You are on page 1of 25

KAJIAN HUBUNGAN PELBAGAI SITUASI DALAM PERIBAHASA MELAYU

1.0 PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan
Orang Melayu memang terkenal dengan kehalusan budi dan kelembutan
berbahasa. Sesuatu hajat, hasrat dan permintaan tidak dinyatakan secara terus
terang tetapi lebih manis kalau diungkapkan secara berkias dan beribarat. Budaya
Melayu yang telah diwarisi sejak zaman berzaman jelas memancarkan kelembutan
bahasa dan kelunakan pengucapan.Kelembutan pengucapan dan kehalusan
berbahasa ini dipertahankan generasi demi generasi melalui apa yang dianggap
sebagai kelompok kata atau ayat yang mempunyai susunan dan bentuk yang tetap
dan mendukung maksud yang tertentu pula.Jenis yang lazim terpakai di kalangan
masyarakat ialah peribahasa, pepatah, bidalan, perumpamaan, kiasan dan
simpulan.
Pada hari ini, dalam dunia tanpa sempadan peribahasa masih merupakan salah satu
keistimewaan bangsa Melayu. Keistimewaan itu ialah kerana kekayaan bahasa
Melayu yang digunakan yang kaya dengan pelbagai bentuk peribahasa di
dalamnya. Bentuk-bentuk ini sangat aktif digunakan dalam kehidupan sehari-harian.

1.2 Objektif
i) Dapat mengenal pasti makna peribahasa
ii) Menggunakan peribahasa dalam pelbagai situasi

1.3 Kaedah
Kaedah yang digunakan untuk menyiapkan kertas kerja ini ialah secara kajian
perpustakaan dengan merujuk kepada buku-buku ilmiah yang berkaitan.

1.4 Batasan

Batasan kajian ini hanya merangkumi definisi peribahasa dan penggunaan


peribahasa dalam pelbagai situasi.

1.5 Definisi Konsep


1.5.1 Peribahasa ialah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang
tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu, sama ada secara tersurat atau
tersirat.
1.5.2 Simpulan Bahasa ialah ungkapan yang biasanya terdiri daripada dua atau tiga
perkataan dan mempunyai makna yang berlainan sama sekali daripada makna asal
perkataan-perkataan tersebut.
1.5..3 Pepatah ialah ungkapan-ungkapan yang berasal usul daripada pusaka adat
resam. Makna ungkapan itu tidak akan berubah-ubah.
1.5.4 Bidalan ialah peribahasa yang berfungsi sebagai penasihat yang didalamnya
terkandung unsur nasihat.
1.5.5 Perumpamaan ialah perbandingan makna yang sangat jelas kerana ia
didahului oleh perkataan seolah-olah, ibarat, bak, seperti, laksana, macam, bagai
dan umpama.

2.0 Jenis-Jenis Peribahasa


2.1 Simpulan Bahasa
Contoh-contoh simpulan bahasa ialah:
2.1.1 Hari jadi bermaksud hari ulang tahun atau tarikh lahir
2.1.2 Langkah kanan bermaksud nasib baik
2.1.3 Buka mulut bermaksud bercakap
2.1.4 Lampu hijau bermaksud keizinan melakukan sesuatu

Simpulan bahasa boleh menjadi perumpamaan apabila diberi perkataan-perkataan


laksana,bak,umpama,bagai,ibarat dan seperti di hadapannya.

2.2 Pepatah

Pepatah mempunyai ciri-ciri puisi tradisional Melayu. Pepatah juga berfungsi


sebagai pedoman hidup anggota masyarakat yang mengamalkan sesuatu adat
resam.Contoh-contoh pepatah ialah:
2.2.1 Patah lidah alamat kalah, patah keris alamat mati bermaksud apabila alat-alat
kerja sudah rosak atau hilang, maka kerja-kerja tergendala.
2.2.2 Pada sangka pohon beringin,kiranya tersandar dipunggur lapuk bermaksud
menyangka dapat berkahwin dengan orang kaya, rupa-rupanya miskin.
2.2.3 Nak kaya berdikit-dikit, nak ramai bertabur urai bermaksud jimat cermat ialah
tangga kejayaan,murah hati ialah tangga tuah.
2.2.4 Zaman beralih, musim bertukar bermaksud segala sesuatu, baik
perasaan,peraturan,rekaan atau ilmu pengetahuan akan berubah mengikut
perkembangan masa.

2.3 Bidalan
Contoh-contoh bidalan ialah:
2.3.1 Jika pandai menggunting, hendaklah pandai menjahitnya bermaksud kerja
yang sudah dimulakan hendaklah diselesaikan.
2.3.2 Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat bermaksud kunci kejayaan
ialah pada sifat sabar dan tekun.
2.3.3 Tujuh kali pindah jadi papa bermaksud perbuatansuka berpindah randah dan
bertukar-tukar kerja tidak mendatangkan sebarang keuntungan.
2.3.4 Ukur baju di badan sendiri bermaksud lakukan sesuatu mengikut kemampuan
dan keupayaan sendiri.

2.4 Perumpamaan
Istilah pinjaman bahasa Inggeris bagi perumpamaan ialah simili.
Contoh-contoh perumpamaan ialah:
2.4.1 Laksana golok kayu, ditetak tak makan, dijual tak laku bermaksud sesuatu
yang tidak mendatang sebarang faedah.
2.4.2 Umpama membungkus api bermaksud menyimpan rahsia yang lambat laun
akan diketahui orang juga.
2.4.3 Laksana perempuan mandul baru beranak bermaksud kegembiraan dan
kesyukuran yang amat sangat kerana mendapat sesuatu yang hampir-hampir putus
asa.

