You are on page 1of 19

TAJUK 1 : PERNIAGAAN DAN PERSEKITARAN

1.1 Pengenalan Perniagaan


Perniagaan wujud apabila manusia mengkhususkan dalam pengeluaran barangan
dan perkhidmatan yang mereka berkemahiran dan cekap. Perniagaan banyak
memberi faedah kepada manusia kerana aktiviti-aktiviti perniagaan dapat memenuhi
kehendak dan keperluan manusia dengan menyediakan berbagai-bagai barangan
dan perkhidmatan yang dikeluarkan sama ada di dalam negara ataupun diimport
dari luar negara.

Selain itu, perniagaan juga menjanakan keuntungan yang menggalakkan manusia


berkecimpung dan mengembangkan perniagaan pulangan kepada pemilik-pemilik
yang sanggup menghadapi risiko daripada pelaburan wang dan masa mereka.

1.1.1 Definisi Perniagaan

“Business is the distribution and exchange of all the surplus goods produced
in the fields, seas, forests and factories of the earth so that they reach the
final consumer in the right place and at the right price”

Perniagaan merupakan pengagihan dan pertukaran semua barangan berlebihan


yang dihasilkan daripada ladang-ladang, lautan, hutan-hutan dan kilang-kilang
supaya mereka dapat diperoleh oleh pengguna terakhhir pada tempat dan harga
yang berpatutan.
Vincent A. Gabriel (1995) m.s 5

Perniagaan merupakan semua kegiatan membeli dan menjual barangan dan


perkhidmatan dengan tujuan mendapat keuntungan.
Teng Yoon Soon, Lok Chung Hwa dan
Abdullah Munsi b. Abdul Rahim (1999) m.s 1

Perniagaan adalah pertukaran barang atau perkhidmatan dengan wang untuk tujuan
mendapatkan keuntungan atau sebarang bentuk faedah.
Zumilah Zainalaludin (1999) m.s 3

Perniagaan boleh didefinisikan sebagai pertukaran barang atau perkhidmatan


dengan wang atau alat pertukaran lain, bertujuan untuk mendapat keuntungan atau
sebarang bentuk faedah.
Norhayah Zulkifli et. al (1999) m.s 2

“Business is an organization that provides goods or services in order to earn


profits”

Perniagaan merupakan suatu organisasi yang membekalkan barangan atau


perkhidmatan untuk mendapat keuntungan.
Ronald J. Ebert dan Ricky W. Griffin (1998) m.s 2
Rumusan
Berdasarkan definisi-definisi yang dikemukakan di atas, maka perniagaan dapat
ditakrifkan sebagai:-

Suatu usaha untuk mengagih dan menukarkan barangan yang berbentuk


barang fizikal atau perkhidmatan atau kedua-duanya daripada pengeluar asal
kepada pengguna terakhir pada tempat dan harga yang berpatutan. Usaha
pemindahan dan pertukaran barangan ini dijalankan berasaskan alat
pertukaran yang telah dipersetujui oleh pengeluar asal dan pengguna terakhir.
Pertukaran sedemikian akan membawa faedah dan keuntungan kepada
semua pihak yang terlibat dalam usaha ini.

1.1.2 Barangniaga
Ia juga dikenali sebagai produk atau keluaran. Barangniaga terdiri daripada unit-unit
yang dapat dilihat, dihidu, dirasa dan disentuh secara fizikal seperti baju, keropok,
anak patung mainan dan sebagainya.

1.1.3 Perkhidmatan
Ia merupakan sesuatu keluaran yang tidak dapat dilihat, dihidu, dirasa dan disentuh
secara fizikal. Namun demikian, kehadirannya akan memenuhi keperluan dan
kehendak pembeli atau penggunanya. Contoh-contoh perkhidmatan adalah
perkhidmatan pakar perubatan, bank, insuran, pendidikan Kolej Matrikulasi dan
sebagainya.

1.1.4 Keuntungan
Keuntungan merupakan perbezaan di antara pendapatan dan perbelanjaan
perniagaan. Keuntungan perniagaan yang menggalakkan peniaga-peniaga untuk
menjalankan dan mengembangkan perniagaan mereka. Ia juga merupakan
pulangan atau ganjaran kepada peniaga-peniaga yang sanggup menghadapi risiko
daripada pelaburan wang dan masa mereka.

Keuntungan (perniagaan) = Pendapatan - Perbelanjaan

Keuntungan (ekonomi) = Pendapatan – (Perbelanjaan + Kos Melepas*)

* Kos melepas merupakan kos yang terpaksa dilepaskan kerana membuat


sesuatu pilihan.

1.1.5 Faedah
Faedah juga dikenali sebagai kebaikan atau kelebihan. Semua pihak yang terlibat
dalam perniagaan akan memperolehi faedah. Misalnya, seorang peniaga yang
menjual barangan atau menyediakan perkhidmatan akan memberi faedah kepada
pelanggannya. Pelanggan itu akan menggunakan barangan atau perkhidmatan yang
disediakan untuk kepentingan diri iaitu mencapai matlamat individu atau organisasi.
Pada masa yang sama, peniaga yang memberi perkhidmatan atau menjual barang
akan dibayar oleh pelanggannya.
1.1.6 Kepuasan
Apabila kehendak dan keperluan seseorang itu dipenuhi, maka dia akan berasa
puas hati. Jika tidak, kepuasannya tidak akan tercapai. Misalnya, barang atau
perkhidmatan yang dibeli oleh seseorang itu dapat memenuhi keperluan dan
kehendak pihak pembeli, maka pembeli akan berasa puashati. Begitu juga dengan
penjual barang atau perkhidmatan. Bayaran yang diperoleh daripada jualan barang
atau perkhidmatan dan ia digunakan untuk memenuhi keperluan dan kehendak
penjual, maka penjual akan mencapai kepuasan.

1.1.7 Objektif Perniagaan


Keuntungan iaitu perbezaan diantara kos pengeluaran (perbelanjaan) dan apa yang
pelanggan-pelanggan mahu bayar untuk sesuatu produk (pendapatan) merupakan
salah satu asas dalam sistem ekonomi kapitalis.

Keuntungan
Pada jangka masa panjang, keuntungan ialah objektif utama untuk kebanyakan
organisasi perniagaan sama ada bersaiz besar atau kecil. Keuntungan merupakan
faktor atau daya tarikan kepada seseorang individu untuk berkecimpung dalam
bidang perniagaan dan peniaga untuk mengembangkan perniagaan yang sedia ada.
Selain itu, keuntungan boleh menjadi pengukur prestasi sesebuah organisasi
perniagaan, sama ada disifatkan berjaya atau gagal.

Namun, persepsi atau tanggapan masyarakat terhadap keuntungan sebagai objektif


utama dalam bidang perniagaan mula berubah. Banyak organisasi perniagaan
sanggup berkorban keuntungan pada jangka masa pendek untuk objektif perniagaan
pada jangka masa panjang. Contohnya, banyak organisasi perniagaan Jepun
berjaya bersaing dan memasuki pasaran Amerika Syarikat kerana mereka sanggup
untuk menangguhkan keuntungan pada peringkat permulaan dengan menawarkan
produk yang bermutu dan berharga rendah.

