You are on page 1of 11

Robin Khoo Kah Chong v Logik Pengurusan Sdn Bhd

Award No. 688 of 2015; Industrial Court

Date of Judgment: 02 June 2015 | Source: Industrial Court

MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA


KES NO: 10(18)(25)/4-484/11
ROBIN KHOO KAH CHONG
DAN
LOGIK PENGURUSAN SDN BHD
NO. AWARD : 688 TAHUN 2015

Di hadapan: Y.A DATO' RASIDAH BT HJ CHIK - PENGERUSI


Tempat: MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA, CAWANGAN PERAK
Tarikh rujukan: 30.12.2010
Tarikh sebutan: 18.7.2011, 18.9.2011, 29.9.2011, 15.11.11, 10.8.2012, 16.4.2013 & 12.9.2013
Tarikh Bicara: 15.5.2013, 15.8.2013, 16.8.2013, 11.12.2013 & 12.12.2013
Rujukan:
Ini adalah satu rujukan bertarikh 30 Disember 2010 oleh Y.B. Menteri Sumber Manusia, Malaysia di bawah Seksyen
20(3), Akta Perhubungan Perusahaan 1967, berkaitan dengan pembuangan kerja Encik Robin Khoo Kah
Chong(selepas ini disebut sebagai Pihak Menuntut) oleh Logik Pengurusan Sdn. Bhd. ( selepas ini disebut
sebagai Pihak Responden) pada 7.12.2009. Rujukan ini telah diterima oleh Bahagian Pendaftaran Mahkamah
Perusahaan Malaysia di Kuala Lumpur pada 13 April 2011.
AWARD
Latarbelakang Kes
[1] Pihak-pihak dalam pertikaian ini adalah Encik Robin Khoo Kah Chong dan Logik Pengurusan Sdn. Bhd..
Pertikaian ini telah dirujuk ke Mahkamah ini oleh Y.B. Menteri Sumber Manusia, Malaysia melalui rujukan bertarikh 30
Disember 2010.
[2] Perbicaraan kes ini telah dijalankan sepenuhnya di Mahkamah Perusahaan Malaysia Cawangan Pulau Pinang.
Sebelum award dapat dikeluarkan, saya telah bertukar ke Mahkamah Perusahaan Cawangan Perak, dengan itu fail
ini telah dipindahkan ke cawangan ini untuk kemudahan menyediakan award.
[3] Pihak Menuntut telah memulakan perkhidmatannya dengan Pihak Responden sebagai Pengurus Cawangan pada
7.7.1998 (rujuk rekod perkhidmatan di m.s 1-2 COB-1). Gaji yang diterima oleh beliau ketika itu adalah RM10,000.00
sebulan, selain itu beliau juga menerima elaun perjalanan sebanyak RM1000.00. Gaji terakhir Pihak Menuntut pada
masa penamatan perkhidmatan adalah RM 22,402.00 termasuk elaun perjalanan sebanyak RM 1,100.00.
[4] Pihak Responden, melalui surat bertarikh 2.12.2009 ( m.s 13 COB-1) , telah memutuskan untuk menamatkan
perkhidmatan Pihak Menuntut mulai 3.1.2010. Kandungan surat penamatan tersebut adalah seperti yang
diperturunkan dibawah ini.
(Ruangan Ini Dibiarkan Kosong)

[5] Tidak berpuashati dengan keputusan Pihak Responden menamatkan perkhidmatan beliau, Pihak Menuntut telah
mengemukakan representasi di Jabatan Perhubungan Perusahaan di bawah Seksyen 20 (1), Akta Perhubungan
Perusahaan 1967. Apabila proses rundingan damai gagal mencapai penyelesaian, perkara ini telah dirujuk kepada
Y.B. Menteri dan Y.B. Menteri setelah menimbang rayuan yang dikemukakan oleh Pihak Menuntut telah merujuk
perkara mengenai pembuangan kerja Pihak Menuntut ini ke Mahkamah Perusahaan untuk satu keputusan dibuat
mengenainya.
[6] Pihak Menuntut mendakwa keputusan Pihak Responden untuk menamatkan perkhidmatan beliau telah dibuat
dengan melanggar hak asasi beliau kerana beliau telah tidak diberi peluang pendengaran yang sewajarnya, dengan
itu penamatan kerja beliau adalah tanpa sebab atau alasan yang adil. Pihak Menuntut dengan itu memohon untuk
pengembalian semula ke jawatan asal beliau tanpa kehilangan gaji dan faedah.
[7] Pihak Responden sebaliknya menegaskan penamatan kerja Pihak Menuntut adalah dengan sebab atau alasan
yang adil kerana Pihak Menuntut telah gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab utama beliau untuk
meningkatkan perkhidmatan pengangkutan barangan dan perkhidmatan-perkhidmatan yang berkaitan. Di samping
itu cadangan Pihak Menuntut untuk menutup cawangan Pulau Pinang telah melanggar polisi syarikat Responden dan
ianya dibuat tanpa mengambil kira kepentingan pekerja-pekerja. Selain dari itu dengan pengambilan cuti sakit yang
berlebihan dan mencurigakan juga membuktikan beliau bukan seorang pengurus dan ketua yang baik yang
sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada pekerja bawahan beliau. Tindakan-tindakan Pihak Menuntut ini
menyebabkan Pihak Responden hilang kepercayaan dan keyakinan ke atasnya. Dengan itu Pihak Responden
memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan beliau.
Isu
[8] Dalam kes ini fakta bahawa Pihak Menuntut telah ditamatkan perkhidmatan adalah tidak dinafikan oleh kedua-dua
pihak. Surat penamatan bertarikh 2 Disember 2009 adalah jelas maksudnya. Oleh itu tugas Mahkamah adalah untuk
menentukan:
i. Samada Pihak Menuntut telah melakukan salah laku seperti yang didakwa ke atasnya; dan
ii. Samada penamatan kerja tersebut adalah dengan sebab atau alasan yang adil.
Undang-Undang
[9] Undang-undang adalah mantap bahawa dalam kes-kes pembuangan kerja, beban pembuktian adalah terletak
atas Pihak Responden untuk membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa penamatan kerja Pihak Menuntut
adalah dengan sebab atau alasan yang adil. Ini adalah seperti yang diputuskan dalam kes Ireka Construction
Berhad v Chantiravathan Subramaniam James [1995] 2 ILR 11 iaitu:
" It is a basic principle of industrial law jurisprudence that in dismissal case the employer must produce convincing
evidence that the workman committed the offence or offences the workman is alleged to have committed for which he
has been dismissed. The burden of proof lies on the employer to prove that he has just cause or excuse for taking the
decision to impose the disciplinary measures of dismissal upon the employees. The just cause must be either a
misconduct, negligence or poor performance based on the facts of the case."
[10] Mahkamah Rayuan dalam kes Telekom Malaysia Kawasan Utara v Krishnan Kutty Sanguni Nair &
Anor[2002] 3 CLJ 314, memutuskan standard pembuktian yang terletak di atas syarikat adalah berdasarkan
imbangan kebarangkalian. Y.A. Abdul Hamid Mohamad, HMR, di dalam keputusannya telah memutuskan :
" ...it is quite clear to us that the Industrial Court should not be burdened with the technicalities regarding the standard
of proof, the rules of that are applied in a court of law. The Industrial Court should be allowed to conduct its
proceedings as a "court of arbitration", and be more flexible in arriving at its decision, so long as it gives special
regard to substantial merits and decide a case in accordance with equity and good conscience.
.......

