You are on page 1of 8

BAHASA MELAYU SELEPAS MERDEKA

Era selepas merdeka atau pascamerdeka bermula selepas 31 Ogos 1957 hinggalah
tahun 1967. Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah
Melayu melalui peruntukan undang-undang yang terkandung dalam Perkara 152
Perlembagaan Malaysia yang menyatakan dengan jelas bahasa kebangsaan ialah
Bahasa Melayu.
Perkara 152 Perlembagaan Malaysia
1. Bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa
tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang oleh Parlimen. Dengan
syarat bahawa:

Tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apaapa maksud, selain daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar,
apa-apa bahasa lain; dan

Tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan
atau hak mana-mana Kerajaan Negeri bagi memelihara dan meneruskan
penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan.

2.
Walau apa pun peruntukan Fasal (10) selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen,
Bahasa Inggeris boleh digunakan dalam kedua-dua Majlis Parlimen, dalam Dewan
Negeri tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.
3.
Walau apa pun peruntukan fasal (10), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen,
naskhah yang sahih:

Bagi segala Rang Undang-Undang yang hendak dikemukakan atau pindaanpindaan mengenainya yang hendak dicadangkan dalam mana-mana Majlis
Parlimen; dan

Bagi segala Akta Parlimen dan segala perundangan kecil yang dikeluarkan oleh
Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam Bahasa Inggeris.

4. Walau apa pun peruntukan Fasal (10), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen,
segala pembicaraan dalam Mahkahmah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah
dijalankan dalam Bahasa Inggeris. Dengan syarat bahawa, jika mahkamah dan peguam
bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan
oleh saksi tidak perlu diterjemahkan atau direkodkan dalam Bahasa Inggeris.
Berdasarkan peruntukan yang diberikan, jelaslah bahawa pertimbangan sewajarnyalah
telah diberikan terhadap kedudukan Bahasa Melayu. Sejak tahun 1957, apabila
Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemederkaan, Bahasa Melayu telah menjadi
bahasa kebangsaan yang disarankan oleh Suruhanjaya Reid. Pemilihan Bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan berasaskan beberapa faktor, iaitu Bahasa Melayu
mempunyai jumlah penutur yang terbesar di negara ini. Pada waktu itu, kumpulan ini
membentuk 49.78 peratus, manakala kaum Cina merupakan 37.1 peratus, dan kaum
India 11.0 peratus (Ensiklopedia Kebudayaan Melayu, hlm. 1260). Faktor kedua, ialah

Bahasa Melayu merupakan bahasa yang bersifat pribumi bagi negara ini. Oleh itu,
Bahasa Melayu dapat melahirkan jati diri penduduk negara ini. Faktor ketiga ialah
penggunaan Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi sudah sekian lama berjalan dan ini
tidak akan menimbulkan masalah bagi komunikasi umum. Akhirnya, keempat ialah
Bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa pentadbiran di negeri Melayu. Peranan
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga alat perpaduan tidak disanggah
oleh mana-mana pihak. Pengisytiharan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
dan bahasa rasmi dalam semua urusan pentadbiran tidak menyekat penggunaan dan
pembelajaran bahasa-bahasa lain dalam urusan bukan rasmi. Pada dasarnya,
pengiktirafan dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dikawal
oleh dasar bahasa kebangsaan dan dari segi undang-undang, dasar ini telah
dimaktubkan melalui perlembagaan dan akta.
Pada 7 Mac 1957, Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan, dengan sebulat suara
meluluskan Penyata Razak. Penyata ini adalah bertujuan untuk mewujudkan suatu
sistem pelajaran nasional bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka yang dapat
diterima oleh seluruh rakyat serta memenuhi kehendak mereka dan yang dapat
menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial dan ekonomi ke arah satu bangsa
dengan tujuan hendak menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara
ini dan dalam pada itu memelihara pertumbuhan bahasa dan budaya orang-orang bukan
Melayu yang menetap di negara ini (Undang-Undang Pelajaran 1957, 2008.). Undangundang Pelajaran 1957 yang diluluskan setelah dibacakan bagi kali yang ketiga adalah
digubal berdasarkan Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956. Laporan jawatankuasa ini
telah diluluskan pada dasarnya setelah dibentangkan dalam perbahasan Majlis
Perundangan Persekutuan pada 16 Mei 1956. Laporan ini dinamakan Laporan Razak
1956.
Perkara yang paling penting pada era ini ialah peranan yang dimainkan oleh Dewan
bahasa dan Pustaka (DBP). Pada tahun 1959, DBP berubah tarafnya daripada jabatan
kerajaan kepada badan berkanun apabila Parlimen meluluskan Akta Dewan Bahasa
dan Pustaka. Pemberian autonomi ini membolehkannya menggubal dasar tentang
matlamat yang ditetapkan dalam akta tersebut. DBP dibenarkan menggubal dasardasarnya yang khusus, menyusun rancangan pembinaan dan pengembangan bahasa
dan sastera menurut kebijaksanaan pihak pengurusannya sendiri, dan menjalankan
kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara lebih kompetitif menurut prinsip dan
amalan perusahaan dan profesion penerbitan yang sentiasa berkembang dan hidup.
Matlamat utamanya ialah membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan sesuai
dengan dasar negara dan hasrat rakyat yang menubuhkan DBP.
Sebagai sebuah negara yang baru merdeka dan mempunyai rakyat yang berbilang
kaum, satu orientasi baru diperlukan untuk membentuk sikap rakyat menerima Bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. DBP melancarkan gerakan
psikologi melalui kempen-kempen bahasa yang melibatkan penyertaan rakyat daripada
semua kaum dalam kegiatan bahasa secara besar-besaran. Gerakan ini dilakukan di
seluruh negara tiap-tiap tahun selama tujuh tahun dari 1960-1966. Pada 30 Januari
1960, Minggu Bahasa Kebangsaan dilancarkan buat pertama kalinya di seluruh negara
yang berlangsung hingga 6 Februari, 1961. (lihat Rajah 3.5).