2.4.4 Bak mentimun bengkok bermaksud tidak dianggap penting dan diketepikan
orang.

3.0 Hubungan Peribahasa Dalam Pelbagai Situasi


Peribahasa lahir daripada pengalaman dan pengamatan alam sekeliling yang
diteliti oleh masyarakat Melayu lama. Peribahasa Melayu ini dapat mencerminkan
kehidupan masyarakat di kala itu. Sikap dan tingkah laku seseorang sering sahaja
diteliti oleh ahli masyarakat Jika seseorang ahli masyarakat itu melakukan perkaraperkara yang kurang menyenangkan maka teguran akan diberikan secara tidak
langsung .
Kadang-kadang sindiran ditujukan secara maksud tersirat yakni melalui peribahasa.
Contohnya gambaran pada sikap negatif seseorang iaitu sikap jahat. Seseorang
manusia itu dibandingkan dengan manusia-manusia yang jahat dalam sejarah
manusia yang lalu iaitu Abu Dajal , Abu Jahal , Jin Afrit , jahat bagaikan syaitan atau
pelesit.
Sikap kedekut pula diberikan peribahasa yang berbunyi air digenggam tiada
tiris, tangkai jering dan ketam batu. Mengikut kaedah ini sesuatu benda itu
dibandingkan dengan benda yang lain yang serupa sifatnya walaupun rupa
bentuknya berlainan. Dalam peribahasa ini, sikap kedekut seseorang itu
dibandingkan dengan air yang digenggam rapat. Adalah sesuatu yang tidak logik
menggenggam air. Kenapa pula tangkai jering digunakan pula untuk menunjukkan
sikap kedekut? Buah jering sememangnya sukar untuk dipisahkan dari batangnya.
Untuk memisahkannya dari batangnya memerlukan sedikit tenaga kerana ia liat.
Keliatannya ini menjadikan orang-orang tua membuat perbandingan dengan sikap
manusia.
Sikap negatif manusia yang malas pula digambarkan sebagai curi tulang
ataupun bagaikan ular sawa kekenyangan. Gambaran ular sawa yang tidak dapat
berjalan selepas membaham mangsanya dibandingkan dengan manusia yang
malas terutama selepas makan. Di samping itu, sikap malas seseorang itu juga
dikaitkan sebagai peluk tubuh, berat tangan, berat hati dan berat tulang. Sikap
malas ini banyak dikaitkan dengan berat anggota fizikal seseorang.
Sebaliknya sikap suka mencuri pula dikaitkan dengan tangan. Ini kerana
tangan manusialah yang mengambil barang-barang. Contoh peribahasa yang
digunakan ialah panjang tangan, cepat tangan dan pantas seperti tangan beruk.
Seseorang yang panjang tangannya ataupun cepat tangannya akan dapat
mengambil barangan orang lain dengan pantas dan cekap.
Sikap negatif yang lain pula ialah sikap pentingkan diri sendiri. Sikap ini
dikaitkan dengan enau. Tumbuh-tumbuhan enau memang banyak terdapat di
negara ini. Enau ini memang cepat tumbuh untuk mencari cahaya matahari. Jadilah
peribahasa yang berbunyi seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk

masing-masing. Manusia bagaikan enau ini memang banyak terdapat dalam


masyarakat kita .
Di bandar-bandar, corak kehidupan masyarakat tidak ubah seperti enau. Masingmasing sibuk mencari rezeki tanpa memperdulikan orang lain. Keduniaan merubah
sikap baik manusia. Sebaliknya di kampung-kampung tradisional yang belum
banyak diserapi arus pembangunan, sifat bergotong-royong masih diamalkan.
Sekiranya kenduri diadakan, semuanya bekerjasama tanpa mengira upah.
Peribahasa yang bertepatan dengan sikap ini ialah hati kuman sama dicicah, hati
gajah sama dilapah. Segala masalah dikongsi bersama seperti peribahasa yang
berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing. Sikap kerjasama ini akan
mewujudkan pemuafakatan sesama sendiri. Ini dikaitkan dengan peribahasa yang
berbunyi bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Selain itu, sifat negatif yang lain ialah sikap pembohong. Cakap sedikit akan
dipanjangkan menjadi banyak. Contoh peribahasa di sini ialah cakap sejengkal
dibawa sehasta. Seseorang yang suka mendedahkan keburukan diri sendiri pula
dikaitkan dengan membuka pekung di dada sendiri atau campak baju nampak
kurap, atau ludah ke langit, menimpa batang hidung sendiri dan tepuk air di dulang
terpercik ke muka sendiri
Peribahasa Melayu memang banyak menyatakan sikap positif seseorang.
Seseorang yang inginkan sesuatu mestilah perlu berusaha sendiri untuk
mendapatkannya. Sikap ini dikaitkan dengan peribahasa yang berbunyi kalau tidak
dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya, dan dimana ada kemahuan di situ ada
jalan, siapa gatal dialah yang menggaru dan siapa menjala, sebaliknya yang
mengena. Setiap kejayaan yang diharapkan bukan dengan mudah boleh diperolehi.
Ini semuanya memerlukan ketekunan dan kesungguhan SERTA kesabaran. Ini
bertepatan dengan pepatah yang mengatakan yang pipih tidak akan datang
melayang, yang bulat tidak akan datang bergolek.
Dalam usaha mengejar kejayaan dan kekayaan seseorang amat
mementingkan masa. Masa, sesuatu yang amat berharga sehingga disamakan
nilainya dengan emas. Terbitlah peribahasa yang berbunyi masa itu emas, masa itu
lebih mahal dari permata. Ajaran Islam juga menuntut kita menghargai masa. Ini
sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t supaya manusia menghargai masa
seperti yang terkandung dalam surah al Asr.
Hubungan kekeluargaan dalam masyarakat Melayu amatlah dititikberatkan.
Hubungan keluarga yang jauh cuba dieratkan. Walaupun hubungan itu bau-bau
bacang, ianya cuba dipereratkan melalui ziarah-menziarahi. Hubungan silaturahim
sentiasa terjalin walaupun berjauhan.Andainya berlaku pergaduhan atau
perkelahian sesama anggota keluarga, ianya pastilah tidak akan berpanjangan
kerana air dicincang tidak akan putus SERTA carik-carik bulu ayam, lama-lama akan
bertaut kembali. Pergaduhan sesama adik beradik tidak melarat sehingga berpatah
arang.
Di dalam kamus am, peribahasa disenaraikan di bawah kata masukan.
Dalam Kamus Dewan, di bawah kata masukan ibu terdapat peribahasa bahasa ibu,