Thus, the Industrial Court, when hearing a claim of unjust dismissal, even where the ground is one of dishonest act,
including theft, is not required to be satisfied beyond reasonable doubt that the employee has committed the
offence.The standard of proof applicable is the civil standard, ie, proof on a balance of probabilities which is flexible
so that the degree of probability required is proportionate to the nature and gravity of the issue."
[11] Fungsi Mahkamah Perusahaan dalam kes-kes rujukan di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan,
1967 adalah dua hala iaitu menentukan samada salah laku yang dikatakan dilakukan itu telah dibuktikan dan
seterusnya samada salah laku yang dibuktikan itu merupakan sebab atau alasan yang adil yang mewajarkan kepada
tindakan pembuangan kerja. Mahkamah Persekutuan dalam kes Milan Auto Sdn. Bhd. v Wong Seh Yen [1995] 3
MLJ 537 telah menyatakan:
"... the function of the Industrial Court in dismissal cases on a reference under s.20 is twofold firstly, to determine
whether the misconduct complained of by the employer has been established, and secondly whether the proven
misconduct constitutes just cause or excuse for the dismissal."
[12] Dalam kes Goon Kwee Phoy v J & P Coats (M) Sdn.Bhd. [1981] 2 MLJ 129 Raja Azlan Shah CJ (DYMM
Tuanku ketika itu) telah menyatakan:
" Where representations are made and are referred to the Industrial Court for enquiry, it is the duty of that court to
determine whether the termination or dismissal is with or without just cause or excuse. If the employer chooses to give
a reason for the action taken by him, the duty of the Industrial Court will be to enquire whether that excuse or reason
has or has not been made out. If it finds as a fact that it has not been proved, the inevitable conclusion must be that
the termination or dismissal was without just cause or excuse. The proper enquiry of the court is the reason advanced
by it and that the court or the High Court cannot go into another reason not relied on by the employer or find one for
it."
[13] Dr. Dunston Ayadurai dalam bukunya bertajuk Industrial Relations In Malaysia: Law & Practice, 3rd. Edn di
m.s. 297 telah menyatakan:
"A workman can seek a remedy under s.20 only if he had been dismissed. More often than not, there is no dispute
that there was an actual dismissal of the workman by his employer. The only issue for the Industrial Court to
determine is whether the dismissal had been for just cause or excuse, the onus of proving the existence of the same
being cast upon the employer."
Kes Pihak Responden
[14] Pihak Responden telah mengemukakan 2 orang saksi iaitu Encik Jonathan Mark Vethanayagam (COW-1),
Pengarah Sumber Manusia dan Encik Mykell Lee (COW-2), Pengarah Urusan Agility International Logistics Pte. Ltd..
COW-1 dalam keterangannya menyatakan beliau merupakan salah seorang yang terlibat dalam semua perbincangan
dan menyediakan deraf dokumen-dokumen bersama COW-2 berkaitan dengan penamatan kerja Pihak Menuntut.
Menurut COW-1 pada penghujung tahun 2008, COW-2 telah dilantik sebagai Pengarah Urusan baru, yang
bertanggungjawab untuk Syarikat Responden di Singapura dan Malaysia. Setelah mengkaji semula operasi semua
syarikat Responden di Malaysia, COW-2 mendapati Pihak Responden sebagai sebuah syarikat logistik yang terbesar
di dunia, telah gagal mencapai tahap seperti yang diharapkan. COW-2 juga mendapati prestasi yang kurang
memuaskan ini adalah berpunca dari kegagalan sebahagian dari Pengurus Cawangan termasuklah Pihak Menuntut
dalam menyediakan dan melaksanakan langkah-langkah yang berkesan untuk meningkatkan lagi peluang
perniagaan dan keuntungan semua cawangan.
[15] COW-2 mendapati cawangan Pulau Pinang hanya mencatatkan keuntungan yang minima bagi tahun 2006, 2007
dan 2008. Beliau berpendapat cawangan Pulau Pinang mempunyai potensi yang lebih besar dengan mengambil kira
perkembangan perindustrian yang semakin pesat di negeri-negeri bahagian utara, maka sudah tentu cawangan
tersebut berupaya memperolehi peluang keperluan logistic bagi sebahagian syarikat-syarikat baru ini. COW-2 juga
mendapati syarikat logistik yang lain di Pulau Pinang menunjukkan perkembangan yang menggalakkan, oleh itu tidak
ada sebab kenapa cawangan Pulau Pinang tidak menunjukkan sebarang perkembangan yang positif.

