You are on page 1of 7

TRANSKRIP VIDEO RUJUKAN KURSUS FALSAFAH DAN ISU SEMASA

KULIAH 5: METAFIZIK
TEMUBUAL NURFA FAILASUF (PENGACARA) DAN
PROF. HAZIM SHAH (PENSYARAH UNIVERSITI UTARA MALAYSIA)

NURFA FAILASUF: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan kembali lagi dengan Nurfa
dalam Kuliah Kelima iaitu Kuliah Metafizik. Baik, apa itu metafizik? Pasti kita tidak tahu apa itu
metafizik, ramai orang katakan ia mempunyai definisi yang tertentu, dan segala-galanya memerlukan
satu definisi, bukan? Hari ini kita menjemput Prof. Hazim untuk membincangkan tentang apakah
sebenarnya maksud metafizik itu. Jadi Prof., boleh tak Prof. terangkan apa itu konsep metafizik?

PROF. HAZIM SHAH: Baik, terima kasih di atas soalan itu Nurfa, iaitu mengenai apakah yang
dimaksudkan dengan istilah metafizik. Kita biasa dengar perkataan ini digunakan tetapi kurang jelas
apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan metafizik. Jadi, dalam konteks falsafah, saya boleh
katakan bahawa terdapat dua pengertian yang utama mengenai apa yang dimaksudkan dengan istilah
metafizik itu.

Baik, sebelum itu saya ingin merujuk kepada perkataan itu sendiri, iaitu metafizik yang merupakan
gabungan daripada dua perkataan, meta dan fizik, meta bermaksud melampaui ataupun melebihi
ataupun di atas ataupun tingkatan atas.

Sedangkan fizik pula merujuk kepada perkara ataupun alam yang bersifat material ataupun fizikal.

Jadi, metafizik merujuk kepada sesuatu yang melampaui sempadan ataupun batasan fizikal.

Bermula dari situ kita dapat melihat bahawa kajian metafizik itu adalah satu kajian yang kalau dalam
falsafah dikatakan kajian peringkat kedua ataupun second order study or second order thinking, di
mana first order itu merujuk kepada perkara atau alam fizikal.

Baik, di sini saya katakan tadi ada dua pengeritan utama yang boleh kita kaitkan dengan istilah
metafizik itu. Yang pertama berunsur falsafah dan yang kedua ada kaitan dengan keagamaan dan
kepercayaan-kepercayaan yang bersifat keagamaan juga, yang tidak semestinya merupakan sesuatu
agama (nota: tapi terdiri dari fahaman metafizikal seperti falsafah Plato atau Hegel).

Baik, dari sudut falsafah, apa yang dimaksudkan dengan metafizik itu, ini telah dirungkaikan oleh ahli
falsafah seperti Aristotle, misalnya di dalam salah sebuah bukunya, dalam bahasa Latin disebut
metafizika. Di dalam kajian Aristotle, dia menganggap bahawa metafizik itu adalah suatu kajian di
peringkat paling abstrak atau paling umum mengenai sesuatu perkara atau sesuatu fenomena yang
berkaitan degan alam, samada alam natural atau alam semulajadi. Misalnya kita fikirkan sesuatu
perkara seperti jasad ataupun benda-benda material. Di situ kita boleh lihat dari sudut yang paling
umum tentang apakah jasad ataupun apakah benda material itu. Di situ kita telah lakukannya dengan
menyahkan ataupun mengenepikan semua sifat yang khusus yang ada pada sesuatu objek itu,
misalnya kita fikirkan tentang sesuatu objek seperti kerusi, kerusi itu mempunyai warna dan tempat
di dalam sesuatu ruang dan juga mungkin mempunyai bauannya yang tersendiri yang kita boleh bau
ataupun boleh kita rasa samada kerusi itu keras atau lembut, dan sebagainya. Semua itu adalah sifat-
sifat yang dikaitkan dengan kerusi itu, tetapi kalau kita nyahkan semua sifat tersebut, apakah yang
tinggal pada kerusi itu? Ataupun objek-objek yang lain, apabila kita lakukan perkara yang sama, kita
nyahkan semua sifat khusus yang ada pada objek itu, maka apakah yang tinggal pada objek itu? Yang
tinggal menurut Aristotle adalah substance, yang tidak mempunyai kualiti-kualiti khusus. Di situ