Pada zaman ekonomi berpengetahuan (k-economy), organisasi perniagaan yang


mengutamakan keuntungan semata-mata sebagai objektif utama sering dikritik
malah disangsikan oleh masyarakat umum. Oleh sebab itu, sebahagian besar
organisasi perniagaan hari ini mengubah pendirian mereka daripada terlalu
mengutamakan keuntungan kepada pertimbangan-pertimbangan yang dapat
diterima oleh masyarakat umum seperti tanggungjawab sosial, kerja-kerja amal dan
sebagainya.

Kemandirian (Survival)
Kewujudan sesebuah organisasi perniagaan baru atau semasa keadaan ekonomi
yang tidak stabil, objektif kemandirian (survival) adalah lebih penting daripada
keuntungan. Kemandirian bertujuan untuk menyedarkan masyarakat umum tentang
kewujudan organisasi perniagaan itu. Organisasi perniagaan harus cuba sedaya
upaya untuk menarik perhatian masyarakat umum tentang kewujudannya.
Lazimnya, organisasi perniagaan mengalami kerugian di peringkat kemandirian
tetapi fenomena ini tidak berkekalan. Pihak peniaga juga harus memastikan bahawa
jangka masa kerugian yang dialami di peringkat kemandirian adalah singkat dan
tidak berlarutan. Jika tidak, kerugian yang dialami itu bertambah dan sukar untuk
ditanggung oleh organisasi perniagaan yang terbabit. Ini akan menggagalkan
organisasi perniagaan pada akhirnya.

Pertumbuhan
Apabila organisasi perniagaan berjaya memperkenalkan diri dan menyedarkan
masyarakat umum tentang kewujudannya, maka ia harus berusaha untuk
mengurangkan kerugian yang dialami di peringkat kemandirian. Pada masa yang
sama, usaha peningkatan keuntungan patut ditekankan supaya organisasi
perniagaan itu bertumbuh dan terus membesar dan berdaya saing dengan
organisasi perniagaan lain sama ada organisasi perniagaan tempatan ataupun
antarabangsa.

Tanggungjawab Sosial
Pada hakikatnya, kemandirian dan pertumbuhan sesebuag organisasi perniagaan
dipengaruhi oleh tahap penerimaan serta sambutan masyarakat umum terhadap
organisasi perniagaan yang berkenaan dan aktiviti-aktiviti perniagaannya. Oleh itu,
organisasi perniagaan itu harus memenuhi tanggungjawab sosialnya dengan
menyediakan peluang-peluang pekerjaan, menjual barangan yang baik dan bermutu
tinggi, menawarkan perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat dengan cekap
dan pada kadar atau harga yang berpatutan, membantu negara untuk
mempertingkatkan kedudukan ekonominya.

1.2 Kepentingan Perniagaan


Perniagaan merupakan suatu bidang yang berpengaruh kepada kehidupan seluruh
manusia dan seluruh dunia. Kefahaman terhadap konsep perniagaan amat penting
untuk kehidupan harianseluruh manusia kerana ia dapat memberi kesan atau impak
kepada manusia dalam aspek-aspek seperti:-

1.2.1 Memenuhi Keperluan Masyarakat


Perniagaan dapat memenuhi keperluan masyarakat. Hasil daripada aktiviti-aktiviti
perniagaan, iaitu urusan pembelian dan penjualan barangan dan perkhidmatan, para
peniaga akan memperolehi keuntungan manakala pihak pembeli dan pengguna pula
memiliki barangan dan perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan dan
kehendak mereka. Contohnya, penjual air kacang soya di tepi jalan raya akan
mendapat keuntungan apabila air kacang soyanya dibeli oleh pembeli. Pada masa
yang sama, pembeli yang membeli dan meminum air kacang soya itu dapat
memenuhi keperluan dan kehendaknya iaitu menghilangkan dahaga.

1.2.2 Menyediakan Pekerjaan Kepada Masyarakat


Sebahagian besar masyarakat menyara kehidupan mereka melalui pekerjaan yang
diperolehi daripada sektor perniagaan. Masyarakat boleh bekerja sebagai peniaga
atau sebagai pekerja dalam organisasi perniagaan. Pendapatan yang diterima
melalui pekerjaan yang diperolehi daripada sektor perniagaan dapat menyara malah
meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Selain itu, pekerja-pekerja yang kehilangan pekerjaan dan terdesak semasa


berlakunya kemelesetan ekonomi boleh beralih kepada perniagaan terutamanya
perniagaan secara kecil-kecilan sebagai sumber rezeki yang baru.
1.2.3 Tidak Ditipu
Dalam kehidupan sehari-hari, kefahaman terhadap konsep perniagaan dapat
membantu malah mencegah pengguna terakhir daripada ditipu oleh para peniaga
yang menggunakan teknik-teknik perniagaan yang berniat serong seperti perniagaan
seperti perniagaan jualan murah di pasaran. Pembeli-pembeli harus bijak dan
berhati-hati semasa membeli-belah barangniaga jualan murah. Bukan semua
barangniaga yang ditawarkan jual murah itu sebenarnya murah. Setengah-
setengahnya memang berharga murah dan setengah-setengah lagi mungkin lebih
mahal daripada harga biasa.

1.2.4 Memahami Pergolakan Perniagaan


Kefahaman terhadap konsep perniagaan akan dapat membantu dan memudahkan
lagi individu ataupun organisasi untuk memahami dan mengenal pasti sebarang
pergolakan perniagaan semasa. Misalnya, Syarikat A sedang menghadapi masalah
kewangan, maka kita boleh mengambil kesempatan ini untuk memiliki syarikat yang
berkenaan dengan membeli saham-sahamnya atau tidak.

1.2.5 Kehidupan Yang Lebih Mewah


Masyarakat yang giat berkecimpung dalam bidang perniagaan akan meningkatkan
kedudukan sosioekonomi mereka terutamanya dalam sistem ekonomi kapitalis atau
sistem ekonomi campuran. Pada umumnya, individu yang berilmu perniagaan dan
terlibat dalam bidang perniagaan menikmati taraf hidup atau kehidupan yang lebih
mewah berbanding dengan individu yang kurang ilmu perniagaan dan kurang terlibat
dalam bidang perniagaan.

1.2.6 Meningkatkan Pembangunan


Dalam usaha untuk menyakin dan menarik pelaburan daripada pelabur-pelabur
sama ada pelabur-pelabur asing ataupun pelabur-pelabur tempatan, pihak berkuasa
akan cuba memperbaiki kemudahan asas atau infrastruktur seperti jalan raya,
bekalan air dan elektrik di sesebuah tempat. Peningkatan prasarana asas ini secara
tidak langsung membawa kesan kepada pembangunan kawasan dan masyarakat
tempatan yang terlibat dalam perniagaan.

