You are on page 1of 8

INSTITUSI MASYARAKAT DALAM ISLAM

Konsep dan falsafah pembentukan masyarakat

Masyarakat dalam konteks Islam ialah gabungan manusia yang diwujudkan atas ikatan
syariah rabbani yang bermatlamatkan kehidupan yang sejahtera serta aman damai.
Masyarakat Islam juga merangkumi keseluruhan hubungan kemasyarakatan yang saling
berkait antara satu sama lain. Oleh itu, masyarakat Islam ialah kelompok manusia yang
beragama Islam, mengamalkan ajaran Islam dan saling berkaitan antara satu sama lain.
Masyarakat Islam yang pertama ialah masyarakat yang didirikan oleh Rasulullah s.a.w. dan
para sahabat di Madinah. Umat Islam yang berada di bawah kepemimpinan Nabi
Muhammad s.a.w. telah melaksanakan tugas yang berlandaskan nilai-nilai Islam dengan
cekal, gigih dan jujur sehingga berjaya membentuk sebuah masyarakat yang ideal dan
menjadi contoh bagi masyarakat Islam selepasnya.

Tegasnya, walaupun masyarakat Islam terdiri daripada pelbagai kelompok manusia


seumpama lelaki, perempuan, bersuku-suku dan berbangsa-bangsa, namun perbezaan ini
tidak menyekat masyarakat Islam daripada mengenali atau berinteraksi antara satu sama
lain. Uniknya, masyarakat Islam dari segi definisinya bukanlah kerana perbezaan warna,
kulit, bangsa, bahasa dan negara, tetapi sejauhmana masyarakat itu tunduk dan patuh
kepada Allah s.w.t. Ketakwaanlah yang menjadi ukuran penting dalam menentukan konsep
masyarakat Islam.

Asas-asas pembinaan masyarakat Islam


Al-Qur’an dan al-Sunnah telah meletakkan asas-asas yang kukuh dalam pembentukan
kehidupan masyarakat Islam. Berikut adalah asas-asas yang membentuk masyarakat Islam:

1. Akidah Islam
Asas utama pembentukan masyarakat Islam adalah untuk memelihara, menjaga dan
menegakkan akidah Islam. Akidah tauhid amat penting untuk membebaskan manusia
daripada belenggu khurafat yang boleh membawa kemunduran iaitu kepercayaan karut-
marut yang tidak berasaskan akal rasional. Akidah tauhid juga akan membebaskan manusia
daripada belenggu modenisme yang menafikan kewujudan Tuhan sehingga membawa
kehancuran akhlak manusia dan sistem nilai.

2. Tolong-menolong atas kebaikan bukan kerosakan


Masyarakat Islam mesti bekerjasama untuk kebaikan dan tidak bekerjasama untuk
melakukan dosa dan perbuatan keji.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa dan janganlah
tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran.
(Surah al-Maidah: 2)

Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud:


Jangan kamu berbuat kejahatan di permukaan bumi sesudah ia menjadi baik.
(Surah al-A’raf: 56)

1
3. Bersatu padu sesama manusia adalah ibadat yang mulia
Masyarakat Islam menekankan aspek bersatu padu sebagai satu bentuk ibadat yang dituntut
dalam Islam.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:


Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada kecuali jika mereka berpegang
pada tali (ad-Din) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia.
(Surah al-Imran: 112)

Ketiga-ketiga asas di atas adalah dasar utama pembentukan kehidupan masyarakat Islam.

Peranan, hak dan tanggungjawab dalam masyarakat Islam

Di samping memahami konsep dan asas-asas pembentukan masyarakat Islam, anda juga
harus sedar akan peranan, hak dan tanggungjawab setiap individu dalam masyarakat Islam.
Antara peranan, hak dan tanggungjawab yang digariskan dalam Islam adalah seperti yang
tertera di bawah:

1. Hak individu
Setiap individu berperanan dan bertanggungjawab menjaga diri sendiri dari segi jasmani dan
rohani. Kesihatan rohani dan jasmani amat penting dalam pembinaan individu yang sihat dan
sejahtera. Perkara-perkara yang merosakkan diri seperti minum arak dan makan benda yang
haram harus dielakkan sesuai dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasan.
(Surah al-Baqarah: 195)

2. Hak keluarga
Setiap ahli keluarga perlu bertanggungjawab terhadap keluarganya dengan menyediakan
keperluan asas seperti makanan, minuman dan tempat tinggal yang selesa. Malah, hak
keluarga juga termasuk peranan ibu bapa memberi pendidikan Islam yang sempurna kepada
anak-anak agar ahli keluarganya tunduk kepada Allah sebagaimana firman Allah s.w.t. yang
bermaksud:
Wahai orang yang beriman jagalah diri kamu serta ahli keluarga kamu daripada api neraka.
(Surah al-Tahrim: 6)

