You are on page 1of 16

1

UNIT PEMBELAJARAN 3
Laras Bahasa

Objektif Pengajaran/Pembelajaran:

Mendedahkan pelajar kepada pengertian “laras” dan kepentingan mempelajarinya.


Meningkatkan kepekaan pelajar kepada faktor-faktor yang mempengaruhi
penggunaan bahasa dalam masyarakat.

Kandungan Modul

(i) Definisi dan konsep “laras”


(ii) Konteks sosial yang menentukan dan membezakan laras-laras
(iii) Ciri-ciri linguistik sesuatu laras dan jenis-jenis laras bahasa
(iv) Perbandingan antara laras-laras

Pengertian Laras Bahasa dan Kepelbagaian Laras

Menurut Ure dan Ellis (1977, dlm. Nathesan,1995:15), “laras”ialah pola penggunaan bahasa
yang lazim digunakan dalam situasi-situasi tertentu. Suatu laras dapat dibezakan dengan yang
lain berdasarkan aspek linguistiknya, misalnya dari segi pemilihan perkataan, jenis ayat dan
gaya (style) yang digunakan. Ciri-ciri linguistik inilah yang membezakan satu laras dengan
laras yang lain. Laras perlu dipelajari untuk komunikasi yang berkesan.

Halliday (1968, dipetik daripada Nathesan,1995:12) pula memberi pengertian laras sebagai
suatu variasi bahasa yang terbentuk berdasarkan konteks penggunaannya dalam masyarakat.
Laras berbeza daripada “dialek”yang merupakan variasi bahasa yang wujud antara penutur
kerana batasan geografi. Penutur-penutur yang berasal dari pelbagai tempat menuturkan
dialek yang berbeza. Kemunculan pelbagai laras dalam sistem komunikasi masyarakat adalah
kerana fungsi bahasa yang pelbagai dan kerana keperluan masyarakat untuk mengungkapkan
buah fikiran dalam bidang tertentu. Ringkasnya, laras atau dalam bahasa Inggerisnya, register
ialah satu bentuk bahasa yang khusus untuk satu-satu tujuan dalam komunikasi dan gaya
bahasanya ditentukan oleh konteks sosial penggunaanya.

Sebagai contoh, laras berita berbeza daripada gaya bahasa yang digunakan untuk
menyampaikan kuliah, mahupun gaya yang digunakan untuk berucap. Meskipun ketiga-tiga
bentuk komunikasi ini disampaikan melalui mode yang sama, iaitu secara lisan, perbezaan
daripada segi penggunaan perkataan dan gaya penyampaian tetap wujud kerana tujuandan
audiennya berbeza. Variasi-variasi bahasa ini juga wujud kerana bidang atau perkara yang
diperkatakan juga berbeza. Misalnya, laras perundangan amat ketara berbeza dengan gaya
bahasa dalam laras berita. Laras perundangan bercirikan penggunaan istilah dan gaya bahasa
yang hanya difahami oleh individu-individu dalam bidang tersebut. Manakala, laras bahasa
berita adalah untuk tatapan umum; justeru, gaya bahasanya tidak terlalu berat dan mudah
difahami.

Salinan Pelajar (FBK)


2
Dalam laras ilmiah pula, wujud perbezaan gaya bahasa antara penulisan teks sains tulen
dengan teks dalam bidang sains sosial. Walau bagaimanapun, dalam laras ilmiah secara
amnya, gaya bahasanya didasari oleh ciri-ciri penulisan yang saintifik (Asmah, 2006:45-47):

(a) Penggunaan istilah-istilah khusus bagi bidang yang diperkatakan dalam teks.
Dalam penulisan akademik, perkataan-perkataan yang biasa perlu didefinisikan untuk
mengelak kekaburan (ambiguity).
Misalnya:
Perkataan “kemiskinan” merupakan satu perkataan umum.Perkataan umum ialah
perkataan yang bersifat subjektif. Jika hendak dibincangkan secara ilmiah mengenai
kemiskinan, perkataan ini perlu diberi pengertian yang terperinci atau definisi
berdasarkan kajian.

(b) Ungkapan-ungkapan epistemik - ungkapan-ungkapan yang menggambarkan aspek-


aspek tertentu dalam membina ilmu daripada pihak penulis akademik.
Contoh:
Perkataan “didapati” boleh digolongkan sebagai ungkapan penemuan.Frasa “menurut
pandangan”, “menurut Bloom dan Gumperz” atau “berdasarkan kajian x” merupakan
ungkapan berbentuk rujukan.

(c) Kecenderungan menggunakan struktur ayat tertentu. Lazimnya, laporan akademik


lebih kerap menggunakan ayat pasif daripada ayat aktif. Namun, keadaan ini
bergantung kepada tujuan sesuatu bentuk penulisan yang dihasilkan.