1.2.7 Peluang Global


Masyarakat yang berilmu perniagaan akan memudahkan negara untuk menceburi
dalam perniagaan di peringkat antarabangsa atau global. Penguasaan ilmu
perniagaan membolehkan peniaga-peniaga negara kita bersaing terutamanya
dengan peniaga-peniaga dari negara-negara maju. Kita memerlukan kemahiran,
kepakaran dan lebihan persaingan (competitive edge) yang tinggi dan berkualiti
untuk maju dan menjayakan perniagaan di peringkat antarabangsa atau global.

1.3 Persekitaran Perniagaan


Berdasarkan teori system, sesebuah organisasi perniagaan itu tidak dapat berdikari.
Organisasi perniagaan dikelilingi oleh elemen-elemen persekitaran yang berinteraksi
dan mempengaruhi pembuatan keputusan dan tingkah lakunya. Sebelum para
peniaga merancang strategi perniagaan, mereka perlu mengenali, menganalisa dan
memahami keadaan persekitaran perniagaan terlebih dahulu. Namun, persekitaran
perniagaan boleh ditinjau dari dua perspektif iaitu persekitaran perniagaan dalaman
dan persekitaran perniagaan luaran.
1.3.1 Persekitaran Perniagaan Dalaman
Persekitaran perniagaan dalaman sesebuah organisasi perniagaan terdiri daripada
elemen-elemen perniagaan asas seperti pemilik perniagaan, pelabur, pekerja,
pengguna dan pembekal. Elemen-elemen ini berinteraksi dan mempunyai hubungan
langsung dalam pem,bentukan polisi, prosedur-prosedur dan system sesebuag
organisasi perniagaan.

1.3.1.1 Pemilik Perniagaan


Pemilik perniagaan juga dikenali sebagai tuan punya atau towkay perniagaan.
Pemilik perniagaan terdiri daripada individu atau kumpulan-kumpulan individu yang
telah menyumbangkan modal dan memiliki organisasi perniagaan. Pada amnya,
pemilik perniagaan yang mengendali dan menjalankan operasi harian perniagaan.
Penglibatan pemilik perniagaan secara langsung dalam operasi harian pasti akan
mempengaruhi perjalanan perniagaan.

1.3.1.2 Pelabur
Pelabur juga merupakan pemodal organisasi perniagaan. Pelabur terdiri daripada
individu, syarikat, institusi dan badan-badan yang ditubuhkan oleh kerajaan.
Setengah-setengah pelabur menyuntikkan modal yang besar dalam organisasi
perniagaan sama ada dalam bentuk mata wang ataupun teknologi yang tinggi
kerana mereka mempunyai kepentingan dengan perniagaan yang berkenaan.
Pelabur demikian akan bergiat dalam perjalanan perniagaan tersebut. Mereka
inginkan pulangan yang baik.

Ada juga pelabur yang menyumbangkan modal dalam organisasi perniagaan melalui
pembelian saham atau syer . Mereka akan membeli saham organisasi perniagaan
apabila harganya rendah dan menjual apabila harganya meningkat. Pelabur
demikian merupakan pemilik organisasi perniagaan yang pasif. Mereka, pada
amnya, tidak terlibat secara aktif dalam menjalankan perniagaan.

Pelabur menyumbangkan modal dalam sesebuah organisasi perniagaan bertujuan


untuk memperolehi keuntungan. Matlamat pulangan pelaburan yang telah ditetapkan
oleh pelabur nescaya mempengaruhi keputusan, dasar serta aktiviti-aktiviti
perniagaan. Oleh itu, organisasi perniagaan perlu mengambil tindak-tanduk yang
dapat memenuhi kehendak pelabur jangka masa pendek dan juga pelabur jangka
masa panjang.

1.3.1.3 Pekerja
Pekerja merupakan sumber manusia yang penting dalam sesebuah organisasi
perniagaan. Pekerja terlibat secara langsung dalam operasi perniagaan. Oleh itu,
pekerja dibayar gaji dan juga faedah-faedah lain seperti cuti sakit, cuti tahunan,
bonus dan sebagainya, dilindungi oleh kesatuan sekerja dan juga kerajaan.

Interaksi pekerja dengan perniagaan perlu diberi perhatian yang rapi. Namun,
pengambilan pekerja, hubungan perindustrian diantara pemilik perniagaan dan
kesatuan sekerja serta kerajaan akan memberi kesan kepada penentuan bentuk
sistem, dasar, perancangan strategi dan aspek-aspek lain yang berkaitan dengan
perniagaan.
1.3.1.4 Pengguna
Pengguna merupakan individu, institusi, firma dan kerajaan yang perlu diberi
keutamaan oleh organisasi perniagaan. Kejayaan sesebuah organisasi perniagaan
amat bergantung kepada kepada golongan pengguna. Permintaan golongan
pengguna terhadap barangan atau perkhidmatan atau kedua-duanya yang
disediakan oleh organisasi perniagaan menetapkan sejauh manakah pencapaian
objektif / matlamat organisasi perniagaan iaitu mendapat keuntungan.

Kehendak atau citarasa pengguna mempengaruhi keputusan organisasi perniagaan


terhadap jenis atau barangniaga yang hendak ditawarkan di pasaran. Organisasi
perniagaan harus sentiasa menilai sama ada keluarannya dapat memenuhi
kehendak pengguna atau tidak. Sekiranya keluaran yang ditawarkan oleh organisasi
perniagaan itu tidak diminati dan tidak disambut baik oleh pengguna, maka
organisasi perniagaan akan menanggung risiko tidak terjual yang tinggi dan ini pasti
merugikannya.

Selain itu, keluaran organisasi perniagaan perlu mempunyai inovasi, berkreativiti dan
berkembang maju supaya keperluan dan citarasa pengguna selari dengan
perkembangan teknologi dunia hari ini.

1.3.1.5 Pembekal
Pembekal membekalkan bahan yang diperlukan oleh organisasi perniagaan untuk
dijadikan barangniaga yang boleh dijual dan memenuhi citarasa pengguna.
Pembekal sendiri juga peniaga yang mendapat keuntungan daripada jualan
bahannya kepada organisasi perniagaan lain seperti kedai runcit, pasaraya.

Pembekal sentiasa berinteraksi dengan organisasi perniagaan. Pada hakikatnya,


kedua-duanya saling memerlukan diantara satu sama lain dalam dunia perniagaan.
Interaksi diantara pembekal dan organisasi perniagaan banyak memberi kesan
kepada penetapan corak perjalanan / operasi dan kemajuan sesebuah organisasi
perniagaan. Hubungan baik dengan pembekal adalah perlu untuk menjamin
perjalanan / operasi sesebuah organisasi perniagaan tidak terganggu dan terus
berkembang.

1.3.1.6 Sistem dan Prosedur


Selain factor-faktor persekitaran perniagaan dalaman yang telah dibincangkan tadi,
semua prosedur dan sistem organisasi yang diamalkan akan turut mempengaruhi
keputusan perniagaan yang dibuat oleh pihak pengurusan. Keputusan perniagaan
yang dibuat berdasarkan prosedur dan sistem organisasi yang diamalkan akan
mengarah organisasi perniagaan itu ke arah pencapaian matlamatnya.

