You are on page 1of 19

1

BAB I

PENGENALAN

1.1 Pendahuluan

Perolehan elektronik atau lebih dikenali sebagai e-Perolehan merupakan salah


satu daripada aplikasi IT yang menggunakan fungsi Internet. E-Perolehan ialah satu
sistem perolehan yang membolehkan pembekal menjual barangan dan perkhidmatan
kepada pembeli secara atas talian (online). Ia juga menghubungkan pembekal dan
pembeli secara langsung di dalam persekitaran perdagangan global. Penggunaan
Internet di Malaysia semakin meningkat dari tahun sebelumnya. Ini kerana kadar
penembusan Internet pada tahun 1998 adalah sekitar 1.8 peratus daripada bilangan
penduduk negara berbanding hampir 40 peratus pada tahun ini. Malah bilangan
pelanggan Internet jalur lebar juga telah meningkat dengan mendadak dan
dijangkakan mencapai 1.3 juta penduduk pada tahun 2006. Keadaan ini menjadikan
fungsi Internet semakin penting dan perlu diberi perhatian serius oleh industri dan
syarikat di Malaysia (Abdullah, 2006).

Malaysia merupakan salah sebuah negara anggota ASEAN yang mempunyai


inisiatif dan usaha yang gigih untuk bersaing dengan ekonomi negara maju.
Kerajaan Malaysia melihat Internet sebagai satu isu yang amat penting dan perlu
dipertingkatkan. Pelbagai usaha untuk membangunkan infrastruktur Internet dan
2

membina K-ekonomi untuk meningkatkan daya saing negara selari dengan negara
maju yang lain telah dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia (Ramayah dan Muhamad,
2003)

Kemunculan sistem elektronik disambut baik oleh kerajaan dalam


meningkatkan keutuhan dan accountability pentadbiran awam. Dalam jangka masa
panjang, ia diyakini dapat menjimatkan kos pentadbiran serta melipatgandakan
produktiviti perkhidmatan awam. Projek e-Perolehan adalah sebahagian daripada
projek Kerajaan elektronik iaitu satu daripada tujuh aplikasi perdana yang
menggunakan teknologi terkini. Kerajaan elektronik dapat mengubah cara dan
prosedur bekerja dalam perkhidmatan awam supaya ianya mampu menangani
kehendak perubahan yang sedang pesat berlaku di Malaysia dan di peringkat
antarabangsa.

Pelaksanaan sistem e-Perolehan kerajaan telah bermula sejak tahun 1990.


Menurut Dato’ Seri Abd Rahman Maidin, bekas Presiden Dewan Perniagaan Melayu
Malaysia, pengenalan kaedah perniagaan secara e-Perolehan ini sesuai dengan aliran
semasa yang memerlukan ahli perniagaan mengubah cara perdagangan mereka
daripada kaedah tradisi kepada perdagangan secara elektronik. Di samping itu, e-
Perolehan dapat meningkatkan keuntungan syarikat melalui pasaran yang lebih
meluas menerusi Internet. Ia juga dapat mempercepatkan pusingan masa perolehan
yang membolehkan pembayaran dilakukan dengan lebih efisien (Berita Harian,
2003).

Selain daripada e-Perolehan kerajaan, sistem ini juga telah dilaksanakan oleh
beberapa buah industri dan syarikat di Malaysia untuk meningkatkan kecekapan dan
produktiviti mereka. E-Perolehan memberikan platform kepada syarikat perniagaan
untuk menjalankan perniagaan secara atas talian dengan kerajaan dan pelanggan
antarabangsa (Hussain et al. 2005). Hasil kajian e-Perolehan di Pulau Pinang
mendapati bahawa setiap syarikat di Pulau Pinang menunjukkan minat yang tinggi
terhadap pembangunan dan potensi sistem e-Perolehan. Dengan menggunakan
3

piawai protokol yang seragam, kecekapan dan keberkesanan dapat dicapai dan secara
tidak langsung dapat dijadikan sebagai persiapan oleh syarikat Bumiputera untuk
menyertai dalam rantaian pembekal global (Helmi, 2005). Perkara ini menunjukkan
maklum balas positif pihak syarikat dalam menggunakan teknologi baru sebagai
kelebihan bersaing bagi syarikat mereka.

