You are on page 1of 5

Teks Persaraan Cgu Sobri

Mengumumkan ketibaan yang diraikan Cikgu Muhamad Sobri bin Mahmud

Bismillahhirohma nirahim

Assalamualaikum warahmatullah hi taala wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Yang berusaha Cikgu Lazid bin Ahmad, Pegetua SMK Kuala Nerang

Yang berusaha Pn Rasyeina Naemi, Yang Dipertua PIBG SMK Kuala Nerang

Yang berusaha barisan guru-guru Penolong Kanan SMK Kuala Nerang

Yang diraikan Cikgu Muhamad Sobri bin Mahmud

Yang dihormati guru-guru kanan, kaunselor-kaunselor, guru-guru, staf-staf SMK Kuala Nerang dan
pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, sekali lagi kita dapat berkumpul pada hari ini dalam Dewan
Perdana Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang bagi meraikan majlis persaraan ketua guru
disiplin SMK Kuala Nerang, Cikgu Mohamad Sobri bin Mahmud.

Untuk makluman semua tarikh akhir perkhidmatan Cikgu Sobri sebenarnya adalah pada 5 Oktober
2022. Namun, atas sebab-sebab tertentu maka majlis persaraan beliau telah diadakan pada hari ini.

Bagi memberkati majlis pada hari ini, marilah sama-sama kita menadah tangan mengaminkan doa
yang akan dipimpin oleh wakil pelajar iaitu Imran Hakimi.

Aaminn ya rabbal alamin

Terima kasih diucapkan kepada Imran Hakimi di atas pimpinan bacaan doa sebentar tadi.

Bagi memulakan acara pada hari ini, dijemput wakil pelajar iaitu Muhammad Hakimi bin Hamid
untuk menyampaikan ucapan sempena persaraan Cikgu Mohamad Sobri bin Mahmud. Dipersilakan.

Terima kasih Muhammad Hakimi.

Seterusnya majlis dengan segala hormatnya mempersilakan pengerusi majlis staf, tidak lain dan
tidak bukan, Cikgu Mohd Kahar Muzakar bin Hanapiah. Pastinya banyak yang ingin disampaikan oleh
beliau sempena majlis persaraan Cikgu Sobri memandangkan berkenal pun sudah lama. Oleh itu,
majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Cikgu Kahar untuk menyampaikan bait-bait kata
beliau. Dipersilakan.

Terima kasih Cikgu Kahar.


Ambilkan saya buah delima,
Masak sebiji di balik daun;
Budi tuan kami terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun.

Dijemput Cikgu Muhamad Sobri bin Mahmud untuk berada di kerusi yang telah dihias indah.

Dibacakan serba sedikit latar belakang Cikgu Sobri.

Cikgu Sobri mempunyai seorang isteri yang cantik menawan bernama Eliyani binti Abdullah @
Elizabeth Dalmacio. Mereka dikurniakan 4 orang cahayamata dan kesemuanya adalah lelaki. 2 orang
daripada cahaya matanya telah pun mendirikan rumahtangga.

Cikgu Mohamad Sobri dilahirkan pada 6 Oktober 1962 di Kg Sg Durian, Pokok Sena.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Gajah Mati yang kini dikenali sebagai
Sekolah Kebangsaan Wan Abdul Samad bermula dari tahun 1969 hingga 1974.

Cikgu Sobri kemudiannya mendapat pendidikan menengah Tingkatan 1 hingga tingkatan 5 di Sekolah
Menengah Kebangsaan Pokok Sena bermula dari tahun 1975 hingga 1979.

Cikgu Sobri seterusnya menyambung pengajiannya untuk Tingkatan 6 di Kolej Sultan Abdul Hamid.
Namun pengajiannya di situ hanya bertahan setahun sahaja kerana selepas itu beliau menerima
tawaran untuk melanjutkan pengajiannya ke Maktab Perguruan Kuantan, Pahang dalam jurusan
Bahasa Melayu bermula dari tahun 1981 hingga 1983.

Tamat pengajiannya di maktab perguruan, beliau telah ditugaskan untuk menjadi seorang pendidik
di SMK Bumbum, Semporna, Sabah bermula dari tahun 1984 hingga 1985.

Setelah 2 tahun di sekolah tersebut, pada tahun 1986 hingga 1991 beliau kemudiannya ditugaskan
untuk berkhidmat di SMK Kinabutan, Tawau, Sabah. Di sinilah dek saling bertentang mata, bergurau
senda, bekerja bersama, maka beliau telah bertemu jodoh dengan Puan Eliyani pada tahun 1988.

