You are on page 1of 15

SKEMA SEJARAH S1 (940/1)

SOALAN 1
PENYATUAN JERMAN PADA TAHUN 1871 TELAH MELETAKKAN ASAS BAGI
PERKEMBANGAN MASYARAKAT INDUSTRI DI JERMAN PADA ABAD KE-18
DAN KE-19. BINCANGKAN. (20M)

Pengenalan
Masyarakat industri merujuk kepada masyarakat yang terlibat dalam bidang perindustrian.
Mereka terlibat dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan berasaskan mesin. Menjelang
abad ke-19, perindustrian telah berkembang pesat di Jerman. Penyatuan Jerman pada tahun
1871 telah meletakkan asas bagi perkembangan masyarakat industri di Jerman pada abad ke-
18 dan ke-19, namun terdapat juga faktor lain mendorong kemunculan dan perkembangan
masyarakat industri di Jerman.

Faktor perkembangan masyarakat industri Jerman


Penyatuan Jerman 1871
Penyatuan Jerman pada tahun 1871 oleh Otto von Bismark telah meletakkan asas bagi
perkembangan masyarakat industri di Jerman. Selepas penyatuan ini, pelbagai usaha dibuat
untuk membangunakan sektor perindustrian. Kerajaan mengambil langkah menyeragamkan
mata wang, sistem pencukaian serta sistem sukatan dan timbangan. Di samping itu, Bismarck
menyautukan sistem pos dan telegraf, menyediakan rangkaian perhubungan yang baik serta
dasar perlindungan terhadap perindustrian. Kerajaan juga turut memajukan sektor pertanian
dan perdagangan serta memperkenalkan undang2 tarif bagi melindungi industri tempatan.
Ternyata penyatuan ini merupakan asas penting kepada perkembangan masyarakat industri di
Jerman.
Kemajuan Pertanian
Seterusnya, kemajuan dalam bidang pertanian turut meletakkan asas bagi perkembangan
masyarakat industri di Jerman. Sektor pertanian berkembang dengan pesat melalui penerbitan
karya mengenai teknologi pertanian. Begitu juga Justus von Liebig menjalankan kajian
tentang penggunaan bahan kimia bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian.
Penggunaan teknologi moden dan kaedah saintifik telah menyebabkan berlaku peningkatan
dalam pengeluaran hasil pertanian. Kerajaan turut berperanan dalam memajukan bidang
pertanian melalui penubuhan sekolah pertanian dan universiti. Jelasnya, penggunaan
teknologi moden dan saintifik dalam bidang pertanian telah menjadi asas perkembangan
masyarakat industri di Jerman.
Penghapusan Sistem Guild
Selain itu, penghapusan sistem guild juga menjadi salah satu faktor asas membawa kepada
perkembangan masyarakat industri di Jerman. Pada peringkat awal, seseorang yang ingin
terlibat dalam bidang perindustrian perlu mempunyai pengalaman dalam guild selama
beberapa tahun dan ianya merupakan syarat wajib. Namun, sistem ini telah menjadi
penghalang kepada perkembangan sektor perindustrian di Jerman. Oleh itu, pada tahun 1811
apabila kerajaan bertindak menghapuskan monopoli dan keistimewaan guild melalui

1
Peraturan 1811. Ini seterusnya telah menggalakkan perkembangan masyarakat industri serta
pertumbuhan sektor perindustrian yang semakin pesat di Jerman.

Penghijrahan Penduduk ke Bandar


Penghijrahan penduduk dari kawasan luar bandar ke bandar turut membantu kepada
masyarakat industri di Jerman. Sebelum penyatuan Jerman, tiga perempat daripada penduduk
Jerman tinggal menetap di luar bandar. Pada tahun 1871, terdapat 8 buah bandar di Jerman
dengan bilangan penduduk seramai 100 ribu orang. Proses pembandaran berkembang dengan
pesat dan membawa kemunculan bandar baharu di seluruh negara seperti di kawasan Ruhr,
Saxony, Silesia, dan Berlin. Pertumbuhan bandar baharu dan peningkatan penduduk melalui
penghijrahan telah semakin menggalakkan perkembangan pesat masyarakat industri di
Jerman.

Kekayaan Bahan Mentah


Di samping itu, perkembangan sektor perindustrian di Jerman juga disebabkan oleh kekayaan
sumber bahan mentahnya seperti arang batu, bijih besi dan bijih timah. Kawasan
perlombongan arang batu dan bijih besi yang terkenal di Jerman ialah Lembah Ruhr Lorainne
dan Silesia. Pada tahun 1872, Jerman telah mengeksport bekalan bijih besi bernilai 1.92 juta
tan ke negara Eropah dan pada tahun 1875 pula, mengeluarkan 25 juta tan arang batu serta
penemuan dan penghasilan 375 000 tan garam kalium. Kekayaan bahan mentah ini turut
meletakkan asas kepada perkembangan masyarakat industri dengan tawaran peluang
pekerjaaan iaitu antara tahun 1863 hingga 1865, seramai 120 000 orang bekerja dalam
industri perlombongan di Jerman.

Penubuhan Institusi Kewangan


Kemunculan institusi kewangan seperti bank dan koperasi memberi sumbangan yang besar
dalam perkembangan sektor perindustrian dan kelahiran masyarakat industri di Jerman.
Penubuhan institusi kewangan untuk memberikan bantuan kewangan, modal dan
menyediakan pinjaman jangka panjang bagi merangsang pertumbuhan sektor perindustrian di
Jerman. Kesatuan kredit telah ditubuhkan di seluruh Jerman seperti Kesatuan Kredit Schulze
Delitzsch. Menjelang pertengahan abad ke-19, Joint Stock Bank ditubuhkan. Antara bank di
Jerman adalah Deutsche Bank (1870), Darmstadter Bank (1870), dan Dresdener Bank (1872).
Bank ini berperanan menggalakkan penggabungan perniagaan, menggalakkan pertumbuhan
industri perlombongan serta pembangunan sistem pengangkutan darat dan laut. Oleh itu,
jelaslah bahawa institusi kewangan telah merangsang ekonomi perindustrian dan menjadi
asas kepada perkembangan masyarakat industri di Jerman.