Minat dan kecenderungan syarikat untuk melaksanakan e-Perolehan adalah


disebabkan oleh faedah yang dapat diberikan oleh sistem ini dari segi membolehkan
syarikat pembekal mempamerkan dan memperkenalkan barangan keluaran mereka di
dalam laman web, menerima, mengurus dan memproses permintaan pembelian serta
menerima bayaran daripada pelbagai agensi menerusi Internet. Di samping itu juga,
dengan menggunakan e-Perolehan, katalog produk syarikat boleh dipamerkan secara
elektronik dalam pelbagai cara. Syarikat pembekal juga boleh mengemukakan sebut
harga, mendapatkan dokumen tender dan mengemukakan tawaran tender melalui e-
Perolehan.

1.2 Pernyataan Masalah

Beberapa kajian telah dijalankan di Malaysia untuk melihat tahap


penggunaan Internet di negara ini. Hasil tinjauan yang dijalankan ke atas semua
negara mendapati purata penggunaan Internet di Malaysia adalah sekitar 25% (Fok,
2001) dan Malaysia masih lagi ketinggalan di belakang dalam kebanyakan aspek
yang berkaitan dengan Internet jika dibandingkan dengan negara Amerika.
Walaupun pembelian melalui Internet merupakan perkara biasa di negara barat,
namun di Malaysia ianya masih lagi tidak dapat menarik perhatian pengguna
(Ramayah dan Muhamad, 2003).
4

Sistem e-Perolehan di Malaysia telah dilaksanakan sejak tahun 2002. Namun


masih terdapat 30,000 pembekal kerajaan yang telah berdaftar dengan Kementerian
Kewangan yang masih belum mempunyai infrastruktur yang lengkap bagi
mengakses sistem e-Perolehan kerajaan (Utusan Malaysia, 2006). Kekurangan
komitmen dari pengurusan atasan dalam menyediakan infrastruktur teknologi yang
sempurna merupakan antara masalah yang dihadapai oleh syarikat tempatan untuk
menjalankan perniagaan secara e-dagang. Ini kerana komitmen pengurusan atasan
dan infrastruktur teknologi mempunyai kesan signifikan ke atas kesediaan PKS
untuk menjalankan perniagaan secara elektronik (Ramayah et al. 2005).

Setiap yang baru kebiasaannya akan menghadapi beberapa masalah kecil atau
besar. Sistem e-Perolehan ini juga tidak terkecuali dari menghadapi beberapa
masalah tertentu samada di peringkat pembangunan atau pelaksanaannya. E-
Perolehan masih berada di peringkat awal dan penggunaannya masih berada pada
tahap yang rendah (Gebauer et al., 1998; Elliff, 2000). Kebanyakan pembekal tidak
nampak kepentingan e-Perolehan ke atas perniagaan mereka. E-Perolehan yang
disarankan oleh kerajaan dapat memberikan banyak faedah kepada organisasi yang
melaksanakannya. Pernyataan masalah ini boleh di lihat daripada dua sudut iaitu
sudut akademik dan sudut empirikal.

Tidak dapat dinafikan bahawa pelbagai faedah yang boleh diperolehi


daripada penggunaan sistem e-Perolehan terutamanya dalam mengurangkan kos
keseluruhan perolehan, memperbaiki proses pengurusan kewangan dan mewujudkan
hubungan baik dengan pembekal. Walau bagaimanapun, kebanyakan organisasi
masih enggan menggunakan sistem tersebut (Work Study, 2003). Kebanyakan
organisasi ragu-ragu terhadap faedah yang diberikan oleh sistem e-Perolehan ke atas
syarikat mereka (Subramaniam dan Shaw, 2002). Menurut Hussain et al. (2005),
pemahaman tentang faedah sistem e-Perolehan ini adalah penting untuk menentukan
kejayaan setiap perniagaan untuk terus bersaing pada masa hadapan.
5

Selain daripada itu, antara masalah yang sering dihadapi oleh organisasi yang
melaksanakan e-Perolehan adalah disebabkan oleh kesukaran menggunakan perisian
yang sedia ada di pasaran (Davila et al. 2002). Ini kerana perisian yang sedia ada di
pasaran sukar untuk diintegrasikan dengan proses perolehan semasa organisasi dan
jangka masa yang panjang untuk mereka bentuk sistem e-Perolehan ini juga
merupakan antara halangan kepada organisasi untuk melaksanakan sistem ini.