[16] Pada awal tahun 2009, COW-2 telah mengadakan satu mesyuarat yang dihadiri oleh semua Pengurus
Cawangan termasuklah Pihak Menuntut dan COW-1. Dalam mesyuarat tersebut COW-2 telah menyuarakan
perasaan tidak puas hatinya berhubung dengan prestasi syarikat dan cawangan-cawangan kerana tidak
menunjukkan sebarang perkembangan perniagaan yang positif sebaliknya hanya menumpukan dan memberi
perhatian kepada pelanggan-pelanggan sedia ada sahaja. Oleh itu COW-2 telah mengarahkan agar semua Pengurus
Cawangan mengemukakan rancangan atau langkah-langkah cadangan bertujuan untuk meningkatkan dan
memperluaskan lagi peluang perniagaan dan keuntungan cawangan masing-masing. COW-2 juga secara spesifik
telah memberitahu Pihak Menuntut memandangkan Pulau Pinang mempunyai banyak potensi yang masih belum
diterokai, maka beliau mengharapkan agar Pihak Menuntut dapat mengemukakan langkahlangkah yang lebih
dinamik.
[17] Selanjutnya COW-1 menyatakan pada awal Februari 2009, kesemua Pengurus Cawangan kecuali Pihak
Menuntut telah mengemukan rancangan masing-masing. Pada 20.2.2009, COW-2 telah mengadakan satu mesyuarat
dengan Pihak Menuntut. Dalam mesyuarat tersebut, COW-2 telah menyuarakan ketidakpuasan hatinya berikutan
kegagalan Pihak Menuntut mengemukakan rancangan-rancangan yang konkrit seperti yang telah diarahkan. COW-2
juga telah membangkitkan beberapa isu antara lain kegagalan Pihak Menuntut untuk mendapatkan peluang-peluang
perniagaan yang baru untuk beberapa tahun yang lepas, kos penyelenggaraan dan perbelanjaan keraian yang tinggi
yang telah dibelanjakan oleh cawangan Pulau Pinang jika dibandingkan dengan cawangan-cawangan lain, dan
apabila ditanya apakah langkah/rancangan masa depan Pihak Menuntut untuk Pulau Pinang. Pihak Menuntut telah
mencadangkan penutupan cawangan Pulau Pinang, pengurangan jumlah pekerja dan mendapatkan peluang
perniagaan yang baru. COW-2 tidak berpuashati dengan cadangan penutupan atau pengurangan jumlah tenaga
pekerja kerana beliau berpendapat Pulau Pinang berpotensi untuk mendapatkan peluang perniagaan yang lebih baik.
COW-2 berpendapat sebagai sebuah syarikat antarabangsa, penutupan cawangan atau pengurangan tenaga kerja
bukanlah satu keputusan yang bijak sebaliknya ia akan memberi impak negatif kepada imej syarikat dan ini sudah
tentu akan memberi kesan kepada keseluruhan perniagaan Pihak Responden. Oleh itu COW- 2 telah mengarahkan
Pihak Menuntut mengemukakan pelan tindakan bagaimana untuk memperolehi peluang perniagaan baru dan
mengurangkan kos perjalanan dan perbelanjaan keraian yang tinggi.
[18] Melalui e-mail bertarikh 23.2.2009 (m.s 11 COB-1), Pihak Menuntut memaklumkan kepada COW-2 bahawa satu
perbincangan dengan Jabatan Tenaga Kerja akan diadakan pada 25.2.2009 untuk membincangkan isu-isu yang
dibangkitkan dalam mesyuarat yang telah diadakan pada 20.2.2009 itu. Selanjutnya pada 26.2.2009, Pihak Menuntut
telah menghantar satu lagi e-mail kepada COW-2 dan mengemukakan pelan tindakan untuk penamatan pekerjapekerja di bawah langkah penghematan, VSS atau penutupan cawangan beserta dengan pengiraan faedah
penamatan (m.s 9-11 COB-1). COW-2 amat kecewa dengan cadangan Pihak Menuntut ini, oleh itu beliau telah
menghantar e-mail bertarikh 10.3.2009 kepada Pihak Menuntut ( m.s 8 COB-1) bertanyakan samada Pihak Menuntut
telah menimbang berkaitan dengan kos perjalanan dan keraian yang tinggi, jumlah staf yang tinggi dan samada
beliau berjaya mendapatkan satu kawasan baru yang sesuai untuk operasi syarikat.
[19] COW-1 mengakui Pihak Menuntut ada menghubungi beliau pada 11.3.2009 melalui telefon dan meminta nasihat
berkaitan dengan bagaimana untuk menutup cawangan dan menamatkan perkhidmatan pekerja-pekerja dibawah
langkah penghematan. COW-1 menyatakan memandangkan ini adalah satu tindakan yang besar, maka beliau perlu
menunggu arahan dari COW-2 sebelum membuat sebarang tindakan.
[20] Seterusnya Pihak Menuntut melalui e-mail bertarikh 12.3.2009 (m.s 7-8 COB-1) mengakui kos kakitangan,
perjalanan, keraian dan kos-kos lain bagi cawangan Pulau Pinang adalah amat tinggi, walau bagaimanapun beliau
telah berjaya memperolehi pengurangan kos sewaan premis sebanyak RM5000.00 sebulan mulai 1.4.2009,
malangnya beliau langsung tidak menyentuh berkaitan dengan perkembangan perniagaan baru. Oleh itu pada hari
yang sama COW-2 telah menghantar satu email kepada Pihak Menuntut (m.s 7 COB-1) dan memuji tindakan Pihak
Menuntut yang berjaya mendapatkan pengurangan sewa dan pada masa yang sama bertanya kepada Pihak
Menuntut samada beliau telah mengenal pasti peluang perniagaan yang boleh diperolehi bagi memantapkan lagi
cawangan Pulau Pinang, tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas dari Pihak Menuntut.