Faktor-faktor Penentu Bentuk Laras dan Jenis-Jenis Laras Bahasa

Seperti yang dijelaskan pada awal perbincangan ini, laras ialah satu bentuk gaya bahasa yang
khusus untuk tujuan tertentu dan bentuk bahasa ini ditentukan oleh konteks penggunaannya
atau lingkungan “keperihalan keadaan” (Malinowski, 1923; Ellis dan Ure, 1977; Halliday,
1968 and 1977, dipetik daripada Nathesan,1995:14-17).

Lingkungan keperihalan ini mencakupi aspek-aspek berikut:

(a) Tajuk wacana (Field)


Tajuk merujuk kepada “bidang atau bahan” yang diperkatakan. Dalam bidang
tertentu, terutamanya dalam penulisan ilmiah, penggunaan istilah diperlukan untuk
mengungkapkan makna yang spesifik untuk tujuan kajian (Sila rujuk contoh jenis-
jenis laras ilmiah di bawah)

Contoh:
i. Sel-sel kelenjar kolon merembeskan mukus yang berfungsidalam
melicinkan pergerakan kandungan kolon ke arah rektum. Tidak
terdapat enzim yang dirembeskan di bahagian kolon.

(laras sains-bidang sains perubatan)

Salinan Pelajar (FBK)


3

ii. Kosa kata kamus ini memuatkan entri istilah pelbagai bidang yang
diambil daripada kamus atau glosari yang terbit daripada rangka
kerjasama MABBIM atau entri istilah yang ditulis oleh pakar bidang
di laur MABBIM.
(laras linguistik-bidang linguistik)

iii. Dalam setiap bidang perniagaan mahupun bidang-bidang lain, kita


selalu mendengar ada sahaja penemuan-penemuan terbaharu hasil
daripada penyelidikan dan kajian yang berterusan.

(laras rencana-bidang ekonomi)

(b) Cara penyampaian (Mode)


Cara ini merujuk kepada media perlakuan bahasa, yakni lisan, tulisan, bahasa isyarat
dan sebagainya. Dalam erti kata yang lain, cara sesuatu maklumat disampaikan. Hal
ini melibatkan faktor-faktor seperti siapa yang menulis, kepada siapa dan tentang apa.

Contoh:
i. “Saya berharap dengan sumbangan yang dilakukan Yayasan Sime
Darby dalam program pemuliharaan badak sumbu Sumatera akan
membuahkan hasil dan memberi sinar harapan kepada spesies
berkenaan.”
(penyampaian lisan)

ii. Ruam lampin merupakan masalah kulit yang paling kerap dialami oleh
kebanyakan anak kecil khususnya bayi. Walaupun penyakit itu tidak
berbahaya, namun terdapat sebahagian daripada ruam boleh menjadi
serius sekiranya tidak diatasi dengan betul.
(penyampaian tulisan)

(c) Gaya wacana (Discourse style)


Gaya wacana merujuk gaya formal atau tidak formal. Tahap hubungan antara
penyampai dan audiennya atau antara individu yang terlibat dalam suatu interaksi
akan menentukan gaya. Misalnya, gaya formal lebih sesuai untuk interaksi antara
pensyarah dan pelajarnya. Sebaliknya, gaya kurang formal lebih sesuai untuk berucap
di majlis-majlis keramaian.

Contoh:
i. “Tuan Yang Dipertua, kita semua perlukan kehidupan yang berkualiti
dengan alam sekitar yang bersih. Malangnya, udara kita sudah
tercemar dan sungai-sungai yang menjadi sumber air bersih juga
tercemar.”
(gaya bahasa lisan formal)

Salinan Pelajar (FBK)


4

ii. “Eh, Leha, dari mana tu? Marilah singgah sini dulu. Amboi, lama tak
jumpa makin berseri-seri wajah kau. Apa yang kau pakai?”

(gaya bahasa lisan tidak formal)

iii. Oleh kerana bumi berbentuk sfera, setiap garis lintang merupakan
satu bulatan. Bulatan ini menjadi semakin kecil berhampiran dengan
kutub. Garisan yang utama ialah Garisan Khatulistiwa.

(gaya bahasa penulisan formal)

iv. Hebat! Dengan setiap belian 5kg serbuk pencuci XX, percuma satu rak
berus gigi bermutu tinggi. Ditawarkan dalam 5 warna yang menarik
untuk semua jenis bilik mandi. Dapatkan sekarang selagi stok masih
ada!

(gaya bahasa penulisan tidak formal)

(d) Tujuan sesuatu perlakuan bahasa (Role)


Hal ini merujuk kepada tujuan sesuatu acara dilangsungkan atau tujuan sesuatu
penulisan dihasilkan. Tujuan ini juga akan menentukan gaya bahasa yang bersesuaian
untuk digunakan dalam konteks tertentu.

Contoh:
i. Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis,
Yang Berhormat Wakil rakyat kawasan Tanjung Karang,
Yang Berusaha Pengetua Sekolah Menengah Sri Jati
Para hadirin yang dihormati,
Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera

(tujuan memulakan ucapan - formal)

ii. Menurut kajian yang dijalankan, kehilangan atau kepupusan pelbagai


spesies tumbuhan dan haiwan dalam persekitaran semula jadi dunia
adalah pada tahap yang sangat membimbangkan.

