You are on page 1of 23

PROSES TENDER

2.1 Pengenalan

Di Malaysia, amalan yang biasa diamalkan ialah klien menawarkan sesuatu projek
pada kelompok kontraktor di mana kontraktor tersebut masing-masing akan
bersaing menyerahkan tender yang paling optimum dan keputusannya adalah
terletak kepada klien untuk memilih kontraktor yang layak. Apabila tender daripada
sesebuah kontraktor itu diterima oleh klien, maka wujudlah ikatan yang dinamakan
kontrak antara kontraktor yang dipilih oleh klien.

Tender ialah suatu kenyataan yang dikeluarkan kepada seseorang untuk melakukan
kerja di samping mendapatkan persetujuan daripada pihak yang berkenaan (Saidin,
1998). Menurut March (2003) pula, proses menender merupakan proses taktikal
bagi pemilihan satu-satu pihak bagi membekalkan suatu perkhidmatan, produk atau
item kerja. Tanpa menghiraukan mekanisme pemilihan, proses tawaran dan
pemerimaan perlu ada di dalam tender. Ia merupakan suatu proses bertaktik
sebagai keputusan yang strategik terhadap suatu pihak serta skop kerja yang
telahpun dikenalpasti.

Tender merupakan proses utama yang dilakukan oleh klien untuk mendapatkan
kontraktor yang layak. Pemilihan kontraktor biasanya dibuat melalui pertandingan
yang melibatkan perbandingan antara perkara tertentu seperti harga dan masa
pembinaan. Ini adalah antara faktor utama pemilihan kontraktor selain reputasi
serta pengalaman kontraktor tersebut.

2.2 Perolehan Kerajaan Di Malaysia

2.2.1 Syarat-syarat Perolehan Kerajaan

Perolehan yang melebihi RM200,000 perlu dipelawa secara tender. Tender terbuka
hendaklah dipelawa untuk bekalan yang nilainya melebihi RM200,000 setahun bagi
satu jenis item atau kelas jenis item, kecuali jika dibenarkan oleh Ketua Setiausaha
Perbendaharaan atau Pegawai Kewangan Negeri mengikut mana-mana yang
berkenaan. Semua jabatan kerajaan hendaklah menggunakan syarat-syarat am
tender sebagaimana ditentukan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan. Jika perlu
sesuatu jabatan itu menambah syarat-syarat tertentu asalkan ianya tidak
bercanggah dengan syarat-syarat am Arahan Perbendaharaan (A.P. 171.1). Semua
perolehan yang dipelawa secara tender hendaklah dipertimbangkan oleh Lembaga
Perolehan.

2.2.1.1 Kerja
Kerja merupakan perolehan yang melibatkan kerja-kerja pembinaan dan sivil seperti
bangunan, lapangan terbang, pelabuhan, jalanraya, tapak kawasan dan empangan
air serta kerja perparitan. Ia juga merangkumi kerja-kerja mekanikal dan elektrikal.

Menurut Elias (2000), sebelum sesuatu tender kerja ditender, pihak penguasa
tempatan memperuntukkan sekurang-kurangnya 30% daripada nilai kerja tahunan
khas untuk ditandingi di kalangan kontraktor Bumiputera sahaja dan ianya tidak
termasuk kontrak kerja di bawah RM100,000.00.

Tambahan beliau lagi, pihak penguasa tempatan juga mengkhususkan semua


tender bernilai RM100,000.00 kepada kontraktor Bumiputera sahaja dan
mengagihkan sekurang-kurangnya 50% daripada kerja-kerja yang bernilai dari
RM1000,000.00 hingga RM350,000.00 kepada kontraktor Bumiputera. Pelawaan
tender dibuat kepada syarikat-syarikat tertentu mengikut had kewangan iaitu
tender kerja yang kurang daripada RM10 juta dibuka kepada syarikat 100% milik
tempatan sahaja. Bagi tender di antara RM10 juta hingga RM25 juta pula dipelawa
daripada kalangan syarikat 100% tempatan dan syarikat tempatan yang
disenaraikan di Bursa Malaysia iaitu syarikat yang ditubuhkan dan diperbadankan di
Malaysia oleh warganegara Malaysia dengan syarat pegangan saham individu asing
tidak melebihi 30% dan Lembaga Pengarah, pengurusan dan pekerja dianggotai
100% oleh warganegara Malaysia.

Bagi tender yang melebihi RM25 juta pula boleh dipelawa daripada 100% milik
tempatan, syarikat temapatan yang disenaraikan di BSKL dan syarikat usahasama
yang diperbadankan di Malaysia dengan syarat pegangan ekuiti asing tidak
melebihi 49% dan majoriti ahli Lembaga Pengarah, pengurusan dan pekerja adalah
warganegara Malaysia (Elias, 2000). Tender kerja-kerja khas yang memerlukan
kepakaran khusus yang tidak boleh diperolehi melalui kepakaran tempatan boleh
ditender secara antarabangsa.

2.2.1.2 Bekalan

Bekalan adalah dimaksudkan sebagai barangan yang dibekalkan bagi menjalankan


sesuatu aktiviti, program atau projek agensi Kerajaan. Ia juga merupakan input
kepada sesuatu proses kerja atau perkhidmatan. Bekalan dimaksudkan adalah
seperti bahan binaan, makanan, pakaian, kenderaan dan kelengkapan pejabat.

Bagi tender yang bernilai RM100,000.00, pihak penguasa tempatan perlu


mempelawa tender di kalangan syarikat Bumiputera sahaja. Tender tempatan
hendaklah dipanggil berasaskan harga bersih sekiranya sumber boleh didapati di
dalam negeri. Bagi tender antarabangsa, ianya hanya boleh dipelawa bagi tender
bekalan yang tidak boleh diperolehi di dalam negeri atau tidak mempunyai
sekurang-kurangnya lima pembekal yang berdaftar dengan pihak penguasa
tempatan (Elias, 2000).

2.2.1.3 Perkhidmatan

Perkhidmatan adalah ditakrifkan sebagai khidmat tenaga manusia atau


kepakaran/kemahiran yang diperolehi untuk melaksana dan menyiapkan sesuatu
kerja tertentu. Bidang perkhidmatan terbahagi kepada dua seperti berikut:

Perkhidmatan Perunding

Perkhidmatan perunding meliputi semua jenis kajian seperti kajian ekonomi,


penswastaan, pengurusan, pembangunan fizikal yang memerlukan input seperti
senibina, kejuruteraan dan kerja-kerja ukur, pengurusan perundangan dan
perkhidmatan kepakaran dalam bidang-bidang khusus seperti alam sekitar dan
pertanian.

Perkhidmatan Bukan Perunding

Perkhidmatan bukan perunding meliputi perkhidmatan seperti pengendalian kursus


dan latihan, penyenggaraan dan pembaikan, pencucian dan pembersihan,
penyewaan dan pengurusan bangunan.

Bagi tender perkhidmatan yang bernilai tidak melebihi RM100,000.00, pihak


penguasa tempatan hendaklah mempelawa tender di kalangan syarikat Bumiputera
sahaja. Tender perkhidmatan ini hendaklah dipelawa di kalangan pentender
tempatan sahaja. Tender antarabangsa boleh dipelawa sekiranya didapati
perkhidmatan yang hendak diperolehi tiada di dalam negeri atau tidak mempunyai
sekurang-kurangnya lima syarikat yang berdaftar dengan pihak penguasa tempatan
(Elias, 2000).