3. Hak untuk hidup


Nyawa adalah sesuatu yang mulia dalam Islam dan setiap individu dalam masyarakat harus
menghormati dan menghargai nyawa manusia. Malah syariah Islam memberi keutamaan
dalam memelihara nyawa manusia sepertimana tercatat dalam firman Allah s.w.t. yang
bermaksud:
Sesiapa yang membunuh manusia tanpa alasan yang membolehkan dia membunuh orang
itu atau kerana melakukan kerosakan di muka bumi maka seolah-olah dia telah membunuh
manusia kesemuanya dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia maka
seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia keseluruhannya.
(Surah al-Maidah: 32)

2
4. Menjaga maruah dan peribadi
Islam melarang setiap ahli masyarakat terlibat dalam perbuatan menjatuhkan maruah
peribadi seseorang insan. Maruah dan peribadi adalah suatu nilai yang sangat mulia dalam
Islam. Orang yang bermaruah dan berperibadi tinggi tidak akan melakukan perbuatan
mencari kesalahan atau keburukan orang lain sehingga mencemarkan maruah dan peribadi
orang itu. Malah, Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud:
Dan janganlah sesetengah daripada kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain dan
janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan panggilan yang buruk.
(Surah al-Hujurat: 11)

5. Kebebasan berfikir dan menyatakan pendapat


Setiap individu bebas berfikir dan menyuarakan pendapat untuk menyatakan pandangan
peribadi mereka. Namun begitu, kebebasan ini tidak boleh melanggar ketetapan syariah
seumpama menyebarkan fitnah dan khabar buruk tentang seseorang yang tidak disukainya.

6. Kebebasan bergerak
Setiap manusia adalah bebas bergerak dalam negara yang sah sebagai tempat tinggalnya.
Oleh itu, tiada siapa yang berhak untuk memaksanya meninggalkan sesuatu tempat itu tanpa
sebab-sebab yang munasabah. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu, mudah digunakan maka berjalanlah di merata-rata
ceruk rantaunya serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah.
(Surah al-Mulk: 15)

7. Hak sama rata


Setiap manusia berhak untuk mendapatkan layanan yang sama rata tanpa mengira bangsa
dan keturunan. Malah, semua orang adalah sama di sisi Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang
bermaksud:
Bagi mereka masing-masing (daripada jin dan manusia yang berbuat baik dan jahat)
disediakan pelbagai peringkat pembalasan yang sesuai dengan apa yang telah mereka
kerjakan.
(Surah al-Ahqaf: 19)

8. Hak keadilan dan kehakiman


Tiada perbezaan kelas dalam perundangan Islam kerana setiap orang berhak mendapatkan
pengadilan dan kehakiman untuk dirinya daripada penindasan dan penganiayaan.
Pemerintah bertanggungjawab untuk memastikan setiap rakyat mendapat hak pengadilan
yang saksama. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
Hendaklah kamu menjalankan hukuman antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh
Allah dan janganlah engkau menurut hawa nafsu mereka.
(Surah al-Maidah: 49)

9. Menegakkan makruf dan mencegah mungkar


Usaha menegakkan kebaikan dan mencegah keburukan adalah tanggungjawab setiap
individu yang perlu dilakukan secara bersama-sama. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh
berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perbuatan yang salah
(buruk dan keji) dan mereka itulah orang yang berjaya.
(Surah al-Imran: 104)
3
10. Hak berpolitik dan bernegara
Negara Islam harus memberi hak berpolitik kepada sesiapa sahaja tanpa mengira agama
dan keturunannya. Hak mendapat perlindungan politik dan negara adalah berdasarkan
hakikat bahawa Islam adalah agama yang mementingkan keadilan dan keamanan. Allah
s.w.t. berfirman yang bermaksud:
Dan jika seorang daripada kaum Musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk
memahami Islam) maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar
keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu) kemudiaan hantarlah dia ke mana-mana tempat
yang dia beroleh aman.
(Surah al-Taubah: 6)

11. Hak pendidikan


Setiap manusia mempunyai hak untuk menuntut ilmu. Islam mewajibkan setiap Muslim, baik
lelaki atau perempuan menuntut ilmu pengetahuan. Pemerintah juga wajib menyediakan
kemudahan asas untuk masyarakatnya menuntut ilmu. Sabda Nabi Muhammad s.a.w.:
Menuntut ilmu itu adalah kewajiban bagi setiap Muslim dan Muslimat.
(HR. Ibn Majah, al Baihaqi, Ibn Abd al-Barr)

