2.4 Etika & Nilai Murni untuk Memupuk Perpaduan


Menurut penulisan Prof. Dato' Dr. Teo Kok Seong, ketua Kluster Sejarah, Warisan
dan Sosio Budaya di Majlis Profesor Negara, beliau menggariskan tujuh nilai utama yang
perlu dipupuk didalam diri setiap masyarakat Malaysia bagi menjamin perpaduan masyarakat
di negara ini terus terjamin.

1. Penerimaan - Nilai ini bermaksud masyarakat haruslah mempunyai kesepakatan


dalam mempersetujui semua perkara dan setiap keputusan haruslah diterima secara
bersama oleh semua lapisan rakyat. Antara yang terpenting ialah perhatian serius
semua kaum kepada pengurusan masyarakat majmuk yang baik
2. Tanggungjawab - Nilai kewajipan rakyat untuk memastikan semua yang dipersetujui
bersama itu perlulah dilaksanakan secara kolektif. Ini memerlukan peranan semua
kaum untuk bukan saja melunaskan tugasan dan bahagian masing - masing, malah
juga membantu kaum lain yang menghadapi masalah.

4
3. Kerjasama - nilai yang menganjurkan persefahaman semua kaum dalam melakukan
sesuatu yang bersifat nasional seperti usaha membangunkan negara. Dalam hal ini,
sokongan padu dan usaha menggembleng tenaga dari semua kaum adalah amat
penting dan tanpa semangat muafakat ini, ianya merupakan isyarat awal bahawa
wujudnya konflik antara kaum yang terjadi.
4. Integriti - Pemilikan prinsip akhlak yang kuat membina perwatakan yang baik.
Melalui nilai ini, rakyat dididik untuk menjadi lebih jujur dan amanah. Integriti
seringkali dikaitkan dengan pelbagai prinsip moral yang baik, dan ianya juga boleh
dikaitkan dengan nilai keutuhan. Melalui nilai integrasi ini, rakyat dianjurkan agar
sentiasa jujur dan bersatu.
5. Hormat - Nilai saling menghormati berkait rapat dengan nilai integriti dimana dua
nilai ini bertujuan menggalakkan kelakuan baik. Dalam konteks ini, rakyat dididik
untuk berlaku baik terhadap setiap kaum dan bangsa lain. Nilai hormat bukan saja
boleh menimbulkan rasa penghargaan kepada kaum lain, ianya juga dapat memupuk
amalan dan perasaan bertimbang rasa terhadap mereka walaupun berlainan bangsa
dan agama. Selain perasaan menghargai dan timbang rasa ini, nilai hormat -
menghormati juga mengajar rakyat mematuhi segala yang ditetapkan setelah
dipersetujui bersama. Antara yang terpenting di sini ialah perasaan menghormati
Kontrak Sosial yang telah lama dipersetujui ketika negara ingin mencapai
kemerdekaan.
6. Patriotisme dan Kesetiaan - Dua nilai terakhir ini boleh dicantumkan menjadi satu.
Patriotisme sebagai yang nilai pertama di mana setiap rakyat harus mempunyai
perasaan bangga dan sayang kepada negara. Apabila sudah mempunyai kecintaan dan
rasa kasih yang utuh kepada negara, ianya akan memupuk nilai kesetiaan secara
automatik di dalam jiwa rakyat, iaitu sifat memberi sokongan yang padu dan
semangat mempertahankan negara yang tidak berbelah bahagi. Dengan wujudnya
nilai patriotisme dan kesetiaan dalam kalangan rakyat, ianya akan membantu
melahirkan rakyat yang bukan saja memiliki jati diri kebangsaan yang kental, tetapi
juga akan mempamerkan keterikatan yang sasa kepada negara.

2.5 Kepentingan Perpaduan


Perpaduan merupakan elemen yang penting dalam menilai kemakmuran sesebuah
negara. Terdapat tiga kepentingan utama perpaduan yang harus diterapkan di dalam diri
masyarakat Malaysia. Yang pertama, perpaduan masyarakat akan membantu membina dan

5
mengukuhkan bukan sahaja geopolitik negara, tetapi juga ekonomi negara. Perpaduan kaum
memainkan peranan dalam mengukuhkan lagi ekonomi negara dengan penglibatan semua
kaum dalam kegiatan ekonomi. Sebagai contoh, Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan pada
tahun 1970 oleh Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak, adalah bertujuan untuk
menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di negara ini akibat
daripada perpecahan struktur kehidupan dan ekonomi yang ditinggalkan oleh pihak British
selepas kemerdekaan. Pelancaran dasar ekonomi tersebut memastikan bahawa taraf hidup
masyarakat dapat dipertingkatkan dalam usaha untuk mencapai kemajuan taraf hidup seiring
dengan pembangunan negara.