1
apakah yang dimaksudkan dengan substance, substance dianggap oleh Aristotle sebagai a composite
of matter and form (dalam Bahasa Inggerisnya), iaitu gabungan dari jisim dan rupa bentuk sesuatu
objek itu. Jadi, ini mengkaji benda-benda fizikal pada tahap yang begitu abstrak dan umum. Begitu
juga dengan persoalan-persoalan lain, misalnya kita ada fenomena yang khusus seperti api membakar
kertas umpamanya ataupun suatu tendangan kepada bola yang membolehkannya menerjah masuk
gol misalnya. Ada konsep sebab dan akibat yang dikaitkan di situ. Contoh lain, kalau kita lihat api maka
kita kaitkannya dengan asap, jadi ada kaitan sebab dan akibat di antara api dan asap. Tetapi kalau
dalam metafizik, kita tidak melihatnya secara khusus, kita tidak melihat sifat-sifat yang khusus pada
setiap fenomena itu, tetapi kita bertanyakan soalan yang lebih abstrak, iaitu apakah sebab di dalam
sesuatu fenomena itu dan apakah akibat yg terjadi hasil daripada tindakan sebab itu. Maka di situ yang
dikaji ialah hubungan sebab dan akibat secara umum, bukannya merujuk kepada mana-mana
fenomena khusus. Jadi, apabila kita melihat fenomena sebab dan akibat ataupun cause and effect
secara umum, maka kita telah melihat alam fizik ini secara metafizik. Jadi itulah yang dimaksudkan
dengan metafizik dalam konteks falsafah, baik itulah pengertian yang pertama.

Bagaimana pula dengan maksud metafizik dalam pengertian yang kedua? Di dalam pengertian yang
kedua ini, ia merujuk kepada fenomena di luar alam nyata, dan ini adalah satu makna metafizik yang
biasa difahami oleh orang awam. Iaitu sesuatu mengenai alam di luar fenomena biasa, di luar alam
jasad yang kita kenali. Jadi misalnya kalau kita merujuk kepada idea seperti hidup selepas mati, hidup
di alam barzakh, konsep syurga dan neraka. Semua ini adalah perkara-perkara yang tidak boleh kita
tentukan samada ia wujud atau tidak. Kita juga tidak dapat mengesahkan melalui cara-cara kita yang
biasa iaitu menggunakan deria kita, ataupun melihatnya dari sudut ruang dan waktu dan sebagainya,
dan tidak mungkin kita dapat mengenali fenomena itu dengan cara-cara biasa yang kita gunakan untuk
mengenali alam jasad ini dalam ruang yang berada dalam ruang dan waktu. Jadi apabila kita
mengatakan bahawa ada ilmu mengenai perkara-perkara tersebut, yg mungkin boleh diketahui bukan
dengan secara rasional atau empirikal, tetapi mungkin dengan cara lain, seperti wahyu dan
sebagainya. Maka kita telah memasuki suatu alam yang berlainan iaitu alam metafizik yang mana ilmu
mengenai metafizik itu tidak lagi dapat dikenali dengan cara biasa. Jadi apabila ilmu-ilmu mengenai
perkara yang ghaib umpamanya, ataupun dunia selepas mati, ataupun sesuatu yang tidak boleh kita
lihat akan kewujudannya, seperti misalnya kewujudan Tuhan, maka di situ kita telah memasuki satu
lagi ruang yang berbeza dari alam biasa ini, dan apabila kita mengkaji tentang perkara seperti itu maka
kita telah menggunakan perkataan metafizik itu dalam pengertian yang berbeza dari yang pertama
tadi, iaitu ini adalah pengertian kedua yang merujuk kepada suatu realiti alam ghaib yang tidak boleh
kita tentukan melalui pancaindera kita yang biasa. Jadi itu adalah dua pengertian metafizik yang umum
yang biasa digunakan.

NURFA FAILASUF: Dalam kajian metafizik ini terdapat dua teori atau pandangan yang berbeza, iaitu
pandangan yang pertama ialah teori Materialisme dan yang kedua ialah teori Idealisme. Prof., apa
yang Nurfa faham, teori Materialisme ini merujuk kepada jirim atau jasad dan menolak kerohanian,
manakala kalau kita tengok teori Idealisme ini lebih kepada kerohanian dan juga idea. Boleh tak Prof.
terangkan dengan lebih lanjut satu persatu tentang teori-teori ini.

