You are on page 1of 4

NOVEL MENITI IMPIAN KARYA OSMAN AYOB

Berdasarkan novel yang anda kaji, berikan tiga persoalan dan contoh peristiwa
yang sesuai.

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Impian hasil karya Osman Ayob.
Terdapat tiga persoalan yang saya peroleh dalam novel ini.
Persoalan yang pertama ialah persoalan tentang tanggungjawab antara
ahli keluarga. Sebagai contoh, Mak Kiah yang merupakan ibu Zahar
bertanggungjawab menyara keluarganya dengan memperoleh pendapatan
daripada menoreh getah, menganyam tikar mengkuang dan mengambil upah
menjahit pakaian selepas kematian suaminya. Pak Yusuf pula membantu Zahar
yang merupakan anak saudaranya untuk menyambung pelajaran dan membuka
bengkel perabot.
Selain itu, persoalan tentang kepentingan pendidikan dalam kalangan
manusia. Tamsilnya, walaupun gagal memasuki Tingkatan 6 kerana kekangan
kewangan, Zahar tetap menyimpan hasrat untuk menyambung pelajaran jika diberi
peluang kerana menganggap pendidikan sangat penting. Akhirnya, dia berjaya
menyambung pengajian di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani, Kedah.
Akhir sekali, persoalan tentang semangat kesukanan antara pelajar.
Misalnya, semasa perlawanan bola sepak antara IKM Sungai Petani dan IKM Alor
Setar, pasukan bola sepak yang diwakili oleh Zahar iaitu IKM Sungai Petani telah
menjadi juara. Walaupun telah memenangi perlawanan bola sepak tersebut,
pasukan IKM Sungai Petani tidak bersorak supaya tidak mengguris perasaan pihak
lawan dan mengekalkan semangat kesukanan.

Berdasarkan novel yang anda kaji, berikan tiga perwatakan watak utama dan
contoh peristiwa yang sesuai.

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Impian hasil karya Osman Ayob.
Terdapat tiga perwatakan watak utama yang saya peroleh dalam novel ini. Watak
utama dalam novel ini ialah Zahar
Perwatakan yang pertama ialah seorang yang bertanggungjawab terhadap
ahli keluarga. Sebagai contoh, Zahar bertanggungjawab untuk memastikan adik-
adiknya iaitu Halim dan Zakri dapat meneruskan pelajaran mereka. Dia juga
menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak dengan membantu ibunya
menetak pokok mengkuang untuk dianyam menjadi tikar.
Selain itu, perwatakan watak utama ialah seorang yang tidak mudah putus
asa. Tamsilnya, Zahar tidak berputus asa walaupun tidak mendapat tempat di
institusi pengajian tinggi, sebaliknya dia meneruskan pelajaran di Institut Kemahiran
Mara (IKM) walaupun niatnya itu diperkecilkan oleh Suhaili yang mempertikaikan
masa hadapan Zahar. Untuk membuktikan seterusnya menangkis tanggapan negatif
Suhaili, Zahar berusaha dengan gigih sehingga terbinanya Bengkel Perabot Meniti
Impian yang telah dapat membuka mata Suhaili.
Akhir sekali, seorang yang berjimat cermat dalam berbelanja. Misalnya, Zahar
membelanjakan wang imbuhan sebanyak RM200.00 yang diterimanya setiap bulan
dengan berhemah agar wang perbelanjaannya semasa belajar di Institut Kemahiran
Mara mencukupi untuk menampung kehidupan sehariannya.
Berdasarkan novel yang anda kaji, berikan tiga latar tempat dan contoh peristiwa
yang sesuai.

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Impian hasil karya Osman Ayob.
Terdapat tiga latar tempat yang saya peroleh dalam novel ini.
Latar tempat yang pertama ialah rumah Zahar. Sebagai contoh, Zahar pulang
ke kampung. Ketika tiba, ibunya tiada di rumah. Lalu dia bertanya kepada adiknya
Zakri perihal ketiadaan ibu. Zakri memaklumkan bahawa abang dan emaknya pergi
ke rumah Pak Karim untuk makan kenduri.
Selain itu, latar tempat Kompleks City Point, Alor Setar. Tamsilnya, Kompleks
City Point merupakan tempat pertemuan Zahar dan Suhaili. Tempat ini menjadi
pilihan supaya tidak diketahui oleh orang kampung dan tidak mahu perjumpaan
mereka boleh menimbulkan cerita yang kurang enak. Di sinilah Zahar memberitahu
Suhaili bahawa dia menerima tawaran memasuki Institut Kemahiran Mara (IKM).
Akhir sekali, latar tempat Institut Kemahiran Mara (IKM), Sungai Petani.
Misalnya, Zahar telah mendaftar di Institut Kemahiran Mara (IKM) dalam kursus
Pertukangan Perabot dan bertemu dengan Norimi yang mengikuti kursus Lukisan
Seni Bina. Selain itu, Zahar dan rakan sekelasnya menduduki peperiksaan asas di
dalam Bengkel Pertukangan Perabot Institut Kemahiran Mara, Sungai Petani.

Berdasarkan novel yang anda kaji, berikan tiga latar masa dan contoh peristiwa
yang sesuai.