Islam dan masyarakat majmuk

1. Konsep dan falsafah


Masyarakat majmuk terdiri daripada masyarakat yang berbilang bangsa, bahasa,
kebudayaan dan agama. Negara Islam yang pertama disusun oleh Nabi Muhammad s.a.w.
di Madinah terdiri daripada masyarakat majmuk. Tegasnya, komponen utama masyarakat
majmuk dalam negara Islam terdiri daripada orang Islam dan orang bukan Islam.
Kewujudan masyarakat majmuk yang mempunyai ciri-ciri yang pelbagai bukanlah sesuatu
yang asing bagi Islam. Malah, Allah s.w.t. telah menciptakan kepelbagaian manusia yang
wujud di muka bumi ini seperti firman-Nya yang bermaksud:
Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami
jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berbeza puak (etnik) supaya kamu saling mengenal.
Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu ialah yang paling bertakwa.
(Surah Al-Hujurat: 13)

Maksud ayat di atas jelas menggambarkan pengiktirafan al-Qur’an terhadap kewujudan


masyarakat majmuk. Ini boleh menambahkan kepelbagaian dan rencam hidup manusia
supaya lebih menarik dan indah. Dengan kepelbagaian yang ada, manusia boleh kenal-
mengenal dan menambahkan pengetahuan masing-masing.
Bagaimanapun Islam memberi amaran bahawa kepelbagaian tidak seharusnya menjadi asas
kepada perbezaan layanan keadilan dan taraf kedudukan. Menurut Islam, semua manusia
walau apa jua bangsa atau warna kulit adalah sama. Satu perkara yang membezakan
kedudukan mereka di sisi Allah ialah tahap ketakwaaan.

2. Peranan, hak dan tanggungjawab


Islam mempunyai pendekatan yang tersendiri dalam mengendalikan masyarakat majmuk.
Hak dan tanggungjawab masyarakat majmuk telah digariskan dalam Piagam Madinah iaitu
perlembagaan bertulis yang pertama di dunia yang telah disusun oleh Nabi Muhammad
s.a.w. berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Antara hak dan tanggungjawab yang tertera
dalam Piagam Madinah adalah seperti berikut:
4
a. Semua masyarakat adalah satu ummah yang bertanggungjawab menjaga kedaulatan
negara.
b. Warganegara Islam dan warganegara bukan Islam bertanggungjawab mempertahankan
keselamatan negara daripada serangan musuh atau penceroboh.
c. Setiap warganegara bebas bergerak dan menetap di Madinah.
d. Setiap warganegara bebas bergiat, memiliki harta dan menuntut ilmu.
e. Masyarakat wajib saling menolong atas kebaikan bersama.
f. Masyarakat tidak boleh membantu musuh atau sekutu untuk melakukan kemungkaran.
g. Setiap warganegara yang dizalimi mesti dibantu dan berhak mendapat pembelaan.
h. Kebebasan mengamalkan ajaran agama tanpa paksaan.
i. Semua masyarakat mesti mengamalkan nilai yang baik.

Hak dan tanggungjawab yang dinyatakan di atas adalah beberapa prinsip penting yang
digariskan dalam Perlembagaan Madinah yang tediri daripada 47 Fasal (telah dijelaskan
dalam Unit 2). Masyarakat majmuk yang dibentuk di Madinah telah berjaya menjamin
keadilan dan hak semua warganegara. Islam telah diterima hampir sepertiga dunia; dari
Madinah, Eropah, Afrika, Asia dan negara-negara lain kerana sifat kepelbagaian yang ada
dalam masyarakatnya.

Namun begitu, masyarakat beragama Islam wajib tunduk kepada semua peruntukan hukum
Islam. Kewajipan ini ditentukan oleh dua faktor:

1. Kewajipan terhadap Allah s.w.t. apabila seseorang itu mengumumkan Islam sebagai
agamanya (tanggungjawab akidah atau agama).
2. Tanggungjawab kepada pemerintah yang mengambil sistem perundangan Islam sebagai
dasar pemerintahan negara (tanggungjawab politik).

Di Malaysia, umat Islam perlu patuh kepada dua bidang perundangan iaitu bidang
perundangan am (sivil) yang sama bagi semua rakyat Malaysia dan bidang perundangan diri
(syariah) iaitu undang-undang kekeluargaan dan hukum-hakam syarak yang khusus kepada
orang Islam sahaja. Dalam bidang perundangan diri (syariah), orang bukan Islam di Malaysia
tidak mempunyai undang-undang khusus yang mengikat mereka. Mereka hanya mengikut
adat resam dan norma-norma tradisi yang diwarisi oleh nenek moyang mereka.