rumah ibu, ibu afrit, ibu angkat, ibu ayam, ibu haruan, ibu pembohong, ibu pertiwi,
ibu tangga dan seperti anak ayam kehilangan ibu.Kata anak diungkapkan dalam
peribahasa sebagai anak bapa yang bermaksud anak yang disayangi oleh bapanya
ataupun anak yang bernai dan sanggup bertanggungjawab. Anak emas memberi
erti seseorang yang disayangi oleh keluarganya ataupun oleh ketua dan
majikannya. Anak angkat,anak tut dan , anak ambil memberi maksud yang sama
iaitu anak orang lain yang diambil dan dipelihara seperti anak sendiri. Selain
daripada itu terdapat juga peribahasa lain seperti anak tiri,anak kandung,anak
tekak, anak dapat,anak ayam,anak bulan, anak tunggal,anak yatim,anak
manja,anak gampang,anak haram,anak sumbang dan anak buah. Kata rumah
dalam peribahasa dikaitkan sebagai rumah haram, bermakna rumah yang dibina di
atas tanah kerajaan dan tidak mendapat kebenaran daripada pihak pemerintah.
Rumah kilat maksudnya rumah haram yang dibuat dalam tempoh satu malam
sahaja. Rumah pasung pula bererti balai polis. Rumah ibu menunjukkan bahagian
rumah yang menjadi asas pada bangunan rumah itu manakala rumah dapur ialah
bahagian dapur sesebuah rumah. Seterusnya rumah sorong dinamakan pada
bahagian tambahan sesebuah bangunan ataupun rumah.
Untuk membandingkan rupa bentuk seseorang pula, sesuatu yang hendak
diceritakan itu dibandingkan dengan benda-benda yang lain yang mempunyai ciriciri yang sama. Contohnya seseorang yang tinggi dan kurus, umpamanya seperti
tiang telefon. Oleh itu terciptalah peribahasa perempuan itu bagai tiang telefon.
Contohnya seseorang tua yang tidak boleh bekerja lagi dibandingkan dengan
Quran buruk sedangkan kedua-dua benda ciptaan Allah ini sangat berlainan rupa
bentuknya; yang satu manusia dan yang satu lagi kitab suci. Seseorang yang
menjadi orang harapan majikan dikatakan sebagai harimau tambatan kerana
antara kedua-duanya mempunyai sifat yang serupa.
Peribahasa Melayu banyak membandingkan manusia dengan benda-benda
lain dalam masyarakat tempatan. Misalnya gambaran kecantikan dan ketampanan
pasangan pengantin, seperti cincin dengan permata, bagai pinang dibelah dua dan
bagai tanduk bersendi gading. Seseorang yang mendapat keuntungan secara tibatiba dikaitkan dengan mendapat durian runtuh, bulan jatuh ke riba, dapat harta
karun dan dapat harta timbul. Walaunpun usahanya sedikit namun keuntungan
yang diperolehi ialah secara tidak disangka-sangka. Ini bergantung pada nasib
seseorang. Seseorang yang bernasib baik atau lucky ia langkah kanan.
Peribahasa yang diungkapkan oleh orang-orang tua dahulu amatlah indah
dan puitis bahasanya. Ianya sering digunakan dalam perbualan seharian secara
tidak langsung. Misalan yang dibuat sebahagian besarnya adalah merujuk kepada
alam ciptaan Tuhan seperti tumbuhan dan haiwan. Ayam adalah haiwan ternakan
yang dicipta dalam peribahasa, bagai anak ayam kehilangan ibu,ayam tambatan
dan ajak-ajak ayam. Perlakuan ayam diperhatikan dan dibandingkan dengan
manusia yang berkelakuan hampir sama dengan ayam tersebut. Seperti ayam, kais
pagi makan pagi dan kais petang makan petang yang membawa maksud keadaan
hidup seseorang yang sangat susah. Bekerja hari ini untuk mendapat makanan hari
ini sahaja. Rabun ayam menunjukkan seseorang yang kurang jelas penglihatannya
pada waktu senja.

Gajah dan harimau adalah binatang liar yang diumpamakan dalam


peribahasa seperti gajah mati kerana gadingnya yang bermaksud mendapat
kecelakaan kerana kelebihannya. Gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati
meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama menunjukkan orang yang
baik meninggalkan nama yang baik, sebaliknya orang yang jahat meninggalkan
nama yang jahat pula. Gajah terdorong kerana gadingnya dan harimau terlompat
kerana belangnya bermakna berbuat sesuatu yang kurang baik kerana
kelebihannya.
Harimau ialah binatang liar yang amat ditakuti. Untuk memberi
perlambangan sifat garang pada seseorang , harimau dikaitkan dalam peribahasa.
Contohnya harimau beranak muda yang bermaksud keadaan seseorang yang
sangat bengis atau garang. Amat ditakuti dan digeruni oleh orang lain. Harimau
menyembunyikan kuku memberi erti seseorang yang bijaksana tetapi
menyembunyikan pengetahuan dan kebolehannya seerti juga dengan orang yang
berpura-pura bodoh atau pun orang yang berani tetapi berpura-pura takut. Harimau
juga lambang kekuasaan dan kekuatan. Peribahasa yang berbunyi harimau takut
sebab giginya memberi maksud orang besar ditakuti sebab kekuasaannya. Manusia
berani bila memegang tampuk kekuasaan. Manusia juga akan jadi sombong,
bongkak,takbur SERTA hilang perikemanusiaan bila memegang kuasa.
Pipit merupakan seekor burung yang menjadi contoh dalam peribahasa
Melayu. Pipit hendak menjadi enggang diibaratkan kepada seseorang yang ingin
melakukan sesuatu yang melebihi kesanggupan diri sendiri. Manakala peribahasa
yang berbunyi pipit itu, pipit jugalah lawannya menunjukkan setiap sesuatu itu
menurut taraf masing-masing. Pipit pekak makan berhujan bermaksud orang yang
sangat rajin. Pipit yang makan padi, merbah terbawa rendung pula memberi makna
orang lain yang mendapat kesenangan, orang lain pula yang menanggung
akibatnya.
Manakala anjing sebagai binatang jinak dikaitkan dalam peribahasa sebagai
haiwan yang dilambangkan dengan sifat jahat, seperti anjing makan muntahnya
bererti orang yang tamak itu tidak dapat membezakan di antara yang baik dengan
yang jahat. Anjing menyalak bukit, bukit tak akan runtuh dan anjing menyalak di
ekor gajah membawa maksud walau bagaimanapun celaan dan cemuhan yang
dibuat oleh orang yang lemah atau jahat ke atas seseorang yang kuat ataupun baik,
celaan dan cemuhan itu tidak akan memberikan apa-apa kesan. Anjing kalau biasa
makan tahi, tidak makan pun dihidu ada juga yang ditujukan kepada orang yang
biasa melakukan kejahatan itu walau bagaimanapun dia akan teringat juga akan
perbuatan jahatnya dan akan membuatnya jika mempunyai kesempatan. Manakala
peribahasa yang berbunyi ekor anjing, betapapun dilurut, tiada betul juga memberi
maksud seseorang yang jahat itu tidak dapat diajar kerana sekali-sekala dia akan
berbuat jahat juga.
Binatang lain yang dikaitkan dalam peribahasa ialah itik di air mati
kehausan; ayam di kepuk mati kelaparan menunjukkan maksud keadaan kesusahan
seseorang meskipun mempunyai wang yang banyak ataupun berpangkat tinggi.
Ikan tergantung kucing tunggu bererti mengharapkan sesuatu barang yang sangat

