You are on page 1of 7

BUDAYA, NILAI DAN FALSAFAH DALAM FILEM SEMERAH PADI

2.0.

Pengenalan.
Setiap bangsa mempunyai bahasa dan budaya hidup yang tersendiri. Menurut Mohd

Taib Osman, 1998 dalam Khairuddin Mohamad, 2014 budaya atau peradaban adalah suatu
kesatuan yang kompleks, mengetahui pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila,
undang-undang, adat resam dan lain-lain kebolehan manusia sebagai anggota sesebuah
masyarakat.
Kamus Dewan (2005) mendefinisikan budaya sebagai kemajuan fikiran, akal budi (cara
berfikir), berkelakuan dan sebagainya. Tegasnya budaya boleh didefinisikan sebagai satu cara
hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan organisasi,
ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai.
Budaya terbahagi kepada dua bentuk, iaitu budaya material dan budaya bukan material.
Elemen budaya ditakrifkan sebagai nilai yang dikongsi bersama, sistem kepercayaan dan
artifak-artifak (Banner dan Gagne,1995).
Berdasarkan filem Semerah Padi aspek yang dikaji ialah budaya bukan material
merujuk kepada aspek dalaman manusia yang meliputi akal fikiran dan nilai sosial yang
diterjemahkan melalui tingkah laku atau perlakuan seharian. Budaya bukan material dapat
dilihat melalui kepercayaan, adat, istiadat, undang-undang dan kesusasteraan sesebuah
bangsa atau masyarakat.
2.1.

Ulasan Filem Semerah Padi Berkaitan Dengan Budaya, Nilai dan Falsafah Kebudayaan

Melayu.
2.1.1. Aspek Budaya.
Filem merupakan salah satu elemen seni budaya yang diminati oleh pelbagai
masyarakat kewujudan filem memberi peranan yang sangat besar untuk menyampaikan mesej
kepada masyarakat. Filem Semerah Padi mempunyai elemen kebudayaan Melayu dari segi
politik, sosial dan ekonomi. Berdasarkan filem ini juga beberapa aspek budaya yang terdapat
dalam masyarakat Melayu telah di kaji.
Berdasarkan file mini juga, kebudayaan Melayu dalam bidang politik mempunyai
sejarah membuktikan bahawa masyarakat

Melayu

memiliki sistem

pentadbiran dan

pemerintahan sendiri. Dalam masyarakat Melayu tradisional, sultan dan raja merupakan
pemerintah yang paling tinggi. Watak raja atau sultan tidak ditonjolkan dalam filem ini secara
terang-terangan tetapi watak Penghulu yang oleh dilantik sultan memainkan peranan utama
untuk menjaga kebajikan dan keamanan penduduk kampung.
Pentadbir kampung Semerah Padi, seorang yang taat kepada perintah sultan
apabila negeri diserang lanun, lalu seorang pendekar dan sepuluh orang sukarelawan telah
dikerah untuk membantu menjaga benteng pertahanan negara. Filem ini, mengenengahkan
pentadbir peringkat kampung merupakan unit terkecil yang diketuai oleh seorang penghulu atau
penggawa.
Sistem pemerintahan yang dilaksanakan mengikut undang-undang Islam seperti
yang termaktub di dalam ayat-ayat suci Al-Quran. Penghulu kampung Semerah Padi seorang
yang tegas melaksanakan hukuman mengikut undang-undang Islam dan sangat dihormati dan
disegani oleh penduduk kampungnya.
Segala perintah dan arahan penghulu tidak pernah diingkari oleh pengikutnya.
Penghulu begitu tegas menjalani hukuman sula kepada penzina dan pembunuh. Anduka dan
Dara dijatuhkan hukuman sebat 100 kali seoarang kerana melakukan kesalahan berzina.
Ketegasan pemimpin Kampung Semerah Padi menegakkan hukum agama Islam menyebabkan
beliau dibenci oleh penjenayah yang sering melakukan huru-hara di Semerah Padi. Namun
begitu, Penghulu Semerah Padi dilindungi oleh dua orang pendekar yang taat kepadanya iaitu
Teruna dan Anduka, menyebabkan beliau sukar dibunuh oleh pengkhianat agama, bangsa dan
negara.
Seterusnya, file mini banyak menyelit kebudayaan Melayu dalam bidang sosial
seperti kesenian, agama Islam, adat, bahasa halus, nilai dan falsafah dan pakaian. Unsure
kesenian yang terdapat dalam file mini seperti seni persembahan. Seni persembahan atau seni
gerak mengandungi segala bentuk pergerakan tubuh badan yang mempunyai unsure-unsur
keindahan. Seni gerak dalam budaya Melayu dalam file mini ialah seni tari. Contohnya, tarian
Lenggang Kangkong yang diadakan dalam majlis pertunangan dara dan teruna serta diiringi
dengan muzik Melayu Semerah Padi. Alat muzik tradisional seperti kompang, serunai, seruling
telah digunakan dalam persembahan tersebut.
Selain itu, adat dan agama juga diketengahkan dalam filem Semerah Padi. Adat
dan agama bukanlah dua perkara yang berbeza dalam masyarakat Melayu. Adat seharusnya