Selepas berkahwin, Cikgu Sobri telah membawa isterinya Puan Eliyani berhijrah ke Kedah dan
sekolah pertama di Kedah adalah SMK Sg Tiang, Pendang, Kedah bermula dari tahun 1992 hingga
1995. Di SMK Sg Tianglah Cikgu Sobri bertemu, berkenal dan bersahabat dengan Cikgu Kahar yang
pada ketika itu baru bertukar dari Sarawak.

Pada tahun 1996, Cikgu Sobri telah mengikuti kursus Specialist Pendidikan Jasmani dan Pendidikan
Kesihatan selama setahun di Univesiti Perguruan Sultan Idris. Di sinilah Cikgu Sobri mula mengenali
dengan Tuan Pengetua Cikgu Lazit dan Cikgu Effendi namun mereka bukanlah berada di dalam aliran
yang sama kerana mereka berlainan kursus.

Pada tahun 1996, Cikgu Sobri medapat tawaran melanjutkan pengajiannya untuk Ijazah dalam
bidang Pendidikan Jasmani di Universiti Putra Malaysia. Namun tawaran itu terpaksa ditolak kerana
beliau perlu menguruskan 3 orang anaknya yang masih kecil ekoran daripada isterinya Puan Eliyani
terlebih dahulu mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Burmingham City University, England.
Selepas 6 bulan menjadi bapa mithali mengurus, mengasuh, mendidik anak-anak, beliau akhirnya
turut terbang bersama anak-anaknya ke Burmingham, England. Beliau telah mengambil cuti tanpa
gaji selama 1 tahun 6 bulan dan mula menetap di sana bermula dari tahun 1996 hingga 1998.

Awalnya ketika menetap di bumi England, Cikgu Sobri telah banyak membuat kerja-kerja sambilan di
sana dan bekerja selama 4 jam sehari. Gaji yang beliau peroleh adalah 5 pound sterling sejam iaitu
kini lebih kurang 26 ringgit sejam. Antaranya lokasi kerja-kerja sambilan yang pernah beliau lakukan
adalah di Lapangan Terbang Burmingham, Hospital Soliholl dan kantin-kantin pejabat di United
Kingdom. Beliau juga pernah terlibat dengan pembungkusan buku-buku serta majalah-majalah
seperti Star wars, komik-komik dan sebagainya.

Selepas 6 bulan hanya bekerja secara sambilan, beliau akhirnya mendapat pekerjaan tetap di Kilang
Coklat Cadbury di Bournville dengan gajinya 1200 pound sterling sebulan iaitu kini lebih kurang
RM6300. Mengikut beliau, beliau telah bekerja selama 10 jam sehari bermula daripada jam 8 malam
hingga jam 8 pagi.

Di waktu senggang, beliau banyak meluangkan masa bersama keluarga. Antara aktiviti-aktiviti yang
pernah dilakukan bersama keluarga di luar negara adalah aktiviti memetik buah di ladang strawberi,
ladang apple dan ladang pear serta melawat car boot sell yang seumpama pasar minggu di Malaysia.

Antara tempat-tempat yang pernah mereka lawati di luar negara adalah Muzium Robinhood
Nottingham, Muzium Patung Lilin London, Warwrick Castle, Disneyland Paris, Stadium Astonvilla
Burmingham, Stadium Manchester United, Stadium Everton, Liverpool, The Heart of Scotland dan
banyak lagi tempat-tempat yang menarik. Mereka sekeluarga berpeluang beberapa kali merasai
kesejukan musim salji dan berkesempatan juga menjelajah hampir keseluruhan England.

Selepas setahun bekerja di Kilang Cadbury Bournville, beliau bersama keluarga kemudiannya pulang
ke tanahair.

Pada tahun 1998 hingga 1999, Cikgu Sobri kembali menyambung tugasnya sebagai pendidik di SMK
Tanah Merah, Pendang.

Pada tahun 2000, Cikgu Sobri kemudiannya bertugas pula di SMK Tobiar, Pendang. Di sinilah Cikgu
Sobri sempat berkenalan dengan Pn Hawa dan Pn Azimah.

Pada tahun 2001 hingga 2005, Cikgu Sobri kemudiannya ditugaskan pula untuk berkhidmat di SMK
Dato’ Syed Ahmad. Semasa bertugas di SMK Dato’ Syed Ahmad, Cikgu Sobri telah menyambung
pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan kepujian Matematik di Open University
Malaysia (OUM).

Dan akhirnya, bermula daripada tahun 2005 hingga kini, di sini, iaitu selama lebih kurang 17 tahun
Cikgu Sobri telah menabur khidmatnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang.

Sepanjang perkhimatan, beliau telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun
2010.