[21] COW-2 telah mengadakan perbincangan dengan COW-1 dan dalam perbincangan tersebut, COW-1 menyatakan
dengan jawatan dan gaji yang diterima serta peranan Pihak Menuntut, maka Pihak Menuntut sepatutnya mengetahui
semua tugas dan tanggungjawab beliau. Oleh itu apabila Pihak Menuntut mencadangkan penutupan cawangan atau
pengurangan pekerja-pekerja, ianya menunjukkan ketidakcekapan beliau dalam mengurus operasi cawangan
tersebut dan juga menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab beliau terhadap syarikat. Oleh yang demikian COW-1
mencadangkan dua pilihan yang boleh dipertimbangkan oleh COW-2 iaitu samada menamatkan perkhidmatan Pihak
Menuntut selepas proses yang sewajarnya ataupun memberi amaran keras kepada beliau. Walaupun COW-2
bersetuju bahawa Pihak Menuntut tidak cekap dan tidak bertanggungjawab dalam menjalankan tugas dan
tanggungjawabnya, namun beliau berpendapat Pihak Menuntut sepatutnya diberi peluang untuk berubah.
[22] Selepas itu Pihak Menuntut berada dalam cuti sakit dari 8.6.2009 hingga 23.10.2009. Pada 9.10.2009 COW-2
telah berbincang dengan Pihak Menuntut melalui telefon dan pada 30.10.2009 satu perbincangan telah diadakan
dengan dihadiri oleh COW-1. Dalam perbincangan tersebut, COW-2 telah memberitahu Pihak Menuntut bahawa
hanya beliau sahaja yang masih belum mengemukakan apa-apa cadangan atau rancangan untuk memperluaskan
lagi peluang perniagaan cawangan Pulau Pinang. COW-2 juga menyatakan Pihak Responden tidak dapat menerima
cadangan Pihak Menuntut untuk menutup cawangan tersebut memandangkan Pulau Pinang mempunyai potensi
yang besar dan penutupan cawangan tersebut akan memberi impak yang negatif kepada imej Pihak Responden
sebaliknya Pihak Responden berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan demi untuk melindungi
kepentingannya dan juga pekerja-pekerja di cawangan tersebut. COW-2 juga telah meminta Pihak Menuntut untuk
menyediakan dan mengemukakan langkah-langkah dan rancangan beliau pada penghujung bulan November 2009.
[23] Sehingga 1.12.2009 Pihak Menuntut masih gagal mengemukakan rancangan-rancangan beliau sepertimana
yang diarahkan. Dengan itu beliau memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Pihak Menuntut serta memberi
peluang kepada Pihak Menuntut untuk merayu terhadap keputusan penamatan kerjanya. Oleh itu pada 2.12.2009,
COW-2 telah mengeluarkan surat kepada Pihak Menuntut yang memaklumkan kepada Pihak Menuntut bahawa
perkhidmatan beliau akan ditamatkan mulai 3.1.2010. (m.s 13 COB-1).
[24] Pihak Menuntut melalui e-mail bertarikh 4.12.2009 ( m.s 17 COB-1) telah menyatakan beliau akan memfailkan
rayuan secara rasmi berkaitan dengan penamatan kerjanya pada 7.12.2009. Setelah itu COW-2 telah mengaturkan
agar satu tele-conference diadakan pada 7.12.2009 dan dalam tele-conference tersebut, Pihak Menuntut hanya
menyatakan penamatan beliau dengan notis satu bulan adalah tidak mencukupi dan beliau sepatutnya dibayar
pampasan pada kadar satu bulan gaji untuk setiap tahun perkhidmatan beliau.
[25] Setelah itu Pihak Responden ada menghantar e-mail kepada Pihak Menuntut untuk mengesahkan kandungan
perbincangan yang telah diadakan pada 7.12.2009 tersebut (m.s 14 COB-1). Pihak Menuntut telah menjawab dan
menafikan kandungan e-mail tersebut melalui e-mail bertarikh 10.12.2009 (m.s 18-20 COB-1) dan e-mail tersebut
telah dijawab oleh syarikat Responden pada hari yang sama menerangkan kedudukan dan pendirian Pihak
Responden.
[26] Mengikut COW-1 cawangan Pulau Pinang hanya membuat keuntungan yang minima. Ini dibuktikan melalui
penilaian ke atas Performance Review yang menunjukkan semua peluang perniagaan baru untuk Pulau Pinang telah
diperolehi oleh Agiliy Logistics, dan tidak ada sebarang rekod untuk membuktikan Pihak Menuntut yang telah
mendapatkan peluang perniagaan baru kepada cawangan tersebut. Selain dari itu penjelasan di ms 22 COB-1 juga
menunjukkan cawangan Pulau Pinang telah kehilangan pelanggan yang besar dalam bulan Jun 2008. Pihak
Menuntut juga didapati gagal bertindak secara aktif dalam membuat tuntutan dari pelanggan-pelanggan dan terdapat
pelanggan-pelanggan yang tidak membuat pembayaran kerana Pihak Menuntut telah gagal mengemukakan
maklumat yang tepat kepada mereka. Mengikut COW-1 lagi wujud keadaan di mana pelanggan telah tidak membuat
bayaran lebih dari RM 120,000.00 sejak tahun 2007 lagi disebabkan kekurangan kebolehan Pihak Menuntut, dan ini
menyebabkan Pengarah Syarikat dari Kuala Lumpur dan Singapura terpaksa mengambil tindakan untuk
mendapatkan kembali jumlah tersebut.
[27] Seterusnya COW-1 juga menyatakan COW-2 sebenarnya tidak mempunyai niat untuk menamatkan
perkhidmatan Pihak Menuntut sebaliknya surat penamatan tersebut bertujuan untuk memberi peluang kepada Pihak