Yang kedua, perpaduan membantu setiap rakyat untuk mengenali dan memahami
kehidupan dan latar hidup sesama sendiri. Kepelbagaian agama di Malaysia harus diberikan
penekanan dengan mengamalkan semangat perkongsian, saling menghormati dan menanam
sikap toleransi sesama rakyat Malaysia. Dengan itu, setiap diri masyarakat akan lebih terbuka
untuk mengenali dan memahami kepelbagaian agama di negara ini seterusnya menguatkan
lagi kesefahaman antara kaum dan agama.

Seterusnya perpaduan membantu mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang


kaum. Perpaduan kaum merupakan antara faktor terpenting dalam mengekalkan keharmonian
hidup masyarakat majmuk. Sekiranya setiap rakyat berpecah dan bertelingkah diantara satu
sama lain, keadaan negara yang aman akan terjejas dan pertikaian yang berterusan akan
menyebabkan ketidakstabilan ekonomi yang menjejaskan pembangunan negara. Setiap
individu perlu menjadi penggerak utama dalam memupuk dan mengekalkan perpaduan antara
kaum dalam usaha untuk mencapai matlamat ke arah status negara maju serta memastikan
pembangunan ekonomi negara yang stabil dan konsisten.

2.6 Bersatu Padu dalam Perpaduan


Memetik ucapan akhbar daripada Tan Sri Lee Lam Thye, beliau menjelaskan bahawa
adalah menjadi tugas penting setiap rakyat Malaysia untuk memastikan keharmonian kaum
dan agama di Malaysia kekal utuh dan untuk memastikan perkara tersebut, beliau menggesa
agar semua rakyat menolak sebarang bentuk pemikiran ekstremisme sama ada dari sudut
agama, perkauman atau politik. Beliau turut yakin bahawa keharmonian yang sedia ada dapat
dikekalkan jika semua rakyat bersatu padu dan berusaha bersungguh–sungguh dalam
memastikan pelan keharmonian dapat dipelihara.

6
Rakyat Malaysia perlu bersatu padu untuk mewujudkan perpaduan. Sikap saling
memahami adalah penting untuk menjamin kesejahteraan dan keamanan negara. Negara yang
aman dan harmoni akan dapat menjalani pembangunan yang pesat seterusnya memberi
peluang keselesaan hidup kepada rakyatnya. Masyarakat yang bersatu padu memudahkan
urusan bekerjasama dan menggembleng tenaga dalam menjalankan aktiviti ekonomi
bersama–bersama dan membantu meningkatkan tahap ekonomi negara. Hasil pendapatan
negara yang bertambah akan membantu meningkatkan pendapatan negara seterusnya
digunakan untuk tujuan pembangunan infrastuktur, sosio-ekonomi, kebudayaan, pendidikan
dan keselamatan yang secara terus memberi impak positif kepada kehidupan rakyat Malaysia
sendiri. Kepesatan kemajuan dan keharmonian negara yang dicapai ini secara tidak langsung
akan menarik pelabur asing untuk melabur dan berniaga di negara ini seterusnya membuka
peluang pekerjaan dan pembukaan sektor baharu yang memberi manfaat kepada rakyat.

Melalui semangat bersatu padu, kehidupan masyarakat akan menjadi lebih aman dan
sejahtera. Hasil perpaduan ini akan melahirkan generasi masa hadapan yang berilmu, saling
menghormati dan tinggi nilai patriotisme serta mampu menjadi generasi contoh kepada
negara - negara yang lain. Masyarakat Malaysia yang bersatu juga mampu melahirkan
generasi muda yang berwibawa yang bakal dibentuk menjadi pemimpin yang berkaliber serta
pekerja yang berdisiplin. Hal ini secara tidak langsung mampu menghapuskan dan menangani
segala bentuk masalah sosial dalam masyarakat seterusnya mengurangkan kadar jenayah.
Selain itu, nikmat kesejahteraan masyarakat ini mampu menjadi satu daya tarikan kepada
pelancong luar untuk datang ke negara ini seterusnya untuk menikmati keindahan negara dan
keunikan budaya masyarakat di sini.