(tujuan menyampaikan maklumat - formal)

iii. “Hendak gulung dah? Amboi tak dan hampar tikar lagi, dah nak suruh
gulung dah! Amboi, macam mana saya nak buat ni?”

(tujuan menyindir dalam jenaka - tidak formal)

iv. Tiba-tiba saja hatinya meronta-ronta untuk mengekori gadis itu.


Tulah, lambat sangat, macam superstar...langsung kena tinggal.
Padan muka kau!
(tujuan meyampaikan cerita - tidak formal)

Salinan Pelajar (FBK)


5

Ciri-Ciri Linguistik Laras Bahasa


Terdapat dua perkara yang membezakan laras-laras dari segi linguistik, iaitu:
i. Struktur dan susunan ayat (sintaksis).
ii. Perbendaharaan kata.

1.Struktur dan Susunan Ayat (sintaksis)


Jenis ayat yang digunakan dalam sesuatu laras adalah berbeza
(a) Ayat Biasa dan Ayat Songsang

Contoh:
i. Kakak ke Melaka Sabtu lalu. (ayat biasa)
ii. Ke Melaka, kakak Sabtu lalu. (ayat songsang dengan pendepanan predikat)
iii. Sabtu lalu, kakak ke Melaka. (ayat songsang dengan pendepanan kata
keterangan)

Ketiga-tiga ayat di atas memberi penekanan yang berbeza, yang ditimbulkan oleh
susunan struktur ayat yang berbeza.

Penekanan diberi kepada:


i. subjek/pelaku, iaitu siapa yang ke Melaka Sabtu lalu.
ii. tempat, iaitu ke mana kakak Sabtu lalu.
iii. masa, iaitu bila kakak ke Melaka.

(b) Ayat Aktif dan Ayat Pasif

Contoh:
i. Universiti Malaysia Sarawak menjuarai pertandingan Debat Diraja
semalam. (ayat aktif : laras rasmi)
ii. Teori ini diperkenalkan oleh Grice pada tahun 1967 dengan
membahagikan ujaran kepada dua bentuk.
(ayat pasif biasa: laras ilmiah)
iii. Semua pelajar tertidur tadi.
(ayat pasif menerima penekanan -ter : laras bahasa lisan)
iv. Kucing itu kena pukul.
(ayat pasif menerima penekanan -kena : laras bahasa lisan)

Keempat-empat ayat di atas memberi penekanan yang berlainan, oleh sebab


penggunaan struktur ayat yang berlainan.

Ayat tersebut dibentuk dengan menggunakan struktur ayat yang berbeza, iaitu:
- struktur ayat aktif dalam ayat (i)
- struktur ayat pasif biasa dalam ayat (ii)
- ayat pasif ter- dalam ayat (iii)
- dan struktur ayat pasif kena- dalam ayat (iv).

Salinan Pelajar (FBK)


6

(c) Struktur ayat tunggal (pendek) dan ayat majmuk (kompleks)

i. Struktur ayat pendek dan ringkas


Contoh:
Proses globalisasi ekonomi terus menjadi fokus perdebatan dalam
kalangan negara-negara membangun.

(Globalisasi dan Bahasa Melayu, Dewan Bahasa, Februari 2003)

ii. Struktur ayat kompleks


Contoh:
Sukarelawan Dewan bertindak sebagai saudara atau keluarga angkat
yang akan memainkan peranannya sebagai aset bagi mendedahkan
mereka kepada cara hidup masyarakat Malaysia dengan
memperkenalkan bahasa, sastera, kesenian, kebudayaan, adat istiadat,
makanan, tempat pelancongan dan sebagainya.

(Dewan Bahasa, Januari 2003)

Pecahan ayat ii:


Sukarelawan Dewan bertindak sebagai saudara atau keluarga angkat.
Mereka memainkan peranannya sebagai aset.
Sukarelawan Dewan mendedahkan mereka kepada cara hidup
masyarakat Malaysia.
Mereka memperkenalkan bahasa, sastera, kesenian, kebudayaan, adat
istiadat, makanan, tempat pelancongan, dan sebagainya.

2. Perbendaharaan Kata
Perbendaharaan kata khusus sesuatu bidang membezakan sesuatu laras bahasa dengan
laras bahasa yang lain. Setiap laras mempunyai perbendaharaan kata ataupun kosa kata
yang berlainan mengikut bidang yang tertentu.

Contoh:
i. Keseluruhan jumlah dagangan di Papan Utama jatuh kepada 2.534 bilion
saham bernilai RM5.523 bilion berbanding 2.893 bilion saham bernilai
RM7.390 bilion minggu sebelumnya.