Ummatan wasatan (Umat pertengahan)

Umat Islam adalah umat pertengahan iaitu umat yang seimbang dan sederhana cara
hidupnya. Islam melarang sikap ekstremisme dan melampau batas dalam agama kerana
Islam adalah agama yang berprinsipkan keseimbangan dan kesederhanaan.
Prinsip keseimbangan dan kesederhanaan Islam dapat ditinjau dari pelbagai aspek iaitu
akidah, ibadah, kerohanian dan kebendaan, individu dan masyarakat.

1. Akidah
Dari sudut akidah, Islam menyeru umatnya agar menggunakan akal fikiran, dalil dan hujah
untuk mengukuhkan imannya terhadap Allah s.w.t. Malah, Allah s.w.t. memuliakan hamba-
Nya dengan ilmu. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Allah s.w.t. pasti mengangkat darjat orang berilmu daripada kamu dan orang yang diberikan
ilmu beberapa darjat.
5
(Surah al-Mujadalah: 11)
Islam menyeru umatnya mengusai ilmu berasaskan wahyu. Malah Islam mengimbangi
antara peranan wahyu dan ilmu akal. Akidah Islam bukanlah kepercayaan tahyul dan karut-
marut yang berasaskan imaginasi dan anganangan semata-mata.

Selain itu, akidah Islam adalah akidah pertengahan iaitu antara kepercayaan yang menolak
kewujudan Tuhan secara mutlak seperti golongan ateis atau mulhid (tidak percaya Tuhan)
dan kepercayaan yang menerima banyak Tuhan seperti golongan polytheist atau musyrik.
Kedua-dua golongan ini merupakan dua bentuk ekstrimisme melampau yang ditolak oleh
Islam.

Islam menolak kepercayaan golongan ateis dengan mempertahankan bahawa Tuhan itu ada
dan menolak kepercayaan golongan polytheist dengan mempertahankan bahawa Tuhan itu
hanya satu. Dengan itu, konsep tauhid merupakan manifestasi penting dalam
kesederhanaan Islam.

Akidah Islam juga adalah tidak ekstrim kerana ia tidak menolak kewujudan Tuhan
sepenuhnya seperti golongan ateis yang tidak percaya akan adanya Tuhan yang mencipta
langit dan bumi atau mempercayai segalagalanya sebagai objek Tuhan tanpa hujah yang
kukuh. Ilmu adalah asas untuk mengukuhkan akidah Islam sebagaimana firman Allah s.w.t.
yang
bermaksud:
Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah mencipta manusia dari
segumpal darah …
(Surah al-Alaq :1-2)
2. Ibadat
Dari segi ibadat pula, umat Islam tidak diseru supaya terus beramal ibadat sehingga
meninggalkan urusan harian dunia. Sikap melampau dalam amal ibadat sepertimana
diamalkan oleh pendeta-pendeta agama lain dilarang sama sekali oleh Islam.
Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
Demi Allah, akulah manusia yang paling takut kepada Allah dan paling bertakwa kepada-Nya
tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku bersolat dan tidur dan aku juga berkahwin. Sesiapa
yang tidak mengikut sunnahku ini dia tidak termasuk dalam golonganku.
(HR. Bukhari dan Muslim)

3. Rohani dan jasmani-dunia dan akhirat


Umat Islam perlu seimbangkan keperluan rohani dan jasmani. Sikap mengutamakan
keperluan rohani dengan mengabaikan keperluan jasmani dilarang dalam Islam. Umat Islam
perlu menjaga kesihatan tubuh badan di samping mendekatkan diri kepada Allah dengan
amal soleh seperti bersolat, memberi zakat dan berpuasa agar rohani iaitu jiwa dan hati
menjadi bersih dan teguh dengan cahaya iman.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Wahai mereka yang beriman jangan kamu mengharamkan perkara-perkara yang baik-baik
yang dihalalkan oleh Allah untuk kamu. Dan janganlah kamu melampaui batas kerana Allah
tidak menyukai mereka yang melampau batas.
(Surah al-Maidah: 87)

6
Selain itu, kehidupan di dunia dan di akhirat perlu diseimbangkan dengan sikap umat Islam
yang mengutamakan dunia seperti golongan materialis dan mengutamakan akhirat semata-
mata seperti biarawan dan biarawati tidak dibenarkan sama sekali.

