You are on page 1of 19

1.

0 PENGENALAN
Kesenian merupakan salah satu aspek kebudayaan. Perkataan seni memberi erti
sesuatu yang halus, indah, permai, tipis, enak didengar, comel dan lembut. Dari segi
istilahnya seni membawa maksud segala yang halus dan indah lagi menyenangkan hati dan
perasaan manusia, tidak kira sama ada ia merupakan hasil ciptaan Allah s.w.t. mahupun
yang dihasilkan oleh fikiran, kemahiran, imaginasi perbuatan manusia. Seni mempunyai
hubung kait dengan Islam, kerana Islam itu sendiri adalah sesuatu yang seni. Kesenian
Islam mempunyai ciri-cirinya yang tertentu yang membezakan dari kesenian lain. Seni
Islam merupakan ciptaan bentuk-bentuk yang mengandungi nilai estetika yang berpadu
dengan nilai etika Islam. Ia terbukti dari ajaranajarannya yang mengajak umat manusia
kepada kebaikan. Quran menggambarkan kesenian dan keindahan dengan jelas melalui
ciptaan-ciptaan Allah s.w.t.

Bagi Jalal al-Syarqawi, beliau berpandangan bahawa segala kesenian itu mampu
menghasilkan sesuatu yang tidak mampu dihasilkan di peringkat sekolah mahupun
universiti, iaitu sebagai wasilah yang tepat bagi menghasilkan kesenian Islam dan cintakan-
Nya dan ia diumpamakan seperti perbezaan di antara orang yang berpengetahuan dan orang
yang buta huruf. Manakala hiburan pula ialah semua perkara yang melekakan manusia
daripada pelbagai gangguan, pemikiran dan masalah yang mengganggu tidurnya. Ia juga
tidak mempunyai hakikat yang sabit bermain, berjenaka, bersembang malam, menyanyi
dan sebagainya.

Dalam Islam, terdapat pelbagai medium seni yang juga boleh digunakan sebagai
kaedah atau metodologi dalam menyampaikan dakwah. Menurut Zaydan, metodologi
dakwah ialah cara untuk menyampaikan dakwah dan cara untuk mengatasi sebarang
masalah yang berbangkit (Ab Aziz, 2004). Metodologi dakwah juga diertikan sebagai ilmu
yang bersifat kajian dan sistematik mengenai cara dakwah. Secara ringkas, ia juga disebut
sebagai ilmu atau kajian tentang cara dakwah. Ia juga boleh diertikan secara ringkas
sebagai sains cara dakwah atau kajian cara dakwah (Mohd Amin, 2011).

1
Oleh yang demikian, penulisan akademik ini akan membincangkan salah satu
medium yang semakin kerap digunakan dalam menyampaikan dakwah iaitu drama dan
filem. Antaranya ialah pandangan ulama tentang drama dan filem, isu yang kerap dikaitkan
dengan drama dan filem berunsur dakwah dan juga analisis ke atas sebuah filem yang dapat
dikaitkan sebagai medium dakwah.

2.0 KONSEP DRAMA DAN FILEM


Drama dan filem pada dasarnya adalah medium hiburan yang datang dari Barat.
Hiburan adalah elemen yang penting dalam filem. Ini kerana filem telah diangkat sebagai
medium hiburan yang mudah dan murah. Di Hollywood filem dianggap sebagai bahan
industri kilang fantasi untuk tujuan hiburan penonton. Bagi masyarakat Malaysia menonton
filem adalah aktiviti hiburan yang dianggap murah berbanding dengan aktiviti hiburan yang
lain. Hal ini tentulah menepati dengan konsep pengeluaran filem sebagai ‘mass production
entertainment’. Konsep pengeluaran dan pemasaran ini secara langsung telah membentuk
konsep naratif filem-filem Hollywod. Filem juga merupakan sebahagian daripada seni
media baru yang bersifat transavant-garde atau kepelbagaian bentuk avant-garde yang
menjadi salah satu bentuk manifestasi seni moden yang sangat dinamik di Barat pada awal
abad ke-20.

Drama ialah genre sastera yang istimewa dari segi bentuk dan penyampaian serta
berbeza dengan genre-genre yang lain. Drama tidak sempurna sebelum dipentaskan atau
ditontonkan kepada khalayak. Drama berhadapan dengan dua khalayak yang berbeza
situasinya. Pertama, khalayak pembaca apabila dibukukan dan kedua, khalayak penonton
apabila dipentaskan. Oleh itu, Nabilah (2012) mengkategorikan drama kepada dua corak
kreativiti genre, iaitu penulisan dan pementasan drama. Anuar (2007) pula mendefinisikan
drama adalah jenis sastera yang tercipta untuk dipentaskan atau dilakonkan. Pelakon
melakonkan aksi-aksi yang ditetapkan dan melafazkan dialog yang disediakan.

Manakala Fauziah Kartini et. al. (2009) pula mentafsirkan drama sebagai satu
bentuk seni yang bersifat d ramatik, iaitu seni yang mengutamakan kesan dan tekanan

2
emosi sebagai penambat. Daya tarikan berjaya dilakukan apabila ia mampu memikat emosi
pembaca atau penonton. Drama adalah karya yang dramatik kerana pengutaraan kisahnya
seolah-olah menjawab persoalan-persoalan yang menarik perhatian, persoalan yang
dramatik dari awal hingga akhir. Pengertian ini ternyata menyusun kesempurnaan drama itu
sendiri kerana ia juga mengaitkan emosi pembaca dan penonton dalam menghayati karya
drama.