Menuntut untuk mengemukakan rancangan-rancangan beliau untuk meningkatkan lagi peluang perniagaan bagi
cawangan Pulau Pinang dan sekiranya rancangan-rancangan tersebut dikemukakan, maka sudah tentu COW-2 akan
menarik balik surat penamatan yang telah dikeluarkan itu.
[28] Selanjutnya COW-1 juga menyatakan setelah meneliti kesemua sijil cuti sakit yang dikemukakan oleh Pihak
Menuntut, beliau mendapati terdapat sijil cuti sakit yang telah dikeluarkan terlebih awal, sebagai contoh pada
24.6.2009, doktor telah mengesahkan Pihak Menuntut akan sakit dari 16.7.2009 sehingga 22.7.2009 begitu juga
pada 19.8.2009, doctor mengesahkan Pihak Menuntut akan sakit dari 23.9.2009 hingga 23.10.2009 (rujuk m. s 34-38
COB-1). Dalam perbincangan antara COW- 1 dan COW-2 mengenai sijil cuti sakit Pihak Menuntut ini, COW-2
berpendapat Pihak Menuntut tidak mungkin sakit dalam waktu yang agak panjang dan terdapat kemungkinan Pihak
Menuntut mengambil cuti sakit yang panjang tersebut untuk membolehkan beliau membuat perjalanan ke New
Zealand kerana beliau telah memperolehi PR negara tersebut dan kemungkinan beliau perlu tinggal di negara
tersebut untuk tempoh masa yang tertentu bagi mengelakkan status PR beliau itu ditarik balik.
[29] COW-1 juga menyatakan walaupun kegawatan ekonomi melanda dunia ketika itu, ianya tidak akan menjejaskan
perniagaan cawangan Pulau Pinang kerana sekiranya kegawatan ekonomi akan memberi kesan kepada cawangan
Pulau Pinang, maka sudah tentu Pihak Menuntut akan menyediakan pelan tindakan untuk perkembangan perniagaan
masa hadapan cawangan tersebut dengan mengambil kira faktor kegawatan ekonomi tersebut. Pihak Responden
sebenarnya hanya berminat untuk mengetahui apakah rancangan beliau untuk tahun 2009 ke atas dan bukannya
sebelum itu. Selanjutnya jika Pihak Menuntut berpendapat penutupan cawangan tersebut atau pengurangan pekerja
adalah langkah terbaik yang perlu diambil, maka sudah tentu beliau akan menyedia dan mengemukakan pelan
tindakan untuk menutup cawangan ataupun mengecilkan cawangan tersebut. Kegagalan beliau untuk
mengemukakan sebarang pelan tindakan membuktikan beliau sebenarnya tidak mempunyai sebarang rancangan
untuk mengembangkan peluang perniagaan dan memajukan cawangan tersebut sebaliknya beliau hanya
mengharapkan syarikat akan menutup cawangan tersebut dan menamatkan perkhidmatan beliau di bawah langkah
berhemah dan seterusnya membayar faedah penamatan kepada beliau.
Kes Pihak Menuntut
[30] Pihak Menuntut dalam keterangannya menyatakan walaupun surat penamatan kerja beliau menyatakan sebab
pemecatan kerjanya adalah kerana prestasi kerja yang tidak memuaskan, namun pegawai atasan beliau sebelum ini
tidak pernah membuat sebarang aduan berkaitan dengan prestasi kerja beliau. Pihak Menuntut juga menafikan
beliau ada menghadiri mesyuarat yang diadakan pada 9.10.2009 kerana beliau berada dalam cuti sakit ketika itu.
Begitu juga dengan mesyuarat pada 30.10.2009 dimana beliau telah tidak dipanggil untuk menghadiri mesyuarat
tersebut, sebaliknya beliau telah menghubungi beberapa Pengurus Cawangan yang lain yang menghadiri mesyuarat
tersebut untuk mendapatkan maklum balas dari mereka. Beliau telah dimaklumkan ianya berkaitan dengan skop kerja
yang perlu dipatuhi oleh semua Pengurus Cawangan dan juga semua Pengurus Cawangan perlu menetapkan satu
sasaran dan mencapai sasaran tersebut dalam tempoh yang tertentu.
[31] Menurut Pihak Menuntut lagi beliau telah diberi kenaikan gaji tahunan antara 3% - 12% setiap tahun dan juga
bonus antara 1-4 bulan setiap tahun berdasarkan prestasi dan produktiviti beliau. Pada masa penamatan kerja ini,
beliau menerima gaji berjumlah RM22,402.00 sebulan dan ini menunjukkan syarikat telah mengiktiraf prestasi beliau
dan juga pembangunan yang telah beliau bawa kepada cawangan tersebut yang menyebabkan beliau diberi kenaikan
gaji tahunan setiap tahun sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di syarikat Responden selama 11 tahun.
[32] Pihak Menuntut selanjutnya menyatakan beliau telah Berjaya mendapatkan peluang perniagaan dan pelanggan
yang baru yang mendatangkan keuntungan kepada syarikat. Seterusnya beliau menyatakan semasa beliau mula
bekerja dengan cawangan Pulau Pinang, pejabat tersebut hanya beroperasi di satu kawasan yang kecil tetapi
selepas 2 tahun beliau di sana, cawangan tersebut telah berkembang dan beroperasi di pejabat yang lebih besar dan
kawasan gudang yang lebih luas.
[33] Seterusnya Pihak Menuntut mendakwa walaupun surat penamatan kerjanya telah menyatakan alasan
penamatan adalah kerana "passive management" oleh Pihak Menuntut kerana Pihak Menuntut tidak mengembalikan
draf skop kerja, kedudukan untung dan rugi yang lemah, namun Pihak Responden tidak pada bila-bila masa pernah

