You are on page 1of 9

SKAA 3213 URBANISASI DAN URBANISME

EMILE DURKHEIM

“Kesepaduan Mekanikal dan Kesepaduan Organik”

NAMA:

Zainatun Nisha bt Mohd Zulkepli

NO. MATRIK:

A186575

NAMA PENSYARAH:

Dr. Mohd Shaiful Ramze bin Endut

TUGASAN INDIVIDU

15 JANUARI 2024
Urbanisasi merupakan proses yang memberi kesan kepada pembangunan ekonomi dan
sosial negara membangun. Urbanisasi ialah proses perubahan sesuatu kawasan menjadi bandar.
Sebuah kampung boleh berubah menjadi pekan dan seterusnya berkembang menjadi bandar yang
lebih besar dan kompleks. Proses perbandaran ini mempunyai kesan ke atas pertumbuhan sosial
dan ekonomi negara-negara membangun. Proses ini juga turut membabitkan perubahan terhadap
persekitaran sosial penduduk di bandar. Fenomena perbandaran ini bukan sahaja merangkumi
masalah pergerakan penduduk malahan juga perubahan persekitaran sosial yang dialami oleh
penduduk bandar. Kedua-dua kesan positif dan negatif evolusi bandar dapat dirasai oleh penduduk
bandar. Antaranya ialah, dari segi pendapatan, kesihatan fizikal, kesejahteraan, psikologi dan sosial,
keselamatan, perumahan, pendidikan, alam sekitar, budaya dan rekreasi, pengangkutan dan
komunikasi. Proses urbanisasi berlaku apabila sesuatu kawasan mengalami pertambahan penduduk
iaitu migrasi masuk dan pertambahan penduduk semula jadi. Sebagai contoh, di Malaysia, Kuala
Lumpur telah mengalami proses urbanisasi yang pesat ekoran berlakunya pertambahan penduduk.
Antara faktor yang mempengaruhi proses urbanisasi ialah faktor ekonomi iaitu aktiviti
perlombongan seperti perlombongan bijih timah telah menggalakkan urbanisasi awal. Seterusnya,
peluang pekerjaan iaitu migrasi masuk ke sesuatu bandar kerana terdapat peluang pekerjaan dalam
sektor perindustrian dan perkhidmatan. Selain itu, kedudukan Malaysia yang strategik di laluan
antarabangsa antara Timur dan Barat menggalakkan perkembangan bandar pelabuhan dalam
perniagaan dan perdagangan. Bukan itu sahaja, proses urbanisasi juga telah mewujudkan pelbagai
jenis perkhidmatan untuk penduduk dan keindahan alam semula jadi juga merupakan aspek dalam
faktor ekonomi iaitu keindahan alam semula jadi seperti pantai, laut dan hutan telah menggalakkan
ekopelancongan. Kegiatan ekopelancongan ini menyebabkan peningkatan infrastruktur dan proses
urbanisasi bandar. Faktor sosial juga telah mempengaruhi proses urbanisasi. Antaranya ialah
kemudahan infrastruktur. Kemudahan infrastruktur seperti bekalan air, elektrik, telekomunikasi,
pengangkutan, pendidikan dan kesihatan telah menggalakkan proses urbanisasi. Seterusnya ialah
kemudahan pengangkutan. Jaringan lebuh raya dan perkhidmatan kereta api membolehkan
penempatan yang terletak di laluannya membangun menjadi bandar. Selain itu, kemudahan
pendidikan khususnya pusat pengajian tinggi juga menggalakkan perkembangan bandar. Faktor
yang mempengaruhi proses urbanisasi ialah faktor governan. Governan merupakan dasar kerajaan.
Dengan ini, bandar berkembang kerana kerajaan telah menggalakkan perindustrian di beberapa
bandar dengan menubuhkan Zon Perdagangan Bebas. Zon Perdagangan Bebas dibenarkan untuk
menjalankan aktiviti perdagangan, membuka kilang, menjalankan perkhidmatan, menawarkan
peluang pekerjaan dan sebagainya. Sebagai contoh, Bayan Lepas di Pulau Pinang. Seterusnya ialah
teknologi maklumat merupakan aspek dari faktor governan iaitu pembangunan teknologi