Rajah 3.5: Pelancaran Pertama Minggu bahasa Kebangsaan pada 30 Januari


1960
Pelancaran itu dilakukan oleh pengerusi jawatankuasa pusat Minggu Bahasa
Kebangsaan, Tuan Syed Nasir bin Ismail. Minggu Bahasa Kebangsaan ini merupakan
rancangan kebangsaan yang bertujuan untuk menggalakkan seluruh rakyat supaya
menggunakan bahasa kebangsaan dalam kehidupan mereka sehari-hari; menunjukkan
kepada dunia bahawa kita sebagai bangsa yang merdeka menggunakan bahasa
kebangsaan yang difahami oleh seluruh rakyat daripada segala keturunan sebagai
bahasa perantaraan; untuk menyakinkan orang yang masih ragu-ragu bahawa bahasa
kebangsaan kita ini adalah bahasa besar teristimewa di sebelah Timur dan menjadi
bahasa ilmu pengetahuan; memberitahu kepada dunia bahawa bahasa kebangsaan kita
akan menjadi bahasa yang kaya raya setelah mendapat jiwa baharu dalam pergolakan
dunia sekarang; dan hendak menerangkan kepada pelajar bahawa bahasa kebangsaan
kita memakai bentuk yang khas dan boleh menerima segala perkataan bahasa asing
yang dapat disesuaikan dengan keadaan bahasa itu sendiri. Keadaan yang demikian
telah berlaku beribu-ribu tahun yang Ialu dan terus berjalan hingga sekarang, dan
hendak menerangkan kepada orang ramai bahawa Dewan bahasa dan Pustaka yang
mempunyai tugas besar dalam perkembangan bahasa kebangsaan ini sentiasa
berharapkan kerjasama daripada segala pihak untuk kemajuan bahasa kebangsaan dan
perkembangannya dalam segala lapangan.
Acara-acara dalam Minggu Bahasa Kebangsaan ini dijalankan dalam dua bentuk:
pertama, acara umum yang ditujukan untuk menggalakkan penggunaan bahasa
kebangsaan dalam segala lapangan; dan yang kedua, ialah melalui peraduan-peraduan
untuk menimbulkan keinginan menyertai dalam penggunaan dan perkembangan bahasa
itu. Dalam menjalankan acara-acara itu segala tugas dibahagi kepada peringkatperingkat, iaitu peringkat daerah, peringkat negeri dan peringkat kebangsaan. (Mahfudz
bin Abdul Hamid, 1960)
Dalam bahagian acara umum diadakan berbagai-bagai acara penerangan seperti
mengadakan poster-poster, pelekat-pelekat cogan kata, kain-kain cogan kata, iklan-iklan
dan filem-filem serta ucapan-ucapan oleh pembesar-pembesar dan pakar-pakar dan
juga pengguna-pengguna bahasa kebangsaan dari orang-orang Melayu dan bukan
Melayu. Dalam bahagian peraduan pula diadakan peraduan-peraduan syarahan yang
dimulakan pada peringkat daerah dan berakhir di peringkat kebangsaan apabila
pensyarah-pensyarah yang menang dalam bahagian-bahagian yang tertentu bertanding
untuk mencapai gelaran johan pensyarah bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah
Melayu. Di peringkat negeri pula diadakan peraduan-peraduan bahas, peraduan melukis
poster, peraduan mengarang rencana dan sebagainya.