Dasar Kerajaan
Pertumbuhan pesat dalam sektor perindustrian juga disebabkan adanya galakan daripada
kerajaan yang mengamalkan dasar memberi perlindungan kepada sektor perindustrian mulai
tahun 1879. Dasar ini rnenyebabkan berlaku pertumbuhan pesat industri antara tahun 1872
hingga awal abad ke 20 di Jerman. Perubahan ini telah melahirkan ramai golongan pekerja
industri. Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti sistem

2
pengangkutan yang murah serta jaminan kepada golongan pekerja seperti insurans sakit dan
perubatan percuma telah menyebabkan perkembangan pesat masyarakat industri di Jerman.

Kesimpulan
Tuntasnya, faktor penyatuan Jerman sememangnya telah meletakkan asas penting dalam
perkembangan masyarakat industri di Jerman. Namun pelbagai faktor lain turut berperanan
dalam menyumbang kepada kemunculan masyarakat industri di Jerman yang telah membawa
kepada kebangkitannya sebagai kuasa ekonomi dan ketenteraan yang unggul di Eropah pada
awal abad ke-20.

SOALAN 2
JELASKAN DASAR YANG DILAKSANAKAN RAJA LOUIS XIV (1643-1715)
UNTUK MENGUKUHKAN KEDUDUKANNYA SEBAGAI RAJA BERKUASA
MUTLAK DI PERANCIS. (20M)

Pengenalan
Raja Louis XlV dilantik menjadi pemerintah Perancis pada 1643. Beliau terkenal dengan
gelaran “Grand Monarch”. Raja Louis telah memerintah selama 72 tahun dan menjalankan
pemerintahan secara berkuasa mutlak. Baginda telah melaksanakan pelbagai dasar sehingga
Perancis muncul sebagai kuasa yang kuat pada masa itu. Dasar Raja Louis XIV dalam bidang
ekonomi, ketenteraan, agama dan luar negara telah berjaya mengukuhkan kedudukannya
sebagai Raja berkuasa mutlak di Perancis.

Dasar mengukuhkan kedudukan Raja Louis


Mengukuhkan dasar dalam negara
Menyusun semula pentadbiran negara. Di peringkat pusat, diperkenalkan empat majlis utama
iaitu Majlis Negara, Majlis Despatches, Majlis Kewangan dan Majlis Privy. Antara peranan
empat majlis tersebut adalah; Majlis Negara – menguruskan hal ehwal luar negara; Majlis
Despatches – menguruskan semua hal ehwal tempatan kecuali kewangan; Majlis Kewangan
– Percukaian, tarif, perbelanjaan dan pendapatan negara; Majlis Privy – menguruskan
pentadbiran keadilan.
Di peringkat pusat baginda melantik menteri-menteri yang berkebolehan untuk menjalankan
pentadbiran seperti Colbert (Menteri Kewangan), Louvois (Menteri Peperangan), dan Vauban
(Menteri Ketenteraan). Di peringkat Provinci pula, baginda telah mendapatkan khidmat
daripada pegawai-pegawai yang berkebolehan bagi melaksanakan dasar-dasar diraja. Melalui
dasar-dasar Colbert, Perancis menjadi negara industri dan kuasa ketenteraan yang kuat di
Eropah. Zaman Raja Louis XlV dianggap zaman keemasan bagi kesusasteraan Perancis
dengan lahirnya tokoh-tokoh seni tersohor seperti Racine dan Moliere. Dasar dalam negara
Raja Louis ini telah berjaya mengukuhkan kekuasaan monarki mutlak di Perancis sehingga
1715.

Mengukuhkan bidang ketenteraan


Menghapuskan dominasi golongan bangsawan dalam bidang ketenteraan dan meletakkan
angkatan tentera di bawah kawalan baginda. Melantik pegawai-pegawai berasaskan merit.
3
Bagi menarik kesetiaan golongan tentera, baginda bertindak merekrut anggota tentera dan
menyediakan kemudahan seperti perumahan dan bekalan makanan. Kesannya Perancis
muncul pasukan tentera terkuat di Eropah pada masa itu dan kedudukan sebagai raja berkuasa
mutlak semakin kukuh.

Mengukuhkan dasar luar negara


Raja Louis XlV telah melancarkan dasar perluasan kuasa dan berjaya meluasakan kuasa
Perancis sehingga ke sempadan Sg Rhine. Baginda menguasai wilayah-wilayah yang
diperintah oleh Putera-putera Jerman, Negara Spanish, Netherlands dan United Province.
Usaha raja Louis ini telah meningkatkan kekuatan dan sokongan rakyat terhadap
pemerintahan beraja mutlak di Perancis.