3.0 CADANGAN
Walaupun semangat perpaduan yang dibentuk oleh nilai etika dan peradaban rakyat
Malaysia adalah di tahap yang memuaskan, amat penting untuk semua pihak mengambil
peranan dalam menggariskan langkah – langkah proaktif agar semangat ini dapat terus
diperlihara. Melihat kepada situasi semasa negara ketika ini, jika tindakan awal mencegah
semangat dan tindakan berbentuk perkauman tidak diambil, ianya boleh memudaratkan
keharmonian yang telah dibentuk sejak kemerdekaan negara ini. Beberapa isu hangat
berkaitan agama dan perkauman seperti isu penggunaan bahasa Jawi dan kalimah Allah,

7
rusuhan kuil di Petaling Jaya, dan pelbagai lagi isu berkaitan hasutan terhadap agama dan
kaum sejak beberapa tahun ini tidak harus dipandang enteng oleh semua pihak.

Oleh yang demikian, terdapat beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan bagi
menangani isu–isu sebelum ianya merebak menjadi barah yang membawa kepada perpecahan
hidup masyarakat di Malaysia. Yang pertama ialah keperluan untuk meningkatkan dan
memperkukuhkan literasi, pemahaman dan penghayatan Perlembagaan Persekutuan dan
Rukun Negara sebagai asas kehidupan masyarakat. Satu mekanisme yang praktikal dan
berkesan perlu diwujudkan di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi
menyemai dan memperkukuhkan etika, nilai murni dan semangat patriotism dalam kalangan
pelajar dan generasi muda. Matlamat utama hal ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan
mempraktikkan prinsip–prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian. Ini adalah
sebahagian daripada usaha untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri,
berwawasan, bermaruah dan beretika tinggi. Peningkatan tahap kecelikan terhadap pengertian
demokrasi yang berasaskan kefahaman Perlembagaan Persekutuan dan penghayatan Rukun
Negara akan membentuk masyarakat Malaysia yang matang, berfikiran jauh dan terbuka
dalam menyuarakan pandangan dan kritikan bagi membina negara dan masyarakat yang
berdaya saing.

Selain itu, langkah memperkukuhkan integrasi nasional juga adalah salah satu
langkah penting bagi memelihara perpaduan. Sebarang usaha untuk merapatkan jurang
perbezaan dan menggalakkan proses integrasi masyarakat tanpa mengira kaum, etnik dan
bangsa di setiap pelusuk negeri perlu dipertingkatkan bagi mengukuhkan perpaduan negara
dan integrasi nasional. Sebagai contoh, jurang dari aspek pembangunan dan akses kepada
kebajikan kepada masyarakat di antara semenanjung dengan Sabah dan Sarawak perlu
dipertingkatkan agar tiada etnik, kaum atau masyarakat di negeri - negeri tertentu berasa
tertinggal dari menikmati pembangunan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Cadangan seterusnya adalah mengukuhkan peranan bahasa Melayu sebagai medium


integrasi perpaduan. Penguasaan bahasa Melayu perlu diberi penekanan sejak di peringkat
awal pendidikan dan diteruskan di semua peringkat pendidikan masyarakat. Kebiasaan
berkomunikasi dalam bahasa yang difahami bersama merupakan satu usaha memupuk
semangat kesamaan dalam diri masyarakat. Masyarakat Malaysia perlu mencontohi negara
Asia yang maju seperti Korea Selatan dan Jepun yang begitu menitikberatkan penggunaan
bahasa ibunda mereka di dalam kehidupan harian dan masih mampu menjadi negara yang

8
berdaya saing seiring dengan negara maju lain. Di samping itu, bagi mengukuhkan integrasi
dalam kalangan pelbagai etnik, usaha serta galakan untuk mempelajari bahasa etnik dan
kaum lain turut perlu dipertingkatkan bagi menggalakkan dan memudahkan interaksi di
antara pelbagai etnik dan kaum lain.

Cadangan lain pula ialah dengan mengukuhkan kefahaman agama, budaya dan adat
resam pelbagai kaum. usaha untuk memupuk kefahaman setiap masyarakat terhadap agama
yang berbeza dapat membentuk dan membuka ruang interaksi yang lebih luas bagi
masyarakat majmuk Malaysia. Pemahaman dan pendedahan terhadap budaya kaum lain perlu
didedahkan dari peringkat awal lagi. Institusi pendidikan perlu memainkan peranan dalam
menyediakan suasana kondusif, menggalakkan percampuran serta memberi pengetahuan dan
kesedaran tentang kepelbagaian budaya di kalangan pelajar dan generasi muda. Sektor swasta
dan badan bukan kerajaan (NGO) juga boleh memainkan peranan penting dalam membantu
usaha mempromosi dan memberi pengetahuan tentang kepelbagain budaya melalui program,
aktiviti dan edaran risalah serta pengunaan media akhbar dan media massa.