Menurut Subramaniam dan Shaw (2002), mengetahui dan memahami nilai


sistem e-Perolehan merupakan langkah pertama dalam memotivasikan syarikat untuk
melaksanakan sistem tersebut. Lantaran itu, kajian ini adalah wajar dilaksanakan
bagi menilai amalan dan prestasi e-Perolehan syarikat yang dibangunkan sendiri
secara dalaman serta mengenal pasti masalah yang dihadapi. Kajian ini juga wajar
dilaksanakan bagi melihat bagaimana syarikat menangani masalah yang dihadapi
sepanjang melaksanakan e-Perolehan. Rumusan daripada soal selidik, temubual,
serta pemerhatian yang dijalankan adalah diharapkan agar ia dapat memberi
gambaran sebenar terhadap fenomena yang dikaji.

Kajian lepas mengenai e-Perolehan di Malaysia lebih menumpukan kepada


aplikasi e-Perolehan di sektor perindustrian dan kajian terhadap sebuah organisasi
yang membangunkan sendiri sistem e-Perolehan secara dalaman adalah sangat
kurang. Memandangkan tidak terdapat banyak kajian mengenai e-Perolehan yang
dibangunkan secara dalaman di Malaysia, maka pendekatan yang dijalankan oleh
Telekom Research and Development Sdn. Bhd (TMR&D) dengan membangunkan
sendiri sistem e-Perolehan di lihat sebagai satu langkah yang bijak. Oleh itu, kajian
ini bertujuan untuk mengenal pasti beberapa persoalan yang dinyatakan di dalam
persoalan kajian.
6

1.3 Persoalan Kajian

Kajian ini dijalankan bagi menjawab persoalan kajian di bawah:

a. Apakah tahap amalan dan prestasi e-Perolehan organisasi?


b. Adakah terdapat perbezaan amalan dan prestasi e-Perolehan berdasarkan
kepada faktor demografi?
c. Adakah wujud hubungan bererti antara amalan e-Perolehan dengan prestasi
perolehan?
d. Apakah pendekatan yang digunakan oleh pihak pengurusan syarikat untuk
mengatasi masalah yang berkaitan dengan e-Perolehan syarikat?

1.4 Matlamat dan Objektif Kajian

Matlamat kajian ini adalah untuk memberi pendedahan terhadap tahap


amalan dan prestasi e-Perolehan di peringkat firma yang membangunkan sistem
perolehan mereka secara dalaman. Beberapa objektif telah ditetapkan untuk
mencapai matlamat kajian. Objektif- objektif tersebut adalah seperti berikut:

a. Mengukur tahap amalan e-Perolehan dan prestasi e-Perolehan.


b. Mengenal pasti perbezaan amalan e-Perolehan dan prestasi e-Perolehan
berdasarkan kepada faktor demografi.
c. Menghuraikan hubungan bererti antara amalan e-Perolehan dengan prestasi
e-Perolehan.
d. Menghuraikan pendekatan yang digunakan oleh pihak pengurusan dalam
menangani masalah yang berkaitan dengan e-Perolehan.
7

1.5 Hipotesis Kajian

Berdasarkan kepada masalah kajian serta kajian literatur yang berkaitan,


beberapa hipotesis berkaitan amalan dan prestasi e-Perolehan dibina seperti berikut:-

Hipotesis 1 : Amalan e-Perolehan mempunyai perbezaan bererti dengan


faktor jantina.

Hipotesis 2 : Amalan e-Perolehan mempunyai perbezaan bererti dengan


faktor tahap pendidikan.