Mengukuhkan ekonomi mekantilisme


Raja Louis XlV melaksanakan dasar ekonomi merkantilisme bagi mengukuhkan negaranya.
Antara pembaharuan beliau melalui Colbert ialah memulakan industri baharu, memansuhkan
tarif tempatan, mengurangkan kadar bunga ke atas hutang kerajaan, mengawal upah dan
mengawal harga barangan. Colbert telah membina gudang senjata Toulan, mengadakan
perhentian dagang di India, Senegal dan Madagascar bagi menggalakkan perdagangan luar.
Baginda juga mengenakan pelbagai sekatan bagi meningkatkan industri tempatan seperti
mengenakan bayaran tarif yang tinggi kepada kapal asing yang menggunakan pelabuhan
Perancis dan memberikan bantuan kewangan kepada industri perkapalan Perancis yang
menjalankan perdagangan. Dasar ekonomi ini berjaya mengukuhkan kedudukan ekonomi
kewangan Raja Louis.

Mengukuhkan bidang keagamaan


Raja Louis XlV memaksa golongan bukan katolik (Huguenot) menerima agama Katolik.
Pada tahun 1685, baginda telah membatalkan Edict of Nante yang memberi kebebasan
beragama kepada golongan Huguenot. Beliau telah menyekat kebebasan golongan Huguenot
dengan mentafsirkan dasar keagaamaan secara sempit yang kesanya mengakibatkan seramai
200 000 orang Huguenot terpaksa berpindah meninggalkan Perancis. Langkah Raja Louis ini
telah mendapat sokongan daripada rakyat dan seterusnya mengukuhkan kedudukan monarki
mutlaknya di Perancis.

Mengukuhkan kedudukan dalam bidang perundangan


Semasa pemerintahannya, beliau melaksanakan pemerintahan raja berkuasa mutlak di
Perancis, Raja berkuasa untuk menggubal dan membatalkan undang-undang. Segala titah
perintah raja dianggap sebagai undang-undang dan raja dikatakan mempunyai imuniti dari
segi perundangan. Justeru, mengukuhkan kedudukannya sebagai raja berkuasa mutlak di
Perancis.

Kesimpulan
Pendek kata, sepanjang pemerintahan Raja Louis XlV beliau telah berjaya mengukuhkan
kedudukan dengan melakukan pelbagai dasar dan pembaharuan sehingga digelar Grand

4
Monarch. Kesannya, Perancis telah muncul sebagai sebuah negara yang kuat dan
berpengaruh di Eropah.

SOALAN 3
HURAIKAN PERKEMBANGAN KEGIATAN EKONOMI FEUDALISME DI
PERANCIS PADA ABAD KE-16 HINGGA KE-18.
(20M)

Pengenalan
Sistem ekonomi feudalisme yang wujud sejak Zaman Pertengahan adalah berasaskan hak
pemegangan tanah. Kegiatan ekonomi masyarakat pula berpusat sekitar kawasan petempatan
pertanian. Menjelang abad ke-16 hingga abad ke-18, pemerintah di Perancis masih
mengamalkan ekonomi feudalism bagi menjamin kedudukan politik mereka.

Kegiatan ekonomi pertanian.


Pertanian kegiatan ekonomi utama pada abad ke-16. Aktiviti pertanian masih mengamalkan
sistem manor yang dikongkong oleh tuan tanah. Petani mengamal sistem tanah lapang dan
membahagikan tanah kepada 3 bahagian untuk pusingan dalam proses penanaman. Mereka
menggunakan kaedah tradisional dan petani dibebankan dengan pelbagai cukai seperti cukai
tanah (taille), cukai keluarga ( pol tax ) dan cukai harta ( vingtieme ). Ditambah lagi dengan
pelbagai cukai lain seperti ( cukai tak langsung ) seperti cukai garam, cukai feudal, cukai
dapur, cukai jalan dan jambatan dan sebagainya. Semasa pemerintahan Raja Henry IV dan
Raja Louis XIV melalui Menteri Kewangannya, Colbert, menjalankan pembaharuan
pertanian dengan menghapuskan amalan tradisional, memberi bijih benih percuma,
membiayai penternakan, mengadakan kemudahan sistem pengangkutan dan membina sistem
pengairan. Namun begitu, golongan petani pada asasnya tidak mendapat hasil kekayaan
dihasilkan kerana ditindas oleh tuan tanah.

Kegiatan sektor perindustrian


Industri yang berkembang maju di Perancis adalah industri tekstil seperti kain bulu, linen dan
kain sutera di Utara Perancis. Di Abbeville sahaja terdapat 12 000 pekerja di kilang kain.
Biasanya kain ini dikeluarkan oleh petani petani di kampung dan dibeli oleh saudagar kain
dari bandar untuk diwarnakan menggunakan mesin. Ini menjadikan Perancis mampu
mengeksport hasil industri ke luar Eropah pada abad ke 18. Industri pertukangan tangan juga
begitu terkenal di Perancis sehingga wujudnya kesatuan tukang untuk mengawasi ketelitian,
kreativiti dan pemasaran barangan sebelum dihapuskan pada 1776. Namun begitu, petukang
di Perancis masih lagi mampu menghasilkan barangan pertukangan yang bermutu tinggi dan
berjaya menyaingi hasil hasil pertukangan dari luar dengan harga yang lebih murah dan
berkualiti. Kepesatan dalam bidang perindustrian ini menyebabkan munculnya golongan
saudagar baru sebagai kuasa politik dan mampu menyaingi kedudukan golongan aristokrat.