1.3.2 Persekitaran Perniagaan Luaran


Persekitaran perniagaan luaran terdiri daripada elemen-elemen yang berinteraksi
dan mempengaruhi organisasi perniagaan secara tidak langsung. Diantaranya
elemen-elemen persekitaran perniagaan luaran ialah persaingan, persekitaran
ekonomi, persekitaran teknologi, persekitaran sosiobudaya, persekitaran politik dan
undang-undang, institusi kewangan dan persekitaran global / antarabangsa.
1.3.2.1 Persaingan
Dalam system ekonomi kapitalis, organisasi perniagaan sering menghadapi
persekitaran persaingan yang dinamik. Persaing iaitu organisasi perniagaan lain
yang mengeluarkan barangniaga atau perkhidmatan yang sama, boleh menentukan
daya tahan dan kreativiti, kemajuan dan kejayaan atau kegagalan sesebuah
organisasi perniagaan di dunia perniagaan. Persaing cuba membaiki produk mereka
supaya dapat berdaya saing dengan produk pengeluar lain malah menguasai
pasaran. Contohnya, di bidang automobil Proton telah berjaya mengeluarkan kereta
yang dapat berdaya saing dengan pengeluar-pengeluar kereta yang lain di Malaysia.
Dengan perkataan lain, persaingan boleh memberi kesan secara tidak langsung
kepada perjalanan sesebuah organisasi perniagaan.

1.3.2.2 Ekonomi
Dalam perancangan organisasi perniagaan baik jangka masa pendek mahupun
jangka masa panjang, peniaga-peniaga harus prihatin dan peka kepada perubahan
ekonomi. Keadaan ekonomi baik ekonomi tempatan mahupun ekonomi
antarabangsa atau global, banyak berinteraksi dengan organisasi perniagaan. Ia
akan mempengaruhi operasi, prestasi dan dasar sesebuah organisasi perniagaan.
Misalnya, apabila kadar faedah pinjaman asas (Base Lending Rate [BLR]) bank
meningkat, tanggungan pembiayaan pinjaman organisasi perniagaan turut
bertambah. Begitu juga dengan peningkatan kadar inflasi. Kos pengeluaran akan
meningkat apabila kadar inflasi meningkat. Peningkatan kadar inflasi akan
mengakibatkan harga bahan mentah yang diperlukabn daripada pembekal turut
naik. Untuk mempertahankan keuntungan dan meneruskan kewujudan organisasi
perniagaan dengan peningkatan kos yang mendadak dalam pasaran, maka peniaga
terpaksa bertindak sama ada menurunkan kos pengeluaran dan mencari barangan
pengganti bagi bahan-bahan mentah yang digunakan selama ini ataupun menaikkan
harga jualan barangniaga di pasaran. Persekitaran ekonomi yang sering berubah
akan memberi kesan secara langsung serta merumitkan lagi pihak peniaga untuk
menetapkan pengurusan organisasi perniagaannya.

1.3.2.3 Teknologi
Perkembangan teknologi terutamanya teknologi maklumat yang pesat akan memberi
kesan secara langsung kepada organisasi perniagaan. Perkembangan teknologi
banyak membantu perkembangan organisasi perniagaan. Misalnya, operasi
organisasi perniagaan seperti proses pengeluaran dengan penggunaan mesin
berteknologi tinggi dan canggih dapat mengurangkan kesilapan manusia dan
menurunkan kos pengeluaran. Kerja-kerja pengurusan pejabat seperti merekod,
menyediakan Penyata Kewangan dan sebagainya dikendali dan dipermudahkan
dengan penggunaan sistem komputer. Aktiviti perniagaan iaitu pembelian dan
penjualan barangan dan perkhidmatan melalui perdagangan elektronik atau “e-
commerce” dapat mengurangkan belanja dan masa.
Walaupun perkembangan teknologi membawa kesan yang positif kepada organisasi
perniagaan, tidak dapat dinafikan bahawa ia juga mendatangkan kesan-kesan
negatif atau sampingan seperti peningkatan kesesakan lalu lintas serta pencemaran
udara dan air akibat pembuangan sisa-sisa toksik, tenaga buruh digantikan oleh
mesin, interaksi dengan mesin berbanding dengan manusia dan sebagainya. Oleh
itu, amalan pendekatan yang seimbang perlu diutamakan. Faedah dan kebaikan
daripada penggunaan teknologi moden dan canggih dipetik. Pada masa yang sama,
kesan-kesan sampingan akibat penggunaan teknologi moden dan canggih itu perlu
diminimumkan.

1.3.2.4 Institusi Kewangan


Organisasi perniagaan tidak dapat mengelakkan diri daripada berinteraksi dengan
institusi kewangan. Institusi kewangan merupakan salah satu elemen persekitaran
luaran perniagaan yang juga mempengaruhi organisasi perniagaan. Organisasi
perniagaan yang ingin meluaskan atau mengembangkan lagi aktiviti perniagaannya
tetapi tidak mempunyai modal yang cukup boleh mendapatkan kemudahan pinjaman
seperti pinjaman jangka masa pendek, kemudahan “overdraft” dan sebagainya
daripada institusi kewangan. Modal dapat memberi kesan yang ketara kepada jenis,
saiz dan aktiviti-aktiviti perniagaan yang akan diusahakan.

Apabila dasar institusi kewangan itu berubah seperti mengurangkan jumlah


pemberian kredit, menghadkan pemberian kredit kepada jenis-jenis perniagaan
tertentu, meningkatkan kadar faedah pinjaman asas (BLR) dan sebagainya,
organisasi perniagaan yang membuat pinjaman terpaksa menanggung peningkatan
liabiliti yang signifikan. Misalnya, kenaikan kadar faedah pinjaman asas secara
mendadak semasa kegawatan ekonomi pada tahun 1997 menyebabkan banyak
organisasi perniagaan mengalami kemerosotan. Kerajaan Malaysia terpaksa
mengarahkan semua institusi kewangan di Malaysia menurunkan kadar faedah
pinjaman untuk menyelamatkan ekonomi negara Malaysia. Langkah penurunan
kadar faedah pinjaman asas daripada institusi kewangan dapat memberi nafas baru
kepada organisasi perniagaan yang menghadapi masalah kewangan serta
pemulihan semula ekonomi Malaysia.

1.3.2.5 Sosial dan Budaya


Dalam dunia perniagaan, penilaian terhadap persekitaran social dan budaya tidak
dapat diringankan kerana masyarakat yang menggunakan barangniaga dan
perkhidmatan yang dikeluarkan oleh organisasi perniagaan mempunyai tahap
sensitivity tersendiri. Setiap masyarakat seperti masyarakat majmuk di Malaysia
mempunyai nilai-nilai etika yang tersendiri mengikut bangsa dan agama.