Hipotesis 3 : Amalan e-Perolehan mempunyai perbezaan bererti dengan


faktor tempoh pengalaman.

Hipotesis 4 : Amalan e-Perolehan mempunyai perbezaan bererti dengan


faktor kategori jawatan.

Hipotesis 5 : Prestasi e-Perolehan mempunyai perbezaan bererti dengan


faktor jantina.

Hipotesis 6 : Prestasi e-Perolehan mempunyai perbezaan bererti dengan


faktor tahap pendidikan.

Hipotesis 7 : Prestasi e-Perolehan mempunyai perbezaan bererti dengan


faktor tempoh pengalaman.

Hipotesis 8 : Prestasi e-Perolehan mempunyai perbezaan bererti dengan


faktor kategori jawatan.

Hipotesis 9 : Terdapat hubungan bererti di antara amalan e-Perolehan dengan


prestasi e-Perolehan.
8

1.6 Skop Kajian

Kajian ini membataskan skop perbincangan kepada aspek perolehan secara


elektronik yang melibatkan amalan e-Perolehan, prestasi e-Perolehan, serta masalah
yang dihadapi sepanjang penggunaan sistem e-Perolehan. Kajian dijalankan di
Telekom R&D Sdn. Bhd yang merupakan salah sebuah anak syarikat Telekom
Malaysia Berhad. Pemilihan syarikat kajian kes akan diterangkan dengan lebih
lanjut pada bahagian 1.9. Unit analisis kajian menumpukan kepada tiga peringkat
pengurusan iaitu peringkat pengurusan atasan, peringkat pengurusan pertengahan dan
peringkat sokongan.

1.7 Kerangka Teori

Perbincangan kerangka teori kajian ini dimulakan dengan melihat kerangka


teori yang telah digunakan oleh kajian-kajian lepas dalam menjalankan kajian
tentang e-Perolehan. Kerangka teori yang dihasilkan oleh Quesada (2004) telah
dijadikan panduan dalam menghasilkan kerangka teori dalam kajian ini. Rajah 1.1
menunjukkan kerangka teori yang dihasilkan oleh Quesada (2004) dalam kajian
beliau yang melihat hubungan di antara teknologi e-Perolehan, amalan
e-Perolehan dan prestasi e-Perolehan.
9

Rajah 1.1
Kerangka Kerja Penyelidikan oleh Quesada (2004)

Persepsi
Perolehan
Dari Prestasi
Rantaian
Penggunaan
Nilai
Teknologi
E-Perolehan Prestasi
Firma

Amalan Prestasi
perolehan perolehan

Kerangka kerja ini menggambarkan hubungan antara amalan perolehan,


penggunaan teknologi e-Perolehan, prestasi perolehan, persepsi perolehan dari
prestasi rantaian nilai dan prestasi firma. Penggunaan teknologi e-Perolehan
digunakan sebagai moderator yang mempengaruhi kekuatan hubungan antara amalan
e-Perolehan dan prestasi perolehan. Prestasi perolehan pula akan mempengaruhi
persepsi perolehan dari prestasi rantaian nilai dan prestasi firma. Kerangka kerja ini
dapat membantu pengguna sistem e-Perolehan dan ahli akademik memahami
penggunaan teknologi e-Perolehan, amalan perolehan dan prestasi perolehan serta
hubungannya.

Daripada kerangka kerja yang dikemukakan oleh Quesada (2004), pengkaji


telah menghasilkan kerangka teori bagi kajian ini seperti yang ditunjukkan dalam
Rajah 1.2. Rajah 1.2 menunjukkan hubungan antara amalan e-Perolehan dan
prestasi e-Perolehan. Terdapat empat dimensi dalam amalan e-Perolehan yang
meliputi pengumpulan maklumat, jenis permohonan, kontrak perundingan, dan
analisis risikan. Prestasi e-Perolehan pula di lihat daripada segi faedah yang yang
diperolehi sepanjang syarikat melaksanakan e-Perolehan tersebut. Faktor demografi
seperti jantina, tahap pendidikan, tempoh pengalaman dan kategori jawatan
10

digunakan untuk melihat perbezaan antara amalan dan prestasi e-Perolehan dengan
faktor demografi responden.