maklumat oleh pihak kerajaan telah menggalakkan proses urbanisasi melalui pusat urus niaga
teknologi tinggi iaitu Cyberjaya, Selangor. Seterusnya, kesan positif urbanisasi terhadap sesebuah
bandar ialah perubahan landskap yang dapat dilihat dari aspek struktur bangunan, jaringan
pengangkutan dan perubahan guna tanah bandar. Selain itu, peluang pekerjaan merupakan kesan
positif urbanisasi iaitu peralihan dalam kegiatan ekonomi daripada sektor sekunder dan tertier telah
menyediakan peluang pekerjaan seperti dalam industri memproses makanan dan minuman serta
elektronik dan automotif. Seterusnya, kesan positif urbanisasi juga ialah perkembangan
infrastruktur iaitu peningkatan jumlah penduduk telah menggalakkan kerajaan untuk menyediakan
kemudahan infrastruktur seperti pendidikan, kesihatan, bekalan elektrik, dan air, pengangkutan
serta telekomunikasi. Pendapatan yang tinggi di bandar dan kehidupan yang selesa meningkatkan
taraf hidup penduduk. Penduduk boleh mendapatkan barangan, pendidikan dan kemudahan
perubatan yang baik di bandar. Kesan negatif urbanisasi ialah akan berlakunya, pulau haba,
pencemaran, hujan asid, banjir kilat, masalah setinggan dan kesesakan lalu lintas. Antara langkah
untuk mengurangkan kesan urbanisasi ialah membina lebih banyak rumah kos rendah dan rumah
pangsa, selain itu, mewujudkan bandar satelit, mewujudkan kawasan hijau dan mendalam dan
memperlebarkan sungai serta parit. Ini menunjukkan bahawa bandar mempunyai kaitan yang rapat
dengan proses urbanisasi. Menurut Forbes (1996:14-15), proses urbanisasi adalah suatu proses
penumpuan penduduk ke kawasan yang telah dianggap sebagai bandar.
Emile Durkheim merupakan tokoh pemikir sosiologi yang telah menyumbang dalam
pemikiran urbanisasi. Durkheim dilahirkan di Epinal, Perancis yang terletak di Lorraine. Beliau
telah dilahirkan pada tahun 1858, di Strasbourg, daerah timur laut Perancis. Beliau berasal daripada
keluarga Yahudi Perancis yang taat kerana bapa dan datuknya merupakan seorang Rabbi Yahudi.
Kebanyakan karyanya bertujuan untuk membuktikan bahawa fenomena agama mempunyai asal-
usul sosial dan bukannya ketuhanan. Durkheim merupakan seorang pelajar yang cepat matang.
Pada tahun 1879, beliau telah memasuki Ecole Normale Superieure. Pada abad ke-19, kelasnya
adalah kelas yang paling cemerlang. Selain itu, Durkheim telah membaca karya Auguste Comte
dan Herbert Spencer. Dengan ini, beliau telah berminat kepada pendekatan saintifik kepada
masyarakat sejak awal kerjayanya. Minat Durkheim terhadap fenomena sosial juga didorong oleh
politik. Kekalahan Perancis dalam Perang Franco-Prusia telah memberi tamparan yang hebat
terhadap kerajaan republik sekular. Ramai orang menganggap pendekatan Katolik, dan sangat
nasionalistik sebagai satu-satunya cara untuk memulihkan kuasa Perancis yang semakin lemah di
tanah besar Eropah. Pada tahun 1887, beliau telah menikahi Louise Dreyfus iaitu seorang wanita
yang mengabdikan seluruh hidupnya untuk karier Durkheim dan mereka telah dikurniakan dua
orang anak. Durkheim yang merupakan seorang Yahudi dan sosialis dan berada dalam minoriti
politik telah mengukuhkan pendiriannya sebagai aktivis ekoran hubungannya dengan Louise
Dreyfus pada tahun 1894. Semangat Durkheim tidak luntur. Beliau tetap menyambung belajar