2.2.2 Prosedur Perolehan Bekalan, Perkhidmatan dan Kerja

Perbendaharaan adalah pihak berkuasa pusat bagi perolehan (bekalan,


perkhidmatan dan kerja) kerajaan sama ada di Malaysia atau di luar negara dalam
pengawalan, penguatkuasaan, penyeliaan, penyelarasan, penggunaan,
pembahagian, penyimpanan, pemindahan antara jabatan dan pelupusan barang-
barang. Selain kuasa am yang diberi kepadanya dengan nyata oleh A.P. 166.1,
Perbendaharaan mempunyai kuasa khusus bagi perkara-perkara berikut yang
antaranya adalah:
Menentukan kriteria, syarat-syarat pendaftaran dan mendaftarkan individu, firma,
syarikat atau pertubuhan bagi membolehkan mereka berurus niaga dengan
kerajaan

Membeli atau memperolehi dengan cara yang paling menguntungkan, sama ada
melalui tender/sebut harga atau lain-lain

Membuat kontrak bagi perolehan jabatan dengan mengenakan terma-terma dan


syarat-syarat yang paling menguntungkan

Mengambil tindakan termasuk menggantung atau membatalkan pendaftaran ke


atas individu, firma, syarikat dan pertubuhan serta perunding yang didapati oleh
Perbendaharaan telah bersalah kerana keingkaran dalam melaksanakan sesuatu
kontrak atau prestasi tidak memuaskan daripada memasuki tender atau menyebut
harga atau memberi perkhidmatan kepada kerajaan bagi suatu tempoh yang
berpatutan

2.3 Proses Tender

Tender merupakan suatu kenyataan yang dikeluarkan kepada seseorang bagi

mendapatkan persetujuan daripada pihak yang tertentu. Sesuatu tender


merangkumi beberapa peringkat, tatacara dan prosedur yang berkenaan. Ia
melibatkan proses dokumentasi, proses pemilihan dan penilaian kontraktor dan
proses untuk menentukan harga kontrak terbaik yang boleh dipersetujui serta masa
penyiapan yang paling relevan untuk menyiapkan sesuatu projek pembinaan
(Mohamed, 2002).

Tender boleh diringkaskan sebagai satu sistem untuk memilih kontraktor bagi
menjalankan kerja-kerja kontrak pembinaan. Menurut Marsh (2003), prosedur
spesifik yang diadaptasi bagi sesuatu proses tender akan bergantung kepada ciri-
ciri berikut, iaitu:

Jenis pentenderan yang akan dibuat

Bilangan pentender yang dipilih

Keadaan kontrak

Sama ada proses yang melibatkan peringkat tunggal atau dua peringkat

Pertanggungjawaban yang diperlukan

Nilai jangkaan tender

Lokasi pentender (tempatan atau antarabangsa)


Lokasi projek

Mekanisme pemilihan (mekanisme kualiti/harga atau harga sahaja)

Secara ringkasnya, semua prosedur pentenderan adalah mengikut set aktiviti


utama yang sama, dengan aktiviti minor dihuraikan berpandukan faktor-faktor yang
digariskan di atas, iaitu seperti merujuk Rajah 2.1 di bawah.

Aktiviti Major

Aktiviti Minor

Kaedah pentenderan

Dokumentasi tender

Pemilihan pentender

Prosedur pentenderan

Penilaian tender

Respon terhadap faktor-faktor

Membangunkan strategi

Program

Program untuk produksi

Dokumentasi yang perlu dimasukkan

Jemputan pra-kelayakan kepada yang pentender berkelayakan

Menilai respon

Temubual

Pemeriksaan bebas

Koordinasi dokumentasi

Mengisu tender

Pemindaan isu

Pemeriksaan tapak dan luaran

Menilai dokumentasi
Input terhadap mekanisme kualiti/harga

Temubual

Pemberian kontrak

Rajah 2.1 : Aktiviti pentenderan (Sumber : March, 2003)

Secara umumnya, tujuan utama proses menender adalah untuk memilih seorang
kontraktor yang benar-benar berkelayakan dan bagi mendapatkan satu tender yang
boleh dipersetujui dan diterima oleh kedua-dua pihak yang terlibat.

2.3.1 Jenis Tawaran

Terdapat beberapa jenis tender yang dipraktiskan di Malaysia. Antara yang sering
diamalkan adalah tender terbuka, tender terpilih dan tender perundingan. Setiap
jenis tender mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing dan
perlaksanaannya adalah bergantung kepada kesesuaian dalam proses menender.
Pemilihan jenis tender dalam sesuatu projek pembinaan banyak bergantung kepada
beberapa faktor utama seperti saiz projek, lokasi pembinaan, kesesuaian dengan
masa serta kos yang diperuntukkan, pengalaman dan sebagainya.

2.3.1.1 Tender Terbuka

Tender jenis ini terbuka untuk ditandingi oleh semua kontraktor / pembekal yang
berdaftar dengan Kementerian Kewangan bagi bekalan dan perkhidmatan dan
Lembaga Pembangunan Industri pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat
kontraktor (PKK) bagi kerja.

Tender terbuka sering diamalkan di dalam industri pembinaan di Malaysia untuk


memilih kontraktor yang berkelayakan dan untuk melaksanakan suatu pembinaan
yang dirancang. Persaingan secara tender terbuka adalah lebih adil dan dapat
menjamin harga tender yang ditawarkan mengikut pasaran semasa. Klien akan
mengiklankan tawaran dalam akhbar-akhbar tempatan untuk menjemput kontraktor
yang berminat menawarkan harga yang munasabah bagi projek tersebut.

Di dalam iklan tawaran, akan disebut tentang skop kerja yang ditawarkan dan isu-
isu yang penting berkenaan projek yang akan dijalankan yang perlu diberi perhatian
oleh pihak kontraktor. Iklan bagi tender terbuka juga mencakupi rangka yang
terperinci tentang jenis, ukuran, program dan sifat utama kerja atau projek (Turner,
1983). Pentender akan dikenakan sejumlah wang tertentu untuk membeli dokumen
tender terebut dan dokumen yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar pada
tarikh dan tempat yang telah ditetapkan.

Penawaran harga oleh kontraktor biasanya berdasarkan jumlah anggaran kasar


sesebuah pembinaan berdasarkan pengalaman kontraktor itu sendiri. Harga ini
termasuklah harga bahan binaan, gaji pekerja, bayaran untuk sub-kontraktor, kerja
sampingan dan juga keuntungan. Harga tender yang diserahkan itu merupakan
tawaran yang muktamad tanpa apa-apa perundingan dan tawar-menawar dengan
pihak klien (Clough dan Sears, 1994). Semua kontraktor yang berkelayakan boleh
mencuba nasib mereka untuk memenangi tender tersebut kerana klien tidak terikat
untuk memilih mana-mana pentender yang menawarkan harga yang paling rendah.

