You are on page 1of 2

Pilihanraya Singapura : Kuasa Politik Pribumi & Isu Pendatang

Sejarah Melayu telah mencatatkan bahawa Singapura diasaskan oleh Sang Nila Utama yang juga anak
Raja Melayu Palembang. Umum juga mengetahui bahawa nama asal pulau tersebut adalah Temasek
sebelum ditukarkan kepada Singapura yang bermaksud ‘Kota Singa’. Walaubagaimanapun, jika kita
merujuk kepada maklumat arus perdana pada hari ini, Stanford Raffles lebih ditonjolkan sebagai Bapa
Singapura sementara Lee Kuan Yew dipaparkan sebagai Bapa Singapura Moden. Hakikat bahawa sejarah
silam Singapura adalah sejarah Melayu cuba digelapkan. Seboleh mungkin Pemerintah Singapura cuba
menggambarkan bahawa semua rakyat Singapura pada hari ini merupakan keturunan pendatang yang
datang sama ada dari tanah besar China, India mahupun dari Indonesia dan Malaysia. Malahan, penulis
dapat mengesan terdapat usaha untuk menggambarkan seolah-olah Sang Nila Utama merupakan
pendatang dari Indonesia yang cuba merampas Temasek yang merupakan wilayah Ayuthia milik Siam,
bukannya milik orang Melayu. Namun begitu, sejarahwan muda seperti Srikandi telah menyanggah
maklumat tersebut dengan menegaskan ‘Siam’ yang dimaksudkan pernah berkuasa di seluruh tanah
semenanjung termasuklah di Singapura bukanlah Ayuthia, tetapi Negara Sri Dharmaraja, yang juga
merupakan sebuah Kerajaan Melayu!

Semasa Singapura masih di dalam Malaysia, Perdana Menterinya, Lee Kuan Yew, sebagaimana yang
dicatatkan di dalam akhbar Strait Times bertarikh 5 Mei 1965, telah mencabar kedudukan dan hak
istimewa orang Melayu di Malaysia sebagaimana yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan
dengan mengatakan bahawa taraf pribumi orang Melayu tidak ada lebihnya jika dibandingkan dengan
orang Cina, India dan masyarakat pendatang yang lain. Di dorong sama ada oleh agenda politik yang
menjurus untuk memajukan kepentingan politik Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah
Singapura ataupun kerana memang betul-betul jahil tentang sejarah, budaya, dan penduduk pribumi di
rantau ini, Lee mengaitkan orang Melayu Malaysia dari keturunan Indonesia sebagai pendatang yang
sepatutnya setaraf dengan masyarakat pendatang yang lain. Kesimpulan serupa yang meragui
kepribumian orang Melayu terus dilakukan oleh orang bukan Melayu di Singapura dan sesetengah ahli
politik bukan Melayu di Malaysia, sama ada oleh pihak pembangkang mahupun parti pemerintah.
Perkara ini dapat dilihat melalui contoh kenyataan yang diberikan oleh Tan Lian Hoe (Parti Gerakan
Rakyat Malaysia) ataupun Chong Eng (DAP).

Selepas Singapura ditendang keluar dari Malaysia, Pemerintah Singapura telah menjalankan pelbagai
usaha untuk melemahkan kuasa politik Melayu yang merupakan kaum asal di negeri ini. Antara usaha
yang dilakukan adalah mengekalkan taraf minoriti penduduk Melayu di Republik tersebut. Dalam akhbar
Straits Times bertarikh 15 Disember 1986, Lee Kuan Yew dalam forum di Universiti Nasional Singapura
telah mendedahkan niat Pemerintah Singapura untuk mengekalkan dominasi penduduk Cina Singapura
kerana bimbang dengan kemerosotan kadar kelahiran penduduk keturunan Cina. Isu ini telah
dinyatakan sebagai salah satu masalah negara di dalam Hari Kebangsaan 1988 dan Lee Kuan Yew
mendedahkan Pemerintah Singapura akan meningkatkan bilangan penduduk Cina dengan membawa
masuk orang Cina dari luar negara terutamanya Hong Kong. Etnik minoriti terutamanya Melayu sedar
dasar ‘Mengekalkan Imbangan Kaum’ di Singapura sebenarnya lebih kepada mengekalkan Ketuanan
Cina.
Tindakan kedua yang dilakukan adalah dengan menghapuskan kawasan kubu majoriti Melayu
terutamanya kampung-kampung menerusi program mega penempatan semula bandar dan Dasar
Perumahan Awam dengan menempatkan masyarakat Melayu ke merata kawasan perumahan baru.
Perkara ini telah diakui oleh James Fu dalam kenyataan di akhbar Straits Times bertarikh 4 Mac 1988.
Tindakan ini telah menjejaskan undi kolektif masyarakat Melayu dan menghalang mereka untuk
bertindak sebagai gerakan penting dalam menentukan keputusan pilihanraya.

You might also like