Dalam membincangkan definisi filem, ia mempunyai dimensi pentakrifan dan ruang


lingkup kontekstual yang luas. Banyak pengertian tentang filem telah diberikan. Ini kerana
filem ialah sebuah wahana kreatif yang bersifat perbincangan (discursive), serta melibatkan
idea dan pemikiran, analisis, kritikan, fungsi, matlamat dan pelbagai-bagai kemahiran dan
kepakaran (Fauziah Kartini et. al., 2009). Antara takrif yang diberikan ialah filem diertikan
sebagai imej yang terhasil dalam bentuk visual bergerak yang mengandungi unsur-unsur
penceritaan yang ditulis, diolah dalam bentuk dialog, visual dan bunyi, yang kemudiannya
dirakamkan menggunakan kamera, diolah dengan menggunakan berbagai-bagai
kepentingan dan matlamat untuk dipamerkan secara tayangan di panggung-panggung
wayang dan televisyen (Naim, 2011).

Sementara itu, Nabilah (2012) pula mentakrifkan filem sebagai hasil garapan
pelbagai seni yang memaparkan cerita dan cermin kepada budaya masyarakat tertentu;
pemikiran dan cetusan perasaan pembikinannya; sebuah cerita tentang kehidupan yang
tidak terbatas kepada manusia sahaja, sama ada cerita itu benar, khayalan atau cerita yang
telah diubahsuai atau dipadankan dan kesatuan bingkai-bingkai yang telah digarap secara
harmoni menjadi syot, kesatuan syot-syot menjadi jujuk, kesatuan jujuk menjadi babak dan
seterusnya kesatuan babak-babak menjadi sebuah teks atau cerita.

Dari pentakrifan di atas, boleh disimpulkan bahawa drama dan filem merupakan
hasil produk teknologi, produk budaya siber dan produk seni media baru. Secara umumnya
filem mempunyai tiga peranan utama iaitu memaklumkan, mempengaruhi dan
menghiburkan. Dalam Islam, drama dan filem juga turut mempunyai peranan tersendiri
termasuklah dalam dakwah. Ab. Aziz (2004) menyatakan bahawa drama dan filem tidak

3
hanya berperanan sebagai suatu alat pandang dengar semata-mata. Sebaliknya, drama dan
filem juga boleh dipergunakan untuk apa sahaja bagi tujuan menyampaikan maklumat,
mendidik atau menghibur. Ini kerana ia mempunyai pengaruh yang kuat dan secara
langsung mampu mencorakkan tingkah laku orang ramai. Utusan yang datang daripadanya
dianggap sebagai peluru ajaib, kerana mempunyai kuasa yang mampu mencorakkan
pendapat awam dan tingkah laku orang ramai mengikut kehendak komunikator.

Media-massa seperti filem amat berguna dalam menyampaikan dakwah serta


mengajak manusia kepada Allah s.w.t. termasuk ajaran Rasulullah s.a.w. Ia bukan sahaja
dapat memberi faedah yang amat berguna pada umat Islam seluruhnya, malah ia dapat
memberi peluang kepada golongan yang bukan beragama Islam bagi memahami agama
Islam (Mustafa, 2004).

Sumbangan golongan agamawan ke atas filem sepatutnya tidak boleh dinafikan.


Sebagai contoh dalam pembikinan filem Ketika Cinta Bertasbih. Pembikinan filem ini
melihatkan secara langsung keterlibatan golongan agamawan iaitu Habiburrahman El-
Shirazy. Beliau merupakan seorang sarjana al-Azhar. Dalam pembikinan filem ini, beliau
turut terlibat dalam penulisan skrip, mengawal cerita, pemilihan artis, proses penggambaran
dari mula sehingga akhir dan turut berlakon dalam filem tersebut. Filem ini telah
membuktikan kejayaan dengan belanjawan filem termahal Indonesia iaitu RM14 juta dan
telah ditayangkan di 148 pawagam di seluruh negaranya (Wan Hussein, 2012). Ketika
Cinta Bertasbih merupakan filem Indonesia terlaris tahun 2009 dengan jumlah penonton 3
juta orang. Kemudian diikuti sambungannya filem Ketika Cinta Bertasbih 2 yang berhasil
meraih 1.5 juta penonton.

Ini bermakna bahawa sambutan terhadap filem berunsur dakwah adalah tinggi
termasuklah di Malaysia. Namun begitu, terdapat banyak perkara yang perlu ditekankan
dalam menghasilkan dan menerbitkan drama dan filem berunsur dakwah seperti tidak
mengandungi unsur kemungkaran, mengetengahkan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah dalam
dialog dan sebagainya. Kesemua ini akan menjadikan drama dan filem yang dihasilkan
mampu meningkatkan kefahaman Islam dalam kalangan penonton.

4
3.0 PANDANGAN ULAMA TENTANG DRAMA DAN FILEM
Drama dan Filem adalah suatu medium dakwah baru yang boleh diguna pakai pada
masa kini selagi mana tidak bertentangan dengan syarak. Namun demikian, fenomena
mistisisme semakin membudaya dalam masyarakat Melayu Islam di negara ini. Lambakan
drama, filem, akhbar tabloid, majalah dan lain-lain yang gemar memaparkan cerita-cerita
mistik semakin mendapat tempat di hati khalayak. Perkara seumpama ini amat
membimbangkan kerana ia boleh menghakiskan keimanan umat Islam terhadap perkara-
perkara ghaibiyyat seperti yang selayaknya diimani. Keterlaluan dalam membongkar
perkara-perkara seumpama ini membuka ruang yang luas kepada berlakunya bid’ah,
khurafat dan tahyul dalam kepercayaan dan amal perbuatan yang akhirnya membawa
kepada kesesatan dan kerosakan aqidah (Naim, 2010).