bidang sosiologi selama setahun di Jerman. Seterusnya beliau pergi ke Universiti Bordeaux pada
tahun 1887. Kebetulan ketika itu, pusat pendidikan guru baru sahaja ditubuhkan di Perancis. Ketika
di sana, beliau telah mengajar pedagogi dan sains sosial. Oleh itu, Durkheim telah memperbaharui
sistem sekolah Perancis dan memperkenalkan kajian sains sosial dalam kurikulumnya. Pada tahun
1890-an, ialah zaman kegemilangan Durkheim. Pada tahun 1893, beliau telah menerbitkan “The
Division of Labour in Society” iaitu pandangan asasnya tentang sifat masyarakat manusia dan
perkembangannya. Pada tahun 1895, beliau telah menerbitkan “The Rules of Sociological Method”,
yang menyatakan apa itu sosiologi dan bagaimana ia harus dilakukan. Beiau juga telah
mengasaskan Jabatan Sosiologi yang pertama di Eropah di Universiti Bordeaux. Pada tahun 1896,
beliau telah menerbitkan jurnal L’Annee Sociologique untuk menerbitkan tulisan kumpulan pelajar
dan rakan sekerja bagi membangunkan program sosiologinya. Akhir sekali, pada tahun 1897,
beliau telah menerbitkan “Bunuh Diri”. Sebagai satu kajian kes yang memberikan contoh tentang
rupa monograf sosiologi. Pada tahun 1902, Durkheim akhirnya telah mencapai matlamatnya untuk
mendapatkan kedudukan di Paris apabila beliau telah menjadi profesor di Sorbonne. Dan
seterusnya, pada tahun 1912, beliau telah mengukuhkan kuasa institusinya apabila beliau secara
kekal telah diberi kerusi dan menukar namanya kepada pengerusi pendidikan dan sosiologi. Dua
tahun setelah buku terakhirnya diterbitkan, berlakunya Perang Dunia Pertama yang membawa
kesan besar di Belgium dan Perancis, sehingga mendatangkan khabar yang memilukan bahawa
terdapat khabar anaknya terbunuh akibat kempen ketenteraan di Serbia pada tahun 1918. Dengan
keadaan sebegini, Durkheim masih memaksa dirinya untuk menulis sehingga dia diserang angin
ahmar sebulan selepas anaknya meninggal dunia.
Emile Durkheim telah bersetuju dengan pemikiran Tonnies tentang bandar. Walau
bagaimanapun, Durkheim menentang bahawa penduduk bandar tidak kekurangan ikatan sosial.
Mereka hanya mengatur kehidupan sosial secara berbeza daripada orang luar bandar. Menurut
Durkheim, beliau telah menyifatkan kehidupan tradisional luar bandar sebagai perpaduan
mekanikal. Dengan ini, ikatan sosial berdasarkan sentimen bersama dan nilai moral yang dikongsi
bersama. Dengan penekanan pada tradisi, konsep perpaduan mekanikal Durkheim mempunyai
persamaan yang ketara dengan Gemeinschaft karya Tonnies. Selain itu, perbandaran juga telah
menghakis perpaduan mekanikal namun ia juga telah menjana jenis ikatan baharu yang dipanggil
solidariti organik iaitu ikatan sosial yang berdasarkan pengkhususan dan saling bergantung.
Konsep ini selari dengan Gesselschaft Tonnies iaitu beliau mendedahkan perbezaan yang penting
antara kedua-dua pemikir. Kedua-duanya menganggap pertumbuhan bandar perindustrian
melemahkan tradisi namun Durkheim tetap dan optimis menunjukkan jenis perpaduan baharu di
mana masyarakat dibina atas persamaan (perpaduan mekanikal), Durkheim kini melihat kehidupan
sosial berdasarkan perbezaan (perpaduan organik).
Teori utama yang terkandung dalam karya beliau iaitu The Divison of Labour In Society
ialah dikotomi antara solidariti mekanikal dan organik. Perpaduan mekanikal ialah penyatuan
sosial anggota masyarakat yang mempunyai nilai dan kepercayaan yang sama. Nilai dan