membangkitkan perkara ini terutama berkaitan kedudukan untung dan rugi ataupun diminta untuk memberi maklum
balas berkaitan dengan perkara-perkara yang dibangkitkan sebelum surat penamatan kerja dikeluarkan. Oleh itu
beliau telah tidak diberi peluang yang secukupnya untuk menyelesaikan isu-isu tersebut. Pihak Menuntut
menegaskan sejak dilantik, beliau telah berusaha sepenuhnya untuk memajukan dan membangunkan cawangan
Pulau Pinang, oleh itu sekiranya Responden tidak berpuashati dengan prestasi kerjanya atau berpendapat prestasi
kerja beliau adalah lemah, maka mereka sepatutnya menyatakan alas an tersebut, tetapi dengan memilih untuk
menamatkan perkhidmatan beliau tanpa memberi peluang pendengaran kepadanya adalah satu tindakan yang tidak
munasabah dan dilakukan dengan niat jahat (mala fide).
Penilaian Keterangan Dan Dapatan Mahkamah
[34] Dalam kes ini alasan penamatan kerja Pihak Menuntut telah dinyatakan dengan jelas dalam surat penamatan
kerja bertarikh 2.12.2009 iaitu "passive management approach". Walaupun Pihak Menuntut dalam Pernyataan
Kesnya membangkitkan isu "redundancy" , tetapi Mahkamah berpendapat Pihak Responden sememangnya dari awal
lagi telah mengetahui alasan penamatan kerja Pihak Menuntut adalah kerana prestasi kerja Pihak Menuntut dan
bukannya "redundancy". Ini jelas dapat dilihat dalam surat penamatan kerja tersebut, Pernyataan Jawapan mereka
dan juga melalui keterangan saksi-saksi di Mahkamah ini. Oleh itu isu ini bukanlah satu isu yang baru yang boleh
memprejudiskan Pihak Responden. Tambahan pula Mahkamah juga mengambil maklum bahawa Pernyataan Kes
tersebut telah disediakan oleh Pihak Menuntut sendiri yang tidak mempunyai latar belakang undang-undang.
[35] COW-1 dan COW-2 semasa memberi keterangan mendakwa Pihak Menuntut telah tidak mengemukakan
rancangan-rancangan untuk memperluaskan lagi peluang perniagaan bagi cawangan Pulau Pinang walaupun telah
diminta untuk berbuat demikian oleh COW-2. Tetapi COW-1 kemudiannya menyatakan beliau sendiri tidak
mempunyai pengetahuan samada Pihak Menuntut telah mengemukakan pelan-pelan tindakan beliau kepada COW-2.
Walau bagaimanapun COW-1 bersetuju bahawa tidak terdapat sebarang surat yang memberi teguran kepada Pihak
Menuntut di atas kegagalannya mematuhi arahan tersebut. Sekiranya dakwaan Pihak Responden adalah benar,
maka sudah tentu akan terdapat surat-surat peringatan dan surat teguran dari Pihak Responden kepada Pihak
Menuntut berkaitan dengan perkara ini. Ketiadaan surat-surat tersebut membuktikan alasan yang digunakan oleh
Pihak Responden adalah tidak berasas sama sekali.
[36] Berkaitan dengan isu cadangan penutupan cawangan Pulau Pinang atau pengurangan tenaga kerja bagi
cawangan tersebut, Mahkamah berpendapat sekiranya COW-2 tidak bersetuju dengan cadangan yang dikatakan
diusulkan oleh Pihak Menuntut itu, maka sudah tentu COW-2 akan memaklumkan kepada Pihak Menuntut
pendiriannya berkaitan dengan perkara tersebut. Sebaliknya COW-2 dalam keterangannya hanya menyatakan beliau
telah meminta Pihak Menuntut membincangkan isu tersebut dengan COW-1. Ini membuktikan bahawa sebenarnya
terdapat cadangan penutupan atau pengurangan pekerja bagi cawangan tersebut dalam perbincangan-perbincangan
yang dijalankan di antara mereka. Pihak Menuntut mempunyai jawatan yang stabil dan menerima bayaran gaji yang
tinggi, maka sebagai seorang yang waras sudah tentu tidak akan mencadangkan sesuatu rancangan yang akan
menjejaskan kedudukan beliau.
[37] Berdasarkan keterangan yang dikemukakan juga menunjukkan Pihak Menuntut telah berjaya mendapat
pengurangan sewa premis sehingga RM 5000.00 sebulan dan COW-2 telah memuji tindakan yang telah dilakukan
oleh Pihak Menuntut ini. Kejayaan ini membuktikan bahawa Pihak Menuntut berjaya mengurangkan perbelanjaan dan
ini menunjukkan Pihak Menuntut adalah seorang yang mempunyai kecekapan dan pengurusan yang baik dalam
menguruskan cawangan Pulau Pinang dan bukan sebaliknya seperti yang didakwa oleh Pihak Responden. Selain
dari itu COW-1 juga mengakui prestasi dan produktiviti cawangan Pulau Pinang adalah baik bagi tahun 2008. COW-1
juga mengakui bayaran bonus akan hanya dibuat jika cawangan tersebut memperolehi keuntungan. Pihak Menuntut
menjelaskan beliau telah dibayar bonus dan juga diberi kenaikan gaji setiap tahun sepanjang tempoh beliau bekerja
dengan Pihak Responden dan perkara ini tidak dinafikan atau disangkal oleh Pihak Responden. Oleh itu, ini jelas
menunjukkan cawangan Pulau Pinang sebenarnya memperolehi keuntungan setiap tahun dan dengan itu tidak ada
sebab kenapa ia perlu ditutup.