Islam tidak melarang aktiviti seni selagi mana menerapkan ciri-ciri patuh syariha.
Muhammad Qutb melihat filem sebagai suatu hasil seni yang terpisah dari kesenian Islam.
Kesenian tersebut haram bukan kerana disebabkan zatnya haram, tetapi sebaliknya kerana
dari segi kandungannya yang terdedah dan menyeleweng jauh dari suasana Islam. Walau
bagaimanapun, filem masih seperti seni-seni yang lain ia boleh menjadi kesenian Islam
apabila sesuai dengan objektif syariah.

Manakala Hasan Abu Ghanimah pula melihat media filem seperti seni-seni yang
lain, bahkan ia tergolong di dalam seni yang mempunyai penyebaran yang lebih luas dan
berkesan. Selain itu ia mampu memainkan peranan dalam penerapan fahaman Islam dan
tamadunnya. Seterusnya Jalal al-Syarqawi berpendapat bahawa media filem merupakan
kesenian yang paling senang dicapai dan mampu menjadi hujah atau bukti yang terkuat
untuk meyakinkan. Oleh itu, media filem yang memenuhi objektif syariat mampu
membantu meneruskan dakwah Islam.

Dalam setiapa drama atau filem, penerapan ciri patuh syariah adalah perkara pokok
dan utama yang perlu diterapkan. Ini penting agar elemen-elemen mungkar dapat dielakkan
daripada setiap drama atau filem yang dihasilkan. Yusuf al-Qaradawi (1993) menegaskan
bahawa drama atau filem yang menggunakan hadis sebagai antara dialog dalam lakonan

5
perlu mempertimbangkan latar belakangnya, situasi dan kondisi ketika diucapkan serta
tujuannya. Di antara cara-cara yang baik untuk memahami hadis Rasulullah s.a.w. ialah
dengan memperhatikan sebab-sebab khusus yang melatarbelakangi diucapkannya suatu
hadis, atau kaitannya dengan suatu ‘illah (alasan, sebab) tertentu, yang dinyatakan dalam
hadis tersebut atau disimpulkan darinya, ataupun dapat difahami dari kejadian yang
menyertainya. Siapa saja yang mahu meneliti dengan saksama, pasti akan melihat bahawa
diantara hadis-hadis ada yang diucapkan berkaitan dengan kondisi temporer khusus, demi
suatu maslahat yang diharapkan atau mudarat yang hendak dicegah, atau mengatasi suatu
masalah yang timbul pada waktu itu. Ini bererti bahawa suatu hukum yang dibawa oleh
suatu hadis adakalanya tampak bersifat umum dan untuk waktu tak terbatas namun jika
diperhatikan lebih lanjut akan diketahui bahawa hukum tersebut berkaitan dengan suatu
‘illah tertentu, sehingga ia akan hilang dengan sendirinya jika hilang ‘illahnya, dan tetap
berlaku jika masih berlaku ‘illahnya. Menurut beliau lagi untuk dapat memahami hadis
dengan pemahaman yang benar dan tepat, haruslah diketahui kondisi yang meliputinya
serta di mana dan untuk tujuan apa ia diucapkan. Sehingga dengan demikianmaksudnya
benar-benar menjadi jelas dan

Menurut Yusuf al-Qaradawi (1993), al-Sunnah merupakan penafsiran al-Quran


dalam praktik atau penerapan ajaran Islam secara faktual dan ideal. Hal ini mengingat
bahawa peribadi Nabi saw merupakan perwujudan dari al-Quran yang ditafsirkan untuk
manusia, serta ajaran Islam yang diaplikasikan dalam kehidupan sehari-hari. Maka tidak
hairanlah bila melihat kembali sirah, dijumpai satu adegan dialog antara Aisyah RA dengan
para sahabat. Soalan dari sahabat yang bertanya ‘Seperti apakah akhlak Rasulullah SAW?’
Jawapan ringkas dari beliau adalah ‘akhlak Baginda SAW adalah al-Quran.’

Dalam pada itu, drama atau filem yang diterbitkan juga perlulah patuh syariah.
Mohd Shukri (2012) menjelaskan bahawa penerbit memerlukan ilmu dalam membuat filem
Islami. Penerbit Islam seharusnya menghasilkan filem yang memberi identiti dan cara
hidup Islam dan bukan sekadar memenuhi hiburan semata-mata. Ainon (2011) menegaskan
bahawa terdapat beberapa garis panduan untuk menghasilkan karya hasanah. Karya
hasanah ialah karya yang baik dan mampu mendidik masyarakat serta memberi ilmu yang

6
benar. Terdapat beberapa ciri-ciri karya yang tidak hasanah yang telah dibahaskan oleh
Ainon (2011) seperti mempromosikan idea yang mengatakan tuhan tidak wujud,
mengangkat idea yang tidak selaras dengan ajaran Al-Quran dan Hadis, mewujudkan kesan
psikologi dan emosi yang menyebabkan timbul keinginan masyarakat mahu melakukan
perkara yang dilarang dalam Al-Quran dan Hadis, memberi kemenangan moral kepada si
pendosa iaitu watak yang melakukan perbuatan yang salah dan memberi status yang rendah
kepada Islam manakala agama lain diberikan status yang tinggi dan mulia.

