You are on page 1of 2

KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA


Seminar Sayangi Nyawa Hidupkan Harapan
sempena Bulan Pencegahan Bunuh Diri 2015
Menurut Laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia Preventing Suicide,
A Global Imperative, dianggarkan lebih daripada 800,000 orang di seluruh dunia
membunuh diri setiap tahun. Ini bersamaan dengan 1 kematian akibat bunuh diri
setiap 40 saat. Manakala bagi setiap 1 kes kejadian bunuh diri, terdapat lebih
daripada 20 kes cubaan bunuh diri. Di peringkat global, bunuh diri berada di
antara 10 penyebab utama kematian di dunia, dan penyebab ke-2 kematian bagi
mereka yang berumur 15-29 tahun.
Tingkah laku bunuh diri yang meliputi spektrum daripada idea bunuh diri,
mempunyai rancangan untuk membunuh diri, cubaan bunuh diri dan kejadian
bunuh diri itu sendiri turut menyumbang kepada kecederaan fizikal dan emosi
ahli keluarga individu tersebut di samping mendatangkan impak negatif kepada
ekonomi.
Malaysia yang kini melalui arus permodenan dan masyarakatnya terdiri daripada
berbilang kaum, terdedah kepada stress yang tinggi dan tidak juga terlepas
daripada mengalami senario tingkah laku bunuh diri. National Suicide Registry
Malaysia melaporkan kadar bunuh diri adalah 1.3 setiap 100,000 penduduk
dengan jumlah kes sebanyak 1100 kes dalam masa 3 tahun (2008-2010).
Walaubagaimana pun, ini hanya berdasarkan kepada kes bedah siasat sahaja.
Manakala statistik daripada Pusat Informatik Kesihatan, Kementerian Kesihatan
Malaysia untuk tempoh lima tahun (2010-2014) menunjukkan sejumlah 338
kematian di hospital-hospital Kementerian Kesihatan adalah disebabkan oleh
perbuatan mencederakan diri atau intentional self-harm. Jumlah kematian bagi
lelaki adalah lebih tinggi daripada wanita manakala kumpulan umur tertinggi
adalah mereka di antara 25-44 tahun.
Pelbagai faktor turut mempengaruhi tingkah laku bunuh diri antaranya gangguan
mental seperti kemurungan, penyalahgunaan dadah atau substans, tragedi
kehidupan, masalah hubungan, faktor kewangan dan kemiskinan, penyakit
fizikal serta sejarah bunuh diri dalam keluarga. Cara yang paling sering
1

digunakan untuk membunuh diri adalah dengan menggantung diri dan terjun
daripada bangunan tinggi.
Pada tahun ini, tema Cegah Bunuh Diri adalah Reaching Out and Saving
Lives. Tema ini mengajak masyarakat untuk menghulurkan bantuan kepada
ahli keluarga, sahabat dan rakan-rakan dalam menangani cabaran kehidupan.
Setiap daripada kita boleh memainkan peranan untuk membantu sekiranya kita
tahu ada di antara ahli keluarga, sahabat handai atau mereka yang kita kenali
mengalami krisis emosi, tanda-tanda kemurungan atau berniat untuk membunuh
diri. Ambil serius tentang masalah mereka, ambil masa untuk dengar keluhan
mereka, ambil berat dan berikan sokongan sosial kepada mereka. Sekiranya
keadaan tidak bertambah baik, bantu mereka mendapatkan pertolongan pakar.
Masyarakat boleh juga membantu dengan cara menghubungkan individu yang
bermasalah dengan perkhidmatan yang sedia ada di Malaysia
Kementerian menyediakan perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental di
hospital-hospital kerajaan untuk individu mendapatkan bantuan. Di peringkat
kesihatan primer, perkhidmatan saringan dan rawatan kesihatan mental turut
ditawarkan. Terdapat juga pertubuhan bukan kerajaan seperti The Befrienders
yang amat aktif menawarkan perkhidmatan talian hayat bagi membantu mereka
yang mempunyai masalah berkaitan isu-isu kesihatan mental.
Bunuh diri boleh dicegah. Tugas mencegah bunuh diri tidak hanya terletak di
bahu Kementerian Kesihatan tetapi juga di semua pihak agensi kerajaan dan
agensi bukan kerajaan. Organisasi-organisasi lain adalah diseru untuk turut
mengambil bahagian dengan lebih aktif dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti
untuk mempromosikan kesihatan mental dan mencegah tingkah laku bunuh diri.
Dengan kerjasama semua pihak, adalah diharapkan kita dapat mencapai tahap
kesihatan mental yang baik dan masyarakat yang produktif.
Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH


KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
1 OKTOBER 2015

You might also like