You are on page 1of 2

PERTANDINGAN ULASAN BUKU TERBAIK PTB

Nama Pengarang: Gan Wan Yeat, Nor Azlina Abd. Aziz, Yusmin Mohd. Yusuf & Noor
Haniyatie Ibrahim

Judul Buku: Buku Teks KSSM Biologi Tingkatan 4

Tahun Penerbitan Buku: 2019

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada warga UPSI, penyebar dan pencinta ilmu
sekalian.

Pertama sekali, Buku Teks KSSM Biologi Tingkatan 4 yang menjadi buku pilihan saya untuk
diulas pada kali ini merupakan buku teks Biologi Tingkatan 4 cetakan pertama bagi
Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang mengikut silibus yang telah disusun di
dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Biologi yang diterbitkan oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2018. Hal ini bermakna, buku terbitan Must
Read Sdn. Bhd. ini dilengkapi 15 bidang pembelajaran yang dibahagikan kepada dua tema
iaitu Asas Biologi dan Fisiologi Manusia dan Haiwan. Pada muka hadapan buku, terdapat
kod QR yang membolehkan pembaca mengimbas tanpa membuka helaian buku bagi
mengetahui pendahuluan kepada buku Biologi ini. Buku setebal 314 halaman ini dilengkapi
dengan pelbagai ciri khas yang menarik dan jelas telah dinaiktaraf daripada buku teks Biologi
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) sebelum ini.

Antara keistimewaan Buku Teks KSSM Biologi Tingkatan 4 ini ialah setiap helaiannya
lengkap dengan cetakan berwarna yang mampu menarik minat sesiapa sahaja yang meneroka
helaian demi helaian buku ini, khususnya pelajar Biologi. Cetakan berwarna bagi setiap muka
surat buku membolehkan pelajar meneliti gambar rajah model bagi sesuatu bidang
pembelajaran dengan lebih jelas dan rasional kerana rajah di dalam buku persis warna model
yang sebenar. Dengan ini, pelajar akan mudah memahami konsep sesuatu bidang
pembelajaran kerana konsep di dalam Biologi kebanyakannya berkait rapat dengan rajah.

Selain itu, pada permulaan bagi setiap bidang pembelajaran, penulis menyediakan satu soalan
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) untuk difikirkan dan dijawab oleh pelajar. Sebagai
contohnya, dalam Bidang Pembelajaran 1; ‘Pengenalan Kepada Biologi dan Peraturan
Makmal’, penulis bertanya ‘Apakah kesan Revolusi Industri 4.0 terhadap Bidang Biologi?’.
Persoalan sebegini merupakah kaedah yang berkesan bagi menimbulkan inkuiri para pelajar,
seterusnya menaikkan semangat mereka untuk mendalami bidang pembelajaran tersebut
sehingga mampu menjawab persoalan itu tadi.

Jumlah perkataan yang telah dikurangkan juga memudahkan pembaca mengulangkaji buku
ini. Tambahan pula, ayat-ayat kompleks yang acapkali dikatakan sinonim dengan buku teks
berjaya diterjemahkan oleh penulis kepada peta-peta i-Think, jadual banding beza, jadual
bergambar, carta alir, carta pai, nota ‘bullet’ dan banyak lagi.

Di samping itu, terdapat ciri-ciri istimewa pada sudut setiap muka surat seperti lensa Biologi,
Dunia Biologi Kita, Fikirkan!, Inovasi Malaysia, Kerjaya Milenia, Buletin STEM, Merentas
Bidang dan Zon Aktiviti. Rumusan pula disediakan pada akhir bidang pembelajaran sebagai
ulangkaji segera. Seterusnya, refleksi kendiri bagi setiap bidang pembelajaran untuk pelajar
menilai kefahaman masing-masing, praktis sumatif bagi setiap topik sebagai latihan
pengukuhan dan glosari. Rujukan penulisan juga ada disertakan pada halaman 314.

Mengakhiri ulasan buku ini, saya sebagai bakal pendidik bagi subjek Biologi khususnya
berasa bangga kerana buku teks yang begitu menarik ini berjaya diterbitkan bagi subjek
Biologi. Saya amat yakin bahawa Buku Teks KSSM Biologi Tingkatan 4 mampu mengubah
persepsi guru, ibu bapa, guru dan masyarakat keseluruhannya terhadap peranan buku teks
dalam memastikan ilmu Biologi dan ilmu-ilmu lain amnya berjaya disampaikan dengan baik,
efektif dan sempurna kepada pelajar.

Disediakan oleh: Nur Nadia Mohamad Nasir

Kategori: Pelajar

Email:

No. Telefon:

#ptbupsi

#malaysiamembaca

#ulasanbuku

You might also like