(laras ekonomi)

ii. Leukemia ialah barah sel darah. Sel darah diproses oleh tulang sum-sum, tisu
lembut di tengah kebanyakan tulang. Dalam kes leukemia, tulang sum-sum
menghasilkan terlalu banyak sel darah putih dan kadangkala sel ini tidak
“bertugas” dengan betul.Sel ini terus “membiak”, sedangkan pembiakan sel ini
sepatutnya berhenti. Malah, sel ini juga berkembang lebih cepat daripada sel
lain. Sel abnormal ini kemudian akan mengatasi jumlah sel darah putih, sel
darah merah dan platelet.

(laras sains perubatan)


Salinan Pelajar (FBK)
7

iii. Menegakkan keadilan dan kebenaran merupakan ciri-ciri orang yang beriman.
Ciri ini merupakan perjanjian yang telah diikat oleh Allah s.w.t. dengan
manusia muslim.

(laras agama)

iv. Ketika Melaka mahu mengatur gerak tanpa ketua jurulatih K. Devan, skuad itu
mula dihimpit malang apabila TMFC berjaya menghasilkan gol seawal minit
kedua selepas rembatan kencang Nazzab Hidzan dari luar kotak penalti
terlepas dari tangkapan penjaga gol, Kamaruzzaman Hasan.

(laras sukan bola sepak)

v. ADVANCED Micro Devices (AMD) membangunkan cip baru menggunakan


teknologi silikon germanium, teknologi yang sama seperti yang digunakan
oleh syarikat IBM. Cip baru AMD dikatakan lebih menjimatkan tenaga dan
berprestasi tinggi.

(laras teknologi)

vi. Tatkala itu Bendahara pun hendak masuk mengadap baginda diiringkan oleh
segala pengawal dan pertuanan. Maka Bendahara pun sampailah pada antara
kedai Hang Tuah itu.

(laras bahasa Melayu lama)

vii. Konsonan yang dilambangkan dengan huruf K diucapkan sebagai hentian


glotis atau seolah-olah hentian glotis berlaku sebagai penutup suku kata.
Sebagai contoh, kata-kata seperti cetek dan cedok diucapkan dengan sebutan
[ceteɂ] dan [cedoɂ].

(laras linguistik)
Gaya Bahasa Lisan dan Gaya Bahasa Tulisan
Gaya bahasa (style) merujuk kepada bentuk bahasa yang digunakan dalam pertuturan atau
penulisan untuk menimbulkan kesan-kesan tertentu (Nathesan, 1995).

Terdapat dua bentuk gaya bahasa yang dikenal pasti berdasarkan cara penyampaiannya
(mode) iaitu:

i. gaya bahasa lisan (spoken language) dan


ii. gaya bahasa tulisan (written language).

Gaya lisan
Contoh gaya lisan ialah gaya yang digunakan dalam pengucapan umum dan syarahan agama.
Gaya ini mewujudkan suasana yang kurang formal dan yang bersifat lebih peribadi. Gaya
lisan memanfaatkan faktor luaran (non-linguistics) dalam menyampaikan komunikasi yang
berkesan. Penutur boleh menggunakan gerak badan untuk menyampaikan komunikasi yang

Salinan Pelajar (FBK)


8

berkesan. Penggunaan dialek juga dibenarkan.Komunikasi yang disampaikan secara lisan


juga tidak perlu memikirkan tentang ketenunan teks.

Gaya tulisan
Contoh gaya tulisan pula adalah gaya yang terdapat dalam laporan berbentuk akademik dan
laporan akhbar. Gaya ini mewujudkan suasana yang “formal” dalam teks/penulisan apabila
digunakan. Dalam erti kata yang lain, gaya ini “gaya buku”. Gaya ini juga lazimn ya terikat
dengan hukum tatabahasa dan bahasa standard digunakan. Satu ciri penting gaya tulisan ialah
ketenunan teks (koheren dan kohesi) iaitu cara sesuatu idea disampaikan secara
berkesinambungan dalam satu perenggan dan antara perenggan. Dalam penulisan teks,
ketenunan ini dapat dihasilkan dengan menggunakan kata penghubung seperti
“bagaimanapun”, “Sebaliknya”, “justeru” dsbnya.Ketenunan melalui perujukan juga boleh
diwujudkan melalui pengulangan leksis (perkataan atau frasa).

Contoh:

i. Ketenunan melalui kata hubung


Masalah pengedaran dadah di negara ini masih berleluasa walaupun hukuman mati
mandatori dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah mengedar dadah.
Walaupun ditangkap dan dihukum mati atau ditahan di bawah undang-undang yang
ada, mereka masih sanggup menanggung risiko.Hal ini demikian kerana hasil
kekayaan yang mereka perolehi daripada aktiviti pengedaran dadah ini tidak
terjejas.Disebabkan hal itu, kerajaan telah meluluskan Akta Dadah Berbahaya
(Perlucutan Harta), 1988 yang berkuat kuasa pada 10 Jun 1988.