Beliau yang merupakan seorang yang aktif dalam bidang sukan juga pernah terlibat dengan
perlawanan persahabatan anjuran Pejabat Daerah Padang Terap di Thailand. Malah beliau juga
pernah mewakili PSKPPK daerah Padang Terap dalam perlawanan bola sepak.
Cikgu Sobri yang pernah mengikuti Kursus Kejurulatihan Olahraga Peringkat Negeri anjuran Majlis
Sukan Negara. Rentetan inilah, Cikgu Sobri mempunyai kemahiran yang tinggi dalam semua acara
olahraga. Cikgu Sobri juga pernah menjadi Pegawai Olahraga peringkat negeri Kedah.

Cikgu Sobri merupakan Jurulatih sekolah bagi pasukan olahraga khusus bagi lompat tinggi dan beliau
juga merupakan jurulatih pasukan bola tampar.

Selain daripada itu, beliau yang juga selaku Ketua Guru Disiplin SMK Kuala Nerang semenjak dari
tahun 2005 pernah mengiringi pelajar pada pertandingan Petrosains di peringkat kebangsaan selama
2 tahun berturut-turut.

Secara keseluruhan, untuk makluman semua, Cikgu Sobri sebenarnya telah pun berkhidmat selama
37 tahun di 7 buah sekolah.

Marilah sama-sama kita saksikan video bingkisan memori indah Cikgu Sobri bersama keluarganya
yang telah dihasilkan.

Bercerita latar belakang Cikgu Sobri sudah, menonton video Cikgu Sobri pun sudah, marilah pula
sama-sama kita dengarkan lantunan suara secara langsung dari Cikgu Sobri. Tanpa melengahkan
masa lagi, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Cikgu Sobri untuk menyampaikan
sepatah dua kata. Dipersilakan.

Terima kasih Cikgu Sobri

Walaupun Tuan Pengetua baru bertapak di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang, namun
seperti mana yang telah dimaklumkan tadi, Tuan Pengetua sendiri sebenarnya juga sudah lama
mengenali Cikgu Sobri.

Justeru itu, majlis dengan berbesar hati ingin menjemput dan mempersilakan Tuan Pengetua Cikgu
Lazit bin Ahmad untuk menyampaikan sepatah dua kata pada majlis persaraan Cikgu Sobri pada hari
ini. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

Terima kasih Tuan Pengetua.


Seterusnya, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan CIkgu Roshidi untuk mengiringi Cikgu
Lazit bagi sesi penyampaian cenderahati pada Cikgu Sobri.

1. Dipersilakan wakil bagi pengurusan SMK Kuala Nerang


2. Dipersilakan wakil bagi Majlis Staf
3. Dipersilakan wakil bagi PIBG
4. Dipersilakan wakil bagi PPKI
5. Dipersilakan wakil bagi Guru Sesi Petang
6. Dipersilakan wakil bagi GKTV
7. Dipersilakan wakil bagi Bilik Guru Ibnu Rushd
8. Dipersilakan wakil bagi Bilik Guru Ibnu Sina
9. Dipersilakan wakil bagi Panitia Sains
10. Dipersilakan wakil bagi Panitia Sejarah
11. Dipersilakan wakil bagi Panitia Geografi
12. Dipersilakan wakil bagi Panitia Bahasa Melayu
13. Dipersilakan wakil bagi Panitia Pendidikan Islam
14. Dipersilakan wakil bagi Unit Biasiswa dan KWAMP
15. Dipersilakan wakil bagi Unit Pengawas

Dipersilakan jika ada guru-guru atau pelajar-pelajar yang ingin memberikan hadiah persendirian
pada Cikgu Sobri.

Dengan berakhirnya sesi penyampaian tanda mata itu tadi, maka berakhirlah majlis kita pada hari
ini.

Saya menyusun sepuluh jari memohon maaf jika terdapat sebarang kepincangan sepanjang saya
mengendalikan majlis pada hari ini, sesungguhnya yang baik itu adalah datangnya daripada Allah
s.n.w dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan diri saya sendiri

Saya sebagai wakil bagi warga SMK Kuala Nerang juga ingin memohon ampun dan maaf kepada
Cikgu Sobri jika ada salah silap dari kami sepanjang Cikgu Sobri berkhidmat di sini.

Sampan berkolek ke Tanah Semenanjung

Singgah sebentar di tepian titi

Jasa dan baktimu kami sanjung

Sejambak budi setangkai hati

Hingga kita berjumpa lagi,

Sekian,

Assalamualaikum warahmatullah hi taala wabarakatuh…

Terima kasih.

You might also like