Tujuan tender jenis ini adalah untuk membolehkan klien mendapatkan seorang
kontraktor yang dapat menawarkan harga yang paling minimum bagi sesuatu
projek pembinaan tanpa menjejaskan mutu kerja dan bahan binaan. Walaupun
begitu, harga yang paling rendah tidak semestinya harga yang paling baik pada
pandangan klien (Clough dan Sears, 1994). Dalam tender ini, klien yang diwakili
oleh perunding arkitek, jurutera dan juru ukur bahan akan membuat pelawaan
kepada kontraktor untuk menender di akhbar-akhbar.

Tender terbuka mempunyai beberapa kelebihan berbanding dengan jenis-jenis


tender yang lain. Tender terbuka memberi peluang yang sama rata kepada semua
kontraktor terutamanya kontraktor yang baru mendaftar dan kurang pengalaman.
Ini kerana pemilihan adalah berdasarkan kos yang ditawarkan oleh setiap
kontraktor. Di samping itu, ia juga tidak memerlukan kemahiran dan kelayakan yang
khusus. Tender jenis ini juga tidak menggalakkan manipulasi dan pakatan harga di
antara kontraktor yang memasuki tender (Milne, 1980). Tender jenis ini bersifat
kompetitif dan ini boleh mewujudkan persaingan yang sihat antara kontraktor yang
terlibat dan kebaikan kepada klien pula adalah dari aspek pemilihan kontraktor
yang dapat menawarkan harga yang paling munasabah.

Tender terbuka tidak sesuai untuk projek yang memerlukan penyiapan segera. Kos
projek mungkin akan meningkat disebabkan mutu kerja yang dihasilkan kurang
berkualiti disebabkan harga tawaran yang terlalu rendah. Ini adalah amat berisiko
kerana kontraktor mungkin akan membuat tuntutan yang tidak munasabah untuk
mengelakkan kerugian (Mohamed, 2002).

Tender jenis ini jarang dipraktiskan oleh pihak swasta. Ini adalah kerana proses yang
panjang diperlukan bermula daripada peringkat penyediaan dokumen,
mengiklankan, penyediaan lukisan spesifikasi sehinggalah kepada proses penilaian
dan pemilihan kontraktor yang layak yang mana berlaku pembaziran wang dan
masa.
Selain itu, tender terbuka kurang menggalakkan penggunaan alatan-alatan moden
kerana projek yang biasanya terlibat dengan tender terbuka adalah berkos rendah
atau sederhana. Kesukaran untuk memilih kontraktor yang layak juga menjadi satu
masalah bagi pihak klien kerana ia melibatkan jumlah yang agak besar dan ini
membazirkan masa dan wang bagi kedua-dua pihak iaitu kontraktor dan klien.

2.3.1.2 Tawaran Terhad dan Tertutup

Tender terpilih adalah tender yang hanya dikemukakan kepada kontraktor-


kontraktor yang telah dipilih oleh klien. Ini bermakna jumlah kontraktor yang boleh
memasuki tender untuk tender jenis ini adalah kecil tetapi kontraktor ini dipilih
berdasarkan kepada pengalaman dan kemahiran yang luas dalam sesuatu bidang.
Kontraktor yang berpengalaman luas dan mempunyai kemahiran tertentu yang
bersesuaian akan dikenalpasti terlebih dahulu dan hanya mereka sahaja yang akan
dipelawa untuk menyertai tender. Bilangan kontraktor terpilih biasanya kecil iaitu
antara 5 hingga 8 orang. Persaingan juga berlaku tetapi dalam jumlah yang kecil.

Melalui sistem tender ini, pemilihan kontraktor adalah berdasarkan lukisan lakar,
senarai bahan dan juga penyediaan kontraktor binaan dan kelayakannya. Terdapat
dua cara menyenaraikan kontraktor yang biasa diamalkan iaitu:

Perunding bagi pihak klien akan menyenaraikan nama-nama kontraktor yang layak.
Tender hanya akan ditawarkan kepada mana kontraktor yang termasuk dalam
senarai tersebut. Kontraktor yang meletakkan harga yang munasabah dan rendah
biasanya akan dipilih. Proses yang telah diterangkan dalam Kod Peraturan
Pemilihan.

Tender terpilih mengurangkan risiko kegagalan pembinaan dan mengurangkan kos


penyediaan dokumen tender. Ia amat sesuai bagi kerja-kerja khas yang memerlukan
kemahiran tertentu. Projek dapat disiapkan dengan baik kerana kontraktor yang
berpotensi, bereputasi tinggi serta yang benar-benar layak telah dipilih di peringkat
awal lagi (Mohamed, 2002).

Sistem tender terpilih juga tidak dapat lari dari kekurangannya iaitu tidak semua
kontraktor mendapat peluang dalam tender jenis ini terutamanya kontraktor yang
baru berdaftar dan kurang pengalaman kerana ia terhad untuk kontraktor yang
mahir serta berpengalaman. Salah satu masalah yang sering timbul apabila
mengamalkan tender jenis ini ialah terdapatnya pakatan harga di antara kontraktor
yang disenaraikan. Klien tidak mempunyai pilihan lain jika semua kontraktor
meletakkan harga yang tinggi dari kos yang ditaksir dari anggaran kasar, maka
pemilihan terpaksa dibuat ke atas kontraktor yang menawarkan harga yang paling
rendah antara kontraktor tetapi lebih tinggi dari kos asal. Biasanya kes ini berlaku
jika kontraktor itu mengenali antara satu sama lain (Saidin, 1998).
Tender terhad hanya boleh dilaksanakan setelah agensi mendapat kelulusan khas
Perbendaharaan Malaysia sebelum ianya dilaksanakan. Tawaran terhad biasanya
terbuka kepada semua kontraktor yang termasuk di dalam kategori yang telah
dinyatakan dalam iklan tawaran. Contohnya tawaran terhad kepada kontraktor
bumiputera sahaja.

2.3.1.3 Tawaran Perundingan

Dalam tender perundingan, klien akan menghantar surat kepada kontraktor


tertentu untuk menjemput kontraktor tersebut menyediakan rangka perbelanjaan
bagi projek yang dirancangkan. Klien akan berunding dengan seorang kontraktor
secara langsung mengenai projek pembinaan yang akan dilaksanakan sebelum
memilih kontraktor yang bersesuaian melalui tender perundingan. Biasanya klien
akan menjemput kontraktor yang mempunyai reputasi dan rekod yang baik yang
diketahui latarbelakang projek yang terlibat serta semestinya berkemahiran.