(Dipetik daripada Laporan Dadah, 1994:30)


ii. Ketenunan melalui perujukan
Tanpa lidah kita dapat mengetahui lazat atau tidak sesuatu makanan. Lidah
membolehkan kita merasa sesuatu yang manis, pahit, masam, dan masin. Perhatikan
lidah rakan anda atau lidah sendiri dengan menggunakan cermin. Lidah diselaputi
sel-sel deria yang disebut tunas-tunas rasa. Tunas-tunas inilah yang
bertanggungjawab menerima rangsangan daripada bahan-bahan yang larut dalam
air liur. Tunas rasa merupakan kumpulan sel yang khusus untuk mengesan sesuatu
rasa tertentu. Bahan kimia yang larut dalam air merangsang tunas rasa.

(Dipetik daripada Nathesan, 1995:68)

Lazimnya, gaya bahasa dalam sesuatu laras tergolong kepada dua jenis gaya bahasa ini.
Namun, ada laras yang menggunakan gaya bahasa yang berbentuk “separuh formal”.

Contoh:
Apabila menyampaikan kuliah akademik, pensyarah akan menggunakan gaya lisan supaya
dapat menarik perhatian pelajar. Pada masa yang sama, gaya bahasa agak formal kerana
bahan yang disampaikan berbentuk ilmiah.

Salinan Pelajar (FBK)


9

Latihan Ringkas
Kenal pasti perkataan-perkataan yang berfungsi menjalin ketenunan dalam teks berikut:

Menurut kajian, kepekatan fluorida dalam air yang paling sesuai untuk mencegah
kerosakan gigi ialah 1 mg fluorida per liter air.Bagaimanapun, bukan semua orang
setuju agar fluorida ditambahkan ke dalam bekalan air. Hal ini kerana belum
diketahui kesan buruk meminum air berfluorida dalam jangka masa yang panjang. Di
samping itu, penambahan fluorida ke dalam bekalan air meningkatkan perbelanjaan.
Bukan semua bekalan air digunakan untuk minum. Oleh itu, jika air berfluorida
digunakan untuk membasuh pakaian dan tujuan lain, perkara ini merupakan satu
pembaziran.

(dipetik dan diubah suai daripada Nathesan, 1995:68)

Jenis-Jenis Laras Bahasa


i. Laras Memorandum
Contoh:
Saya ingin menarik perhatian tuan/puan berhubung masalah pengurusan masa pejabat.
Sejak kebelakangan ini, didapati rekod pengurusan masa pejabat kakitangan tidak begitu
memuaskan.

ii. Laras Undang-undang


Contoh:
Salinan Petisyen tersebut akan dibekalkan oleh pihak yang bertandatangan di bawah ini
kepada mana-mana pemiutang atau penyumbang Syarikat tersebut dengan membuat
bayaran yang ditetapkan.

iii. Laras Minit Mesyuarat


Contoh:
Pengerusi mencadangkan Program Anak Angkat diadakan pada cuti semester akan
datang.

iv.Laras Laporan
Contoh:
Berdasarkan kajian yang dijalankan, sebanyak 93.5 peratus peserta berpuas hati dengan
ceramah dan bengkel yang telah dijalankan oleh pihak penganjur.Para peserta juga
mencadangkan supaya tempoh kursus ini dapat dilanjutkan lagi pada masa hadapan.

v. Laras Pengucapan Awam


Contoh:
Tuan-tuan dan puan-puan,
Menerusi penubuhan ASNITA, diharap agar pertumbuhan industri saham amanah ini
mampu memberi sumbangan bererti kepada pembangunan ekonomi negara dan
memungkinkan kita keluar daripada kegawatan ekonomi yang dialami sekarang.

Salinan Pelajar (FBK)


10

vi. Laras Iklan


a. Iklan Perniagaan
Contoh:
Hotlink Pelan Mudah, Pertama di Malaysia! Call-me Bonus! Dapatkan SMS dengan
Percuma! Satu lagi yang pertama daripada Hotlink Pelan Mudah - Call-me Bonus.
Lebih banyak panggilan diterima, lebih banyak SMS percuma diperoleh.Senang dan
jimat.

b. Iklan Pemberitahuan
Pemasaran Nilai Sosial
Contoh:
Tabiat merokok mengakibatkan kerosakan otak.
Tidak kira tua ataupun muda, jika anda seorang perokok, risikonya amat tinggi.
Asap rokok boleh menyebabkan darah membeku dan mengakibatkan strok. Strok
boleh membunuh,menyebabkan buta atau lumpuh. Setiap sedutan membawa
padah. Katakan Tak Nak Merokok!

Jawatan Kosong
Contoh:
PENDAWAI ELEKTRIK
Mahir/separuh mahir diperlukan segera. Bandar Baru Sri Petaling. Gaji
RM1000-2,200. Penginapan disediakan. Berminat sila hubungi 03-12345678 /
03-98765432 (Tini).