Selain itu, usaha memupuk etika perpaduan dapat dijalankan dengan memantapkan
keberkesanan komunikasi yang membantu meningkatkan kesedaran sosial masyarakat. Dua
aspek penting yang perlu diambil kira ialah melalui penggunaan platform media secara
beretika dan pengukuhan penyampaian komunikasi yang lebih efektif dalam menyampaikan
maklumat sahih. Menggunakan perkembangan media sosial dan media massa sebagai
medium menyebarkan maklumat tepat, kerajaan, pengamal media, sektor swasta, institusi
pendidikan dan masyarakat sendiri secara amnya perlu memainkan peranan untuk menjana
semangat perpaduan secara kreatif dan berkesan.

Cadangan yang terakhir adalah dengan meningkatkan penguatkuasaan undang -


undang dan menilai keberkesanan mekanisme pemantauan sedia ada. Pentadbiran negara ini
adalah berlandaskan prinsip kedaulatan undang - undang yang sentiasa menjamin hak
kebebasan rakyat menurut perlembagaan. Masyarakat Malaysia sentiasa mematuhi undang –
undang serta memahami hak dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara. Perkara ini
perlu diberikan perhatian oleh pihak berkuasa melalui tindakan penguatkuasaan yang telus
dan adil tanpa mengambil kira kaum dan agama.

9
4.0 KESIMPULAN
Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang mempunyai pelbagai kaum,
budaya dan agama. Perbezaan latar belakang ini telah mewujudkan satu hubungan perpaduan
yang merupakan pemangkin utama kepada kemajuan negara yang dikecapi pada hari ini.
Tanpa perpaduan yang utuh, keharmonian bermasyarakat tidak dapat dinikmati kerana tiada
persefahaman dan kerjasama daripada semua kaum untuk mempertahankannya. Peristiwa 13
Mei 1969 harus dijadikan panduan dan iktibar bagi setiap masyarakat untuk memastikan
keharmonian yang dibina ini dapat dipelihara untuk selama - lamanya. Sebagai sebuah negara
masyarakat majmuk, perpaduan adalah agenda utama yang penting untuk memastikan
kelangsungan pembangunan negara terjamin. Perpaduan ini bukanlah perkara yang statik dan
boleh dicapai secara mutlak tetapi ianya perlu dipupuk, dipelihara dan diperkukuh secara
berterusan melalui pemahaman etika, nilai murni dan sikap yang positif. Secara
kesimpulannya, semua pihak haruslah berganding bahu dalam usaha untuk memantapkan
perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Tindakan susulan mestilah dilakukan secara
sukarela dan penuh tanggungjawab bagi menjana perpaduan yang lebih utuh.

RUJUKAN
Abdul Aziz, E. (2020, January 31). Mengharmonikan Hubungan Masyarakat Berbilang
Bangsa di Malaysia. Retrieved from Institut Kefahaman Islam Malaysia:
https://www.ikim.gov.my/index.php/2020/01/31/mengharmonikan-hubungan-
masyarakat-berbilang-bangsa-di-malaysia/

Aziz, M., Suraya, A., & Afilah, N. (2020, September 22). Etika Dan Peradaban: Perpaduan
Di Malaysia. Retrieved from Go Go Etika:
https://gogoetika.wordpress.com/2020/09/22/etika-dan-peradaban-perpaduan-di-
malaysia/

El-Rodi, R. (2011, October 01). Definisi Peradaban dari Sudut Bahasa dan Pandangan
Sarjana. Retrieved from Alam Ilmi: http://hanputra.blogspot.com/2011/10/makna-
peradaban.html

Harun, S. F. (2013, March 31). Nilai - Nilai Murni yang perlu Diamalkan. Retrieved from
Celik Minda: http://celikmind.blogspot.com/2013/03/nilai-nilai-murni-yang-perlu-
diamalkan.html

10
Khazi, H. (2019, September 9). Perpaduan kaum di Malaysia perlu terus utuh. Retrieved from
BH Online: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/09/605018/perpaduan-
kaum-di-malaysia-perlu-terus-utuh

Maarif, S. D. (2021, March 24). Apa Arti Peradaban, Ciri dan Wujudnya dalam Antropologi?
Retrieved from Tirto Indonesia: https://tirto.id/apa-arti-peradaban-ciri-dan-wujudnya-
dalam-antropologi-gboP

Teo, K. S. (2015, Jun 11). 7 nilai Gagasan 1Malaysia pupuk perpaduan. Retrieved from BH
Online: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2015/06/60613/7-nilai-gagasan-
1malaysia-pupuk-perpaduan

11

You might also like