You are on page 1of 2

NAMA: NURUL SHAHIRAH BINTI MOHD NORDDIN (UITM SHAH ALAM)

PROSES SYARIKAT KONTRAKTOR MEMPEROLEH TENDER


KERAJAAN/SWASTA

Proses menender projek merupakan proses utama bagi pemilihan kontrakor yang
benar-benar layak untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan. Pemilihan kontraktor
kebiasaannya dibuat melalui pertandingan yang melibatkan perbandingan antara perkara
tertentu seperti harga dan masa pembinaan. Sesuatu tender merangkumi beberapa
peringkat, tatacara dan prosedur. Proses menender bermula dengan pengiklanan tender
oleh pengurus projek atau JKR. Syarikat-syarikat kontraktor haruslah membaca dan meneliti
syarat-syarat pendaftaran sebelum mendaftar dan membeli tender. Antara butiran yang
terdapat dalam iklan tender adalah butir-butir tawaran, harga dokumen tawaran, tempat dan
tarikh tawaran dijual, syarat pendaftaran, tarikh dan tempat lawatan tapak, dan tarikh tender
ditutup.

Seterusnya, syarikat-syarikat kontraktor yang berminat boleh mendaftar pada hari


lawatan tapak dan taklimat tender oleh pengurus projek, mengikut ketetapan yang
ditetapkan dalam iklan tender. Taklimat tender yang diadakan bertujuan untuk memberi
pendedahan kepada syarikat-syarikat kontraktor mengenai projek yang bakal dijalankan,
mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh konsultan seperti juruukur bahan, arkitek, jurutera
awam dan struktur, serta jurutera mekanikal dan elektrikal. Kemudian, kontraktor yang
berminat boleh membeli tender dengan sekian harga pada tarikh yang ditetapkan dan juga
dikehendaki untuk menghantar tender dokumen yang lengkap sebelum atau pada tarikh
tutup tender.

Setelah itu, tender-tender yang dihantar oleh syarikat kontraktor akan dinilai oleh
juruukur bahan berdasarkan aspek aspek seperti syarat-syarat tender, penilaian teknikal
(profil syarikat, kelayakan pekerja, sumber-sumber kontraktor, projek terdahulu, projek
semasa), status kewangan (penyata kewangan tiga bulan terkini, hutang-hutang syarikat),
harga tender, dan tempoh siap. Harga yang disediakan oleh syarikat-syarikat kontraktor
(petender) akan dibandingkan dengan anggaran harga yang telah disediakan oleh juruukur
bahan. Pihak juruukur bahan akan memilih hanya satu petender yang paling menepati
kriteria berserta harga dan tempoh siap yang munasabah.

Proses terakhir adalah petender yang berjaya dalam proses tender ini akan
dimaklumkan oleh pihak juruukur bahan. Walau bagaimanapun, petender yang tidak berjaya
juga akan dimaklumkan oleh mereka. Petender atau syarikat kontraktor yang berjaya akan
diminta untuk menandatangani “Letter of Acceptance” dalam tempoh yang ditetapkan
sebagai tanda menerima kontrak tersebut.

You might also like