Filem yang bertemakan kemanusiaan yang mengangkat falsafah, puisi berunsurkan


keislaman, bersandarkan hadis dan Al-Quran perlu diberi penekanan oleh para pembikin
filem dari Negara-negara Islam. Ab. Aziz (2007) menyatakan bahawa filem yang
mengangkat tema sebegini berupaya memartabatkan kesucian Islam seterusnya dapat
mengekang dakyah Barat yang menyerang dunia Islam melalui medium filem. Penghasilan
karya yang berkualiti merupakan salah satu tanggungjawab sosial yang perlu diambil
perhatian oleh para pembikin filem (Abd. Aziz 2007). Naim (2010) juga menyatakan filem
yang baik secara langsung memberi kesan kepada pemikiran, jiwa, rohani dan perasaan
penonton. Perkara terhasil daripada apa yang disebut sebagai ‘interaksi penonton dengan
filem’ atau mediated film iaitu satu situasi di mana penonton fielm merasakan ia seolah-
olah berada bersama di dalam filem yang sedang ditontoninya. Situasi inilah yang boleh
menyebabkan seseorang itu menangis, hiba, rasa marah, insaf dan sebagainya ketika atau
sesudah menonton.

Oleh itu, drama atau filem adalah harus dalam Islam selagi mana tidak
mengandungi unsur-unsur kemungkaran. Dalam konteks lain, drama dan filem juga
menjadi medium dakwah yang berkesan yang dapat mendidik masyarakat dengan amalan
Islam yang syumul. Namun begitu, aspek patuh syariah dalam drama atau filem perlu
diutamakan dalam segala aspek agar mesej Islam dapat disampaikan kepada penonton
dengan sempurna.

7
4.0 ISU BERKAITAN DRAMA DAN FILEM BERUNSUR DAKWAH DI
MALAYSIA
Sejak akhir-akhir ini Malaysia telah dikejutkan dengan bebarapa filem dan drama
berunsur Islamik yang membawa aura baru dalam industri filem negara, dilihat kemunculan
beberapa filem seperti Nur Kasih The Movie, Tujuh Petala Cinta, 99 Kali Rindu dan
drama-drama seperti Tanah Kubur, Sayap Jibril, Istikarah Cinta dan banyak lagi. Dengan
adanya kemunculan filem dan drama seperti ini, masyarakat mula didedahkan dengan
mesej-mesej berbentuk Islamik di dalam dialog dan jalan penceritaan. Tanpa disedari
proses dakwah iaitu komunikasi antara drama dan audiens ini berlangsung. Oleh itu,
sumber perundangan Islam iaitu al-Quran dan hadis mula dijadikan sebagai dalil dan hujah
di dalam dialog-dialog diantara pelakon filem dan drama. Filem dan drama berunsur
Islamik ini datang seperti satu gelora ombak yang besar kerana ianya datang menarik
perhatian masyarakat sejak kemunculan drama Nur Kasih yang telah ditayangkan pada
2009 arahan pengarah terkenal Khabir Bhatia telah mencapai tontonan seramai hampir 5
juta penonton dalam satu-satu masa. Dan ini membuktikan bahawa masyarakat Malaysia
menyukai drama yang membawa unsur Islam untuk dijadikan sebagai tatapan penonton.

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa isu yang wujud dalam drama dan
filem berunsur dakwah di Malaysia seperti mana yang berikut:-

a) Penerapan Dalil
Salah satu isu yang dapat dilihat dalam drama dan filem dakwah ialah penerapan
dalil al-Quran dan as-Sunnah yang kurang dilakukan oleh penerbit drama dan filem.
Dalam menghasilkan drama dan filem berunsur dakwah, dalil-dalil al-Quran dan as-
Sunnah perlu diterapkan khususnya dalam menerangkan suatu perbuatan, tindakan
atau amalan. Contohnya, dalam filem khurafat yang mengisahkan amalan-amalan
yang bertentangan dengan syariat dan mengajak umat Islam untuk menerima
ketentuan qada dan qadar Allah s.w.t.

Dalam drama Tanah Kubur misalnya, terdapat beberapa hadis yang turut dimuatkan
sebagai peringatan kepada penonton. Dari 13 buah episod yang ditayangkan untuk

8
Drama Tanah Kubur Musim Kedua, terdapat 14 buah hadis yang terkumpul samada
dalam bentuk teks paparan ataupun hadis dalam dialog. Hasil penilaian, 13 buah
hadis adalah berbentuk paparan skrin awal sebelum adegan drama dimulakan dan 1
hadis merupakan dialog di antara pelakon drama tersebut (Abur Hamdi et. al.,
2018). Menerusi penerapan hadis seperti ini, maka ianya akan dapat menjadi
peringatan kepada penonton agar tidak melakukan suatu perkara, tindakan atau
amalan yang bertentangan dengan syariat Islam.

b) Pengetahuan Penerbit tentang Islam


Isu kedua yang kerap dikaitkan dengan drama dan filem berunsur dakwah di
Malaysia ialah pengetahuan Islam dalam kalangan penerbit drama atau filem.
Zulkiple (2010) menjelaskan bahawa setiap proses penerbitan drama atau filem
berunsur dakwah memerlukan penerbit untuk meningkatkan pengetahuan dan
kefahaman tentang Islam. Ini penting agar drama atau filem yang diterbitkan tidak
mempunyai unsur yang bertentangan dengan syariat Islam. Contohnya, amalan
pakaian dalam kalangan pelakon wanita yang mana perlu mengikut panduan syarak,
akhlak dan sahsiah pelakon utama yang memegang watak seorang muslim atau
muslimah beriman dan sebagainya.