[38] Pihak Responden juga mendakwa perbelanjaan untuk perjalanan dan keraian bagi cawangan Pulau Pinang
adalah tinggi jika dibandingkan dengan cawangan-cawangan lain, malangnya Pihak Responden gagal
mengemukakan sebarang dokumen bagi menyokong dakwaan mereka itu.
[39] Pihak Responden juga menyatakan COW-2 telah mengadakan perbincangan dengan Pihak Menuntut pada
9.10.2009 melalui telefon dan satu perbincangan secara bersemuka pada 30.10.2009. Tetapi berdasarkan
keterangan yang dikemukakan, pada 9.10.2009, Pihak Menuntut berada dalam cuti sakit. Selain dari itu e-mail
bertarikh 21.10.2009 yang terdapat di m.s 2 COB-2 juga sekiranya diteliti tidak mengandungi nama Pihak Menuntut.
Tambahan pula ayat dalam e-mail tersebut "Further to the 9 Oct 2009 meeting we had..." jelas menunjukkan
sememangnya Pihak Menuntut tidak hadir dalam mesyuarat tersebut. Dakwan COW-1 bahawa terdapat
perbincangan melalui telefon antara COW-2 dengan Pihak Menuntut jelas tidak benar kerana COW-2 sendiri
menyatakan beliau tidak dapat bercakap dengan Pihak Menuntut pada tarikh tersebut. Berkaitan dengan mesyuarat
yang diadakan pada 30.10.2009 pula, Pihak Menuntut menafikan beliau telah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat
tersebut. Mahkamah juga mendapati tidak ada sebarang surat atau e-mail untuk menunjukkan Pihak Menuntut
diarahkan untuk menghadiri mesyuarat tersebut. Tambahan pula surat di m.s 13 COB-1 menyatakan "...which you
should be aware of...", ini menunjukkan Pihak Menuntut sememangnya tidak hadir dalam mesyuarat tersebut. Minit
mesyuarat tersebut juga tidak dikemukakan untuk menunjukkan Pihak Menuntut ada hadir dalam mesyuarat tersebut
dan samada COW-2 ada memberi arahan kepada Pihak Menuntut untuk menyediakan dan mengemukakan
rancangan beliau .
[40] Berdasarkan kepada keterangan yang dikemukakan, sebelum surat penamatan di m.s 13 dikeluarkan, Pihak
Menuntut tidak diberikan sebarang amaran atau surat tunjuk sebab atau pernah diambil apa-apa tindakan disiplin
berkaitan dengan dakwaan yang dikenakan ke atasnya. COW-1 dalam keterangannya mengakui surat tersebut
sepatutnya adalah surat tunjuk sebab dan bukannya surat penamatan memandangkan Pihak Menuntut tidak pernah
diberi apa-apa amaran berkaitan dengan perkara ini. Malah beliau telah menyuarakan pendapatnya kepada pihak
pengurusan berkaitan dengan perenggan akhir surat tersebut. Mengikut beliau, oleh kerana surat tersebut adalah
surat penamatan, maka perenggan tersebut tidak sepatutnya dimasukkan di dalam surat tersebut, tetapi COW-2
masih bertegas untuk memasukkan perenggan tersebut.
[41] Pihak Responden juga telah mempertikaikan kesahihan sijil cuti sakit yang diperolehi oleh Pihak Menuntut
dengan alasan terdapat sijil cuti sakit yang dikeluarkan menunjukkan doktor seolah-olah meramalkan Pihak Menuntut
akan sakit pada masa hadapan. Malah COW-2 telah membuat andaian bahawa Pihak Menuntut mengambil cuti sakit
yang panjang ini bertujuan untuk tinggal di New Zealand untuk satu tempoh tertentu untuk memenuhi keperluan
status PR beliau. Walau bagaimanapun COW-1 dalam keterangannya menjelaskan masalah cuti sakit ini dan cuti
sakit yang panjang bukan merupakan salah satu sebab yang membawa kepada penamatan kerja Pihak Menuntut.
Mahkamah mendapati andaian yang dibuat oleh COW-2 ini langsung tidak disokong dengan sebarang keterangan.
Pihak Responden juga sebelum mengambil keputusan menamatkan kerja Pihak Menuntut tidak pernah
mempersoalkan mengenai sijil sakit tersebut. Oleh itu, isu sijil cuti sakit tersebut bukanlah menjadi isu lagi dalam kes
ini. Tambahan pula Pihak Menuntut telah mengemukakan surat dari doktor yang mengeluarkan sijil cuti sakit tersebut
yang menjelaskan mengenai keraguan sijil cuti sakit yang telah mereka keluarkan (CLB-3 dan CLB-4). Pihak
Responden mempunyai masa yang mencukupi untuk mendapatkan bukti-bukti bagi menyokong andaian mereka itu
malangnya tidak terdapat sebarang bukti yang dikemukakan.
[42] Berkaitan dengan draf skop kerja yang didakwa gagal dikembalikan oleh Pihak Menuntut, keterangan
menunjukkan pada 23.10.2009, apabila Pihak Menuntut kembali bekerja selepas cuti sakit, beliau telah memohon
untuk mendapatkan salinan draf skop kerja tersebut dan setelah itu beliau diberitahu COW-2 akan mengadakan
perjumpaan berasingan dengan semua Pengurus Cawangan untuk membincangkan draf skop kerja tersebut. Namun
begitu perjumpaan yang dirancang antara COW-2 dengan Pihak Menuntut tidak terjadi dan ini menyebabkan draf
tersebut tidak dapat diselesaikan.
[43] Pihak Responden juga mendakwa berdasarkan Profit and Loss Account (P&L) bagi cawangan Pulau Pinang
untuk tahun 2006, 2007 dan 2008 menunjukkan cawangan tersebut mendapat keuntungan yang minima dan di

