You are on page 1of 2

KARANGAN CONTOH

Soalan:
Baru-baru ini sekolah anda telah menganjurkan “Hari Kecemerlangan Pelajar”. Pada hari itu,
pihak sekolah telah mengadakan pameran dan persembahan pentas untuk orang ramai yang
hadir. Gambarkan suasana tersebut.

30 Julai 1999 merupakan tarikh yang tidak mudah dilupakan oleh semua warga SMSM.
Ini kerana pada hari tersebut telah diadakan Hari Kecemerlangan Pelajar. Hari itu memang
dinanti-nantikan oleh semua pelajar dan ibu bapa terutamanya yang terlibat dengan upacara
penerimaan sijil penghargaan. Lagipun, para guru dan pelajar sudah menghabiskan kira-kira 2
minggu untuk persediaan dan latihan.
Pada pagi itu para pelajar berkumpul di tapak perhimpunan untuk mendengar pesanan
dan arahan terakhir daipada pengetua dan guru-guru yang menjadi ketua dalam bahagian-
bahagian tertentu seperti bahagian persembahan, penganugerahan hadiah dan cendera hati,
keselamatan, pameran, dan sebagainya. Sesuatu yang menarik pada hari itu ialah semua guru
lelaki memakai baju Melayu yang lengkap dengan songkok dan sampin termasuk guru-guru
bukan Melayu. Sementara itu guru-guru perempuan kelihatan segak dengan pakaian baju
kurung dan ada juga yang berkebaya labuh
Kira-kira pada pukul 8.30 pagi, para tetamu kelihatan mula masuk ke kawasan sekolah
dan mereka disambut dengan mesra oleh barisan pengawas yang sedia menunggu di pintu
utama sekolah dan para pelawat diberikan sebuah buku program untuk acara pada hari itu.
Terdapat juga para penyambut tetamu yang kelihatan mengiringi pelawat sehingga ke pintu
masuk dewan tempat majlis gemilang itu diadakan. Pada tahun ini sambutan daripada ibu bapa
sangat menggalakkan sehingga dewan yang seluas empat ukuran kelas itu kelihatan penuh.
Antara tetamu yang diundang pada hari tersebut termasuklah Pengarah Pendidikan Negeri,
Pengarah Pendidikan Daerah, Pengetua-Pengetua, dan beberapa orang wakil PIBG. Ketibaan
Pengarah Pendidikan itu telah disambut oleh pasukan kompang sekolah dan beliau juga
diberikan penghormatan untuk memeriksa barisan hormat oleh pasukan kadet tentera
sekolah yang kelihatan kemas dengan uniform mereka yang serba hijau dan memakai topi
hitam berjambul merah. Upacara itu tamat dengan nyanyian lagu Negaraku dan selepas itu
beliau diiringi oleh Pengetua masuk ke dalam dewan.
Pengetua telah menyampaikan ucapan dan memberikan laporan yang berupa kemajuan
akademik dan kokurikulum di sekolah itu diikuti dengan ucapan daripada wakil PIBG dan akhir
sekali ucapan daripada Pengarah Pendidikan Negeri Kedah. Seterusnya dewan menjadi lebih
meriah dengan tepukan yang diberikan kepada para pelajar yang mendapat anugerah cemerlang
pada hari itu. Tepukan yang kuat diberikan kepada pelajar yang diumumkan sebagai tokoh
pelajar pada tahun ini kerana berjaya memperoleh keputusan akademik yang baik dan aktif
pula dalam bidang sukan serta badan beruniform serta kelab.
Ketika pelawat serta tetamu berpindah ke dewan makan, pelajar-pelajar yang
mengambil bahagian untuk acara persembahan sudahpun bersedia di atas pentas. Para tetamu
kelihatan kagum dan terpukau oleh persembahan lagu-lagu yang disampaikan kumpulan koir
sekolah dan diiringi pula dengan permainan muzik olehanggota-anggota band SMSM yang
kelihatan segak bergaya dengan uniform mereka yang berwarna merah dan putih. Mereka telah
mempersembahkan lagu-lagu yang segar dan telah berjaya menceriakan majlis makan tersebut.
Para tetamu juga kelihatan tidak kering gusi apabila menonton sketsa komedi yang
dipersembahkan oleh Pasukan Pengakap Sekolah. Kemuncak acara persembahan itu ialah
nyanyian solo daripada pemenang Juara Bakat Seni Suara SMSM 1999 yang memiliki suara
seakan-akan penyanyi terkenal Siti Nurhaliza. Para tetamu kelihatan tidak bergerak daripada
tempat duduk masing-masing sehingga acara persembahan diumumkan tamat dan mereka
dijemput untuk pergi ke ruangan pameran yang diadakan dimakmal sains.
Para tetamu kelihatan kagum dengan pameran sains yang diadakan pada hari itu.
Kebanyakan pelawat ingin mencuba sendiri beberapa alat dan radas sains yang dipamerkan itu
dan hampir semua tetamu tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan menggunakan
kamera yang dibuat sendiri oleh beberapa orang pelajar daripada Persatuan Sains dan
Matematik SMSM.
Apabila semua tetamu pulang, keadaan kembali tenang dan para guru mengadakan sesi
bergambar untuk dimuatkan ke dalam majalah sekolah. Hari Anugerah Kecemerlangan pada
tahun ini merupakan hari yang paling gemilang dalam sejarah SMSM.

(585 patah perkataan)

You might also like