Kegiatan ekonomi perdagangan


Aktiviti ini berkembang pesat semasa pemerintahan Raja Henry IV dan Raja Louis XIV.
Perancis telah meluaskan perdagangan sehingga ke Amerika Utara dan India. Ini dapat
meningkatkan perdagangan Perancis di luar negara. Hasil industri di Perancis dieksport ke
5
luar negara seperti hasil kraf, sutera dan pakaian bersulam dan kain bulu. Gandum dan arak
Perancis juga mendapat permintaan yang tinggi di sekitar Laut Mediterenean. Bandar
perdagangan turut berkembang di Perancis seperti Champagne, Lyon dan Beaucaire yang
mengawal perdagangan di bahagian Eropah Utara dan Mediterenean. Kawasan Levant
menjadi pusat perdagangan Perancis ke Eropah. Perkembangan perdagangan disebabkan oleh
dasar ekonomi Colbert. Beliau banyak menyediakan kemudahan yang mendapat sokongan
Raja Louis.
Pedagang Perancis juga membuat pelaburan di luar seperti membuka ladang tebu di San
Domingo, Martinique dan Guadeloupe sehingga Perancis berjaya menjadi pengeluar gula
yang terbesar di Eropah. Kepesatan ini disebabkan oleh galakan kerajaan yang memberi
pelbagai inisiatif dan bantuan termasuklah penggunaan tentera laut untuk melindungi aktiviti
perdagangan. Kesan dari kepesatan perdagangan ini Perancis mampu bersaing dengan kuasa
England, Sepanyol dan Portugal dalam aktiviti perdagangan. Hasil perdagangan Perancis juga
meningkat sehingga 500 juta livres pada tahun 1789.

Perkembangan institusi kewangan.


Golongan ini yang terdiri daripada golongan borjois telah memberi modal dan pinjaman
kepada pedagang pedagang untuk menjalankan aktiviti perdagangan antarabangsa. Namun di
Perancis, sistem ekonomi ini berkembang agak lewat iaitu pada abad ke 18 dengan wujudnya
beberapa bank seperti Paris Bourse, Caisse d’ Escompte dan Loterie Royale. Ekoran daripada
ini wujud pula Syarikat Joint-stock yang melibatkan saham. Kewujudan institusi kewangan
menyebabkan aktiviti ekonomi di Perancis semakin berkembang dan mengukuhkan lagi
kedudukan saudagar dalam arena politik di Perancis.

Kegiatan ekonomi pertukangan


Industri kraf tangan berkembang pesat semasa pemerintahan Raja Louis XIV. Industri
kraftangan menghasilkan barangan seperti gelas, sutera, dan pakaian bersulam telah
berkembang. Tukang2 mahir menubuhkan kesatuan tukang untuk mengawal kualiti
rangangan yang dihasilkan.

Kesimpulan
Tuntasnya Perancis masih mengamalkan sistem ekonomi feudal khususnya dalam bidang
pertanian walaupun aktiviti ini melibatkan majoriti penduduk Perancis. Golongan tuan tanah
dan bangsawan banyak mendapat manafaat dalam aktiviti ini. Namun yang menariknya, di
Perancis terdapat juga perkembangan sistem ekonomi perdagangan, industri dan institusi
kewangan. Walau bagaimanapun, hanya golongan bangsawan, pemodal dan berkemahiran
sahaja yang memonopoli aktiviti ini. Manafaatnya masih tidak dapat dinikmati oleh
kebanyakan rakyat di Perancis.

6
SOALAN 4
IDEA CHARLES LOUIS MONTESQUIEU TELAH BERJAYA MEMBAWA
PERUBAHAN KEPADA PEMIKIRAN MASYARAKAT DI EROPAH PADA ABAD
KE-19. NILAIKAN PERNYATAAN INI.
(20M)

Pengenalan
Charles Louis Montesquie, dilahirkan di Chateau de la Brede, barat daya Perancis pada 18
Januari 1689. Lulusan undang-undang dari Universiti Bordeaux dan berjaya jadi peguam
pada 1708. Beliau merupakan tokoh pemikir politik Perancis dan banyak memberi
sumbangan serta idea semasa Zaman Pencerahan. Pada tahun 1716, Montesquieu dilantik
sebagai Presiden Parlimen Bordeaux menggantikan bapa saudaranya. Idea beliau telah
berjaya membawa perubahan kepada pemikiran masyarakat Eropah melalui karyanya yang
terkenal iaitu Spirit of the Laws yang diterbitkan pada tahun 1748. Karya beliau yang lain
yang turut memberi impak yang saya adalah The Considerations on the Causes of the
Grandeur and Decadence of the Romans (1734) dan Letters Persanes (1721).

Idea teori pengasingan kuasa


Doktrinnya yang terkenal ialah doktrin pembahagian kuasa. Teori ini dibincangkan melalui
karyanya Spirit of the Laws (L`Esprit des Lois). Karyanya ini telah memberi kesan yang
mendalam terutamanya dalam bidang politik dan pemerintahan terhadap negara-negara di
dunia dan juga dalam bidang intelektual. Menurut beliau kuasa pemerintahan di Perancis
perlu dibahagikan antara raja, golongan bangsawan, majlis perbandara, estet-estet provinsi
dan pihak gereja. Beliau menjelaskan bahawa konsep pengasingan kuasa dalam pemerintahan
terbahagi kepad tiga buah badan bebas iaitu Badan Peundangan, Badan Esekutif dan Badan
Kehakiman. Ketiga-tiga badan tersebut mempunyai bidang kuasa tersendiri dan setiap cabang
pemerintahan tidak mencampuri urusan badan lain. Doktrin ini dikemukakan kerana beliau
menentang pemerintahan berkuasa mutlak.
Beliau berpendapat jika konsep menggubal undang-undang (legistatif) dan kuasa memerintah
(eksekutif) dimiliki oleh orang yang sama, pasti kebebasan tidak akan wujud kerana pihak
pemerintah akan menggubal undang-undang yang zalim supaya mereka terus berkuasa.
Kebebasan juga tidak akan berlaku jika hakim-hakim tidak diberi kebebasan untuk
melaksanakan tugasnya. Apabila ketiga-tiga jentera ini menjalankan tugas secara berasingan,
maka rakyat akan memiliki kebebasan. Tegasnya bahawa pengasingan kuasa ini perlu
supaya penyalahgunaan kuasa dapat dielakkan demi kesejahteraan bersama.

