You are on page 1of 9

MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA

NO. KES: 2/4-2973/21

ANTARA

MOHD SALLEH BIN RAZAK

DAN

INTA BINA SDN BHD

NO. AWARD : 375 TAHUN 2023

DI HADAPAN : Y.A. TUAN MOHD ZULBAHRIN BIN ZAINUDDIN


PENGERUSI

TEMPAT : Mahkamah Perusahaan Malaysia, Kuala Lumpur

TARIKH RUJUKAN : 19.11.2021.

TARIKH SEBUTAN : 06.01.2022; 28.02.2022; 31.03.2022; 14.04.2022;


30.05.2022; 14.06.2022; 15.08.2022; 29.08.2022;
30.11.2022.

TARIKH BICARA : 12.09.2022.

PERWAKILAN : Yang Menuntut – Hadir Sendiri

Encik Khong Zhi Jian bersama Cik Esther Leong


Kar Hong
Dari Tetuan Tan & Khong Chambers
(Peguam Pihak Syarikat)

1
AWARD

RUJUKAN

[1] Prosiding di hadapan Mahkamah ini adalah lanjutan daripada rujukan yang

dibuat oleh Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan Malaysia di bawah Seksyen

20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967, berhubung dengan pembuangan kerja

Mohd Salleh Bin Razak (“Yang Menuntut”) oleh Inta Bina Sdn Bhd (“pihak Syarikat”)

pada 06.05.2021.

[2] Kes ini telah selesai dibicarakan pada 12.09.2022. Oleh kerana penamatan

perkhidmatan Yang Menuntut telah dilakukan oleh pihak Syarikat, maka beban

pembuktian bahawa ianya dilakukan atas sebab atau alasan yang adil adalah terletak

di atas pihak Syarikat. Justeru perbicaraan dimulakan oleh pihak Syarikat dengan

pemanggilan seramai tujuh (7) orang saksi iaitu:

(a) Low Mei Kew (Administration Manager – COW1);


(b) Ruudi Bin Rasid (Pemandu Peribadi – COW2);
(c) Jianto Bin Hj Saipul (Pekerja Pihak Syarikat – COW3);
(d) Kua Ka Cun (Head of Department for Purchasing – COW4);
(e) Uma Devi Balakhrishnan (Purchasing Assistant – COW5);
(f) Ee Sun Wei (Site Manager – COW6); dan
(g) Cheng Lay Ngo (Assistant Human Resource – COW7).

Manakala Yang Menuntut adalah satu-satunya saksi bagi pihak Yang Menuntut.

[3] Bagi tujuan perbicaraan, pihak-pihak telah memfailkan dokumen-dokumen

berikut:

2
a. Kenyataan Kes tanpa tarikh yang diterima oleh Mahkamah pada
30.03.2022 beserta senarai dokumen rujukan (CLB1);
b. Statement in Reply bertarikh 13.05.2022 beserta senarai dokumen (CO-
1 – CO11 [COB1]);
c. Company’s Bundle of Documents (COB2); dan
d. Company’s Written Submission bertarikh 14.11.2022.

Kes Yang Menuntut

[4] Melalui surat perlantikan bertarikh 06.12.2013 (COB2, ms 1-2), Yang

Menuntut telah memulakan perkhidmatan beliau dengan pihak Syarikat sebagai

seorang pemandu lori pada 09.12.2013.

[5] Melalui surat bertarikh 04.03.2014 (CLB1), pihak Syarikat telah mengesahkan

perlantikan Yang Menuntut berkuatkuasa pada 09.03.2014 dengan pendapatan

bulanan sebanyak RM2,100.00.

[6] Sepanjang perkhidmatan, Yang Menuntut telah diberikan beberapa kali

amaran secara lisan berhubung isu kehadiran ke tempat kerja dan tingkah laku yang

tidak baik. Pada 07.01 2021, satu surat amaran telah dikeluarkan terhadap beliau atas

kesalahan mengeluarkan kata-kata kesat dan berunsur perkauman.

[7] Sebagai kemuncaknya, berpandukan kepada keputusan siasatan dalaman

yang dijalankan pada 05.05.2021 dan 06.05.2021 (COB1, CO4), serta surat

penamatan (COB1, CO9), perkhidmatan Yang Menuntut telah ditamatkan serta merta.

3
Undang-undang Penamatan

[8] Peranan Mahkamah Perusahaan di dalam menangani kes-kes pembuangan

kerja di dalam rujukan yang dibuat di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan

Perusahaan 1967 antara lain adalah untuk memastikan sama ada proses

pembuangan tersebut dilakukan atas sebab atau alasan yang adil. Y.A. Salleh Abbas,

K.H.N. menjelaskan perkara ini di dalam kes Wong Chee Hong v. Cathay

Organisation (M) Sdn. Bhd [1988] 1 CLJ 45; [1988] 1 CLJ (Rep) 298;

“When the Industrial Court is dealing with a reference under section 20, the first
thing that the Court will have to do is to ask itself a question whether there was
a dismissal, and if so, whether it was with or without just cause or excuse.”

