You are on page 1of 2

BAGAIMANA BAHASA MENYATUPADUKAN RAKYAT

Selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan, bahasa Melayu diajarkan sebagai mata
pelajaran wajib dan telah dijadikan bahasa pengantar utama bagi semua peringkat
prasekolah dan pengajian. Pendidikan Bahasa Melayu Sekolah Menengah adalah
memenuhi hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah untuk melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis daripada aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani.

Penggunaan bahasa Melayu yang semakin meluas sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi negara menekankan penguasaan dan penggunaan bahasa
Melayu yang lebih bermutu. Pelajar-pelajar bukan sahaja perlu menguasai kecekapan
berbahasa dan ketepatan berkomunikasi, tetapi juga perlu memahami sistem bahasa
Melayu yang mampu mengungkapkan segala bidang ilmu dan kegiatan harian selaras
dengan fungsinya sebagai bahasa perpaduan rakyat, perhubungan utama, dan bahasa ilmu
pengetahuan yang mencerminkan akal budi rakyat.
 
Pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah yang meliputi Tingkatan 1 hingga 5 akan
terus meningkatkan penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis di
kalangan pelajar remaja dan memupuk kepekaan terhadap variasi bahasa di dalam pelbagai
situasi, sistem bahasa dan gaya bahasa yang indah. Pendidikan Bahasa Melayu sekolah
menengah juga menanam kesedaran terhadap unsur dan nilai kemanusiaan secara
menyeluruh melalui pembacaan bahan ilmu dan hasil kesusasteraan. Pemupukan semangat
kewarganegaraan dan nilai murni masyarakat Malaysia diberi penekanan di dalam
pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah agar pelajar-pelajar membina semangat rasa
bangga dan cinta akan tanah air di dalam satu wawasan budaya yang dihasratkan.

Di samping itu juga, bahasa Melayu memainkan peranan penting bukan sahaja di dalam
memenuhi keperluan manusia tetapi juga untuk meningkatkan perpaduan antara kaum.
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa perpaduan kaum begitu signifikan untuk
menyumbang ke arah sebuah negara maju mengikut acuan sendiri. Selain itu juga,
pendidikan sebagai alat yang digunakan untuk perpaduan antara kaum jelas dinyatakan di
dalam Penyata Razak 1956. Oleh itu, apabila pendidikan dianggap sebagai alat secara
automatiknya, bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa perpaduan boleh mengambil
bahagian di dalam isu menyatupadukan rakyat kerana bahasa Melayu itu digunakan
sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar di pelbagai bidang.

Aspek penting untuk menyatupadukan rakyat mengikut fungsi bahasa Melayu sebagai
bahasa perpaduan adalah melalui pendidikan. Sesungguhnya pendidikan hari ini telah
memainkan peranan penting di dalam merealisasikan aspirasi negara di dalam mewujudkan
perpaduan kaum. Pendidikan hari ini telah membuktikan bahawa negara berjaya
mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan
negara. Perpaduan rakyat atau pembentukan satu negara bangsa dapat dicapai melalui
sistem pendidikan. Oleh itu, perpaduan rakyat dapat dicapai sekiranya guru menerapkan
nilai-nilai murni seperti saling menghormati antara satu sama laintidak mengira bangsa dan
agama. Secara faktanya, sejarah tidak menipu manusia dan sejarah telah membuktikan
betapa golongan cerdik pandai menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara.
Selain itu, penyatupaduan rakyat dapat mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan kerana
sistem persekolahan yang berbeza-beza mempunyai haluan masing-masing dan tidak dapat
melahirkan satu identiti bangsa. Atas rasa kesedaran kebangsaan menerusi pendidikan
sebagai alat untuk mencapai perpaduan bangsa, maka satu jawatankuasa ditubuhkan untuk
mengkaji sistem pendidikan yang sedia ada. Cadangan itu dikenali sebagai Penyata Razak.
 
Penyata Razak telah diperakui dan diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran pada tahun 1957.
Ordinan ini mewajibkan semua jenis sekolah menggunakan sukatan pelajaran yang sama.
Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah, khusus untuk
membantu perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana yang berkesan untuk komunikasi
pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau bahasa. Selain itu, bahasa
Melayu juga dapat membantu pembentukan jati diri bangsa Malaysia yang menggunakan
bahasa komunikasi yang mudah difahami. Penyatupaduan rakyat melalui bahasa Melayu
sebagai bahasa perpaduan boleh diwujudkan melalui penerapan nilai-nilai murni; seperti
yang tercatat di dalam matlamat pendidikan kebangsaan, iaitu pembentukan masyarakat
yang bersatu padu.
 
Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan majmuk telah mewujudkan masalah
polarisasi kaum terutamanya di kalangan pelajar. Masalah polarisasi kaum di kalangan
pelajar, jika tidak dibendung akan menimbulkan implikasi yang kurang sihat terhadap
negara. Keteguhan sesebuah negara bergantung kepada perpaduan rakyatnya. Pemisahan
kaum antara pelajar-pelajar boleh menimbulkan permusuhan dan pergaduhan. Para pelajar
tentu sukar bekerjasama untuk mencapai kecemerlangan di dalam pelajaran mereka, jika
setiap kaum mengutamakan bangsa sendiri. Hal ini akan menimbulkan pula prasangka dan
salah faham yang pasti merenggangkan hubungan pelajar. Antara faktor yang menimbulkan
situasi tersebut ialah perbezaan kebudayaan dan corak hidup, di samping mengamalkan
dan menganuti kepercayaan yang berbeza dan bertutur dalam bahasa ibunda yang
berlainan.
 
Sesungguhnya gejala tidak sihat ini perlu dihapuskan demi perpaduan dan masa depan
negara. Para pelajar perlu digalakkan berinteraksi dengan rakan-rakan yang berlain bangsa
dan kaum. Benih-benih perpaduan perlu disemai di dalam jiwa pelajar semasa berada di
bangku sekolah. Selain daripada itu, penyatupaduan rakyat di negara ini dapat dilaksanakan
melalui aktiviti kelab dan persatuan Bahasa Melayu di mana pelajar atau orangramai dapat
berinteraksi di antara satu sama lain di dalam komuniti tersebut. Mereka juga dapat
berpeluang memupuk nilai-nilai murni seperti kerjasama dan semangat kekitaan. Aktiviti
seperti minggu bahasa kebangsaan, majlis deklamasi sajak, berbalas pantun, syarahan dan
pidato antara kaum dan antara pelajar boleh meningkatkan perpaduan sesama mereka.
Semua aktiviti ini harus melibatkan semua kaum yang ada di negara ini.

You might also like