Rajah 1.2
Kerangka Teori Kajian

Pembolehubah tidak bersandar Pembolehubah bersandar

Amalan Prestasi
Perolehan Perolehan
Hubungan
• Kontrak Perundingan • Faedah kepada pengguna dalaman
• Pengumpulan Maklumat • Faedah dengan pembekal
• Analisis Risikan • Faedah kepada organisasi
• Jenis Permohonan • Jenis Permohonan

Perbezaan Perbezaan
Faktor
Demografi

Pembolehubah kawalan (control)

1.8 Kepentingan Kajian

Seiring dengan objektif Kerajaan yang mahukan penggunaan dalam bidang


teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) diperluaskan, TMR&D telah mengambil
inisiatif untuk membangunkan sendiri sistem e-Perolehan syarikat mereka. Oleh itu,
kajian yang dijalankan memberi kepentingan bukan sahaja kepada organisasi
TMR&D sendiri tetapi juga kepada organisasi lain di samping menambahkan sumber
pengetahuan dalam bidang yang dikaji.

Hasil kajian membolehkan pihak pengurusan perolehan TMR&D mengenal


pasti kelemahan dan kekuatan sistem e-Perolehan TMR&D berdasarkan kepada
11

maklum balas yang diberikan oleh kakitangan di organisasi tersebut. Di samping itu,
kajian ini juga membolehkan pihak pengurusan mengenal pasti tahap amalan dan
prestasi sistem ini serta menetapkan satu tanda aras untuk mengukur kejayaan sistem
e-Perolehan yang telah dibangunkan. Susulan daripada kajian ini, sebarang
kelemahan yang terdapat pada sistem ini dapat diperbaiki untuk meningkatkan lagi
fungsi sistem tersebut. Ini boleh dilakukan dengan merancang tindakan pembaikan
dan penyelenggaraan tepat pada waktunya untuk meningkatkan lagi kecekapan dan
keberkesanan sistem.

Hasil daripada kajian ini dapat memberi input yang berharga kepada syarikat
R&D yang serupa bagi mengenal pasti cara yang lebih berkesan dalam menguruskan
aktiviti perolehan mereka. Organisasi lain yang berkecenderungan untuk
membangunkan sendiri sistem e-Perolehan syarikat secara dalaman boleh merujuk
kepada syarikat TMR&D untuk mendapatkan khidmat nasihat dan kepakaran
daripada syarikat tersebut. Ini kerana pelaksanaan e-Perolehan yang dibangunkan
sendiri dipercayai dapat membantu syarikat meningkatkan keberkesanan,
memperbaiki produktiviti, serta memperoleh kelebihan bersaing dalam persekitaran
industri yang kompetitif. Secara tidak langsung, ianya dapat meningkatkan lagi
penggunaan IT dari segi aplikasi e-Perolehan bagi mencapai aspirasi negara untuk
menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020.

Daripada aspek ilmiah pula, diharapkan kajian ini dapat menyumbang


sebagai salah satu bahan rujukan kepada para penyelidik pada masa akan datang
untuk tujuan kajian yang berkaitan dengan pembangunan sistem e-Perolehan secara
dalaman. Selain itu, kajian ini juga memberi pendedahan kepada organisasi lain
terutamanya mereka yang berminat untuk melaksanakan sistem ini untuk
meningkatkan aplikasi IT mereka dalam mengendalikan aktiviti pembelian. Ini
bertujuan meningkatkan lagi kecekapan dalam aspek perolehan syarikat di samping
meningkatkan keuntungan syarikat daripada penjimatan yang diperolehi daripada
penggunaan sistem tersebut.
12

Memandangkan penggunaan sistem e-Perolehan ini masih baru di Malaysia,


maka pemahaman yang lebih mendalam diperlukan sebelum syarikat lain turut sama
melaksanakan e-Perolehan. Di samping itu, kajian ini juga penting untuk
memperluaskan lagi penerapan e-Dagang di Malaysia (Hussain et al. 2005).