Pada peringkat kebangsaan rancangan Minggu Bahasa Kebangsaan ini dihadiri dan
dikelolakan oleh suatu Jawatankuasa Kerja Pusat yang dilantik oleh persidangan
Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri, Setiausaha-Setiausaha Kementerian dan
jabatan-jabatan. Dalam tiap-tiap negeri pula diadakan satu Jawatankuasa Negeri untuk
memutuskan rancangan di peringkat negeri dan juga berkuasa menubuhkan
Jawatankuasa Daerah untuk melancarkan pengelolaan rancangan di tiap-tiap negeri.
Pelaksanaan rancangan kebangsaan Minggu Bahasa Kebangsaan ini dirancang untuk
disertai oleh seluruh pihak yang meliputi kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan
kerajaan mahupun separuh kerajaan, institusi-institusi pengajian tinggi dan sekolahsekolah, akhbar-akhbar, syarikat-syarikat swasta, pertubuhan-pertubuhan yang
mengenai bahasa dan persuratan secara langsung atau tidak langsung dan bahkan
kepada tiap-tiap rakyat dan kumpulan rakyat dengan mengadakan rancangan-rancangan
penyambutan dan perayaan yang sesuai dengan tujuan mengadakan Minggu Bahasa
Kebangsaan.
Pada 15 April 1962, satu seminar mengenai bahasa dan Sastera telah diadakan di Balai
Budaya Dewan bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Seminar anjuran Dewan bahasa
dan Pustaka dengan kerjasama Perpustakaan Universiti Malaya ini dirasmikan oleh
Timbalan Perdana Menteri, Tun Haji Abdul Razak bin Dato' Hussein. Sebanyak 50 kertas
kerja dibincangkan dalam seminar yang berlangsung selama empat hari ini. Kertaskertas kerja ini disumbangkan oleh beberapa pakar bahasa dari seluruh tanah air. Antara
perkara-perkara yang dibahaskan dalam seminar tersebut termasuklah mengenai
bahasa dan kesusasteraan, ilmu pengetahuan dan buku-buku sekolah. Ini mencakupi
masalah sastera, perpustakaan juga perkembangan kesusasteraan dan persuratan
Melayu sebagai bahan dan alat pendidikan ke arah pembangunan rakyat (Seminar
Bahasa dan Sastera Ke Arah Meninggikan Mutu Bahasa dan Kesusasteraan
Kebangsaan, 2008).
Pada 11 April 1963, satu akta yang berkaitan khusus dengan bahasa kebangsaan, iaitu
Akta Bahasa Kebangsaan 1963 telah diluluskan dan dikuatkuasakan. Selepas 10 tahun
merdeka, iaitu pada tahun 1967, Akta bahasa Kebangsaan 1967 telah diluluskan dan
mula dikuatkuasakan pada 1 September 1967. Akta ini kemudiannya disemak dan
disatukan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan berkuatkuasa pada 1 Julai 1971
dengan nama Akta Bahasa Kebangsaan, 1963 (Pindaan 1967).
Pada 27 Jun 1967 (lihat Rajah 3.6) satu keputusan muktamad mengenai satu sistem
ejaan baru yang ilmiah, praktikal serta sesuai untuk Bahasa Malaysia dan Bahasa
Indonesia telah dicapai. Rundingan mengenai persetujuan sistem ejaan bahasa
Malaysia-Indonesia ini telah dihadiri oleh Jawatankuasa Bahasa dan Ejaan Malaysia
yang dipengerusikan oleh Tuan Syed Nasir bin Ismail (Pengarah Dewan bahasa dan
Pustaka) dengan Team Ahli Bahasa KOTI (Komando Tertinggi Indonesia) yang diketuai
oleh Nyonya S. W. Ruddjiati Muljadi.