diingini. Kucing kurap ditujukan kepada orang yang sangat miskin atau pun hina.
Kutu embun pula bermaksud seseorang atau pun orang yang suka berjalan
sehingga jauh malam tanpa tujuan tertentu.
Kutu adalah sejenis binatang yang hidupnya merayap. Embun pula menunjukkan
waktu dinihari. Seperti kerbau dicucuk hidungnya diibaratkan kepada orang yang
bodoh dan sentiasa mengikut sahaja kehendak orang lain, samalah seperti pak
turut. Peribahasa kumbang putus tali dan belut digetil ekor membawa maksud
keadaan orang yang lari dengan pantas apabila terlepas dari tahanan. Peluang yang
ditunggu tidak akan dilepaskan.
Seperti kucing dengan panggang peribahasa yang menunjukkan sesorang yang
berjumpa dengan benda yang sangat dikehendakinya, kalau kurang diawasi
tentulah barang berkenaan akan dapat diambilnya (biasanya dikaitkan kepada lelaki
dan perempuan yang selalu berdekatan atau pun tidak pernah berenggang).
Sesuatu perkara yang mustahil berlaku jangan berangan akan terjadi, umpama
mengharapkan benda yang sia-sia seperti mengharapkan kucing bertanduk;
puntung berasap; masak buah rumbia; menanti Kuaran bertelur; bakar air ambil
abunya. Sesuatu yang pasti tidak akan terjadi, kucing telah dijadikan oleh Allah
tidak bertanduk masakan manusia boleh mengubahnya. Begitu juga air sudah pasti
anugerah Allah ini tidak akan dapat dibakar sampai bila-bila , jangan diharap untuk
mendapatkan abunya.
Tumbuhan yang terdapat di persekitaran manusia dijadikan bahan perumpamaan
terhadap kelakuan dan sikap manusia dalam kehiduapan seharian. Contohnya daun
nipah disangka daun labu yakni menunjukkan seseorang yang segan bertanya
tentulah timbul salah faham. Sedangkan daun nipah dan daun labu amat berbeza
dari segi rupa bentuknya. Darah setampuk pinang yang bermaksud belum
berpengalaman. Seseorang yang cetek pengalamannya digambarkan dengan darah
dalam bekas tampuk pinang yang kecil sahaja. Tahu gadung itu mabuk, mengapa
diratah-ratah? Ubi gadung sejenis tanaman, jika diratah dengan banyak ia akan
memabukkan. Sikap ini sudah tentu akan menimbulkan banyak masalah dan
membawa penyesalan. Ini bertepatanlah dengan maksud peribahasa ini iaitu
sengaja mencari perselisihan, kemudian menyesali diri sendiri.
Selain itu, peribahasa lain yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan ialah
seperti gelagak rambutan jantan, orang berbunga dia berbunga, orang berbuah dia
tidak. . Ia membawa maksud orang yang meniru-niru perbuatan orang lain kerana
mengharapkan keuntungan tetapi perbuatan itu sia-sia belaka.. Sesuatu perbuatan
yang berlebih-lebihan itu, biasanya akan menjadi sia-sia. Ini ada kaitan dengan
peribahasa yang berbunyi gulai terlampau serai, maung rasanya. Tumbuhtumbuhan yang terdapat di sekeliling masyarakat Melayu, mudah sahaja dikaitkan
dengan peribahasa. Contohnya tebu dan asam. Bertanam tebu di tepi bibir
bermaksud orang manis percakapannya tetapi hati di dalam lain jadinya. Gigi telah
gugur, tebu menjadi-jadi juga merupakan peribahasa yang dikaitkan dengan tebu.
Ia bermaksud sesuatu keinginan yang datang sesudah tidak ada kesempatan lagi
untuk melakukannya.

Orang Melayu, sememangnya beragama Islam. Islam percaya rezeki, maut


dan jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Ini dikaitkan dengan peribahasa yang ada
kaitan dengan pokok asam misalnya peribahasa yang berbunyi garam di laut, asam
di darat, di dalam periuk bertemu juga. Ia membawa maksud seseorang perempuan
atau lelaki itu kalau sudah jodoh, mereka akan bertemu(berkahwin) juga pada
akhirnya. Kaduk ialah sejenis tumbuhan liar yang banyak khasiatnya. Seperti kaduk
naik ke junjung adalah satu peribahasa yang bermaksud keadaan seseorang yang
hina tetapi berkelakuan mengada-ngada apabila dia mendapat sesuatu kesenangan
seperti dinaikkan pangkat dan sebagainya. Dalam hubungan kekeluargaan juga ,
setiap anak buah selalu diingatkan supaya tidak bersikap sombong sebaliknya
eloklah bersikap peramah dan baik hati.

3.1 Contoh Peribahasa Dalam Penggunaan

Penggunaan peribahasa dalam penulisan merupakan gaya dan teknik yang menarik
dan dapat menarik minat pembaca. Keruntuhan akhlak di kalangan muda-mudi
adalah fenomena yang berlarutan sehingga kini. walau pun berbagi cara dilakukan
untuk mengatasinya namun gejala ini kian hari kian menular.
Pemuda-pemudi yang berakhlak tinggi amat penting dalam proses pembangunan
sesebuah negara. Kewujudan pemuda-pemudi yang berkeadaan laksana layanglayang salah teraju dalam masyarakat amat merbahaya terhadap keruntuhan
negara. Dari segi adab dan kesopanan, pemuda-pemudi yang rendah akhlaknya ini
akan mengancam identiti nilai budaya timur. Masyarakat timur merupakan sebuah
masyarakat yang kaya dengan sifat sopan santun dan berlemah lembut. Jika nilainilai negetif sudah terpaku di hati dan perasaan mereka, usaha untuk
membetulkannya akan menjadi laksana layang-layang melawan angin.
Pemikir-pemikir masyarakat yang tidak menyumbangkan ilmu, kepakaran dan
pengalaman mereka untuk mengatasi masalah dan konflik nilai ini, hanyalah
laksana pohon kayu tiada berbuah. Satu lagi gejala yang tidak sihat ialah keadaan
perhubungan di antara pemuda-pemudi yang terlalu bebas. Golongan ini laksana
kerbau, di mana rumput hijau di situ menerkam. Mereka haruslah dibimbing ke
pangkal jalan dan disedarkan bahawa tindakan tersebut akan membahayakan diri
sendiri. Kita sedar, gejala tersebut tidak akan berlaku jika kedua-dua belah pihak
tidak melibatkan diri. Keadaan ini berlaku kerana lalat memanglah mencari puru.
Kita sering terbaca berita-berita tentang gadis yang menerima nasib seperti
ini. Pernah terjadi satu kisah yang menimpa seorang gadis yang berkulit hitam
manis dan berlesung pipit, telah ditipu oleh seorang pemuda yang akan berusaha
mencarikannya pekerjaan. Pertolongan itu semestinya didahului oleh pengorbanan
maruah oleh gadis tersebut. Sebenarnya gadis itu tertipu dengan pemuda yang
dianggapnya lurus bagai sumpitan.
Kisah begini menggambarkan satu lagi gejala tidak sihat yang mengancam
kesejahteraan masyarakat kita. Satu usaha yang positif untuk membenteras gejala-

