You are on page 1of 2

Huraikan pencapaian Liga Bangsa dalam bidang politik, ekonomi dan sosial

Selepas Perang Dunia Pertama berakhir, Woodrow Wilson telah mengemukakan Program
Empat Belas Perkara yang menjadi asas kepada pembentukan Liga Bangsa. Pada 25 Januari 1919,
Persidangan Damai Paris telah menerima cadangan untuk membentuk Liga Bangsa. Liga Bangsa
adalah badan antarabangsa ditubuhkan selepas Perang Dunia Pertama. Liga ini ditubuhkan hasil
desakan Woodrow Wilson (Presiden Amerika Syarikat). Berikut merupakan pencapaian Liga
Bangsa dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

Pencapaian Liga Bangsa dari segi politik termasuklah, menyelesaikan krisis Albania. Pada
tahun 1921, timbulnya pertikaian yang melibatkan sempadan antara Albania dan Yugoslavia.
Tentera Yugoslavia telah menduduki sebahagian wilayah Albania yang terletak di kawasan
sempadan. Selepas berlaku pertempuran dengan penduduk di sempadan Albania, tentera
Yugoslavia mula menakluk kawasan yang luas. Liga Bangsa telah bertindak menghantar
suruhanjaya yang diwakili oleh perwakilan daripada pelbagai negara untuk menyelesaikan krisis
ini. Yugoslavia mengundurkan bala tentera dari wilayah Albania pada tahun 1921 apabila
suruhanjaya telah membuat keputusan yang memihak kepada Albania.

Liga Bangsa juga menyelesaikan pertikaian tentang Silesia Utara. Pada tahun 1921,
munculnya pertikaian antara Jerman dan Poland yang melibatkan wilayah Utara Silesia. Menerusi
Perjanjian Versailles, satu pungutan suara telah diadakan untuk menyelesaikan krisis ini.
Keputusan pengundian menunjukkan 59.6% atau lebih kurang 5 000 000 orang mengundi untuk
menyertai Jerman. la telah menyebabkan pemberontakan rakyat yang dikenali sebagai
Kebangkitan Silesia Ketiga pada tahun 1921. Ini telah menyebabkan Liga Bangsa membahagikan
wilayah tersebut kepada 2 bahagian.*

Liga Bangsa juga menyelesaikan pertikaian tentang Leticia. Berdasarkan perjanjian yang
telah ditandatangani pada tahun 1922, Peru telah menyerahkan bandar Leticia kepada Columbia.
Pada tahun 1933, Peru menawan Columbia dan menakluk Leticia. Liga Bangsa campur tangan
dalam hal ini dan menghantar suruhanjaya untuk menyelesaikan pertikaian ini. Peru dan
Columbia bersetuju untuk menamatkan perang dan menyelesaikan isu tersebut atas semangat
persaudaraan.*

Selain itu, pencapaian Liga Bangsa dari segi politik juga termasuklah, pengenalan sistem
amanah. Tanah-tanah jajahan Jerman, Turki dan negara-negara lain yang mengalami kekalahan
dalam Perang Dunia Pertama telah diagihkan kepada negara-negara yang menang melalui sistem
amanah. Sistem amanah ternyata mengelakkan eksploitasi kuasa-kuasa besar terhadap wilayah
jajahan. Negara-negara yang diberi amanah untuk mentadbir wilayah-wilayah tertentu
dikehendaki menyerahkan laporan tahunan tentang keadaan sosial dan ekonomi penduduk di
wilayah tersebut kepada Liga Bangsa.

Di samping itu, Liga Bangsa memainkan peranan dalam menyelesaikan pertikaian yang
melibatkan sempadan antara Greece dan Bulgaria. Pada tahun 1925, tentera Greece menceroboh
dan menawan wilayah Bulgaria. Lalu Bulgaria memohon bantuan dari Liga Bangsa untuk
menyelesaikan pertikaian tersebut. Liga Bangsa mengutuk tindakan Greece dan mengarahkan
negara tersebut untuk mengundur tentera dan membayar ganti rugi kepada Bulgaria.

Pencapaian Liga Bangsa dari segi ekonomi termasuklah, penubuhan jawatankuasa ekonomi
dan jawatankuasa kewangan. Selepas Perang Dunia Pertama, banyak negara mengalami krisis
ekonomi. Satu pertemuan telah diadakan di Brussels pada tahun 1920. Jawatankuasa Ekonomi
dan Jawatankuasa Kewangan telah ditubuhkan bagi membaiki keadaan ekonomi negara-negara
yang menghadapi krisis ekonomi.

Pencapaian Liga Bangsa dari segi sosial termasuklah, menjamin hak asasi manusia. Liga
Bangsa menerusi agensi-agensinya telah bertindak untuk menghapus amalan perhambaan dan
amalan buruh paksa. Mereka telah menyelesaikan masalah buruh dengan menamatkan aktiviti
pengambilan buruh kanak-kanak. Mereka juga menjamin suasana kerja yang adil dan
berperikemanuasiaan di sektor perkilangan serta memastikan upah yang berpatutan. Selain itu,
Liga Bangsa telah mewujudkan kerjasama intelektual. Pada tahun 1922, Liga Bangsa telah
menubuhkan Jawatakuasa Antarabangsa mengenai Kerjasama Intelektual. Pada tahun 1926, Liga
Bangsa juga menubuhkan Institut Kerjasama Intelektual Antarabangsa di Paris.

Kesimpulannya, Liga Bangsa telah dibubarkan pada 18 April 1946. Liga Bangsa yang
ditubuhkan selepas Perang Dunia Pertama telah gagal memainkan peranan dengan berkesan dan
menyebabkan tercetusnya Perang Dunia Kedua (1939-1945).

You might also like