Professional Documents
Culture Documents
Laporan Etika (Tanggungjawab Sosial)
Laporan Etika (Tanggungjawab Sosial)
Kejayaan dalam sesuatu program kemasyarakatan bergantung kepada sikap tanggungjawab semua
ahlinya bagi melaksanakannya dengan jayanya. Penglibatan, sokongan, kerjasama dan rasa
tanggungjawab ini memerlukan komitmen yang tinggi dan pengorbanan semua. Ia boleh
disumbangkan melalui tenaga, pandangan atau lontaran idea mahupun sumbangan kewangan
mengikut kemampuan seseorang. Apa yang penting di sini ialah adanya kerjasama dan pengorbanan
ahli untuk berkhidmat untuk masyarakat.
Sebagai anggota masyarakat, seseorang tidak boleh mengasingkan diri daripada persekitaran hidup
bersosial. Lantaran itu, menjadi tanggungjawab setiap individu untuk mengenali masyarakatnya
khususnya orang yang paling hampir dengannya, iaitu jiran. Sikap saling mengenali dan beramah
mesra membantu menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan tetangga yang akhirnya membantu
memupuk perpaduan antara satu sama lain.
Sikap mengambil tahu di sini bermaksud mengambil peduli dan peka tentang kebajikan jiran
tetangga sekiranya jirannya menanggung kesusahan dan kesulitan. Contohnya, apabila seseorang
mendapati jirannya tidak menyekolahkan anaknya lantaran kesempitan hidup yang dialami. Oleh itu,
sikap peka tentang kesusahan orang lain menimbulkan keinsafan dan mencuit naluri keinsanan
untuk menghulurkan bantuan yang sepatutnya mengikut apa yang termampu. Sikap mengambil
peduli ini juga termasuk sekiranya seseorang mendapati berlakunya perselisihan faham dalam
hubungan antara diri seseorang dengan jirannya, maka kepekaan ini mendetikkan hatinya untuk
mencari jalan terbaik untuk memperbaiki persahabatan antara keduanya. Kesemua ini memerlukan
kepekaan seseorang terhadap kehidupan persekitarannya
Ahli masyarakat perlu menanamkan sikap positif terhadap aktiviti kejiranan. Walaupun ia
merupakan kerja sukarela, setiap anggota perlu melihat aktiviti seumpama ini dari sudut yang positif
tanpa rasa terpaksa atau merasakannya sebagai aktiviti yang membazir masa dan tenaga. Untuk itu,
seseorang perlu mengikhlaskan diri dan menyematkan di fikiran bahawa apa yang dilakukannya
merupakan satu ibadah untuk kemaslahatan ummah dan mendapat keredhaan Allah s.w.t.
Hubungan kejiranan dan kemasyarakatan perlulah berlandaskan hubungan yang tulus, suci dan
bukan berlandaskan kepentingan, bersifat kepura-puraan, mengikut masa (perlu ketika senang dan
sukar) dan bukan berlandaskan kebendaan