Begitu juga dengan aspek pendidikan Islam yang diterapkan dalam drama atau filem
yang diterbitkan. Dialog yang diungkapkan dan perbuatan yang dilakonkan dalam
drama dan filem perlulah selari dengan tuntutan syarak (Anuar, 2007). Nabilah
(2012) menyatakan bahawa sesebuah filem atau drama Islam yang sebenarnya tidak
akan terhasil, jika pembikin dan pengkaryanya tidak dididik dengan Islam dan
terdidik di dalam Islam. Setiap orang Islam wajib menjaga dan mempertahankan
lima perkara; agama, nyawa, harta, keturunan dan akal. Maka dalam hubungan
drama Islam ini, kelima-lima perkara ini perlu dijaga terutama yang perlu
dipertahankan ialah agama, keturunan dan akal. Janganlah melalui drama dan
kerana kepentingan seni ‘kononnya’ agama perlu digadaikan. Begitu juga kerana
sesuatu kepentingan yang tertentu yang lebih bersifat keduniaan, akal budi
keturunan bangsa dikorbankan. Inilah yang rosak (Naim Ahmad, 2010).

9
Dalam menyampaikan mesej dan ideologi kepada masyarakat terkadang pihak
produksi atau penerbit sendiri kurang memahami nas dan hujah yang dikeluarkan
dari al-Quran dan hadis. Lantaran itu berlaku dialog-dialog yang tanpa sengaja
menjadi hadis Nabi SAW. Bukan isu itu sahaja yang timbul, malah berlaku salah
faham dalam memahami maksud hadis yang dijadikan hujah dalam lakonan. Oleh
itu, pihak penerbit perlu memahami asas Islam sebelum menerbitkan suatu drama
atau filem agar dapat mengelak salah faham dalam masyarakat.

c) Penampilan dan Kesesuaian Pelakon Berwatakkan Islam


Isu ketiga yang dapat dikaitkan dengan drama dan filem berunsur dakwah di
Malaysia ialah isu yang berkaitan dengan penampilan dan perwatakan pelakon yang
memegang watak sebagai seorang muslim yang beriman. Kebanyakan watak
seorang alim dan beriman dipegang oleh mereka yang tidak mempunyai kriteria
yang sama dengan realiti kehidupan (Naim, 2011). Contoh, watak seorang ustaz
dalam filem dilakukan oleh seorang pelakon yang dikaitkan dengan amalan
bertentangan dengan syarak seperti perokok, bergaul bebas dengan bukan muhrim
dan seumpamanya. Walaupun hanya sebagai pelakon dalam drama atau filem,
namun pemilihan pelakon yang sesuai dengan perwatakan muslim adalah penting
agar dapat membawa mesej Islam yang baik dalam filem tersebut. Dalam filem
Ketika Cinta Bertasbih misalnya, pelakon utama dipegang oleh dua orang pelakon
yang mempunyai perwatakan Islam yang baik dalam masyarakat. Maka, tidak
hairanlah sekiranya filem ini mampu menarik minat penonton untuk mendalami isi
dan kandungan filem tersebut.

Mustafa (2004) menyatakan bahawa drama pada masa kini banyak melakonkan
watak-watak seorang alim seperti ustaz ataupun guru yang berhujah dengan
menggunakan dalil dan nas dari al-Quran dan hadis Nabi SAW. Ianya adalah satu
perkembangan yang sangat baik kerana filem dan drama telah dijadikan sebagai
platform dakwah kepada masyarakat. Sesuai dengan pendapat Asiah (2008) bahawa
filem adalah medium komunikasi yang mempunyai kekuatan audio dan visual yang
luar biasa mampu memanipulasi makna yang maksimum untuk mendapat perhatian

10
khalayak, malah berperanan sebagai agen perubahan. Maka tidak hairanlan ianya
sesuai untuk dijadikan sebagai platform pembentukan pendidikan, politik, sahsiah
dan ideologi masyarakat. Oleh itu, setiap pelakon yang ingin diketengahkan dalam
melakonkan drama atau filem bernsur dakwah perlulah terdiri daripada pelakon
yang tidak mempunyai sejarah buruk yang berkaitan dengan syariat Islam. Ini
penting agar masyarakat mudah menerima mesej yang disampaikan oleh pelakon
dan drama atau filem yang diterbitkan.

d) Unsur Kemungkaran dalam Drama atau Filem Dakwah


Isu lain yang juga turut dikaitkan dengan drama dan filem di Malaysia ialah unsur
kemungkaran yang tidak diteliti dalam drama atau filem yang dihasilkan. Kesan
yang boleh kita nampak adalah lambakan filem-filem Malaysia yang penuh dengan
perkara-perkara mungkar. Sebagai contoh kita boleh lihat dalam filem Jalan
Kembali Bohsia 2. Filem ini penuh dengan aksi sosial yang melampau dan dialog
yang dilontarkan pelakon begitu kasar serta kurang sesuai didengari. Pengarah filem
ini menyarankan agar penonton jangan melihat aksi negatif saja. Mana mungkin
perkara ini boleh dikawal sedangkan umur penonton terdiri dari pelbagai peringkat.
Walaupun filem ini di klasifikasi sebagai P13 (penonton berumur di bawah 13 tahun
memerlukan pengawasan dan bimbingan ibu bapa atau penjaga ketika menonton)
yang diberikan Lembaga Penapisan Filem namun ia tetap boleh memberi kesan
negatif ke atas remaja. Ini kerana pengaruh budaya popular seperti filem amat kuat
khususnya terhadap generasi muda. Masalah sosial di kalangan remaja seperti
pergaulan bebas, jenayah dadah, gengsterisme dan sehingga ke peringkat
kepercayaan seperti Islam fobia serta murtad dikaitkan dengan filem. Drama atau
filem seperti ini tidak seharusnya diterbitkan kerana boleh membentuk persepsi
buruk dalam masyarakat tentang remaja dan masyarakat Islam.

Oleh yang demikian, dapat dirumuskan bahawa terdapat beberapa isu yang dapat
dikaitkan dikaitkan dengan drama dan filem berunsur dakwah di Malaysia seperti mana
yang telah dijelaskan di atas.