kepercayaan bersama ini merupakan hati nurani kolektif yang berfungsi secara dalaman dalam diri
setiap anggota sehingga menyebabkan mereka bekerjasama. Hal ini dikatakan demikian kerana,
kekuatan-kekuatan yang menyebabkan molekul-molekul ini bersatu dan pada ialah apabila beliau
menggunakan terminologi sains fizikal dalam menyusun istilah solidariti mekanikal.
Seterusnya, solidariti organik ialah integrasi sosial yang timbul dari keperluan individu
untuk perkhidmatan satu sama lain. Dalam masyarakat yang bercirikan solidariti organik, terdapat
pembahagian tenaga kerja yang lebih besar, dengan individu yang berfungsi seperti organ tubuh
yang saling bergantung tetapi berbeza. Selain itu, masyarakat kurang bergantung pada peraturan
yang seragam kepada semua orang dan lebih mengatur hubungan antara kumpulan dan orang yang
berlainan. Sebagai contoh, melalui penggunaan kontrak dan undang-undang yang lebih besar.
Emile Durkheim mempercayai bahawa kawalan sosial adalah berkait rapat dengan kepercayaan
individu. Dalam masyarakat simple, masyarakat dikawal oleh sistem kepercayaan dan agama selain
daripada adat resam. Semua ini berkait rapat dengan kesedaran kolektif. Kesedaran kolektif ialah,
“ the totality of beliefs and sentiments common to the average members of a society forms a
determinate system with a life of its own” (Durkheim 1984:38). Menurut Durkheim, hukuman
dalam perpaduan mekanikal bersifat represif iaitu bersifat menindas dan menghukum kerana
komuniti bertindak balas dengan segera jika ahlinya mencabar kewibaan undang-undang
konvensional. Umumnya, undang-undang agama biasanya bersifat represif. Dalam masyarakat
kompleks, kawalan sosial adalah berbentuk undang-undang restitutif dan tidak berkaitan dengan
kesedaran kolektif. Ia ditubuhkan secara khas dan diadili oleh orang-orang yang telah dilantik
sahaja dan bukannya masyarakat secara amnya (Durkheim:1984).
Emile Durkheim telah melihat kesepaduan sosial dalam usaha menilai keupayaan
masyarakat untuk kekal berhubung dalam pelbagai peringkat pembangunan. Kesepaduan sosial
merupakan perpaduan berbentuk mekanikal (masyarakat pra industri) kepada perpaduan berbentuk
organik yang merujuk kepada dunia moden. Beliau melihat kesepaduan dapat dikekalkan melalui
kerajaan dan undang-undang yang dibentuk. Antara konsep yang berkaitan untuk melihat
kesepaduan berlawanan dengan konflik ialah konsep solidarisme (kesepaduan), anomi (huru-
hara/perpecahan) dan alienation (pengasingan) untuk melihat masyarakat yang stabil dan
bekerjasama bukannya berkonflik. Oleh itu, kesepaduan sosial amat berkait rapat dengan proses
pembangunan sesebuah negara.
Antara masalah urbanisasi di Malaysia ialah cabaran dalam membentuk integrasi dan
kesepaduan antara komuniti. Lokasi penting yang berlakunya kesepaduan sosial ialah kawasan
kejiranan yang mempunyai komuniti. Di Malaysia, komuniti kejiranan terdiri daripada kawasan
pelbagai etnik dan kaum terutamanya di kawasan-kawasan bandar (urban dan inner city) dan
pinggir bandar (suburb). Kawasan kejiranan ini mempunyai perbezaan sosial yang pelbagai
daripada aspek budaya, agama, bahasa dan latar belakang. Situasi dan keadaan ini telah memberi
impak kepada aspek pemodenan dan industrialisasi. Masyarakat di kawasan ini juga sering berubah