Pembinaan jentera pentadbiran negara moden berfungsi tanpa campur tangan raja.
Muncul pemerintah Enlightened Despot iaitu raja-raja memerintah dengan penuh kesedaran
dan mempraktikan undang-undang yang tegas. Selain itu, berlakunya pemusatan kuasa dalam
pemerintahan iaitu keistimewaan yang dimiliki oleh provinsi (wilayah ) dihapuskan. Berlaku

7
perubahan dalam jentera pentadbiran iaitu pemerintah membina jentera pentadbiran sebuah
negara moden yang berfungsi tanpa campur tangan raja. Raja-raja juga bertindak
menggantikan pegawai-pegawai kerajaan di peringkat pusat, provinsi dan tempatan.
Misalnya, perlantikan mereka berasaskan teori-teori politik oleh golongan intelektual.
Perubahan sistem percukaian iaitu raja menghapuskan imuniti yang dinikmati oleh golongan
bangsawan dan cukai ditaksir dan dibayar mengikut kemampuan pembayar. Jelaslah melalui
doktrin beliau mengenai pengasingan kuasa amat berpengaruh terhadap landskap politik di
Eropah seperti bangsa Amerika dan beberapa negara lain sehinggakan didapati bahawa
penggubalan Perlembagaan Amerika Syarikat pada tahun 1787 berdasarkan idea beliau.

Teori pembentukan kerajaan


Beliau ketengahkan idea dengan menyatakan bahawa sesebuah kerajaan dibentuk berbeza-
beza mengikut iklim dan keadaan. Contohnya despotisme (pemerintahan mutlak) hanya
sesuai untuk empayar yang besar dalam iklim panas dan demokrasi hanya akan berfungsi
dalam negara kota kecil. Beliau telah berjaya memberikan suatu idea yang telah diterima
pakai dalam membentuk sesebuah kerajaan.

Mengkritik amalan masyarakat yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Rom.


Karyanya, The Consideration on the Causes of the Grandeur and Decadence of the
Romans pula memaparkan sejarah kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan kerajaan Rom
di akhir abad ke-4 Masihi. Sebagai contoh, beliau menyatakan dengan memahami
kegemilangan dan kejatuhan sesebuah empayar, seseorang perlu memahami masyarakatnya
terlebih dahulu dan boleh dijadikan iktibar untuk sesebuah negara. Antara iktibar yang boleh
diperoleh dan dijadikan panduan dalam bidang politik ialah ialah kejayaan Rom, antara
sebabnya: kebajikan masyarakatnya, sistem konsul, kebijakan senat, kekuasaan rakyat yang
terbatas, konsentrasi perang, kemenangan-kemenangan, pembahagian harta rampasan,
pembahagian tanah yang merata, censorship (pemeriksaan), pembahagian kekuasaan politik,
dan dukungan senat terhadap militer dan terhadap politik luar negeri
Sedangkan kemunduran Rom antara lain disebabkan oleh merosotnya kerjasama antara
rakyat dan militer, kesenangan ekonomi dan kekuasaan, hilangnya identiti
kewarganegaraan rakyat Rom, yang kesemuanya membuat Republik tidak mungkin dapat
dipertahankan. Montesquieu juga mencurahkan perhatiannya pada perkembangan fahaman
atheisme, materialisme, dan hedonisme yang menyebabkan hancurnya moral, agama,
patriotisme dan kebajikan masyarakat Rom. Beliau juga telah membuat kajian tentang kesan
dan akibat sosial dan fenomena persekitaran terhadap tingkah laku manusia.

Kemerosotan moral dan kaitannya dengan kejatuhan kerajaan.


Melalui karyanya Letters Persanes yang diterbitkan pada tahun 1721, beliau telah mengkritik
masyarakat Perancis khususnya kerana kemerosotan moral pada penghujung zaman
pemerintahan Raja Louis XIV dan Louis XV, di mana rakyat telah memberikan ketaatsetiaan
yang keterlaluan kepada Raja. Buku ini berisi surat-surat dan secara tepatnya berjumlah 161
surat dan tidak terdapat huraian atau kaitan cerita di antara surat yang satu dan yang lain.
Masing-masing surat lebih mirip dengan sebuah karangan singkat yang menggambarkan
beberapa subjek seperti dasar pemerintahan, tradisi kepercayaan, gaya hidup dari suatu

8
masyarakat; bahkan ada beberapa surat yang datang dari sanak saudara, isteri-isteri, dan para
pembantu tentang pelbagai peristiwa yang terjadi di Persia dan melalui karya ini boleh
dijadikan landasan yang betul dalam mempertahankan keutuhan sesebuah kerajaan.
Selain itu, beliau mendapati juga bahawa masyarakat Perancis juga masih mengamalkan cara
lama yang boleh menyekat kemajuan. Contohnya, kongkongan lelaki terhadap kaum wanita.
Sehubungan itu idea yang diketengahkan oleh beliau telah menimbulkan kesedaran dalam
kalangan masyarakat Perancis

Kesimpulan
Charles Louis Montesquieu telah banyak memberikan sumbangan idea kepada Perancis
khususnya dengan meletakkan asas bagi kemunculan revolusi di Perancis dan mengubah
secara drastik pemikiran masyarakat dan landskap politik di Eropah apabila idea beliau
tersebar ke negara-negara lain di benua Eropah. Idea dan doktrin beliau berjaya
mempengaruhi penggubalan perlembagaan di dunia hari ini.