[9] Mahkamah Persekutuan pula di dalam kes Milan Auto Sdn. Bhd. v. Wong

She Yen [1995] 4 CLJ 449 menyatakan:

“…the function of the Industrial Court in dismissal cases on reference under s.20
is two fold, firstly, to determine whether the misconduct complained of by the
employer has been established and secondly whether the proven misconduct
constitutes just cause or excuse for the dismissal.”

[10] Pendekatan yang diguna oleh Mahkamah Perusahaan di dalam mengumpul

dan menilai setiap keterangan yang diberikan di dalam membuat sesuatu keputusan

pula telah dibincangkan di dalam kes Telekom Malaysia Kawasan Utara v. Krishnan

Kutty Sanguni Nair & Anor [2002] 1 MLRA 188:

“The Industrial Court should not be burdened with the technicalities regarding
the standard of proof, the rules of evidence and procedures that are applied in
the court of law. The Industrial Court should be allowed to discharge its
functions as it was intended to by statute and to conduct its proceeding as a ‘court
of arbitration’. It should be more flexible in arriving at its decision, so long as it

4
gives special regard to substantial merits and decide a case in accordance with
equity and good conscience.”

[11] Di dalam “Industrial Relations in Malaysia: Law & Practice”, penulis Dr.

Dunstan Ayadurai menyatakan:

“A workman can seek remedy under s.20 only if he had been dismissed. In the
instant case there is no dispute that the claimant had been dismissed by
SOSCO/company. The only issue for this court to determine is whether the
dismissal had been for just cause and excuse, the onus of proving the existence
of the same being cast upon the employer. This onus or the burden of proof on
the company is based on a standard of a balance of probabilities (see Telekom
Malaysia Kawasan Utara v. Krishnan Kutty Sanguni Nair & Anor [2002] 3 CLJ
314).”

Keterangan Saksi, Rujukan Dokumen dan Dapatan Mahkamah

[12] Siasatan Dalaman yang dijalankan pada 05.05.2021 dan 06.05.2021 telah

menemui beberapa kesalahan yang telah dilakukan oleh Yang Menuntut sebagai

seorang pekerja. Ianya meliputi penyalahgunaan kenderaan syarikat iaitu motorlori

BLB 3193 yang secara khusus untuk digunakan bagi tujuan penghantran barangan

pihak syarikat ke tempat-tempat yang telah diselaraskan serta pengabaian waktu

bekerja dengan melakukan urusan peribadi. Semua perjalanan harian Yang Menuntut

yang menggunakan motorlori tersebut dapat dikesan oleh pihak Syarikat kerana ianya

telah dipasang dengan GPS Device dan melalui penyenaraian Yang Menuntut di

dalam WhatsApp Group, Inta Bina Transport, semua arahan majikan dapat disalurkan

kepada Yang Menuntut sewaktu menjalankan tugas hariannya. Tindakan Yang

Menuntut, yang mengakui ada ke tempat-tempat tertentu yang bukan dalam

lingkungan aktiviti pekerjaan harian, seperti melalui jalan-jalan selain yang telah

5
ditetapkan dan melakukan aktiviti peribadi di dalam waktu bekerja menunjukan

bahawa beliau telah menyalahgunakan kenderaan serta tidak mematuhi jadual

bekerja.

[13] Selain daripada kandungan Siasatan Dalaman, perenggan 2 Kenyataan Kes

Yang Menuntut telah menjurus kepada pengakuan bahawa beliau ada terlibat di

dalam aktiviti menjual barang-barang lupus milik Syarikat. Kewujudan warga

Bangladesh yang dikatakan telah meminta beliau menjual barangan tersebut tidak

dibuktikan sewaktu perbicaraan. Di dalam keadaan sebegini Mahkamah tidak dapat

menolak kebarangkalian bahawa kegiatan mengambil barang-barang milik Syarikat

serta menjualnya di tempat yang telah dapat dikesan oleh pihak Syarikat adalah

semuanya tindakan Yang Menuntut sendiri tanpa penglibatan orang lain.

[14] Seperti yang telah digariskan, adalah suatu perlanggaran polisi pihak Syarikat

untuk mengambil waste materials yang terdapat di mana-mana kawasan milik Syarikat

tanpa kebenaran untuk tujuan dijual bagi mendapatkan hasil.