1.9 Pengenalan Kepada Syarikat Kajian Kes

Telekom Research & Development Sdn. Bhd atau TMR&D telah


dikorporatkan pada 1 Oktober 2000. TMR&D merupakan salah sebuah anak
syarikat TMB yang bertanggungjawab menguruskan penyelidikan dan pembangunan
TMB dan anak-anak syarikatnya. TMR&D memainkan peranan utama untuk
rangkaian baru dan mempunyai kelebihan dalam mendahului teknologi melalui reka
bentuk, reka cipta, dan penentukuran (calibration) kepada industri komunikasi.

Memandangkan tahap penggunaan teknologi komunikasi yang begitu


menggalakkan, aktiviti pembangunan dan penyelidikan adalah kritikal dalam
memastikan perkembangan dalam industri telekomunikasi sentiasa berkembang
seiring dengan penggunaan secara global. TMR&D memberi nilai utama dalam
memberi sepenuh komitmen kepada pelanggan, ketelusan integriti, dan menghormati
dan mengambil berat dalam segala aspek yang berkaitan dengan perniagaan mereka.

TMR&D telah dipilih sebagai kajian kes kerana organisasi ini telah
melaksanakan sistem e-Perolehan yang dibangunkan sendiri oleh Unit IT di
TMR&D. TMR&D membelanjakan lebih kurang 19 juta ringgit bagi tujuan
perolehan syarikat. Jumlah ini merupakan satu jumlah yang besar dan perlu
pengendalian sebaiknya supaya ianya dapat memberi nilai kepada organisasi.
Kemampuan TMR&D dalam membangunkan dan melaksanakan sistem e-Perolehan
13

boleh dijadikan panduan kepada organisasi awam atau swasta yang lain untuk turut
sama mempelajari aplikasi IT dalam perolehan elektronik.

1.10 Definisi Konsep dan Operasional

Beberapa definisi konsep dan operasional diperlukan bagi memudahkan


pemahaman dan pelaksanaan penyelidikan ini. Definisi termasuklah IT, perolehan
tradisional, perolehan elektronik, perdagangan elektronik, peringkat pengurusan,
amalan e-Perolehan dan prestasi e-Perolehan.

1.10.1 Teknologi Maklumat (IT)

Teknologi Maklumat atau IT boleh ditakrifkan sebagai apa juga


teknologi yang menjadi perantaraan untuk berkomunikasi di antara individu
dan kumpulan (Spears dan Lea, 1994). Menurut Steinfield (1992), IT terdiri
daripada teknologi seperti mel elektronik, peti simpanan suara, papan buletin
komputer, persidangan komputer dan sistem sokongan pembuatan keputusan
kumpulan.

Terdapat beberapa jenis IT yang di gunakan untuk tujuan komunikasi


seperti mesin faksimili, mel suara, persidangan telefon, mel elektronik,
Internet, groupware, video korporat, Televisyen Perniagaan dan sebagainya
(Patterson, 1999). Oleh itu, definisi yang dikemukakan oleh Spear dan Lea
(1994) digunakan dalam kajian ini.
14

1.10.2 Perolehan Tradisional

Perolehan tradisional merupakan proses pembelian yang berasaskan


kertas dan kurang pengawasan terhadap perbelanjaan (Mitchell, 2000).
Menurut Zenz et al. (1994), perolehan tradisional ialah mendapatkan bahan
dan perkhidmatan di samping menguruskan aliran masuk bahan ke dalam
organisasi. Perolehan tradisional juga merupakan satu proses yang
melibatkan semua aktiviti yang berkaitan dengan pembelian barangan, aset,
kemudahan atau perkhidmatan (Procurement Guideline, 2002).

Dalam konteks kajian ini, perolehan tradisional adalah proses


pembelian barangan dan perkhidmatan yang berasaskan kertas.