Organisasi perniagaan perlu menghormati perbezaan nilai-nilai etika di kalangan


masyarakat. Misalnya, makanan yang dikeluarkan khas untuk masyarakat beragama
Islam di Malaysia diwajibkan mempamerkan logo “halal” daripada Jabatan kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM). Kesedaran tentang perbezaan, keinginan untuk
mempelajari, mengetahui dan memahami perbezaan dan persamaan nilai-nilai etika
yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat dapat membantu organisasi perniagaan
untuk maju dan mengembangkan perniagaannya sepanjang masa.

1.3.2.6 Persekitaran Politik dan Undang-undang


Organisasi perniagaan juga harus prihatin dan peka kepada persekitaran politik dan
undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan di tempat ia beroperasi.
Perniagaan tidak dapat dipisahakan daripada kuasa politik. Ia mungkin menyulitkan
aktiviti-aktiviti organisasi perniagaan atau memberi peluang kepada organisasi
perniagaan. Misalnya, untuk melindungi dan mengembangkan industri kereta yang
baru, kerajaan Malaysia sebagai pemegang kuasa politik mengenakan kadar cukai
import yang tinggi terhadap kemasukan barangan seperti komponen dan alat ganti
kereta dari negara luar. Tindakan kerajaan Malaysia ini akan memberi tekanan
kepada pengimport barangan yang berkaitan. Pada masa yang sama, ia juga
memberi kebaikan dan sokongan kepada peniaga tempatan.

Selain itu, undang-undang dan peraturan yang digubahkan bertujuan menjamin etika
perniagaan. Misalnya, undang-undang jualan langsung (Direct Sale) bertujuan untuk
memberi perlindungan kepada para pembeli dan pengguan terakhir. Persekitaran
politik yang stabil dan undang-undang yang sempurna membolehkan oragnisasi
perniagaan terus beroperasi dan berkembang.

1.3.2.7 Global / Persekitaran Antarabangsa


Pada era globalisasi, operasi perniagaan tidak lagi terhad kepada persekitaran
luaran setempat. Para peniaga tempatan harus bersedia dan menyusun strategi dan
merancang perniagaannya supaya benar-benar berdaya saing dengan peniaga-
peniaga antarabangsa. Keadaan politik, ekonomi dan perkembangan teknologi
semasa di negara-negara asing banyak berinteraksi dan memberi kesan yang
signifikan kepada perjalanan perniagaan di negara tempatan. Misalnya, kegawatan
ekonomi yang berlaku di Malaysia pada tahun 1997 telah menjejaskan sedikit
sebanyak negara-negara barat yang mengeksport industri pendidikan mereka.
Kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk membekukan penghantaran
pelajar-pelajar untuk melanjutkan pelajaran mereka ke luar negara. Tindakan
kerajaan Malaysia sedemikian secara tidak langsung memaksa banyak institusi
pengajian tinggi luar negara untuk menawarkan biasiswa atau mengurangkan yuran
pengajian kepada pelajar-pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran mereka ke
luar negara.

1.4 Sistem Ekonomi Dunia


Aktiviti-aktiviti perniagaan yang dijalankan di sesebuah negara mempunyai kaitan
yang rapat dengan sistem ekonomi yang diamalkan. Sistem ekonomi memperuntuk
dan menguruskan sumber-sumber pengeluaran seperti sumber asli yang terdiri
daripada tanah, hutan, air dan galian, modal, tenaga buruh dan keusahawan yang
terhad untuk memenuhi kehendak dan keperluan masyarakat yang dikatakan tidak
ada batasannya. Oleh itu, sumber-sumber pengeluaran yang sedia ada perlu diurus
dan digunakan secekap mungkin supaya tahap kepuasan masyarakat dapat dicapai
dengan optimumnya.

Sungguhpun corak operasi sistem-sistem ekonomi dunia berbeza antara satu sama
lain, permasalahan asas ekonomi yang rata-ratanya dihadapi oleh setiap sistem
ekonomi adalah seperti berikut.
i. Bagaimana sumber-sumber ekonomi yang terhad digunakan untuk
memenuhi keperluan –keperluan masyarakat?
ii. Apakah barang-barang dan perkhidmatan yang hendak dikeluarkan
atau ditawarkan?
iii. Siapakah yang hendak mengeluarkan barang-barang dan
perkhidmatan itu?
iv. Bagaimanakah barang-barang dan perkhidmatan yang telah
dikeluarkan itu dibahagikan kepada penduduk?
Untuk mendapatkan jawapan kepada permasalahan di atas, maka beberapa sistem
ekonomi utama telah diamalkan. Di antaranya ialah sistem ekonomi kapitalisme,
sistem ekonomi sosialisme, sistem ekonomi komunisme atau terancang, sistem
ekonomi campuran dan sistem ekonomi islam.

1.4.1 Sistem Ekonomi Kapitalisme


Sistem ekonomi kapitalisme membenarkan tahap kebebasan individu yang tinggi.
Falsafah sistem ekonomi kapitalisme yang tulen dipelopori oleh ahli-ahli ekonomi
seperti Adam Smith, David Hume dan Jacques Rousseau pada abad ke-18.

1.4.1.1 Ciri-ciri Kapitalisme


Antara ciri-ciri kapitalisme ialah

i. Hak Untuk Memiliki Harta Peribadi


Sistem ekonomi kapitalisme mengiktiraf dan menjamin kebebasan
untuk memiliki, mengguna, menjual atau memberi harta peribadi
kepada orang lain. Setiap individu, kumpulan, institusi atau organisasi
mempunyai peluang yang sama untuk memiliki harta, dengan apa cara
dan tujuan yang dirasakan perlu serta munasabah, asalkan perbuatan
sedemikian tidak melanggar undang-undang dan peraturan sesebuah
negara itu.

Selain itu, kapitalisme memberi kebebasan kepada individu untuk


menjalankan perniagaan atau aktiviti ekonomi yang mendatangkan
faedah seperti keuntungan dan kekayaan kepadanya.

Hak pemilikan harta peribadi secara bebas mengakibatkan kewujudan


jurang antara yang kaya dan yang miskin, kewujudan pasaran bebas
iaitu pasaran yang membenarkan sesuatu harta itu ditukar milik sama
ada melalui proses jualan, pemberian atau pembelian.

ii. Keuntungan Sebagai Matlamat Utama


Menurut Adam Smith, keuntungan merupakan pendorong utama dan
kuat untuk seseorang peniaga melaburkan harta, masa, modal,
kemampuan masing-masing serta sanggup menanggung apa juga
risiko yang mungkin berlaku dalam perniagaan. Pendek kata, sistem
ekonomi kapitalisme mengiktiraf sepenuhnya hak untuk menerima
keuntungan daripada usaha diri sendiri.

iii. Kebebasan Untuk Memilih


Pengguna sama ada individu ataupun organisasi mempunyai
kebebasan untuk memilih bila dan apa yang mereka gemar dan
hendak beli atau tidak. Ini bermakna pengguna sendirilah yang paling
layak untuk menilai dan menetapkan kehendak serta kepentingan diri
mereka.