gejala ini mesti lah dibuat. Dalam soal ini biarlah kita lambat laga asalkan menang
dalam perjuangan yang dilakukan itu.
Contoh peribahasa dalam penggunaan dapat dilihat dalam hasil penulisan
yang berjudul Sikap Pasif yang Harus Dikikis. Salah satu daripada punca
kelemahan manusia ialah wujudnya sikap merendah diri yang tidak kena pada
tempatnya. Ini tidaklah pula bermakna seseorang yang berpangkat itu mesti
bersikap sombong, bongkak dan bermegah-megah kerana sikap tersebut juga akan
membawa kecelakaan kepada diri sendiri kerana pepatah kita ada menyebut
bahawa gajah mati kerana gadingnya.
Kita sedar bahawa sikap memandang tinggi terhadap orang lain itu tidaklah
mempunyai sebarang akibat yang buruk, terutama sekali jika kita memandang sifat
itu dari sudut yang positif dan membawa kepada kesan yang baik.Tetapi apa yang
mendukacitakan ialah wujudnya peniruan secara melulu, seperti kata pepatah,
gajah berak besar, kancil pun hendak berak besar juga. Sifat ini tidak harus
diamalkan.
Dalam usaha mencapai kemajuan, kita harus menerima nasihat, tunjuk ajar
dan kritik yang membina. Jika seseorang itu menerima nasihat yang diberikan
dengan sikap bagai garam jatuh ke air, amatlah berfaedah. Tindakan dan peniruan
secara berpura-pura adakalanya dilakukan dengan tujuan-tujuan tertentu seperti
untuk menimbulkankepercayaan orang lain kepadanya. Tindakan gaharu dibakar
kemenyan berbau itu bukanlah satu sifat yang baik. Ada kalanya mereka terpaksa
berlagak dengan tujuan untuk meyakinkan pihak peminjam bahawa mereka boleh
membayar hutang-hutang mereka itu. Pada hakikatnya pinjaman itu digunakan
untuk membayar hutang kepada pihak lain. Pinjaman itu hanyalah gali lubang tutup
lubang sahaja.
Perkara yang paling berbahaya lagi ialah jika kemudahan dan kepercayaan itu
disalahgunakan pula dengan tindakan-tindakan yang merugikan seperti memboros
wang perniagaan. Kalaulah keadaan itu berterusan, usahawan tersebut akan
berhadapan dengan masa kejatuhan akibat daripada kesalahannya sendiri.
Keadaannya seperti kata pepatah; gajah terdorong kerana gadingnya, harimau
terlompat kerana belangnya.
Jika sikap negetif itu wujud dalam jiwa seseorang usahawan, kesannya dapat
dilihat melalui perkembangan perniagaannya yang merosot. Nama baik dan
kemajuan perniagaan mesti dijaga. Kita mesti berpegang kepada falsafah hidup
yang diajar oleh orang tua-tua kita bahawa gajah mati meninggalkan tulang,
harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Sekiranya
seorang usahawan dicap tidak jujur dan tidak amanah dalam pekerjaan sendiri,
orang ramai akan mengatakan gaya saja, rasanya wallah. Amat sukar untuk
mencari orang-orang yang garam dikulum tidak hancur, untuk menyimpan rahsia
begini.
Dalam usaha menghindari gejala-gejala tersebut, sikap ingin berguru
kepada yang tahu amatlah penting kerana sepertimana yang kita sedia maklum;
gayung tua, gayung memutus.

4.0 Kesimpulan
Peribahasa Melayu tercipta daripada pengalaman dan pengamatan ahli-ahli
masyarakat Melayu sejak berzaman-berzaman. Pengalaman dan pengamatan ini
berhubung erat dengan kehidupan masyarakat sehari-hari dan keadaan alam
sekeliling. Peribahasa yang pada mulanya diperturunkan secara lisan dan
diperkembangkan secara lisan juga seharusnya diusahakan supaya ianya dapat
dikekalkan. Agar keindahan penggunaannya dalam bahasa Melayu tidak hilang
ditelan zaman sebaliknya menjadi warisan bangsa yang tak lapuk dek hujan dan
tak lekang dek panas.

Perkembangan
Perkembangan Peribahasa

Peribahasa mengalami evolusi dari masa ke semasa. Ciptaan yang memakan masa
beratus-ratus tahun, mengalami dugaan masa dan perubahan. Melalui proses
evolusi ini, peribahasa akhirnya diterima pakai hingga ke zaman ini kerana
keindahan bahasanya yang tepat dan berkesan dari segi pengertiannya. Selain itu,
peribahasa mudah diingat, serta menjadi pegangan dan buah pertuturan yang
diselitkan sama ada di dalam pertuturan formal mahupun tidak. Melalui proses ini,
peribahasa diperturunkan daripada satu generasi ke satu generasi sehingga ke
abad ini.

Seperti zaman dahulu, peribahasa masih lagi digunakan dengan tujuan mengajar,
mendidik, menyindir serta menegur seseorang ataupun masyarakat. Pada zaman ini
pula, terdapat beberapa orang ahli bahasa yang giat mengkaji semula peribahasaperibahasa lama kerana nilai-nilai tersebut. Justeru, nilai estetika yang amat tinggi
menyebabkan penggunaan peribahasa masih dapat dipertahankan hingga ke kini.

Antara sebab-sebab peribahasa dapat bertahan sehingga kini ialah terdapat unsurunsur kesusasteraan seperti intelek, imaginasi dan emosi yang terkandung di dalam
sesebuah peribahasa. Jika ditinjau dengan lebih mendalam, terdapat banyak aspek
yang mempamerkan ketinggian pemikiran masyarakat Melayu. Terdapat banyak
peribahasa Melayu yang menyentuh aspek ekonomi (seperti konsep rezeki), sosial
(seperti nilai budaya, konsep sains dan teknologi)dan juga aspek politik (seperti
konsep undang-undang, peraturan dan pentadbiran).

Sebelum masyarakat dahulu mempunyai undang-undang pidata dan pidana


seperti sekarang, corak kehidupan mereka diaturkan dengan pelbagai jenis
peribahasa. Jikalau dikaji semula pada zaman ini, ada juga peribahasa yang tidak
lagi sesuai dengan zaman dan kemajuan ilmu pengetahuan sekarang. Namun
demikian, ada peribahasa yang dianggap tidak relevan pada masa kini tetapi
mempunyai makna yang amat mendalam. Seperti contoh peribahasa biar mati
anak, jangan mati adat. Ada yang berpendapat bahawa peribahasa ini tidak lagi
relevan pada masa kini kerana mengapa seorang anak yang merupakan cahaya
mata harus dibiarkan mati dan adat harus diteruskan. Jika kita melihat peribahasa
ini daripada perspektif yang berbeza, kita boleh dapati bahawaadat di sini
digunakan sebagai undang-undang dan sekiranya seseorang anak itu telah

melanggar undang-undang, seorang ketua tidak seharusnya membebaskan anak


tersebut daripada kesalahan yang telah dilakukannya. Mati pula tidak bermaksud
anak itu harus dihukum mati sekiranya ia bersalah tetapi ia membawa maksud
menerima padah atau pun akibat atas apa yang telah dilakukannya.

Peribahasa juga memainkan peranan dalam perkembangan budaya masyarakat


pada zaman-zaman yang berbeza. Peribahasa hidup dan berkembang daripada satu
generasi ke satu generasi dengan bentuknya yang tersendiri iaitu secara lisan yang
kemudiannya terjelma pula dalam bentuk tulisan. Dalam proses evolusi dan difusi
kebudayaan, tradisi lisan berubah secara perlahan, menghasilkan suatu bentuk
perubahan dari bentuknya yang asal dan dalam mengalami proses itu juga
peribahasa telah terdedah kepada perubahan tanpa sebarang sekatan dan kawalan.
Ini dimungkinkan oleh sikap masyarakat itu sendiri yang sentiasa cenderung untuk
melakukan perubahan kepada budaya tradisinya dengan harapan dapat menarik
perhatian dan menghiburkan masyarakatnya.