1.10.3 Perolehan Elektronik (e-Perolehan)

E-Perolehan atau perolehan elektronik (e-Perolehan) merupakan


penggunaan Internet bagi tujuan pembelian dan penjualan produk,
perkhidmatan dan maklumat (Heizer dan Render, 2000). Chan dan Lee
(2002) mendefinisikan e-Perolehan sebagai aplikasi e-Dagang dalam proses
perolehan. Ianya melibatkan penggunaan pelbagai bentuk teknologi
maklumat seperti e-mel, EDI, dan e-Pasaran untuk automasikan dan
melancarkan proses perolehan dalam organisasi perniagaan (de Boer et al.
2001). .
15

Menurut Kocabasoglu, (2002) e-Perolehan merupakan peluasan


kemudahan Internet dalam aktiviti pembelian. Hussain et al. (2005)
menyatakan bahawa e-Perolehan adalah satu pembelian perniagaan kepada
perniagaan dan aktiviti penjualan oleh pembekal melalui Internet. E-
Perolehan juga boleh didefinisikan sebagai satu perkakasan perniagaan dan
membolehkan perniagaan beralih ke arah proses yang lebih efisyen dan
membentuk integrasi rantaian pembekal yang lebih baik (Procurement
Guideline, 2002). Menurut Hawking et al. (2004), e-Perolehan melibatkan
sejumlah medium komunikasi untuk membantu proses perolehan antara
beberapa pihak seperti penggunaan mel elektronik, telefon, faks, EDI, dan
kini melibatkan penggunaan Internet.

Dalam kajian ini, takrifan yang dikemukakan oleh Croom (2000) telah
digunakan iaitu e-Perolehan di lihat sebagai sistem perolehan yang
melibatkan komunikasi antara dua pihak iaitu pihak pembeli dan juga pihak
pembekal dengan menggunakan Internet sebagai medium pengantaraan.

1.10.4 Perdagangan Elektronik (e-Dagang)

Terdapat pelbagai takrifan mengenai e-Dagang. E-Dagang boleh


didefinisikan sebagai satu metodologi perniagaan yang menggunakan
perantaraan elektronik untuk melakukan keseluruhan transaksi perniagaan.
Pembekal dan pelanggan bertemu dalam suasana virtual untuk melakukan
urus niaga dengan menggunakan teknologi Internet, digital dan lain-lain
(Abdul Majid, 2000).
16

E-Dagang juga boleh ditakrifkan sebagai satu set teknologi seperti


dokumen elektronik/pertukaran data elektronik (EDI), mel elektronik (e-
mail), pemindahan dana elektronik (EFT) dan rangkaian kerja, gabungan
dengan proses perniagaan untuk membolehkan pengguna untuk menjalankan
perniagaan secara elektronik (Procurement Guidelines, 2002). E-Dagang
juga di lihat sebagai proses dan amalan menggunakan medium atas talian
untuk menguruskan proses perniagaan. Medium atas talian yang digunakan
adalah seperti Internet, Intranet atau Extranet, EDI atau saluran
telekomunikasi (Mitchell, 2000).

Dalam konteks kajian ini, e-Dagang ialah satu metodologi perniagaan


yang menggunakan perantaraan elektronik untuk melakukan keseluruhan
transaksi perniagaan (Abdul Majid, 2000).

1.10.5 Peringkat Pengurusan

Responden bagi kajian ini dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu


peringkat pengurusan atasan, peringkat pertengahan dan kumpulan sokongan.
Peringkat pengurusan atasan merupakan peringkat pengurusan yang paling
tinggi yang terdiri daripada pengerusi dan eksekutif kanan syarikat yang
membangunkan perancangan strategik syarikat. Peringkat pengurusan
pertengahan pula merupakan individu yang terdiri daripada pengurus besar,
pengurus unit, dan pengurus perancangan dan anak syarikat yang
bertanggungjawab untuk merancang dan mengawal taktik syarikat. Manakala
peringkat kumpulan sokongan merupakan kumpulan individu yang biasanya
berjumpa dan berkongsi masalah atau urusan yang hampir sama; kumpulan
sokongan memberikan peluang untuk berkongsi urusan dan bertukar-tukar
maklumat antara satu sama lain (Key Terms and Glossary, 2005).
17

1.10.6 Amalan e-Perolehan

Amalan e-Perolehan melibatkan memproses tender, tempahan dari


pembekal, membuat pembayaran, berhubung dengan pembekal, membaca
katalog pembekal, proses kelulusan dalaman, penerimaan invois, dan mencari
pasaran elektronik (United Nations, 2004).