PROF. HAZIM SHAH: Baik, jadi dua fahaman yang Nurfa sebutkan tadi iaitu yang pertamanya
Materialisme dan keduanya Idealisme. Kedua-dua ini adalah dua teori yang berlainan malahan
berbeza mengenai kewujudan. Apakah yang wujud di dalam alam ini? Jadi ini adalah dua teori yang
cuba memberi jawapan kepada persoalan tersebut. Yang kita tahu dalam metafizik, salah satu perkara

2
asas ataupun dasar yang cuba dirungkaikan dalam kajian metafizik adalah apakah sifat kewujudan itu
sendiri dan apakah benda-benda yang wujud di dalam alam ini. Memang kita tahu bahawa apa yang
kita lihat di sekeliling kita itu wujud misalnya kita melihat kerusi, meja, gunung-ganang, sungai, air,
dan sebagainya sebagai perkara-perkara yang wujud. Tetapi ahli metafizik tidak berminat tentang
kewujudan dalam bentuk itu, kerana itu adalah kewujudan dalam bentuk-bentuk yang khusus. Seperti
yang saya katakan terdahulu, metafizik adalah kajian mengenai alam ini di peringkat yang paling
abstrak ataupun paling umum, jadi semua yang saya sebutkan tadi boleh diklasifikasikan samada
sebagai sesuatu yang bersifat material atau fizikal ataupun bukan material atau bukan fizikal. Jadi ini
adalah dua cara bagi kita mengkategorikan atapun mengklasifikasikan jenis-jenis kewujudan atau
perkara-perkara yang wujud di dalam alam ini dan kewujudan itu dianggap sebagai real, iaitu
kewujudan secara hakiki. Baik, jadi untuk merungkaikan atau menjelaskan apa yang dimaksudkan
dengan kewujudan yang hakiki itu, maka dua teori ini dikemukakan. Yg pertama iaitu fahaman
Materialisme, ia mengatakan bahawa hanya jasad atau jirim itu yang wujud secara hakiki, maksudnya
semua benda yang saya sebutkan tadi, misalnya kerusi, meja, gunung-ganang, sungai, air, dan
sebagainya, itu semua adalah perkara-perkara yang bersifat jasad ataupun material dan dengan itu
tidak ada persoalan tentang kewujudannya secara hakiki. Itu diterima, benda-benda itu wujud, tetapi
bagaimana pula kewujudan benda-benda yang bukan material ataupun tidak bersifat material,
contohnya seperti apa? Contohnya seperti idea-idea yang ada di dalam minda ataupun kepala kita,
ianya tidak bersifat fizikal, tetapi kita tahu bahawa ia wujud, kerana kalau kita menafikan kewujudan
idea, bermakna bahawa kita menafikan apa yang kita fikirkan ataupun apa yang kita bincangkan
berasaskan kepada idea yang kita punyai. Tetapi idea tidak bersifat jirim ataupun jasad atau pun fizikal.
Jadi bagaimana untuk menginterpretasi ataupun memahami akan kewujudan idea apabila kewujudan
perkara-perkara lain yang diterima dalam agama, misalnya kewujudan jin, malaikat yang juga bukan
bersifat material? Jadi pihak materialis perlu menjelaskan apakah kewujudan yang sebenarnya,
apakah sifat kewujudan yang hakiki, jika kita menerima juga akan kewujudan perkara-perkara yang
bukan material.

Baik, jadi, bagi pihak materialis, mereka menjawab persoalan ini dengan mengatakan bahawa idea
misalnya tidak mempunyai realiti yang tersendiri tetapi bergantung kepada sesuatu yang bersifat
jasad iaitu otak kita yang dikaitkan dengan pemikiran kita yang dikatakan didasari oleh otak yang
bersifat fizikal.