11
5.0 ANALISIS FILEM ‘NUR KASIH THE MOVIE’
Filem atau drama adalah sesuatu yang diminati oleh masyarakat. Filem juga
merupakan salah satu cabang seni dalam mengembangkan pelbagai karier seperti lakonan.
Pelbagai jenis genre filem yang dihasilkan pada masa kini hasil daripada pengembangan
ilmu berkaitan penghasilan filem di samping lahirnya ramai penulis skrip, pengarah dan
penerbit. Menurut Jill (2007) berpendapat filem adalah medium yang indah dan luar biasa
yang telah menjadi terlalu biasa sehingga menghasilkan gambar serta jalan cerita yang
bagus dengan menghidupkan watak-watak lakonan.

Pada masa kini, terdapat banyak filem berunsurkan dakwah yang telah diterbitkan.
Contohnya seperti filem ‘Nur Kasih The Movie’ yang berkisarkan tentang subjek persoalan
percintaan, pengorbanan dan perpisahan serta kekeluargaan dalam jalur keislaman. Filem
ini mengetengahkan tentang kisah tiga watak utama iaitu Adam, Nur Amina dan Aidil yang
mempunyai kaitan antara satu sama lain dalam menjalani hidup yang penuh konflik. Tema
Nur Kasih The Movie juga mengangkat perlunya hubungan dengan Allah kerana semua
yang berlaku ada hikmahnya. Bermula dengan Aidil yang telah kematian isterinya dan telah
memberikan kesan yang hebat kepada dirinya dalam membesarkan dua orang anaknya,
Ilyas dan Maryam. Adam dan Nur walaupun bahagia tetapi bergelut dengan ujian
kesukaran untuk menimang cahaya mata. Akibat tidak mempunyai anak, Adam dan Nur
Amina telah menjadi sukarelawan di Kelab Remaja dan Kanak-Kanak. Konflik filem ini
juga bertambah apabila Nur Amina telah disahkan mengandung kemudian mengalami
keguguran dan kehilangan Adam ketika mereka bercuti di Jordan.

Nur Kasih The Movie memaparkan jalan cerita yang menggunakan teknik imbas
kembali (flashback) bergerak membawa perkembangan watak Adam, Nur Amina dan Aidil
dengan baik. Setiap babak berkait dan membawa kepada pergerakan plot yang baik.
Bahkan babak Adam, Nur Amina dan Aidil juga mempunyai kaitan bagaimana membentuk
watak mereka sehingga menjadi orang tua. Paparan Nur Kasih The Movie sebagai satu
perjalanan kehidupan manusia yang tidak dapat lari daripada ujian namun ada hikmah yang
sangat besar di sebalik ujian hidup tersebut. Terdapat intensiti kesan yang baik yang
dipaparkan dalam filem ini. Jalan cerita Nur Kasih The Movie sedikit mengelirukan kerana

12
menggunakan teknik imbas kembali. Walaupun begitu, jalan cerita ini mempunyai subjek
yang asli melalui garapan naratif yang memasukkan elemen keagamaan. Nilai Islam yang
ditonjol dalam Nur Kasih The Movie menggambarkan keindahan mengamalkan cara hidup
Islam yang sebenar.

a) Analisis Watak dan Perwatakan


Adam teramat menyayangi dan mencintai isterinya, Nur Amina. Perwatakan Adam
juga digambarkan seorang yang penyayang kepada anak-anak saudaranya. Seorang
yang baik hati apabila menjadi sukarelawan mengajar dan membimbing kanak-
kanak dan remaja yang terbiar dan bermasalah. Watak Nur Amina digambarkan
sebagai seorang yang sangat setia kepada suaminya dan sentiasa berada di sisi
suaminya, Adam. Nur Amina juga membantu Adam sebagai sukarelawan. Seorang
yang bersopan santun, menjaga aurat namun mempunyai konflik dalam diri sendiri
apabila mengalami keguguran. Watak Aidil sebagai abang kepada Adam yang telah
kematian isterinya, Alya dan mempunyai dua orang cahaya mata iaitu Ilyas dan
Maryam. Aidil digambarkan sebagai seorang yang tabah walaupun pada mulanya
terlalu sedih dengan kematian isterinya. Perwatakan Aidil yang suka menolong juga
digambarkan dengan jelas apabila sanggup membantu Nur Amina mencari Adam
dan menggantikan Adam yang menjadi sukarelawan dalam membimbing remaja
dan kanak-kanak ketika Adam sakit.

b) Paparan Akhlak Islam


Setiap drama atau filem berunsurkan Islam seharusnya menerapkan nilai akhlak
Islam yang boleh dijadikan panduan untuk mendidik masyarakat. Begitu juga
dengan filem ini yang mana turut menerapkan beberapa nilai akhlak Islam seperti
mana yang berikut:-

1) Memberi Salam
Babak Nur Amina memberi salam di telefon kepada doktor Alina setelah
diberitahu yang dia disahkan mengandung.
Ketika di pejabat Encik Iskandar, Nur Amina memberi salam.