berlandaskan kepada agama yang benar iaitu Islam. Contoh adat yang terdapat dalam filem
seperti menyediakan sireh adat bagi dua calon pengantin dan ditukar ganti semasa majlis
pertunangan. Sireh adat dipulangkan semula apabila tali pertunangan diputuskan.
Adat memohon restu daripada ketua kampung dan ibu bapa iaitu mencium
tangan mereka ketika hendak pergi berjuang mempertahankan negara juga dipamerkan dalam
filem ini. Ada adat yang dituntut oleh agama dan ada adat yang diharuskan oleh agama. Filem
ini mengetengahkan seorang pemimpin yang tinggi amalan agamanya seperti sering membaca
ayat-ayat Al-Quran dan melaksanakan hukum Allah dengan adil.
2.1.2. Aspek Nilai Dalam Budaya Melayu.
Kehidupan masyarakat Melayu tidak terlepas daripada peraturan dan tindakan
sosial yang perlu dipatuhi. Hal ini menyebabkan orang Melayu sangat popular dengan
peraturan dan nilai yang terpaksa dipatuhi dalam masyarakat. Peraturan dan nilai ini diadakan
untuk memastikan anggota masyarakat menjadi manusia yang berguna. Anggota masyarakat
membina nilai masyarakatnya sendiri berdasarkan nilai-nilai yang dikongsi bersama.oleh itu
nilai yang lahir daripada individu itu tidak pula menimbulkan nilai yang bercanggah dengan nilainilai yang dikongsi oleh anggota masyarakat.
Filem Semerah Padi telah mengenengahkan banyak nilai murni yang terdapat
dalam budaya Melayu seperti bergotong-royong, bertimbang rasa, bersopan santun, hormatmenghormati, bekerja bersungguh-sungguh bekerjasama dan lain-lain lagi. Bergotong-royong
dapat meringan beban kerja yang berat dan dapat menyelesaikan pekerjaan dengan cepat.
Berdasarkan filem, contoh amalan gotong-royong dilakukan semasa aktiviti membersihkan
sawah padi di Kampung Semerah Padi. Masyarakat Melayu menjalankan aktiviti gotong-royong
membersihkan sawah, menabur, mencabut semai, menanam anak padi, menuai dan
seterusnya hinggalah menumbuk padi. Aktiviti ini dapat meringankan beban kerja yang dihadapi
oleh masyarakat Melayu tradisional.
Nilai yang kedua ialah bertimbang rasa. Filem ini mengisahkan dua orang
pendekar yang bersahabat karib. Setiap kesusahan yang ditanggung oleh seseorang, makan
sahabatnya sanggup menanggung kesusahan bersama. Contoh, Anduka sanggup berdiam diri
apabila kekasihnya menjadi tunangan sahabatnya sendiri. Teruna pula sanggup menerima Dara
walaupun dia telah mengetahui Dara bukanlah gadis suci kerana untuk menjaga maruah Dara
dan Anduka.