Biasanya, kos yang ditawarkan oleh kontraktor adalah lebih tinggi jika dibandingkan
dengan jenis-jenis tender yang lain. Ini kerana kontraktor akan terlibat secara
langsung dari peringkat awal kitaran hidup projek pembinaan sehinggalah ke
peringkat penyerahan projek kepada klien. Klien akan diberi penerangan yang jelas
dan terperinci mengenai kesesuaian rekabentuk, penggunaan bahan binaan,
teknologi yang digunakan serta cara binaan yang boleh memaksimumkan
keuntungan sesuatu projek pembinaan. Namun begitu, kos bagi membiayai proses
tender adalah murah memandangkan klien telahpun mempunyai kontaktor pilihan
yang dirasakan layak tanpa perlu melibatkan jemputan untuk menender yang
mengambil masa yang panjang dan tanpa melibatkan kontraktor yang ramai.
Terdapat dua jenis tender perundingan yang biasa dijalankan:

Tender yang diambil oleh kontraktor antarabangsa

Tender ini biasanya dijalankan untuk membina projek yang besar, berteknologi
tinggi dan memerlukan kepakaran yang sangat khusus. Contohnya adalah
pembinaan lapangan terbang antarabangsa, empangan hidroelektrik, bangunan
pencakar langit dan sebagainya. Satu jemputan tawaran akan dikeluarkan iaitu
antara kontraktor antarabangsa yang terlibat. Tujuannya adalah memberi
kemudahan kepada klien untuk berhubung dengan kontraktor bagi mengetahui
keupayaan dan kebolehan sebenar kontraktor bagi menjalankan projek tersebut.
Kemudian, tawaran yang dihantar akan ditapis dan borang tawaran tender akan
diberikan kepada kontraktor yang layak.
Tawaran oleh firma arkitek

Dalam tender jenis ini, borang tawaran hanya dikeluarkan kepada sejumlah kecil
kontraktor yang terpilih atau telah menjadi anak syarikat. Segala keperluan dan
perbelanjaan akan dibincangkan bersama antara kontraktor terlibat dengan firma
arkitek yang dilantik dan keputusannya adalah bergantung kepada arkitek yang
bertanggungjawab.

Secara umumnya, tender perundingan membolehkan perbincangan diadakan


antara pihak klien dan kontraktor bagi mendapat kos yang sesuai selain kontraktor
dapat memberi nasihat tentang rekabentuk, teknologi, bahan, cara pembinaan dan
sebagainya.

2.3.1.4 Tender Prakelayakan

Peraturan pra-kelayakan adalah bertujuan untuk menapis kontraktor-kontraktor


supaya mereka yang mempunyai pengalaman, kebolehan teknikal, kewangan
secara pengurusan bagi melaksanakan sesuatu projek sahaja dibenarkan
mengambil bahagian di dalam sesuatu tender yang diadakan setelah agensi
mendapat kelulusan khas Perbendaharaan Malaysia.

Secara amnya, tender prakelayakan adalah agak sama dengan tender terbuka.
Perbezaannya cuma kontraktor yang akan dipilih adalah kontraktor yang
mempunyai latarbelakang yang kukuh dan rekod yang baik sahaja akan dipilih
berbanding tender terbuka di mana semua kontraktor mempunyai peluang sama
rata. Bagi memastikan kontraktor yang dipilih mempunyai kelayakan yang
sepatutnya iaitu mempunyai kepakaran kerja, modal pusingan yang cukup dan
kemahiran dalam bidang tertentu, satu borang tawaran akan diberi kepada
kontraktor yang memohon. Dalam borang tawaran ini kontraktor dikehendaki
memberi maklumat tentang kenyataan kewangan dan pengurusan untuk
memastikan latar belakang diketahui dengan jelas oleh klien (Saidin, 1998).

Notis tawaran tender prakelayakan juga sama dengan tender terbuka iaitu dibuat
dengan menyatakan skop kerja dan tarikh tawaran dan butir-butir lain mengenai
projek yang akan dijalankan. Tambahannya adalah klien selalunya menetapkan
jangka masa pembinaan bagi projek tersebut. Selain itu, notis tawaran juga
berkehendakkan kontraktor membuat pembayaran tertentu bagi menjamin semua
kontraktor yang memasuki tawaran adalah bona fide (Saidin, 1998).

2.3.2 Persediaan Tender


Bagi pihak klien, suatu projek pembinaan akan berjaya jika ia memenuhi objektif
projek bagi menyiapkan projek di dalam masa yang ditetapkan serta kos yang
munasabah. Pembinaan juga perlu disiapkan mengikut jadual tertentu dan dibina
berdasarkan kepada perancangan serta spesifikasi yang ditetapkan. Perancangan
yang jelas dan terperinci perlu bagi menentukan setiap aktiviti yang dilakukan
adalah mengikut apa yang telah dirancang dan dipersetujui. Beberapa persediaan
tender antaranya melibatkan:

Mendefinisikan jenis kontrak yang akan ditawarkan

Menyusun dan menetapkan jawatankuasa tender yang mencadangkan pakej


kontrak

Penjadualan aktiviti tender yang terlibat.

Persediaan dokumen tender

2.3.2.1 Perancangan Tender

Perancangan tender adalah amat penting bagi memastikan bahawa setiap proses
tender yang terlibat dilaksanakan mengikut jadual berdasarkan pemilihan
kontraktor yang berkelayakan dengan mengambilkira kriteria dari segi kualiti,
kuantiti, masa serta kos. Pihak klien perlu menyediakan jadual tertentu bagi
menetapkan jangkaan proses tender yang terlibat seperti tempoh penyediaan
spesifikasi, pengiklanan, penilaian serta keputusan tender.

2.3.2.2 Penyediaan Spesifikasi

Kementerian dan Jabatan tertentu dikehendaki menyediakan spesifikasi tender. Bagi


maksud ini, Jawatankuasa Teknikal perlu ditubuhkan. Spesifikasi hendaklah secara
terperinci bagi memberi gambaran secara jelas kepada pentender akan apa yang
diperlukan atau yang dikehendaki. Spesifikasi tersebut hendaklah berdasarkan
kepada fungsi dan prestasi dengan kepatuhan kepada piawaian antarabangsa atau
serupa boleh dimasukkan ke dalam sepsifikasi tersebut.

Apabila tender atau sebut harga dipelawa, penentuannya hendaklah jelas supaya
pentender mendapat gambaran mengenai kehendak-kehendak klien. Contohnya,
sekiranya pihak JKR ingin membeli kelengkapan atau jentera di mana penentuan
penuh tidak dapat dikemukakan, butir-butir lain hendaklah diberikan kepada
kontraktor supaya kontraktor berkenaan mempunyai suatu asas yang saksama
untuk menyertai tender. Misalnya, jika suatu kelengkapan dikehendaki, keupayaan
minimum kelengkapan berkenaan perlulah dinyatakan dan terpulanglah kepada
kontraktor untuk memberi butir-butir kelengkapan yang mereka tawarkan beserta
dengan harga.

Nama dagangan atau nama jenama tidak boleh digunakan dalam penentuan tender.
Spesifikasi yang menjurus kepada sesuatu jenama atau negara ditegah sama sekali.
Jika ini tidak dapat dielakkan, ungkapan atau persamaan hendaklah ditulis selepas
nama dagangan atau nama jenama di atas dokumen tender itu (A.P. 174.1).
Pentender boleh membantah di dalam 14 hari dari tarikh tender diiklankan jika
spesifikasi tersebut menjurus kepada sesuatu jenama. Ringkasnya, spesifikasi yang
tepat perlu dinyatakan dengan jelas bagi memastikan pentender mendapat
gambaran sebenar apa yang dikehendaki oleh klien di dalam sesuatu tender.

2.3.3 Prosedur Penyediaan Tender

Tender ditawarkan apabila adanya keperluan untuk projek tersebut contohnya


sesebuah kawasan itu memerlukan sekolah, maka cadangan akan dikemukakan
kepada pihak JKR Daerah Johor Bahru. Proses penyediaan Dokumen Meja Tender
(DMT) bermula apabila pelan-pelan akan diterima daripada Jabatan Arkitek ataupun
arkitek yang dilantik. Dari sini, segala kerja-kerja akan diprogramkan iaitu
menentukan item untuk kos utama (PC) dan Provisional Sum dan seterusnya
menganggarkan jumlah untuk PC dan Provisional Sum itu. Nilai anggaran ini
kemudiannya akan dimasukkan ke dalam anggaran kos projek.