iv. Kebebasan Untuk Bersaing


Setiap individu atau organisasi perniagaan dibenarkan kebebasan
untuk bersaing dalam pasaran bebas. Persaingan secara bebas ini
akan menjamin kualiti, harga dan keselamatan barang-barang dan
perkhidmatan yang ditawarkan dalam pasaran baik. Selain itu, individu
atau organisasi perniagaan yang cekap sahaja yang mampu berjaya,
dapat bertahan atau maju dalam aktiviti perniagaan mereka.

v. Mekanisme Pasaran dan Harga


Mekanisme pasaran dan harga merupakan asas yang menyelaraskan
kegiatan-kegiatan perniagaan dalam sistem ekonomi kapitalisme.
Harga sesuatu barang atau perkhidmatan yang ditawarkan di pasaran
ialah harga yang telah dipersetujui bersama antara penjual dan
pembeli. Pendek kata, unsure permintaan dan penawaran terhadap
barang-barang dan perkhidmatan yang menentukan harga di pasaran.

vi. Campurtangan Kerajaan


Penglibatan kerajaan dalam ekonomi dan perniagaan amat terhad.
Golongan pemodal yang menguasai pasaran. Pentadbiran kerajaan
yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi hanya terlibat dalam
pengawasan dan penentuan peluang pemilikan harta yang sama untuk
setiap individu, menikmati kemudahan yang disediakan dan menerima
bantuan atau pertolongan yang sepatutnya.

1.4.1.2 Kelemahan Sistem Ekonomi Kapitalisme


Kelemahan yang ketara dalam sistem ekonomi kapitalisme mempunyai
kaitan yang rapat dengan tahap kebebasan yang tinggi diberi kepada
individu, kumpulan atau organisasi untuk mengumpul kekayaan atau
harta peribadi. Antara kelemahan sistem ekonomi kapitalisme terdiri
daripada

i. Unsur Monopoli
Dalam sistem ekonomi kapitalisme, setiap organisasi perniagaan
bebas bersaing di antara satu sama lain untuk mengembangkan
perniagaan masing-masing. Dalam proses perkembangan dan
persaingan, organisasi perniagaan yang kurang cekap mengurus dan
gagal memperolehi keuntungan yang munasabah akan dengan
sendirinya tersingkir keluar daripada pasaran.

Di sebaliknya, mereka yang berjaya pula akan terus berkembang,


membesar dan menguasai syer pasaran serta mempengaruhi aktiviti-
aktiviti perniagaan di pasaran seperti penentuan harga barang
keluaran. Sekiranya keadaan ini berlaku secara berleluasa, berlarutan
dan tidak dikawal, maka keadaan monopoli akan wujud dalam pasaran
dan ini pasti merugikan pihak pengguna sendiri.

ii. Pengangguran
Dalam sistem ekonomi kapitalisme, prestasi organisasi perniagaan
amat bergantung kepada keadaan turun naik ekonomi. Kemerosotan
keadaan ekonomi negara yang mengamalkan sistem ekonomi
kapitalisme akan memberi kesan yang signifikan kepada prestasi
organisasi perniagaan. Misalnya, ramai pekerja akan diberhentikan.
Masalah ini akan meningkatkan lagi kadar pengangguran dan
seterusnya menyusahkan kehidupan kebanyakan anggota masyarakat
dalam negara yang berkenaan.

iii. Pengagihan Kekayaan Yang Tidak Seimbang


Kebebasan individu untuk mencari dan memiliki kekayaan atau harta
yang dibenarkan dalam sistem ekonomi kapitalisme akan meluaskan
lagi jurang pendapatan atau kekayaan di anatara golongan yang kaya
dan golongan yang miskin. Dalam proses persaingan untuk
mengembang perniagaan masing-masing, individu yang berjaya akan
memperolehi kekayaan dan pendapatan yang tinggi, manakala yang
tidak berjaya akan menjadi miskin dan terus menderita. Namun, jurang
perbezaan pendapatan yang bertambah luas di antara golongan yang
kaya dan golongan yang miskin merupakan suatu tanda yang tidak
sihat. Kepincangan ekonomi yang wujud di kalangan masyarakat akan
membawa kesan-kesan sosial yang negatif seperti perasaan syak
wasangka, hasad dengki, penindasan dan sebagainya.

1.4.2 Sistem Ekonomi Terancang


Sistem ekonomi terancang juga dikenali sebagai sistem ekonomi komunisme.
Ia merupakan sistem ekonomi yang berlawanan dengan sistem ekonomi
kapitalisme. Ini bermakna sistem ekonomi terancang tidak menggalakkan
kebebasan dalam perjalanan aktiviti perniagaan atau ekonomi.

1.4.2.1 Ciri-ciri Komunisme

i. Pengawalan Ke Atas Ekonomi Oleh Kerajaan


Dalam sistem ekonomi terancang atau komunisme, individu tidak
berhak untuk memiliki kekayaan peribadi. Semua perniagaan
dimiliknegarakan. Kerajaan memiliki segala industri, harta dan faktor-
faktor pengeluaran (modal, tanah, teknologi, buruh dan keusahawan)
di dalam negara. Kerajaan diandaikan lebih arif dan lebih mengetahui
terhadap permasalahan-permasalahan ekonomi yang dihadapi oleh
rakyat termasuk cara-cara untuk menanganinya. Oleh itu, semua
keputusan yang berkaitan dengan ekonomi dimonopoli oleh badan-
badan, agensi-agensi perancangan atau jawatankuasa-jawatankuasa
yang dilantik oleh kerajaan.

ii. Badan Perancang Pusat


Dalam sistem ekonomi terancang, kerajaan melalui badan perancang
pusat yang menetapkan jenis barangan dan perkhidmatan yang
hendak dikeluarkan, berapa banyak yang patut dikeluarkan, cara
barangan dan perkhidmatan itu diagihkan dan rupa bentuk teknologi
pengeluaran yang akan digunakan. Kerajaan diandaikan lebih
mengetahui dan arif tentang apa yang baik atau tidak baik kepada
rakyat, dan apa yang patut dimiliki oleh rakyatnya. Pendek kata, rakyat
kurang kebebasan untuk memilih. Rakyat terpaksa membeli barangan
yang dibekalkan oleh kerajaan dalam pasaran, walaupun kualiti dan
kesesuaiannya tidak dapat memenuhi kehendak dan keperluan
mereka.

iii. Kerajaan Mengendalikan Sepenuhnya Hal-hal Perusahaan dan


Perniagaan
Dalam sistem ekonomi terancang, kerajaan yang mengendalikan
sepenuhnya hal-hal perusahaan dan perniagaan. Oleh itu, matlamat
utama perniagaan bukan untuk mendapatkan keuntungan tetapi untuk
meningkatkan produktiviti.

Akibat penglibatan kerajaan sepenuhnya dalam pengendalian hal-hal


berkaitan perusahaan dan perniagaan, pekerja-pekerja tidak diberi
motivasi untuk meningkatkan tahap produktiviti kerana ganjaran seperti
gaji yang diberikan kepada mereka tidak setimpal dengan kemampuan
yang ada pada mereka atau yang mereka sumbangkan.

Oleh itu, kecekapan dan kualiti pengeluaran negara itu terjejas.