Nilai ketiga, ialah bersopan santun atau berpekerti mulia. Nilai ini membentuk
masyarakat Melayu agar menjadi penyabar dan penyayang, bersopan santun dan berbudi
pekerti mulia. Masyarakat Melayu menganggap orang yang beradab sebagai halus budi
pekertinya, manakala yang tidak beradab dianggap kasar. Contoh nilai sopan santun dalam
filem ini seperti yang ditunjukkan oleh Dara dan Teruna. Mereka akan meminta izin sambil
membongkokkan badan ketika ingin melintas di belakang kedua-dua ibu bapa mereka atau
orang yang lebih tua daripada mereka. Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk
menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak dalam semua aspek kehidupan.
Seterusnya nilai hormat-menghormati dalam halangan penduduk kampung
Semerah Padi juga diselit dalam filem ini. Contohnya, mereka saling bertegur sapa dan
memberi salam sekiranya berselisih dalam perjalanan tidak mengira pangkat atau kedudukan.
Sikap hormat menghormati adalah satu budaya Melayu yang mulia iaitu tidak memandang
rendah kepada orang lain. Justeru itu, orang Melayu digalakkan untuk memberi penghormatan
terlebih dahulu kepada orang lain seperti memulakan ucapan salam dan berjabat tangan.
Sikap bekerja bersungguh-sungguh juga merupakan satu nilai yang terdapat
dalam kalangan penduduk Semerah Padi. Selain bekerja sebagai petani, penduduk kampung
Semerah Padi juga berusaha untuk mempertahankan kampung mereka apabila diserang lanun.
Mereka sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri demi menjaga keamanan Semerah Padi.
Setiap pekerjaan yang bersungguh dan ikhlas adalah sebahagian daripada tuntutan ajaran
agama Islam.
2.1.3. Aspek Falsafah Dalam Budaya Melayu.
Falsafah berasal daripada cantuman dua perkataan daripada bahasa Yunani
iaitu Philo dan Sophia. Philo bermaksud cinta atau suka manakala Sophia pula membawa
maksud pengetahuan atau hikmat. Oleh itu, philosophia ialah cintakan kebijaksanaan atau
cintakan hikmah. Justeru itu, orang Melayu mempunyai falsafah tersendiri yang menjadi
pegangan dalam mencorakkan budaya seperti mengutamakan nilai Islam dalam semua aktiviti,
mentaati raja dan menghormati pemimpin, berpegang teguh kepada adat resam, menghormati
golongan yang lebih tua, meraikan dan mengutamakan tetamu, masalah diselesaikan secara
musyawarah dan bermuafakat dan mengutamakan ikatan kekeluargaan dan hubungan
silaturahim.

Berdasarkan filem Semerah Padi hampir semua aspek falsafah yang disebut di
atas telah diketengahkan. Ini menunjukkan filem Melayu ini lebih mementingkan kebudayaan
Melayu yang diamalkan sejak dahulu lagi. Mengutamakan nilai Islam dalam filem ini
menyebabkan ia berbeza dengan filem-filem lain yang lebih berunsur kemasyarakatan dan
berunsur jenaka. Kepatuhan pemimpin Semerah Padi kepada perintah Allah s.w.t menyebabkan
segala peraturan yang dijalankan mengikut ayat-ayat suci Al-Quran yang sebenar. Contohnya,
Penghulu Semerah Padi telah menjatuhkan hukuman yang adil mengikut undang-undang Islam
seperti dua orang penduduk yang berbalah mestilah tolong-menolong menyelesaikan kerja
harian masing-masing. Hukuman sebat dan sula yang dijatuhkan oleh pemimpin Semerah Padi
adalah mengikut peraturan yang ditetapkan di dalam

Al-Qurannulkarim.

Keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t merupakan perkara yang paling penting dalam
agama Islam. Ini melibatkan asas pegangan hidup, pemikiran atau falsafah kepada kehidupan
manusia di dunia ini. mentaati segala yang dituntut dan meninggalkan yang dilarang adalah
sebahagian daripada cara orang Melayu mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan. Nilai
Islam ini di praktikkan dalam semua aspek budaya Melayu itu sendiri.
Aspek falsafah yang kedua ialah mentaati raja dan mentaati pemimpin. Aspek ini
juga telah ditonjol dengan begitu jelas sekali dalam filem ini. Contohnya, Penghulu sanggup
menghantar seorang pendekarnya iaitu Teruna dan sepuluh sukarelawan untuk memusnahkan
lanun yang mengganggu keamanan negara apabila mendapat perintah daripada sultan
walaupun Kampung Semerah Padi dalam keadaan huru hara disebabkan oleh pengkhianat
yang ingin membalas dendam kepada pemimpin Semerah Padi.
Selain itu, setiap arahan dan perintah penghulu Semerah Padi tidak pernah
dibangkang oleh penduduk dan pengikutnya. Ketaatan kepada sultan dan pemimpin merupakan
suatu budaya yang diwarisi sejak turun-temurun oleh masyarakat Melayu sehingga ke hari ini.
Nilai ini yang membentuk budaya masyarakat Melayu menjadi orang berdisiplin.
Masyarakat Melayu juga berpegang teguh kepada adat tradisi seperti yang
dilihat dalam amalan hidup seharian. Adat-adat yang diketengahkan dalam filem Semerah Padi
seperti adat peminangan adat perkahwinan. Adat peminangan, Teruna dan Dara menyediakan
satu dulang sireh adat setiap seorang. Sireh adat bertukar tangan menunjukkan Majlis
Pertunangan telah terlaksana. Adat ini jarang lagi digunakan dalam masyarakat Melayu masa
kini. Sebentuk cincin diberi oleh pihak lelaki kepada perempuan sudah memadai bahawa
lamaran telah diterima. Adat tradisional orang Melayu yang ditonjolkan dalam filem begitu unik