[15] Keterangan yang ada juga menunjukan bahawa Yang Menuntut adalah

seorang yang tidak berperwatakan baik khususnya sesama pekerja. Buktinya dapat

dilihat melalui keterangan COW2 yang tidak dicabar. Kegagalan menghormati tugas-

tugas yang dilakukan oleh rakan setugas bererti tidak mematuhi dan menghormati

arahan majikan kerana apa yang dilakukan oleh COW2 di dalam memantau tugas

harian Yang Menuntut adalah arahan pihak Syarikat.

6
[16] Pengeluaran surat amaran bertarikh 07.01.2021 (COB1, CO-6) pada

pandangan Mahkamah ini mempunyai kaitan dengan apa yang diterangkan oleh

COW2 di dalam keterangannya. Tidak ada sebab mengapa pihak Syarikat akan

mengeluarkan surat ini jika kesalahan itu tidak sebenarnya telah dilakukan.

[17] Rujukan juga dibuat kepada senarai kehadiran di CO-6, COB1. Keterangan

yang tidak dibantah dan dicabar oleh Yang Menuntut menunjukan bahawa beliau

sebenarnya telah gagal mematuhi jadual kehadiran yang ditetapkan oleh pihak

Syarikat. Walaupun tiada surat amaran atau peringatan secara khusus yang

dikeluarkan, namun, melalui teguran-teguran yang telah diberikan menunjukan

bahawa Yang Menuntut sebenarnya telah sedar dan mendapat pemakluman daripada

pihak Syarikat bahawa beliau telah melakukan perlanggaran terhadap peraturan

Syarikat.

Rumusan

[18] Kegagalan Yang Menuntut di dalam tuntutan ini adalah kegagalan beliau

samaada melalui pliding atau soalan balas kepada saksi-saksi pihak Syarikat untuk

menimbulkan suatu keraguan bahawa tindakan penamatan ini telah dilakukan dengan

sebab atau alasan yang tidak adil.

“The company did not cross-examine the claimant on the issue of the ‘handicapped
team’and staff shortage. If the company disagreed with the claimant’s testimony that
his team was ‘handicapped’or that he could hire more staff, it had the right to cross-
examine him on this issue, which it failed to do. Thus the company is deemed to have
admitted the issue in its entirety. The rule as to cross-examination has been perfectly
ancapsulated in Aik Ming (M) Sdn Bhd & Ors. V. Chang Ching Chuen & Ors &
Another Case [1995] 3 CLJ 639:

7
The Law is clear on the subject. Whenever the opponent has declined to avail himself
of the opportunity to put his essential and material case in cross examination, it must
follow that he believed that the testimony given could not be disputed at all…. If he
asks no question with regard to this, then he must be taken to accept the plaintiffs’
account in its entirety….”
Liew Wing Fai @ Lew Wing Fai v Dry Cut Sdn Bhd [2017] 1 ILR 582

“It is settled law that failure to cross-examine a witness on a crucial part of the case
will amount to an acceptance of the witness’s testimony (Wong Swee Chin v. Public
Prosecutor [1980] 1 MLRA 125). Iconic is deemed to have accepted the evidence of
PW2 and PW3 when they failed to cross-examine them on the issue of the preliminary
works.”
Forest Steel Sdn Bhd v Iconic Gateway Sdn Bhd [2020] 5 MLRA 206

[19] Kesalahan-kesalahan yang dilakukan adalah bertentangan dengan polisi

yang sedia ada digunapakai oleh pihak Syrikat khususnya yang terkandung di dalam

Company’s Employee Handbook.

[20] Pihak Syarikat mempunyai mandat dan budibicara di dalam menentukan

kesalahan yang dilakukan yang boleh menjejaskan keharmonian di tempat kerja serta

tindakan yang sewajarnya yang berpandukan kepada peraturan yang sedia ada

[21] Sebagai kesimpulan, setelah mengambil kira semua keterangan dan hujahan

bertulis serta mendekati peruntukan di bawah s.30(5) Akta Perhubungan Perusahaan

1967 untuk bertindak mengikut ekuiti, hati nurani (equity and good conscience) dan

merit tanpa memikirkan kepada perkara-perkara teknikal dan berbentuk undang-

undang, Mahkamah ini memutuskan bahawa pihak Syarikat berjaya membuktikan

bahawa tindakan penamatan perkhidmatan Yang Menuntut telah dilakukan atas

sebab dan alasan yang adil.

8
[22] Dengan itu Mahkamah menolak tuntutan pihak Yang Menuntut.

DIPERTURUNKAN DAN BERTARIKH 21HB FEBRUARI 2023

-t.t-

(MOHD ZULBAHRIN BIN ZAINUDDIN)


PENGERUSI
MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR

You might also like