Jadi bagi pihak materialis, mereka mengatakan bahawa minda itu adalah hasil daripada pergerakan
fizikal di dalam otak kita, dan dengan cara itu mereka cuba menjelaskan fenomena yang bukan bersifat
material seperti minda kepada sesautu yang bersifat material seperti otak dan otak yang berfungsi.
Jadi mereka menolak kewujudan sesuatu yang bukan material, jika idea mereka cuba jelaskan melalui
otak dan fungsi otak itu, cara otak itu berfungsi, mekanismenya, dan sebagainya. Mengenai perkara-
perkara yang bukan bersifat idea pula, seperti misalnya kepercayaan terhadap alam ghaib, roh dan
sebagainya, mereka mengambil jalan yang mudah dengan mengatakan bahawa perkara-perkara
tersebut sebenarnya tidak wujud tetapi hanya wujud dalam imaginasi kita, jadi pihak materialis
menafikan perkara-perkara yang berkaitan dengan kerohanian dan sebagainya dan ini ada implikasi
terhadap penerimaan kefahaman agama.

Baik, teori yang kedua dalam metafizik, ataupun khususnya Ontologi, mengatakan bahawa realiti itu
bukan bersifat material, tetapi bersifat mental ataupun bersifat idea ataupun bersifat kerohanian. Jadi
ini merupakan teori yang bertentangan dan sebaliknya daripada apa yang dinyatakan oleh pihak
materialis. Salah seorang pelopor fahaman Idealisme dalam kalangan ahli-ahli falsafah barat ialah
George Berkeley, mengatakan bahawa kalau kita fikirkan dengan mendalam apakah yang kita ketahui
tentang alam ini, maka kita lihat bahawa kita tidak mengenali jasad yang berada di luar sana secara

3
langsung, tetapi kita hanya mempunyai sensasi ataupun imej akan jasad tersebut di dalam minda kita.
Jadi realitinya bukannya objek fizikal yang berada di luar sana, kerana itu tidak mungkin kita tanggapi
secara langsung, tetapi yang kita tanggapi secara langsung ialah sensasi yang dikaitkan dengan objek-
objek itu, sensasi/image itu adalah bersifat mental, bukannya fizikal, jadi di situ Berkeley cuba
mempertahankan suatu fahaman idea yang mengatakan hanya alam minda itu yang wujud dan alam
fizikal itu tidak dapat kita kenali secara langsung, seperti mana Kant juga mengatakan bahawa
noumena itu tidak dapat kita kenali secara langsung. Jadi realiti bukannya berada di luar sana tetapi
berada di dalam diri kita sendiri, di dalam minda yang memahami akan realiti luaran itu.

Dan fahaman sebegini sebenarnya boleh membuka ruang kepada kepercayaan terhadap kerohanian,
kerana apa, kerana ia menganggap bahawa realiti itu bukan bersifat fizikal, sebaliknya bersifat bukan
fizikal ataupun bukan bersifat jasad, dan dengan itu, konsep-konsep seperti roh, umpamanya yang
terdapat dalam fahaman agama boleh diterima kerana roh juga bukan bersifat jasad tetapi adalah
sesuatu yang kita fahami melalui minda kita dan kita kaitkan dengan sesautu yang kita katakan bersifat
kerohanian ataupun spiritual yang tidak mempunyai sifat material ataupun jasadnya.

NURFA FAILASUF: Prof., dari dulu lagi kita belajar pasal falsafah, iaitu kita perlu ada suatu argument,
harini kan, Nurfa ingat Nurfa nak buat satu argument-lah, boleh tak Prof. evaluate argument ini iaitu
tentang konsep Materialisme, materialisme ni apa yang Nurfa faham, sesuatu yang kita boleh lihat,
contohnya kereta, kerusi, katil. Manakala idealisme ini sesuatu yang kita tidak boleh lihat, iaitu bersifat
idea dan kerohanian, Nurfa nak tanya lah, macam angin dan oksigen, perkara ini kita tidak boleh lihat
kan, bolehkah ia dikategorikan kepada idealisme?