13
Ketika di hospital, Aidil memberi salam kepada Mamat sewaktu Mamat
melawat Adam

2) Bersangka Baik dengan Allah dan Bertawakkal


Adam dan Aidil bersangka baik dengan Allah yang mana setiap musibah
yang berlaku ada hikmahnya.
Aidil menegur Adam yang kecewa dengan keguguran Nur Amina.
Aidil : Setiap ujian adalah peluang kita mendekatkan diri padaNya!
Nur Amina dengan tegas menolak tawaran kerja daripada Encik Iskandar
tentang pembinaan kelab. Nur Amina menegur Encik Iskandar tentang
persoalan haram dan persoalan rezeki.
Nur Amina : Rezeki saya bukan di tangan encik! Tapi di tangan Tuhan.

c) Penerapan Amalan Ibadah


Filem ini juga turut menerapkan beberapa amalan ibadah yang boleh diikuti oleh
penonton khususnya dalam kalangan Umat Islam. Ianya juga mampu mendidik
masyarakat dalam meningkatkan amalan dalam kehidupan seharian:-

1) Solat
Ketika Adam mengejutkan Nur Amina untuk solat subuh.
Babak solat ketika tiba di masjid Jordan.
Babak solat berjemaah bersama-sama di mana Adam solat menggunakan
kerusi roda ketika sakit.
Babak solat tahajud Adam dan Nur Amina.

2) Berzikir dan Mengucap Kalimah Syahadah


Alhamdulillah! Ketika Nur Amina diberitahu tentang kehamilan beliau.
Begitu juga dengan Adam, ketika diberitahu yang Nur Amina mengandung.
SubhanaAllah! Ketika Nur Amina dan Adam menyaksikan keindahan
pemandangan dari keretapi di Jordan.
Astaghfirullah! Ketika Adam mendapat mimpi buruk di Jordan.

14
d) Penerapan Akidah Islam
Filem ini juga turut menerapkan akidah Islam yang juga perlu diamalkan oleh setiap
umat Islam. Antaranya ialah:-

1) Kepercayaan Kepada Allah : Menunaikan solat merupakan simbol kepercayaan


setiap muslim kepada Allah. Filem yang dikaji memaparkan ibadah solat
sebagai tunjang keyakinan dan kepercayaan sebagai seorang muslim terhadap
yang Maha Pencipta iaitu Allah. Filem Nur Kasih The Movie (2011)
menunjukkan kepentingan solat sebagai seorang muslim sekaligus memaparkan
tunjang kepercayaan akidah kepada Allah. Dalam file ini juga, solat telah
berjaya mendekatkan diri Adam dan Nur Amina kepada Allah. Mereka percaya
dengan segala ketentuan Allah.

Berdasarkan kepada penerangan dan penjelasan di atas, dapat dilihat bahawa filem
Nur Kasih The Movie ini adalah sebuah filem yang tidak hanya mendidik masyarakat
dengan amalan syariat Islam. Sebaliknya, turut mendidik jiwa masyarakat agar sentiasa
bergantung harapan dengan Allah dalam menghadapi cabaran dan dugaan dalam
kehidupan. Nilai agama yang menjadi pegangan muslim iaitu solat turut diangkat sebagai
intipati ibadah yang sangat penting. Bahkan di dalam filem Nur Kasih The Movie (2011)
memaparkan babak solat berjemaah yang mana Adam bersolat dalam keadaan berkerusi
roda. Ini menunjukkan kewajipan solat perlu ditunaikan walau dalam apa keadaan
sekalipun yang menjadi fardu ke atas setiap muslim. Hasil penelitian turut mendapati
bahawa dengan mengerjakan solat, watak dan perwatakan lebih baik. Dalam filem Nur
Kasih The Movie, lakonan watak Adam, Aidil dan Nur Amina yang lebih yakin kepada
Allah di atas ujian yang menimpa mereka melalui solat yang tidak pernah mereka lalaikan.
Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT tentang solat; yang bermaksud:-

‘Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu
dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun), sesungguhnya
sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya

15
mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan Allah
mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.’
(Surah al-An’kabut : Ayat 45)

Manakala, paparan konsep akidah yang didapati dalam ini menjadi bukti
penginterpretasian keimanan dan ketauhidan kepada terhadap Allah. Fauzi & Khairul Naim
(2012) berpendapat bahawa prinsip akidah yang tetap teguh menjadi asas kepada syariat
dan jikalau syariat itu diamalkan akan membuahkan manfaat yang besar kepada kehidupan
manusia. Ini dapat dilihat melalui lakonan watak utama seperti Adam, Aidil dan Nur Amina
(Nur Kasih The Movie) yang percaya dengan segala ketentuan Allah SWT. Allah telah
berfirman yang bermaksud:-

‘Sampai waktu yang ditentukan, lalu Kami tentukan (bentuknya), maka Kami-lah
sebaik-baik yang menentukan.’
(Surah al-Mursalat : Ayat 22-23)

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa adegan yang tidak sewajarnya


diterapkan dalam filem ini. Contohnya, wujudnya percampuran di antara adegan kebaikan
(maaruf) dan juga kemungkaran iaitu di samping babak solat, membaca al-Quran dan juga
akhlak kehidupan sebagai seorang muslim, terdapat juga babak yang memaparkan secara
jelas mengenai adegan pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan yang bukan
mahram. Dalam filem ini juga terdapat babak yang memaparkan cara hidup pemuda Islam
yang berkiblatkan budaya Barat, adegan yang mempersoalkan kepentingan agama,
pemikiran keras daripada watak ustaz serta melanggar syariat Islam dengan pergaulan
bebas dan tidak menutup aurat. Hujah ini menyokong apa yang telah dibincangkan oleh Al-
Jazairiy (2010) mengenai kewajipan menerima syariat Islam secara keseluruhan yang mana
perbuatan melakukan pengurangan terhadap ajaran Islam atau melakukan penambahan
terhadapnya adalah haram.