Draf ringkasan tawaran dan tambahan kepada penentuan juga akan ditentukan.
Selain itu juga, borang-borang yang berkenaan juga disusun dan dihantar untuk
ditaip dan kemudiannya dikumpul, disusun dan dihantar untuk dijilid. Setelah
anggaran kasar kos sesuatu projek itu diperolehi, anggaran tersebut akan dihantar
ke ibu pejabat JKR di Kuala Lumpur untuk menentukan jenis tender. Selain itu, ia
juga dihantar ke Bahagian Kewangan untuk mendapatkan pengesahan peruntukan.
Ini untuk memastikan projek tersebut tidak melebihi dari peruntukan yang
disediakan.

Setelah mendapat pengesahan daripada Bahagian Kewangan, anggaran kos


tersebut akan dimasukkan ke dalam bahan yang telah dijilid. Namun begitu,
hendaklah dipastikan bahawa Bahagian Kewangan telah meluluskan pengesahan
peruntukan kerana masalah akan timbul apabila projek bermula.

Setelah itu, dokumen tender dan DMT boleh disediakan dan maklumat ini akan
disemak semula oleh ibu pejabat JKR untuk penentuan tender. Dalam dokumen
tender dan DMT itu hendaklah dipastikan kelas, tajuk dan tajuk kecil selain daripada
tempoh untuk pengiklanan serta bilangan tender. Tender kemudiannya akan
diiklankan ke dalam akhbar-akhbar tempatan.
Dokumen tender akan dikenakan sejumlah bayaran yang berpatutan kepada
kontraktor seperti yang digariskan oleh Jabatan Perbendaharaan Malaysia. Menurut
Rafiza (2002), jumlah bayaran tender dokumen boleh dikira berdasarkan perkara-
perkara berikut:

Spesifikasi, senarai kuantiti dan dokumen-dokumen lain dalam kertas bersaiz A4


ialah RM0.75 setiap helai mukasurat.

Lukisan-lukisan dalam kertas A3 ialah RM1.40 sehelai, saiz A2 ialah RM7.00, saiz A1
ialah RM13.00 sehelai manakala saiz A berharga RM16.00 sehelai.

Setiap set dokumen tender adalah tertakluk kepada bayaran minimum sebanyak
RM100.00 manakala bagi tender yang mempunyai lukisan dan dokumen sulit,
deposit sebanyak RM10,000.00 akan dikenakan dan kemuadian akan dipulangkan
semula apabila dokumen tender dikembalikan dalam keadaan yang baik

Kandungan Dokumen Tender akan meliputi syarat-syarat dan terma am, spesifikasi,
salinan perjanjian, jadual harga, tempoh penghantaran, tempoh bantahan dan skop
kerja yang diperlukan. Dokumen Tender bagi JKR biasanya berharga dari RM200.00
sehingga RM400.00 termasuk pelan dan lukisan spesifikasi. Kebiasaannya bagi
sektor swasta, harga dokumen tender perlu juga dimasukkan wang kesungguhan
yang biasanya dalam bentuk bank draf. Harganya adalah dalam lingkungan
RM2000.00 sehingga RM3000.00 tetapi tidak melebihi RM5000.00, bergantung
kepada saiz projek yang terlibat.

2.3.4 Deposit Tender

Pembekal atau kontraktor tempatan yang telah berdaftar dengan Kementerian


Kewangan dikecualikan dari mengemukakan deposit tender. Bagi tender
antarabangsa, petender asing diperlukan mengemukakan deposit tender bernilai
antara RM62,500 bagi tawaran kurang dari RM5 juta sehingga deposit bernilai RM1
juta bagi tawaran bernilai RM30 juta bagi tender bekalan dan perkhidmatan. Bagi
tender kerja, petender dikehendaki mengemukakan deposit tender bernilai
RM50,000 bagi kontrak di bawah RM10 juta sehingga deposit bernilai RM1 juta bagi
kontrak kerja bernilai RM100 juta. Deposit tender adalah dikecualikan bagi tender
tempatan. Bagi tender antarabangsa, deposit tender hendaklah dikenakan seperti
berikut:

Jadual 2.1 : Deposit tender bekalan / perkhidmatan (A.P. 175.1)

Anggaran Nilai Tender Jumlah Deposit Tender

Hingga RM 5 juta RM 62,500

Melebihi RM 5 juta sehingga RM 10 juta RM 187,500


Melebihi RM 10 juta sehingga RM 20 juta RM 375,000

Melebihi RM 20 juta sehingga RM 30 juta RM 625,000

Melebihi RM 30 juta RM 1 juta

Jadual 2.2 : Deposit tender kerja (A.P. 175.1)

Anggaran Nilai Tender Jumlah Deposit Tender

Hingga RM 10 juta RM 50,000

Melebihi RM 10 juta sehingga RM 20 juta RM 150,000

Melebihi RM 20 juta sehingga RM 50 juta RM 350,000

Melebihi RM 50 juta sehingga RM 100 juta RM 750,000

Melebihi RM 100 juta RM 1 juta

Bagi pentender tempatan yang mendapat pengecualian daripada pendaftaran,


deposit tender hendaklah dikenakan sebanyak 2.5% daripada harga tawarannya
atau maksimum RM10,000. Semua deposit tender hendaklah dalam bentuk draf
bank/jaminan bank (A.P. 175.1).

Oleh kerana pentender tempatan tidak dikenakan deposit, sekiranya kontraktor


menolak tawaran setelah tawaran dibuat kepadanya dalam tempoh sah laku
tawaran berkenaan, tindakan penggantungan pendaftaran akan diambil terhadap
mereka. Kontraktor tersebut akan digantung oleh Perbendaharaan daripada
mengambil bahagian dalam tender kerajaan selama dua tahun bagi kesalahan
pertama dan lima tahun bagi kesalahan kedua. Untuk kesalahan ketiga, pendaftaran
syarikat berkenaan akan dibatalkan, seterusnya nama pemilik modal atau ahli
Lembaga Pengarah disenaraihitamkan (A.P. 175.1).

Dalam pelawaan tender hendaklah disyaratkan bahawa bagi mereka yang


dikenakan bayaran deposit tender, jika pentender enggan menandatangani sesuatu
kontrak selepas tendernya disetuju terima atau menarik balik tendernya sebelum
keputusan dibuat, maka deposit tendernya akan dirampas. Ini adalah bagi
memastikan bahawa pentender benasr-benar serius dalam menender sesuatu
bekalan, perkhidmatan atau kerja. Deposit tender bagi pentender yang tidak
berjaya hendaklah dipulangkan setelah tender itu disetuju terima oleh pentender
yang berjaya atau selepas tamat tarikh sah laku tender. Deposit pentender yang
berjaya akan dikembalikan selepas bon perlaksanaan diterima.

