You are on page 1of 3

TEKS UCAPAN PENGETUA

SEMPENA MAJLIS PERSARAAN

Pn Nasiroh Bt Md Yusoff & Cik Woo Kean Lean

TARIKH: 28 JUN 2019 (JUMAAT)

Terima kasih pengacara majlis

Salam sejahtera dan selamat pagi

Yang diraikan

Puan Nasiroh Bt Md Yusoff (Penolong Kanan)

Cik Woo Kean Lean(PK HEM)

Yang Berusaha

Pn Haniza Bt Abd Rahman (PK Kokurikulum)

Yang Dipertua PIBG, barisan guru kanan mata pelajaran, para tetamu jemputan, guru-guru,
seterusnya putera puteri SMK BUD3 yang dikasihi sekalian.
Terima kasih atas penghormatan ini untuk saya berucap sepatah dua kata dalam majlis meraikan
persaraan Pn Nasiroh Bt Md Yusoff & Cik Woo Kean Lean iaitu Penolong Kanan dan PK HEM
SKK SMK Bandar Utama Damansara (3).

Para tetamu, guru dan pelajar sekalian,

Majlis persaraan pegawai pendidikan merupakan sebahagian tatacara operasi piawai atau S.O.P.
di semua peringkat organisasi pendidikan, termasuklah sekolah. Tujuan utama majlis adalah
untuk menghargai segala jasa yang telah ditaburkan demi kepentingan perkhidmatan dan
kemajuan organisasi tempat seseorang pegawai itu bertugas.

Saya percaya bahawa warga SMK Bandar Utama Damansara (3) akan berasa kehilangan seorang
pendidik yang berdedikasi dan prihatin, lebih-lebih lagi pelajar yang pernah menerima
bimbingan ikhtisas beliau dan rakan sejawatan. Bagi mereka yang tidak mengenali Puan Nasiroh
Bt Md Yusoff, beliau mungkin kelihatan pendiam, tetapi sebenarnya mudah mesra dan tidak
lokek berkongsi kepakaran dan pengalaman.

Selama beberapa bulan saya mengenali beliau di SMK Bandar Utama Damasara 3 ini, saya
berpendapat bahawa beliau seorang guru yang sejati dan berjaya melaksanakan segala tugas
keguruan beliau dengan cemerlang.

Begitu juga dengan Cik Woo Kean Lean yang nampak sangat garang tetapi beliau sebenarnya
sangat baik hati dan peramah. Warga SMK Bandar Utama Damansara (3) akan merasai
kehilangan beliau khususnya para pelajar kerana beliau seorang yang sangat rapat dengan pelajar
seiring dengan jawatan beliau selaku PK HEM.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Pn Nasiroh Bt Md Yusoff & Cik Woo
Kean Lean sudah tentu meninggalkan kenangan indah yang terpahat dalam ingatan sampai bila-
bila. Di SMK Bandar Utama Damansara (3) ini mereka telah membimbing pelajar sepenuh jiwa
dan raga. Di sini juga, mereka bertungkus-lumus bagi memastikan pencapaian pelajar SMK
Bandar Utama Damasara 3 cemerlang saban tahun, di samping melaksanakan tugas lain yang
diamanahkan dengan jayanya.
Bagi pihak sekolah dan majikan, iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia, saya merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala bakti, pengorbanan dan susah payah
yang Pn Nasiroh Bt Md Yusoff & Cik Woo Kean Lean lalui semata-mata untuk menyumbang
terhadap pendidikan generasi muda Malaysia sebagai modal insan terbilang.

Dengan izin, saya bacakan serangkap pantun yang ditujukan khas kepada Pn Nasiroh Bt Md
Yusoff & Cik Woo Kean Lean

Pisang emas pisang berangan

Selang seli si pohon ara

Bersara tuan terasa kehilangan

Doa kami tuan sejahtera

Selamat bersara Pn Nasiroh Bt Md Yusoff & Cik Woo Kean Lean

Sekian ucapan saya. Terima kasih.

You might also like