dan patut diamalkan oleh masyarakat Melayu pada masa sekarang. Sireh adat akan
dipulangkan semula menunjukkan bahawa tali pertunangan antara Teruna dan Dara akan
diputuskan. Adat yang diketengahkan dalam filem iaitu ketika Majlis Perkahwinan. Para
mempelai dihias cantik duduk bersanding di atas pelamin dan di kipas oleh dua orang pengapit.
Adat seperti ini jarang diamalkan masa kini, tetapi majlis persandingan hanya untuk merakam
gambar pengantin dengan tujuan menghiasi album. Adat resam sangat penting dijaga supaya
identiti orang Melayu dapat dipertahankan ke hingga akhir zaman.
Filem ini juga menonjolkan nilai menghormati golongan orang yang lebih tua.
Contohnya, Teruna dan Dara sering meminta izin dan membongkokkan badan ketika melintas
dibelakang orang tua. Selain itu, setiap kali Teruna meminta diri, beliau akan bersalaman dan
mencium tangan orang yang lebih tua daripadanya. Dalam masyarakat Melayu, menghormati
dan memuliakan irang yang lebih tua adalah satu nilai yang jelas berlaku. Nilai ini berkaitan
dengan pemahaman masyarakat Melayu bahawa orang yang lebih berusia mempunyai lebih
banyak pengalaman berbanding dengan orang muda. Pengalaman adalah sesuatu yang
sentiasa dipandang penting dalam masyarakat Melayu. Menghormati dan mendengar nasihat
orang tua akan menyebabkan orang muda tidak akan melakukan kesilapan dalam hidup. Apa
yang penting ialah kerjasama antara orang muda dengan orang tua yang harus dipupuk bagi
menjamin keharmonian masyarakat sekeliling.
Seterusnya, aspek falsafah yang diketengahkan dalam filem ialah tetamu mesti
diraikan dan diutamakan. Filem ini telah menonjolkan amalan kunjung mengunjung yang
berlaku kepada orang Melayu telah merapatkan silaturrahim antara penduduk Kampung
Semerah Padi. Setiap kali, rumah mereka dikunjungi tetamu,amalan melayan dan meraikan
tetamu tidak dilupakan. Tepak sireh dan hidangan makanan dan minuman akan menghiasi tajuk
perbualan antara tuan rumah dan tetamu yang datang. Berdasarkan file mini, tetamu kelihatan
selesa apabila berada di dalam tuan rumah kerana dia dilayan seperti keluarga sendiri.
Meraikan tetamu merupakan suatu amalan yang mesti diikuti dalam mesyuarat Melayu.
Mengikut ajaran agama Islam, tetamu hendaklah dilindungi, dimuliakan dan dilayan sebaik
mungkin, malah tuan rumah dituntut agar berkorban dan tidak mementingkan diri sendiri demi
menjaga dan menghormati tetamu. Oleh yang demikian, tetamu sentiasa dipandang baik oleh
orang Melayu dan diraikan dengan sebaik-baiknya.
Aspek falsafah yang diketengahkan dalam filem Semerah Padi ialah
mengutamakan ikatan kekeluargaan dan hubungan silaturrahim. Ikatan kekeluargaan dan

hubungan silaturrahim. Ikatan kekeluargaan antara Dara dan ibu bapanya, anatara Teruna dan
keluarganya dan anatara Anduka dan ibunya ditonjolkan dalam filem ini. Penghulu adalah bapa
Dara sebagai pemimpin Semerah Padi sanggup menjatuhkan hukuman sebat ke atas anaknya
Dara dengan tujuan menegakkan undang-undang Islam dan membersihkan dosa anaknya
terhadap Allah s.w.t. Walaupun Dara dihukum begitu keras, tetapi tiada tanda kebencian yang
wujud dalam hati Dara terhadap ayahnya. Hubungan antara Dara dan ibu bapanya semakin
erat dan perkahwinan antara Dara dan Anduka diteruskan oleh ahli keluarga masing-masing.
Paling jelas ialah cara orang Melayu mengikut hubungan silaturrahim dalam
kelompok paling kecil tetapi penting iaitu keluarga sebelum meluas kepada masyarakat. Orang
Melayu yang memiliki sifat kerjasama saling membantu semasa mengadakan kenduri kendara
dan sebagainya. Amalan kenduri kendara ini juga diketengahkan dalam filem Semerah Padi.
Amalan ini amat berkesan dalam memupuk ikatan kekeluargaan dan persahabatan dalam
kalangan orang Melayu.
Kesimpulan.
Secara keseluruhannya budaya merupakan warisan yang amat penting bagi
generasi manusia merentasi langkauan masa mahupun batasan geografi. Budaya meletakkan
manusia pada suatu tahap yang tinggi dan kewujudannya dapat membezakan tahap
pencapaian sesuatu rumpun bangsa dengan rumpun bangsa yang lain. Budaya juga menjamin
nilai-nilai kemanusiaan it uterus hidup dalam kehidupan manusia, serta mempertahankan kualiti
intelek, perasaan dan keperibadian manusia. Tanpa budaya, manusia boleh jatuh sehingga
ketahap terendah kerana budaya telah menjulang keupayaan akal untuk berfikir. Namun
budaya sesuatu bangsa itu mungkin tidak berkekalan atau berubah-ubah jika tidak
dipertahankan dan diamalkan walaupun waktu kewujudannya telah jauh meninggalkan
masyarakat pengamalnya.

You might also like