bergantung kepada kesedaran mereka. Sebagai contoh, sesetengah individu dan keluarga yang
mementingkan pendidikan dan berusaha mengubah nasib akan lebih cenderung untuk melakukan
perubahan dan mendapatkan pendidikan yang lebih baik. Dengan ini, ia akan membantu membawa
perubahan dalam hidup mereka. Kerajaan akan melakukan pelbagai usaha untuk memastikan
perubahan dan peningkatan yang dialami oleh masyarakat.
Pembentukan komuniti adalah berkait rapat dengan lokasi atau penempatan seseorang itu
dibesarkan atau disosialisasikan dengan persekitaran sekeliling. Ia termasuklah aspek fizikal
seperti lokasi, bentuk, saiz, iklim, bentuk muka bumi dan alam semula jadi yang mempengaruhi
kesepaduan seseorang dalam komuniti tempatnya berada. Aspek yang seterusnya ialah aspek
budaya, iaitu merangkumi idea dan bagaimana susunan sosial dibentuk oleh sesebuah masyarakat
atau komuniti. Dalam hal ini, pemilihan tempat tinggal atau lokasi penempatan seseorang
memainkan peranan yang penting. Pemilihan ini berasaskan kepada dua perkara iaitu berasaskan
kepada persepsi masyarakat. Sebagai contoh, masyarakat terdahulu mempercayai bahawa sesuatu
kawasan itu tidak elok untuk pembinaan komuniti kerana mempercayai bahawa wujudnya roh jahat
dan sebagainya yang berlaku dalam komuniti pada zaman Greek. Aspek yang seterusnya ialah
berdasarkan kepada kemudahan yang ada seperti sistem pengairan, sumber bahan mentah,
penempatan yang luas untuk pertanian, tempat yang cantik dan lain-lain. Namun, keadaan ini telah
berubah kerana masyarakat kini melihat peluang-peluang kepada bidang pekerjaan yang dapat
mereka sertai untuk memastikan kelangsungan hidup mereka.
Antara perkara yang harus diberikan perhatian ialah pembentukan masyarakat kini
berbanding dengan masyarakat tradisi adalah semakin luas atau besar sesuatu masyarakat, maka
semakin kecil jumlah yang mereka kenali. Hal ini dikatakan demikian kerana semakin kecil jumlah
orang yang mereka tidak kenali akan menyebabkan kecenderungan kepada kurangnya kemesraan
dalam komuniti. Dalam masyarakat moden kini, bentuk hubungan yang terjalin lebih cenderung
kepada bentuk hubungan yang profesional seperti aspek pekerjaan dan masyarakat yang terbina
bukan lagi berasaskan tempat tinggal. Dalam masyarakat, kehidupan berasaskan lokasi atau tempat
tinggal ini berlaku dalam aspek yang merujuk kepada pemilihan sosial iaitu orang yang berstatus
sosial tinggi lebih suka tinggal dengan orang yang setaraf status dengannya. Manakala masyarakat
yang berstatus rendah tidak dialu-alukan. Oleh itu, lokasi yang strategik mempunyai nilai yang
tinggi dan hanya boleh diperoleh dengan harga yang tinggi. Seterusnya, lokasi yang kurang baik
akan menerima saingan dalam kalangan masyarakat yang statusnya lebih rendah dan mereka
terpaksa membeli hartanah yang kurang baik dengan harga yang lebih tinggi.
Pembentukan variasi komuniti terbahagi kepada empat iaitu komuniti yang terasing,
komuniti pinggir bandar, komuniti bandar dan komuniti metropolitan. Komuniti yang terasing
merupakan komuniti yang berbentuk tradisi iaitu mereka sudah terserap dalam masyarakat dan
kukuh dari segi kesepaduan sosial. Komuniti ini juga sudah cukup dari segi keperluan asas. Dari
segi aktiviti ekonomi pula, mereka mempunyai aktiviti ekonomi asas yang mudah seperti bercucuk
tanam dan sebagainya. Seterusnya ialah komuniti pinggir bandar. Komuniti ini berada di kawasan
