You are on page 1of 4

DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA GUAMAN SIVIL.

22-88-2013

ANTARA ZAMANI BIN SULONG (NO. K/P : 870101-10-3233) DAN ...PLAINTIF

HONDA (M) SDN BHD (NO. SYARIKAT : 391788-V)

...DEFENDAN

ALASAN PENGHAKIMAN

A.

TUNTUTAN PLAINTIF

Pihak Plaintif menuntut pampasan atas kerosakan kereta tersebut bernilai RM 50,000.00 termasuk kerugian akibat daripada kebakaran dan kos penyelenggaraan. Pihak Plaintif juga turut meminta kepada mahkamah supaya pihak defendan menanggung kos.

B.

FAKTA KES

Semasa perbicaraan, peguam Plaintif telah memanggil Plaintif sebagai saksi dan keterangan telah diberikan untuk menyokong tuntutan pihak Plaintif. Beliau telah memberi keterangan bahawa beliau telah membeli kereta Honda model Civic 2.0 yang bernombor pendaftaran WMX 7557 pada tahun 2005 dari pengedar sah Honda, Kosmo Kars Sdn Bhd di Subang Jaya, Selangor. Beliau telah menghantar keretanya untuk penyelenggaraan servis berkala (periodic service maintenance) di Kosmo Kars Sdn Bhd di Shah Alam. Plaintif menyatakan beliau telah memasang Black Clifford Anti Hijacking dalam keretanya sebagai aksesori tambahan untuk keselamatan tambahan keretanya daripada dicuri. Pemasangan item itu adalah atas saranan yang dibuat oleh jurujual yang bernama Alan Hee dari Kosmo Kars yang merupakan pengedar sah Defendan.

Beliau menjelaskan bahawa bahawa beliau telah memasang sistem Black Clifford Anti Hijacking itu di GLS Auto Sdn Bhd atas saranan Alan Hee (ID 1). Pada 23 Ogos 2008, beliau dikejutkan oleh pengurus bangunan tempat tinggalnya bahawa kereta beliau terbakar. Apabila beliau sampai ke tempat kejadian, beliau mendapati 3 anggota penyelamat telah sampai dan cuba memadamkan api tersebut. Pihak Plaintif telah merujuk kepada laporan bomba (ID2) di muka surat 18 dan 19 di dalam Ikatan Dokumen yang meyatakan punca kebakaran adalah disebabkan oleh litar pintas. Pihak Plaintif juga merujuk kepada surat yang telah dihantar oleh Plaintif bertarikh 25 Ogos 2008 (P1) dan surat yang telah dibalas oleh Defendan bertarikh 1 September 2008 (ID3). Beliau juga menjelaskan bahawa pemasangan sistem tersebut tidak menyalahi syarat waranti Defendan keran beliau telah menghantar kereta beliau untuk penyelenggaraan dan pembaikan di Kosmo Kars, wakil sah Defendan selama 3 tahun dan tidak pernah dimaklumkan bahawa terdapat masalah berkenaan sistem wayar kereta beliau. Plaintif juga telah menyatakan bahawa beliau telah menerima insurans sebanyak RM 85,000.00 dari MSIG Insuarn (Malaysia) Sdn Bhd pada tahun 2008 tetapi beliau tidak dapat menuntut kehilangan penggunaan kereta selama 2 bulan. Pihak Defendan telah memanggil 2 orang saksi iaitu Lau Eng Swee(SD1) dan Martin Leow(SD2). Saksi pertama memberi keterangan bahawa beliau telah menyediakan laporan siasatan kebakaran (D1) kereta Plaintif telah menyatakan bahawa tempat yang teruk terbakar adalah di komponen bateri kereta akibat keterlaluan arus elektrik. Berdasarkan siasatan beliau, SD1 menyatakan terdapat wayar-wayar yang tidak dikenalpasti atau baru dalam litar kereta. Selain daripada itu, terdapat juga terminal yang tidak dikenalpasti dipasang di terminal asal positif dan negatif. Pemasangan terminal itu telah menjejaskan keseluruhan sistem litar kereta Plaintif. Beliau berkata bahawa beliau tidak pasti kebakaran itu berpunca daripada pemasangan sistem Black Clifford Anti Hijacking tetapi beliau pasti punca kebakaran adalah disebabkan pemasangan wayar-wayar tambahan yang tidak diluluskan yang menjejaskan sistem litar kereta menyebabkan keterlaluan arus elektrik dalam litar dan terbakar di bahagian bateri kereta Plaintif. Pemasangan sistem itu atas kehendak dan risiko yang diambil olehnya menyebabkan kereta Plaintif dan ianya tidak wajar untuk mempertanggungjawabkan Defendan atas kejadian tersebut. Seterusnya, SD2 telah memberi keterangan mengesahkan bahawa tempoh masa waranti kereta Plaintif sudah tamat di mana Plaintif telah membeli kereta pada 14 Jun 2005 dan kejadian kebakaran ini berlaku pada 23 Ogos 2008. Tempoh 36 bulan waranti telah pun tamat dan Plaintif tidak boleh