Kesimpulan

Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa peribahasa memainkan peranan penting
dalam kehidupan masyarakat Melayu hingga ke saat ini. Peribahasa merupakan
salah satu cabang bahasa terpenting dalam pembelajaran bahasa Melayu. Budaya
Melayu yang penuh dengan kesantunan dan kehalusan budi pekerti juga turut
terserlah melalui penciptaan peribahasa. Justeru, peribahasa menjadi khazanah
budaya dan bahasa Melayu yang mempunyai nilai estetika tinggi. Penggunaannya
yang meluas secara tulisan atau pun pertuturan masih kekal relevan dalam konteks
masyarakat Melayu hingga kini. Peribahasa mengandungi pelbagai nasihat, ilmu
serta unsur-unsur didaktik untuk masyarakat umum. Justeru, setiap individu Melayu
harus memainkan peranan aktif untuk memastikan penggunaan serta keaslian
peribahasa tetap dipelihara. Segala nilai murni dalam setiap peribahasa yang
dicipta itu dapat dihayati dan direnungi demi kesejahteraan kita bersama. Bak kata
pepatah, bahasa dijunjung, budaya disanjung. Peribahasa adalah cerminan akal
budi dan lambang jati diri orang Melayu.

-Afizah, Fatin, Nisfawati, Khairunnisa, Shahidah, Sopianti, Hazurah(Aktivis Jurnal Akademik Jilid III 2003)

Sejarah

Sejarah Peribahasa

Peribahasa bermula sebelum orang-orang Melayu pandai menulis dan membaca.


Peribahasa dikatakan berasal daripada orang Minangkabau. Ada juga yang
menyatakan peribahasa ini berasal daripada orang Riau SSumatera. Sebelum
orang-orang Melayu pandai menulis dan membaca, mereka telah dididik melalui
peribahasa. Peribahasa merupakan gubahan bahasa yang tersusun dengan
perkataan-perkataan yang indah serta mengandungi kata-kata nasihat dan petua.
Lantas, peribahasa ini disampaikan dengan gaya dan cara yang menarik. Selain
berfungsi untuk nasihat, peribahasa juga mencerminkan keseluruhan kehidupan
masyarakatMelayu.

Masyarakat dahulu kala tidak berpendidikan formal. Mereka menetap di kawasan


pendalaman dan tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap. Masyarakat pada
ketika itu pula berfahaman animisme, yang mempercayai bahawa segala benda
yang wujud mempunyai roh atau semangat. Lantas, untuk mententeramkan roh dan
semangat ini, mereka menyembah roh dan semangat tersebut.

Perhubungan rapat dengan keadaan sekeliling menimbulkan ilham dan kaca


perbandingan bagi mereka, terutama ahli-ahli fikir waktu itu. Alam semula jadi
memberikan mereka ilham untuk dijadikan iktibar di dalam mengharungi kehidupan
seharian. Cara sedemikian merupakan jalan mudah bagi mereka untuk memberi
nasihat, teguran, anjuran atau sindiran agar mudah didengar dan diteliti pihak yang
mempelajari peribahasa tersebut. Isi dan jiwa yang terkandung di dalam peribahasa
menyentuh aspek sejarah, sosial dan kehidupan mereka pada zaman lampau.

Menurut Mohd Gani Ahmad, ribuan peribahasa yang terdapat dalam masyarakat
kita dicipta oleh ahli fikir, cendekiawan, para pemuka bangsa atau pujangga
sesebuah masyarakat. Kemungkinan peribahasa itu dicipta oleh anggota
masyarakat biasa amat tipis. Jika ada, ini mungkin secara kebetulan sahaja. Namun
demikian, individu yang mencipta peribahasa itu mestilah seorang yang dihormati
kerana kedudukannya dalam masyarakat atau kerana usianya. Orang-orang tua
zaman dahulu sahaja telah lama merasai asam garam kehidupan, mempunyai
banyak pengalaman dan pengetahuan dan seharusnya boleh dipercayai.
Kewibawaan mereka dari segi penuturan telah menghasilkan banyak kata-kata
mutiara.

Pada mulanya, percakapan hanya pertuturan biasa yang kurang indah dan tepat. Ia
kemudiannya diubahsuai, ditokok tambah dan diperbaiki dari masa ke semasa.
Akhirnya, tercipta peribahasa yang kita kenali sekarang sebagai yang terbaik,
terindah dan berkesan.

Melalui perkembangan sejarah sejak zaman Srivijaya lagi, bahasa Melayu mula
berkembang daripada sebuah bahasa yang rendah nilainya kepada bahasa yang
dapat memperkatakan soal-soal yang berhubung dengan falsafah. Bahkan,
peribahasa merupakan antara salah satu aspek bahasa yang turut berkembang.
Walau bagaimanapun, bahasa Minangkabau berbeza daripada bahasa Melayu.
Namun demikian, proses evolusi yang memakan beberapa ratus tahun telah sedikit
sebanyak menyesuaikan peribahasa Minangkabau dengan bahasa Melayu. Antara
contoh yang dipetik daripada 1000 Pepatah-Pepitih, Mamang-Bidal PantunGurindam oleh H. Idrus Hakimy Dt. Rajo Penghulu ialah:

Barakik-rakik ka hulu, baranang-ranang ka tapian, basugi timbakau jaho.


Basakik-sakik dahulu, basanang-sanang kamudian, marugi mangko balabo.

Peribahasa dalam bahasa Minangkabau jika kita perhatikan sama dengan


peribahasa Melayu iaitu:

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,


Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

Terdapat banyak lagi contoh peribahasa Minangkabau yang hampir serupa dengan
peribahasa Melayu, yang berbeza dari segi sebutan serta ejaannya sahaja.