Dalam AP. 176.2 menyatakan bahawa sebelum sesuatu kontrak bekalan atau
peerkhidmatan yang nilainya melebihi RM50,000 tetapi tidak melebihi RM500,000
disempurnakan, kontraktor yang berjaya hendaklah memberi Bon Perlaksanaan
sebanyak 2.5% daripada jumlah harga kontrak. Bagi kontrak yang melebihi
RM500,000 pula, Bon Perlaksanaan yang diperlukan ialah sebanyak 5% daripada
jumlah harga kontrak. Untuk kontrak bekalan atau perkhidmatan bermasa yang
berkuatkuasa selama dua tahun atau lebih, peratus Bon Perlaksanaan hendaklah
dikira mengikut harga anggaran kontrak bagi setahun sahaja dan tidak daripada
keseluruhan harga kontrak. Walaubagaimanapun, tempoh tamat Bon Perlaksanaan
tersebut hendaklah meluputi keseluruhan tempoh kontrak bermasa.

2.3.5 Proses Memasuki Tender Penguasa Tempatan Oleh Kontraktor

Tender biasanya diiklankan di dalam akhbar tempatan (Utusan Malaysia) pada hari
Isnin atau Khamis. Kontraktor tidak perlu berdaftar dengan penguasa tempatan bagi
menyertai tender. Sebelum menyertai tender penguasa tempatan kontraktor perlu
mempunyai sijil pendaftaran dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) bagi tender
kerja atau dengan Kementerian Kewangan Malaysia (KKM) bagi tender bekalan atau
perkhidmatan. Kontraktor dikehendaki menyemak syarat pendaftaran untuk
menyertai tender seperti di dalam iklan iaitu kelas, kepala dan sub-kepala bagi
tender serta kod bidang bagi tender bekalan atau perkhidmatan. Kontraktor juga
diwajibkan berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia
(CIDB) bagi tender kerja.

MULA

Serahkan lesen kontraktor kepada Pembantu Tadbir untuk semakan dan Pembantu
Tadbir akan menyediakan bil bayaran dokumen

Buat bayaran di kaunter Jabatan Kewangan

Kemukakan resit bayaran ke kaunter Bahagian Ukur Bahan & Kontrak untuk
mendapat dokumen tender

Semak dokumen serta pelan (jika ada) dan pastikan ianya betul dan mencukupi
sebelum meninggalkan kaunter

TAMAT

Rajah 2.2 : Carta alir penjualan dokumen tender oleh penguasa tempatan

Kelayakan kontraktor boleh dikategorikan seperti berikut:

Jadual 2.3 : Kelayakan kontraktor untuk memasuki tender penguasa tempatan

KERJA AWAM / BANGUNAN KERJA ELEKTRIK


Kelas Nilai Projek (RM) Kelas Nilai Projek (RM)

A Melebihi 10,000,000 I 1,000,001 ke atas

B 5,000,001 hingga 10,000,000 II 1,000,000 ke bawah

C 2,000,001 hingga 5,000,000 III 500,000 ke bawah

D 500,001 hingga 2,000,000 IV 150,000 ke bawah

E 200,001 hingga 500,000 V 50,000 ke bawah

F sehingga 200,000 VI 20,000 ke bawah

Sekiranya kontraktor merasakan diri mereka layak, mereka dikehendaki datang ke


Kaunter Bahagian Ukur Bahan & Kontrak pada masa yang telah ditetapkan seperti
berikut:

Jadual 2.4 : Masa urusan pembelian dokumen tender oleh penguasa tempatan

Hari Waktu

Isnin Khamis 8.15 pagi 12.30 tengahari

2.15 petang 3.45 petang

Jumaat 8.15 pagi 12.00 tengahari

2.45 petang 3.45 petang

Kontraktor juga dikehendaki membawa bersama dokumen-dokumen berikut:

Sijil perakuan pendaftaran PKK atau KKM beserta salinan

Sijil pengiktirafan status Bumiputera beserta salinan (jika dikehendaki)

Surat perwakilan kuasa sekiranya kontraktor berkenaan mewakilkan kakitangan


untuk mengambil dokumen tawaran

Sijil perakuan pendaftaran asal CIDB yang berkaitan

Bayaran untuk dokumen tender sama ada dalam bentuk tunai, cek, wang pos atau
bank draf

2.3.5.1 Peraturan / Had Nilai Tender Oleh Penguasa Tempatan


Semua perolehan Kerajaan hendaklah dibuat daripada Kontraktor yang
pendaftarannya masih berkuatkuasa. Pihak berkuasa bagi pendaftaran kontraktor
dalam bidang bekalan dan perkhidmatan ialah Kementerian Kewangan manakala
bagi kontraktor kerja ialah Pusat Khidmat Kontratkor (PKK) dan Lembaga
Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Pengecualian hanya dibenarkan
bagi perolehan yang tidak melebihi RM10,000.00 setahun bagi bekalan dan
perkhidmatan mengikut AP 184.2(a). Semua projek yang dilaksanakan di penguasa
tempatan sama ada kerja, bekalan atau perkhidmatan yang melebihi RM
100,000.00 setahun perlu dipelawa secara tender.

2.3.6 Proses Memasuki Tender JKR Oleh Kontraktor

Terdapat beberapa prosedur tertentu yang perlu dilalui oleh kontraktor sebelum ia
dapat bertanding untuk memperolehi tender tersebut iaitu iklan, mengisi dokumen
tender dan menghantar dokumen tender sebelum tarikh tutup.

2.3.7 Iklan

Apabila mempelawa tender, publisiti yang seluas-luasnya hendaklah dibuat supaya


semua pembekal yang bona fide berpeluang untuk menyertai tender dan dengan
yang demikian membolehkan kerajaan memperolehi tawaran yang terbaik. Tender
tempatan hendaklah diiklankan dalam sekurang-kurang satu akhbar harian utama
berbahasa Melayu. Walaubagaimanapun, untuk tender antarabangsa, sekurang-
kurangnya di dalam dua akhbar, di mana satu berbahasa Melayu dan satu
berbahasa Inggeris pemberitahuan juga dihantar kepada kedutaan dan Pesuruhjaya
Tinggi negara-negara yang sesuai dan boleh mengambil bahagian di dalam tender
tersebut. Bagi tender yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan, iklan tender juga
akan dipaparkan di dalam laman web BPPK. Pentender diberi tempoh tidak kurang
dari 21 hari bagi tender tempatan. bagi tender antarabangsa, tempoh tersebut
adalah tidak kurang dari 56 hari.

Walaupun publisiti meluas digalakkan bagi urusan tender, pertimbangan sewajarnya


mengenai kos iklan hendaklah juga diambilkira. Sekiranya kontraktor yang
berkelayakan di bawah satu-satu bidang adalah diketahui tidak melebihi lima
kontraktor, iklan tidak perlu dibuat (A.P. 172). Dalam hal demikian, kelulusan Ketua
Setiausaha Perbendaharaan atau Pegawai Kewangan Negeri hendaklah diperolehi
terlebih dahulu. Setelah mendapat kelulusan, pemberitahuan tender kepada
kontraktor yang diluluskan hendaklah dihantar melalui surat berdaftar (A.P. 172) .

Iklan tender dikeluarkan pada setiap minggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis di
dalam akhbar-akhbar tempatan iaitu bagi projek yang melebihi RM 100,000. Bagi
projek yang nilai tendernya kurang RM 100,000, sebut harga akan dipamerkan pada
papan kenyataan jabatan.