Makluman
Contoh:
Kasim Bin Selamat K/P. 012345-67-8910: Alamat Kg. Senang 98765 Tanah
Gambut, Sarawak. Hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Samarahan pada 11
Januari 2012 jam 10.00 pagi, anak kamu Maria Binti Kasim K/P. 019876-54-
3210 mencari wali untuk pernikahan. Hadir/tidak keputusan akan dibuat oleh
Mahkamah.

Laras Bahasa Melayu Lama


Gaya bahasa Melayu lama amat ketara perbezaannya dengan gaya bahasa Melayu yang
terdapat dalam teks pada masa kini. Gaya bahasa zaman silam menggambarkan konteks
sosial dan perihal serta budaya masyarakat pada ketika itu. Ciri-ciri khusus teks lama adalah
seperti berikut:

i. Ayat-ayat bahasa klasik biasanya panjang dan berbelit-belit. Ada antara ayat tersebut
yang panjangnya empat hingga lima baris.
Contoh:
“Hatta tujuh hari tujuh malam, siang sama malam serupa, tiada terhenti lagi
sehingga kelam-kabut kabur kala, siang pun seperti malam tiada tertentu lagi, dan
segala gunung-ganang dan emas lapis suasa seperti burung terbang lajunya itu.”

Salinan Pelajar (FBK)


11

ii. Ayat-ayat teks klasik ini biasanya dimulai dengan kata-kata penghias yang biasanya
tidak mempunyai makna yang tertentu. Perkataan-perkataan ini berfungsi sebagai
penyedap atau pemula ayat sahaja.
Contoh:
‘syahadan’, ‘hatta’, ‘maka’, ‘alkisah’, ‘sebermula’ dan sebagainya.

iii. Terdapat banyak perkataan usang/ kuno yang sudah tidak lagi digunakan dalam
bahasa Melayu moden.
Contoh:
‘sejenang’ (sekejap), ‘sekonyong-konyong’(tiba-tiba), ‘apakah gerangan’ (kenapa),
‘unggas’ (burung) dan lain-lain lagi

Oleh sebab kebanyakan cerita tradisional Melayu tertumpu kepada kisah golongan
raja dan bangsawan, terdapat juga perkataan-perkataan yang dikenali sebagai “bahasa
istana” digunakan dalam kalangan keluarga diraja.
Contoh:
‘durja’ (rupa), ‘beradu’ (tidur), ‘bersiram’ (mandi) dan sebagainya

iv. Terdapat perkataan yang mengandungi unsur dialek (loghat) daerah dalam teks klasik
yang ceritanya terbit dari daerah-derah tertentu di Semenanjung Malaysia.
Contoh:
Cerita yang berasal dari Pulau Jawa, terdapat pula beberapa perkataan Jawa
dalam cerita tersebut iaitu:
lelucon, lelakon dan kedayan.

Cerita-cerita yang mendapat pengaruh Islam mengandungi ungkapan-


ungkapan pendek bahasa Arab seperti:
‘alhamdulillah’ (syukur kepada Allah), ‘insya-Allah’ (jika diredhai Allah)
‘astaghfirullah’(Ya Allah, ampunilah aku/juga sebagai kata seruan
menunjukkan rasa hairan atau terkejut) dan lain-lain lagi

v. Terdapat struktur ayat yang pelbagai dalam teks Melayu klasik. Banyak ragam ayat
klasik ini berbeza daripada ragam ayat bahasa Melayu moden.

Antara ragam ayat tersebut termasuklah:

a. Bentuk ayat yang songsang apabila predikat (cerita ayat) mendahului subjek
(benda ayat).
Contoh:
“Maka segeralah dipangku baginda oleh isteri baginda Puteri Mayang
Mengurai.”
Dalam bahasa Melayu moden ayat ini boleh ditulis sebegini: “Isteri baginda Puteri
Mayang Mengurai pun memangku baginda.”

b. Ayat aktif dalam bahasa Melayu moden ditulis dalam bentuk pasif dalam
bahasa klasik.
Contoh:
“Maka disuruh baginda bongkar pada segala hulubalangnya tetapi tidak juga
terbongkar.”
Salinan Pelajar (FBK)
12

Ayat ini sebenarnya bermaksud “Baginda memerintahkan hulubalang-hulubalang


baginda membongkar benda tersebut tetapi gagal.”

c. Pola “pun…lah” banyak terdapat dalam teks Melayu klasik. Pola ini jarang
digunakan dalam bahasa Melayu moden.
Contoh:
“Awang Lutung pun melompatlah sambil berteriak-teriak.”
Ayat ini bererti: “Awang Lutung pun melompat sambil menjerit.”

d. Terdapat unsur perulangan yang tidak perlu dalam teks Melayu klasik.
Selalunya unsur ini digunakan apabila perkataan jenis kata nama telah pun
digunakan sebelumnya.
Contoh:
“Maka Tun Beraim Bapa pun mudiklah ia dan sampailah ia ke pantai
Manggang.”
Dalam bahasa Melayu moden, ayat ini boleh ditulis: “Tun Beraim Bapa pun
mudik hingga sampai ke pantai Manggang.”