SOALAN 5
SEJAUH MANAKAH PEMBAHARUAN DALAM ADAT YANG DIPERKENALKAN
KERAJAAN BRITISH MERUPAKAN PUNCA MELETUSNYA DAHAGI, DI INDIA
PADA TAHUN 1857?
(20M)

Pengenalan
Pada tahun 1857, berlakunya penentangan terhadap pemerintahan British yang di kenali
sebagai Dahagi India. Dahagi India merupakan pemberontakan yang di lancarkan oleh
golongan sepoi yang menentang pemerintahan British di India. Masyarakat tempatan di India
menganggap Dahagi sebagai perjuangan untuk membebaskan negara daripada pemerintahan
British.
Hakikatnya, pembaharuan adat yang diperkenalkan oleh kerajaan British telah mendapat
respons yang sangat negatif daripada masyarakat tempatan, sekaligus menjadi punca
meletusnya Dahagi India pada tahun 1857. Di samping pembaharuan adat yang
diperkenalkan oleh kerajaan British, Dahagi India juga meletus kerana pelbagai faktor lain.
Oleh yang demikian tidak hairanlah, Dahagi India yang meletus telah disertai oleh pelbagai
lapisan masyarakat antaranya golongan sepoi, golongan putera, nawab, dan pembesar yang
kehilangan gelaran, tanah dan kuasa.

Pembaharuan Adat Kerajaan British


Penghapusan amalan Suttee
Faktor yang menyebabkan muncul rasa tidak puas hati dlam kalangan penduduk di India
terhadap pemerintahan British ialah penghapusan amalan suttee. Amalan suttee adalah
amalan yang di amalkan oleh penduduk beragama hindu sejak turun-temurun lagi. Mengikut
adat ini,balu yang kehilangan suami akan dibakar bersama-sama mayat suaminya semasa

9
upacara pengebumian. Pada tahun 1828, Lord William Bentick merupakan Gabenor Jeneral
British di India telah menggubal undang-undang untuk mengharamkan amalan ini. Tindakan
British menimbulkan kemarahan penduduk yang beragama hindu terhadap pemerintahan
British.

Penghapusan amalan Thuggee


Faktor seterusnya yang mencetusnya peristiwa Dahagi India ialah tindakan bitish
menghapuskan amalan Thuggee. Amalan thuggee merupakan aktiviti merompak dan
pembunuhan yang dilakukan oleh kumpulan –kumpulan agama yang ersenjata terhadap
saudagar dan pengembara. Kumplan ini menjalankan kegiatan mereka,iaitu menyamar dan
melakukan pembunuhan atas nama Dewi Kali. Amalan ini menmbulkan ketakutan dan
kebimbangan dalam kalangan penduduk ,tetapi amalan ini mendapat sokongan dari pada
golongan agama. Lord William Bentick bertindak mengharamkan amaan ini, menimbulkan
kemarahan golongan agama yang menyokongnya,

Penghapusan amalan bunuh bayi perempuan


Diamalkan oleh masyarakat India sejak turun-temurun. Mereka menganggap bayi perempuan
adalah beban kepada mereka apabila besar kelak. Hal ini disebabkan keluarga anak
perempuan terpaksa membayar dowri (mas kawin) yang tinggi kepada bakal suami mereka.
Lord William Bentick mengharamkan amalan ini kerana di aggap tidak berperikemanusiaan.

Pengenalan Akta Kahwin semula


Lord Dalhousie telah meluluskan akta kawin semula bagi balu-balu hindu. Mendapat
penentangan daripada penduduk tempatan kerana dalam perkhawinan semula adalah tidak di
benarkan sama sekali dalam masyarakat Hindu. Tindakan memperkenalkan akta ini
menyebabkan penduduk tempatan mengaggap British menghina amalan trdisi mereka.

Faktor-faktor lain meletus Dahagi India


Pengenalan Sistem pendidikan Barat
Menimbulkan rasa tidakpuas hati dalamkalangan masyarakat terhadap penjajah. British
menjadikan bahasa Inggeris sebagai kata penghantar bagi sekolah dan kolej. Bahasa Inggeris
jiga dijadikan bahasa rasmi dalam bidang pentadbiran dan kehakiman. Jawatan-jawatan
pengting di berikan kepada yang berpendidikan Inggeris. Perubahan ini tidak di senangi oleh
penduduk tempatan kerana jawatan tinggi tidak di berikan kepada penduduk tempatan yang
tidak berpendidikan Inggeris. Pendidikan yang disebarkan oleh orang Inggeris dianggap
sebagai percubaan menyebarkan agama kristian.

Pengenalan teknologi barat


Pemerintahan British memperkenalkan sistem perhubungan dan pengankutan moden seperti
pembinaan landasan keretapi dan sistem telegraf telah mengancam amalan tradisi masyarakat
India. Pengenalan sistem pengangkutan barat turut mengancam amalan kasta yang di warisi
sejak turun-temurun oleh masyarakat India. Masyaraat India hanya dibenarkan menaiki
gerabak kelas ke-3 manakala kelas 1 dan 2 pula untuk pegaai-pegawai Inggeris.
Perkembngan ini menjejskan pendidikan masyarakar India daripada kasta tinggi kerana

10
mereka juga terpaksa menaiki gerabak kelas ke3 bersama dengan penduduk kasta rendah.
Pengenalan teknolog ibarat di anggap sebagai satu langkah British untuk mencemarkan adat
resam dan agama hindu.