-Afizah, Fatin, Nisfawati, Khairunnisa, Shahidah, Sopianti, Hazurah(Aktivis Jurnal Akademik Jilid III 2003)

Pengenalan
Pengenalan Peribahasa

Peribahasa merupakan ayat atau sekumpulan kata yang tersusun dan mengandungi
makna atau pengertian yang tertentu. Susunan katanya pendek tetapi menepati
makna yang ingin disampaikan. Susunan kata yang sedap didengar, bijak serta
tepat pengertiannya ini telah menjadi pengucapan orang ramai sejak turuntemurun. Peribahasa terdiri daripada pepatah, bidalan, perbilangan, perumpamaan,
dan simpulan bahasa. Kini kata-kata hikmat pujangga dan ilmuan yang telah lama
digunakan dalam masyarakat turut dianggap sebagai peribahasa.
Mereka yang mahir menggunakan peribahasa dianggap telah menguasai kemahiran
berbahasa dan mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bahasa Melayu. Mereka
juga boleh dianggap sebagai pencinta bahasa tersebut. Sebagai satu daripada
variasi dalam bahasa, peribahasa telah membantu dalam perkembangan sastera
dan bahasa Melayu sehingga boleh dianggap setanding dengan bahasa utama
dunia yang lain.
Sifat orang Melayu yang lemah lembut dan penuh santun menyebabkan mereka
sering meluahkan rasa hati melalui kata-kata simbolik, indah, dan tersusun.
Misalnya, untuk menyatakan kekuasaan penguasa yang tidak bertepi terhadap
rakyat, tidak dinyatakan terus terang tetapi disebut dengan langit menyungkup
kepala atau mendebik mata pedang. Manusia yang buruk tingkahnya dilambang
dengan haiwan-haiwan yang seperti beruk atau kera, umpamanya seperti beruk
kena belacan; kera menegur tahinya; atau beruk jumpa pisang masak setandan.
Oleh sebab Melayu dan Islam merupakan sinonim, pegangan dalam agama Islam
turut digambarkan secara meluas dalam peribahasa Melayu. Misalnya anjing dan
babi yang haram di sisi Islam itu melambangkan orang tamak, jahat, dan penuh
dengan kehinaan. Contohnya melepaskan anjing tersepit, sesudah lepas, ia
menggigit atau anjing mengulangi bangkai; bagai babi merasai gulai, dan
seumpamanya.
Peribahasa terbit daripada pemerhatian dan pengalaman hidup rakyat jelata dan
para cendekiawan. Dalam masyarakat petani lahir peribahasa tidak serik dimakan
tajak, esok lusa ke bendang jua. Di kalangan nelayan pula ada peribahasa lautan
mana yang tidak bergelombang; ikan di laut asam di darat; dan kalau kail panjang
sejengkal jangan lautan hendak diduga. Cendekiawan yang terlibat menyebarkan
ilmu akan sentiasa memberi tunjuk ajar dan kata-katanya menjadi ikutan,
umpamanya jangan ditentang matahari; buat baik berpada-pada buat jahat jangan
sekali,dan syak fasik yakin salih, batu jadi juadah.
Al-Quran dan hadis turut memberi sumbangan kepada peribahasa Melayu,
contohnya ilmu yang tidak diamal ibarat pokok tidak berbuah dan ilmu tanpa
agama, buta. Pemerhatian yang amat teliti dapat dilihat pada ketetapan makna
peribahasanya, misalnya keluh kesah tidur di kasur; berkeruh di lapik penjemuran;

atau batu yang bergolek tidak ditumbuhi lumut; berapa panjang lunjur, begitulah
panjang selimut.
Kemajuan mendadak yang melanda masyarakat kita hari ini sedikit sebanyak telah
mengurangkan minat masyarakat terhadap penggunaan peribahasa. Hanya
segelintir di kalangan generasi muda hari ini tahu akan kegunaan sesuatu
peribahasa malah ada yang tidak tahu langsung tentang kewujudan peribahasa
tersebut. Lebih menyedihkan ada sesetengah pihak cuba mengubah bunyi dan
makna peribahasa, kononnya untuk menyesuaikan dengan zaman, misalnya biar
lambat asal selamat dijadikan biar cepat asal selamat, hutang budi dibawa mati
ditukar kepada hutangn budi tergadai body dan banyak lagi. Sebenarnya
pengubahsuaian itu telah merosakkan makna dan matlamat sebenar sesuatu
peribahasa dan menghilangkan keindahan serta kebijaksanaan peribahasa tersebut.
tidak salah kalau mahu mencipta kata-kata hikmat tetapi biarlah yang betul-betul
baru, bukan diubah suai daripada yang sedia ada.
-SAPINAH HAJI SAIDKamus Peribahasa Melayu

Fungsi
Fungsi Peribahasa

Setiap bangsa mempunyai peribahasa yang mencerminkan watak sesuatu bangsa


itu. Begitu juga dengan peribahasa Melayu yang merupakan salah satu cabang
sastera lama yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Peribahasa terbit
dengan tujuan didaktik untuk masyarakat pada ketika itu. Peribahasa lebih kerap
digunakan ketika itu kerana kekata yang terkandung di dalamnya membawa
maksud yang tepat malahan kias ibaratnya agak tajam serta susunan kata yang
begitu teratur, ringkas dan padat. Menurut Za ba (1962,165), peribahasa berfungsi
untuk perkara berikut:
Menghiasi karangan dan percakapan.
Menguatkan tujuan karangan atau percakapan.
Boleh dijadikan pedoman hidup kerana isinya yang
besar dan luas.
Peribahasa menggambarkan tasawwur atau world view masyarakat ataupun
bangsa yang mendukungnya, sekaligus menyatakan pengalaman hidup yang telah
dilalui serta corak kehidupan sesuatu bangsa itu secara keseluruhan. Oleh yang
demikian, isi dan tema peribahasa yang dibicarakan disifatkan sebagai cerminan
pandangan dunia serta etos iaitu nilai masyarakat Melayu, khususnya dalam
konteks pemakaian peribahasanya. Etos ini dapat dijelaskan dengan lebih lanjut lagi
apabila makna sesuatu peribahasa itu diaplikasikan dan dipraktikkan ke dalam
kehidupan seharian sesuatu masyarakat itu seperti dalam contoh-contoh berikut:

a)Berbudi dan berjasa


Kehidupan masyarakat Melayu tradisional memang kaya dengan budi bicara dan
adat tradisi. Sesuatu budi yang telah diberikan secara jujur seperti melepaskan
kesukaran orang lain, bantuan dan kasih sayang dalam hidup berkeluarga dan
berjiran akan senantiasa dikenang dari hidup hingga ke akhir hayat. Lantaran,
timbul peribahasa:

i.

Hancur badan dikandung tanah


Budi yang baik dikenang juga.

ii.

Hutang emas boleh dibayar

Hutang budi dibawa mati


iii.

Muka berpandangan
Budi kedapatanKasih bak lama juga

Budi berkait erat dengan jasa. Budi dan jasa lengkap melengkapi antara satu sama
lain. Budi adalah jasa dan jasa adalah budi. Tidak mungkin seseorang dapat
dianggap membuat jasa jika dia tidak berbudi. Setiap anggota masyarakat ingin
membuat jasa yang termampu olehnya kerana jasa serta namanya akan sentiasa
dikenang walaupun setelah dia meninggal dunia.

i.

Hidup kayu berubah


Hidup manusia biar berjasa.

ii.

Kayu mati berpunggur


Manusia mati biar bernama.

iii.

Harimau mati tinggal belangnya


Gajah mati tinggal tulangnya
Manusia mati tinggalkan nama.

b)Merendah diri
Merendah diri dan bertimbang rasa juga tergolong sebagai budi. Orang yang
memiliki ketinggian budi bahasa, maka kata-katanya itu tidak akan meninggi serta
tidak mungkir janji.

i.

Bawa resmi padi;


Makin berisi makin merunduk
Jangan bawa resmi lalang
Makin berisi makin jegang.

ii.