Pembangunan ekonomi negara tidak mencapai taraf yang setanding
dengan pencapaian yang dinikmati oleh negara-negara yang
mengamalkan sistem ekonomi kapitalisme.

iv. Isu Pengangguran Tidak Merupakan Masalah Yang Besar


Oleh sebab sistem ekonomi terancang tidak membenarkan pemilikan
harta peribadi, rakyat tidak mempunyai pilihan melainkan bekerja dan
berkhidmat dengan kerajaan semata-mata. Kerajaan akan
bertanggungjawab dan menjamin bahawa setiap rakyat yang layak
bekerja mempunyai pekerjaan. Namun demikian, isu pengangguran
boleh dikatakan tidak merupakan masalah yang besar dihadapi oleh
negara dan rakyat terutamanya pada waktu kemelesetan ekonomi.

v. Jurang Perbezaan Pendapatan Di Antara Golongan Kaya Dan


Golongan Miskin Tidak Ketara
Didapati bahawa jurang perbezaan pendapatan di antara golongan
kaya dan golongan miskin tidak ketara dalam sistem ekonomi
terancang kerana kerajaan tidak membenarkan rakyat memiliki harta
peribadi. Selain itu, kerajaan juga yang menentukan rakyatnya
disediakan pekerjaan dan tidak menganggur.

1.4.2.2 Perspektif Sistem Ekonomi Terancang


Pada umumnya, sistem ekonomi terancang dapat ditinjau daripada dua
perspektif iaitu sosialisme dan perestorika. Perspektif sosialisme diasaskan
oleh Karl Marx. Mengikut Karl Marx, rakyat adalah milikan kerajaan. Kerajaan
boleh menggunakan rakyat untuk menjana dan membangunkan ekonomi
negara. Pada masa yang sama, rakyat pula diberikan upah sekadar cukup
untuk hidup sahaja.

Disebaliknya, Mikhail Gorbachev pula mempelopori perspektif perestorika


yang lebih terbuka berbanding dengan perspektif sosialisme. Perspektif
perestorika mengutamakan pengurangan kawalan kerajaan ke atas ekonomi
dan undang-undang terhadap rakyat.

1.4.3 Sistem Ekonomi Campuran


Kebanyakan negara di dunia hari ini mengamlakan sistem ekonomi
campuran. Misalnya, sistem ekonomi yang diamalkan oleh Malaysia. Sistem
ekonomi campuran merupakan sistem ekonomi yang menggabungkan ciri-ciri
sistem ekonomi kapitalisme dan sistem ekonomi terancang atau komunisme.
Dalam sistem ekonomi campuran , kerajaan dan pihak swasta sama-sama
terlibat dalam aktiviti-aktiviti ekonomi dan perniagaan untuk membangunkan
negara.

Walaupun banyak program penswastaan dijalankan dalam pembangunan


ekonomi negara, penglibatan kerajaan tetap terpelihara dalam aktiviti
ekonomi dan perniagaan yang melibatkan kepentingan sektor awam. Di
antara peranan yang dimainkan oleh kerajaan dalam sistem ekonomi
campuran ialah

i. Menyediakan Struktur Perundangan dan Institusi Untuk Pasaran


Beroperasi
Dalam sistem ekonomi campuran, kerajaan yang bertanggungjawab untuk
menyediakan struktur perundangan seperti penggubalan akta kontrak, akta
sewa-beli, akta syarikat dan sebagainya dan juga institusi seperti institusi
kewangan untuk organisasi perniagaan.

Penglibatan kerajaan dalam hal demikian bertujuan untuk memelihara dan


menjamin keadaan persaingan yang sihat dalam pasaran bebas serta
memastikan tidak berlakunya monopoli pasaran di kalangan organisasi
perniagaan atau individu.

ii. Peruntukan Sumber-sumber Ekonomi


Penglibatan kerajaan dalam sistem ekonomi campuran boleh mempengaruhi
peruntukan sumber-sumber ekonomi yang terhad. Pengaruh kerajaan
terhadap peruntukan sumber ekonomi boleh ditinjau melalui tiga saluran iaitu
perbelanjaan kerajaan (20% daripada jumlah output yang dihasilkan negara),
dasar pencukaian keuntugan (cukai syarikat berbeza dengan cukai
pendapatan individu) dan pengeluaran barangan dan perkhidmatan
(terutamanya kategori barangan awam seperti barangan pertahanan) yang
tidak mampu disediakan oleh mekanisme pasaran.

iii. Pengagihan Semula Pendapatan


Kerajaan juga bertanggungjawab untuk mengagihkan semula pendapatan
supaya jurang perbezaan pendapatan di antara golongan yang kaya dan
golongan yang miskin tidak ketara. Misalnya, salah satu matlamat utama
pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh kerajaan Malaysia ialah untuk
membasmi kemiskinan di kalangan rakyat serta merapatkan jurang
perbezaan pendapatan di antara golongan yang kaya dan golongan yang
miskin.
Bantuan dalam bentuk sokongan harga barang-barang pertanian, subsidi
perbelajaan pendidikan dan sumbangan derma Jabatan Kebajikan
Masyarakat merupakan antara bentuk pengagihan semula pendapatan yang
telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia.

iv. Menstabilkan Ekonomi Negara


Penglibatan kerajaan menerusi penetapan dasar-dasar negara dari masa ke
semasa akan membawa kesan yang signifikan untuk menstabilkan ekonomi
negara. Mekanisme pasaran didapati sukar untuk menangani isu-isu ekonomi
yang serius seperti kemelesetan ekonomi, pengangguran dan juga inflasi.
Dalam konteks ini, kerajaan Malaysia melalui pelaksanaan dasar fiskal dan
dasar kewangannya telah berjaya menangani masalah kegawatan ekonomi
yang melanda Malaysia pada tahun 1997.

1.4.4 Sistem Ekonomi Sosialisme


Sistem ekonomi sosialisme terletak di antara dua sistem ekonomi yang
ekstrim iaitu di antara sistem ekonomi kapitalisme dan sistem ekonomi
terancang atau komunisme. Sistem ekonomi sosialisme merangkumi ciri-ciri
persamaan dan perbezaan kapitalisme dan juga komunisme.