membuat tuntutan terhadap Defendan. Sebarang pengubahsuaian yang tidak diluluskan oleh Defendan akan menjejaskan kereta tersebut berfungsi dengan baik dan membawa masalah-masalah besar kerana ia akan memusnahkan ciri-ciri keselamatan kereta tersebut dan secara automatiknya waranti kereta akan dibatalkan. Beliau juga menerangkan bahawa kereta yang dibawa untuk diservis, Defendan hanya bertanggungjawab untuk memeriksa komponen-komponen kereta yang dipasang secara asal dan pengubahsuaian tambahan adalah atas risiko sendiri dan di luar tanggungjawab Defendan. Beliau juga tidak pasti kewujudan Alan Jee yang diungkitkan oleh Plaintif tetapi beliau pasti bahawa jurujual sah pihak Defendan tidak ada sebarang masa memberi saranan kepada pelanggan Defendan untuk memasang aksesori tambahan kereta Honda.

C.

FINDING

Keterangan saksi-saksi dan eksibit-eksibit dirujuk. Terdapat satu ikatan dokumen yang dipersetujui di antara peguam defendan dan peguam plaintif yang terdiri daripada Laporan Siasatan Bomba dan Surat Waranti Defendan. Adalah menjadi suatu undang-undang yang kukuh dan diterima pakai di dalam suatu kes bahawa beban pembuktian terletak di bahu pihak yang ingin membuktikan kesnya. Selain daripada itu, piawai yang digunakan untuk pembuktian adalah mengguna pakai kaedah imbangan kebarangkalian (balance of probabilities). Dalam kes ini, kedua- dua pihak telah hadir memberi keterangan kepada mahkamah dengan variasi cerita yang berbeza dan dengan ini, saya telah menggunakan circumstancial evidence berdasarkan ekshibit yang telah disediakan oleh kedua-dua pihak untuk membantu mahkamah mencapai keputusan. Dalam kes ini, saya percaya pihak Plaintif telah melakukan pengubahsuaian tanpa mendapat nasihat daripada Defendan. Melalui keterangan saksi kedua-dua pihak, saya mendapati hujahan pihak Defendan dapat menimbulkan keraguan ke atas tuntutan yang dibuat oleh Plaintif. Menurut surat waranti yang diberikan oleh pihak Defendan, saya dapati bahawa tempoh waranti hanyalah untuk 36 bulan. Kebakaran itu telah berlaku setelah tamat tempoh waranti. Seperti yang telah dinyatakan di dalam kes Mukand Ltd v. Malaysia Steel Works (KL) Sdn Bhd [2011] 5 MLJ 578, tuntutan yang dibuat setelah tamat tempoh waranti tidak perlu dilayan dan ditolak oleh mahkamah. Selain itu, waranti itu akan terbatal apabila terdapat sebarang pengubahsuaian yang dilakukan ke atas kereta tersebut. Pihak Plaintif juga telah bersetuju bahawa kandungan surat waranti itu benar. Oleh itu,

Plaintif mesti sedar tentang kewujudan klausa tersebut dan mengetahui bahawa apa-apa pengubahsuaian yang dibuat ke atas kereta tersebut akan membuatkan waranti terbatal secara automatik. Saya bersetuju bahawa memang terdapat duty of care antara Plaintif dan Defendan kerana Plaintif merupakan pembeli kereta keluaran Defendan. Tetapi, disebabkan oleh pengubahsuaian yang telah dibuat oleh Plaintif sendiri ditambah dengan resit pembelian sistem Black Clifford Anti Hijacking yang dibuat di tempat lain dan bukan dipasang di wakil sah Defendan menunjukkan bahawa Plaintif sendiri yang telah memasang sistem itu. Pihak Plaintif telah gagal untuk membuktikan kewujudan Alan Hee yang dikatakan merupakan jurujual Kosmo Kars kerana beliau tidak dipanggil sebagai saksi. Pihak Defendan telah menafikan kewujudan Alan Hee dan menyangkal hujahan pihak Plaintif.

D.

KEPUTUSAN

Berdasarkan alasan-alasan di atas, Mahkamah memutuskan bahawa pihak Plaintif tidak berjaya membuktikan kesnya di atas imbangan kebarangkalian. Maka, Mahkamah menolak tuntutan Plaintif dengan kos.

Bertarikh

, 2013

. SITI ATHIQAH KAMARUL BAHARIN MAJISTRET MAHKAMAH MAJISTRET SHAH ALAM

You might also like