Berfikir sebelum berkata


Berunding sebelum dibuat.

c)Menuntut pelajaran
Masyarakat Melayu sememangnya menyedari peri pentingnya ilmu pengetahuan.
Masyarakat Melayu lama berpendapat bahawa menuntut ilmu atau belajar tidak
semestinya secara formal. Perkara ini masih boleh diraih melalui pengalaman,
penelitian, sendirian ataupun melalui khabar-khabar yang disebarluaskan. Orang
yang berpelajaran akan mendapat kejayaan dan kedudukan yang tinggi dalam
hidup sementara mereka yang tidak pula, akan dipandang hina dan dianggap
sebagai sampah masyarakat. Ini dapat dilihat melalui beberapa contoh peribahasa
yang tercipta.

i.

Kurang wang ringgit boleh dicari


Kurang akal fikiran habis bicara.

ii.

Arang habis besi binasa


Tukang bekerja penat sahaja.

iii.

Berguru kepalang ajar


Bagai bunga kembang tak jadi

d)Bekerja kuat dan berjimat-cermat


Kepekaan masyarakat terhadap ekonomi, penghasilan dan pendapatan daripada
usaha yang bersungguh-sungguh dan berjimat-cermat jelas tergambar dalam
pelbagai peribahasa yang menekankan kepentingan berjimat-cermat. Sikap yang
baik ini dipuji sementara sikap yang bertentangan dikecam, seperti dalam contoh
berikut:

i.

Sehari selembar benang


Lama-lama menjadi kain.

ii.

Ditangkap buaya nampak riaknya


Ditangkap malas tak bertanda.

iii.

Berhemat sebelum habis

Sediakan payung sebelum hujan.

iv.

Besar pasak dari tiang


Besar sendal dari gelegar.

v.

Sekali merengkuh dayung


Dua tiga pulau terlangsung
Sekali mengorak pura
Dua tiga hutang langsai

e)Taat setia dan menghormati undang-undang


Sikap taat setia dan kasih yang tiada berbelah bahagi kepada negera dan raja yang
memerintah jelas terakam dalam banyak peribahasa. Sesebuah kerajaan,
perlembagaan, perundangan atau seorang pembesar, menyedari akan kewujudan
satu waad dengan yang diperintahnya. Kerajaan harus bersikap adil demi menjalin
hubungan baik dengan yang diperintah. Sesebuah kerajaan juga harus
mengetepikan kepentingan sendiri demi melaksanakan undang-undang yang
dipertanggungjawabkan kepadanya, seperti dalam contoh berikut:

i.

Raja adil raja disembah


Raja zalim raja disanggah.

ii.

Biar mati anak


Jangan mati adat.

iii.

Hidup dikandung adat


Mati dikandung tanah.

iv.

Di mana bumi dipijak


Di situ langit dijunjung.

v.

Bagai pucuk ru:

Ke mana angin keras


Ke sana ia berpihak.

vi.

Hujan emas di negeri orang


Hujan keris lembing di negeri sendiri
Baik juga di negeri sendiri.

vii.

Penohok kawan seiring


Penggunting dalam lipatan.

Contoh-contoh dan penerangan di atas jelas menunjukkan sikap dan nilai


masyarakat Melayu yang tinggi. Sikap dan nilai masyarakat terhadap sesuatu aspek
hidup itu tidak semata-mata sebagai pengucapan tetapi juga dijadikan pegangan
serta diamalkan dalam kehidupan sehari-hari, menjadikannya sebagai sesuatu yang
sakral. Menurut Pak Haji Tenas Effendy, seorang budayan Riau, peribahasa berfungsi
sebagai alat untuk menasihati dan memberi arahan yang bertepatan serta
bersesuaian dengan peri hidup setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa.
Peribahasa yang kaya dengan segala macam tuntutan dan nasihat merupakan
cerminan kepada keaslian budi bicara masyarakat Melayu yang sejak azali lagi
sesungguhnya terkenal dengan kekayaan budi pekerti dan nilai-nilai kemanusiaan.
Peribahasa ini juga merupakan asas-asas kemelayuan yang menyintai kedamaian
sekaligus mengajak semua untuk hidup rukun dan saling hormat-menghormati agar
tidak membawa kepada kerosakan kepada diri sendiri mahupun orang lain dan alam
sekitarnya.

Peribahasa juga digunakan untuk mengindahkan wacana. Penggunaan peribahasa


yang sesuai akan menambahkan lagi keindahan sesebuah wacana dan akan
memperlihatkan keberkesanannya terutama di dalam penghasilan genre-genre
penulisan. Genre-genre penulisan yang mengandungi peribahasa dapat menjana
minda dan pemikiran golongan pembaca agar menjadi lebih kritis dan kreatif.
Memang pada umumnya semua peribahasa mengandungi tema didaktik iaitu
dengan maksud mengajar dan mengingatkan anggota-anggota masyarakat dalam
pelbagai aspek kehidupan. Bagaimanapun terdapat ungkapan-ungkapan tertentu
yang khusus merujuk kepada sesuatu bidang tertentu, misalnya, dalam
mengingatkan pelbagai kemungkinan yang akan datang, membuat pilihan dan
bertindak, berhutang, meminjam dan memberi pinjam dan sebagainya. Contoh
berikut menjelaskan:

i.

Ingat-ingat yang di atas


Kelak di bawah akan menimpa.

ii.

Hutang kajang belum langsai


Hutang samir sudah tiba pula

iii.

Ibarat kain tengah empat


Elak ke atas bawah terbuka
Elak ke bawah atas terbuka.

Sebahagian besar pengajaran dapat diraih melalui pengalaman hidup. Kehidupan


telah mengajar manusia supaya berwaspada dan berfikir sebelum bertindak supaya
tidak menyesal pada kemudian hari. Pengajaran in terakam dalam peribahasa
seperti di bawah:

i.

Sesal dahulu pendapatan


Sesal kemudian tiada berguna.

ii.

Lepas di tangan jangan diharap


Orang pulang jangan dinanti
Mulut manis jangan didengar.

Kesimpulannya, peribahasa merupakan cerminan peradaban sekaligus lambang jati


diri masyarakat Melayu. Peribahasa dapat dijadikan pegangan atau panduan di
dalam kehidupan seseorang kerana banyak peribahasa mengandungi pengajaran
yang tidak bercanggah dengan anutan agama, yang sentiasa mengajar manusia
untuk mencari dan menganjurkan kebenaran, kemuliaan dan menegakkan yang
hak. Peribahasa juga pernah berfungsi sebagai oral constitution atau undangundang lisan kepada masyarakat Melayu tradisional. Oleh itu, peribahasa juga
dapat dimanfaatkan oleh generasi sekarang dan masa depan sebagai pegangan
dan panduan hidup.

-Afizah, Fatin, Nisfawati, Khairunnisa, Shahidah, Sopianti, Hazurah-

(Aktivis Jurnal Akademik Jilid III 2003)

You might also like