PROF. HAZIM SHAH: Baik Nurfa, itu satu soalan yang baik, bagus, good question. Cuma untuk memberi
jawapannya bukan mudah. Jadi apa yang Nurfa katakan, itu memang betul bahawa pada pandangan
umum apa yang dimaksudkan dengan materialisme itu ialah bahawa kewujudan itu hakikatnya ialah
bersifat jasad ataupun material dan biasanya sesuatu yang bersifat jasad atau material itu dapat
dilihat dengan mata kasar dan sebagainya, tetapi bagaimana pula dengan dua contoh yang
dikemukakan oleh Nurfa tadi iaitu angin dan oksigen yang mana kedua-duanya tidak boleh dilihat
dengan mata kasar kita tetapi kita terima sebagai wujud iaitu hakikat wujudannya kita terima dan
tidak dinafikan, jika begitu, adakah kita mahu mengatakan bahawa oleh kerana ia wujud dan ia tidak
kelihatan, maka ianya tergolong di bawah konsep Idealisme dan bukannya Materialisme? Dan jika kita
katakan sedemikian maka ia tidak lagi dianggap sebagai bersifat jasad tetapi kalau kita fikirkan konsep
oksigen misalnya, ini adalah sesuatu yang sudah diterima oleh ahli-ahli sains sebagai wujud dan ia
dikaji di dalam bidang kimia umpamanya, dan oksigen itu sifat-sifatnya atau properties-nya sudah
dikenali dan dikenalpasti oleh ahli-ahli sains dan interaksinya juga dengan unsur-unsur atau elemen-
elemen lain juga sudah diketahui misalnya oksigen dikatakan bergabung dengan hidrogen untuk
menjadikan air, jadi air itu juga mengandungi oksigen walaupun kita tidak dapat melihat oksigen tetapi
kita dapat melihat air. Jadi di sini kefahaman untuk menjelaskan perkara ini dikaitkan juga dengan
sesuatu yang dapat kita kesan dengan pancaindera kita, itu menjadi kriteria bagi ahli-ahli sains,
misalnya untuk mengatakan bahawa sesuatu itu bersifat fizikal . jadi walaupun oksigen itu tidak dapat
dilihat dengan mata kasar kita, tetapi oleh kerana ia melahirkan kesan-kesan yang tertentu apabila
interaksi-interaksi kimia berlaku yang melibatkan oksigen, maka dari situ ahli-ahli sains menyimpulkan
bahawa ianya masih bersifat jasad kerana kita dapat mengesan kesannya melalui eksperimen-
eksperimen. Misalnya oksigen kalau dikeluarkan daripada udara maka api tidak akan membakar.Hal
ini disebabkan kerana api memerlukan oksigen dan banyak lagi operasi-operasi yang bersifat fizikal

4
yang boleh dilakukan ke atas oksigen yang melahirkan kesan-kesan tertentu dan kesan-kesan ini dapat
diramalkan dengan pasti oleh ahli-ahli sains. Jadi jika sesuatu idea yang abstrak itu dapat digunakan
untuk menghasilkan sesuatu yang praktikal dan kelihatan seperti konsep oksigen dalam kimia maka
ahli sains tidak mempunyai masalah untuk menerimanya sebagai bersifat jasad ataupun fizikal. Begitu
juga dengan idea kita mengenai angin, kita tidak dapat melihat angin, tetapi kita dapat melihat
ataupun rasakan kesan angin. Selain itu, kita dapat melihat bagaimana kalau ada ribut angin ataupun
ribut taufan di mana terdapat tiupan angin yang begitu kuat dan kita dapat menjangkakan kesannya
begitu jelas sekali, misalnya pokok-pokok boleh tumbang, atap-atap boleh tercabut, dan sebagainya.
Jadi walaupun angin itu tidak kelihatan namun oleh kerana kesannya yang begitu nyata maka kita
terimanya sebagai wujud, dan di dalam pandangan sains misalnya, sesuatu itu tidak mungkin boleh
mendatangkan kesan kepada sesuatu yang bersifat jasad jika ia juga bukan jasad. Jadi kalau angin itu
menimbulkan kesan ke atas pokok ataupun bumbung maka ianya juga mestilah bersifat jasad, dan
tidak mungkin idea misalnya boleh membuatkan bumbung itu tercabut, mestilah sesuatu yang bersifat
jasad juga yang bertindak ke atas sesuatu yang lain yang bersifat jasad. Jadi bagaimana ahli sains
menjelaskan tentang fenomena angin, dimana ia mempunyai konsep molekul gas, iaitu gas itu kita
tahu wujud, tetapi tidak dapat dilihat dan gas ini terdiri daripada molekul-molekul dan zarah-zarah
kecil yang mempunyai kesan seperti boleh mendatangkan tekanan atau pressure, dan boleh mengisi
ruang kerana gas ini mempunyai volume dan sebagainya. Dan ini adalah semuanya karakteristik yang
boleh kita katakan bersifat fizikal, jadi samada sesuatu itu boleh dilihat atau tidak dengan mata kasar
bukannya menjadi kayu ukur untuk mengatakan samada sesuatu itu bersifat fizikal atau tidak.