Dalam kajian yang dijalankan oleh Moon (2002) beliau melihat


amalan e-Perolehan dari segi bida yang dijalankan dalam web, menghantar
maklumat kontrak dalam web, tanda tangan digital, mengamalkan bida
berasaskan Internet, reverse auctions, tempahan elektronik, sistem e-
Perolehan yang diautomasikan dan kad pembelian. Moon (2005) juga telah
mengecilkan skop ini dengan hanya melihat kepada amalan e-Perolehan dari
aspek tempahan elektronik, reverse auctions, dan bida Internet. Hawking et
al. (2004) memfokuskan amalan e-Perolehan lebih kepada teknologi yang
digunakan dalam menjalankan perolehan. Teknologi ini terdiri daripada faks,
mel, telefon, e-mel, EDI, dan Internet.

Dalam konteks kajian ini, amalan e-Perolehan ialah amalan organisasi


dalam mendapatkan maklumat, menghubungi pembekal/perundingan
(Quesada, 2004; Chan dan Lee, 2002), mewujudkan kontrak, pembelian dan
pelaksanaan analisis dan risikan (Quesada, 2004).
18

1.10.7 Prestasi e-Perolehan

Prestasi e-Perolehan merujuk kepada kemampuan sistem dalam


memberi faedah kepada organisasi. Sebelum ini, prestasi perolehan dinilai
dari segi kos, masa, kepuasan, kualiti, stok dan nilai (Gebauer et al. 1998).

Menurut Vaidya et al. (2004), prestasi e-Perolehan juga boleh diukur


dalam empat kumpulan perspektif iaitu perspektif kewangan, pelanggan,
perspektif proses dalaman perniagaan dan perspektif pembelajaran dan
inovasi Dalam kajian yang dijalankan oleh Moon (2005), prestasi e-
Perolehan ini di lihat dari segi aplikasi web, tempahan elektronik, bida
elektronik dan reverse auctions.

Dalam konteks kajian ini, prestasi e-Perolehan di lihat dari segi faedah
pelaksanaan e-Perolehan ke atas organisasi di mana faedah e-Perolehan ini
dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu faedah kepada organisasi, faedah
daripada pembekal dan faedah kepada pengguna dalaman (Quesada, 2004).

1.11 Rumusan

Kajian ini bertujuan untuk memberi pendedahan tentang tahap amalan


dan prestasi e-Perolehan di peringkat firma yang membangunkan sistem
mereka secara dalaman. Kajian-kajian lepas lebih menumpukan kepada
aplikasi e-Perolehan di sektor perindustrian dan kurang kajian yang
dijalankan terhadap organisasi yang membangunkan sistem secara dalaman.
19

Kebanyakan organisasi enggan menggunakan sistem e-Perolehan dan merasa


ragu-ragu terhadap faedah yang mampu diberikan oleh sistem ini ke atas
organisasi mereka. Di samping itu juga, kesukaran menggunakan perisian
yang sedia ada di pasaran merupakan antara halangan dalam melaksanakan
sistem ini. Kajian ini menumpukan kepada sebuah kajian kes ke atas
organisasi yang membangunkan sistem e-Perolehan mereka secara dalaman.
Terdapat empat objektif dalam kajian ini untuk melihat amalan dan prestasi e-
Perolehan serta menghuraikan pendekatan yang digunakan oleh pihak
pengurusan untuk menangani masalah yang berkaitan dengan sistem e-
Perolehan ini. Sebagai satu kajian sains sosial, kajian ini turut mempunyai
batasan-batasan yang tidak dapat dielakkan kerana ianya melibatkan sampel
manusia sebagai responden yang terdedah kepada emosi, persekitaran dan
tekanan yang sukar dikawal.

You might also like