pinggir bandar yang mempunyai aspek pemodenan asas seperti adanya kemudahan bank,
panggung wayang, sekolah dan pusat membeli-belah. Komuniti ini menjadi penghubung antara
masyarakat tradisi dan masyarakat moden. Sebahagian mereka ada yang bekerja di bandar dan
tinggal di pinggir bandar. Seterusnya ialah komuniti bandar, komuniti bandar merupakan komuniti
yang penting dan komuniti ini sering bertambah dari masa ke masa iaitu pertambahan populasi
yang tinggi berlaku dalam lokasi komuniti bandar. Komuniti ini terbentuk di pekan atau bandar.
Antara ciri kawasan ini adalah pusat kepada pentadbiran satu-satu kawasan atau daerah. Dari aspek
ekonomi ia merupakan pusat perekonomian yang aktif. Di Malaysia, kawasan ini mempunyai
bentuk etnik yang paling banyak rencam. Oleh itu, masyarakat di kawasan ini mempunyai
kesepaduan sosial yang lemah. Komuniti yang terakhir ialah komuniti metropolitan. Proses
perkembangan bandar ini telah membentuk satu keadaan di mana bandar antara bandar dan pekan
ini telah bersambung hingga mewujudkan satu keadaan di mana bentuk komuniti yang bersifat
metropolitan ini berlaku. Pembentukan unit-unit kecil ini yang membentuk unit besar yang dikenali
dengan kawasan metropolitan. Kawasan ini mempunyai jumlah penduduk yang padat dan aktif. Di
Malaysia, Kuala Lumpur merupakan bandar metropolitan kerana gabungan bandar-bandar terlibat
seperti Gombak, Lembah Klang dan Petaling Jaya.
Kesimpulannya, realiti masyarakat di Malaysia terdiri daripada pelbagai etnik di kawasan
bandar. Pembentukan komuniti di kawasan bandar adalah berkait rapat dengan pemodenan.
Pemodenan telah membawa perubahan dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk pembentukan
masyarakat dan komuniti. Bukan itu sahaja, pembentukan komuniti juga berkait rapat dengan
proses perbandaran dan perkembangan teknologi dalam sesetengah keadaan mewujudkan
alienation. Komuniti yang terbentuk telah mengalami evolusi dari komuniti yang simple hingga
kewujudan komuniti yang kompleks. Tegasnya, urbanisasi dari aspek kesepaduan sosial iaitu
pembinaan komuniti di tempat kerja dan berpersatuan merupakan aktiviti komuniti yang amat
berpengaruh dalam konteks sekarang berbeza dengan komuniti sebelum ini yang berasaskan
kejiranan. Dengan ini, evolusi bandar memberi impak yang positif dan negatif kepada penduduk
bandar. Kontinum urbanisasi dan kualiti hidup telah mempamerkan struktur yang berterusan bagi
mencapai pembangunan mampan. Walau bagaimanapun, penekanan masih perlu diberikan tentang
kesamarataan, keadilan dan kebebasan dalam mengejar kualiti hidup sosial di bandar.
RUJUKAN
Jew Age. 2008. Emile Durkheim-Biography
https://www.jewage.org/wiki/en/Article:%C3%89mile_Durkheim_-_Biography.
Diakses pada 10 Januari 2024.

Ashaluddin Jalil. 2005. Kota: Dari Perspektif Urbanisasi. Jurnal Industri dan Perkotaan 9(15) :
833-845.

Norizan Rameli, Fariha Ramli, Dani Salleh. 2019. Urbanisasi dan Kualiti Hidup: Satu Kajian
Literatur yang Komprehensif. Journal of Social Transformation and Regional
Development 1(2):24-32.

Yahaya Ibrahim. 1992. Kejiranan dalam komuniti bandar terancang: Kajian Kes di Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan. Tesis Sarjana, Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera
dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

You might also like