Dasar pengilhakan
Dasar pengilhakan yang diperkenalkan oleh Lord Dalhousie merancakkan penentangan
penduduk India terhadap penjajahan British. Menurut dasar ini, Lord Dalhousie telah
merampas hak dan kedaulatan pemerintah tempatan dengan mengilhakan wilayah-wilayah
yang ditadbir oleh mereka. Dasar pengilhakan ini dilaksanakan berpandu pada tiga alasan,
iaitu undang-undang lesap waris, hak menakluk kuasa agung dan salah tadbir tempatan.
Menerusi dasar ini , Lord Dalhousie mengilhakan bebrapa buah wilayah seperti Punjab,
Karnatik, Tanjor, Jhansi, Baghat, Jaitpur, Oudh, dan Sambalpur.
Dasar ini menjejaskan maruah pemerintah tempatan hingga menyebabkan putra-putra raja
tempatan seperti nana sahed, nawab dari karnatik dan raja tanjor menyertai penentangan
terhadap penjajah British. Nana sahed merupakan anak angkat Baji Rao (pemerintah wilayah
Peshawar) tidak berpuas hati dengan tindakan British membatalkan bayaran pencen yang
patut diberikan kepadanya serta merampas tanah milik ayahnya. Manakala Nawab
menentang tindakan British meletakkan wilayah Oudh dibawah pentadbiran mereka atas
alasan keadaan huru hara di Oudh dan amalan rasuah yang berleluasa dalam kalangan
pemerintah Oudh.

Perasaan dendam Sepoi India.


Dahagi India juga tercetus akibat perasaan tidak puas hati dalam kalangan sepoi-sepoi India.
British telah melantik sepoi-sepoi daripada kalangan kaum Brahmin dan Rajput yang terdiri
daripada golongan berkasta tinggi di wilayah Oudh. Tindakan British menghantar sepoi-sepoi
India ke luar negara menimbulkan kemarahan kerana tindakan tersebut mencemarkan imej
dan maruah mereka yang berkasta tinggi. Malah terdapat kepercayaan dalam kalangan
penganut agama Hindu bahawa kesucian kasta mereka akan hilang apabila mereka melintasi
lautan. Perkembangan ini menyebabkan sepoi-sepoi India daripada Rejimen 47 yang
diarahkan untuk berkhidmat di Myanmar enggan mematuhi arahan hingga menyebabkan
rejimen tersebut terpaksa dibubarkan.

Kes senapang Riffle Royal Enfield


Kemarahan tentera terhadap pentadbiran British memuncak apabila sepoi-sepoi India
mendapat tahu bahawa minyak yang digunakan untuk membersihkan senapang Riffle Royal
Enfield telah disapu dengan minyak yang mengandungi lemak babi dan lemak lembu. Selain
itu, tersebar berita bahawa sepoi-sepoi India yang menggunakan senapang tersebut perlu
menggigit hujung peluru terlebih dulu yang telah disapu dengan lemak babi dan lemak
lembu.
Perkembangan ini menyebabkan sepoi-sepoi yang beragama Hindu dan Islam merasakan
bahawa pentadbiran British sengaja melakukan hal-hal yang demikian untuk menghina
kedua-dua agama tersebut.

11
Pengenalan peraturan baharu
Penentangan terhadap pemerintahan British juga disebabkan oleh pengenalan dasar dan
peraturan baharu oleh British. Salah satu peraturan yang menimbulkan rasa tidak puas hati
penduduk terhadap pemerintahan British ialah Akta Penjajahan Punjab 1907. Menerusi akta
ini, kerajaan British bertindak meninggikan cukai tanah dan mengenakan bayaran bagi
bekalan air. Tindakan ini telah menambahkan beban golongan petani dan mereka terpaksa
menanggung hutang serta hidup dalam keadaan miskin. Selain itu, pihak pemerintah British
juga tidak menggalakkan kegiatan mengimport barangan dari negara luar.

Akta pengambilan khidmat awam


Semasa pentadbiran Lord Canning Akta Pengambilan Khidmat Awam memberikan kuasa
kepada pihak British untuk menghantar tentera berkhidmat dalam dan luar negara. Akta ini
tidak disokong oleh tentera India kerana mereka tidak mendapat elaun tambahan. Tentera
India juga menentang amalan diskriminasi yang diamalkan oleh pentadbiran Britsh dalam
soal kenaikan pangkat dan jawatan . Tentera India diberi gaji yang rendah dan mendapat
layanan yang kurang baik.

Kesimpulan
Pendek kata, selain daripada pembaharuan adat yang diperkenalkan oleh British, terdapat
pelbagi faktor yang telah menyumbang kepada ketidakpuasan hati masyarakat di India
sehingga meletusnya Dahagi pada tahun 1857. Pemberontakan Dahagi akhirnya berjaya
ditumpaskan oleh kerajaan British. British melakukan rombakan dalam sistem pentadbiran,
membubarkan SHTI dan meletakkan pentadbiran India di bawah Tanah Jajahan Mahkota
British. Selepas Dahagi, British semakin mengukuhkan pemerintahan mereka di India.

