You are on page 1of 3

KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, falsafah bermaksud pengetahuan


tentang ilmu yang tertinggi atau sebagai dasar kepada ilmu-ilmu lain. Istilah falsafah
berasal daripada dua perkataan Yunani, iaituphilos (bermakna kecintaan) dansophia
(bermakna kebijaksanaan). Dengan berpandukan kepada makna dua perkataan
Yunani ini, istilah falsafah boleh diertikan sebagai perihal mencintai kebijaksanaan
atau mencintai ilmu. Menurut Akta Pendidikan tahun 1996, Falsafah Pendidikan
Negara tahun 1988, telah digantikan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada
tahun 1996 (Kementerian Pendidikan, 1999). Falsafah Pendidikan Kebangsaan,
1996, berbunyi: Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah lebih
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini
adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan negara.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dulunya disebut Falsafah Pendidikan
Negara (FPN) merupakan dasar kepada pendidikan di Malaysia. Hal ini bermakna,
semua aktiviti pendidikan dan persekolahan di Malaysia mestilah selaras dengan
FPK ini. Justeru setiap bakal guru di Malaysia diwajibkan membaca, memahami dan
mengingati falsafah ini agar setiap tindakan mereka melalui proses pengajaran dan
pembelajaran sentiasa berada dilandasan yang betul. Intipati utama dalam FPK ini
ialah melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual
yang sering disebut oleh guru-guru sebagai JERI. Perlu diingat bahawa tidak ada
yang lebih utama antara keempat- empat unsur tersebut, yakni tidak boleh dikatakan
jasmani lebih penting daripada intelek atau sebaliknya Salah satu yang terkandung
dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang berasaskan kepercayaan kepada
Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek
diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia
terpelihara. Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik
dan akhlak yang mulia yang sekali gus menjadi ciri-ciri asasi seorang ahli keluarga,
masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik. Satu konsep asas yang
terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam
pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan
yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada
manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan
membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah
manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya.
Pendidikan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa
berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan
kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan
mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada
manusia. FPK juga melihat individu itu dalam beberapa lapisan pertalian atau
perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan
kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan setiap
lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan keluarga, meluas kepada
masyarakat dan negara. Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi
bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk
pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi
seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu,
bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti. [Mok, 2008]. Berpandukan
kepada pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan di atas, pendidikan di
Malaysia merupakan suatu usaha memperkembang potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Matlamat pendidikan ialah
melahirkan rakyat yang berilmu pengetahun, berketrampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab, berupaya mencapai kesejahteraan dan memberi sumbangan
untuk keharmonian dan kemakmuran negara. Seiringan dengan itu, Falsafah
Pendidikan Guru telah digubal untuk menjadi panduan bagi merealisasikan FPK.



Secara dasar, FPG menjelaskan jenis guru yang diperlukan oleh negara kita. Ia
berbunyi seperti di bawah: Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan
saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan
kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu
masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.(Mok, 2008)
Berdasarkan kepada FPG di atas, maka matlamat pendidikan guru ialah
menghasilkan guru yang berkualiti dari segi peribadi, profesional, sosial dan amalan
tingkah laku; menguasai ilmu, kemahiran dan amalan nilai-nilai keguruan, serta
berupaya mencapai kecemerlangan pendidikan untuk pengisian tuntutan Wawasan
Pendidikan dalam abad ke-21. [Choong, 2008] FPG digubal bertujuan untuk menjadi
panduan bagi merealisasikan FPK. Ia sebenarnya menjelaskan jenis guru yang
dihasratkan oleh negara kita. Justeru, guru mempunyai akautabiliti yang tinggi
terhadap murid, ibu bapa, masyarakat dan negara bagi memastikan sistem
penyampaian ilmu, kemahiran dan nilai yang berkesan. Guru juga disifatkan sebagai
rol model dan teladan bagi golongan murid. Sehubungan itu, guru hendaklah
mempunyai sahsiah yang baik. Dengan adanya FPG yang telah digubal untuk
menjadi panduan bagi merealisasikan FPK, maka jelaslah bahawa para pendidik
memainkan peranan utama dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan.
Berikut merupakan beberapa cara bagaimana seorang guru dapat merealisasikan
hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru dalam
profesionnya untuk diaplikasikan dalam KBSR.

You might also like