1.4.4.1 Ciri-ciri Sistem Ekonomi Sosialisme

i. Pasaran Bebas Yang Terbatas


Individu-individu dibenarkan untuk memiliki harta dan kekayaan dalam sistem
ekonomi sosialisme tetapi jumlah pemilikan mereka terbatas setakat yang
dibenarkan oleh kerajaan. Selain itu, individu-individu juga boleh memiliki
perniagaan-perniagaan kecil dan memilih jenis kerja yang mereka minati.
Namun demikian, sistem ekonomi sosialisme menganggap aktiviti
pengumpulan harta kekayaan oleh individu tanpa batasan tidak baik kerana
kuasa ekonomi akan dikuasai oleh segelintir individu sahaja.

ii. Hak Milik Negara


Dalam sistem ekonomi sosialisme, faktor-faktor pengeluaran seperti tanah,
modal, taknologi, buruh dan keusahawan dimiliki oleh kerajaan. Kerajaan
dikatakan mengawal ekonomi dan menetapkan jenis serta jumlah barang dan
perkhidmatan yang akan dikeluarkan. Pemilikan harta oleh kerajaan adalah
melalui proses demokrasi bukannya menerusi paksaan (Komunisme). Kuasa
ekonomi mesti dikawal oleh kerajaan dan bukannya oleh kuasa pasaran. Ini
bertujuan untuk kebaikan dan kepentingan negara dan masyarakatnya.

iii. Perancangan Ekonomi Oleh Kerajaan Pusat


Sistem ekonomi sosialisme mengutamakan perancangan ekonomi
dilaksanakan oleh kerajaan pusat. Perancangan projek ekonomi di peringkat
kerajaan pusat akan menyumbangkan kebaikan kepada rakyat di samping
menjamin sumber-sumber pengeluaran digunakan secara optimum. Pendek
kata, pelaksanaan projek pembangunan dalam sistem ekonomi sosialisme
meletakkan produktiviti dan bukannya keuntungan sebagai objektif utama.
iv. Pembahagian Pendapatan Yang Lebih Adil
Sistem ekonomi sosialisme menganggap bahawa jurang perbezaan
pendapatan yang luas di antara individu (kapitlisme) akan mewujudkan kelas-
kelas sosial dalam masyarakat. Untuk mengelakkan kelas-kelas sosial
berlaku dalam masyarakat, kerajaan mengenakan cukai pendapatan yang
tinggi ke atas golongan yang kaya manakala bantuan secara percuma
dihulurkan kepada individu yang kurang bernasib baik. Misalnya, Jabatan
Kebajikan di sesetengah negara di Eropah memberi elaun mingguan saraan
hidup kepada penganggur. Pelaksanaan sistem ini dipercayai akan
merapatkan jurang perbezaan daripada segi kemewahan dan kesenangan
hidup di antara golongan yang kaya dan golongan yang miskin.

1.4.5 Sistem Ekonomi Islam


Sistem ekonomi islam merupakan satu alternatif kepada penyelesaian
permasalahan asas ekonomi baik sistem ekonomi kapitalisme, sistem
ekonomi komunisme, sistem ekonomi campuran atau sistem ekonomi
sosialisme. Sistem ekonomi islam menekankan kepada konsep perbincangan
atau ‘syura’ dalam pentadbiran kewangan dan pengagihan kekayaan negara
untuk semua lapisan masyarakat.

1.4.5.1 Ciri-ciri Sistem Ekonomi Islam

i. Hakmilik Peribadi Ke Atas Harta dan Kekayaan


Dalam sistem ekonomi islam, setiap individu mempunyai hak untuk memiliki
harta dan kekayaan tetapi kesemuanya itu mestilah diperolehi melalui cara
yang dibenar dan digalakkan oleh ajaran Islam. Contohnya, harta dan
kekayaan itu tidak diperolehi melalui proses penindasan, rasuah, penipuan,
rampasan, pecah amanah dan sebagainya. Selain itu, setiap individu juga
berhak menuntut hak milik masing-masing ke atas sebarang bentuk harta dan
kekayaan yang diperolehinya secara halal.

ii. Pengagihan Yang Saksama


Walaupun sistem ekonomi islam menerima kebebasan hak milik peribadi ke
atas harta dan kekayaan, Islam cuba merapatkan jurang perbezaan di antara
golongan yang kaya dan golongan yang miskin menerusi konsep
kesaksamaan dalam pengagihan kekayaan dan sumber-sumber pengeluaran.
Ini bermakna sistem ekonomi islam menolak sama sekali kegiatan monopoli
negara atau individu ke atas sumber-sumber ekonomi. Penolakan kegiatan
monopoli ke atas semua sumber pengeluaran bertujuan untuk mengelakkan
wujudnya kelas-kelas ekonomi, sosial dan sebagainya dalam masyarakat.

iii. Keseimbangan Dalam Pembangunan Akhlak Dan Kebendaan


Selain menggalakkan pembangunan kebendaan, sistem ekonomi islam juga
mementingkan pembangunan akhlak dan kemanusiaan. Islam menganggap
semua umatnya bersaudara dan mereka digalakkan bekerjasama di antara
satu sama lain. Oleh itu, seseorang individu Islam yang memiliki lebihan
kekayaan daripada jumlah kekayaan dan memenuhi syarat-syarat ajaran
Islam yang ditetapkan, digalakkan mengeluarkan lebihan kekayaan itu untuk
membantu individu Islam lain yang tidak bernasib baik dalam kehidupan.
Contohnya, umat Islam diwajibkan membayar zakat dan harta individu yang
telah meninggal dunia dibahagikan berlandaskan undang-undang
warisan.Sifat-sifat murni seperti murah hati, dermawan, bertimbang rasa,
suka bersedekah dan sebagainya dapat mencapai objektif kebajikan bersama
masyarakat dan seterusnya mewujudkan persekitaran masyarakat yang lebih
seimbang baik dari segi sosial mahupun ekonomi.

iv. Bebas Daripada Unsur-unsur Bunga atau Riba


Sistem ekonomi islam mengharamkan sama sekali unsur-unsur bunga atau
riba. Riba diharamkan kerana ia dianggap boleh
a. meluaskan jurang perbazaan di antara masyarakat Islam
b. memutuskan perasaan simpati dan kerjasama di antara individu
dalam masyarakat
c. membangkitkan perasaan dendam, hasad dengki, kesombongan,
ketidakperimanusiaan dan ketamakan dalam peribadi manusia
d. menyekat pengaliran kekayaan daripada golongan yang kaya
kepada golongan yang miskin
e. menggalakkan monopoli di pasaran

Berdasarkan keburukan-keburukan yang tertera di atas, maka sistem


ekonomi islam mengharamkan amalan riba bertujuan untuk menghapuskan
sifat kebakhilan, budaya serta ekonomi yang dilahirkan oleh sistem ekonomi
kapitalisme.

BIBLIOGRAFI

Ebert, R. J. dan Griffin, R. W. (1998). Business Essentials. 2nd Edition. New


Jersey : Prentice-Hall, Inc.

Gabriel, V. A. (1995). Management of Business. Singapore : Oxford


University Press.

Jaafar Muhamad (1993). Asas Pengurusan Perniagaan. Edisi Kedua.


Malaysia : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Norhayah Zulkifli (1999). Modul Pengurusan Perniagaan AN015. Malaysia :


Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rachman, D.J. et al. (1996). Business Today, 8th Edition. New York :
McGraw-Hill, Inc.

Teng Yoon Soon, Lok Chung Hwa dan Abdullah Munsi b. Abdul Rahim (1999).
Pengajian Perniagaan STPM Kertas 946/1. Malaysia : Pustaka Sarjana
Sdn. Bhd.

Zumilah Zainalaludin (1999). Pengenalan Kepada Perniagaan. Malaysia :


Penerbit Elman Sdn. Bhd.

You might also like