Rujukan
Asmah Hj. Omar. (2006). Panduan Wacana Akademik: Teori dan Penerapan. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (Bab 5, m.s.44-84)
Nathesan, S. (1995).Laras Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan
Kementerian Pendidikan Malaysia.

Salinan Pelajar (FBK)


13

Latihan Laras Bahasa


Latihan 1
Arahan: Jawab semua soalan berdasarkan teks-teks yang diberi,.

Teks A:
Rangka tulang juga berfungsi sebagai asas pautan otot dan organ dalam.Otot
berpaut pada tulang dengan tendon. Otot menggerakkan tulang-tulang di
sendinya.Tindakan ini membolehkan kita bergerak. Organ-organ dalam seperti hati,
perut dan usus juga berpaut pada tulang melalui otot dan tisu lain.

Teks B:
Amir hanya mengeluh perlahan-lahan, sedang tenaganya kelihatan semakin kendur
dan lemah. Sementara Rohani dengan tidak disedarinya telah datang dekat kepada
ayahnya bertelut di sisi tempat pembaringan Amir. Air matanya meleleh membasahi
pipinya yang hitam manis dan mata yang bening sayu itu menatap muka Amir penuh
dengan was-was dan kecemasan.

(Dipetik daripada cerpen Menjual Tanahair, Keris Mas)

(a) Kenal pasti jenis laras untuk setiap petikan berikut.

Teks A - _____________________________

Teks B -_____________________________

(b) Nyatakan gaya bahasa dalam teks-teks tersebut.

Teks A
_______________________________________________________________
_______________________________________________________________
_______________________________________________________________
_______________________________________________________________

Teks B
_______________________________________________________________
_______________________________________________________________
_______________________________________________________________
_______________________________________________________________

Salinan Pelajar (FBK)


14

Latihan 2
Arahan: Jawab semua soalan berdasarkan teks yang diberi di bawah,.

Pemberontakan yang berlaku itu berpunca daripada beberapa perkembangan.Kedah


pada masa itu diperintah oleh Sultan Muhammad Jiwa (1710-1778).Baginda merupakan
seorang raja yang bijak dan mencintai negerinya, tetapi baginda telah melantik anak
saudaranya sebagai pewaris. Kemudiannya, baginda mendapat seorang putera yang
bukan anak gahara. Putera itu diberi nama Tunku Abdullah. Tunku Abdullah akhirnya
telah dilantik sebagai pewarisnya yang baru. Kerabat diraja yang lain tidak bersetuju
dengan tindakan Sultan itu, lalu menentang baginda. Pada masa itulah kerabat diraja
membuat pakatan sulit dengan orang Bugis di Selangor untuk menyerang Kedah.

(Dipetik daripada Nathesan, 1995:31)

(a) Pada pandangan anda, teks ini ialah teks dalam laras?

____________________________________________

(b) Kenal pasti ayat aktif dan ayat pasif dalam teks berikut.
(i) Baginda merupakan seorang raja yang bijak dan mencintai negerinya, tetapi
baginda telah melantik anak saudaranya sebagai pewaris.
(ii) Kemudiannya, baginda mendapat seorang putera yang bukan anak gahara.
(iii) Kerabat diraja yang lain tidak bersetuju dengan tindakan Sultan itu, lalu
menentang baginda.
(iv) Pada masa itulah kerabat diraja membuat pakatan sulit dengan orang Bugis
di Selangor untuk menyerang Kedah.
(v) Kedah pada masa itu diperintah oleh Sultan Muhammad Jiwa (1710-1778).
(vi) Putera itu diberi nama Tunku Abdullah.
(vii) Tunku Abdullah akhirnya telah dilantik sebagai pewarisnya yang baru.

(c) Kenal pasti ayat tunggal dan ayat majmuk (mengandungi lebih daripada satu klausa)
dalam teks berikut.
(i) Pemberontakan yang berlaku itu berpunca daripada beberapa perkembangan.
(ii) Kedah pada masa itu diperintah oleh Sultan Muhammad Jiwa (1710-1778).
(iii) Putera itu diberi nama Tunku Abdullah
(iv) Tunku Abdullah akhirnya telah dilantik sebagai pewarisnya yang baru.
(v) Baginda adalah seorang raja yang bijak dan mencintai negerinya, tetapi
baginda telah melantik anak saudaranya sebagai pewaris.
(vi) Kemudiannya, baginda mendapat seorang putera yang bukan anak gahara.
(vi) Kerabat diraja yang lain tidak bersetuju dengan tindakan Sultan itu, lalu
menentang baginda
(viii) Pada masa itulah, kerabat diraja membuat pakatan sulit dengan orang Bugis di
Selangor untuk menyerang Kedah.

Salinan Pelajar (FBK)


15

Latihan 3
Arahan: Nyatakan (3) tiga faktor yang mempengaruhi bentuk dan gaya bahasa dalam laras
bahasa yang digunakan dalam petikan ini. Jawapan anda hendaklah disertakan dengan contoh
yang bersesuaian.