NURFA FAILASUF: Di dalam kajian Metafizik ini, kita berhadapan dengan kewujudan, jadi Nurfa rasa
amat tertarik bila Prof. huraikan tentang bagaimana kajian Metafizik ini boleh mempengaruhi agama,
boleh tak Prof. huraikan lagi dengan lebih lanjut tentang apa kaitan metafizik ini dengan keagamaan?

PROF. HAZIM SHAH: Baik, jadi, di sini apakah kaitan di antara metafizik dan keagamaan, ini adalah
soalan yang Nurfa kemukakan kepada saya tadi. Jadi seperti saya katakan, bahawa Metafizik itu adalah
suatu kajian mengenai hakikat kewujudan, apakah yang sebenarnya wujud dan di dalam hal ini ada
dua teori pandangan utama, satu yang bersandarkan fahaman Materialisme, yang mengatakan
bahawa yang ‘wujud’ itu hanyalah yang bersifat jasad, dan fahaman yang kedua ialah Idealisme iaitu
fahaman yang mengatakan bahawa ‘kewujudan’ yang hakiki sebenarnya bukan bersifat jasad tetapi
bersifat idea ataupun kerohanian.

Apa kaitannya dengan agama di sini? Kaitannya begini, iaitu di dalam fahaman agama, dikatakan
bahawa realiti itu tidak hanya terhad kepada yang bersifat jasad yang boleh diketahui melalui kaedah
rasionalis dan empirisis seumpamanya. Tetapi realiti itu juga boleh terdiri daripada sesuatu yang
bukan bersifat jasad, misalnya ia bersifat kerohanian, misalnya roh, yang ada pada tubuh badan kita,
ataupun kewujudan entity-entiti seperti yang dinyatakan di dalam agama, contohnya kewujudan
malaikat dan juga kewujudan benda-benda ghaib seperti jin dan sebagainya. Itu diterima dalam
agama, tetapi bukan bersifat jasad, dan dengan itu apa yang boleh dikaitkan di sini adalah bahawa
dari segi keagamaan, realiti itu tidak dihadkan hanya kepada yang bersifat material ataupun yang
bukan bersifat material ataupun yang bersifat idea kerohanian semata-mata, tetapi merangkumi
kedua-duanya. Jadi realiti bagi pandagan agama melibatkan jasad dan juga kerohanian. Dan di sini
jelas ia berbeza dengan pandangan materialis yang menolak akan realiti kerohanian ataupun realiti
yang bersifat mental.

5
NURFA FAILASUF: Prof., boleh tak Prof. terangkan tentang sistem-sistem Metafizik yang berkait
dengan keagamaan?

PROF. HAZIM SHAH: Baik, jadi soalannya adalah apakah sistem-sistem Metafizik yang berkaitan
dengan fahaman keagamaan.

Kerana di sini kita melibatkan perkara-perkara yang asas iaitu tentang kepercayaan tentang apa yang
benar-benar wujud dalam agama ini. Dan di sini ada beberapa fahaman keagamaan yang dikaitkan
dengan metafizik yang akan saya huraikan.

Yang pertama Ateisme, yang kedua Agnostisisme, yang ketiga Teisme, yang keempat Monoteisme dan
yang kelima Politeisme.

Baik, fahaman yang pertama, iaitu Ateisme, Ateisme ini merujuk kepada fahaman yang mengatakan
bahawa Tuhan itu tidak wujud, jadi di sini ia menyatakan tentang sesuatu yang biasa kita dengar atau
fahami iaitu konsep ketuhanan dan selalu dibahaskan dalam kalangan sarjana-sarjana Barat
khususnya tentang samada Tuhan itu wujud atau tidak. Jadi di dalam fahaman Ateisme, mereka
mengambil pendirian bahawa Tuhan itu tidak wujud, dengan itu bermakna bahawa realiti alam ini
hanya terhad kapada kewujudan benda-benda yang nyata seperti manusia, alam sekitar, objek-objek
fizikal dan mungkin juga idea, tetapi Tuhan sebagai sesuatu yang berlainan daripada semua itu, iaitu
tidak wujud pada pandangan mereka. Itu yang pertama, itu fahaman Ateisme.