Rajah 3.6: Pengisytiharan Sistem Ejaan Indonesia Malaysia


Rundingan antara kedua-dua belah pihak telah berjalan dengan lancar dan dalam
suasana kekeluargaan serta ramah tamah. Dalam rundingan itu tanggapan masingmasing pihak telah dibahas bersama secara ilmiah dan mendalam dengan
memerhatikan sepenuhnya kenyataan-kenyataan yang terdapat dalam masyarakat
kedua-dua negara. Hasil pertukaran fikiran dan pendapat serta penelitian dan
pengolahan bersama, kedua-dua pihak telah mencapai kesimpulan dan persefahaman
bahawa perkembangan ejaan dalam kedua-dua bahasa adalah hal yang wajar dan
sesuai dengan tuntutan kemampuan ilmiah dan keperluan praktikal. Pengertian bersama
juga telah dicapai mengenai hubungan antara Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia
yang perlu ditingkatkan lagi melalui semua saluran, baik pertuturan mahupun tulisan.
Kesemuanya ini adalah dalam rangka usaha mencapai cita-cita bersama antara rakyat
Indonesia dan Malaysia. Dengan tercapainya keputusan muktamad yang ditandatangani
oleh kedua-dua belah pihak itu pada tahun 1967, maka terciptalah Ejaan Bersama
Malaysia-Indonesia, dan pelaksanaannya bergantung kepada penerimaan serta
pengesahannya daripada kerajaan kedua-dua buah negara. Kempen-kempen
memberikan penerangan mengenai Ejaan Bersama ini ke seluruh negara telah
dijalankan melalui akhbar-akhbar, radio dan televisyen, serta melalui majalah-majalah,
dan ceramah-ceramah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di merata tempat di
Malaysia (Sistem Ejaan Indonesia-Malaysia, 2008).
Sepuluh tahun selepas merdeka, Parlimen meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan 1967
yang mewajibkan Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi yang tunggal dalam
semua urusan rasmi negara menggantikan tempat Bahasa Inggeris. Pada 1 September
1967 DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan Bahasa
Melayu sebagai bahasa Rasmi Negara yang tunggal bagi Persekutuan Malaysia.
Perisytiharan ini adalah ekoran daripada tindakan Parlimen yang telah meluluskan Rang
Undang-Undang Bahasa Kebangsaan dalam sidangnya yang berlangsung pada bulan
Mac 1967. Dalam warkah perisytiharan melalui Titah Diraja yang disiarkan melalui radio
dan televisyen, baginda mensifatkan pendaulatan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa
rasmi yang tunggal merupakan permulaan suatu zaman baru dalam sejarah
kemerdekaan negara ini. Baginda telah menyeru seluruh rakyat supaya mengguna dan
memajukan Bahasa Melayu dengan bersungguh-sungguh sebagai bahasa rasmi negara
ini.

Rajah 3.7: Pengisytiharan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.


YM Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama (lihat Rajah 3.7) pula
dalam satu kenyataannya telah menegaskan bahawa pendaulatan bahasa kebangsaan
sebagai bahasa rasmi menjadikan kemerdekaan Malaysia lengkap apabila
penggunaannya sudah dapat diterima sepenuhnya oleh rakyat. Kedaulatan Bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan tercatat dengan jelas sebagai Perkara 152 dalam
Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan telah dimuatkan dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan sebagai bahasa rasmi
dan pengantar yang tunggal di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi
melalui Penyata Razak 1956 dan disokong kuat oleh Penyata Rahman Talib 1960.
Usaha-usaha untuk mendaulatkan dan memperluaskan penggunaan bahasa
kebangsaan ini telah dijalankan dengan lebih giat dan serius melalui minggu dan bulan
bahasa kebangsaan, perjuangan politik bahasa, serta menambahkan buku-buku ilmu
pengetahuan dalam Bahasa Melayu. Berikutan daripada pengisytiharan baginda itu,
pada hari yang sama, Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan surat Pekeliling Am
No. 12 Tahun 1967 yang mengarahkan bahawa daripada tarikh itu, bahasa kebangsaan,
iaitu Bahasa Melayu sahaja hendaklah digunakan untuk maksud-maksud rasmi dalam
pentadbiran sehari-hari yang dijalankan oleh kementerian-kementerian, Jabatan-Jabatan
Kerajaan, Kerajaan-Kerajaan Negeri, Kerajaan-Kerajaan Tempatan dan Badan-Badan
Berkanun di Negeri-Negeri Tanah Melayu kecuali di Parlimen, Dewan-Dewan Negeri dan
Mahkamah di mana Bahasa Inggeris boleh digunakan setakat masa yang telah
diperuntukkan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Jikalau bahasa kebangsaan tidak
dapat digunakan sepenuhnya Surat Pekeliling itu membolehkan penggunaan Bahasa
Inggeris mengikut yang diperuntukkan dalam Sek. 4 akta tersebut.
Zaman selepas ini merupakan zaman pengembangan dan pengukuhan taraf dan korpus
Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran negara yang maju, bahasa kegiatan
intelektual dan budaya, bahasa ilmu pengetahuan, bahasa sains dan teknologi.

Dicatat oleh Din Senu


E-melkan IniBlogThis!Kongsi ke TwitterKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

You might also like