SOALAN 6
ANALISISKAN PUNCA-PUNCA UTAMA MELETUSNYA PERANG DUNIA
PERTAMA PADA TAHUN 1914-1918.
(20M)

Pengenalan
Perang Dunia Pertama (PD1) yang tercetus pada awal Ogos 1914 merupakan peperangan
yang melibatkan Britain, Perancis, Russia, Austria-Hungary, Belgium, Serbia, Itali, Bulgaria
dan Turki. Peperangan ini bermula dengan serangan Jerman ke atas Belgium pada 4 Ogos
1914. Penyertaan Amerika di pihak Pakatan Bertiga menyebabkan Jerman dan sekutunya
dapat dikalahkan. Terdapat beberapa punca menyebabkan meletusnya PD1.
Pakatan Tentera
Kemunculan pakatan tentera telah menyebabkan negara Eropah terbahagi kepada dua blok
yang saling bertentangan antara satu sama lain. Kemunculan pakatan ini berpunca daripada

12
permusuhan antara Perancis dan Jerman. Pada tahun 1879, Jerman telah membentuk pakatan
tentera dengan Austria-Hungary yang dikenali sebagai Perikatan Berdua. Pada tahun 1882,
Itali telah menyertai pakatan ini untuk membentuk Perikatan Bertiga (Triple Alliance). Pada
tahun 1894, Russia pula menjalinkan pakatan tentera dengan Perancisyang dikenali sebagai
Pakatan Berdua. Pada tahun 1907, Britain menyertai Perancis dan Russia untuk menubuhkan
Pakatan Bertiga (Triple Entente) bagi menghadapi ancaman Jerman. Kemunculan pakatan
tentera telah menambahkan kemungkinan tercetus PD1.

Perlumbaan Senjata
Perlumbaan senjata dalam kalangan negara Eropah untuk memajukan kelengkapan perang
merupakan salah satu faktor yang menyebabkan PD1 tercetus. Negara Jerman dan Britain
bersaing untuk meningkatkan kekuatan tentera laut masing-masing. Misalnya menjelang
1909, Britain memiliki lapan kapal perang Dreadnought. Jerman pula memiliki kapal U-Boat
dan Zeppelin. Pada tahun 1900, Perancis dan Russia pula masing-masing telah meningkatan
kekuatan tentera darat mereka, iaitu 900,000 dan 1.3 juta orang. Kuasa besar lain seperti
Britain, Jerman, Perancis, Itali, Austria-Hungary dan Russia mengeluarkan belanja yang
tinggi untuk meningkatkan kekuatan masing-masing.

Imperialisme Kuasa Barat


Revolusi perindustrian yang bermula di Britain menyebabkan kuasa barat berlumba-lumba
untuk menguasai tanah jajahan bagi mendapatkan bahan mentah dan pasaran. Misalnya
Jerman dan Perancis bertelingkah untuk menguasai Morocco sehingga menyebabkan
peperangan hamper tercetus. Britain bimbang dengan usaha Jerman untuk memperoleh tanah
jajahan di Asia dan Afrika. Persaingan untuk menguasai tanah jajahan menimbulkan
permusuhan dalam kalangan kuasa barat.

Kebangkitan Nasionalisme
Kebangkitan semangat nasionalisme yang melampau dalam kalangan negara Eropah
mencetuskan permusuhan sesame mereka. Misalnyasikap orang Jerman yang menggangap
diri mereka sebagai bangsa-tuan menyebabkan mereka tidak dapat menerima kebangkitan
negara Eropah lain. Semangat nasionalisme mendorong Perancis untuk mendapatkan kembali
wilayah Alsace dan Lorraine yang diserahkan kepada Jerman selepas kekalahan mereka
dalam perang Perancis-Prussia (1870-1871).

Pengaruh Autokrasi
Golongan aristokrat dan elit yang menerajui pemerintahan di Jerman, Russia dan Austria-
Hungary memainkan peranan penting dalam mencetuskan PD1. Golongan ini menggunakan
perang sebagai alat untuk mengukuhkan kekuasaan dan pengaruh mereka. Misalnya
Maharaja Jerman, Kaiser Wilhem II bercita-cita untuk mewujudkan empayar Jerman yang
kuat dan berpengaruh di benua Eropah. Antara usaha beliau adalah membina kapal perang,
peluru berpandu dan menggali Terusan Keil untuk kapal besar berlabuh. Persatuan belia di
Jerman pula diterapkan perasaan mengagungkan peperangan dan ciri-ciri keperwiraan
sehingga rakyat Jerman percaya mati di medan pertempuran adalah lebih baik daripada mati

13
di atas katil. Tindakan Maharaja Jerman ini ini telah menimbulkan perasaan curiga dan
kebimbangan kuasa barat yang lain.

Krisis Balkan
Permusuhan antara Austria-Hungray dengan Serbia menimbulkan ketegangan di rantau
Balkan. Kerajaan Austria-Hungray menganggap negara Serbia menghasut rakat berketurunan
Serb untuk berjuang membebaskan diri daripada pemerintahan Austria. Tambahan pula
perkembangan nasionalisme etnik kalangan orang Serb ekoran gerakan Pan Slav melahirkan
sentiment anti Austria-Hungray. Penaklukan Bosnia dan Herzogonia oleh Austria-Hungray
telah membangkitkan kemarahan Serbia dan Russia. Tambahan pula, Jerman menyokong
tindakan Austria menakluk Bosnia dan Herzogonia. Kemuncak kepada krisis Balkan adalah
peristiwa pembunuhan Archduke Ferdinand, putera mahkota Austria dan isterinya oleh
seorang pemuda Serb, ahli kongsi gelap Black Hand pada 28 Jun 1914, di Sarajevo. Kerajaan
Austria mengambil kesempatan ini untuk menghapuskan kedaulatan negeri Serbia dengan
mengisytiharkan perang pada 28 Julai 1914. Russia telah membantu Serbia manakala Jerman
yang menyebelahi Austria telah mengisytiharkan perang terhadap Russia.

Kesimpulan
Ringkasnya, krisis Balkan merupakan punca yang membawa kepada meletusnya PD1 di
samping punca-punca lain. PD1 telah meninggalkan kesan yang amat mendalam terhadap
sistem politik, ekonomi dan sosial dunia. Perang ini juga telah melumpukan kekuatan Jerman
serta meletakkan asas penting kepada peletusan Perang Dunia Kedua.

SKEMA TAMAT

14
TERHAD STPM 2021

15

You might also like