Malah, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:


Dan carilah apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan
janganlah kamu lupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) di dunia ini.
(Surah al-Qasas: 77)

4. Individu dan masyarakat

Islam amat mengutamakan keperluan masyarakat dan individu serta menitikberatkan


masalah individu dan masyarakat. Bagi Islam hak individu perlu dipenuhi dan hak
masyarakat tidak boleh diabaikan. Sikap mementingkan kepentingan individu sahaja
sehingga menjejaskan kepentingan masyarakat atau terlalu mengutamakan kepentingan
masyarakat sehingga menjejaskan kepentingan individu ditolak sama sekali dalam Islam.
Islam juga menolak sikap melampau golongan materialis dan kapitalis yang
bersikap ‘ananiyyah’ atau individulistik serta sikap melampau golongan sosialis yang
mementingkan masyarakat. Sebaliknya, Islam menyeru sikap seimbang dalam membantu
keperluan individu dan masyarakat.

Dalam hal ini, Islam mengakui bahawa setiap individu mempunyai keupayaan dan potensi
yang berbeza-beza. Dengan itu setiap manusia akan dianugerahkan dengan kadar kekayaan
yang tidak sama seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Allah melebihkan rezeki sesetengah kamu ke atas sesetengah orang yang lain.
(Surah al-Nahl: 71)

Ummatan khayru (Umat yang terbaik)

Islam menyeru ke arah pembentukan umat yang terbaik sebagaimana firman Allah s.w.t.
yang bermaksud:
Kamu adalah umat yang terbaik yang telah dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada
makruf (kebaikan) dan mencegah diri dari yang mungkar.
(Surah al-Imran: 110)

Masyarakat Islam adalah berbeza daripada masyarakat lain kerana mereka mempunyai
kewajipan untuk mengajak manusia kepada kebaikan dan menghalang manusia daripada
melakukan perbuatan yang jahat. Di samping solat, puasa, zakat dan haji sebagai amalan
wajib, umat Islam juga diwajibkan untuk mempraktikan amar makruf dan nahi mungkar.
Malah, Allah s.w.t. berfirman di dalam al-Qur’an yang bermaksud:
Dan orang yang beriman sama ada lelaki dan perempuan sebahagian mereka adalah
penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh ke arah makruf dan mencegah dari
yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan
Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha
Bijaksana.
(Surah al-Taubah: 71)

7
Ayat ini jelas membuktikan bahawa kriteria utama Islam bagi sesuatu masyarakat dan
individu selain solat dan zakat ialah amar makruf dan nahi mungkar.

Tegasnya, umat Islam ialah umat yang terbaik kerana misi dan tanggungjawab diamanahkan
kepada mereka adalah menyeru seluruh manusia ke arah kebaikan dan mencegah umat
manusia daripada perbuatan yang jahat.

Pada pandangan anda, adakah misi amar makruf dan nahi mungkar amat penting untuk
menjadi umat yang terbaik ?

Jawabnya, ya kerana untuk membentuk masyarakat yang aman dan berjaya, kita tidak
hanya boleh mengharapkan sebahagian sahaja daripada ahli masyarakat tersebut yang
mematuhi undang-undang dan nilai-nilai baik, bekerja dengan tekun serta menjalankan
penyelidikan dan pembangunan, manakala satu gologan lain dibiarkan untuk hidup berfoya-
foya, melanggar undang-undang, melakukan jenayah, malas dan tidak proaktif. Oleh itu,
golongan yang kedua ini hendaklah sentiasa didekati dan diseru untuk melakukan kebaikan
dan mereka hendaklah dipantau dan dicegah daripada melakukan kejahatan dan jenayah.
Setelah semua ahli masyarakat memiliki nilai-nilai dan amalan yang baik dan berfaedah
maka masyarakat tersebut akan menjadi aman dan maju seterusnya mereka akan muncul
sebagai umat terbaik. Inilah hakikat sebenar yang menjadikan amar makruf sangat penting
dalam konteks untuk menjadi umat terbaik atau cemerlang, gemilang dan terbilang.

Di Malaysia, usaha-usaha amar makruf dan nahi mungkar ini telah dijalankan secara
berterusan walaupun ia masih jauh daripada mencukupi. Usaha ini telah dilaksanakan oleh
semua peringkat dan lapisan masyarakat daripada individu, persatuan penduduk,
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi kerajaan. Malah, tindakan Badan
Pencegah Maksiat, Badan Pencegah Rasuah, dan Rakan Cop dalam mencegah
kemungkaran yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat kita patut dipuji. Selain
itu, terdapat beberapa usaha badan dakwah dan NGO yang terus menjalankan aktiviti
menyeru kebaikan kepada anggota masyarakat.

You might also like