Kontraktor yang ingin memasuki tender perlu menyemak keperluan kerja, kelayakan
kelas, kepala dan subkepala serta masa dan tempat kepala. Juga perlu dipastikan
tarikh tutup tawaran serta jumlah wang cagaran dan wang tebusan.

Di samping keperluan di bawah Arahan Perbendaharaan bagi publisiti tender,


kenyataan tender hendaklah juga menyatakan bahawa dokumen tender hendaklah
dimasukkan ke dalam sampul berlakri dan dituliskan rujukan tertentu supaya boleh
dikenali sebelum ianya dibuka. Waktu tender ditutup bagi penerimaan hendaklah
ditetapkan pada jam 12.00 tengahari pada hari bekerja.

2.3.8 Mengisi Dokumen Tender

Cara mengisi sesuatu borang tender adalah penting untuk menjamin Dokumen
Tender dari kontraktor tersebut sah dan layak memasuki tender. Kontraktor
hendaklah membuat perkiraan awal sendiri untuk dibandingkan dengan quotation
dari JKR dan seterusnya dapat memberikan harga yang kompetitif. Bagi dokumen
tender yang menggunakan senarai kuantiti (BQ), hendaklah dipastikan kadar harga
dan mendarabkan kuantiti dengan betul.

Kesilapan yang kecil sekalipun seperti mengisi jenama peralatan tidak seperti yang
dihargakan adalah perlu dielakkan. Kontraktor juga perlu memastikan jumlah
senarai kuantiti atau ringkasan tawaran dipindahkan dengan betul ke Ringkasan
Tender dan seterusnya ke Borang Tender. Akhir sekali, kontraktor perlu mencatatkan
harga tender, tempoh kerja dan kemudiannya menandatangani Borang Tender.

Dokumen Tender akan dijual mulai tarikh iklan tender tersebut dibuat di dalam
akhbar tempatan. Hanya kontraktor/pembekal yang memenuhi syarat-syarat
pendaftaran dalam bidang yang berkenaan dibenarkan membeli Dokumen Tender
tersebut. Bagi tender antarabangsa, pengecualian diberikan dari syarat-syarat
keperluan pendaftaran.

2.3.9 Penutupan Tender

Tender mahupun sebut harga yang diterima tanpa dibuka hendaklah dimasukkan ke
dalam peti tawaran berkunci. Peti tawaran hendaklah ditanda tarikh dan waktu peti
akan dibuka. Dua kunci yang berbeza bagi peti tawaran hendaklah diadakan dan
anak kunci dipegang secara berasingan oleh dua orang pegawai kanan Jabatan
berkenaan. Keselamatan peti tawaran hendaklah sentiasa dijaga.
Biasanya tempoh antara penyediaan tender hingga penutupan tender adalah
minima antara 21 hari. Namun tempoh ini akan lebih lama jika membabitkan projek
yang lebih besar kosnya. Sebelum menghantar sesuatu dokumen tender itu,
kontraktor hendaklah menyemak pada iklan tarikh tutup dan tempat
mengemukakan tender kerana ia mungkin berbeza dengan tempat membeli tender.
Kontraktor juga perlu memastikan tajuk dan nombor projek dicatatkan di luar
sampul surat tender.

Borang Tender hendaklah dimasukkan ke dalam peti yang bertulis tajuk projek
berkenaan sebelum pukul 12 tengahari. Begitu juga jika borang tersebut dihantar
melalui mel udara. Penghantaran borang tender selepas masa dan tarikh tersebut
tidak akan dilayan. Satu lagi perkara penting dalam menghantar Borang Tender
adalah elakkan menggabungkan 2 tender dalam 1 sampul walaupun kedua-dua
tender tersebut mempunyai tarikh tutup yang sama kerana projek yang berlainan
mempunyai peti yang berbeza dan dalam kes ini kerugian adalah bagi pihak
kontraktor itu sendiri.

2.4 Kontrak

Kontrak ialah satu perjanjian yang terjalin apabila satu pihak bersetuju untuk
menerima tawaran daripada satu pihak yang lain (Saidin, 1998). Ianya merupakan
satu persetujuan bertulis berdasarkan perjanjian yang boleh dikuatkuasakan oleh
undang-undang yang mengikat kedua-dua belah pihak yang berkontrak yang
terlibat iaitu klien dan kontraktor. Kontrak merupakan elemen yang sangat penting
dalam industri pembinaan kerana terdapatnya proses kerjasama antara pelbagai
pihak bagi mewujudkan tujuan persetujuan yang dipersetujui. Dalam projek-projek
kerajaan, jika didapati perlu atau sesuai untuk mengadakan satu kontrak formal,
kontrak itu hendaklah dibuat atas nama Kerajaan dan ditandatangani oleh pegawai
diberi kuasa di bawah Akta Kontrak Kerajaan 1949 (disemak 1973).

Sebelum sesuatu kontrak kerja dimulakan, kontraktor hendaklah mengemukakan


Bon Perlaksanaan sebanyak 5% daripada keseluruhan kontrak. Bon Pelaksanaan
yang dikemukakan hendaklah dalam bentuk Jaminan dari bank berlesen di bawah
akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 yang menjalankan perniagaan di Malaysia
atau Jaminan Insurans yang dikeluarkan oleh syarikat insurans berlesen di bawah
Akta Insurans 1963. Bon Perlaksanaan yang dikeluarkan dalam bentuk Jaminan
Insurans hendaklah bagi kontrak kerja yang bernilai tidak melebihi RM1 juta. Bagi
nilai melebihi RM1 juta, jaminan hanya boleh dikemukakan dalam bentuk Jaminan
Bank sahaja.
Jenis-jenis kontrak yang biasa dipraktiskan di Malaysia mempunyai 4 jenis iaitu
kontrak Lump Sum (Gumpalan/Harga Pukal), kontrak Measure & Value (Ukur dan
Nilai), kontrak Cost Reimbursement (Kos Pembayaran Ganti) dan kontrak Turnkey.

2.4.1 Kontrak Lump Sum

Kontrak Lump Sum boleh dilaksanakan dalam tiga cara. Pertamanya berdasarkan
kepada lukisan spesifikasi yang disertakan dengan spesifikasi. Biasanya kontrak ini
digunakan untuk kerja yang memerlukan projek disiapkan cepat dan lukisan
spesifikasi yang disertakan adalah kurang memuaskan untuk mendapatkan ukuran
yang tepat. Ini menyebabkan kontraktor terdedah kepada risiko yang tinggi.

Kontrak Lump Sum berdasarkan lukisan dan senarai bahan digunakan untuk projek-
projek yang bernilai lebih RM I juta. Dengan menggunakan kaedah pengukuran
yang tepat berdasarkan pelan yang disediakan, kedua-dua pihak yang terlibat dapat
merasai keadilan. Jenis kontrak seperti ini juga akan memudahkan pembayaran
kemajuan kerja dan untuk kerja-kerja ubahsuai (Saidin, 1998).

Kontrak Lump Sum berdasarkan kepada lukisan dan jadual kadar harga pula
digunakan jika masa tidak mencukupi untuk menyediakan dokumen-dokumen lain
dan kebanyakan projek ini mengikut harga yang ditetapkan kontraktor. Ia juga
kadangkala digunakan dalam kerja penyelenggaraan bangunan. Menurut Saidin
(1998), kontrak Lump Sum jenis ini juga telah diubahsuai secara umum yang boleh
dibahagi kepada dua kategori iaitu:

Kontrak Fixed Price merangkumi penetapan terhadap kerja-kerja kecil di dalam


kontrak tersebut serta harganya tidak boleh diubah setelah kontrak ditandatangan.