Fahaman yang kedua pula yang dikaitkan dengan kepercayaan keagamaan yang bersifat metafizik ini,
ialah fahaman Agnostisisme atau di dalam Bahasa Inggerisnya Agnosticism dan fahaman ini
mengatakan bahawa samada Tuhan itu wujud atau tidak, itu tidak boleh kita ketahui, kerana
pemahaman kita sebagai manusia adalah terhad dan juga kebolehan kita untuk mengenali alam ini
juga terhad melalui deria kita dan juga melalui pemikiran kita, semua ini merupakan limitation
ataupun kekangan-kekangan terhadap kebolehan kita untuk mengetahui realiti yang wujud. Jadi
dengan itu mereka yang mengambil pendirian fahaman Agnostisisme ini berbeza daripada golongan
Ateis yang menafikan tentang kewujudan Tuhan. Mereka tidak menafikan, cuma mereka mengatakan
bahawa manusia tidak mempunyai kemampuan untuk mengetahui samada Tuhan itu wujud atau
tidak. Jadi persoalan kewujudan Tuhan itu diketepikan ataupun di-KIV (Keep In View) dan tidak
dijawab secara langsung berbeza dengan golongan Ateis yang memberikan satu jawapan yang positif
dalam erti kata mereka yakin bahawa Tuhan itu tidak wujud. Bagi Agnostisisme mereka tidak
mempunyai keyakinan tersebut, cuma mereka katakan kita tidak boleh mengetahui dengan pasti
apakah jawapan yang sebenar.

Baik, yang ketiga sistem Metafizik ataupun fahaman keagamaan yang berkaitan dengan ketuhanan
yang ketiga ialah fahaman Teisme, iaitu fahaman yang mengatakan bahawa Tuhan itu wujud,
maknanya mereka mempercayai akan kewujudan Tuhan walaupun kewujudannya mungkin tidak
dapat dikesan melalui cara-cara biasa , melalui pancaindera kita yang lima, melalui akal kita yang
rasional dan sebagainya, namun demikian mereka tidak menafikan bahawa Tuhan itu wujud dan
adalah sebahagian daripada hakikat realiti agama ini .

Dan pandagan seterusnya ialah fahaman Monoteisme, yang sebenarnya adalah penjurusan kepada
fahaman Teisme iaitu fahaman Teisme itu mengatakan Tuhan wujud tetapi tidak diberi perincian
tentang kewujudan Tuhan, jadi Monoteisme dan juga kemudian Politeisme merupakan perincian
tersebut. Di dalam fahaman Monoteisme dikatakan bahawa Tuhan itu hanyalah satu jadi Dia wujud

6
tetapi kewujudannya hanyalah satu, hanya satu Tuhan yang wujud. Dan mereka menekankan akan
keesaan Tuhan. The unity of god, existence, ini fahaman Tauhid di dalam Islam misalnya. Dan selain
daripada fahaman Monoteisme, terdapat fahaman Politeisme yang mengatakan bahawa Tuhan itu
wujud tetapi kewujudan Tuhan itu adalah lebih daripada satu. Maknanya ada lebih daripada satu
Tuhan, dan ini mungkin dipercayai oleh sesetengah agama yang mengatakan bahawa Tuhan itu adalah
lebih daripada satu. Namun demikian mereka tidak menafikan akan kewujudan Tuhan.

Jadi itu antara sistem-sistem Metafizik berkaitan dengan keagamaan yang boleh saya huraikan di sini.

NURFA FAILASUF: Walaupun konsep Metafizik ini mempunyai suatu konsep yang agak luas, tetapi
konsep Metafizik ini amat menarik bila kita lihat bagaimana ia dapat dikaitkan dengan keagamaan
seperti yang Prof. cakap tadi. Jadi terima kasih Prof. kerana dapat menerangkan tentang konsep
Metafizik dan juga keagamaan. Ini sangat menarik dan kita dapat faham bagaimana metafizik itu dapat
dikaitkan dengan keagamaan.

You might also like