bawah bajet. Setelah Mahkamah meneliti P&L tersebut (COB-3) didapati Operating Profit adalah konsisten dari tahun
2006 sehingga 2009. Walau bagaimanapun HQ Expenses, yang perlu dibayar oleh cawangan melebihiOperating
Profit cawangan tersebut dan cawangan sememangnya tidak boleh mengawal HQ Expenses ini. Malah tahun 2009
telah menunjukkan peningkatan keuntungan yang ketara setelah Pihak menuntut mengambil beberapa langkah
antaranya mendapatkan pengurangan bayaran sewa dan memperluaskan peluang perniagaan cawangan tersebut.
[44] Berdasarkan kepada alasan-alasan di atas, Mahkamah mendapati Pihak Responden telah gagal membuktikan
atas imbangan kebarangkalian bahawa Pihak Menuntut telah melakukan perbuatan salahlaku seperti yang
dinyatakan dalam surat penamatan tersebut. Keputusan penamatan tersebut adalah satu keputusan yang tidak wajar
dan tidak sepatutnya diambil oleh Pihak Responden.
Keputusan
[45] Setelah menilai keseluruhan keterangan yang ada di hadapan Mahkamah dan pada masa yang sama setelah
mengambil kira peruntukan Seksyen 30(5), Akta Perhubungan Perusahaan 1967 untuk bertindak mengikut ekuiti dan
perasaan nurani serta merit kes yang substantial tanpa mengambil kira kepada perkara-perkara teknikal dan yang
berbentuk undang-undang, maka adalah dapatan Mahkamah bahawa pemecatan kerja Pihak Menuntut adalah tanpa
sebab atau alasan yang adil.
Remedi
[46] Setelah mendapati pembuangan kerja tersebut adalah tanpa sebab atau alasan yang adil, isu seterusnya yang
perlu diputuskan oleh Mahkamah adalah berkaitan dengan jenis remedi yang bersesuaian yang perlu diawardkan.
Pihak Menuntut dalam Pernyataan Kesnya telah memohon untuk pengembalian semula jawatan asal beliau. Setelah
mengambilkira keterangan yang dikemukakan dan juga tempoh masa yang berlalu dari tarikh pembuangan kerja
tersebut sehingga kini , Mahkamah berpendapat remedi ini adalah tidak wajar dan tidak sesuai dalam keadaan dan
fakta kes ini dan ianya adalah tidak seiring dengan keharmonian perusahaan. Mahkamah berpendapat award
pampasan dalam bentuk kewangan adalah lebih sesuai untuk kes ini.
[47] Untuk award pampasan dalam bentuk kewangan ini, biasanya terdapat 2 award yang berbeza yang akan
diperintahkan iaitu untuk bayaran gaji kebelakang dan pampasan sebagai pengembalian ke jawatan asal.
Bayaran Gaji Kebelakang
[48] Penamatan kerja Pihak Menuntut adalah pada 7.12.2009. Gaji terakhir beliau ketika itu adalah RM 22,402.00
sebulan. Mengikut Pihak Menuntut setelah dibuang kerja, beliau bekerja secara tidak tetap dan hanya pada tahun
2011 beliau bekerja secara tetap sebagai Cargo Clerk di New Zealand.
[49] Adalah menjadi amalan Mahkamah apabila mengawardkan bayaran gaji kebelakang, bayaran ini hendaklah tidak
melebihi 24 bulan dari tarikh penamatan kerja tersebut dengan berdasarkan kepada gaji terakhir Pihak Menuntut
yang telah dibuang kerja tanpa sebab atau alasan yang adil. Sekiranya terdapat pendapatan post dismissal, maka
satu tolakan yang munasabah akan dibuat. Untuk bayaran gaji kebelakang ini, Mahkamah mengawardkan bayaran
seperti berikut:
RM 22,402.00 x 10 bulan = RM 224,020.00
Pampasan Sebagai Pengembalian ke Jawatan Asal
[50] Adalah juga menjadi amalan Mahkamah untuk mengawardkan pampasan sebagai gantirugi pengembalian ke
jawatan asal berlandaskan formula satu bulan gaji bagi setiap tahun genap perkhidmatan Pihak Menuntut dengan
Pihak Responden. Pihak Menuntut telah berkhidmat dengan Pihak Responden selama 11 tahun iaitu dari 7.7.1998
sehingga ditamatkan perkhidmatan pada 7.12.2009. Untuk pampasan sebagai gantirugi pengembalian ke jawatan
asal, Mahkamah mengawardkan seperti berikut:
RM 22,402.00 x 11 = RM 246,422.00
Perintah

[51] Mahkamah dengan ini memerintahkan Pihak Responden untuk membayar kepada Pihak Menuntut sebanyak RM
470,442.00, ditolak carumancaruman statutori, sekiranya ada, melalui peguam Pihak Menuntut, Tetuan T. Selva &
Co., dalam tempoh 30 hari dari tarikh award ini diperturunkan.
DIPERTURUNKAN DAN BERTARIKH 2 JUN 2015.
~ SIGNED ~
DATO' RASIDAH BINTI HAJI CHIK
PENGERUSI
MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA
CAWANGAN PERAK
Encik T. Selvadoray, Tetuan T. Selva & Co., Peguambela & Peguamcara, (Peguam bagi Pihak Yang Menuntut)
Encik Kanarasan Ghandinesen, Tetuan Ghandi, Peguambela & Peguamcara, (Peguam bagi Pihak Syarikat)
Notice: The Publishers of MLTIC acknowledge the permission granted by the relevant official/original source for the reproduction of
the above/attached materials. You shall not reproduce the above/attached materials in whole or in part without the prior written
consent of the Publishers and/or the original/official source. Neither the Publishers nor the official/original source will be liable for any
loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/attached
materials. The Publishers and the official/original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or
omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, MLTIC and
contents herein are subject to the Terms of Use.

You might also like