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Impian hasil karya Osman Ayob.
Terdapat tiga latar masa yang saya peroleh dalam novel ini.
Antara latar masa yang terdapat dalam novel ialah tiga tahun. Sebagai
contoh, selepas tiga tahun berhenti sekolah, Zahar sentiasa berusaha memohon
pelbagai jawatan tetapi tidak berjaya. Zahar juga meluahkan keinginannya belajar di
sekolah swasta namun ibunya tidak berkemampuan kerana dua adiknya masih lagi
bersekolah.
Selain itu, latar masa enam bulan juga terdapat dalam novel ini. Tamsilnya,
Zahar dan rakan- rakan menjalani latihan dalam loji selama enam bulan. Zahar
diterima menjalani latihan di Kilang Perabot Usaha Bersatu di Kawasan
Perindustrian Kamunting, Taiping.
Akhir sekali, latar masa satu jam setengah. Misalnya, Zahar menaiki bas
MARA dari Sik ke Alor Setar selama satu jam setengah untuk bertemu dengan
Suhaili di Kompleks City Point, Alor Setar.
Berdasarkan novel yang anda kaji, berikan tiga latar masyarakat dan contoh
peristiwa yang sesuai.

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Impian hasil karya Osman Ayob.
Terdapat tiga latar masyarakat yang saya peroleh dalam novel ini.
Latar masyarakat yang pertama ialah masyarakat yang memandang rendah
kepada orang lain. Sebagai contoh, Suhaili memandang rendah kepada Zahar yang
akan memasuki Institut Kemahiran Mara (IKM) dan menganggap masa depan Zahar
tidak terjamin.
Selain itu, masyarakat yang mementingkan ilmu pengetahuan juga
merupakan latar masyarakat yang terdapat dalam novel ini. Tamsilnya, walaupun
gagal memasuki Tingkatan 6, Zahar memohon untuk memasuki Institut Kemahiran
Mara (IKM) untuk menambah ilmu pengetahuan dalam bidang pertukangan perabot.
Kegagalannya tersebut tidak akan menjadi batu penghalang untuk dia meneruskan
cita-citanya untuk membuka kilang perabot sendiri.
Akhir sekali, masyarakat yang ambil berat terhadap keluarga. Misalnya, Pak
Yusuf mengambil berat terhadap anak saudaranya, iaitu Zahar dengan menyewa
teksi dan menghantar Zahar mendaftar di Institut Kemahiran Mara (IKM). Pak Yusuf
sedaya upaya membantu anak buahnya sehingga berjaya selepas kematian ayah
Zahar. Dia turut menyumbang sebanyak RM5000.00 untuk Zahar membuka kilang
perabotnya sendiri.

Berdasarkan novel yang anda kaji, berikan tiga nilai dan contoh peristiwa yang
sesuai.

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Impian hasil karya Osman Ayob.
Terdapat tiga nilai yang saya peroleh dalam novel ini.
Nilai yang terdapat dalam novel ini ialah nilai bekerjasama. Sebagai contoh,
pelatih Institut Kemahiran Mara (IKM) bergotong-royong membersihkan kawasan
belakang institut yang akan didirikan bangunan asrama baharu. Pelatih lelaki
menebas rumput yang tumbuh meliar di atas bekas tanah kebun getah manakala
pelatih perempuan mengangkat rumput dengan menggunakan pongkes ke tempat
pembakaran.
Selain itu, nilai ketabahan juga saya peroleh dalam novel ini. Tamsilnya,
Zahar tabah apabila niatnya untuk belajar di Institut Kemahiran Mara (IKM)
diperkecilkan oleh Suhaili yang mempertikaikan masa hadapan Zahar pada masa
hadapan. Untuk membuktikan seterusnya menangkis tanggapan negatif Suhaili,
Zahar berusaha dengan gigih sehingga terbinanya Bengkel Perabot Meniti Impian.
Nilai yang terakhir ialah nilai kegigihan. Misalnya, Zahar gigih belajar semasa
menuntut di Institut Kemahiran Mara (IKM) sehingga dia memperoleh keputusan
yang cemerlang dalam peperiksaan. Dia juga gigih menimba pengalaman ketika
menjalani latihan industri di Taiping.
Berdasarkan novel yang anda kaji, berikan tiga pengajaran dan contoh peristiwa
yang sesuai.

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Impian hasil karya Osman Ayob.
Terdapat tiga pengajaran yang saya peroleh dalam novel ini.
Pengajaran yang pertama ialah kita haruslah bertanggungjawab terhadap
sesuatu tugas yang telah diamanahkan. Sebagai contoh, Pak Yusuf berusaha
menyiapkan rak kasut yang ditempah oleh Tok Imam atas rasa tanggungjawab
bahawa rak kasut itu untuk kegunaan jemaah yang datang ke masjid.
Selain itu, kita hendaklah berusaha mencari rezeki untuk menampung
kehidupan tanpa bergantung kepada orang lain. Tamsilnya, Mak Kiah rajin
menganyam tikar mengkuang, selain turut mengambil upah menjahit pakaian untuk
menambahkan pendapatan keluarganya. Zahar rajin membantu ibunya melakukan
kerja-kerja di rumah dan juga membantu Pak Yusuf membuat perabot di bengkel.
Akhir sekali, kita haruslah berbelanja secara berhemah agar ada wang yang
mencukupi untuk kegunaan seharian. Misalnya, Zahar membelanjakan wang
imbuhan sebanyak RM200.00 yang diterimanya setiap bulan dengan berhemah agar
wang perbelanjaannya semasa belajar di Institut Kemahiran Mara (IKM) mencukupi.

You might also like