Terowong SMART: Keajaiban Kejuruteraan Moden

Oleh
Khairunnisa Sulaiman

APABILA umum mula-mula diperkenalkan dengan Stormwater Management and Road Tunnel, atau
dikenali dengan terowong SMARTlebih setahun lalu, ramai yang agak sinis dan ragu-ragu dengan
dwifungsi terowong Smart, iaitu sebagai laluan alternatif bagi air dan kenderaan. Kebetulan,
seminggu selepas terowong SMART dibuka untuk laluan kenderaan, Kuala Lumpur dilanda banjir
besar dan banyak kawasan di sekitar bandar raya ditenggelami air.

Namun, selepas setahun dibuka kepada orang ramai, SMART telah melakukan tugasannya dengan
begitu sempurna, dan setiap kali hujan lebat, kawasan sekitar Kuala Lumpur tidak lagi dilanda dengan
banjir kilat yang melibatkan kerugian berjuta-juta ringgit. SMART kini boleh berbangga kerana
iabukan saja diterima di dalam negara tetapi juga menerima pengiktirafan dari luar negara. Teknologi
Smart telah dianugerahkan Anugerah Antarabangsa bagi British Construction Industry Awards
(BCIA) 2008 yang berlangsung di London pada Ogos, baru-baru ini.

Pengurus Besar Operasi SMART, Mohd. Fuad Kamal Ariffin berkata, SMART dipilih bagi kategori
antarabangsa kerana projek yang luar biasa dan unik bagi menyelesaikan masalah banjir dan
kesesakan lalu lintas pada masa yang sama.

“Projek di bawah kerajaan persekutuan dan dilaksanakan menerusi usaha sama antara MMC Corp.
Bhd. dan Gamuda Berhad dengan Jabatan Perairan dan Saliran dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia
(LLM) sebagai mewakili agensi kerajaan,” katanya.

BCIA merupakan anugerah yang berprestij dalam industri pembinaan, sama dengan anugerah Oscar
yang dihormati dan mendapat pengiktirafan bukan saja di United Kingdom, tetapi di seluruh dunia.
Konsep dua fungsi SMART iaitu sebagai terowong kenderaan dan banjir adalah yang pertama dibina
di dunia bagi menyelesaikan masalah banjir dan kesesakan lalu lintas.

“SMART juga mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada pelbagai pihak termasuk media
antarabangsa seperti DiscoveryChannel dan NationalGeographicChannel,” katanya.

Mohd. Fuad menambah, SMART menunjukkan semangat Malaysia Boleh! dan membuktikan pakar
tempatan masih boleh membina, mereka cipta dan menguruskan projek Malaysia yang bertaraf
antarabangsa.

(Dipetik dan diubah suai daripada Utusan Malaysia Online, 17 Disember 2008)

Salinan Pelajar (FBK)


16

Latihan 4
Arahan: Kenal pasti (2) dua ciri khusus (linguistik) laras bahasa yang digunakan dalam
petikan ini. Jawapan anda hendaklah disertakan dengan contoh yang bersesuaian.

Sindrom Haglund
Oleh
Dr Khairul Faizi Mohammad

Sindrom Haglund merupakan punca lazim kesakitan tumit dalam kalangan populasi di negara
ini.Sindrom ini mengakibatkan bengkak, kesakitan dan kesukaran memakai kasut. Keadaan
ini boleh terjadi kepada semua peringkat usia, terutamanya kepada mereka yang memakai
kasut yang mempunyai penutup tumit yang keras. Keadaan ini juga akan merumitkan
seseorang untuk berjalan dengan sempurna.

Tumit kaki mengandungi tulang terbesar di dalam anggota kaki yang dipanggil ‘Calcaneus’.Di
belakang Calcaneus ini ialah cantuman tendon Achilles.Tisu yang besar dan kuat inilah yang
membantu manusia untuk berjalan dan melompat.

Struktur yang dikenali sebagai Retrocalcaneal bursa pula terletak di antara tisu Achilles dan
Calcaneus. Ia berbentuk seperti kantung yang berisi cecair yang membolehkan tisu meluncur
dengan tulang calcaneum.

Sindrom Haglund terjadi apabila Retrocalcaneal bursa membengkak akibat tekanan yang
berulang pada belakang tumit melalui kasut yang dipakai setiap hari. Kedua-dua bursa dan
tisu Achilles tertekan di antara bonggol Haglund dan kasut. Keadaan inilah yang
menyebabkan keradangan kepada struktur tulang, bengkak dan rasa sakit. Dengan tekanan
yang berulang, tendon Achillesakan menjadi rapuh atau semakin nipis pada cantuman
dengan Calcaneus, yang lama-kelamaan melemahkan tisu berkenaan dan seterusnya akan
terputus.

(Dipetik dan diubah suai daripada Utusan Malaysia Online, 17 Disember 2008)

Salinan Pelajar (FBK)

You might also like