Oleh yang demikian, penerbitan sebuah filem berunsur dakwah seharusnya


menerapkan ciri-ciri Islamiah secara syumul. Ini adalah untuk memastikan agar masyarakat

16
dapat memahami amalan syariat Islam yang diterapkan dalam filem atau drama tersebut.
Percampuran adegan mungkar seharusnya dielakkan dalam sebuah drama atau filem
berunsur dakwah. Ini adalah untuk memastikan agar mesej dakwah yang diterapkan dalam
drama atau filem dapat disampaikan kepada penonton secara menyeluruh.

6.0 KESIMPULAN
Seni mempunyai hubung kait dengan Islam, kerana Islam itu sendiri adalah sesuatu
yang seni. Kesenian Islam mempunyai ciri-cirinya yang tertentu yang membezakan dari
kesenian lain. Seni Islam merupakan ciptaan bentuk-bentuk yang mengandungi nilai
estetika yang berpadu dengan nilai etika Islam. Ia terbukti dari ajaran-ajarannya yang
mengajak umat manusia kepada kebaikan (Ab. Aziz, 2005). Pada masa kini, drama dan
filem kerap dijadikan sebagai medium dalam menyampaikan dakwah. Kejayaan drama dan
filem berunsur Islam dalam industri perfileman Malaysia menyebabkan ramai penerbit
menerbitkan drama dan filem berunsur Islamik. Maka filem atau drama sebagai platform
dakwah dilihat mengambil tempat dalam industri seni tempatan. Dakwah melalui seni
perfileman menyatakan kewujudan filem-filem yang berunsur Islamik mampu menjadikan
arena perfileman sebagai satu saluran yang berkesan dalam penyampaian mesej dakwah
kepada golongan sasaran. Menurut Dusuki Ahmad (2011), filem dan drama merupakan
elemen yang cukup berkesan dalam mencetuskan kesedaran dan keinsafan. Filem atau
drama merupakan wahana yang ampuh untuk menyampaikan dakwah yang juga merupakan
salah satu wadah dalam mempertahankan syiar Islam.

Namun begitu, setiap drama atau filem yang diterbitkan perlu patuh syariah. Ini
adalah untuk memastikan agar drama atau filem tersebut tidak memberikan kefahaman
songsang kepada penonton khususnya dalam kalangan umat Islam. Sebaliknya, drama atau
filem mengetengahkan aspek akidah, ibadah dan syariat Islam dalam mesej yang ingin
disampaikan kepada penonton.

JUMLAH PERKATAAN : 4,790 PATAH

17
RUJUKAN
Ab. Aziz Mohd Zin, (2004), Metodologi Dakwah, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya

Ab. Aziz Mohd Zin, (2005). Peranan Dakwah dalam Pembinaan Islam Hadhari di Malaysia.
Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya

Ab. Aziz Mohd. Zin et al., (2014). Dakwah Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbitan
Universiti Malaya

Abdullah Hassan (2007). Berdakwah Dengan Efektif. Selangor: PTS Publications &
Distributor Sdn. Bhd.,

Ahmad Zaki Hj Abdul Latiff, (2006). Transformasi Gerakan Islah Dan Dakwah Di Timur
Tengah Dan Di Malaysia. Selangor : Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), UITM.

Anita Abdul Rani, (2002). ‘Ceramah Dakwah: Kajian Tentang Faktor Tarikannya di Kuantan’
(Disertasi, Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, APIUM

Anuar Nor Arai (2007). Kumpulan Esei dan Kritikan Filem, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka

Asiah Sarji & Nur Kareelawati Abd. Karim. (2008). FIlem Cereka Melayu Sebagai Salah Satu
Saluran Dakwah Remaja di Malaysia: Kajian Filem-filem Arahan Pengarag-Pengarah
Filem Muda Selepas Tahun 2000. Nadwah Ilmiah Syeikh Abdullah al-Ghadamisi al-
Maghribi ke-2: Dakwah dan Media

Fauziah Kartini Hassan Basri et al. (2009). Penonton Filem Cereka Di Malaysia: Tingkah
Laku, Citrarasa, Persepsi Dan Harapan, Cet. 1, Ampang: Perbadanan Kemajuan Filem
Nasional Malaysia (FINAS).

Mohd Amin Abdul Rahim, (2011). Panduan Pendakwah Secara Praktikal. Kuala Lumpur:
Darul Fikir.

Mohd Mokhtar Shafii, (2015). Sebelum Dan Sesudah Wahyu. Kuala Lumpur : Penerbitan
ELMAN

Mustafa Ar-Rafie (2004), Dakwah dan Keunggulan Para Daie. Selangor Shah Alam :
Karisma Publications Sdn. Bhd

Nabilah Mohd Razif (2012), ‘Unsur-unsur Islam dalam Drama TV Bersiri: Kajian Terhadap
Drama Nur Kasih’, (Tesis Master, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya).

Naim Haji Ahmad (2010), ‘Ke Arah Membentuk Definisi dan Konsep Filem Islam’, (Kertas
Persidangan Bengkel Fiqh Penyiaran di Institut Latihan Islam Malaysia, 6 Jun 2010),

18
Naim Haji Ahmad (2011), Filem Islam Satu Pembicaraan, Shah Alam: Uni-N Production
Sdn. Bhd.

Wan Hussein Azmi Abdul Kadir, (2012). ‘Islam Agama Dakwah: Suatu Pengenalan’, dalam
Abdullah Muhammad Zin et al. (eds.), Prinsip dan Kaedah Dakwah dalam Arus
Pembangunan Malaysia, c. 2. Bangi: Penerbit UKM,

Wan Hussein Azmi Abdul Kadir, (2014). Panduan Dakwah Islamiah, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka

Zulkiple Abd Ghani (2010), Dakwah Dalam Era Siber di Malaysia, Nilai: Universiti Sains
Islam Malaysia.

19

You might also like