Kontrak Firm Price boleh dibuat perubahan terhadap harga tetapi tidak boleh
mengubah jumlah besar kontrak tersebut.

2.4.2 Kontrak Measure and Value

Kontrak jenis ini secara khususnya digunakan bagi bangunan-bangunan yang besar
serta perlu dirahsiakan daripada pengetahuan masyarakat kedudukan bahagian-
bahagian tertentu di dalam bangunan tersebut, misalnya ialah penjara dan institusi
kewangan atau bank kerana faktor utama yang diambilberat adalah faktor
keselamatan. Pembinaan dilakukan secara cepat di mana tiada penyediaan lukisan
spesifikasi yang setara dan senarai bahan bagi tujuan perlaksanaan.

Masalah yang biasa di dalam kontrak jenis ini adalah dari aspek menentukan harga
perbelanjaan sebenar khususnya pada peringkat permulaan kerja. Tawaran projek
adalah secara sementara atau dikenali juga sebagai provisional. Bayaran hanya
dibuat setelah kontraktor yang terlibat memulakan kerja pembinaan berdasarkan
pengukuran dan kerja-kerja yang telah disiapkan. Pengubahsuaian kontrak biasa
berlaku dan bahagian yang dimaksudkan itu adalah (Saidin, 1998):

Lukisan, spesifikasi kerja dan jadual kadar harga pembayaran dilakukan mengikut
jadual yang telah dipersetujui terlebih dahulu antara pihak klien dan kontraktor.

Lukisan, analisa kos dan spesifikasi kerja pembayaran bagi projek adalah
berpandukan pada projek-projek lain yang setara iaitu mempunyai funsi dan bentuk
fizikal yang agak sama.

2.4.3 Kontrak Cost Reimbursement

Kontrak Cost Reimbursement kadangkala juga dikenali sebagai Kontrak Cost Plus.
Secara umumnya, kontrak jenis ini boleh dibahagikan kepada 3 kategori utama iaitu
(Saidin, 1998):

Wang Kos Prime + Yuran Tetap

Wang Kos Prima + Peratus Yuran

Wang Kos Prima + Yuran Sasaran

Yuran yang terlibat adalah kiraan keuntungan dan perbelanjaan pengurusan


manakala Wang Kos Prima merupakan kos-kos yang melibatkan kos bahan, kos
pekerja dan kos peralatan atau jentera dan juga lat-alat sampingan di dalam
pembinaan projek berkenaan.

Biasanya, kos pengurusan dan keuntungan telah dipersetujui terlebih dahulu dalam
bentuk sejumlah peratusan tambahan ke atas kos bahan, kos pekerja dan kos
peralatan. Sistem pengurusan ini amat sesuai untuk projek-projek yang sulit,
kompleks dan perlu disiapkan cepat. Oleh sebab itu, para pakar perunding dan
kontraktor yang mahir dan jujur diperlukan supaya projek tersebut dapat disiapkan
mengikut jadual masa tanpa menjejaskan mutu kerja dengan kos pembinaan yang
paling minimum.

Yuran sasaran adalah bayaran tambahan yang dipersetujui oleh kontraktor dengan
juruukur bahan sebelum sesuatu surat perjanjian kontrak ditandatangani. Kadar
tambahan bayaran biasanya diberikan kepada kontraktor sekiranya kontraktor
tersebut dapat menyiapkan projek dengan lebih cepat dari masa yang
diperuntukkan dengan memuaskan (Saidin, 1998). Cara ini dapat mendorong
kontraktor melipatgandakan usaha serta berlumba untuk menyiapkan projek
berkenaan.
Sebelum kadar tambahan bayaran dipersetujui oleh kedua-dua pihak, beberapa
perkara penting perlu diambil perhatian serius iaitu:

Angka atau jumlah harga anggaran

Bonus atau denda yang perlu dibayar jika belanja sebenar kurang atau lebih tinggi
daripada harga anggaran

Mutu kerja semata-mata untuk menjaga kualiti bagi pihak klien dan kontraktor yang
mementingkan pencapaian kos daripada harga anggaran

2.4.4 Kontrak Turnkey

Dalam kontrak turnkey, pihak klien meneyrahkan sepenuhnya tanggungjawab


penyiapan projek kepada pihak kontraktor. Biasanya projek-projek besar seperti
pembinaan hospital, jambatan, empangan dan lebuhraya diserahkan kepada suatu
organisasi atau perunding luar negeri untuk mengurus, merekabentuk serta
mengendalikan projek tersebut sehingga siap mengikut masa, harga dan arahan
serta kemahuan pihak kerajaan yang bertindak sebagai klien.

Kebaikan menggunakan pendekatan turnkey adalah dapat mengurangkan


penglibatan klien secara langsung mengenai hal-hal yang bersangkutan dengan
masalah teknikal, kecepatan dan pengawalan kos pembinaan secara keseluruhan.
Penyediaan awalan, iaitu merekabentuk serta kerja-kerja pengurusan bagi
pengurusan bagi projek-projek besar yang sulit lagi kompleks adalah satu
tanggungjawab yang amat besar dan memakan masa yang agak lama. Menurut
Uzairi (1998), terdapat dua faktor yang menyebabkan konsep turnkey
diketengahkan iaitu:

Keperluan dan permintaan serta desakan yang semakin menginkat terhadap projek-
projek yang sedia dalam perancangan daripada pihak-pihak tertentu

Kekurangan dari segi kepakaran teknikal serta sumber tenaga kerja

2.5 Kesimpulan

Dalam industri pembinaan, terdapat banyak jenis tender yang membolehkan klien
mendapat kontraktor yang layak untuk melaksanakan projek. Setiap tender juga
mempunyai kelebihan serta kekurangannya yang tersendiri. Klien boleh memilih
iaitu untuk mengemukakan pelawaan tender terhadap semua kontraktor melalui
tender terbuka atau hanya mengemukakan pelawaan terhadap kontraktor yang
dipilih melalui tender terpilih. Tender perundingan pula lebih menguntungkan klien
di mana terdapat perundingan secara terperinci antara klien dengan kontraktor
sebelum bermulanya peringkat rekabentuk dan segala keperluan dibincang
bersama. Tender prakelayakan pula biasanya diamalkan untuk mendapatkan
kontraktor yang mempunyai kemahiran tertentu sahaja. Walaupun begitu,
keputusan untuk memilih jenis tender yang ditawarkan bergantung juga kepada
jenis, kos serta keperluan projek tersebut. Lebih besar serta kompleks projek
tersebut, lebih tinggi risiko yang perlu ditanggung oleh klien.

Secara umumnya, prosedur dalam proses tender adalah boleh dikatakan tiada
bezanya di antara praktis JKR dan penguasa tempatan kerana kedua-dua Jabatan
masih mempraktikkan landasan yang digariskan di dalam Arahan Perbendaharaan
dan pemilihan tender yang berjaya perlu dirujuk kepada Lembaga Perolehan seperti
yang ditekankan di dalam Arahan Perbendaharaan.

You might also like